Monday, August 22, 2011

PROGRAM RAMADHAN DI SURAU AL HIDAYAH, SERDANG, SELANGOR...

Malam tadi 20 Ogos 2011 bersamaan malam ke 21 umat Islam berpuasa, bermula jam 10, pihak Surau Al-Hidayah, Taman Sri Serdang, Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah mengadakan program 'Memasak dan Mengacau dodol' sebagai salah satu usaha bagi memeriah dan mengimarahkan surau pada bulan Ramadhan Al Mubarak ini.

Umat Islam yang berpuasa, kini melalui fasa yang terakhir dimana 10 malam yang terakhir ini Allah menjanjikan umatnya yang berpuasa mendapat pembebasan dari api neraka.

10 malam terakhir ini juga umat Islam dikehendaki untuk menggandakan amal ibadat mereka dengan berqiamulail dan beriktikaf di masjid dan surau-surau kerana dikatakan didalamnya terdapat satu malam (terutamanya pada malam yang ganjil) dimana akan berlakunya Lailatul Qadar iaitu satu malam beribadat dan pahalanya lebih baik dari seribu bulan atau bersamaan serta lebih dari 83 tahun 4 bulan.

Firman Allah dalam surah Al Qadr.


Program memasak dan mengacau dodol ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan malam Al Qadar, tetapi sebagai salah satu usaha pihak surau menarik umat Islam terutamanya penduduk kariah Sri Serdang ini hadir ke surau dan seterusnya dapat bersama-sama melakukan Qiamulail serta melakukan amal ibadat yang lain seperti membaca Al Quran dan sebagainya dengan doa dan harapan agar mereka menemui malam Al Qadr itu.

Dari pemerhatian yang dibuat, usaha Pihak Surau ini berjaya mengumpul ramai peserta terdiri dari semua golongan tua dan muda serta adik-adik dimana mereka ikut menunaikan sembahyang subuh berjemaah yang dimamkan oleh Ustaz Azizan iaitu imam muda surau ini.

Hampir keseluruhan saf-saf yang ada dipenuhi oleh para jemaah dan mereka nampaknya tidak berganjak kerana terus mengikuti kuliah subuh selepasnya yang disampaikan oleh Ustaz Abd. Rahman b. Mahmud dari UKM Bangi.

Program seterusnya selepas ini ialah Majlis Khatam Al Quran dan penyampaian hadiah kepada para petugas yang bertungkus lumus memberikan khidmat bakti mereka dalam program yang diatur bermula dari sebelum majlis berbuka puasa, solat Isyak, solat Tarawih diikuti dengan 'moreh' yang ditaja sebulan penuh oleh orang perseorangan serta golongan-golongan korporat disepanjang bulan Ramadahan ini.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pengurusan dan Pentadbiran Surau Al Hidayah kerana berjaya mengadakan program ini dan diharapkan usaha ini diteruskan lagi pada bulan Ramadhan yang akan datang.

Adalah diharapkan juga ketika Solat Zohor nanti, surau juga akan penuh sepertimana ketika program memasak dan mengacau dodol serta solat subuh pagi tadi.

Saksikan rakaman gambar dan video klip yang sempat aku ambil semasa program ini berlangsung bermula jam 10 malam sehingga 7 pagi.

Sila klik pada gambar untuk lebih jelas.


Surau Al Hidayah terletak di tengah-tengah
Taman Perumahan Sri Serdang, Fasa 1

Jemaah surau sedang memberikan perhatian
ketika perasmian program 'mengacau' dodol oleh
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)

Para petugas memulakan tugas dengan
menyediakan peralatan memasak

Tn. Hj. Maamor membantu memasukkan
bahan-bahan untuk membuat dodol


En. Tumiran (kiri) dan Che Mat diantara jemaah yang sentiasa
istiqomah dalam mengerjakan solat berjemaah 5 waktu

Api dapur telahpun dinyalakan sebagai tanda kerja-kerja
memasak dan mengacau dodol akan bermula sebentar saja lagi...

1 dari 4 buah kawah telah disediakan untuk
kerja-kerja memasak dan mengacau dodol...

Tn. Hj. Adnan (Imam surau) sedang memperkatakan
sesuatu kepada Tn. Hj. Maamor sambil diperhatikan
oleh salah seorang rakan mereka

Kaum muslimat memainkan peranan penting dalam program ini

Adik-adik kita ni bersemangat untuk belajar
cara-cara membuat dodol di kawah no. 3

Group baju kuning mewakili kawah
yang ke 4 sedang membuat persiapan

Group baju biru, kawah no. 2

Tn. Hj. Murtaza bertindak sebagai 'Ketua' dalam penyediaan
makanan dan minuman serta 'moreh' untuk jemaah
yang hadir serta para petugas program mengacau dodol

Group baju kuning melakukan kerja-kerja
menapis santan untuk dimasukkan kedalam kawah

Saat-saat yang meletihkan...
Dodol yang sedang dimasak perlu sentiasa
dikacau bagi mengelakkan ia menjadi keras...

YDP MPSJ (baju kelabu) turut membantu mengacau dodol




Abang Shidie, (baju hijau) adalah salah seorang jemaah yang sentiasa
'ringan tulang' setiap kali majlis yang dianjurkan surau diadakan.

Dapur no. 3 masih belum memulakan kerja-kerja
memasak dodol kerana ada sedikit problem pada tungkunya...

En. Meor Nazri (baju coklat) adalah Pengerusi Surau Al Hidayah

Ustaz Azizan (tengah) adalah salah seorang
Imam muda Surau Al Hidayah...

Salah seorang petugas group baju biru
sedang mengacau dodol yang sedang dimasak

Gula merah adalah salah satu bahan
yang perlu disediakan semasa membuat dodol


Makcik ni sedang masak gula merah...

Gula merah dicampurkan kedalam dodol yang sedang dimasak

Beginilah rupa dodol apabila dicampurkan dengan gula merah

Comelnye anak Che Mat yang berusia 2 tahun nie..
Besar nanti jangan lupe berbakti pada Agama....

Remaja belasan tahun turut memeriahkan program ini


Dodol yang hampir siap dimasak

Kerja-kerja 'packing' dodol yang telah siap dimasak


Walaupun rupanya tidak secantik Almond London,
tapi keenakkan sukar ditandingi





Satu kawah dapatlah lebihkurang 50 buah
tupperware untuk diagih-agihkan...

Semua dodol-dodol ini akan dimasukkan kedalam kotak untuk
diagihkan kepada penduduk kariah Sri Serdang ini


GAMBAR VIDEO LAH PULAK!!!
























Wednesday, August 10, 2011

KULIAH ZOHOR DI BULAN RAMADHAN 1432 HIJRAH...

Setiap kali tibanya bulan Ramadhan, biro agama akan mengaturkan program mengimarahkan suaru Syarikat dengan Kuliah Zohor bermula jam 1 hingga 2 petang.

Pihak biro agama yang diketuai oleh Haji Zainuddin b. Muhammat telah bersiap sedia selama hampir 3 bulan untuk mendapatkan Ustaz-Ustaz yang telah disenarai untuk dijemput memberikan tazkirah. Tajuknya bukan sahaja berkaitan dengan Ramadhan tetapi juga hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan serta permasalahan yang berkaitan dengan agama Islam.

Sebentar tadi, tiba pula giliran Ustaz Jefri b. Isa dari Kelang, Selangor memberikan tazkirah. Beliau telah menggariskan beberapa kelebihan amalan yang patut dibuat di bulan Ramadhan, seperti berbakti kepada kedua ibu bapa, banyakkan bersedekah, menyempurnakan hajat saudara-saudara kita, bersembahyang berjemaah, kelebihan menuntut ilmu, berkasih sayang diantara suami isteri dan sebagainya.

Cara kupasannya yang menarik serta penyampaian dengan gayanya yang tersendiri telah memukau jemaah yang mengikuti kuliahnya. Kesemua mereka memberikan respon yang baik terhadap kuliah yang disampaikan. Kelihatan juga beberapa jemaah telah mencatatkan beberapa tips serta petua yang diberikan oleh Ustaz Jafri.

16 orang ustaz telah bersetuju untuk menyampaikan kuliah bermula pada 1 Ramadhan sehingga 25 Ramadhan seperti senarai dibawah :-

1 Ramadhan - Ustaz Arianto Rizal (Pendakwah Bebas)
2 Ramadhan - Ustaz Husni Abd. Rahman (PPZ Wilayah Persekutuan)
3 Ramadhan - Ustaz Johari Abdul Wahab (Bangi)
4 Ramadhan - Ustaz Haji Mohd Fadzil (Bkt. Tinggi, Kelang)
8 Ramadhan - Ustaz Sapidin Amran (Kelang)
9 Ramadhan - Ustaz Shakir Zainal (Ampang)
10 Ramadhan - Ustaz Jefri Isa (Kelang)
11 Ramadhan - Ustaz Dr. Jamnul Azhar Mulkan (Pendakwah bebas, Kedah)
15 Ramadhan - Dr. Rubiah K. Hamzah (Shah Alam)
16 Ramadhan - Ustaz Izat Ropi (Maahad Tahfiz, Padang Balang, K. Lumpur)
17 Ramadhan - Ustaz Datok Khalid An-Nadwi (Keramat)
18Ramadhan - Ustaz Faizal Hakim, (Ampang)
22 Ramadhan - Ustaz Mahmood Uda Kassim (Pendakwah bebas)
23 Ramadhan - Ustaz Prof Dr. Madya Yusof Hussain (UIA)
24 Ramadhan - Ustaz Drs. Sapawi Che Mat (Mantan Timbalan Pengarah RISDA)
25 Ramadhan - Ustaz Ghazali Ibrahim (Tg. Malim, Perak)

Ustaz Jefri Isa sedang menyampaikan kuliahnya.

Diantara Muslimin yang hadir.

Muslimat tidak pernah kurang kehadiran mereka.



Muslimin semakin bertambah dari semasa kesemasa...
biasalaaaatuuuu dah dekat pukul 2...
Ini pun dah kira ramai dah ni...

Saudara kita ni tersentuh hatinya mendengar kuliah ustaz.
Apa yang difikirkan, hanya dia saja yang tahu...

Tuesday, August 2, 2011

DENGARLAH PESANAN AYAHMU INI !!!

Suatu ketika dahulu, ketika terlantar sakit dan diberitahu oleh tabib bahawa hayatnya sudah suntuk benar, seorang lelaki tua memanggil dua orang anaknya. Dia berpesan kepada kedua-dua anak lelakinya itu supaya menjaga perniagaan yang bakal ditinggalkan nanti dengan baik.

"Anak-anak ayah... bila ayah sudah tidak ada nanti, kamu amalkan dua pesanan ayah ini. Pertama, jangan sekali-kali menagih hutang pada orang yang berhutang dengan kamu. Kedua, apabila hendak pergi dan balik dari kedai, jangan sekali-kali kamu benarkan diri kamu terkena cahaya matahari. Amalkan pesanan ayah ini, nanti perniagaan kamu akan berjaya." pesan lelaki tua itu.

Tidak beberapa lama kemudian, lelaki tua itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Selepas lelaki itu meninggal dunia, perniagaan dan kedai-kedai yang ditinggalkannya diuruskan oleh dua anak lelakinya tadi. Kedua-dua beradik berkenaan menuruti pesanan yang ditinggalkan oleh arwah ayah mereka.

Anehnya, selepas setahun, perniagaan anak yang bongsu jatuh merudum. Sebaliknya, perniagaan yang diuruskan si abang pula bertambah besar dan maju.

Suatu petang, si ibu berjumpa dengan kedua-dua anak lelakinya itu. Dia bertanya, apa terjadi pada perniagaan mereka. Si adik terus mengeluh dan memberitahu kini dia hampir bankrap.

"Apa yang kamu buat? Kamu tak ikut pesanan arwah ayah kamu," tanya si ibu.

"Saya ikut ibu, saya tidak pernah menagih hutang dari mereka yang berhutang pada saya. Tapi masalahnya, mereka tak bayar pun hutang-hutang mereka. Hutang itu sudah terlalu banyak sampai saya kehabisan modal."

"Untuk mengelak dari terkena cahaya matahari, setiap hari juga saya terpaksa keluarkan wang tambahan untuk membayar tambang teksi untuk kekedai. Sekarang duit saya dah tak ada lagi, saya kena tutup perniagaan saya."

Si ibu berpaling pula ke arah anak sulungnya. Dia bertanya, bagaimana perniagaannya boleh bertambah maju dan besar.

Jawab si abang, "Bila ayah kata jangan tagih hutang daripada orang yang berhutang dengan kita, maka saya buat keputusan semua urusan perniagaan saya mesti dibayar tunai. Tidak boleh hutang. Hasilnya, modal saya bertambah dan perniagaan saya berjalan lancar.

"Kemudian, disebabkan ayah kata jangan benarkan diri kita kena cahaya matahari semasa pergi dan balik kerja, maka saya pergi kerja sebelum matahari terbit dan pulang ketika matahari sudah terbenam.

Ayah memang bijak, pelanggan saya semakin hari semakin bertambah maju sebab kedai saya dibuka paling awal dan ditutup paling lewat."

Si ibu tersenyum. Ternyata anak sulungnya itu dapat membaca maksud disebalik pesanan yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya dulu.

*******************************************************************
Tuan-tuan sekelian, orang tua adalah orang yang tinggi akalnya. Mereka tahu asam garam dunia dan sering menguji kita dengan cara yang tidak diduga. Tapi orang muda sering melihat pesanan orang tua pada satu lapis permukaan sahaja.

Orang muda yang berjaya adalah mereka yang mendengar nasihat orang tua dan bijak membaca ketinggian akalnya.