Monday, November 11, 2013

APA ITU SAKA...


Jin dan iblis punca penyakit saka - gambar hiasan...


Saka berpunca daripada dendam iblis kepada manusia. Cara iblis membalas dendam adalah dengan menyesatkan manusia mengikut kepercayaan penduduk setempat, misalnya penduduk di Nusantara percaya dengan batu, kayu pokok, gunung dan busut. Sebagaimana yang diketahui sebelum dijadikan manusia, bumi ini telah dihuni oleh jin. Merekalah yang duduk di gunung, batu, kayu, pokok dan busut. Kemudian nabi Adam diutus dan umat manusia menyebar di seluruh muka bumi. Apabila benda-benda itu disembah secara tidak langsung ia memuja jin.

Disebabkan janji iblis pada Allah untuk menyesatkan manusia seperti yang disebut di dalam surah al‑A'raaf ayat 16-17, bermaksud, Iblis berkata: Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

Dengan alasan itu iblis terus menyesatkan manusia setelah dihalau keluar dari syurga kerana keengganannya sujud pada nabi Adam. Di bumi, iblislah yang mengajar jin bagaimana untuk menguasai manusia. Dialah yang mengajar kepada jin ilmu tentang kebal, kekuatan, pendinding, perdukunan, perbidanan dan rawatan.

Perjanjian manusia dan jin pun bermula. Jin berjanji akan membantu orang yang memujanya termasuklah menjaga rumah keluarga, jadi kebal menjadi pendekar, hulubalang atau orang yang hebat serta luar biasa.

Orang Melayu, apabila ia berdamping dengan jin mereka memberinya nama mengikut tugasan yang diberikan seperti polong, puntianak, hantu raya, toyol dan lain-lain lagi. Tapi sebenarnya itu semuanya adalah jin yang termasuk di dalamnya syaitan dan iblis. Ia jelas disebut di dalam surah al-Khafi ayat 50, “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat; Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin maka ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya."

Jin itu pula ada beberapa jenis iaitu yang duduk di langit, tanah, sungai, pokok semuanya berbeza fungsinya. Ada juga orang dahulu-dahulu hendakkan cantik, ketika itulah iblis datang mencucuk dan memberi ilham kepada manusia dalam bentuk mimpi. Maka bermimpilah orang itu berjumpa seorang puteri di Gunung Ledang atau sebagainya. Maka di dalam mimpi itu dikatakan bahawa ada barang yang disorokkan di satu-satu tempat maka disuruh mengambilnya tapi bersyarat. Apabila syarat itu dituruti maka jin itu akan meresap ke dalam tubuh dan ia akan bergerak mengikut aliran darah. Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya syaitan itu meresap masuk di dalam diri manusia itu menerusi aliran darahnya." (HR Bukhari dan Muslim).

Dan situlah jin membiak di dalam diri anak Adam. Harus maklum bahawa pembiakan jin ini berbeza dengan pembiakan manusia. Jika manusia mesti ada pasangan dan pernikahan dan boleh melahirkan zuriat tetapi jin tidak begitu. Di dalam hadis juga ada disebutkan, jin juga beranak pinak sebagaimana halnya anak Adam bahkan jumlah mereka jauh lebih banyak.

Begitu juga halnya dengan syaitan, mempunyai keturunan dan Allah mengecam golongan manusia yang menjadikan keturunan syaitan sebagai pemimpin. Hal itu secara jelasnya disebut di dalam surah al-Khafi ayat 50 bermaksud, "..Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) bagi orang-orang yang zalim."

"Di situ memang sudah jelas bahawa jin mempunyai keturunan dan beranak pinak. Jin akan membiak apabila terangsang dengan sikap manusia walaupun sekadar mengatakan bersetuju untuk didampingi. Perasaan gembira kita menerima pendamping itu pun sudah cukup untuk menyebabkan jin itu terangsang maka ia membiaklah," 

Jin juga boleh membiak apabila manusia seronok dengan maksiat, terhibur dengan majlis tari-menari, pesta-pesta dan bersorak kegembiraan. Maka ketika tepuk sorak manusia bergema, itulah saatnya jin terangsang dan ia akan membiak. Begitu juga halnya dengan pergaduhan adik-beradik, suami isteri dan perkelahian akan membantu jin. Tenaga atau getaran yang dikeluarkan dari pergaduhan itu akan menyebabkan jin beranak pinak.

Selain itu sikap, tingkah laku dan perbuatan seharian yang negatif adalah pil kesuburan untuk jin terus membiak. Setiap sesuatu yang disarankan Rasulullah agar jangan marah, bertelagah, tergesa-gesa, waswas dan semua sifat negatif ada sebabnya. Salah satu sebabnya adalah untuk mengelakkan jin itu terus membiak di dalam badan manusia.

SAKA ITU SEPERTI DNA

Saka ada tiga jenis iaitu yang diwarisi dari keturunan, saka yang dipelajari dan saka dari sihir yang tidak dibuang. Saka boleh datang dengan mempelajari silat kebatinan, ilmu perdukunan, perbidanan, mengurut dan mengandam. Kebanyakan silat memang ada saka mengikut ritual yang dijalankan.

Saka juga boleh datang apabila seseorang kena sihir. Hal itu terjadi apabila sihir itu tidak dibuang, lama kelamaan ia akan menjadi saka. Misalnya kena santau berubat tetapi tidak dihabiskan. Jin santau itu yang sudah beranak pinak di dalam badan akan masuk ke dalam aliran darah akan dipindahkan pula kepada anak dan generasi yang seterusnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bahawa jin itu masuk ke dalam badan manusia melalui aliran darah. Jadinya apabila jin sudah berada di dalam badan maka ia akan mengikut peredaran darah kita ke seluruh badan. Aliran darah itu umpama lebuh raya bagi jin. Seperti mana lebuh raya yang ada R&R, maka aliran darah itu pun ada benda yang sama. Bagi aliran darah, R&R adalah organ penting, kelenjar dan nadi yang terdapat pada seluruh badan. Pada titik itulah syaitan atau jin akan duduk kerana pada tempat itu ada getaran.

Yang pastinya apabila jin bersarang di organ penting, ia akan menimbulkan kepincangan fungsi organ. Jin akan menguasai tubuh badan manusia menerusi organ yang menjadi sarang. Misalnya jika ia duduk di bahagian pankreas maka akan terjadi kencing manis. Begitu juga halnya jika duduk pada kelenjar maka ia akan mengganggu hormon. Manakala di jantung akan menyebabkan sakit jantung dan singgah di payu dara akan menjadi kanser. Begitulah hal seterusnya amat licik permainan jin itu.

Sebagaimana yang telah diterang­kan pada awal tadi, jin itu masuk ke dalam tubuh manusia melalui aliran darah. Maka apabila anak-anak Adam itu berkahwin dan mempunyai zuriat maka jin itu secara tidak langsung akan diturunkan kepada generasi seterusnya. Ia seumpama genetik yang boleh diturunkan daripada nenek moyang hinggalah kepada anak cucu dan cicit.

"Jin itu akan diturunkan kepada keturunan kita secara spontan tanpa ada persetujuan waris atau syarat. Selama ini ramai yang menyangka, saka itu tidak akan melekat kepada waris jika dia menolak untuk menjadi tuannya. Sebenarnya anak pinak jin itu sudah pun mendiami tubuh keturunan manusia yang mempunyai saka sejak awal lagi. Meminta tuan itu hanya sebagai tipu helah saja.

"Ia diturunkan kepada anak cucu dan cicit tanpa disuruh atau dipaksa. Saka itu ada pada semua keturunan nenek moyang yang pernah berjanji setia dengan jin. Hanya yang mengelirukan apabila jin itu bermain-main dengan meminta tuan pada anak sulung. Saka itu akan diwarisi segenap keturunan pemiliknya sampai kiamat jika tidak dibuang," terangnya.

Bagi yang merasakan saka itu karut dan ingin terus menyimpannya kerana tidak mendatangkan mudarat, iblis tidak akan pemah putus asa untuk menyesatkan manusia. Itu janji yang termaktub di dalam al-Quran. Mungkin hari ini tidak nampak kesannya walaupun sedar di badan mempunyai saka. Kita masih lagi boleh beribadat, tidak pernah tinggal solat, alim, tok guru, tok imam tapi kita tidak menyedari bahawa iblis mencucuk jarumnya perlahan-lahan.

Mungkin bukan hari ini ataupun tahun depan. Bagaimana kalau ia terjadi di saat kematian datang menjemput? pada pengakhiran hidup ini apabila tua, jatuh sakit dan membawa kepada strok kemudian sakit tua hingga nyanyuk. Apabila nyanyuk, koma dan strok ketika tua nanti bila masanya kita hendak beribadat dan mengucap? 

Akhir kalam, bukankah kita akan sesat kerana tidak mampu lagi mengucap Yang menjadi kuncinya adalah pada akhir hidup kita, sesat itulah tujuan iblis. Walaupun ulama besar, imam, tok guru tetapi pada akhir kehidupan terlantar koma. Jadi, bila masanya kita hendak mengucap ketika hendak menghadap Allah. 

Memang benar ada yang mengatakan bahawa orang strok pun boleh mendengar apabila diajar mengucap. Masalahnya, bolehkah kita pastikan bahawa dia juga turut mengucap seperti yang diajarkan. Itulah sebenarnya permainan syaitan untuk menyesatkan manusia pada saat kematian.

"Seperkara lagi yang amat membimbangkan dewasa ini, menularnya penyakit kanser. Saya percaya bahawa kanser adalah satu penyakit moden yang ada hubung kaitnya dengan saka. Ia memang berasas, jika kita kaji semula kebolehan jin yang boleh menjelajah ke langit untuk mencuri dengar berita dari langit. Hanya setelah Rasulullah diutus barulah aktiviti itu terhalang.

"Dengan pengetahuan itulah mereka menjadikannya senjata untuk menyesatkan manusia. Tidak mustahillah jika jin sudah mengetahui hal yang akan berlaku pada masa akan datang. Iblis tahu pada akhir zaman nanti ada satu teknologi moden dalam bidang perubatan iaitu kimoterapi. Dan pengetahuan itulah jin saka itu mencipta satu penyakit yang boleh dirawat dengan kimo.

"Memanglah kimo itu untuk membunuh sel kanser tapi bukan sekadar itu, ia juga membunuh sel yang sihat. Apabila semua sel sihat pun mati, apa lagi yang tinggal? Tidak ada apa-­apa. Akhirnya kimo membawa pada keadaan yang menyedihkan iaitu koma dan meninggal. Soalnya sempatkah kita mengucap saat nyawa dicabut? Jika tidak, faham-faham sajalah. Itulah sebabnya saka itu harus dibuang agar di akhir hayat nanti ia tidak akan menyesatkan kita.

TANDA-TANDA ORANG YANG MEMPUNYAI SAKA

  • Menderita penyakit yang tidak ada punca. Sakit tetapi apabila pergi ke hospital doktor kata tidak sakit. Begitu juga halnya dengan sakit jantung tanpa diketahui puncanya tiba-tiba dapat serangan jantung.

  • Sakit yang dideritai berpanjangan dan berulang‑ulang. Misalnya gastrik, kencing manis, darah tinggi, migrain yang tidak akan sembuh dan kekal di dalam badan penghidapnya. Hilang hanya seketika kemudian datang semula.

  • Menderita penyakit misteri yang berpanjangan. Asyik terkena sihir saja, nampak sihat tetapi sebenarnya sedang sakit. Ada ketikanya tidak boleh tengok matahari, sentiasa hendak tidur, lemah, lesu dan sakit pada badan yang tidak diketahui sebabnya.

  •  Penyakit keturunan seperti kemurungan, gout dan gila.

  • Jodohnya panas. Bertunang putus, susah dapat jodoh, ada orang suka tetapi akhirnya tidak jadi, kadang­kadang sama-sama suka tapi akhirnya tidak jadi kahwin. Semua itu ada kaitannya dengan saka, ia mengganggu perasaan orang lain.

  •  Sukar mendapat zuriat, kadang-kadang sudah kahwin bertahun-tahun tetapi masih tidak mendapat cahaya mata. Apabila saka itu sudah ada di dalam badan maka ia tidak mahu berkongsi dengan orang lain apabila sudah dapat makan dari tubuh manusia. Ada yang boleh mengandung, tetapi sering keguguran, biasanya dari pengalaman mengatasi masalah saka biasanya perempuan yang menghadapi masalah itu berhadapan dengan saka jin nenek. Anak hilang di dalam kandungan itu juga disebabkan oleh saka itu dinamakan saka bunian atau saka kayangan, ia jenis hanuman.

  • Mempunyai emosi yang tidak stabil, sering beremosi, / cepat merajuk, cepat marah, sensitif yang keterlaluan, cemburu keterlaluan dan cepat naik angin.

  • Jauh daripada Allah, semakin lama makin liat untuk melakukan ibadat. Ada juga kes yang apabila diberi sepotong ayat al-Quran dan zikir untuk diamalkan mereka tidak mampu mengamalkannya, rasa panas, malas, mengantuk sangat hingga tidak mampu melakukannya.

  • Di dalam keluarga ada anak-anak yang sangat nakal, kecil-kecil sudah melawan orang tua dan terlalu degil.

  • Salah satu tanda lelaki yang mempunyai saka ialah isteri orang sangat tertarik kepadanya dan bukan anak dara. Lelaki itu dipandang manis, sekali pandang sudah terpikat terutamanya isteri orang. Itu semuanya kerja saka, jika berjaya maka satu kejayaan besar bagi iblis memporak-perandakan rumah tangga anak Adam. Berhati-hati dengan lelaki yang mempunyai daya penarik!

Friday, November 8, 2013

BELAJAR ILMU LADUNI DARIPADA NABI KHIDIR A.S. ...

Gambar hiasan...

Dalam al-Quran, terdapat satu kisah pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari ilmu laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini. Kisah ini diabadikan oleh Allah s.w.t.  dalam surah Al-Kahfi  bermula ayat 60-82. Menurut Imam al-Razi dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s. bertanya kepada Allah s.w.t., adakah terdapat manusia yang lebih alim dari baginda. Lalu Allah s.w.t. berfirman bahawa ada seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir. Nabi Musa a.s. lalu memohon kepada Allah s.w.t. untuk bertemu dan belajar daripada Khidir. Para ulama berselisih pendapat tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan beliau adalah wali Allah. Namun majoriti berpendapat bahawa beliau salah seorang nabi.  

PERJALANAN MUSA YANG JAUH UNTUK BERTEMU KHIDIR


Kita mulakan kisah ini dengan meneliti  firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Kahfi, ayat 60, “Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan; atau aku akan terus berjalan sampai bertahun-tahun .”

Ayat di atas menceritakan beberapa syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah bersungguh-sungguh dan kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh nabi Musa a.s. Baginda berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir. Syarat kedua, sifat merendah dan tawaduk. Walaupun Musa sudah bergelar rasul dan mempunyai murid dan pengikut yang ramai, baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang nabi yang bukan bertaraf rasul. Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah rahsia dan tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah s.w.t.  Nabi Musa hanya diperintahkan membawa bekalan dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan antara dua laut yang baginda sendiri tidak tahu di mana dan bila.

Ketiga-tiga syarat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan nabi Khidir bukan semudah yang di sangka . Hatta nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah s.w.t. bertemu dengan nabi Khidir. Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu dikunjungi nabi Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang ada pada orang itu. Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada sifat mujahadah dalam melawan hawa nafsu, maka dakwaan tersebut perlu dinilai semula.


TITIK PERTEMUAN MUSA DAN KHIDIR SUATU YANG RAHSIA

Kita sambung kisah seterusnya dengan meneliti firman Allah s.w.t. dalam ayat 61-65, “Maka ketika mereka berdua sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka berjalan melampaui tempat itu, berkata lah Musa kepada muridnya, “Bawalah ke mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan kita ini.” Muridnya menjawab, “ Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa  (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Musa berkata, “Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikut jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.”

Ayat di atas mengisahkan dugaan-dugaan di hadapi oleh Musa dalam perjalanannya untuk bertemu Khidir. Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup melompat berenang ke laut. Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yushak bin Nun. Malangnya, syaitan telah menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada nabi Musa.

Lalu mereka meneruskan perjalanan yang jauh sehingga nabi Musa sekali lagi keletihan. Kejadian ini menunjukkan pertemuan dengan nabi Khidir bukan sahaja akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan , malah syaitan akan turut datang untuk menggagalkannya. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa sering bertemu dengan nabi Khidir tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan, maka kita perlu bertanya adakah yang datang itu benar-benar nabi Khidir atau syaitan yang cuba memesongkan kita? Sama-sama kita fikirkan.

SYARAT UNTUK BELAJAR DARI KHIDIR

Kisah ini diteruskan dengan firman Allah s.w.t. dalam ayat 66-70, “ Musa berkata kepada hamba Allah itu, “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu dari apa yang telah Allah ajarkan kepada kamu?” Jawab hamba Allah itu, “Sesungguhnya kamu Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu.” Musa pun menjawab, “Insya-Allah kamu akan mendapati aku seorang yang sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan pun. Hamba Allah itu berkata, “Jika kamu mengikutku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.”

Dari ayat di atas, terdapat perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan Khidir yang tegas menyatakan, Musa tidak akan mampu bersabar dengannya. Dialog ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha dengan apa yang terjadi. Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan hal ini. Jika nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat yang hebatpun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat cetek ilmu.  Jika nabi Musa yang dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara terus dengan Allah s.w.t. pun dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana pula dengan kita yang sering mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah s.w.t. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi sabar dan redha, maka kita perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar nabi Khidir.

UJIAN PERTAMA : KHIDIR MEROSAKKAN KAPAL

Dilanjutkan kisah ini dengan firman Allah s.w.t. dalam ayat 71-73: “Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki bahtera lalu Khidir melubanginya. Musa berkata: “Mengapa kamu melubangi bahtera itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpang nya?  Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.” Dia (Khidir) berkata, “Bukankah aku telah berkata, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.” Musa berkata, “Janganlah kamu menghukum aku kerana kealpaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.”

Ayat ini membuktikan kebenaran peringatan awal yang diberikan oleh Khidir kepada Musa. Tindakan aneh Khidir memecahkan dinding bahtera milik nelayan yang ditumpangi secara percuma itu menimbulkan persoalan di hati Musa. Sebab itulah Musa telah diberi peringatan agar berdiam diri dan merahsiakan sahaja apa yang terlintas di hati. Kisah ini sebenarnya memberi pengajaran bahawa seseorang yang dikurniakan ilmu laduni perlu bersabar dan menahan diri dari mempersoalkan apatah lagi bercerita tentang keajaiban dan keanehan ilmu kepada sesiapa. Oleh itu, sekiranya kita mendakwa memperolehi ilmu laduni dan asyik menceritakannya kepada orang, maka kita perlu bertanya adakah benar itu ilmu laduni? Sama-sama kita fikirkan.


UJIAN KEDUA : KHIDIR MEMBUNUH KANAK-KANAK

Kisah tersebut disambung Allah s.w.t. melalui firman-Nya dalam ayat 74-76, “Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: “Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar .” Khidir berkata, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku?” Musa berkata, “Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau memperbolehkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.”

Jika tadi Musa diuji oleh Khidir dengan kerosakan pada harta, sekarang Musa diuji pula dengan pembunuhan yang dilakukannya ke atas seorang kanak-kanak. Sebagai seorang nabi yang memahami syariat, Musa dengan lantang bertanya Khidir tentang perkara itu. Lantas Khidir mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya. Begitulah ujian demi ujian yang harus dilalui oleh seseorang yang ingin mendapatkan ilmu dan hikmah dari nabi Khidir. Sabar dan redha sebenarnya kunci kepada ilmu laduni. Justeru, seharusnya kita fikirkan adakah tahap kesabaran kita mencapai tahap kesabaran nabi Musa yang tergolong dalam salah seorang rasul yang mempunyai keazaman yang teguh (ulul Azmi)?

UJIAN KETIGA : KHIDIR MEMBAIKI TEMBOK

Allah s.w.t. seterusnya berfirman dalam ayat 77-78, “Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata, “Jikalau kamu mau, nescaya kamu mengambil upah untuk itu.” Khidir berkata, “Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Dalam kejadian terakhir ini, kedua-duanya tiba di sebuah desa dalam keadaan tersangat letih, haus dan lapar. Mereka berdua meminta makanan daripada penduduk desa itu, tetapi penduduk desa enggan menjamu mereka. Dalam keadaan itu, Khidir berusaha membina semula dinding sebuah rumah yang hampir roboh di desa itu. Perbuatannya membuatkan Musa kehairanan lalu bertanya mengapa tidak diambil upah atas kerjanya itu. Peristiwa ini menunjukkan seorang yang ingin berguru atau bersahabat dengan Khidir mestilah mempunyai sifat ikhls yang tinggi. Dia seharusnya tidak menjadikan sikap buruk seseorang sebagai penghalang untuk dia berbakti kepada orang lain. 

Apa yang diharapkannya hanyalah keredhaan Allah s.w.t., bukannya habuan dunia. Ada ulama mengatakan, pertanyaan Musa kepada Khidir tentang kejadian pertama (merosakkan bahtera) dan kejadian kedua (membunuh kanak-kanak) masih boleh dimaafkan oleh Khidir kerana Musa buat demikian demi kebaikan umat dan berlandaskan hukum syariat. Namun, apabila Musa mempersoalkan bayaran upah atas kerja yang dilakukan, pertanyaan tersebut mempunyai unsur keduniaan dan kepentingan diri. Pertanyaan itulah yang menjadi titik pemisah antara mereka berdua. Oleh itu bagi seseorang yang benar-benar belajar ilmu laduni dari nabi Khidir, sudah pasti dia dapat memahami dan mengerti akan makna sebenar ikhlas dan ihsan.

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEROSAKKAN BAHTERA

Bagi menghuraikan rahsia perbuatan nabi Khidir, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 78-79. “Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut dan aku sengaja merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.”

Perbuatan Khidir merosakkan bahtera nelayan merupakan salah satu cabang ilmu laduni yang berupa kasyaf. Dengan kurniaan tersebut, Khidir dapat melihat apa yang sedang berlaku di pelabuhan yang jauh dari lokasi mereka berada. Khidir melihat setiap bahtera yang sampai di pelabuhan tersebut diperiksa oleh raja. Bahtera-bahtera yang berkeadaan elok akan dirampas, manakala bahtera yang rosak dan berlubang akan dibiarkan. Oleh sebab itu, Khidir sengaja melubangi bahtera itu agar raja tidak akan merampasnya.

Di kalangan ahli sufi, kasyaf ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga seseorang mampu melihat apa yang sedang berlaku di satu tempat yang jauh dari tempat ia berada. Saidina Umar r.a. pernah dikurniakan kasyaf ini sehingga beliau dapat melihat tentera Islam yang berada kira-kira 500 km dari Madinah dalam keadaan bahaya. Bagaimanapun, kasyaf sebegini hanya terjadi sekali sekala dan tidak boleh diprogramkan. Oleh kerana itu, pada malam Saidina Umar dibunuh, beliau tidak nampak musuh yang hendak menikamnya walaupun musuh itu berada di belakang beliau.

Sekiranya seseorang dikurniakan kasyaf sebegini, ia perlu disembunyikan dan tidak boleh dihebahkan. Itulah yang ditunjukkan oleh nabi Khidir a.s. Baginda tidak menceritakan apa yang dilihatnya kepada Musa sehingga menyebabkan Musa tidak dapat bersabar atas tindakkannya itu. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mendakwa dikurniakan kasyaf dan ia dihebah-hebahkan kepada orang lain, itu menandakan kasyaf tersebut bukan ilmu laduni, tetapi adalah kasyaf dari jin dan syaitan.

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEMBUNUH BUDAK

Allah s.w.t. mengungkapkan rahsia seterusnya dalam ayat 80-81, “Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan Kami menghendaki supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapaknya)”

Dalam kejadian ini, nabi Khidir dikurniakan kasyaf sehingga dapat melihat apa yang akan berlaku di masa lepas dan masa hadapan. Ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga boleh melihat merentasi masa. Menurut Imam al-Khazin dalam kitabnya Lubab al-Ta’wil fi Ma’ni Al-Tanzil, budak yang dibunuh nabi Khidir a.s. bernama Haisur. Ibu dan bapanya adalah orang yang soleh. Dengan izin Allah s.w.t. Khidir dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh budak ini pada masa lepas dan masa akan datang. Budak ini selalu mencuri dan apabila dewasa, dia akan menjadi kafir dan memaksa kedua-dua orang tuanya kepada kekufuran. Peristiwa ini menunjukkan, Khidir a.s. adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam soal iman dan akidah. Baginda tidak akan membiarkan seseorang memaksa seorang yang lain melakukan kekufuran. Oleh itu sekiranya seorang yang mendakwa dirinya dikurniakan ilmu laduni  dengan tujuan untuk bermegah dan menunjukkan kehebatan diri, sudah pasti orang itu akan dihukum oleh nabi Khidir lantaran perbuatan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu sebahagian dari perbuatan kufur.  

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEMBINA SEMULA TEMBOK

Berkenaan rahsia tembok, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 82, “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya seseorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Apa yang diungkapkan Khidir menunjukkan, pengetahuan baginda tentang sesuatu yang ghaib adalah kurniaan secara langsung daripada Allah s.w.t. Ini adalah bukti bahawa ilmu laduni tidak boleh dipelajari atau diwarisi. Ia dikurniakan terus dari Allah s.w.t. untuk hamba-hamba-Nya yang mempunyai sifat ikhlas hati dan kesabaran yang tinggi. Sesiapa yang mendakwa dapat mempelajari ilmu laduni dari seseorang, sesungguhnya dakwaan tersebut adalah batil.

Demikianlah pelajaran dan pengajaran yang didapati dari kisah pengembaraan nabi Musa dan nabi Khidir. Walaupun kelihatan seolah-olah Musa gagal memperolehi ilmu laduni, sebenarnya tidak begitu. Hasil ujian yang dilalui Musa ketika bersama Khidir, baginda dikurniakan kasyaf yang istimewa iaitu dibukakan hijab pandangan batin sehingga dapat melihat kekurangan diri sendiri seperti rasa besar diri, gopoh, kurang mujahadah, kurang syukur, kurang keyakinan kepada Allah s.w.t. dan pentingkan diri. Hasilnya, Allah s.w.t. kurniakan ilmu laduni yang lebih istimewa secara terus ke dalam hati baginda iaitu sifat tawadduk, sabar, mujahadah, ikhlas, syukur, tawakal, redha dan muhabbah.

Sifat-sifat tersebut lebih penting kerana ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Ia lebih bernilai berbanding mendapat ilmu kasyaf suwari (iaitu kebolehan melihat gambaran sesuatu yang telah atau akan berlaku) yang hanya bersifat duniawi. Inilah yang dianjurkan dalam Islam agar kita dapat mengenal kekurangan diri memperbaikinya agar menjadi hamba Allah yang benar-benar bertakwa.

Berdasarkan kisah ini, para ulama tasawuf mengatakan sekiranya seseorang ingin memperbaiki hati yang rosak dan dipenuhi sifat mazmumah, maka dia perlu mencari seorang guru mursyid yang memahami syariat dan hakikat. Mudah-mudahan guru tersebut dapat membantu kita mengenalpasti kekurangan diri dan membimbing proses pembersihannya (tazkiyah an-Nafs). Apabila hati telah bersih, maka mudahlah cahaya ilmu Allah untuk menyuluh masuk. Apabila cahaya ini sudah menerangi hati, maka ia akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dikurniakan kepada nabi Musa a.s. Itulah sebahagian cahaya dari pelbagai cahaya ilmu laduni milik Allah s.w.t yang sebenar.

Oleh Dr. Mahyuddin b. Ismail
Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang.
Majalah Al-Islam 10/2012

Wednesday, November 6, 2013

POKOK KRISMAS POKOK DERHAKA?...

Pokok Krimas...

Tiap kali tibanya tarikh 25 Disember pada setiap tahun, maka pokok yang dirimbuni dengan dedaun melebar di awal pangkalnya dan meruncing di hujung pohon, pasti menjadi tarikan mata memandang bukan sahaja kerana dedaunan hijau itu yang memukau pandangan mata, bahkan apabila dihiasi dengan kerlipan cahaya, menambahkan keasyikan melihatnya. Itulah pokok indah yang dikenali dengan nama pokok krismas.

Namun kenapa pokok itu yang dipilih? Terlalu istimewakah pokok tersebut dalam putaran kalendar walhal banyak lagi pokok yang menghijau menghiasi alam muka bumi ini. Allah menciptakan pelbagai jenis pokok dengan pelbagai bentuk dan ukur lilit yang berbeza-beza. Semuanya tidak diciptakan dengan sia-sia bahkan ada kegunaannya.

Sebagaimana pokok yang dihias cantik ini, begitu jugalah pokok-pokok lain yang mempunyai fungsi dan peranan tersendiri. Tapi kenapa pokok hijau yang meruncing itu tetap menjadi pilihan?

Sebelum jawapan ini dijawab, pokok ini juga pernah mencatat peristiwa tragis sehingga membawa gelaran sebagai pokok derhaka! Apa puncanya? Diceritakan, pokok  yang meruncing di hujungnya itu, adalah pokok yang dijadikan sebagai kayu pembakar Nabi Ibrahim a.s. ketika zaman pemerintahan Raja Namrud. Dan kerana atas sebab itu, pokok tersebut dilihat seolah-olah ‘mengkhianati’ seorang yang amat mulia di sisi Allah yang dilantik sebagai nabi.  

Namun di sebalik cerita-cerita yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi, timbul pula persoalan apakah benar pokok itu yang dikatakan sebagai pokok yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Atau ia hanya sekadar dakwaan?

Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, Pegawai Dakwah, Islamic Information Servises and Foundation (IIS) ada jawapannya. Menurutnya, antara pokok Krismas dan pokok derhaka, kedua-duanya tiada kena mengena dengan peristiwa membakar Nabi Ibrahim a.s. suatu ketika dahulu.

Ujarnya, ketika zaman Nabi Ibrahim a.s., pokok Krismas atau pokok pine tidak pernah wujud ketika itu. Apatah lagi, Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di selatan Iraq yang hanya di penuhi dengan pokok buah kurma dan buah zaitun yang tumbuh melata.

Bahkan, dalam ajaran Kristian, tidak ada sebarang tulisan, ajaran mahupun kepercayaan mengenai Nabi Ibrahim a.s. dibakar dengan pokok pine. Pokok ini wujud setelah ribuan tahun Nabi Ibrahim a.s. wafat dan mungkin kisah kayu api yang digunakan bukan berasal dari pokok pine. Sebaliknya ia hanyalah andaian sesetengah orang sahaja.

Engku Ahmad turut berhujah, pokok Krismas juga bukanlah diambil dari nama asal pokok tersebut. Tetapi ia pada awalnya dikenali sebagai pokok pine atau evergreen. Namun setelah tujuh tahun ‘kematian’ Nabi Isa a.s., muncul seorang lelaki yang dikenali sebagai St. Paul mengambil alih tempat Nabi Isa a.s. sebagai pemimpin dan menyebarkan agama Kristian. Ketika itu kebanyakan pengikutnya bukanlah mereka yang berbangsa Yahudi sebaliknya mereka yang tidak mempunyai agama dan tidak pernah menyembah Tuhan sebelumnya.

KENAPA POKOK PINE JADI PILIHAN?

Percaya atau tidak hakikatnya, tiada satu suruhan pun di dalam Bible yang mewajibkan pengikut-pengikutnya menjadikan pokok pine atau Krismas sebagai satu kemestian. Ujar Engku Ahmad, ia jelas sebagaimana yang tertera dalam kitab Bible, dalam Yeremia bab ke 10 ayat ke dua hingga empat yang bermaksud, “Dia berfirman: “Jangan ikut kebiasaan bangsa-bangsa lain, jangan gentar melihat tanda-tanda yang luar biasa di langit, walaupun bangsa-bangsa lain takut.  Agama bangsa-bangsa itu tidak berguna sama sekali. Orang lain menebang sebatang pokok kayu di hutan:’ lalu tukang kayu mengukir batang pokok itu dengan pengukir. Kemudian dihiasi nya dengan emas dan perak. Kayu yang berukir itu ditegakkan dengan paku yang menahannya daripada terjatuh.”

Namun semua itu berubah apabila pada kurun ke tujuh, seorang Paderi yang bernama St. Boneface mengajar penganut agama Kristian tentang kepercayaan agama mereka dengan menggunakan pokok pine sebagai simbol untuk menggambarkan konsep trinity sebagaimana dalam ajaran Kristian. Sejak itu juga mereka percaya lambang tiga segi yang terdapat pada bentuk pokok pine melambangkan Tuhan bapa, Tuhan anak dan juga ruhul kudus. Hal demikian menarik minat bangsa Jerman dan menganggap pokok itu sebagai suci.

Transformasi terus berlaku apabila pada kurun ke 12, Kristian Jerman mula memberikan nama terhadap pokok pine sebagai pokok Krismas. Kepercayaan mereka semakin teguh apabila paderi Martin Luther mula melakukan perubahan dengan menghias pokok Krismas tersebut. Hiasan berkenaan dianggap sebagai bintang-bintang yang menyinari kehidupan mereka ketika di syurga nanti.

Manakala bintang yang diletakkan di puncak pokok tersebut membawa maksud bintang Bethelahem yang muncul ketika Jesus lahir di Bethelahem. Ada juga sesetengah penganut Kristian yang meletakkan patung ‘angle’ pada puncak itu sebagai simbolik malaikat yang menyambut kelahiran Tuhan Jesus mereka.

Sementara itu, mereka juga percaya pokok Krismas adalah pokok syurga lalu menghias pokok syurga ini dengan epal yang dikatakan buah larangan kepada Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa. Namun hari ini buah epal tersebut hanya digantikan dengan hiasan bulat-bulat merah. Pokok yang meruncing di atasnya itu kemudiannya dihiasi pula dengan lampu kelip-kelip, kad-kad ucapan dan sebagainya, demi memeriahkan lagi perayaan Krismas mereka.

Bukan itu sahaja, Marthin Luther turut membawa maksud baru pada lambang trinity yang ada pada pokok berkenaan dengan beranggapan segi tiga itu juga membawa simbol tunjuk ke langit dan terus menghadap syurga.  

Jika begitu, kenapa pula pokok Krismas perlu di letakkan di dalam rumah setiap kali tibanya perayaan Krismas? Menurut kepercayaan penganut Kristian, kelahiran Jesus diiringi dengan bintang dan malaikat. Mereka juga percaya Jesus dilahirkan dalam buaian yang berada di dalam rumah. Justeru pokok tersebut perlu diletakkan di dalam rumah sebagai menandakan buaian Jesus.

JANGAN IKUT CARA AGAMA LAIN

Justeru, apakah kerana kepercayaan itu maka umat Islam dilarang meletakkan pokok berkenaan di dalam rumah atau menanamnya? Menjawab persoalan ini, Engku Ahmad menjelaskan, menanam pokok hiasan seperti pokok pine sempena hari Krismas atau tidak, tidak ada disebut di dalam al-Quran mahupun sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu tidaklah menjadi kesalahan di sisi agama Islam jika menanamnya untuk tujuan lain seperti hiasan landskap, tempat berteduh, mencantikkan kawasan persekitaran dan sebagainya. Namun tegasnya, hukumnya menjadi haram andai pokok pine ditanam untuk memuliakan sambutan hari Krismas.


“Kalau hendak ditanam juga, tanam sahajalah pokok pine itu di luar rumah  ataupun di dalam rumah. Tapi, jangan pula ia dihiasi dengan hiasan-hiasan yang biasa digunakan oleh masyarakat Kristian. Kita bimbang, tujuan asal untuk hiasan itu boleh bertukar menjadi perasaan bermegah-megah dengan kepercayaan penganut Kristian”

Umat Islam perlu mengekalkan identiti, jati diri dan keperibadian mereka.  Apa yang dirisaukan akan menimbulkan fitnah dan tanda tanya daripada masyarakat sekeliling. Tidak semua orang memahami apa yang kita fikirkan. Walau apa sekali pun, niat seseorang itu mesti jelas.

“Tidak salah untuk kita berhias sekalipun menggunakan pokok pine kerana Allah juga sukakan keindahan. Namun jangan pula terikut-ikut akan kepercayaan penganut Kristian dalam meraikan ‘perayaan’ mereka,” ujar Engku Ahmad.

Hakikatnya meniru cara dan gaya hidup apatah lagi apabila membabitkan kepercayaan agama sesuatu penganut selain Islam amat di larang. Hal ini jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis, diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri  r.a. katanya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kamu pasti akan mengikuti sunnah (cara) orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal , sehasta demi sehasta. Sehinggakan jika mereka masuk ke dalam lubang dhob sekalipun, kamu tetap akan mengikuti mereka. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang kamu maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani?” Baginda bersabda, “Kalau bukan mereka, siapa lagi?” – Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

Justeru dalam hal ini Engku Ahmad menasihati khususnya umat Islam agar peka dengan sesuatu isu khususnya yang melibatkan soal pegangan dan kepercayaan lebih-lebih lagi yang menyentuh unsur-unsur persamaan di antara Islam dengan Yahudi dan Kristian. Nasihat Engku Ahmad, ingat pesan Rasulullah s.a.w.  “Hendaklah kamu semua berbeza daripada mereka.”  

SEKILAS LALU TENTANG KEPERCAYAAN 
POKOK KRISMAS OLEH PENGANUT KRISTIAN 


  • Daun yang sentiasa menghijau melambangkan kesuburan alam yang tidak pernah luntur walaupun bukan pada musim sejuk.
  • Hiasan merah setiap kali perayaan Krismas membawa simbolik semangat kerohanian penganutnya. Begitu juga dengan baju yang dipakai oleh 'Santa claus' yang berwarna merah.
  • Dikatakan pokok syurga dan dihiasi dengan pelbagai lampu warna-warni melambangkan keindahan di dalam syurga.

Oleh Nur Hasyimah Othaman
Majalah Al-Islam 10/2012.

Tuesday, November 5, 2013

8 TIPS MEMANDU KETIKA HUJAN...

Sekarang musim hujan. Sekolahpun dah nak bercuti panjang, ramai ibu bapa yang telah merancang untuk membawa anak-anak mereka berjalan dan melancung di dalam ataupun di luar Negara. Bagi yang berada, mungkin mereka lebih berminat keluar Negara. Tapi!!! tak kisahlah, ikut kemampuan masing-masing, yang penting, happy dan enjoy.

Bagi yang merancang nak melancung di dalam Negara dengan menaiki kereta, perlulah berhati-hati kerana hujan yang melanda Negara sejak 3 minggu yang lalu boleh menyebabkan perjalanan kita tergendala dan merbahaya terutama bagi mereka yang kurang berpengalaman memandu di dalam hujan lebat.

Jika kebetulan, semasa kita hendak memulakan perjalanan atau semasa kita sedang memandu menuju kedestinasi, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya, 8 tips di bawah ini boleh dijadikan panduan untuk kita mengelak dari berlakunya kemalangan. 

1.  Elakkan menekan brek apabila kereta tergelincir- Ini boleh menyebabkan kereta terbabas. Cara terbaik ialah kawal pemanduan menggunakan stereng, namun ia hanya berkesan untuk kereta yang dipandu perlahan sahaja. 

2.  Kurangkan memandu di lorong paling kanan bagi mengelakkan percikan air apabila kenderaan dari arah berlawanan melalui lopak air. Ini bagi mengelakkan percikan air berkenaan menghalang pandangan ke depan, dan ia boleh menyebabkan risiko kemalangan meningkat sekiranya memandu laju.

3. Jika keadaan hujan semakin lebat dan keadaan gelap dan kabus mengganggu penglihatan, berhenti seketika di kawasan rehat bagi mengelakkan kecelakaan atau kemalangan.

4. Jangan memandu mengekori terlalu rapat dengan kereta hadapan. Ini akan membantu kita lebih bersedia untuk berhenti sekiranya kenderaan berkenaan menekan brek secara mengejut.

5. JANGAN menyalakan lampu kecemasan(hazard), kerana lampu itu sepatutnya dinyalakan apabila BERHENTI sahaja.

6. Selepas meredah jalan yang dinaiki air, elakkan memandu laju kerana ia boleh menyebabkan bahagian enjin dimasuki air, begitu juga dengan penunggang motosikal dan pejalan kaki yang akan terkena tempias atau percikan air.

7. Selepas meredah jalan dinaiki air, elakkan terus memandu laju kerana sistem brek tidak berfungsi sepenuhnya berikutan permukaan brek yang basah.

8. Bagi mengatasi masalah ini, ada beberapa panduan yang boleh dipraktikkan iaitu:
  • Gunakan gear 2 bagi kenderaan menggunakan sistem gear manual dan gear 1 bagi sistem automatik. 
  • Tekan pedal brek serentak dengan pedal minyak bagi menghasilkan kepanasan pada permukaan brek.
  • Bagi kenderaan pacuan 4 roda, gear automatik sama seperti gear manual. Hadkan kelajuan antara 5 hingga 15 kmj dan jarakkan kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan. Proses ini akan mengeringkan permukaan brek. 
  • Uji tindakan di atas berulangkali pada jarak 20 hingga 30 meter sahaja.
  • Uji sistem brek pada kelajuan 20 kmj.
  • Sekiranya brek gagal berfungsi, ulangi proses di atas. Selepas itu uji lagi sistem brek sehingga prestasinya memuaskan sebelum memandu laju.
Berhati-hatilah ketika memandu. 'PANDU CERMAT JIWA SELAMAT...'