Sunday, August 14, 2016

SUKAR MELUPAKAN CINTA LAMA...

Gambar hiasan...

Kisah yang ingin saya kongsikan mungkin agak remeh bagi sesetengah orang. Namun pada diri saya, ia amat memberi kesan kepada perasaan dan emosi.

Sehingga kini saya masih tidak dapat melupakan bekas teman lelaki ketika di bangku sekolah. Meskipun kini sudah berjaya melanjutkan pengajian di universiti awam, saya tetap merinduinya.

Dia kini sudah mempunyai teman baru selepas hampir empat tahun putus cinta dengan saya. Tapi saya masih merinduinya dan ingin kembali bersamanya. 

Bunyinya agak mustahil dan saya tak tahu kenapa sukar melupakannya. Disebabkan perasaan rindu yang kuat, saya sering mengikuti perkembangannya di Facebook meskipun kami tidak berhubung.

Saya sering melihat gambarnya yang dikongsikan, sekali gus menguatkan ingatan terhadapnya. Pernah dulu kami berhubung di media sosial, namun selepas itu dia mengambil keputusan tidak berhubung lagi. Saya sendiri tidak pasti dengan perasaan ini. Bolehkah puan membantu saya mendapatkan kepastian? Mencari Jawapan...Kuala Lumpur...


Putus cinta adalah perkara yang menyakitkan bagi semua orang. Cara menanganinya juga berbeza bergantung kepada faktor luaran dan dalaman.

Sakitnya putus cinta lebih terkesan bagi mereka yang diputuskan tanpa penjelasan mahupun kerelaan berbanding orang yang memutuskan ikatan percintaan itu.

Cara penerimaan putus cinta juga berbeza. Ada menganggapnya takdir, ada juga menyalahkan takdir. Memang ia memerlukan tempoh untuk pulih daripada sakit hati dan untuk melupakannya.

Kebanyakannya sukar untuk melupakannya, malah berharap ingin kembali seperti dulu menjalin sebuah hubungan harmoni dan romantik. Impian anda untuk kembali bersamanya adalah reaksi perasaan dalaman yang ada pada diri anda. Ia memberitahu anda ada sesuatu yang belum selesai antara anda dan kenangan itu, bukan dengan bekas teman lelaki.

Apa yang perlu diperincikan ialah antara anda dan kenangan silam. Sesuatu perlu diperhalusi satu persatu termasuk merungkai apakah yang menyukarkan anda melupakannya. Adakah kerana sikapnya yang terlalu sempurna sehingga anda berasakan hidup seperti tidak lengkap tanpanya?

Atau kenangan manis yang pernah tercipta antara anda dan dirinya membuatkan anda masih dibayangi kebahagiaan itu?

Jika benar, anda masih perlu jujur dengan diri sendiri. Adakah hidup anda pasti menjadi lebih baik jika bersamanya semula? Namun kenapa anda boleh putus cinta dengannya? Cuba fikirkan hal ini.

Mungkin saat ini anda belum mampu untuk berfikir kerana masih berharap akan kembali bersamanya. Tetapi ada satu alasan jelas yang belum anda ketahui kenapa tidak rela putus cinta dengannya.

Mari kita perincikan kenapa anda tidak rela putus dengannya. Jika alasan sebenarnya bukan kerana masih sayang, adakah alasannya disebabkan anda belum menemui cinta lain? Atau kerana anda berasa tidak yakin memulakan perhubungan cinta baru? Jika terlalu ingin memilikinya dan berharap menjadi pasangannya, ia mungkin membuatkan tidak rela melihat dia bersama orang lain.

Ini bukan perasaan saying anda kepadanya, melainkan obsesi atau kebergantungan emosi yang disertai rasa posesif serta cemburu pada kenangan yang sudah berlalu.

Tanpa disedari, selama ini hanya anda yang tidak rela putus dengannya. Perasaan itu wujud kerana terlalu ingin memiliki cinta dia sepenuhnya.

Anda tidak sanggup melihat dia bersama teman lain meskipun kini anda maklum dia sudah mempunyai teman baru.

Perasaan kebergantungan emosi itu semakin kuat kerana anda membenarkan diri terus menerus mengikuti perkembangan dirinya. Anda seperti menidakkan kebenaran perhubungan anda. Oleh itu, impian untuk kembali bersamanya terus dipupuk sehingga anda lupa ia membawa pergi lebih jauh daripada realiti. Sebaliknya, jika anda benar-benar ikhlas untuk memulakan perhubungan dengannya, kenal pasti apakah tindakan yang anda lakukan untuk memulakan pcrhubungan. Anda bagaikan tidak merelakan perpisahan itu.

Bagi memulihkan kekeliruan ini, sebaiknya anda menilai semula perpisahan itu. Punca dan situasi yang mengakibatkan perpisahan. Jika perpisahan itu berlaku atas kerelaannya saja tetapi bukan anda, keperluan untuk meneruskan perhubungan itu mungkin tiada bagi pihaknya. Jika dia tidak bahagia dengan anda, dia berhak memberi penjelasan dan selepas itu orang lain berhak memilikinya.

Selepas membuat penilaian hal berbangkit berkaitan perpisahan yang dulu, tibalah masanya untuk anda memberi fokus kepada diri sendiri.

Membebaskan diri daripada terus dibelenggu kenangan silam mungkin agak sukar kerana perpisahan itu sudah lama berlaku. Tambahan pula, sepanjang perpisahan itu, selidik sama ada si dia pernah mencuba utuk kembali menjalinkan hubungan cinta dengan anda. Jika sikapnya seperti nekad dengan perpisahan, anda perlu bersedia menerima kenyataan.

Tindakan awal yang boleh dilakukan ialah dengan mengehadkan masa anda untuk terus mengikuti perkembangannya. Cuba kurangkan kekerapan masa itu supaya anda ada ruang untuk mencipta memori baru. Buang atau musnahkan apa saja barang kenangan bersamanya jika ia membuatkan anda terus terikat pada kisah silam.

Wujudkan persekitaran yang baru. Jika anda sering terganggu dengan lagu-lagu cinta bersamanya, segera tidak mendengar lagu itu. Ia hanya menjerat emosi sendiri sedangkan dia kini sedang berbahagia dengan teman baru.

Seterusnya, berani untuk mengatakan tidak kepada kenangan yang menjerat perasaan anda. Cipta kebahagiaan dengan kehidupan seharian menerusi pergaulan sosial serta tanggungjawab dipikul.

Anda perlu mengisi masa lapang dengan aktiviti lain lebih berfaedah supaya jiwa kembali ceria, harmoni dan tidak terikat dengan kenangan silam yang mungkin menghalang potensi diri ke arah lebih baik. Membenarkan diri untuk mengenal rakan baru juga memberikan peluang berinteraksi dan berkenalan dengan orang lain.

Dalam tempoh itu, pastikan pergaulan anda sentiasa mengikut batasan agama. Yang terakhir, hormati perasaan sendiri. Anda sebenarnya berhak meraih kebahagiaan meskipun bukan dengan dirinya. Sedar atau tidak, kebahagiaan anda kini terbatas hanya kerana terikat pada kisah silam yang sudah lama dilupakan bekas teman lelaki. Kembali kepada realiti dan teruskan usaha untuk kehidupan lebih bermakna.

Dipetik dari Harian Metro 15 Ogos 2016.

Thursday, August 11, 2016

SAYONARA SEORANG ISTERI YANG BERNIQAB...

Gambar hiasan...

“Sudah berapa lama tuan memeluk Islam?” Tanya saya pendek.”

"20 tahun," jawab lelaki berbangsa India itu juga ringkas.

"Semua keluarga turut masuk Islam?"

"Semua, tetapi tidaklah berturut-turut. Termasuk ibu bapa saya," jawabnya sambil tersenyum. 

Wajahnya nampak sangat tenang. Jadi senang hati melihatnya.

"Yang paling akhir?"

"Ibu dan bapa saya. Baru sebulan yang lalu."

"Alhamdulillah!"

"Tetapi ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Kira-kira dua minggu yang lalu."

Saya terkejut. Maksudnya, baru sangat. Tentu dia masih dalam kesedihan.

"Masih sedih..." kata saya perlahan sambil mengusap bahunya. Separuh bertanya, separuh simpati.

"Sedih sedikit sahaja. Gembira lebih banyak."

Wah, jawapan itu sangat aneh. Tentu ada cerita di sebaliknya.

"Mengapa tuan gembira?"

"Panjang ceritanya..."

Kerana Akhlaknya


Saya memberi isyarat berminat untuk mendengar kisahnya. Mungkin kerana itu dia mula bercerita. Lancar dan lurus tanpa tersekat-sekat. Seolah-olah episod demi episod sudah tersusun kemas dalam minda dan perasaannya.

Menurutnya, dia memeluk Islam hasil dakwah seorang wanita. Dengan cinta? Tidak. Hanya dengan akhlak seorang wanita berniqab yang bekerja sebagai akauntan di pejabatnya.

"Saya tertarik kepada akhlaknya. Begitu sopan, begitu empati dengan kawan sekerja dan cekap pula melaksanakan tugas. Tanpa melihat wajahnyapun, hati saya sudah terpikat. Sungguh. Saya jatuh cinta pada kecantikan budinya."

"Bagaimana menyatakannya?"

"Cinta sentiasa ada cara untuk dinyatakan. Melalui seorang kawan rapat saya menyatakan hasrat."

"Belum Islam?"

"Belum. Itulah cinta. Buta. Saya akui, cinta kepada wanita itu lebih dulu datang, sebelum cinta kepada Islam. Itulah saya."

"Subhanallah, menarik. Bagaimana reaksinya?"

"Dia menjawab, bakal suami saya hanya seorang Muslim. Saya tahu, itu syaratnya. Lantas saya katakan kepadanya, masih melalui orang tengah, beri saya masa secukupnya untuk memeluk Islam. Saya rasional, saya akan ikut-ikutan. Saya perlu berfikir."

"Dia beri cukup masa untuk berfikir?"

"Ya, bukan hanya untuk berfikir. Tetapi untuk belajar tentang Islam.

Saya sememangnya sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk memahami Islam. Bukan kerana hendak menganutnya, tetapi kerana minat saya yang mendalam pada ilmu. Bagi saya ilmu-ilmu dalam Islam sangat menarik untuk diterokai."

"Jadi Islam hanya dipelajari untuk diketahui, bukan untuk diyakini?" tusuk saya.

"Mula-mula begitulah. Tetapi lama-kelamaan, ilmu-ilmu itu telah membentuk keyakinan saya. Mula-mula hanya kerana wanita, tetapi akhirnya jatuh cinta kepada Pencipta wanita."

"Begitu mudah?"


Terbuka Walau Tertutup


"Tidak juga. Saya berfikir lama. Hati saya selalu bertanya apa yang menyebabkan seorang wanita begitu 'terbuka' ketika wajahnya tertutup. Dia sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya. Mudah didekati tetapi sangat menjaga diri. Bagi saya tentu ada sesuatu dalam dirinya yang menjadikan dia begitu."

"Berapa lama?"

"Hampir dua tahun."

"Dia sabar menunggu?"

"Bukankah saya katakan, dia wanita yang sangat setia dan patuh pada janji?"

"Wah! Itu cinta pertama?"

"Pertama pada dia. Tetapi tidak pada saya. Saya pernah jatuh cinta kepada wanita lain sebelumnya. Pada dia cinta pertama, pada saya cinta utama. Dalam banyak-banyak cinta, cinta itulah yang paling suci dan unik."

"Perkahwinan meriah?"

"Meriah. Sangat meriah. Sederhana tetapi penuh makna. Ceria."

Hampir saya terlupa pada cerita ibunya. Supaya tidak terlupa, saya terus bertanya, "itu cerita isteri, tadi kita bermula dengan cerita ibu."

"Cerita ibu dan isteri saya sangat berkaitan."

Saya minta dia bercerita terus. Saya mahu belajar daripadanya. Saya lihat di antara mereka yang mengikuti kursus kepimpinan Islam itu dialah yang paling bersungguh-sungguh dan fokus. Banyak pertanyaan yang diajukannya. Bagi saya dia seorang istimewa. Tentu sekali isteri atau ibu atau kedua-duanya sekali istimewa. Bukankah di sebalik seorang lelaki yang hebat, pasti ada seorang wanita yang hebat? "Setelah bernikah, saya lebih mendalami agama. Saya dan isteri terus belajar dan belajar. Ada kalanya cuti tahunan kami dihabiskan untuk belajar ilmu agama. Kami kemudian mengerjakan umrah dan akhirnya dapat mengerjakan haji. Anak-anak kami dididik untuk mendalami agama sejak kecil. Alhamdulillah, dua daripada tiga anak kami hafiz."

"Bertuah. Insya-Allah, isteri tuan seorang isteri yang solehah. Boleh saya dan keluarga ziarah rumah tuan untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengannya?"

"Tidak boleh. Maaf, tidak boleh."

Saya sangat terkejut. Ditolak mentah begitu sahaja? Pantas saya bertanya, "mengapa?"

"Kerana dia telah meninggal dunia dua tahun lalu. Sakit barah. Barah rahim. Sewaktu barah dikesan sudah tahap yang kritikal. Tidak dapat diubat lagi. Sebulan kemudian dia meninggal..."


Pergi Sudah Separuh Jiwa


Terkejut. Daripada rasa terkilan, bertukar tiba-tiba kepada rasa sedih yang mendalam. Betul, jangan cepat buruk sangka, detik saya dalam hati. Sekarang saya seperti dapat merasakan sendiri rasa kehilangan srikandi cintanya itu. Betapa hebatnya rasa kehilangan seorang isteri yang telah memberi cahaya mata dan cahaya hati.

Dia mengesat matanya yang mula berair. Sungguh, saya turut merasainya, Isteri ialah jantung hati kita. Dia pergi, separuh diri kita juga seolah-olah hilang. Cinta kepada isteri ialah cinta kerana Allah yang sangat besar impaknya dalam kehidupan.

Hamka pernah meluahkan isi hatinya ketika ditinggal mati oleh isterinya. Ketika ditanya oleh anaknya, beliau meluahkan:

"Kau tahu Irfan, ayah dan umi telah berpuluh-puluh tahun lamanya hidup bersama. Tidak mudah bagi ayah melupakan kebaikan umi. Itulah sebabnya apabila datang ingatan ayah terhadap umi, ayah mengenangnya dengan bersenandung. Namun, apabila ingatan ayah kepada umi itu muncul begitu kuat, ayah lalu segera mengambil air wuduk. Ayah solat Taubat dua rakaat. Kemudian ayah mengaji. Ayah berupaya mengalihkannya dan memusatkan fikiran dan kecintaan ayah semata-mata kepada Allah," jawab ayah.


Kematian Terindah


"Tetapi satu kematian yang indah." Tiba-tiba dia bersuara, memutuskan ingatan saya pada Allahyarham Pak Hamka.

"Kematian yang indah? Bagaimana dia meninggal dunia?"

"Saya masih ingat menjelang waktu Asar pada hari itu dia sangat tenat. Saya duduk menemani di sebelahnya. Dia merayu untuk solat berjemaah bersama. Selalunya saya solat berjemaah di masjid tetapi kali ini dia benar-benar tenat.

Lalu saya baringkan dia di sebelah kiri di bahagian belakang saya. Dia begitu lemah. Matanya hampir terpejam. Habis solat sahaja, dia mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali lalu terus menghembus nafas yang terakhir."

"Begitu mudah?"

"Begitulah tuan, macam sebuah drama. Sukar untuk mempercayainya jika sekadar mendengar cerita tetapi saya menyaksikannya. Itulah kematian yang indah."

"Al-Fatihah," ujar saya. Kami sama-sama membaca surah al-Fatihah dan berdoa semoga rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Seseorang akan mati mengikut cara hidupnya. Jika cara hidupnya baik, maka dia akan menemui kematian dengan sebaik-baiknya. 'Wanita itu telah mengislamkan suaminya, melahirkan anak-anak yang baik', bisik hati saya.

"Ustaz, sebenarnya bukan saya sahaja yang tertarik kepada Islam atas sebab dia tetapi juga adik-beradik saya. Seorang demi seorang adik-beradik saya memeluk Islam apabila mula dan lama bergaul dengannya."

"Wah, mudahnya!"

"Tetapi ada juga yang susah. Ibu dan ayah saya sangat susah untuk menerima Islam. Mereka sangat keras hati. Kata-kata lembut dan akhlak isteri saya tidak cukup kuat untuk mencairkan kekufurannya. Namun ajaibnya, masih isteri saya juga yang menjadi sebab keislaman ibu bapa saya."


Mustajab Doa Anak


"Bagaimana?" tanya saya tidak sabar. Inilah persoalan awal dalam perbualan kami tadi. Daripada soal ibu bapanya teralih pula kepada soal isterinya. Benar katanya tadi, soal ibu dan isterinya saling berkait.

"Kami cuba pelbagai cara untuk mengislamkannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, isteri saya menyarankan satu cara."

Saya benar-benar saspens. Menanti dengan penuh minat.

"Sayangnya, isteri saya pergi dulu sebelum sempat melihat hasil dakwahnya kepada ibu saya," katanya tanpa memberi jawapan yang saya tunggu.

"Maksud tuan, isteri tuan meninggal dunia baru ibu tuan memeluk Islam?"

"Ya," jawabnya pendek.

"Apa kaedah yang disarankan oleh isteri tuan?" tanya saya, mengulang pertanyaan yang sangat saya dambakan jawapannya sejak tadi.

"Begini, arwah isteri saya menyatakan bahawa doa anak kepada ibu bapanya sangat mustajab. Bukan sahaja setelah ibu bapanya meninggal dunia, bahkan semasa ibu bapanya itu masih hidup lagi. Satu hari, dia sarankan saya berdoa setiap kali selepas solat dan setiap kali membaca al-Quran. Pohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada ibu bapa saya."

Terpegun mendengar saranan itu, saya berfikir. Nasihat ini seperti serampang yang punya dua mata. Pertama, untuk yang berdoa agar sentiasa solat dan membaca al-Quran. Kedua, untuk yang didoakan agar mendapat hidayah Islam. Bijak sungguh arwah isteri beliau.

"Jadi tuan ikut saranan itu?"

"Ya. Saya ikut."

"Berapa lama?"

"Hampir 10 tahun. Selama itulah setiap kali selepas solat dan membaca al-Quran saya doakan ibu bapa saya. Yakni, sejak hari Allahyarham isteri mencadangkannya pada saya. Dia meninggal dua tahun yang lalu, ibu pula baru dua minggu yang lepas. Ertinya, dia sendiri tidak dapat melihat hasil kejayaan dakwahnya."

"Dia akan melihatnya. Bahkan dia akan melihat lebih jelas daripada kita nanti. Insya-Allah. Mudah-mudahan dia dan ibu tuan ditempatkan dalam kalangan roh orang yang beriman. Sama-sama akan ke syurga nanti."

Sungguh peristiwa itu sangat menyentuh jiwa. Dakwah yang berkesan itu dengan akhlak yang baik, kata-kata yang penuh hikmah dan doa yang istiqamah. Tanpa wajah dilihat, tetapi diri sudah mampu memikat. Itulah mesej di sebalik sayonara seorang isteri yang berniqab.

Dipetik dari Majalah Solusi

Tuesday, August 9, 2016

KENCING TIDAK PUAS BUKAN MASALAH RINGAN...

Gambar hiasan...

Lebih daripada 50 peratus lelaki berusia 45 tahun dan 90 peratus lelaki berusia 53 tahun mengalami masalah berkaitan dengan kencing tidak tus. Kebanyakan daripada mereka beranggapan ia disebabkan faktor usia yang semakin meningkat bukan penyakit yang perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doctor segera.

Disebabkan itulah ramai kalangan lelaki keberatan untuk mendapatkan bantuan profesional. Namun masalah ini akan jadi lebih berat sekiranya tidak dirawat. Ada banyak jenis penyakit yang boleh menyebabkan masalah berkaitan dengan kencing tidak tus. Antaranya ialah Benign Prostatic Hyperlasia (BPH), prostatitis, cystitis, kanser prostat, urethral stricture dan bladder disorders.

GEJALA...

Antara gejala seseorang itu menghidap penyakit berkaitan dengan masalah kencing tidak tus ialah kerap kencing. Contohnya kencing setiap 30 minit atau kurang terutamanya pada waktu malam. Kebiasaannya jumlah air kencing yang keluar adalah sedikit. Rasa ingin buang air kencing datang secara tiba-tiba, pancutan air kencing tidak banyak walaupun diteran dengan kuat.

Sebab utama kepada semua masalah berkaitan kencing tidak tus ini adalah berpunca dari BPH, iaitu keadaan di mana kelenjar prostat membesar dengan cepat namun ia bukan kanser. Punca BPH sehingga hari ini tidak diketahui tetapi para pengkaji mendapati BPH semakin kerap berlaku apabila usia lelaki itu meningkat. Sebahagiannya mungkin disebabkan oleh perubahan hormon berlaku pada lelaki yang semakin berumur. Selepas akit baligh, kandungan hormon testosteron turun, manakala hormon lain seperti prolaktin, estradiol follicle-stimulating dan lutenizing naik. Hormon-hormon ini menggalakkan penukaran testosteron kepada dihydrotestosteron (DHT). DHT adalah hormon yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya BPH.

BPH adalah ketumbuhan bukan barah yang paling kerap berlaku di kalangan kaum lelaki. la berlaku apabila bilangan sel di dalam prostat mula bertambah dan menyebabkan kelenjar prostat menjadi lebih besar. Pembesaran ini berlaku secara beransur-ansur dalam masa yang agak lama. Sebab itu ramai penghidapnya tidak sedar masalah ini sehingga prostat menjadi besar dan menimbulkan simptom yang berkaitan terutama selepas berusia 50 tahun.

KELENJAR PROSTAT...




Prostat adalah organ yang terletak di bawah pundi kencing, berbentuk seperti donat yang mengelilingi saluran kencing. Prostat sebahagiannya terbentuk daripada serat-serat otot. Kelenjar prostat ini menghasilkan air mani, manakala otot-ototnya itu akan menolak cairan Ini semasa ejakulasi. Selain itu, otot-otot ini bekerjasama dengan otot pundi kencing untuk mengawal pengaliran air kencing.

Dalam kes BPH, prostat yang semakin membesar akan menekan saluran dan pundi kencing. la menyebabkan air kencing di dalam pundi kencing tidak dapat dikeluarkan secara berkesan. Keadaan ini mengakibatkan pesakit berusia membuang air kencing lebih kerap dan menghadapi pelbagai masalah seperti dinyatakan.

KESAN BPH...

Sekiranya BPH tidak segera dirawat, ia boleh menyebabkan masalah seperti sukar tidur dan menjejaskan konsentrasi semasa bekerja. Selain itu, masalah BPH dikhuatiri menyebabkan air kencing naik semula ke buah pinggang melalui saluran kencing yang menyebabkan kerosakan buah pinggang kekal. Air kencing dalam pundi kencing yang tidak dibuang, terdedah kepada risiko jangkitan kuman meningkat memburukkan lagi masalah BPH.

Tekanan yang berpanjangan ke atas pundi kencing semasa proses membuang air kencing boleh menebalkan dinding pundi kencing, melemahkan otot-ototnya dan menyebabkan pundi kencing tidak berfungsi.

RAWATAN...

BPH tidak boleh disembuhkan melainkan dengan cara pembedahan, di mana tisu yang terlebih dibuang. Cara paling lazim dan berkesan untuk merawat BPH ialah pembedahan. Antara pembedahan yang disyorkan termasuklah: Reseksi Transurethral Prostat atau Transurethral Resection of the Prostate (TURP). Dalam pembedahan ini, pesakit akan dibius dan doktor memasukkan alat khas ke dalam uretra melalui zakar.

Pembedahan Insisi Transuretral Prostat atau Transurethral Incision on the Prostate (TUIP) boleh dijalankan jika prostat tidak terlalu besar. Sejenis alat akan dimasukkan ke dalam uretra untuk membuat satu atau dua potongan pada prostat. Hasilnya tekanan pada uretra akan berkurangan dan pesakit lebih mudah kencing.

Pembedahan Prostatektomi Terbuka (Open Prosatatectomy). Prostatektomi Terbuka boleh digunakan jika prostat sudah menjadi sangat besar di mana sebahagian daripada bahagian dalam prostat akan dibuang.

PENCEGAHAN...

Antara punca yang mempercepatkan lagi BPH adalah kurang mengamalkan gaya hidup sihat. Contohnya mengambil makanan tinggi kolestrol dan karbohidrat, merokok dan mengambil alkohol, kurang senaman dan kerap menghadapi tekanan. Oleh itu, amalkan langkah pencegahan seperti amalan berikut:-

1. Berhenti merokok dan pengambilan alkohol.

2. Kurangkan pengambilan daging dan lemak haiwan kerana kandungan lemak tepu yang tinggi dikaitkan dengan risiko kanser prostat.

3. Tambahkan pengambilan sayur-sayuran hijau yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat.

4. Ambil omega-3 dan omega-6 penting untuk pertumbuhan hormon lelaki.

5. Minum lapan gelas air kosong sehari untuk membuang toksin.

6. Melakukan senaman secara rutin untuk meningkatkan perjalanan darah ke Bahagian prostat.

KENAPA PERLU SENYUM?...

Gambar hiasan...

1. Para Saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

2. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

3. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka. tetapi turut mempunyal kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.

6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8. Dalam kajian di atas. dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut. kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'Cortisol' dan 'adrenaline'.

9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gammainteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah. menambah kemasukan oksigen alam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung. tekanan darah tinggi. strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa 'mengurut organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. la melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.

14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, hanya sekelumit rasa ikhlas yang boleh memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.

Dalam ajaran Islam, senyum mempunyai kedudukan yang setaraf dengan bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: "Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

HINDARILAH BERCAKAP KETIKA AZAN...


Lidah kelu di saat kematian. Kematian pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati.... mengapa kebanyakan orang yang nazak hampir ajal, tidak dapat berkata apa-apa, lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya menahan kesakitan sakaratulmaut.

Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud :"Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apapun semasa azan berkumandang. Sebagai orang Is­lam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri.... mengapa azan kita tidak boleh mendiamkan diri....!!! Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba, maka kita tidak dapat mengucapkan kalimah lailahaillallah...yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya dicabut... Allah menjanjikan syurga untuknya.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu walaupun nyawa sedang dicabut. 'Ya Allah! anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah Lailahaillallah semasa sakaratul maut menghampiri kami...."

HAJAR ASWAD DARI SYURGA?...


HAJAR ASWAD adalah "batu hitam" yang terletak di sudut sebelah Tenggara Ka'bah, iaitu sudut dari mana Tawaf bermula. Hajar Aswad merupakan jenis batu 'RUBY' yang diturunkan oleh Allah dari syurga melalui malaikat Jibril.

Hajar Aswad terdiri dari lapan keping yang terkumpul dan diikat dengan lingkaran perak. Batu hitam itu sudah licin kerana terus menerus di kucup. dicium dan diusap-usap oleh jutaan bahkan berbilion manusia sejak Nabi Adam, iaitu jemaah yang datang ke Baitullah, baik untuk haji mahupun untuk tujuan umrah. Panggilan Haji telah berlaku sekian lama iaitu sejak Nabi Adam AS. Bahkan masyarakat jahilliah yang musyrik dan menyembah berhala pun masih secara setia melayani jemaah haji yang datang tiap tahun dari berbagai belahan dunia.

Nenek moyang Rasulullah, termasuk datuknya Abdul Muthalib adalah para ahli waris dan pengurus Kaabah. Atau secara spesifik adalah penanggung jawab air zam-zam yang selalu menjadi minuman para jemaah haji dan para penziarah. Hadis Sahih riwayat Tarmizi dan Abdullah bin Amir bin Ash men- gatakan bahawa Rasul SAW bersabda:

"Rukun (HajarAswad) dan makam (Batu / Makam Ibrahim) berasal dari batu-batu ruby syurga yang kalau tidak kerana sentuhan dosa-dosa manusia akan dapat menyinari antara timur dan barat. Setiap orang sakit yang memegangnya akan sembuh dari sakitnya"

Hadis Sahih riwayat Imam Baihaqie dan Ibnu 'Abas RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah akan membangkitkan Al-Hajar (Hajar Aswad) pada hari kiamat. la dapat melihat dan dapat berkata. la akan menjadi saksi terhadap orang yang pernah memegang dengan ikhlas dan benar".

Hadis Siti Aisyah RA mengatakan bahawa Rasul SAW bersabda:

"Nikmatilah (peganglah) Hajar Aswad ini sebelum diangkat (dari bumi). la berasal dari syurga dan setiap sesuatu yang keluar dari syurga akan kembali ke syurga sebelum kiamat".

Berdasarkan bunyi Hadis itulah antara lain, maka setiap jamaah haji baik yang mengerti atau tidak mengerti akan sentiasa menjadikan Hajar Aswad sebagai 'target' memburu "Saya harus menciumnya"

Tapi bolehkah? Dua juta jemaah, datang di musim haji secara bersamaan dan beratur untuk keperluan dan target yang sama. Begitu padatnya, maka anda perlu bersedia dan ikhlas untuk hanya boleh memberii 'kucupan' jarak jauh sambil melafazkan basmalah dan takbir : Bismillah Wallahu Akbar.

Hadis tersebut mengatakan bahawa disunatkan membaca doa ketika hendak istilam (mengusap) atau melambainya pada permulaan tawaf atau pada setiap pusingan, sebagai mana, diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA. Ertinya: "Bahawa Nabi Muhammad SAW datang ke Ka'bah lalu diusapnya Hajar Aswad sambil membaca Bismillah Wallahu Akbar".

Lanjutannya dikisahkan bahawa batu hitam tersebut pernah terkubur pasir selama beberapa waktu.

SEJARAH BATU HITAM

Dalam riwayat lain bahawa batu hitam tersebut pernah terkubur pasir selama beberapa lama dan secara ajaib dijumpai kembali oleh Nabi Ismail AS ketika ia berusaha mendapatkan batu tambahan untuk menutupi dinding Ka'bah yang masih sedikit kurang. Batu yang dijumpai inilah rupanya yang sedang dicari oleh Nabi Ibrahim AS, yang serta merta sangat gembira dan tak henti-hentinya men- cium batu tersebut. Bahkan, ketika sudah tiba dekat ka'bah. batu itu tak akan diletakan di tempatnya. Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS menggotong batu itu sambil mengelilingi Kaabah tujuh pusingan.

DIANGKAT DENGAN SERBAN RASULULLAH

Di antara peristiwa penting yang berkenaan dengan batu ini adalah yang terjadi pada tahun 16 sebelum Hijrah (606 M) iaitu ketika suku Quraisy melakukan penyelenggaraan Kaabah. Pada ketika itu hampir saja terjadi pertumpahan darah yang hebat kerana sudah lima hari lima malam mereka dalam situasi gawat, kerana ke empat kabilah dalam suku Quraisy itu terus bertelingkah tegang pada pendapat dan kehendak masing-masing siapa yang mengangkat dan meletakkan kembali batu ini ke tempat semula kerana pemugaran Kaabah sudah selesai.

Akhirnya muncul usul dari Abu Umayyah bin Mughirah Al-Mukhzumi yang mengatakan

"Alangkah baiknya kalau keputusan ini kita serahkan kepada orang yang pertama kali masuk masjid pada hari ini."

Pendapat Abu Umayyah ini disepakati. Dan ternyata orang pertama masuk pada hari itu adalah Muhammad bin Abdullah (Nabi Muhammad) yang waktu itu masih berusia 35 tahun. Menjadi bualan umum pada masa itu bahawa akhlak dan budi pekerti Muhammad telah terkenal jujur dan bersih se- hingga digelar Al-Amin (orang yang dipercayai).

Muhammad muda yang organ tubuhnya iaitu hatinya pernah dibersihkan melalui pembedahan oleh Malaikat. memang sudah dikenali Muhammad tidak pernah bohong dan tidak pernah ingkar janji. Lalu apa jawapan dan tindakan Muhammad terhadap usul itu?

Muhammad menuju ke tempat pernyimpanan Hajar Aswad itu lalu membentangkan serbannya dan meletakkan batu mulia itu ditengah-tengah serban kemudian meminta satu orang wakil masing-masing kabilah yang sedang bertengkar untuk memegang sudut serban itu dan bersama-sama membawa ke sudut dimana batu itu hendak diletakkan. Supaya adil, Muhammad pulalah yang mema- sang batu itu ke tempatnya semula.

RAHSIA HAJAR AL-ASWAD

Kita semua tahu bahawa Hajar Aswad hanyalah batu yang tidak memberikan mudarat atau faedah, begitu juga dengan Kaabah, ia hanyalah bangunan yang diperbuat dari batu. Akan tetapi apa yang kita lakukan dalam proses ibadah haji tersebut adalah sekadar mengikuti ajaran dan sunnah Nabi SAW. Jadi apa yang kita lakukan bukanlah menyembah batu, dan tidak juga menyembah Kaabah.

Umar bin Khatab berkata "Aku tahu bahawa kau hanyalah batu, kalaulah bukan kerana aku melihat Nabi SAW menciummu dan menyentuhmu, maka aku tidak akan menyentuhmu atau menciummu"

Allah memerintahkan kita untuk Thawaf mengelilingi Ka'bah dan Dia pula yang telah memerintahkan untuk mencium Hajar Aswad. Rasulullah juga melakukan itu semua, dan tentu saja apa yang dilakukan oleh beliau pastilah berasal dari Allah, sebagaimana yang terdapat dalam firmanNya: "Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (QS. An-Najm:53)

Monday, August 8, 2016

KHASIAT UBI KENTANG YANG MENGKAGUMKAN...

Ubi Kentang...

Ramai berasa bimbang untuk mengambil ubi kentang dalam menu makanan seharian. Ini kerana kentang sering dianggap punca kegemukan. Benarkah kentang boleh menyebabkan berat badan bertambah? Jom semak khasiat kentang.

FAKTA TENTANG KENTANG

  • Jumlah lemak ubi kentang adalah di bawah paras 25 peratus. Di samping itu kentang membekalkan karbohidrat kompleks manakala kandungan kalorinya adalah rendah. Maka sebab itulah kentang dikenali sebagai bahan makanan yang bebas kolesterol.
  • Kentang terdiri daripada pelbagai warna antaranya ialah merah, biru, ungu dan perang. Kepelbagaian warna ubi kentang membuatkan ia mengandungi pigmen anthocyariins yang merupakan agen antioksidan hebat dan membantu melindungi serangan penyakit.
  • Hasil kajian yang telah dibuat menunjukkan salah satu sumber makanan yang kaya antioksidan dalam diet manusia adalah ubi kentang.
  • Dalam piramid makanan, dua biji kentang bersaiz kecil sama dengan satu mangkuk nasi, dua keping roti dan satu setengah mangkuk mi.
  • Hidangan ubi kentang bukan hanya kentang goreng seperti yang diketahui menjadi sumber lemak, meningkatkan kolesterol, menyebabkan risiko darah tinggi dan penyebab obesiti. Hakikatnya, bukan ubi kentang yang menentukan sama ada ia baik atau buruk untuk kesihatan. Yang penting bagaimana ia disediakan untuk dimakan.
  • Bagi menikmati khasiat sebenar ubi kentang, anda boleh menghasilkan hidangan seperti kek coklat kentang atau sup berkrim kentang. Olahannya perlu tepat agar ia membawa kebaikan kepada kesihatan.
  • Ubi kentang tidak menggemukkan. Mentega atau krim yang dicampurkan ke dalam makanan atau cara memasak ubi kentang yang memberikan tanggapan salah bahawa makanan itu boleh menyebabkan masalah berat badan.
  • Sebiji kentang bersaiz sederhana (kira-kira 150 gm) yang dikukus dan dimakan dengan kulitnya, memberikan sehingga 48 peratus daripada pengambilan harian vitamin C yang disyorkan untuk seorang indvidu.

KHASIAT UBI KENTANG
  • Sebagai penawar racun berlebihan yang semulajadi. Kentang membantu pertumbuhan bakteria dalam saluran pencernaan tubuh. Kandungan garam alkali menjadikan kentang sebagai salah satu makanan yang dapat menjaga kadar alkali dalam tubuh.
  • Kentang mempunyai banyak khasiat. Di antaranya ialah potassium, vitamin C (sumber kedua selepas oren), membekalkan karbohidrat kompleks dan fiber atau gentian kepada gula darah dan pengawalan tekanan darah. la juga mengandungi vitamin B1, B2 dan B3 serta sedikit kandungan protein dan zat besi.
  • Kandungan potasium kentang adalah dua kali ganda lebih daripada kandungan potassium dalam pisang. Jumlah lemaknya di bawah paras 25 peratus sehingga dapat menghalang endapan kolesterol di dalam lapisan saluran darah. Kentang amat sesuai bagi individu yang mengalami kekurangan gula dalam darah.
  • Kentang merupakan sumber terbaik dalam pembentukan zat besi dalam darah. la menjamin sistem ketahanan badan kerana kandungan vitamin serta kalsium yang tinggi.
  • Kentang juga boleh memutih dan melembutkan tangan. Ini menunjukkan kentang bukan sahaja bermanfaat untuk tujuan kesihatan tetapi juga kecantikan. Kandungan potassium dan vitamin C pada kentang sangat sesuai untuk perawatan kulit seperti wajah berminyak dan berjerawat.
  • Di dalam kentang terdapat lysine yang sangat penting dalam pertumbuhan badan dan otak. Dengan kentang kita dapat memperolehi vitamin C secara mudah. Vitamin C di dalam kentang tidak hilang setelah masak kerana ia dikelilingi oleh sari pati.
  • Kentang mempunyai khasiat yang membuatkan mata letih kembali bersinar serta dapat menghilangkan bengkak pada mata. Parutlah sebiji kentang lalu masukkan ke dalam kain tipis yang bersih (kain kasa atau kain kapas) dan tekapkan perlahan-lahan pada bahagian kelopak mata.
  • Ubi kentang dikenali sebagai makanan yang bebas gluten. Gluten merupakan bahan protein yang terdapat pada bijirin seperti gandum, barli dan rai.
  • Pesakit yang menghidap penyakit gangguan gastrousus amat sesuai memakan kentang kerana kentang dinyah hidrat. lanya sesuai sebagai pengganti tepung yang mengandungi gluten. Mungkin sebab itulah kentang sesuai untuk semua peringkat umur malah menjadi makanan bayi yang baru bercerai susu.
  • Kandungan potasium yang tinggi dalam kentang mampu mengurangkan risiko hipertensi, strok, melindungi jantung dan menolong transmisi pusat sarat serta melawan dinyah hidrat.
  • Ubi kentang mempunyai indeks kekenyangan yang tinggi. Jadi memakan kentang boleh memberikan rasa kenyang yang lebih lama.
  • Kentang adalah ubi yang sesuai untuk sebarang amalan diet. Oleh itu siapa yang ingin berdiet, boleh mencuba kentang. Pastikan cara olahannya betul.

KANDUNGAN NUTRISI DALAM KENTANG
Berat kentang lebih kurang 100 gm

Tenaga : 83 kcl
Protein : 2 gm
Lemak 0.1 gm
Karbohidrat : 19.1 gm
Kalsium : 11 mg
Fosfor : 56 mg
Zat Besi : 1 mg
Bahagian kentang yang boleh dimakan : (Bdd/Food Edible) = 85%

Kandungan vitamin dalam kentang

Vitamin A : 0 1U
Vitamin B1 : 0.11 mg
Vitamin C : 17 mg