Saturday, May 8, 2021

KISAH SAYYIDINA UMAR R.A. DIBUNUH DI DALAM MASJID...

Amr bin Maimun berkata:" Ketika Umar r. a. mendapat musibah aku berdiri dekat beliau, dekat dengan aku ialah Abdullah bin Abbas. Umar r.a. melalui dua saf dan didapatinya ada saf yang kosong kemudian beliau menyuruh penuhkan ruang saf yang kosong itu, dan merapatkan saf-saf."

Amr bin Maimun berkata lagi: "Ketika Umar r.a. membaca surah Yusuf maka makin banyaklah orang berkumpul. Kemudian aku mendengar kata-kata yang berbunyi: "Dibunuh aku atau aku dimakan oleh anjing." Setelah kedengaran kata-kata itu maka melurulah Abu Lu'luah dengan pisau yang mempunyai dua mata lalu menikam Umar r.a. Sewaktu Abu Lu'luah hendak menikam Umar r.a., dia telah berada dalam saf seolah-olah dia juga hendak sembahyang. Untuk melepaskan dirinya Abu Lu'luah menikam seramai 13 orang yang sedang sembahyang, sembilan dari mereka itu mati. Ada riwayat yang mengatakan tujuh orang yang mati. Umar r.a. ditikam ketika dia hendak memulakan sembahyang.

Apabila keadaan menjadi kelam kabut maka orang kafir ajam yang bernama Abu Lu'luah itu itu cuba melarikan diri, tetapi orang-orang muslim menarik baju jubahnya, apabila orang kafir itu menduga bahawa orang muslim telah melemparkan pakaian jubahnya itu maka dia pun membunuh diri. Umar r.a. memegang Abdurrahman bin Auf dan menyuruh beliau naik menjadi imam, hal ini hanya diketahui oleh orang-orang yang berdekatan dengan di sudut masjid tidak tahu apa-apa. Dan selain itu tidak lagi kedengaran suara apa-apa kecuali ucapan: "Subhanallah, Subhanallah."

Setelah selesai Abdurrahman bin Auf mengimami solat maka orang ramai pun bersurai, mereka tidak tahu apa yang terjadi kepada Umar r.a. Abdurrahman bin Auf menghampiri Umar r.a.

'Kata Umar r.a.: "Wahai Ibnul Abbas, kamu tolong siasat siapakah yang telah menikam aku tadi."

Kemudian Abdurrahman bin Auf pergi, seketika kemudian dia datang kepada Umar r.a. dan berkata: "Wahai Amirrul mukminin , orang yang menikam kamu adalah dari hamba Al Mughirah bin Sya'bah."

Kata Umar r.a.: "Kalaulah dia dibunuh oleh Allah, sesungguhnya aku menyuruhnya yang baik."

Kata Umar r.a. lagi: "Syukur aku kepada Allah S.W.T. kerana aku tidak dibunuh oleh orang muslim."

Al-Abbas banyak sekali berkawan rapat dengan or­ang kafir Ajam di Madinah, berkata Al-Abbas: "Wahai Amirul mukiminin, kalau kamu menghendaki, kami sedia membunuh mereka semua."

Kata Umar r.a.: "Apakah kita hendak membunuh mereka setelah mereka berkata-kata dalam bahasa kamu, apakah mereka mengerjakan solat ke kiblat kamu? Dan mengerjakan haji seperti haji kamu?"

Setelah Umar r.a. berkata demikian maka diamlah mereka buat seketika, Umar r.a. lalu dibawa ke rumah beliau dalam keadaan parah."

Amr meneruskan cerita: "Pada hari itu manusia merasakan seolah-olah telah menimpa satu musibah yang belum menimpa mereka sebelum hari itu. Ada pula yang mengatakan: "Aku sangat takut akan keadaan nasib Umar r.a.". Ada pula yang berkata: "Tidak ada apa-apa yang membahayakan pada diri Umar."

Apabila Umar r.a. berada di rumahnya beliau diberikan oleh para sahabat yang lain meminum air nabiz (yakni sejenis air yang diperbuat dari buah tamar dan ianya tidak memabukkan). Umar r.a. pun meminum air tersebut, tetapi air itu keluar dari perutnya. Kemudian diberikan pula susu, susu juga keluar dari perut Umar r.a. Tahulah para sahabat bahawa Umar r.a. akan wafat.

Oleh kerana keadaan Umar yang makin tenat maka ramailah yang datang menziarahi beliau. Seorang lelaki menghampiri Umar r.a. dengan berkata: "Gembiralah wahai Amirul mukminin dengan khabar gembira dari Allah Azza wa Jalla, engkau telah masuk Islam dengan persahabatan Rasulullah S.A.W., engkau dijadikan wali negeri . Kamu berlaku adil dan mati kamu adalah syahid."

Kata Umar r.a.: "Bagi aku yang demikian itu adalah sudah cukup. Tidak atasku dan tidak bagiku."

Apabila lelaki itu undur ke belakang maka kain yang dipakainya itu telah turun ke bawah, lalu Umar r.a. berkata: "Wahai anak saudaraku, angkatlah kainmu, sesungguhnya itu akan mengekalkan kainmu dan lebih mentaqwakan kepada Tuhanmu."

Setelah itu Umar r.a. berkata: "Wahai Abdullah, sila perhatikan berapa banyakkah hutang-hutang yang aku belum jelaskan?"

Lalu Abdullah pun mengira hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh Umar r.a., setelah mengira beliau pun berkata: " Wahai Amirul mukminin, hutangmu itu ada sebanyak 86,000 dirham."

Kata Umar r.a.: "Kalau harta Umar ini cukup untuk menyelesaikan hutang itu maka kamu selesaikan, kalau hartaku ini tidak cukup mintalah kepada kabilah Bani 'Adi bin Kaab. Kalau harta mereka juga tidak cukup maka mintalah kepada kabilah Quraisy dan janganlah engkau melampaui mereka dengan orang lain dan selesaikan hutangku."

Kata Umar r.a. lagi: "Pergilah kamu kepada Ummul-mukminin 'Aisyah, katakanlah kepadanya bahawa Umar sampaikan salam dan jangan kamu katakan Amirul mukminin, sebab pada hari ini aku bukan lagi Amirul mukminin. Katakanlah bahawa Umar bin Al-Khattab meminta izin untuk dikuburkan bersama kedua temannya." (yang dimaksudkan kedua temannya ialah supaya diizin untuk dikuburkan jenazah Umar di sebelah Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar r.a.).

Setelah Abdullah menerima arahan dari Umar r.a. maka beliau pun pergi ke rumah 'Aisyah , setelah memberi salam dan diizinkan masuk maka Abdullah mendapati 'Aisyah sedang menangis. Abdullah pun berkata Umar menyampaikan salam dan beliau meminta izin dari kamu supaya beliau dapat dikuburkan bersebelahan dengan kedua temannya."

Kata 'Aisyah r.a.: "Wahai Abdullah, sebenarnya aku menghendaki tempat itu untuk diriku , tetapi pada hari ini aku lebih utamakan Umar dari diriku sendiri."

Setelah Abdullah mendapat izin dari 'Aisyah r.a. maka beliau pun kembali ke rumah dan berkata: "Ini Abdullah bin Umar telah datang."

Kata Umar r.a.: "Tolong angkat aku." Lalu Umar r.a. pun diangkat dan disandarkan kepada Abdullah oleh salah seorang para sahabat.

Kata Umar r.a.: "Wahai Abdullah, bagaimana dengan kerja yang aku suruh?"

Kata Abdullah: "Apa yang kamu ingin wahai Amirul mukminin 'Aisyah telah izinkan."

Kata Umar r.a.: "Alhamdulillah, tidak ada sesuatu yang lebih penting padaku dari pada itu, apabila ajalku telah sampai bawalah aku. Kemudian ucapkan salam dan kebumikan aku bersama temanku, kalau tidak diizinkan maka hendaklah kamu membawa aku keperkuburan kaum muslimin."

Anak perempuan Umar yang bernama Ummul mukminin Hafshah datang menziarahi bapanya, Hafshah masuk melihat keadaan ayahnya dan dia menangis. Kemudian kaum lelaki meminta Hafshah masuk ke dalam sedikit sebab kaum lelaki hendak menziarah, Hafshah pun masuk dan menangis. Lalu berkata kaum lelaki pada Umar: "Wahai Amirul mukminin, berilah wasiatmu."

Kata Umar r.a.: "Aku tidak nampak yang lebih berhak dengan urusan ini dari mereka, sewaktu Rasulullah S.A.W. wafat, Rasulullah S.A.W. redha kepada mereka. Lalu dia menyebut: "Ali, Usman, Az-Zubair, Thalhah, Saad dan Abdurrahman." Kata Umar r.a.: "Abdullah bin Umar naik saksi, dan tiada baginya sesuatu dari urusan itu seperti, cara ta'ziah baginya."

Kata Umar r.a.: "Aku wasiatkan kepada Khalifah sesudahku bagi orang-orang muhajirin yang pertama, bahawa diakui mempunyai kelebihan bagi mereka dan jagalah kehormatan mereka. Dan aku wasiatkan kepada Khalifah itu agar sentiasa membuat kebaikan bagi orang-orang Ansar yang telah mendiami negeri dan iman sebelum dari kaum muhajirin itu, bahawa ihsan dari mereka diterima dan perbuatan buruk mereka dimaafkan."

Kata Umar r.a. lagi: "Aku wasiatkan kepada Khalifah itu akan kebajikan penduduk-penduduk kota bahawa mereka itu kurang baik Islamnya, mereka mengumpulkan harta dan bersikap kasar terhadap musuh. Janganlah ambil pemberian mereka melainkan pemberian dengan hati yang ikhlas. Dan aku wasiatkan kepada Khalifah itu akan kebajikan terhadap orang-orang Arab desa. Sesungguhnya mereka itu Arab asli dan unsur Islam dan bahawa dia mengambil harta mereka dan diberikan kepada orang- orang miskin di kalangan mereka juga. Aku wasiatkan kepada Khalifah itu supaya setia kepada Allah 'Azza wa jalla dan setia kepada Rasulullah S.A.W. Bahawa diperangi mereka kerana mereka mementingkan hak mereka, dan tidak diberatkan kepada mereka selain menurut kemampuan mereka."

Kata Amr: "Ketika Umar r.a. telah wafat lalu kami membawa jenazah Umar r.a. dengan berjalan kaki, kemudian Abdullah bin Umar memberi salam dan berkata: "Umar A1 Khattab meminta izin." Kemudian 'Aisyah r.a. berkata: "Bawalah dia masuk."

Lalu mereka membawa jenazah Umar r.a. masuk dan dikebumikan bersebelahan denga kedua temannya.

Jibrail A.S. berkata: "Islam itu menangis kerana meninggalnya Umar."

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

KISAH MALAIKAT MAUT DENGAN NABI IBRAHIM A.S....

Diriwayatkan dari Nabi Ibrahim A.S. bahawa dia telah bertanya malaikat maut tentang rupanya ketika malaikat maut hendak mencabut orang yang ingkar pada perintah Allah.

Nabi Ibrahim A.S. bertanya kepada malaikat maut: "Wahai malaikat maut, bolehkah kamu tunjukkan rupamu apabila kamu hendak mencabut nyawa orang yang zalim?"

Kata Nabi Ibrahim A.S. lagi: "Wahai malaikat maut, apakah kamu mampu memperlihatkan keadaan wajahmu ketika itu?"

Kata malaikat maut: "Wahai Ibrahim A.S., aku sedia memperlihatkan wajahku pada ketika aku mencabut ruh orang-orang yang zalim."

Kata malaikat maut lagi: "Wahai Ibrahim A.S., kini berpalinglah kamu dari memandangku buat seketika."

Lalu Nabi Ibrahim A.S. pun memalingkan mukanya buat ketika dan kemudiannya memaling kembali kearah malaikat maut. Nabi Ibrahim memandang malaikat maut yang mana dianya berbentuk lelaki hitam, rambutnya kerinting, baunya cukup busuk sekali, dianya memakai kain hitam, dari mulut dan lubang hidung malaikat maut itu keluar lidah api dan asap.

Apabila Nabi Ibrahim A.S. melihat akan keadaan malaikat maut maka beliau terus jatuh dan pengsan. Setelah Nabi Ibrahim A.S. sedar dari pengsan, maka malaikat maut pun kembali memperlihatkan wajahnya yang cantik.

Kata Nabi Ibrahim A.S.: "Wahai malaikat maut, kalaulah orang yang zalim itu melihat mukamu sebelum mereka mati, maka yang demikian itu pun cukup memadai."

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Nabi Ibrahim A.S. ialah orang yang cemburu, beliau mempunyai sebuah rumah untuk beliau beribadat. Apabila beliau hendak keluar maka beliau akan mengunci rumahnya terlebih dahulu. Maka pada suatu hari Nabi Ibrahim A.S. pulang ke rumahnya dan beliau terkejut apabila melihat ada seorang lelaki berada dalam rumahnya, lalu beliau pun berkata: "Siapakah kamu ini yang sanggup memasuki rumahku?"

Maka lelaki itu berkata: "Aku dimasukkan ke dalam rumah ini oleh tuan punya rumah ini."

Kata Nabi Ibrahim A.S. : "Rumah ini aku yang punya."

Kata Nabi Ibrahim lagi: "Katakan kepadaku, adakah kamu ini malaikat?"

Kemudian lelaki berkata itu: "Aku ialah malaikat maut."

Kata Nabi Ibrahim A.S.: "Bolehkah kamu tunjukkan kepadaku keadaan rupa bentukmu apabila kamu hendak mengambil roh orang Islam."

Kata malaikat maut: "Berpalinglah kamu dari diriku buat seketika."

Lalu Nabi Ibrahim A.S. pun memalingkan mukanya buat seketika dan memandang kembali ke arah malaikat maut. Alangkah terperanjat Nabi Ibrahim A.S. apabila melihat kecantikan rupa malaikat maut, rupanya seperti orang muda dan memakai kain yang cukup cantik dan penuh dengan keharuman baunya. Kata Nabi Ibrahim A.S.: "Wahai malaikat maut, jikalau tidak ditemui oleh orang mukmin ketika mati, selain rupa engkau, nescaya mencukupilah."

Wahai saudara-saudaraku, kita sendiri belum tahu bagaimana rupa malaikat maut ketika hendak mengambil nyawa kita, yang pentingnya ialah kita hendaklah sentiasa berdoa yakni: "Ya Allah, Ya Tuhanku, mudahkanlah atasku sewaktu sakaratul maut."

Dipetik dari Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

KISAH TEMPAT TINGGAL IBLIS...

Gambar Hiasan...
 
Salah seorang sahabat, Anas bin Malik r.a. berkata: "Iblis laknat telah bertanya kepada Allah S.W.T. antaranya ialah:-

Kata Iblis kepada Allah S.W.T.: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat kediaman yakni rumah untuk berzikir kepadamu. Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku."

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: 'Wahai Iblis, tempat kediamanmu ialah di dalam bilik air (tandas).'

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat mereka berkumpul (masjid, surau). Di manakah tempat bagiku berkumpul ?"

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai Iblis, tempat untuk kamu berkumpul ialah di pasar-pasar (di pusat-pusat membeli belah, pesta-pesta, kelab-kelab malam, majlis-majlis maksiat, tempat-tempat hiburan dan sebagainya)."

Iblis berkata lagi: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan pada anak Adam itu kitab untuk mereka membaca (Al-Quran). Tunjukkanlah kepadaku apakah bahan bacaanku?"

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah Syair (sajak dan yang bersangkutan dengannya)."

Kata Iblis: "YaTuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?"

Firman Allah S.W.T.: " Wahai Iblis, cerita bagimu ialah kata-kata dusta (bohong dan yang bersangkutan dengannya)."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan azan pada anak Adam untuk mereka mengajak orang datang (mengumpulkan orang untuk solat berjamaah). Apakah azanku (untuk mengumpulkan orang)."

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, azan untukmu ialah seruling."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan para Rasul) kepada anak-anak Adam. Siapakah yang akan menjadi utusan bagiku."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, para utusanmu ialah terdiri dari para dukun (dan yang lebih kurang sama dengannya)."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al-Qur'an) kepada anak-anak Adam, apakah tulisan bagiku?"

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, tulisan mu ialah tulisan gincu yang palsu di badan (seperti lukisan-lukisan dilengan, tahi lalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)".

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak-anak Adam itu perangkap-perangkap. Apakah perangkap bagiku."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, perangkap untuk mu ialah wanita-wanita."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan makanan (yang disebut dengan namaMu) kepada anak-anak Adam. Apakah makanan untukku?"

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah berikan minuman (minuman yang halal dan yang sentiasa dimulakan dengan bismillah) kepada anak-anak Adam. Apakah minuman bagiku?"

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, minuman untukmu ialah sesuatu yang memabukkan (seperti arak, yang lebih kurang sama dengannya dan minuman yang tidak dimulakan dengan bismillah)."

Ibnu Mas'uud r.a: berkata: "Kalau seseorang itu makan dengan tidak membaca bismillah, maka syaitan akan makan bersamanya. Apabila seseorang itu makan dan dimulai dengan bismillah maka syaitan tidak akan dapat makan bersama bahkan syaitan akan memuntahkan kembali apa-apa yang sudah dimakannya.

Ibrahim Annakhaai berkata: "Kalau seseorang itu masuk ke rumahnya dan memberi salam, maka syaitan akan berkata: Tidak ada tempat bagiku di sini.' Dan kalau seseorang itu hendak makan atau minum lalu dimulai dengan bismillah maka syaitan akan berkata: 'Tidak ada tempat dan tidak ada makanan dan minuman untukku di sini.' Akan keluarlah syaitan dengan rasa kecewa."

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

Friday, May 7, 2021

KISAH SEDIH BILAL BIN RABBAH...

Azan terakhir Bilal ketika tiba di Kota Madinah 
untuk menziarahi Rasulullah s.a.w. 

Beliau memenuhi permintaan Saidina Umar untuk melaungkan azan walaupun ia merasa sangat berat dan sedih. Akibat terlalu sayu, ketika tiba pada rangkap Ash Hadu An Na Muhammadur Rasulullah ia lalu rebah dan tak sanggup untuk meneruskan azan tersebut hingga ke akhirnya..

BILAL DISIKSA OLEH ABU JAHAL...

Bilal bin Rabah adalah seorang lagi tokoh sahabat Rasulullah S.A.W. yang kedua pentingnya dalam menegakkan syiar Islam. Kisah ataupun riwayat hidupnya sebelum dan sesudah memeluk agama Islam adalah merupakan suatu kisah yang amat memilukan bagi kaum muslimin yang mengetahuinya.

Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang paling rapat. Ke mana sahaja Rasulullah S.A.W. pergi dia tetap bersama dengannya.

Bilal bin Rabah pada asalnya adalah seorang hamba kepada sahabat karib Abu Jahal yang bernama Umaiyah bin Khalaf. Menurut riwayat, setelah Umaiyah mengetahui bahawa Bilal telah memeluk agama Islam, Umaiyah telah menyiksanya dengan cara yang amat kejam sekali.

Pernah suatu ketika beliau telah didera di tengah padang pasir dalam keadaan ditelentangkan dengan badan yang ditelanjangkan. Di tengah padang pasir dan di bawah keterikan panas matahari yang membakar itu beliau telah dipukul oleh beberapa orang tukang pukul dari golongan kaum Quraisy. Tujuan mereka berbuat begitu ialah agar Bilal kembali kepada agama asalnya.

Oleh kerana keimanan Bilal begitu menebal, mereka tidak berjaya mengubah akidahnya. Sebaliknya semakin hebat dia disiksa semakin galak dia mengingati Allah S.W.T. Semasa dia disiksa dia tidak henti-henti menyebut: "Ahad! Ahad!"

Semakin kuat Umaiyah menyiksa dia semakin galak dia menyebut ayat itu.

Melihatkan Bilal bersikap teguh dengan pendiriannya, lantas Umaiyah menampar mukanya dan berkata: "Hei budak jahat, engkau benar-benar celaka, aku mahu kau menyebut lata dan uzza."

Namun demikian, walaupun dia disiksa dengan sebegitu kejam akan tetapi pada Bilal itu hanyalah merupakan menambahkan keimanan terhadap agamayang telah diyakininya itu.

Setelah melihatkan segala tindakannya terhadap Bilal tidak mendatangkan kesan maka Umaiyah pun pergi berjumpa dengan Abu Jahal. Setibanya dia di rumah Abu Jahal maka Umaiyah pun bermuafakat dengannya bagaimana hendak mengatasi masalahnya itu.

Umaiyah berkata kepada Abu Jahal: "Lebih baik saja kita bunuh budak hitam itu." "Itu tidak bijak," jawab Abu Jahal. "Kalau membunuh dia bererti kita lemah dan kalah. Orang akan menentang kita secara diam-diam," sambung Abu Jahal.

Umaiyah berkata lagi: "Apakah yang patut kita lakukan?" "Kita siksa dia sehingga dia tidak berdaya lagi," kata Abu Jahal memberi pendapat.

Umaiyah berkata lagi: "Sampai bila dan berapa lamakah kita harus menyiksa dia?" "Sampai dia kafir semula," jawab Abu Jahal bangga. Umaiyah tidak berasa puas hati maka dia berkata lagi: "Ya Abu Jahal, kita sebenarnya masih ketinggalan zaman kerana belum pernah aku lihat seorang manusia yang begitu sabar menanggung pelbagai azab demi mempertahankan kepercayaannya sebagaimana Bilal."

Umaiyah bertanya lagi: "Adakah cara lain yang engkau fikir boleh membuatkan dia mengubah pendiriannya?" "Begini," kata Abu Jahal memulakan pendapatnya. "Bukankah hari amat panas sekali, jadi pakaikan dia dengan pakaian besi kemudian kita jemurkan dia di tengah padang pasir di luar kota Mekah. Aku percaya budak hitam itu tidak akan dapat menahan kepanasan besi dan cahaya matahari yang membakar itu."Umaiyah bertanya lagi: "Adakah perbuatan ini akan berhasil?" "Tentu sekali aku percaya dan yakin jika dia mendengar rancangan kita ini tentu dia akan meminta ampun dan dengan itu sudah tentu dia akan kembali kepada agama asalnya," kata Abu Jahal dengan penuh yakin.

Setelah segala rancangan mereka siap diatur maka mereka pun menangkap Bilal dan dipakaikannya dengan sehelai baju besi. Kemudian mereka pun membawa Bilal ke tengah padang pasir dengan kakinya dirantai.

Setibanya di tengah padang pasir itu mereka pun meninggalkan Bilal keseorangan diri di antara batu-batu padang pasir itu.

Hari itu amat panas sekali sehingga tidak ada sesiapapun yang sanggup berdiri lama di bawah sinaran matahari pada masa itu. Manakala pada malam harinya pula keadaannya amat sejuk sehingga terasa ke tulang hitam.

Azab yang diterima oleh Bilal tidak terperi sakitnya. Bagaimanapun dia tidak mengeluh atau gentar menghadapi segala percubaan yang diterimanya. Hatinya bulat, dia hanya berdoa kepada Allah S.W.T. agar Allah S.W.T. menguatkan imannya di samping memohon bantuan agar Allah S.W.T. melepaskan dia dari azab yang tertanggung itu.

Keesokan harinya Abu Jahal dan Umaiyah datang menemui Bilal. Dalam hati mereka berdua menyangka tentulah Bilal akan bersujud kepada mereka meminta ampun dan berjanji akan mengubah pegangannya.

Sebaik saja syaitan Quraisy itu bersemuka dengan Bilal, semangatnya menjadi semakin kental menghadapi segala kemungkinan dan kemarahannya semakin meluap- luap terhadap kedua manusia itu.

Abu Jahal mendekati Bilal lalu membisikkan sesuatu, katanya: "Hai Bilal, bagaimanakah keadaan engkau sekarang?" Kemudian Bilal menjawab: "Ahad! Ahad!"

Mendengar perkataan itu, secara tiba-tiba Abu Jahal menjadi marah. Hatinya berasa terlalu sakit mendengar perkataan itu, bagi dia perkataan itu seolah-olah racun baginya.

Lantas dia berkata kepada Bilal dengan geramnya: "Hei budak hitam, apakah kau masih mahu berkeras di atas kesesatan engkau ini."

Abu Jahal mengamuk dan meradang setelah Bilal tetap dengan pendiriannya. Dia mencari-cari di sekelilingnya kalau-kalau ada benda yang dapat dipergunakannya untuk membunuh Bilal pada masa itu. Kemudian dia ternampak seketul batu besar tidak jauh dari situ, lantas dia serta Umaiyah dan juga para pengikut yang mengiringi mereka mengangkat batu besar itu dan meletakkannya di atas dada Bilal bin Rabah.

Setelah batu itu diletakkan di atas dadanya, Bilal merasa terlalu sukar untuk bernafas, tetapi dalam hatinya dia masih menyeru "Ahad! Ahad!".

Abu Jahal, Umaiyah dan para pengikutnya mengugut Bilal mengatakan bahawa dia akan mati tidak lama lagi. Mereka bersorak-sorak melihat keadaan Bilal semakin payah untuk bernafas dan semakin perlahan pula suaranya menyebut "Ahad! Ahad!". Akan tetapi gerak bibirnya masih belum berhenti dari menyebut perkataan itu.

Segala harapan Abu Jahal untuk melihat Bilal memohon ampun dan balik ke agama asalnya meleset sama sekali. Bahkan bibir Bilal tidak henti-henti menyebut "Ahad! Ahad!, malah adakalanyakedengaran pula dia berdoa kepada Allah S.W.T., katanya: "Ya Allah, sekiranya mereka mahu membunuh aku agar aku menyengutukan Tuhan Ar- Rahman maka biarlah aku mati daripada menyengutukan Tuhan. Aku tidak takut mati, aku lebih takut menyengutukan Tuhan Ar-Rahman. Ya Allah, Tuhan Ibrahim, Yunus, Musa dan Isa aku bermohon kepadamu selamatkanlah aku daripada siksaan ini.

Doa Bilal yang kedengaran terketar-ketar itu didengari oleh Abu Jjahal dan Umaiyah. mereka berpandangan sesama sendiri memikirkan apakah yang harus dilakukan lagi terhadap Bilal. kemudian Umaiyah herkata kepada Abu Jahal: "Bukankah sudah aku bentahu pada engkau tak guna lagi kita menyiksa budak itu. Dia memang keras kepala, memang tidak ada harapan yang dia akan mengikuti agama kita lagi, lebih baik saja kita bunuh dia.

Dalam perkara ini Abu Jahal lebih pintar dari Umaiyah. Sambil menundukkan kepalanya dia mencari- cari jalan bagaimana hendak memaksa Bilal supaya dia kembali kafir. Membunuhnya sebagaimana yang disarankan oleh Umaiyah adalah jalan yang terakhir tetapi tidak menguntungkan kepada mereka, sebaliknya dia akan membawa banyak akibat dan kerugian kepada pihak Quraisy sendiri.

Kisah penderitaan Bilal menghadapi siksa dari pihak Quraisy akhirnya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W. dan Saiyidina Abu Bakar Al Siddiq r.a. Setelah mendapat berita itu, tanpa membuang masa Saiyidina Abu Bakar pun terus menuju ke tempat Bilal disiksa itu. Di bawah kepanasan cahaya matahari Saiyidina Abu Bakar meredah padang pasir yang luas itu.

Dari jauh dia nampak sekumpulan manusia sedang mengerumuni sesuatu. Tanpa membuang masa Saiyidina Abu Bakar datang ke arah mereka, mereka pun berundur. Sebaik saja Saiyidina Abu Bakar sampai di situ dilihatnya Bilal masih hidup dan dia tidak henti menyebut "Ahad! Ahad!", akan tetapi keadaannya begitu menyayat hati. Dia meronta-ronta seperti separuh nyawa ikan. Batu besar yang menghempap pada perutnya menyebabkan dia mengalami kesesakan nafas.

Melihat keadaan sahabatnya diperlakukan begitu dia berasa amat hiba sekali, Saiyidina Abu Bakar yang biasanya bersifat penyabar lemah lembut dan tenang tiba-tiba saja melenting marah bagai api menjulang. Api fcemarahannya terlalu membara melihat kejadian yang gienyayatkan itu. Ketika itu dilihatnya Abu Jahal dan Umaiyah adalah seperti budak kecil.

Dengan suara yang lantang dia berkata kepada Abu Jahal: "Sampai bila kamu akan menyiksa budak itu?" Kata Umaiyah: "Itu urusan kami, mengapa kau harus masuk campur, ini hamba aku, aku boleh siksa dia sesuka hati aku dan aku boleh lepaskan dia bila aku suka."

"Apakah engkau tidak takut kepada Allah melakukan siksaan seperti ini?", kata Saiyidina Abu Bakar. Umaiyah berkata lagi: "Cukup........ cukup hai Abu Bakar! kerana engkaulah maka dia aku siksa dan engkaulah yang merosakkannya." Jawab Abu Bakar dengan marah: "Aku bukan merosakkannya, aku hanya menunjukkan jalan yang benar."

"Sudah....sudah aku cukup mengerti perkara itu, engkau tidak perlu menerangkannya. Hanya satu permintaan aku jangan kau campuri urusan kami," bentak Umaiyah.

"Kami tidak akan membiarkan perbuatan kejam seperti ini dilakukan terutama sekali terhadap salah seorang teman yang sefahaman dengan kami. Menyiksa dan memaksa dia sama dengan menyiksa dan memaksa kami. Terus terang aku katakan bahawa aku akan membelanya dan tidak akan meninggalkan tempat ini sebelum engkau melepaskannya dan memerdekakan daripada penganiayaan yang kejam ini," tegas Abu Bakar geram.

"Kami semua sudah sepakat tidak akan melepaskannya sehingga dia kembali kepada agama asalnya atau dia mati dalam siksaan ini," jawab Umaiyah pula. Kemudian Abu Bakar berkata lagi: "Engkau akan hampa saja hai Umaiyah. Sudah pasti dia tidak akan kembali kepada agama asalnya setelah mendapat hidayat dari Allah. Seperti orang yang berada dalam gelap gelita dia tidak akan mahu ketempat gelap itu setelah menemui tempat yang terang benderang."

Umaiyah berkata dengan marah: "Wahai Abu Bakar, apakah engkau datang ini untuk meminta ampunkan dosanya daripada kami atau engkau datang ini untuk membantu dia menghina dan memaki hamun Tuhan kami di hadapan muka kami sendiri?"

"Saya katakan kepada kamu semua bahawa dia akan tetap berpegang kepada kepercayaannya sampai dia mati walaupun dia disiksa". "Jadi adakah kamu mahu dia hidup dan saya beri dia makan dan minum serta pakaian kemudian dia menghina dan mengejek-ejek agama kami setelah itu dia menggoda isteri dan anak-anak kami?" sergah Umaiyah.

"Aku sedia.membelinya." kata Abu Bakar selamba. "Engkau mahu membelinya," kata Umaiyah seakan-akan terkejut. "Benar....aku mahu membelinya," kata Abu Bakar. "Berapakah kamu sanggup membayarnya," tanya Umaiyah. "Berapa yang kamu minta," jelas Abu Bakar.

Setelah berpakat dengan Abu Jahal, Umaiyah pun berkata: "Lima wang emas (setengah kilo)." Tanpa tawar menawar Abu Bakar terus membayarnya. Setelah urusan jual beli itu selesai, tanpa membuang massa Saiyidina Abu Bakar berlari mendapatkan Bilal yang sedang dihempap batu besar itu. Oleh kerana batu itu terlalu besar Saiyidina Abu Bakar tidak berdaya mengangkatnya seorang diri. Orang ramai yang tadi bersurai datang menolong Abu Bakar kerana bersimpati dengannya. Kemudian batu besar itu berjaya diangkat dan Bilalpun terselamat dari siksaan seterusnya.

Saiyidina Abu Bakar terus memapah Bilal untuk dibawa pulang mengadap Rasulullah S.A.W. Tidak lama kemudian Saiyidina Abu Bakar memerdekakan Bilal. Akhirnya Bilal dibebaskan dan tidak dikuasai oleh sesiapa lagi. Lantaran tingginya budi Saiyidina Abu Bakar dan besarnya jihad beliau terhadap Islam maka turunlah ayat Quran yang menyatakan kesalahan Umaiyah bin Khalaf serta memuji Saiyidina Abu Bakar yang penuh dengan sifat kemanusiaan yang tiada bandingannya itu.

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

Saturday, February 6, 2021

HIKAYAT 1001 MALAM : EPISOD 41 - 50

 EPISOD 41 : AHLI KHAT TERMASYHUR...

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Dikisahkan, wahai Raja yang bahagia, orang-orang yang berada di situ sangat hairan dengan kisah sufi pertama. Sang khalifah berkata kepada Jaafar, "Sepanjang hidupku, belum pernah kudengar kisah yang begini aneh."

 

Lalu sufi kedua maju dan berkata, "Demi Tuhan, wahai tuan puteri, aku tidak dilahirkan dengan mata sebelah. Ayahku seorang raja, dan dia mengajari aku cara menulis dan membaca hingga aku boleh membaca Al-Qur'an yang Agung dengan tujuh lagu bacaan. Kemudian aku mempelajari ilmu hukum dalam sebuah buku karya Al-Syaabi dan memberikan penjelasan tentangnya di depan para sarjana yang lain. Lalu aku mempelajari bahasa Arab klasik dan tata bahasanya hingga mencapai puncak kemahiran dan menyempurnakan seni khat hingga mengungguli semua rakan- rakan yang sezaman denganku dan seluruh ahli khat terkemuka pada zaman itu. Kemasyhuran, kemahiran dan seni khatku menyebar ke setiap wilayah dan kota hingga ke telinga semua raja zaman itu.

Suatu hari raja India mengirimkan kepada ayahku hadiah-hadiah dan benda-benda berharga yang patut diterima raja dan memintanya untuk mengutusku menemuinya. Ayahku menyediakan enam ekor kuda tunggangan dan mengutus aku bersama para pengawal. Lalu kuucapkan selamat padanya dan memulai perjalananku. Kami mengenderai kuda selama sebulan penuh hingga suatu hari kami menemui longgokan debu yang menggu nung, tetapi sebentar kemudian angin meniup debu itu dan udara bersih kembali. Tiba-tiba kami melihat lima puluh orang penunggang kuda yang nampak bagaikan singa-singa yang me mandang tajam ke arah kami dalam pakaian baja....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Kak, alangkah menghairankan dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Esok malam aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh, lebih menghairankan dan lebih menarik, jika sang raja mengizinkanku dan membiarkan aku hidup!"

 Al-Syaabi : Penulis terkenal dalam masalah fiqh Islam

**********************************************

EPISOD 42 : PARA PENYAMUN YANG MEMAKAI BAJU BAJA...

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bahagia, sufi kedua, iaitu anak raja itu berkata kepada sang gadis:

Ketika kami memandang mereka dengan saksama, tahulah kami bahawa mereka adalah para penyamun. Ketika mereka melihat jumlah kami yang sedikit dengan sepuluh muatan berisi berbagai jenis barang yakni barang-barang untuk hadiah mereka menyangka bahawa kami membawa berpeti-peti wang. Mereka menghunuskan pedang dan mengarahkan tombak mereka kepada kami. Kami memberi isyarat kepada mereka, sambil mengatakan, "Kami adalah para utusan yang akan menemui raja India; kalian tidak boleh mengganggu kami."

Mereka menyahut, "Kami tidak berada di dalam wilayahnya atau di bawah kekuasaannya."

Lalu mereka membunuh semua pengawalku dan melukaiku. Tetapi ketika para penyamun itu sedang sibuk merampas hadiah-hadiah yang kami bawa, aku berjaya melarikan diri dan mengembara tanpa mengetahui ke mana aku harus pergi atau ke arah mana jalan yang harus kulalui. Sebelum ini aku berjaya, tetapi kini menjadi hina; sebelum ini aku kaya, tetapi kini menjadi miskin....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Kak, alangkah menghairankan dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Esok malam aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh, lebih menghairankan dan lebih menarik, jika sang raja mengizinkanku dan membiarkan aku hidup!"

**********************************************

EPISOD 43 : SEBUAH ISTANA DIBAWAH TANAH...

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba, mendengar, wahai Raja yang bahagia, sufi kedua berkata kepada gadis itu:

Setelah aku dirompak, aku meneruskan perjalanan. Ketika malam menjelang, aku memanjat sisi sebuah gunung dan berteduh di dalam sebuah gua dari malam hingga pagi. Lalu aku berjalan lagi hingga malam tiba, makan dari tanaman yang tumbuh di atas tanah dan buah-buahan dari pepohonan, dan tidur hingga fajar. Selama sebulan aku mengembara dengan cara demikian hinggalah aku tiba di sebuah kota yang indah, aman dan makmur, yang penuh orang-orang yang baik. Saat itu musim sejuk baru saja meninggalkan saljinya dan musim semi datang bersama mawar-mawarnya. Sungai-sungai mengalir, bunga-bunga berkembang dan burung-burung bernyanyi. Itu adalah kota seperti yang digambarkan sang penyair:

Lihatlah kota yang tenteram,
bebas dari ketakutan,
Yang keajaibannya membuatnya nampak indah bagai syurga.

Aku merasa senang dan serentak dengan itu juga perasaan sedih pada waktu yang bersamaan; senang kerana telah tiba di sebuah kota; sedih kerana berada dalam keadaan yang begitu menyedihkan. Aku sangat letih setelah berjalan terus menerus sehingga aku menjadi pucat karena keletihan. Wajah dan tangan serta kakiku pecah-pecah, dan aku dilanda perasaan khuatir dan duka. Aku memasuki kota itu, tanpa mengetahui ke mana harus pergi. Kebetulan aku melalui seorang penjahit yang sedang duduk di kedainya. Aku menyapanya, dan dia membalas sapaanku. Ketika melihat diriku, dia menyambutku dan sambil menjemputku untuk duduk bersamanya, berbicara santai kepadaku.

Penjahit itu menanyakan siapakah aku, dan aku menceritakan kepadanya tentang diriku dan apa yang telah terjadi terhadapku. Dia ikut sedih atas nasibku dan berkata, "Anak muda, jangan ceritakan rahsiamu pada siapa pun, sebab raja di kota ini adalah musuh terbesar ayahmu, dan ada pertentangan berdarah di antara mereka."

Lalu dia membawa makanan dan kami makan bersama. Ketika malam tiba, dia memberiku sebuah tempat untuk berehat di sampingnya di dalam kedai itu, dan membawakanku sebuah selimut dan keperluan-keperluan lain. Aku tinggal bersamanya selama tiga hari, lalu dia menyoalku, "Tidakkah engkau mempunyai kemahiran yang dapat engkau pergunakan untuk mencari nafkah?"

Aku menyahut, "Aku seorang ahli hukum, ahli sastera, penyair, ahli tata bahasa dan penulis khat."

Dia berkata, "Kemahiran-kemahiran seumpama itu tidak begitu diperlukan di kota kami."

Aku menyahut, "Demi Tuhan, aku tidak mempunyai keahlian lain lagi, kecuali apa yang telah kusebutkan padamu."

Dia berkata, "Persiapkan dirimu, ambillah sebuah kapak dan tali, dan pergilah menebang kayu di hutan sebagai mata pencarianmu. Tetapi supaya engkau tidak mati, simpanlah rahsiamu dan jangan biarkan seorang pun mengetahui siapa dirimu, hinggalah Tuhan mengirimkan pertolongan padamu."

Lalu dia membelikanku sebuah kapak dan tali dan menyerahkanku di bawah pengawasan para penebang kayu tertentu. Aku pergi bersama mereka, menebang kayu sepanjang hari, dan kembali pulang, dengan membawa hasil kerjaku di atas kepala. Aku menjual kayu itu seharga setengah dinar dan membawa wang itu kepada si penjahit. Dengan pekerjaan seperti itu aku melewatkan waktu satu tahun penuh.

Suatu hari aku pergi ke hutan, dan setelah masuk jauh ke dalam, kutemukan serumpun pepohonan di tengah padang rumput yang mendapat air dari sungai-sungai yang mengalir. Ketika aku memasuki rumpun itu, kudapati setunggul pohon, dan ketika kugali di sekelilingnya dengan kapakku dan menyingkirkan tanah di situ, aku melihat sebuah cincin yang melekat pada sebuah papan kayu. Aku mengangkat papan itu dan di bawahnya kutemukan sebuah tangga. Aku menuruni anak tangga itu, dan ketika sampai di dasarnya, aku menemukan sebuah istana di bawah tanah yang dibangun dengan kokoh dan dibina dengan indah; sebuah istana yang sangat mewah tiada taranya. Aku masuk ke dalam dan melihat seorang gadis cantik yang nampak bersinar bagaikan mutiara yang cemerlang atau cahaya matahari, yang tutur katanya menghapuskan seluruh kesedihan dan memikat orang yang paling pandai dan bijaksana sekalipun. Tinggi sekitar lima kaki, bentuk tubuhnya indah, dadanya padat, pipinya lembut dan wajahnya menawan. Di antara rambutnya yang hitam, nampak wajahnya bercahaya, dan di atas dadanya yang lembut, mulutnya kemilau, sebagaimana sang penyair melukiskan gadis seperti dirinya:

Empat hal
yang tidak pernah menyatu
di sini berpadu
Untuk menumpahkan darahku
dan merosakkan jantungku,
Alis yang cemerlang
dan rambut yang memikat
Dan pipi yang kemerahan
dan senyum yang gemerlap....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!"

 ********************************************

 EPISOD 45 : SEORANG GADIS DI DALAM ISTANA JIN...

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bahagia, sufi kedua itu berkata kepada si gadis:

Ketika gadis itu memandangku, dia bertanya, "Siapakah engkau, seorang manusia atau jin?"

Aku menyahut, "Aku seorang manusia."

Dia bertanya lagi, "Apa yang menyebabkan engkau sampai di sini? Aku telah hidup di tempat ini selama dua puluh lima tahun tanpa pernah melihat seorang manusia pun."

Aku berkata karena kuanggap kata-katanya begitu manis dan mengharukan dan dia telah memikat hatiku - "Nasib baikku membawaku ke sini untuk mengusir kesedihanku, atau barangkali nasib baikmu, untuk menghapuskan kesedihanmu."

Lalu kuceritakan kepadanya kemalanganku, dan dia merasa ikut sedih dan berkata, "Aku pun akan menceritakan kepadamu kisahku. Aku adalah puteri Aftimarus, raja dari Pulau Kayu Hitam. Ayahku menikahkanku dengan salah seorang saudara sepupuku, tetapi pada malam perkahwinanku seorang jin menculikku, membawaku terbang, dan sesaat kemudian menurunkan aku di tempat ini. Lalu dia membawakanku semua yang kuperlukan, makanan dan minuman serta gula-gula dan yang lain-lain. Setiap sepuluh hari sekali dia datang untuk melewatkan malam bersamaku, sebab dia mengambilku setelah dia sendiri berkeluarga. Jika aku memerlukan sesuatu darinya pada malam atau siang hari, aku hanya perlu menyentuh dua garis yang terukir pada ambang pintu, dan dia akan berada di hadapanku sebelum aku mengangkat jari-jariku. Dia telah pergi selama empat hari, jadi tinggal enam hari lagi sebelum dia datang lagi ke sini. Mahukah engkau bersamaku selama lima hari ini dan pergi sehari sebelum dia datang?"

Aku menyahut, "Ya, tentu!"

Dia merasa senang dan bangkit lalu menggandengku, berjalan melalui pintu melengkung menuju ke sebuah bilik mandi. Dia melepaskan pakaianku dan pakaiannya sendiri dan, setelah memasuki bak mandi, dia memandikanku dan membasuh tubuhku. Ketika kami keluar, dia memakaikan padaku pakaian baru, mendudukkan aku di atas sebuah dipan, dan sambil memberikan padaku secangkir besar sari buah untuk diminum, duduk bercakap-cakap denganku sebentar. Lalu dia menyiapkan makanan di hadapanku, dan aku makan hingga kenyang. Lalu dia memberiku bantal sambil berkata, "Berbaringlah dan berehatlah, sebab engkau letih."

Aku berbaring dan tidur, melupakan segala kesedihan di dunia dan memperolehi kembali tenagaku. Ketika aku bangun, aku mendapatinya sedang memijatku. Aku bangkit, duduk dan mengucapkan terima kasih padanya, dan mendoakan rahmat Tuhan untuknya. Lalu dia bertanya, "Anak muda, apakah engkau bersedia untuk minum?"

Aku menjawab, "Ya, mari kita minum," dan dia pergi ke lemari mengeluarkan sebotol anggur tua yang masih tertutup dan sambil mengemaskan meja dengan hidangan yang mewah, ia mulai menyanyikan syair-syair berikut ini:

Kalau saja kami mengetahui kedatanganmu,
mata hitam kami
atau jantung kami yang berdebar-debar
keranamu pasti telah membahagiakan,
Atau dengan pipi kami pasti telah menyelubungi bumi,
Sehingga di atas kelopak mata kau dapat berjalan.

Cintaku padanya mulai menyihir seluruh jiwaku dan kesedihanku musnah. Kami duduk minum-minum hingga malam tiba, dan bersamanya kulalui malam yang sangat indah yang belum pernah kualami seumur hidupku. Ketika kami bangun, kesenangan demi kesenangan kami nikmati sampai tengah hari, dan aku telah demikian mabuk sehingga aku hampir kehilangan kesedaran dan mulai berjalan terhuyung-hayang ke kanan dan ke kiri.

Aku berkata, "Wahai kekasihku yang cantik jelita, biarkan aku membawamu naik dan membebaskanmu dari penjara dan sarang jin ini."

Dia tertawa dan menyahut, "Wahai kekasihku, duduklah diam-diam, tenangkan dirimu dan berbahagialah, sebab dari setiap sepuluh hari hanya sehari yang kuperuntukkan bagi jin itu dan yang sembilan untukmu."

 ku berkata kerana minuman itu telah menghangatkan badanku. "Saat ini juga aku akan menendang ambang pintu dengan tulisan terukir itu dan membiarkan si jin datang, agar aku dapat membunuhnya, sebab aku telah terbiasa membunuh puluhan jin."

Ketika dia mendengar kata-kataku, dia menjadi pucat dan gementar seraya berkata, "Jangan, demi Tuhan, jangan lakukan itu."

Lalu dia melantunkan bait-bait berikut ini:

Kau, yang mengharapkan perpisahan,tahan keinginanmu,
Sebab kuda-kudanya terlalu cepat dan bebas.
Tahanlah,
sebab pengkhianatan telah menjadi cara kehidupan
Dan kekerasan akhir dari persahabatan.

Tetapi dalam keadaan mabuk, kutendang juga ambang pintu itu....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Kak, alangkah menghairankan dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Esok malam aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh, lebih menghairankan dan lebih menarik, jika sang raja mengizinkanku dan membiarkan aku hidup!"

******************************************* 

EPISOD 45 : SEORANG LELAKI TUA PARSI YANG MEMBAWA SELIPAR DAN BAJU BESI

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Dikisahkan, wahai Raja yang bahagia, sufi kedua itu berkata kepada sang gadis:

Segera setelah aku menendang ambang pintu, datanglah guntur dan halilintar, dan bumi mulai bergoncang dan segalanya berubah gelap. Aku langsung tersedar dan berteriak padanya, "Apa yang sedang terjadi."

Dia menjawab, "Jin itu datang. Wahai kekasihku, bangunlah dan larilah menyelamatkan diri"

Aku segera berlari menaiki tangga, tetapi dalam ketakutan yang mencekam, aku meninggalkan selipar dan kapak besiku. Aku belum sampai mencapai puncak tangga ketika kulihat lantai istana terbelah hancur dan jin itu muncul sambil berkata, "Bencana apa yang telah mendorongmu untuk menyusahkan aku seperti ini?"

Dia menjawab, "Tuanku, hari ini aku merasa sedih sekali dan minum sedikit anggur untuk menenangkan hatiku. Lalu aku bangun untuk pergi menenangkan diri, tetapi aku merasa pusing dan jatuh menimpa ambang pintu."

Jin itu berkata, "Kau berdusta, kamu pelacur," dan sambil melihat ke sekelilingnya, jin itu menemukan selipar dan kapakku, lalu bertanya, "Milik siapa ini semua?"

Dia menjawab, "Saya belum pernah melihatnya sebelum ini. Mungkin ia melekat di bajumu dan engkau membawanya kemari."

Jin itu berkata, "Aku tak akan tertipu oleh muslihat ini, kamu perempuan pelacur!"

Lalu dia mencengkeramnya, menelanjanginya dan sambil mengikat kedua tangan dan kakinya ke empat tiang, mulai menyeksanya untuk supaya mengakui akan apa yang telah terjadi.

Wahai tuan puteri, dengan gementar ketakutan, aku memanjat tangga itu pelan-pelan hingga aku berjaya keluar. Lalu aku meletakkan penutup lubang itu seperti sebelumnya dan menutupinya dengan tanah. Aku merasa sedih sekali dan sangat menyesal, ketika aku memikirkan tentang gadis itu, kecantikannya, kebaikannya dan sikapnya yang murah hati, bagaimana dia telah hidup tenang selama dua puluh lima tahun dan bagaimana dalam satu malam saja aku menimpakan bencana ini padanya. Dan ketika kuingat ayahku dan negeriku, bagaimana kesenangan bertukar menjadi kesusahan dan aku menjadi penebang kayu, dan bagaimana untuk sesaat ia bersahabat denganku dan menghukumku lagi, aku meratap dengan sedih, menyalahkan diri sendiri, dan mengulang-ulangi sajak berikut ini:

Nasibku melawanku bagaikan seorang musuh
Dan mengejarku yang tak berdaya tanpa henti.
Jika sekali ia mahu memperlakukanku dengan baik,
Seketika ia berbalik, siap menghukumku.

Lalu aku terus berjalan hingga aku tiba di rumah kawanku si penjahit, yang kulihat sedang menantiku dengan sangat cemas. Dia gembira melihatku dan bertanya, "Saudaraku, di mana engkau tidur semalam? Aku mengkhuatirkanmu, syukur kepada Tuhan atas keselamatanmu."

Aku berterima kasih padanya atas keprihatinannya dan ketika aku berada di tempat istirehatnya, duduk memikirkan tentang apa yang telah menimpaku, menyalahkan diri sendiri yang telah berlaku ceroboh, sebab jika aku tidak menendang ambang pintu itu, tak akan terjadi apa-apa. Ketika aku sedang duduk, sedang dilamun pemikiran semacam itu, kawanku si penjahit mendatangiku dan berkata, "Di luar ada seorang lelaki tua Parsi, yang membawa kapak besi dan seliparmu. Dia telah membawanya kepada para penebang, yang berkata, "Saya pergi pagi ini untuk memenuhi seruan azan dan tersandung kapak dan selipar ini. Lihatlah barang-barang ini dan katakan pada saya siapa pemiliknya dan di mana saya dapat menjumpainya."

Para penebang itu mengenali kapakmu dan mengatakan padanya di mana tempat tinggalmu, dengan berkata, "Kapak ini milik seorang pemuda, seorang asing yang tinggal bersama si penjahit. Pada saat ini orang itu sedang berada di kedai. Pergilah menjumpainya dan berikan kapak ini padanya."

Ketika aku mendengar apa yang dikatakan si penjahit itu, aku merasa pusing dan berubah pucat dan, sementara kami sedang berdiri sambil berbicara, lantai bilikku merekah remuk dan dari situ muncullah si lelaki tua Parsi, yang sebenarnya adalah jin itu sendiri. Dia telah menyeksa gadis itu hingga hampir mati, tetapi si gadis tidak mengaku. Maka dia mengambil kapak dan selipar itu seraya berkata, "Jika aku benar-benar anak perempuan jin, aku akan membawa kembali ke hadapanmu pemilik kapak ini." Lalu dia menyamar sebagai seorang lelaki Parsi dan datang menjumpaiku. Ketika tanah merekah remuk dan dia muncul....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!"

*********************************************

EPISOD 46 : GADIS YANG DISEKSA OLEH JIN...

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Sang raja menambahkan, "Hendaklah cerita itu lanjutan daripada kisah si penebang kayu, jin dan gadis yang diseksa itu." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Dikisahkan, wahai sang Raja, sufi kedua itu berkata kepada gadis itu:

Segera setelah jin itu muncul, dia menarikku dari bilikku, membawaku terbang tinggi ke langit, dan terbang bersamaku. Dalam tempoh sekejap saja dia sudah mendarat, menendang lantai dengan kakinya, membuatnya merekah remuk dan terus membawaku yang telah jatuh pengsan, menembus ke dalam tanah dan muncul di tengah istana di mana aku pernah bermalam di dalamnya. Di sana kulihat gadis itu telanjang, kedua tangan dan kakinya terikat, pinggangnya berdarah, dan air mata memenuhi pelupuk mataku. Jin itu melepaskan ikatannya dan sambil menyelimuti tubuhnya, ia berkata, "Kau pelacur, benarkan bahawa lelaki ini kekasihmu?"

Sambil memandang padaku, dia menjawab, "Aku sama sekali tidak mengenali lelaki ini dan aku tidak pernah melihatnya hingga saat ini."

Jin itu berkata, "Jahanam kau, dengan semua seksaan ini, kau tetap tidak mahu mengaku!"

Dia berkata, "Aku tidak mengenali lelaki ini, dan aku tidak mahu berbohong tentang dia dan membiarkanmu membunuhnya."

Jin itu menyahut, "Jika kau tidak mengenalinya, ambillah pedang ini dan penggallah kepalanya."

Dia mengambil pedang itu dan sambil mendatangiku, berdiri menghadapiku. Aku memberi isyarat padanya dengan kerdipan mataku, dan dia mengerti dan balas mengerdip, yang bererti, "Bukankah kau orang yang mengakibatkan semua ini menimpa kita?" Aku memberi isyarat lagi, "Inilah waktunya untuk memberi maaf," dan dia menyahut dengan kata-kata yang tertulis dengan air mata di pipinya:

Mataku berbicara mewakili lidahku untuk membuatnya tahu,
Dan cinta mengacaukan apa yang ingin kusembunyikan.
Ketika kita terakhir bertemu dan mencurahkan fikiran kita
dalam linangan air mata
Lidah terkunci,
kubiarkan mata mengungkapkan isi hatiku.
Dia memberi isyarat dengan matanya, dan aku mengerti;
Dia mengerdip, dan dia tahu apa yang dikatakan mata.
Bulu mata kami menjalankan tugas kami dengan baik sekali, 
Sementara kami berdiri diam
dan membiarkan cinta membara

Lalu gadis itu melemparkan pedangnyadan melangkah mundur sambil berkata, "Bagaimana mungkin aku memenggal leher orang yang tidak kukenali dan menanggung dosa dari cucuran darahnya?"

Jin itu berkata, "Kau tidak sampai hati membunuhnya sebab dia pernah tidur bersamamu. Kau telah menderita akibat segala seksaan ini, namun kau tetap tak mahu mengaku. Jelaslah bahawa orang hanya dapat ikut merasakan dan mengasihani yang sejenis dengannya."

Lalu jin itu menatapku dan berkata, "Kau manusia, apakah engkau juga tidak mengenali wanita ini?"

Aku menjawab, "Siapakah dia adanya, sebab aku belum pernah melihatnya hingga saat ini"

Dia berkata, "Kalau begitu ambillah pedang ini dan penggallah kepalanya, dan aku akan percaya bahawa engkau tidak menge nalinya dan akan membebaskanmu."

Aku menyahut, "Aku akan melakukannya," lalu aku mengambil pedang itu dan melompat ke arahnya....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Kak, alangkah menghairankan dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Esok malam aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh, lebih menghairankan dan lebih menarik, jika sang raja mengizinkanku dan membiarkan aku hidup!"

***********************************************

EPISOD 47 : JIN MEMBUNUH SEORANG WANITA...

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Sang raja menambahkan, "Hendaklah cerita itu lanjutan daripada kisah si penebang kayu, jin dan gadis yang diseksa itu." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bahagia,

sufi kedua itu berkata kepada gadis itu:

Ketika aku mengambil pedang itu dan mendatanginya, dia mengerdip padaku, yang mengandungi erti, "Bagus! Beginilah caranya engkau membalasku!" Aku memahami air mukanya dan berjanji dengan mataku, "Aku akan menyerahkan nyawaku untukmu." Lalu kami berdiri sesaat, saling bertukar pandangan, seakan-akan berkata:

Banyak lelaki mengatakan kepada kekasihnyaDengan bahasa matanya apa yang tersimpan dalam hatinya.

"Aku tahu apa yang tersembunyi," seolah-olah dia berkata,
Dan dengan pandangannya dia memberikan pemikirannya.
Betapa indahnya pandangan mata,
Betapa anggun mata yang penuh cinta
Yang dengan pancarannya
sang kekasih menuliskan pesannya,
Dan mata yang lain membaca apa yang ditulis kekasihnya.

Aku melemparkan pedang itu, melangkah mundur seraya berkata, "Jin, jika seorang wanita yang sedang bingung, kehilangan akal dan tak sanggup berkata-kata, menolak untuk memenggal kepala seorang lelaki yang tidak dikenalinya, bagaimana mungkin aku, seorang lelaki, memenggal kepala seorang wanita yang tak kukenali? Aku tidak akan mampu melakukan perbuatan terkutuk ini, walaupun aku harus mati untuk itu."

Jin itu berkata, "Kalian berdua berkomplot melawanku, tetapi aku akan menunjukkan padamu akibat dari perbuatan kalian yang tak senonoh."

Lalu dia mengambil pedang dan menyerang gadis itu, memisahkan lengannya dari bahunya dan melemparkannya ke udara. Lalu dia menyerang lagi dan memisahkan lengan yang lain dan melemparkannya ke udara. Gadis itu memandangiku, ketika dia terbaring di ambang kematian, dan dengan pandangan matanya mengucapkan selamat padaku. Wahai tuan puteriku, pada saat itu aku merindukan kematian, dan untuk sesaat aku jatuh pengsan.

"Inilah hukuman bagi mereka yang suka menipu," kata jin itu dan, sambil menatapku dengan tajam, ia menambahkan, "Hai manusia, sudah menjadi hukum kami bahawa jika seorang isteri mengkhianati suaminya, dia tidak lagi sah sebagai miliknya, dan suami itu harus membunuhnya dan menyingkirkannya. Aku menculik gadis ini pada malam perkahwinannya, ketika dia masih seorang gadis berusia dua belas tahun yang belum mengenali seorang lelaki pun kecuali diriku. Aku biasanya mendatanginya setiap sepuluh hari sekali dengan menyamar sebagai seorang lelaki Parsi, untuk melewatkan malam bersamanya. Ketika aku merasa yakin bahawa dia telah mengkhianatiku, aku membunuhnya, sebab dia tidak lagi halal bagiku. Sedangkan untukmu, walaupun aku tidak yakin apakah memang engkau yang bersalah, aku tidak akan membiarkanmu pergi tanpa menderita. Katakan padaku, kau ingin kuubah menjadi binatang apa dengan ilmu sihirku; seekor anjing, keldai atau singa? Apakah kau lebih suka menjadi burung atau binatang buas?"

Aku menyahut, "Wahai jin, lebih layak bagimu untuk mengampuniku, sebagaimana orang yang membuat iri mengam- puni orang yang iri."

Jin itu bertanya, "Bagaimana kisahnya?"

Aku lalu bercerita padanya: Dikisahkan, wahai jin, dahulu kala hiduplah di sebuah kota dua orang yang tinggal di rumah mereka yang berdampingan dan dipisahkan oleh tembok. Salah seorang di antara mereka iri kepada yang lain, selalu memandangnya dengan fikiran jahat, dan berusaha sedaya upaya untuk menyakitinya. Dia begitu dikuasai oleh rasa irinya itu hingga dia hampir tidak dapat makan atau menikmati ketenangan dalam tidumya. Sebaliknya orang yang membuat iri tidak berbuat apa-apa dan justeru bertambah kaya, sehingga semakin agresif usaha orang yang iri untuk menyakitinya. Semakin bertambah kekayaan lawannya, maka semakin makmurlah ia. Akhirnya rasa iri dan kejahatan jirannya menarik perhatiannya, lalu dia meninggalkan kawasan itu dan pindah ke kota lain, sambil berkata,

"Demi Tuhan, kerana dia, boleh jadi aku akan meninggalkan dunia ini." Di tempat yang baru dia membeli sendiri sepetak tanah yang mempunyai sebuah perigi tua, membangun sebuah tempat pertapaan yang dilengkapinya dengan tikar-tikar dari jerami dan keperluan-keperluan lainnya, dan mencurahkan perhatiannya hanya untuk berdoa kepada Tuhan Yang Maha Besar.

Para pendeta, pengemis mulai berkumpul di rumahnya yang datang dari berbagai tempat. Kemasyhurannya menyebar ke seluruh penjuru kota. Dengan segera berita itu sampai ke telinga jirannya yang iri, bagaimana dia kini telah makmur dan bagaimana para tokoh terkemuka di kota itu mengunjunginya. Maka si jiran pun berangkat ke kota itu, dan ketika dia memasuki tempat pertapaan, orang yang membuatnya iri itu menerimanya dengan salam yang ceria, sambutan yang hangat dan penuh penghormatan. Lalu orang yang iri berkata, "Aku ingin memberitahukanmu tentang sesuatu yang mendorongku datang mengunjungimu. Marilah kita berjalan di samping tempat pertapaan, agar aku dapat mengatakan hal itu padamu."

Orang yang membuat iri itu bangkit, dan orang yang iri memegang tangannya, mereka berjalan ke sudut yang jauh dari pertapaan itu. Lalu orang yang iri berkata, "Kawan, suruhlah para pendetamu masuk ke bilik mereka, sebab aku tidak akan mengatakannya padamu, kecuali secara peribadi, agar tidak ada yang mendengarkan kita."

Dengan patuh, orang yang membuat iri itu berkata kepada para pendeta, "Rehatlah di bilik kalian," dan mereka menuruti arahan itu. Lalu orang yang iri berkata, "Nah, sebagaimana kukatakan kepadamu, kisahku adalah...." dan dia berjalan bersamanya dengan perlahan-lahan sampai mereka mencapai pinggir sumur tua itu. Tiba-tiba orang yang iri mendorong orang yang membuat iri dan, tanpa dilihat oleh seorang pun, mengakibatkannya terjatuh ke dalam sumur. Lalu dia meninggalkan pertapaan itu dan pergi, merasa yakin bahawa dia telah membunuhnya....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!"

 ************************************

EPISOD 48 : MENGUBATI PENYAKIT KERASUKAN JIN DENGAN EKOR KUCING...

Malam berikutnya Diharzad berkata kepada kakaknya, Syahrazad, "Kak, jika engkau belum mengantuk, teruskanlah ceritamu yang indah dan aneh itu!" Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Dikisahkan, wahai sang Raja, sufi kedua itu berkata kepada gadis itu bahawa dia menceritakan kepada si jin:

Jin, aku mendengar bahawa orang yang iri melemparkan orang yang membualnya iri ke dalam sumur tua. Sumur itu kebetulan dihuni oleh sekelompok jin yang menangkap tubuhnya dan, setelah menurunkannya sedikit demi sedikit, mendudukkannya di atas sebuah batu. Lalu mereka bertanya satu sama lain, "Tahukah engkau siapakah orang ini?" dan jawabannya adalah, "Tidak."

Tetapi salah seorang di antara mereka berkata, "Orang ini adalah orang yang membuat iri yang, kerana menghindari orang yang iri, mendatangi kota kita untuk tinggal di sini, membangun tempat pertapaan ini, dan sejak itu menghibur kita dengan doa-doanya dan bacaan-bacaan Al- Qur'annya. Tetapi orang yang iri itu terus mengikutinya hingga dia menemukannya, menipunya dan melemparkannya ke dalam sumur ini tempat kita berada sekarang.

Kebetulan malam ini juga kemasyhuran orang ini telah menarik perhatan raja di kota kita, dan dia merancang untuk mengunjunginya esok pagi, berkenaan dengan masalah puterinya."

Seseorang bertanya kepadanya, "Ada apa dengan puterinya itu?"

Dia menjawab, "Dia sedang kerasukan, sebab jin Maimun ibn Damdam tergila-gila padanya, tetapi jika orang ini mengetahui ubatnya, dia pasti dapat menyembuhkannya. Ubatnya sebenarnya sangat mudah."

Salah seorang di antara mereka bertanya, "Apakah ubatnya?"

Dia menjawab, "Orang ini di tempat pertapaannya mempunyai seekor kucing hitam dengan bintik-bintik putih berukuran satu dirham di hujung ekornya. Jika dia mencabut tujuh rambut putih dari titik putih itu, membakarnya dan mengasapi gadis itu dengan asap darinya, maka jin itu akan keluar dari tubuhnya, tak akan dapat kembali lagi, dan dia akan terubati pada saat itu juga."

Kesemua percakapan jin itu didengar oleh orang yang di- campakkan ke dalam perigi itu. Ketika fajar menyingsing, para pendeta keluar pada pagi hari dan mendapati orang suci itu memanjat keluar dari perigi, sehingga dia semakin dihormati di kalangan mereka. Lalu orang yang membuat iri itu berusaha mencari si kucing hitam dan setelah dia menemukannya, dia mencabut tujuh rambut dari titik putih pada ekornya dan menyimpannya.

Sementara itu ketika matahari baru saja terbit, sang raja tiba dengan pasukannya. Dia turun dari kudanya bersama para bangsawan kerajaan, memerintahkan pasukannya untuk berdiri di luar. Ketika dia memasuki pertapaan, orang yang membuat iri menyambutnya dan setelah mempersilakan sang raja duduk di sampingnya, ia bertanya, "Akankah hamba katakan penyebab kedatangan Paduka?"

Sang raja menjawab, "Ya."

Orang yang membuat iri melanjutkan, "Paduka datang mengunjungi hamba dengan maksud untuk menanyakan kepada hamba tentang puteri Paduka."

Raja berkata, "Wahai hamba Allah, engkau benar."

Orang yang membuat iri berkata, "Perintahkan seseorang untuk menjemputnya, dan insya Allah, dia akan sembuh dengan segera."

Sang raja dengan gembira memerintahkan untuk menjemput puterinya, dan mereka membawanya menghadap, dalam keadaan terikat dan terbelenggu. Orang yang membuat iri mendudukkannya di sebalik gorden dan setelah mengambil rambut-rambut itu, membakarnya dan mengasapi gadis itu dengan asapnya. Pada saat itu jin yang merasuk dalam tubuhnya menjerit keras dan keluar dari tubuh gadis itu. Gadis tersebut dengan segera mendapatkan kembali kesedarannya, menutupi wajahnya seraya bertanya, "Apa yang telah terjadi padaku dan siapa yang membawaku ke sini?"

Sang raja merasa sangat gembira, dan dia menciumi mata puterinya dan mencium tangan orang suci itu. Lalu sambil berpaling pada para bangsawan kerajaan, dia bertanya, "Bagaimana pendapat kalian mengenai hal ini, dan apa yang patut diterima oleh orang yang telah menyembuhkan puteriku?"

Mereka menjawab, "la patut menerima puteri Paduka sebagai isterinya."

Raja berkata, "Kalian benar."

Lalu dia mengahwinkan puterinya dengannya, dan orang yang membuat iri itu menjadi anak menantu raja. Tak lama kemudian wazir kerajaan itu meninggal, dan raja bertanya, "Siapa yang harus kulantik sebagai wazir?"

Mereka menjawab, "Anak menantu Paduka," dan orang yang membuat iri itu dilantik menjadi wazir. Tak lama kemudian, sang raja pula meninggal. Para pembesar kerajaan bertanya satu sama lain, "Siapa yang akan kita lantik sebagai raja?" Jawabannya adalah, "Wazir itu," sehingga orang yang membuat iri itu menjadi seorang bangsawan. raja yang berkuasa.

Suatu hari, ketika dia sedang mengenderai keretanya kencananya....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Kak, alangkah menghairankan dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Esok malam aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh, lebih menghairankan dan lebih menarik, jika sang raja mengizinkanku dan membiarkan aku hidup!"

*****************************************

EPISOD 49 : KISAH KERA YANG PANDAIMENULIS...

 

Malam berikutnya Dinarzad berkata kepada kakaknya, Syahrazad, "Kak, jika engkau belum mengantuk, teruskanlah ceritamu yang indah dan aneh itu!" Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai sang Raja, sufi kedua itu berkata kepada si gadis bahawa dia bercerita kepada si jin:

Suatu hari, ketika orang yang membuat iri itu mengenderai kereta kencananya bersama para pangeran, wazir dan para bangsawan kerajaan, pandangannya tiba-tiba tertumbuk pada orang yang pernah mencampakkannya ke dalam perigi tua. Dia mengarahkan salah seorang wazirnya dan memerintahkan padanya, "Bawalah orang itu ke hadapanku, tetapi Jangan membuatnya gelisah atau takut."

Sang wazir pergi dan kembali bersama jiran yang iri itu. Raja berkata, "Berikan padanya seribu potongan emas dari perbendaharaanku, sediakan untuknya dua puluh peti barang dagangan, dan kawal dia hingga sampai di kotanya,"Lalu orang yang membuat iri itu mengucapkan selamat jalan padanya dan pergi tanpa mencelanya atas apa yang telah dilakukannya terhadap dirinya.

Aku berkata kepada jin itu, "Wahai jin, renungkanlah belas kasihan dari orang yang membuat iri terhadap orang yang iri padanya, yang telah memendam rasa iri itu sejak awal-awal lagi, melakukan tindakan jahat terhadapnya, mengejarnya, mengikutinya dan melemparkannya ke dalam perigi untuk membunuhnya. Namun orang yang membuat iri itu tidak membalas dengan tindakan yang serupa, dan bukannya menghukum orang yang iri, dia justru memaafkannya dan memberinya hadiah-hadiah dengan penuh kedermawanan."

Lalu aku meratap hingga aku tidak mampu meratap lagi dan mengumandangkan sajak berikut ini:

Ampuni kejahatanku, sebab setiap hakim yang besar
Sering menunjukkan belas kasihan pada pelaku kesalahan.
Aku berdiri di hadapanmu menanggung segala dosa,
Tetapi engkaulah jalan kurnia dan belas kasihan.
Sebab dia yang mencari ampunan dari yang di atas,
Hendaknya memaafkan pelaku kesalahan di bawahnya.

Jin itu menyahut, "Aku tidak akan membunuhmu, tetapi aku sama sekali tidak akan memaafkanmu dan membiarkanmu pergi begitu saja. Aku menghindarkanmu dari kematian, tetapi aku akan menyihirmu."

Lalu dia menarikku dan terbang bersamaku ke atas hingga tanah nampak bagaikan awan putih. Dengan segera dia menurunkan aku di atas sebuah gunung dan setelah mengambil segenggam debu, membacakan beberapa mantera dan memercikku dengan debu itu, sambil berkata, "Tinggalkan bentukmu yang sekarang dan ambillah bentuk seekor kera."

Pada saat itu juga, aku berubah menjadi seekor kera, manakala jin itu menghilang serta meninggalkanku. Ketika aku menyedari bahawa aku telah menjadi seekor kera, aku meratapi diri sendiri dan menyalahkan kehidupan yang tidak adil pada semua orang. Lalu aku menuruni gunung dan sampai ke sebuah gurun yang sangat luas, yang kuharungi selama satu bulan hinggalah aku tiba di sebuah pantai. Ketika aku berdiri di pantai, memandang ke laut, di kejauhan sebuah kapal yang sedang berlayar di tengah angin yang kencang dan memecah ombak. Aku menghampiri sebatang pohon dan setelah mematahkan sebuah cabang, mulai memberi isyarat kepada kapal tersebut dengan cabang itu, berlari kesana-kemari dan melambaikan cabang itu ke kanan dan ke kiri, tetapi kerana tidak mampu berbicara atau berseru meminta pertolongan, aku mulai merasa putus asa.

Tiba-tiba kapal itu berbalik dan mulai berlayar menuju pantai, dan ketika ia semakin mendekat, aku mendapati bahawa kapal itu adalah sebuah kapal yang besar, penuh berisi barang dagangan dan rempah-rempah serta barang-barang lainnya.

Ketika para pedagang itu melihatku berupa seekor kera, mereka berkata kepada nakhodanya, "Engkau telah mempertaruhkan nyawa dan harta benda kami demi seekor kera, yang membawa sial bersamanya ke mana pun kita pergi."

Salah seorang di antara mereka berkata, "Biar kubunuh dia."
Yang lain berkata, "Biar kupanah dengan anak panah."
Dan ada pula yang berkata, "Mari kija tenggelamkan ia."

Ketika aku mendengar apa yang mereka katakan, aku melompat dan memegang lengan baju nakhoda bagaikan orang yang sedang memohon perlindungan, sementara air mata mulai mengalir di pipiku. Nakhoda dan semua pedagang itu sangat terkejut, dan sebahagian di antara mereka mulai merasa kasihan padaku. Lalu nakhoda itu berkata, "Para pedagang, kera ini telah memohon perlindungan padaku dan aku mengambil tanggung jawab untuk memeliharanya. Jangan ada di antara kalian yang menyakitinya dengan cara apa pun; jika tidak, maka dia akan menjadi musuhku."

Lalu nakhoda itu memeliharaku dengan baik, dan aku memahami apa saja yang dikatakannya dan aku menjalankan perintahnya, walaupun aku tidak dapat berbicara dengan lidahku.

Selama lima belas hari kapal itu berlayar di tengah angin yang kencang hingga kami tiba di sebuah kota besar, luas dan penduduknya sangat banyak tak terhingga. Baru saja kami memasuki pelabuhan dan melemparkan sauh, kami didatangi oleh para utusan raja di kota itu. Mereka menaiki kapal dan berkata, "Para pedagang, raja kami mengucapkan salam sejahtera atas kedatangan kalian dalam keadaan selamat, mengirimkan gulungan kertas ini, dan memerintahkan masing-masing kalian menulis sebaris kalimat di atasnya. Sebab wazir sang raja, orang yang ahli dalam masalah kenegaraan dan seorang penulis kaligrafi yang mahir, telah meninggal dunia, dan raja telah bersumpah bahawa dia tidak akan melantik seorang pun untuk menggantikannya, kecuali orang yang dapat menulis sebagaimana yang dilakukan wazir itu."

Lalu mereka menyerahkan kepada para pedagang itu segulung kertas, dan setiap pedagang yang boleh menulis, menuliskan sebaris kalimat. Ketika mereka sudah selesai, aku merebut gulungan kertas itu dari tangan mereka dan mereka berteriak serta menghardikku, khuatir aku akan melemparkan kertas itu ke laut atau merobeknya. Tetapi aku memberi isyarat kepada mereka bahawa aku ingin menulis di atasnya, dan mereka sangat hairan, sambil berkata, "Kami belum pernah melihat seekor kera menulis."

Nakhoda berkata kepada rakan-rakannya, "Biarkan ia menulis apa yang disukainya. Jika ia hanya mencoret-coret, aku akan memukulnya dan mengusirnya. Tetapi jika ia menulis dengan baik, aku akan mengangkatnya sebagai anak angkatku sebab aku belum pernah melihat seekor kera yang lebih cerdas dan lebih baik perangainya. Aku berharap anakku memiliki perangai dan kesopanan seperti yaag dimiliki kera ini."

Lalu aku memegang pena, mencelupkannya ke dalam wadah tinta, dan menulis baris-baris berikut ini dalam bahasa Arab bersenikan Ruqa’:

Catatan masa tentang kemurahan hati raja yang agung
Telah terhapuskan oleh kemurahan hatimu yang lebih agung.
Dari anak-anakmu
Tuhan tidak akan memisahkanmu,
Engkau, yang menyimpan kurnia ayah dan ibu.

Lalu di bawahnya, dalam tulisan Muhaqqiq yang indah, kutulis baris-baris berikut ini:

Penanya telah melimpahkan kurnia di mana-mana,
Dan tanpa pertolongan telah menolong setiap negeri.
Namun bahkan sungai Nil, yang menghancurkan bumi,
Tintanya tak cukup digunakan
oleh tangan yang begitu besar.
Aku bersumpah,
barang siapa memanfaatkanku untuk menulis,
Demi Tuhan Yang Esa dan Kekal,
Bahawa dia tak akan membiarkan seorang pun membantah
Mata pencahariannya dengan salah satu goresan penanya.

Lalu dalam tulisan Naskhi, kutulis baris-baris berikut ini:

Tidak ada penulis yang akan bebas dari kematian,
Tetapi apa yang ditulis tangannya akan disimpan masa.
Maka jangan menuliskan apa pun di atas kertas,
kecuali apa yang kau inginkan terbaca di Hari Kiamat.
Ketika peristiwa-peristiwa kehidupan dikutuk cinta kita
Dan kita akhirnya berpisah dalam kesedihan,
Kita kembali pada mulut bagaikan tinta untuk mengeluh,
Dan menyuarakan kesedihan perpisahan kita
dengan lidah pena.

Lalu dalam tulisan Tumar, kutulis baris-baris berikut ini:

Ketika kau membuka peti tinta anugerah
Dan kemasyhuranmu,
biarkan tinta itu menjadi kemurahan hati dan kurnia.
Tulis perbuatan-perbuatan yang baik dan dermawan
saat kau masih mampu;
Baik pena mahupun pedang
akan memuji perbuatan mulia seumpama itu.

Lalu aku menyerahkan gulungan kertas itu kepada mereka, dan mereka menerimanya kembali dengan penuh kehairanan....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!"

***************************************** 

EPISOD 50 : KISAH KERA YANG DI SIHIR.....

Malam berikutnya Dinarzad berkata kepada kakaknya, Syahrazad, "Kak, jika engkau belum mengantuk, teruskanlah ceritamu yang indah dan aneh itu!" Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Dikisahkan, wahai sang Raja, sufi kedua berkata kepada gadis itu:

Para utusan mengambil gulungan kertas itu dan membawanya ke hadapan raja. Ketika raja melihatnya, tulisanku menyenangkan hatinya dan dia berkata, "Bawalah jubah kehormatan dan keldai betina ini kepada penulis sajak ini."

Mendengar titah raja itu, orang-orang pada tersenyum, dan ketika menyedari bahawa senyuman mereka telah membuat sang raja murka, mereka berkata, "Wahai Raja zaman ini penulis sajak ini adalah seekor kera."

Raja bertanya, "Benarkah apa yang kalian katakan?

Mereka menjawab, "Ya, demi anugerah Paduka, penulis syair adalah seekor kera."

Raja merasa sangat hairan dan berkata, "Aku ingin melihat kera itu." Lalu dia memerintahkan para utusannya pergi dengan membawa keldai betina dan jubah itu,

"Pakaikan jubah ini padanya, dudukkan ia di punggung keldai betina ini, dan bawalah ia padaku bersama dengan pemiliknya."

Ketika kami duduk di atas kapal, kami melihat para utusan raja tiba-tiba muncul lagi. Mereka memintaku dari nakhoda kapal, memakaikan jubah itu ke tubuhku dan, setelah mendudukkanku di punggung keldai betina, berjalan di belakangku suatu arak-arakan yang mengakibatkan timbulnya keributan besar di dalam kota.

Setiap orang keluar, berkerumun untuk melihatku dan menikmati pemandangan itu. Ketika aku hampir sampai ke hadapan raja, seluruh kota gempar dan orang-orang berbicara satu sama lain, "Sang raja telah mengambil seekor kera untuk menjadi wazirnya."

Ketika aku memasuki istana untuk menghadap raja, aku bersujud dan kemudian berdiri dan membungkuk tiga kali. Lalu aku mencium tanah sekali, di hadapan para bangsawan dan negarawan. Orang-orang yang hadir terhairan-hairan akan sopan santunku, terutama raja sendiri, yang berkata, "Ini merupakan suatu keajaiban." Lalu dia mengizinkan para pengikutnya pergi, hingga setiap orang pergi, kecuali raja sendiri, seorang pelayan, seorang Mamluk kecil, dan diriku. Lalu dia memerintahkan meja makan ditata untuknya, dan memberi isyarat kepadaku untuk makan bersamanya. Aku bangkit, mencium tanah di hadapannya, dan setelah membasuh tangan tujuh kali, aku kembali duduk bersila dan, sebagaimana kelaziman dalam aturan sopan santun, makan hanya sedikit. Lalu kuambil pena dan wadah tinta dan di atas sebuah papan menulis bait-bait berikut ini:

Merataplah burung burung yang telah direbus matang
dalam bumbu yang tajam rasanya
Berkabunglah dagingnya, entah dibakar atau digoreng,
Menangislah induk ayam dan puteri burung belibis
Dan burung goreng, walaupun ketika aku telah menangis.
Dua jenis ikan yang berbeza kini kuinginkan,
Disajikan di atas dua lapis roti,
penuh semangat walaupun sederhana,
Sementara di dalam kuali yang gemerincing di atas api
Telur-telur itu bagaikan mata yang dibakar dalam kesakitan,
Daging ketika dipanggang,
aduh, sungguh hidangan yang enak,
Disajikan dengan sayuran yang diacar;
itulah yang kuingini.
Di dalam buburku yang kumakan pada malam hari,
Ketika rasa lapar melilit, di bawah cahaya gelang.
Wahai jiwa, sabarlah, karena nasib kita yang berubah-uba.
Suatu hari menekan, hanya untuk membesarkan hati.

Sang raja membaca sajak itu dan merenung. Lalu menyingkirkan makanan itu, dan pelayan kepala menghidangkan anggur pilihan di dalam sebuah botol anggur yang bulat dan besar. Raja mula-mula minum dan menawariku. Lalu kucium tanah di hadapannya, minum sedikit dan menulis baris-baris berikut ini di atas botol anggur itu:

Untuk pengakuanku mereka membakarku dengan api
Dan mendapatiku diciptakan dengan daya tahan luar biasa.
Maka aku dilahirkan jauh tinggi
dari jangkauan tangan manusia
Dan diizinkan untuk mencium bibir gadis jelita.

Ketika raja membaca sajak itu, dia terhairan-hairan dan berkata, "Jika seseorang memiliki kemahiran seumpama ini, dia akan mengungguli semua orang di zamannya." Lalu dia meletakkan dihadapanku sebuah papan catur dan dengan sebuah isyarat menanyakan, "Kau boleh main?"

Aku mencium tanah di hadapannya dan mengangguk,"Ya." Lalu kami berdua menyusun buah-buah catur itu di atas papan dan mulai main, dan hasilnya tiada yang kalah. Kami main untuk kedua kalinya, dan aku menang. Lalu kami main untuk ketiga kalinya, dan aku menyerang dan menang lagi, sehingga sang raja hairan dan takjub sekali atas kemahiranku. Sekali lagi kuambil wadah tinta dan pena dan di atas papan catur kutulis bait-bait berikut ini:

Dua pasukan sepanjang hari
dengan senjata mereka bertanding,
Membawa perang itu selalu ke dalam fikiran.
Tetapi ketika malam tiba mereka berhenti
Keduanya pergi tidur di atas satu tilam.

Ketika raja membaca baris-baris itu, dia merasa kagum dan gembira, dan berkata kepada pelayan, "Hai Muqbil, pergilah menjemput tuan puterimu, Siti Husnun, dan katakan kepadanya bahawa ayahnya sang raja memerintahkannya untuk menghadap dan melihat kera yang aneh dan menikmati pemandangan yang menakjubkan ini."

Pelayan itu menghilang dan sebentar kemudian kembali bersama-sama puteri raja. Ketika gadis itu masuk dan melihatku, dia menutupi wajahnya dan berkata, "Wahai ayah, sudahkah ayah kehilangan kehormatan ayah sedemikian rupa sehingga memperlihatkan aku pada kaum lelaki?"

Kerana terkejut, raja bertanya, "Puteriku, tidak ada seorang pun di sini, kecuali Mamluk kecil ini, penasihatmu ini yang membesarkanmu, dan aku ayahmu. Dari siapa engkau sembunyikan wajahmu?"

Gadis itu menjawab, "Dari pemuda ini yang telah disihir oleh jin. Dia mengubahnya menjadi seekor kera setelah dia membunuh isterinya sendiri, puteri Aftimarus, raja dari Pulau Kayu Hitam. Orang ini yang ayah sangka seekor kera adalah seorang lelaki yang bijaksana, terpelajar dan sopan santun, lelaki yang beradab dan berbudi luhur."

Sang raja sangat hairan dan sambil memandangiku, bertanya, "Benarkah apa yang dikatakan puteriku?"

Aku menjawab dengan bahasa isyarat yang mengandungi erti, "Ya." Lalu dia menatap kepada puterinya dan bertanya, "Demi Tuhan, wahai puteriku, bagaimana engkau mengetahui bahawa dia disihir?"

Gadis itu menjawab, "Wahai ayah, sejak kanak-kanak ada seorang wanita tua yang cerdas dan pintar menemaniku, dan dia adalah seorang tukang sihir. Dia mengajarkan kepadaku ilmu sihir, dan aku meniru dan menghafal tujuh puluh macam sihir, yang dengan sebahagian terkecilnya saja, dalam waktu satu jam, aku akan mampu memindahkan batu-batu kota ini melewati Gunung Qaf dan samudera yang mengelilingi dunia ini."

Raja sangat hairan dan berkata kepada puterinya, "Wahai puteriku, semoga Tuhan melindungimu. Kau telah memiliki kekuatan yang sempurna selama ini, namun aku tidak pernah mengetahuinya. Demi hidupku, bebaskanlah dia dari sihir itu, agar aku dapat menjadikannya wazirku dan menikahkanmu dengannya."

Dia menjawab, "Dengan senang hati." Lalu dia mengambil sebuah pisau....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!"

Nantikan sambungan Episod 51 dan seterusnya...
Kembali ke episod 1&2 Di sini
Dipetik dari buku
Himpunan Kisah-kisah Aneh dan Lucu...