Sunday, September 12, 2021

KISAH JIN DAN BUNIAN...

"JIKA "DIA" IKUT, SAYA TAK AMBIL"...

Gadis itu terpana. Deretan pinggan mangkuk porselin yang disusun rapi dalam ruangan itu mudah menggamit pandangan mata. Pelbagai koleksi barangan antik lain yang sukar ditemui membulatkan lagi bola matanya.

"la bermula tahun 2005. Sewaktu ibu saya mula membuang set pinggan mangkuk porselin yang telah lama disimpannya. Dalam diam, saya kutip semula dan sembunyikan dalam bilik.

"Lama-kelamaan, bilik sudah mula penuh hingga tiada ruang hendak menyimpan. Hinggalah suatu hari ibu masuk ke bilik dan terkejut lihat koleksi pinggan yang telah dibuangnya semua tersimpan dalam bilik  saya," jelas lelaki yang mesra dipanggil ustaz oleh si gadis.

Dari situ, hobinya berkembang. Bukan sekadar ping­gan mangkuk, tapi dia mula mengumpul pelbagai koleksi barangan antik lain yang sukar ditemui. Daripada keris, pedang, tombak, andik, lesung batu, ukiran kayu, jam, teko, seterika, barangan tembaga, perhiasan zaman dulu dan banyak lagi.

Apabila ruangan dalam rumah tidak lagi mampu memuatkan ko­leksi simpanannya, lantas lelaki bernama Haji Mahadhir Ab. Rah­man, 32, membina sebuah rumah kecil berasingan di belakang rumahnya. 

Ruangan itu dikhaskan untuk menyimpan segala koleksi barangan klasik kepunyaannya. Bagaikan sebuah mini muzium.

Segala koleksinya dalam ruangan itu dijaga rapi. Malah, jangankan sesawang, habuk pun tiada. Begitu bersih. Hampir kesemua barangan antik itu masih baik dan boleh digunakan.

Bagaimana ustaz muda yang masih bujang dan bekerja dalam sektor kerajaan itu mampu menjaga ribuan koleksinya ini? Gadis itu bertanya.

Dia tertawa dan menjawab:"Masa terluang saya memang dihabiskan dalam ruangan ini. Seminggu sekali, saya akan bersihkan barang-barang ini. Tapi, tak laratlah kalau seorang diri. Selalunya saya minta tolong pada murid-murid yang datang mengaji di sini."

Melihat pelbagai barangan lama itu, si gadis terus bertanya. Bagaimana agaknya ustaz muda ini berdepan dengan para 'penjaga' barangan itu? Sekali lagi empunya diri tertawa. Kemudian menyambung cerita,,,

"Susah nak buang pendamping!"

Sebenarnya, Mahadhir tidak habis modal yang banyak. Jarang dia membeli sebaliknya, koleksi yang dimilikinya kebanyakannya diberikan orang. Malah, acap kali juga dia mendapat pemberian melalui alam ghaib sama ada melalui mimpi atau separuh sedar.

Mahadhir pernah bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih yang berpesan agar menjaga sebatang tombak lama yang pernah digunakan sewaktu zaman Kesultanan Selangor pada abad ke-18. "Keesokannya bila saya bangun, saya lihat tombak itu sudah ada di tempat seperti yang diberitahu lelaki itu. Malah, sering kali juga saya mendapat keris dan batu melalui cara begitu. Kadangkala bila jaga dari tidur, batu yang diberikan dalam mimpi itu sudah ada dalam genggaman tangan," ceritanya lagi.    
 
Apa khasiatnya? Entahlah... Guru mengaji itu tidak berminat untuk mengetahuinya. Yang penting, barang yang sampai ke tangannya biarlah 'bersih' dan tidak mendatangkan gangguan. 

"Memang saya akui barang-barang lama begini ada pendamping. Selalunya kalau barang itu ada penjaga', saya akan tinggalkan barang itu di suatu tempat dahulu untuk dua atau tiga hari. 

"Adalah interaksi saya dengan ‘penjaga’ itu. Jika ia minta tinggalkan di suatu tempat, di situlah saya akan letakkan barang itu. Bila sudah 'bersih', baru saya bawa pulang ke rumah. Jika 'benda' itu tak mahu pergi, saya akan tinggalkan saja barang itu," ujarnya yang tidak mahu barangan yang 'berpenghuni' kelak mengganggu ketenteraman keluarganya.

Ada sekali Mahadhir mendapat sebiji labu air dari sebuah rumah lama yang terbiar. Ada banyak 'penghuni' dalam labu itu. Setelah 'berbincang' dengan penghuni itu, Mahadhir kumpulkan kesemua mereka dan letak dalam bungkusan untuk dihanyutkan dalam air mengalir.

Lalu dia menyuruh salah seorang anak muridnya untuk mencampakkan bungkusan itu ke dalam sungai. Tetapi, anak muridnya hanya meletakkan bungkusan tersebut di bawah jambatan di tepi sungai. Akibatnya, malam itu anak muridnya menelefon kerana tidak tahan diganggu.

"Memang agak susah nak buang 'pendamping'. Tapi, disebabkan setiap hari saya dan murid-murid mengaji dan buat bacaan ratib di sini, 'benda' itu pun tak tahan hendak tinggal lama di sini sebab panas," katanya lagi.

Jadi, barangan lama ini semuanya bersih'?

Mahadhir anggukkan kepala pada pertanyaan gadis itu.

Fuhh! Gadis itu tarik nafas lega. Bolehlah jari jemarinya menyentuh barangan di situ. Kalau tidak, gerun juga dibuatnya. Tak pasal-pasal nanti ada pendamping ikutnya pulang ke Kuala Lumpur pula.

Kemudian, mata gadis itu terpandang bilik kecil di bahagian belakang. Dalam bilik itu hanya muat-muat sebuah katil lama bagai zaman dulu kala. Tanya si gadis lagi, apa pula cerita katil itu?

"Oh! Katil itu saya bawa pulang dari sebuah rumah pusaka yang terbiar di Kuala Pilah. Saya minta izin dari warisnya. Kata pewarisnya, mereka sendiri takut hendak masuk apatah lagi mengambil barangan lama dalam rumah itu," jawab Mahadhir.

Dia yang tertarik dengan katil besi klasik itu membawanya pulang ke rumahnya di Pasir Panjang, Port Dickson. Malam itu semasa tidur, Mahadhir bermimpi didatangi lembaga hitam yang besar yang marah kerana mengambil katil itu. Lembaga itu memijak-mijak tubuhnya.

"Saya hanya terjaga bila ibu mengejutkan kerana mendengar saya terjerit-jerit. Walaupun mimpi, tapi tubuh saya terasa sakit-sakit. Pernah saya pujuk lembaga itu untuk pergi, tapi dia enggan," jawabnya lagi.

Jadi, katil besi itu masih ada 'tuannya'? Si gadis mula rasa seram seram sejuk.

"Katil itu sudah 'bersih'. Jangan risau," jawabnya dalam senyuman. Tunggu sebentar. Dahi si gadis berkerut. Bukankah tadi Mahadhir memberitahu dia gagal memujuk lembaga hitam itu pergi. Jadi, siapa yang berjaya mengusirnya?

"Penghulu bunian!" Pantas mulut Mahadhir menjawab membuat mulut si gadis melopong kembali.

Mengajar Anak Bunian...

Lalu cerita baru pula disampaikan. Perihal penghulu bunian yang dimaksudkan. Mahadhir pun bercerita, dulu sekitar penghujung tahun 1990-an, dia pernah belajar di sebuah madrasah tidak jauh dari rumahnya. Di situlah bermula perkenalannya dengan penghulu bunian itu.

"Dia datang apabila saya berseorangan di madrasah itu. Dia beritahu, dia pun belajar di madrasah itu juga. Mulanya, saya hairan sebab tak pernah nampak dia pun. Tapi, akhirnya baru saya faham dia dari alam lain," kata Mahadhir.

Malah, penghulu yang bernama  'Kamis' itu juga pernah membawanya 'melawat' perkampungannya. Jelas Mahadhir, ia tidak menghairankan kerana kawasan di situ memang dikenali banyak perkampungan  bunian.     
  
"Kampung mereka macam kita manusia juga. Cuma seni bina rumah mereka seperti rumah zaman dulu. Surau mereka tinggi-tinggi. Masyarakatnya juga sangat warak. Para wanitanya bertelekung. Yang berbeza hanyalah usia mereka yang lebih panjang daripada manusia. Seperti penghulu itu, usianya sudah lebih 300 tahun. Tapi kalau lihat wajahnya hanya seperti lelaki yang berusia 40an," ceritanya lagi.

Okey. Habis sebentar kisah penghulu bunian itu.  
           
Berbalik kisah barangan antik tadi, Mahadhir mendirikan sebuah bilik kecil di belakang rumah sebagai tempat penyimpanan koleksi barangan antiknya pada tahun 2007.

Malah, di ruangan itu juga Mahadhir mengajar kanak-kanak mengaji pada sebelah petang manakala sebelah malam, beliau mengajar kitab-kitab lama (kitab kuning) kepada golongan dewasa.

"Sejak saya mula mengajar di ruangan ini, selalu ada bunyi seperti kehadiran sesuatu di atas bumbung. Malah, ada pak cik-pakcik yang belajar di sini berkata, mereka rasa lain macam. Kadangkala mereka  perasan ada bunyi seperti orang masuk ke dalam.

"Di waktu lain sewaktu solat, terasa seakan ada orang lain yang menyusup di saf mereka. Tapi tidak nampak kelibat sesiapa. Ada juga yang berasa bagai ada orang duduk di samping mereka tatkala mendengar pembelajaran.

"Saya sebenarnya tahu ada 'benda' yang turut sama dalam kelas saya. Tapi, saya tidak tahu siapa kerana ia tak pernah memperkenalkan diri. Setahun perkara itu berlalu hinggalah suatu hari, penghulu bunian yang pernah saya temui dulu datang berjumpa saya semula. Dia beritahu dia mahu dua anak lelakinya turut belajar dengan saya," cerita Mahadhir panjang lebar.

Dengan dahi berkerut, gadis itu bertanya lagi. Mengapa golongan ghaib itu mahu belajar daripada manusia?

Jawab Mahadhir, kerana dia satu-satunya orang yang mampu mengajarkan ilmu kitab-kitab lama di kawasan itu. Atas dasar itulah penghulu bunian itu menghantar anaknya untuk turut sama belajar sekali.

Hanya dia yang tahu kehadiran anak-anak penghulu itu setiap kali dia mengajar walaupun pada pandangan mata kasar manusia, ia tidak kelihatan. Dan katil di belakang ruangan itulah menjadi tempat anak-anak penghulu itu duduk atau berbaring.

Macam mana boleh tahu? Mahadhir tertawa.

"Kadangkala tilam katil itu mendap seperti ada orang sedang duduk di atasnya. Pernah juga orang yang tangkap gambar katil itu tanpa sengaja merakamkan bayangan dua orang kanak-kanak di situ."

Si gadis yang sedang asyik mengarahkan kamera pada katil itu segera berhenti. Gulpp! Berdiri pula bulu roma jadinya.

Gadis itu bertanya lagi, berapa usia anak penghulu bunian itu?

"Lebih kurang 80 tahun, tapi seperti kanak-kanak usia 8 ta­hun. Dah lima tahun saya mengajar mereka. Nama mereka Kuhais dan Khaisyah," tenang Mahadhir memberitahu.

Oh! Ya, kata Mahadhir lagi, peng­hulu bunian itulah yang berinteraksi dengan lembaga pendamping katil itu agar pergi dan tidak membuat onar.

"Tak tahulah apa perjanjiannya. Lembaga itu tak pernah muncul lagi selepas buat 'deal' dengan penghulu bunian itu," terangnya.

Okey. Habis kisah-kisah mistik.  Akhir sekali, gadis itu bertanya, antara ribuan koleksinya ini, yang mana paling disayanginya? Koleksi pinggan porselin! Itu jawab Mahadhir. Walaupun dia lelaki, set porselin itu benar-benar disayanginya. Apatahlagi dia punyai set lengkap porselin bunga kangkung yang dihasilkan pada tahun 60an dan sukar ditemui sekarang.

"Lihat teko bunga kangkung ini. Satu teko ini kini boleh mencecah RM600. Manakala teko British ini pula mencecah RM1,000. Pernah ada pihak tawarkan RM250 ribu untuk membeli koleksi milik saya tapi saya tolak," katanya lagi. Lantas si gadis terus mengusik, patutlah ustaz masih bujang. Melainkan jika ada gadis punya minat yang sama. Menghabiskan banyak waktu di mini muzium ini. Untung sabut timbul, boleh 'bertemu' Kuhais dan Khaisyah. 

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

CERITA KEDUA:
JIN TAAT KERANA SEMANGKUK DARAH

Ketika sampai di rumah mereka, saya sudah nampak hampir 20 ekor jin sedang menunggu di hadapan rumah. Mereka mundar-mandir sekitar rumah seolah-olah sedang marah sebab saya nak ubatkan keluarga tersebut.

Semakin diamati terserlah rupa jin yang menunggu itu dalam pelbagai bentuk. Tapi berbentuk lembaga. Ada yang betul-betul tinggi, setinggi pokok kelapa. Ada yang bentuknya pendek dan gemuk. Ada yang sederhana dan kurus. Ada juga yang berbadan sasa dan tegap.

Semuanya jin ini menjelma dalam bentuk asal iaitu seperti bentuk manusia tapi berwarna Hitam Iegam. Rupa mereka pula tak nampak sebab hitam. Senang cakap bentuk asal jin ini seperti bayang-bayang manusia saja. Tak ada rupa.

Kalau jin itu lelaki, bentuknya seperti bayang-bayang lelaki. Kalau jin itu perempuan, bentuknya se­perti bayang-bayang perempuan. Itulah bentuk asal mereka.

Yang jadikan jin tadi menjelma pelbagai bentuk seperti langsuir, pocong atau penanggalan, sebenamya disebabkan oleh kita sendiri atau tugas mereka.

Contohnya bila kita melalui satu tempat di mana kita pernah dengar di situ ada pocong. Bila kita fikir dan takut pada pocong, maka jin yang mendiami kawasan itu akan menjelma sebagai 'pocong' untuk menakutkan kita.

Kenapa saya kata begitu?

Sebenarnya jin, iblis atau syaitan ini boleh membaca atau tahu apa isi hati kita atau apa saja kita cakap. Pernah satu kejadian di mana jin masuk ke dalam badan adik kepada rakan saya.

Mulanya saya ubatkan ibu kepada rakan saya itu. Akibat marah, jin tadi keluar sebelum masuk ke dalam badan adik rakan saya. Selepas masuk, menggunakan tubuh badan budak perempuan tadi, jin itu berdialog dengan saya.

"Celaka engkau. Jangan kacau kerja aku," maki jin tadi pada saya.

Mendengar cacian jin itu saya diamkan saja. Saya langsung tak melawan sebaliknya terus membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Akibat tak tahan, jin itu bersuara lagi.

"Sebenarnya budak ni sudah mati. Roh budak ni sudah keluar dari badan. Aku keluarkan roh budak ni. Aku letak pada sebuah kubur. Sekarang tubuh budak ni bergerak sebab aku yang kuasai," kata jin tadi dengan angkuh dan cuba menunjukkan kehebatannya.

Mendengar bebelan dan kata-katanya, saya berkata dalam hati: "Ini semua bohong! Penipu!"

Selepas saya berkata begitu di dalam hati, jin tadi terus bersuara marah-marah: "Mana ada bohong. Memang aku dah keluarkan!"

Mendengarnya jawapan jin itu baru saya tahu rupanya apa yang terdetik dalam hati, jin tersebut boleh dengar. Selepas itu, saya tanya pada jin tersebut benarkah dia boleh dengar apa yang saya ucapkan dalam hati?

"Memang aku boleh dengar," jawab jin itu dengan angkuh.

Sebab itulah saya kata, bila kita niat atau kita fikirkan sesuatu, itulah yang akan kita nampak. Jadi bila makhluk ini tahu apa yang kita fikirkan, jin ini akan ambil kesempatan untuk kalahkan kita. Sebab itu, apabila berhadapan dengan jin, kita kena selalu ingat pada Allah dengan cara berzikir dalam hati.

Jin Islam

Selain itu saya juga pernah didatangi jin Islam. Jin Islam biasanya akan menjelma sebagai lelaki yang warak, berjubah dan berserban putih. Rupa paras mereka lebih elok berbanding jin kafir atau jin Islam yang fasik.

Kejadian ini berlaku ketika saya sedang makan di rumah. Sedang menjamu selera, tiba-tiba saya terdengar seseorang memberi salam. "Assalamualaikum," ucap suara lelaki itu.

Saya menjawab salam tadi dan berpaling ke belakang. Kelihatan seorang lelaki tua, berjubah putih dan berserban berdiri di belakang saya.

Saya tahu, jin itu Islam sebab dia memberi salam. Kemudian jin itu beritahu hajat kedatangannya. Kata jin itu, dia hendak membantu saya apa yang patut terutamanya dalam merawat orang sakit.

Mendengar hajatnya, saya be­ritahu kalau dia hendak bantu saya, bantulah. Tapi biarlah kerana Allah semata-mata. Jangan dia mengharap sesuatu daripada saya. Selepas saya kata begitu, jin tadi terus ghaib.

Sebenarnya jin itu datang untuk berdampingan dengan saya dan mahu menjadi khadam. Kalau saya terima dan mengambilnya sebagai khadam lambat laun jin itu boleh jadi saka. Itu semua sebenarnya akan menyusahkan saya dan keluarga satu hari nanti.

Kenapa saya kata begitu? Saya ada satu pengalaman melibatkan saka ketika me­rawat sebuah keluarga. Ketika berubat, saya nampak jin itu menjelma sebagai seorang lelaki berpakaian pahlawan zaman dahulu. Siap dengan tanjak dan keris terselit kemas di badannya. Mukanya juga kelihatan bengis.

Mulanya, saya paksa jin itu keluar sendiri. Tapi jin itu tidak mahu dan masih berkeras. Bila saya ceritakan asal usulnya, jin itu mula berlembut sedikit dan mula takut. Kemudian jin itu bersuara: "Disebabkan engkau tahu asal usul engkau dan kau juga tahu asal usul aku, aku tak boleh buat apa-apa pada engkau."

"Kalau dah tahu kenapa tak berundur, engkau keluar!" pekik saya.

"Aku tak boleh keluar sebab aku dah berjanji dengan tuan aku," jawab jin tadi.

"Siapa tuan kamu? Apa yang dia nak kamu buat?" tanya saya lagi.

"Tuan aku ialah waris keluarga ni. Dia bagi aku semangkuk darah. Sampai mati aku terpaksa ikut dia," jawab jin di dalam badan wanita itu.

Mendengar jawapannya, saya kata bahawa dia makhluk yang paling bodoh sebab berjanji dengan manusia. Sepatutnya dia berjanji dengan Allah dan ikut suruhan Allah.

Selepas saya kata begitu, saya lihat jin tadi menjelma pula sebagai hantu raya. Matanya merah, badan­nya berbulu hitam dan bertubuh sasa. Beritahu jin tadi itulah bentuk asalnya ketika menjelma menghadap bekas tuannya.

Bila saya berdialog lagi, jin itu mengaku yang ia diperintahkan untuk menjaga keturunan keluarga tersebut sampai bila-bila. Tapi selepas tuannya mati, tiada waris yang mahu mengambil dan menjaganya. Akhirnya jin itu menyusahkan keluarga tadi dengan memakan bahagian tertentu dalam badan salah seorang waris.

Sebab itulah saya katakan kalau kita bersahabat dengan jin, akhir­nya ia hanya menyusahkan keluarga kita.

Selain itu, saya juga pernah nam­pak jin yang paling besar. Jin ini setinggi pokok kelapa dan sangat besar. Badannya tegap, sasa dan berwarna hitam legam. Jin ini tinggal di tepi Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur. Lokasinya beberapa kilo­meter sebelum Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Tapah dan kerjanya mengganggu pengguna jalan raya.

Dalam banyak-banyak kes, berhadapan dengan jin saka raja amat menyusahkan saya. Mulanya se­mua proses berjalan dengan baik. Namun semasa saya hendak duduk selepas menarik 'benda' itu dari­pada badan pesakit, saya hilang keseimbangan dan pemandangan berubah menjadi gelap gelita.

Zikir! Zikir! Zikir! Kata hati saya. Saya tenangkan hati dan langsung berzikir kemudian barulah saya pulih dan dapat berunding dengan raja saka itu untuk meninggalkan pesakit saya itu. Syukur Alhamdulillah, saka jin itu akur.

Baiklah pembaca sekalian, apa yang saya ceritakan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan apa yang saya 'nampak'. Hendak percaya atau tidak, terpulang pada pembaca sendiri untuk menilainya.

Kisah ini diceritakan oleh se­orang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 30 tahun. Identiti Rahman terpaksa dirahsiakan atas permintaannya untuk mengelakkan sebarang fitnah.

Sumber : Mastika

Saturday, September 11, 2021

Al-QURAN BONGKAR RAHSIA PEMBINAAN PIRAMID...

Piramid

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: 

Dan berkatalah Firaun: 

"Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta". (al-Qasas: 38).

Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.

Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.

TANAH LIAT...

Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:,

"Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat"

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.

Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.

Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.

Jika ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.

Daripada pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya. Malah Allah juga menyelamatkan Nabi Musa a.s daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian.

Sumber : Utusan Malaysia

DAHSYATNYA DOSA MEMBUNUH...

Pihak polis sedang mengusung 
satu mayat yang baru dijumpai
dan dibawa ke hospital 
untuk dibedah siasat.
Gambar hiasan.

ANTARA berita yang biasa kita saksikan di dada akhbar dan kaca televisyen saban hari ialah kes-kes pembunuhan. Ia seolah-olah telah menjadi berita wajib yang menghiasi warta jenayah sumber-sumber berita yang ada. Bagaikan tidak ada penghujungnya, kes-kes pembunuhan dilihat makin menjadi-jadi sehingga ada kes yang tidak mendapat liputan media kerana mungkin tiada 'nilai komersial' lagi.

Islam telah menganggap pembunuhan sebagai dosa yang amat besar. Sehingga orang yang membunuh dan juga yang terlibat dengan pembunuhan tersebut dijanjikan dengan balasan yang amat dahsyat sekali. Bukan sahaja balasan seksaan yang berat menunggu mereka di akhirat, bahkan hukuman tegas pasti akan dijatuhkan sekiranya didapati bersalah. Betapa beratnya balasan di akhirat dapat diperhatikan dengan ancaman untuk menjadikan si pembunuh sebagai penghuni neraka selama-lamanya dan mendapat kutukan serta kemurkaan Allah SWT.

Firman Allah SWT: "Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam. Dia akan kekal di dalamnya, dan Allah SWT murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya". (an-Nisa': 93)

Mereka yang terlibat atau bersubahat menjayakan pembunuhan tersebut juga tidak terlepas daripada hukuman yang berat dan terhindar daripada rahmat Allah SWT sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: 

"Barang siapa yang membantu untuk membunuh seorang Muslim walaupun dengan satu kata (ucapan), maka dia akan menjumpai Allah SWT dalam keadaan tertulis di antara kedua belah matanya 'orang yang putus asa dari rahmat Allah SWT". (riwayat Ahmad)

Sebagaimana yang kita tahu, Allah SWT telah menetapkan detik kematian seseorang itu termasuklah cara kematiannya. Kesemua yang berkaitan dengan kehidupan dan kematian telah termaktub dan tertulis di sisi Allah SWT. Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Justeru, Allah SWT melarang kita dari mendahuluinya dalam menetapkan kematian seseorang.

Inilah hakikatnya yang berlaku kepada orang yang melakukan pembunuhan. Mereka seolah-olah ingin mendahului Allah SWT dalam menetapkan detik kematian, mendahului malaikat dalam mencabut nyawa manusia.

Imam Az-Zahabi telah menyenaraikan dosa membunuh manusia sebagai dosa kedua terbesar selepas dosa syirik kepada Allah SWT. Beliau merujuk kepada firman Allah SWT: 

"Dan mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah SWT, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah SWT kecuali disebabkan dengan kebenaran"... (al-Furqan: 68)

Bagi menghalang berlakunya pembunuhan, Islam telah mendatangkan langkah pencegahan bermula dari awal lagi. Islam telah mendidik manusia supaya kasih-mengasihi, sayang-menyayangi serta saling menghormati di antara satu sama lain.

Islam juga melarang daripada mempunyai penyakit-penyakit hati seperti berikut;

1- Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian (hubbu dunya wakarahiyatul maut): Cinta kepada dunia dapat melahirkan sifat tamak kepada pangkat, harta benda dan sebagainya dan benci kepada kematian menyebabkan seseorang itu alpa kepada pembalasan di akhirat.

2- Cemburu dan iri hati: Iri hati ialah sifat yang muncul akibat dari perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh melihat orang lain melebihinya. Lalu digunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan orang tersebut termasuklah melalui pembunuhan.

3- Dendam kesumat: Terdapat di kalangan kita yang sukar memaafkan dan melupakan kesalahan. Lantas ia akan menyebabkan rasa tidak puas hati. Apabila perasaan ini dipendamkan, ia akan mencetuskan dendam yang berpanjangan.

Ketiga-tiga sifat di atas adalah antara punca utama berlakunya kes-kes pembunuhan. Walaupun hukuman yang layak bagi si pembunuh ialah hukuman mati, namun masih terdapat di kalangan kita yang sanggup melakukannya tanpa rasa takut dan gentar.

Justeru, untuk menghentikan jenayah ini, ia perlu bermula di hati. Pembersihan hati perlu bermula dengan pendidikan dan pengurusan hati untuk mengelakkan penyakit-penyakit yang tiada ubatnya. Ia adalah kaedah terbaik bagi mencegah berlakunya pembunuhan.

Sumber : Utusan Malaysia

Friday, September 10, 2021

IMAM MUDA MENINGGAL SEMASA BERKHUTBAH SOLAT JUMAAT...

Ustaz M sedang mengendalikan Kursus Jenazah. Kursus hari kedua ni bermula jam 9.15 pagi. 

Sebelum memulakan kursus, ustaz lihat ada jemaah yang kelihatan sedang mendaftar semula kat meja pengelola, ada jemaah yang mundar mandir sambil menunggu ketibaan Ustaz M, ada yang solat sunat Dhuha. Ada yang duduk2 berborak dan berkenalan antara satu sama lain dan ada yang nampak berzikir. Maklumlah yang datang kursus ni bukannya sedikit. Hampir 180 orang kesemuanya. Ustaz M cakap, inilah kursus pengurusan jenazah yang paling ramai yang dia pernah kendalikan. Sebelum ni, paling ramai pun yang berkursus adalah dalam lingkungan 50 - 60 orang sahaja. Luar biasa kali ni ramainya, puji beliau. 

Ustaz memulakan kursus dengan sedikit ucapan alu-aluan. Kemudian, ustaz ada menyentuh sikit tentang solat sunat Dhuna. Sebab sebelum tu ramai juga jemaah yang solat sunat Dhuha. 

Sebelum Ustaz M melanjutkan bicara, beliau bercadang hendak bercerita kisah seorang imam muda yang meninggal dunia ketika sedang membaca khutbah solat jumaat.

Berlaku di sebuah masjid di selatan ibu Kota Kuala Lumpur. Masa tu, hari Jumaat. Imam kali ini ialah seorang pemuda yang berusia 28 tahun. Muda lagi. Dan sudah berkahwin. Jemaah di situ memang sudah arif sangat dengan imam ini. Imam ini memulakan khutbahnya. Sampai pada perkataan, “Uusyikom Bitaqawallah, Waihyaa….. ……… ……… .”. Tiba-tiba imam ini terdiam…. Semua para jemaah diam (memang dengar khutbah kena diam pun) dan hanya memerhati sahaja ke arah imam. Semua mata tertumpu kepadanya. Imam masih lagi senyap. Matanya terpejam rapat. Tidak bergerak. 

Suasana hening seketika. Kedengaran sekali sekala bunyi enjin kenderaan motor keluar masuk kawasan masjid menandakan ada jemaah yang baru tiba. Mana yang tengah berwudhu’ nampak tidak berapa ambil pusing dengan apa yang sedang berlaku di atas mimbar. Di satu sudut masjid pula, kelihatan jemaah yang tak mendengar khutbah, leka mengunyah pisang emas dan pisang montel yang disedekahkan oleh orang ramai. Ambil berkat gamaknya. 

Tiba-tiba tangan imam yang sedang memegang kayu mimbar, melurut ke bawah, dan beliau pun jatuh terduduk di atas kerusi khatib. Kepalanya terlentuk ke bawah. Makmum yang masih tergamam dengan peristiwa ini, segera bangun untuk melihat apa yang terjadi. Bilal menerpa ke arah imam dan ingin membantu serta menolong jika sesuatu yang buruk berlaku kepada khatib. Imam (khatib) dipapah turun dan diletak di hadapan para jemaaah di saf hadapan. Setelah diperiksa oleh bilal, tiada perkataan lain yang boleh diucapkan selepas itu melainkan, “Innalillahi wa inna Ilaihi roojiuun…” . 

Kembalinya ke Rahmatullah seorang imam yang amat berjasa pada masyarakat setempat. Ada makmum yang masih terkejut dengan peristiwa ini. Ada juga yang menitiskan air mata tanda terharu. Hilang sudah sebutir permata yang baru nak berkembang mekar. Hilang juga satu cahaya yang menerangi alam yang fana ini. Yang uniknya kata ustaz M, sewaktu imam itu menghembuskan nafas terakhirnya, jatuhnya betul-betul di atas kerusi yang berada di belakangnya dan terus sahaja duduk. Tidak jatuh tersungkur ke depan, dan tidak juga jatuh sama ada ke kiri atau ke kanan mimbar. Elok sangat duduk atas kerusi khatib, sama seperti beliau duduk sebelum memulakan bacaan khutbah tadi…dan pada masa ini juga, dipercayai, imam tersebut telah pun meninggal dunia….

Jenazah pun dibawa balik untuk diuruskan… Ustaz M pun dipanggil untuk menguruskan jenazah ini. Sebaik kain penutup mayat diselak untuk memulakan proses mandian jenazah, ustaz M begitu terkejut bercampur terharu yang amat sangat bila melihat beberapa kejadian mengkagumkan berlaku pada mayat. 

Apa yang terharu dan peliknya?… . Ya, Badan jenazah itu amat berseri dan masih kelihatan darah mengalir lagi pada seluruh tubuhnya. Seolah-olah jenazah ini masih hidup. Tidak mati gitu. Macam orang tidur aje. Dan yang lebih mengkagumkan ustaz M lagi, keluarnya satu haruman yang semerbak dari badan jenazah. Wangi sungguh! Tak pernah ustaz M mencium bau wangian sebegini rupa selama dia menguruskan jenazah lain sebelum ini! Hebat mayat ni, fikir ustaz M… Subhanallah! Hati ustaz M begitu melonjak girang untuk terus memandikan jenazah imam sehingga selesai. Hati kecilnya berdoa ; “Ya Allah! Engkau Maha Mulia! Engkau telah memuliakan mayat ini, maka muliakanlah ia sehingga aku selesai memandikannya. Aku begitu seronok melihat jenazah dalam berkeadaan begini. Ya Allah…Ya Allah..Ya Allah……. ” 

Rupanya-rupanya kemuliaan jenazah imam ini tidak berakhir di situ. Doa ustaz M dimakbul Allah SWT. 

Menurut ustaz M lagi, sewaktu jenazah imam ini nak ditanam ke dalam liang lahad, sahabat-sahabat yang menggali kubur memberitahu, muncul pula pelbagai jenis bunga-bungaan yang datang entah dari mana, turut berada di dalamnya. Masa gali kubur tadi takde. Elok aje mayat sampai, banyak pula munculnya. Cantik sungguh liang lahad dengan dihiasi bunga-bungaan tersebut, seolah-olah sedang merai dan menantikan kedatangan bakal penghuni syurga! SUBHANALLAH! SUBHANALLAH! Tak tau apa lagi nak cakap betapa Allah SWT telah pun meletakkan hamba-Nya ini di maqam tertinggi dan dimuliakan. Tambahan pula, ianya sudah pun dipertontonkan pada umat Islam lain agar memahami dan mengerti bahawa inilah balasannya pada orang yang beramal soleh serta taat dan patuh pada perintah-Nya! Sesungguhnya Allah itu tidak memungkiri janji-NYa! 

Seperti biasalah, ustaz M pasti tak akan puas hati kalau tak bertanya pada isteri imam yang dimuliakan oleh Allah tentang apakah amalan si arwah pada masa hidupnya sehinggakan jenazahnya mendapat pengikhtirafan sebegitu rupa sejak dari alam dunia lagi. 

Menurut kata isteri arwah imam tersebut, sepanjang dia hidup bersama, perkara yang dia perasan, amalan imam itu semasa hayatnya kalaulah ia boleh dijadikan ukuran, ialah tidak pernah meninggalkan solat sunat Dhuha dan solat sunat Witir. Inilah amalan istiqamahnya. Setiap malam, sebelum arwah menutup dairi kehidupannya hari itu dan tidur, pasti dia akan menunaikan solat witir setiap hari, sehinggalah ke pengakhiran hayatnya, ditambah pula oleh amalan-amalan lain yang dilakukan sebagai seorang yang menjawat jawatan sebagai seorang imam untuk kawasan tersebut. Wallahua’lam.

GANJARAN SOLAT JUMAAT...

Diriwayatkan bahawa Nabi Musa a.s. pergi ke Bukit Baitul Muqaddis. Sampai di sana, Nabi Musa a.s itu melihat satu kumpulan sedang beribadat kepada Allah s.w.t dengan penuh khusyuk.

Nabi Musa a.s kemudian bertanya dan mereka menjawab :

“Kami termasuk umat Tuan. Kami telah beribadat kepada Allah s.a.w. sejak 70 tahun dengan bersungguh-sungguh. Pakaian kami adalah kesabaran, makanan kami adalah tumbuh-tumbuhan dan minuman kami adalah air hujan.”

Melihat perkara itu Nabi Musa a.s. berasa senang hati.

Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan kepadanya :

“Hai Musa, ada suatu hari untuk umat Nabi Muhammad s.a.w yang solatnya dua rakaat pada hari itu lebih utama daripada semuanya ini.”

“Ya Tuhan ku, hari apakah itu?”, Nabi Musa a.s bertanya. 

Allah s.w.t. kemudian memberitahu bahawa hari yang dimaksudkan itu adalah hari Jumaat.

Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Apabila tiba hari Jumaat, Allah s.w.t. mengutuskan Malaikat turun ke bumi sedang pada tangan mereka memegang pena dari emas dan kertas-kertas dari perak.”

Malaikat berdiri pada pintu masjid dan mencatat nama orang yang masuk ke dalam masjid dan bersolat Jumaat.

Apabila selesai solat, Malaikat pulang ke langit. 

Mereka berkata :

“Hai Tuhan kami, kami telah mencatat orang yang masuk ke masjid dan solat Jumaat.”

Maka Allah s.w.t. berfirman :

“Wahai Malaikat-malaikatKu, demi keperkasaan dan keagunganKu, sesungguhnya Aku benar-benar mengampuni mereka semua dan dosa-dosa mereka tiada lagi walau sedikitpun.”

"Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila di serukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkan berjual beli yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar) nya."

Sunday, September 5, 2021

LANCANG KUNING...


Filem Lancang Kuning terbitan Tahun 1962. Semasa penggambaran filem ini dibuat Pengarahnya M. Amin berdepan dengan berbagai halangan dan gangguan makhluk halus. ikuti kisahnya dibawah...

M. AMIN BERTARUNG DENGAN HANTU LAUT

M. Amin

Pengarah veteran, Mohamed Amin Haji Ikhsan, 77, lebih dikenali sebagai M. Amin, masih belum mampu melupakan kisah sedih dan gembira ketika sentuhan awalnya mengarah filem Lancang Kuning pada tahun 1962 di Singapura. "Saya bukan saja terpaksa bertarung dengan hantu laut secara ghaib, bahkan saya hampir mengangkat kaki meninggalkan studio Cathay Kris Filem Production dan menerima tindakan dibuang kerja. "Sampai ke hari ini saya masih ingat, pada waktu itu saya benar-benar kecewa. saya patah hati kerana filem sulung arahan saya itu selain didakwa pihak pengurusan tidak bermutu, kononnya ia langsung tidak boleh disunting," ujar M. Amin. 

Menurutnya, hampir seminggu dia berkurung diri di dalam rumah pada waktu siang dan secara senyap-senyap pada waktu malam, dia menyunting filem Lancang Kuning di studio ikut pintu belakang. Katanya, seorang sahabatnya berketurunan India, P B Johan membantunya menyunting filem itu sehingga selesai. Kemudian beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan. "Sementara menanti keputusan, saya sudah berkira-kira mencari pekerjaan lain, termasuklah sebagai kelasi kapal. Ini disebabkan selain filem saya tidak diterima, jawatan saya sebagai pengarah dan gaji diturunkan secara spontan." Jelas M. Amin bersungguh-sungguh. 

Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini kemudian menyebut: "Mungkin Tuhan telah melorongkan rezeki saya di dunia lakonan, selang seminggu kemudian, satu petang saya dijemput dengan kereta ke studio menghadiri satu majlis keraian. Dengan hati yang berat saya terpaksa akur." "Rupa-rupanya majlis itu diadakan untuk meraikan saya. Pihak pengurusan menganggap filem Lancang Kuning filem terbaik pernah dihasilkan oleh Cathay Kris pada waktu itu." jelasnya yang pernah dianugerahi Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1993. Menurut M. Amin, bukan itu saja, malah Lancang Kuning juga berjaya ditayangkan ke tahap box office. Barisan pelakon filem itu termasuklah Latifah Omar sebagai Telani digandingkan dengan Nordin Ahmad sebagai Datuk Alang Yahya. 

Sebelum itu M. Amin bercerita, sepanjang di lokasi penggambaran, terutama dalam adegan ketika Lancang Kuning hendak di lancarkan ke laut, pelbagai kejadian aneh terjadi. Beliau diganggu hantu laut. Bagaimanapun M. Amin dapat menghalangnya secara ghaib juga. 

Saya bukan dukun, namun mengikut petua orang tua-tua, saya terpaksa lakukan apabila terdesak . Latifah yang saya tanam separuh badannya didalam pasir bagi membolehkan lancang lalu diatas perutnya, secara tiba-tiba menggigil. Mukanya pucat seperti mayat. "Sebenarnya, saya tidak bermaksud hendak melancarkan lancang benar-benar di atas perut Latifah. Saya gantikan dengan dummy perut kambing dan darah supaya nampak benar-benar hidup." "Penggambaran terpaksa di hentikan sekejap. Saya membasuh muka Latifah dengan air penawar sebelum penggambaran disambung semula." katanya mengingati kisah lama. M. Amin juga menyebut, sebenarnya sebelum penggambaran filem Lancang Kuning yang dibuat di tepi pantai di belakang studio Cathay Kris, dia telah meminta seorang kakitangan disitu membacakan doa selamat dan tolak bala sebagai ikhtiar mengelakkan gangguan. 

M. Amin mula terbabit secara langsung dalam arena lakonan setelah menamatkan perkhidmatan sebagai guru undang-undang polis di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur selama lima tahun bermula pada tahun 1946. Beliau berhijrah ke Singapura untuk mencari pekerjaan sehingga terbabit dalam satu uji bakat di studio Jalan Ampas. Namun begitu, M. Amin gagal dalam ujian tersebut. Menurutnya, ketika hendak meninggalkan studio, beliau terserempak dengan pengarah L. Krishnan dan menawarkan dia berlakon dalam filem Bakti sebagai pelakon tambahan. "Saya juga dilantik sebagai guru bahasa. Saya mengajar membaca dan gaji RM50.00 sebulan. Kebetulan ketika itu ramai pelakon masih belum lancar membaca." cerita M. Amin. 

M. Amin ketika di Singapura tinggal sebatang kara. Hanya dengan seniwati Kasma Booty tempat dia mengadu dan mendapatkan nasihat apabila berdepan dengan masalah ketika dalam penggambaran. Hanya pada tahun 1952, M. Amin ditawarkan pelakon tetap menjadi hero untuk filem kembar, kemudian diikuti filem pontianak, Cinta Gadis Rimba, Serangan Orang Minyak, Hang Jebat, Siti Zubaidah dan Dang Anum. Bagaimanapun apabila M. Amin berhijrah ke Kuala Lumpur, dia berkhidmat dengan Sabah Filem dan mengarah beberapa filem iaitu Tajul Ashikin, Dua Kali Lima, Penyamun, Si Bongkok, Hapuslah Air matamu, Pendekar, Kisah Seorang Biduan dan Sumpah Semerah Padi. 

Sepanjang penglibatannya 48 tahun dalam dunia filem, M. Amin pernah menghadapi peristiwa yang hampir membawa maut ketika menyertai rombongan ke Festival Filem di Taipei pada tahun 1964. Kapal terbang yang sepatutnya saya tumpangi tidak dapat saya naiki. Ini kerana tempat duduk yang saya tempah telah diambil seorang jutawan dari Taiwan untuk berlepas ke Singapura. Bagaimanapun, saya bersama beberapa orang lagi terpaksa menaiki kapal terbang lain untuk penerbangan kedua. Ketika kami diraikan sebelum berlepas, tersebar berita kapal terbang yang sepatutnya kami naiki meletup di udara dan mengorbankan 68 penumpang termasuk anak kapal. "Apabila menerima berita tersebut, saya beristighfar dan bersyukur terselamat daripada nahas." ujar M. Amin. 

Disamping peristiwa terlepas daripada maut itu, M. Amin juga pernah mengalami peristiwa lucu. Dia menaiki kapal terbang dari Sarawak ke Kuala Lumpur dengan hanya mengenakan baju tidur. "Masa itu saya berlakon filem Cinta Gadis Rimba di satu lokasi di pedalaman Sarawak. Oleh kerana alat-alat penggambaran semuanya berat-berat termasuk kamera, dibawa dengan rakit. Kami pula berjalan kaki menyusuri sungai. Kebetulan masa itu hari masih pagi. Saya pula masih pakai baju tidur, entah macam mana, secara tiba-tiba dalam sekelip mata saya nampak rakit berpusing-pusing, pendayungnya berusaha mengawal tetapi tidak berjaya. Akhirnya ia terbalik dan semua barang-barang peralatan shooting termasuk kain baju habis tenggelam dan dihanyuti air." "Disebabkan pakaian sudah hanyut, Akhirnya saya balik ke Singapura hanya dengan baju tidur." ceritanya sambil tergelak besar mengingati kejadian yang berlaku pada tahun 1958. 

Sumber artikel : majalah PESONA Ogos 2001 Filem di download dari youtube.