Sunday, July 14, 2013

KOTA SUCI MEKAH DAN MADINAH...



MEKAH dan Madinah adalah dua kota suci dalam Islam. Di dalam al-Quran dan hadis, dua kota itu sering disebut juga dengan Tanah Haram (Al-Balad Al-Haram). Kata haram bererti larangan atau tegahan.

Sebagai kawasan yang dimuliakan, tidak menghairankan jika Tanah Haram memiliki peraturan bagi orang-orang yang tinggal di dalamnya.

Salah satu peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah larangan bagi golongan bukan Islam memasuki Masjidilharam. Ia terkandung dalam firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 28 bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin, maka Allah akan memberikan kekayaan kepadamu dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Berikut dipaparkan antara keistimewaan kedua-dua kota suci tersebut:

KOTA MEKAH

TERDAPAT satu ruangan tanah di planet bumi yang diistimewakan Allah. Ia adalah sebidang tanah seluas lebih kurang 540 kilometer persegi. Inilah tanah tempat Allah pertama kali meletakkan bangunan rumah-Nya di bumi, yakni Kaabah. Itulah juga sebagai tempat tumpuan kiblat manusia sejagat.

Mekah di dalam al-Quran disebut berkali-kali dengan terminologi berbeza. Ini menunjukkan betapa kelebihan Mekah sangat banyak dibanding kota-kota lain di dunia ini.

Selain Mekah, di dalam al-Quran Allah menyebut kota suci ini sebagai Bakkah (lembah air mata), Ummul Qura (perkampungan tua), al-Balad (negeri), al-Balad al-Amin (negeri yang aman), al-Baddah (negeri), Haram Amin (tanah suci yang aman), Wad Ghairu Dzi Zar’in (lembah yang gersang) Ma’ad (tempat kembali), Qaryah (negeri/kampung), al-Masjid al-Haram dan lain-lain.

Dalam buku Sejarah Mekah Dulu dan Kini, tulisan Dr.Muhammad Abdul Gani, Maktab Al-Malik Fahd, edisi kedua, Madinah 2003, disebutkan, beberapa kelebihan Mekah iaitu :

* Tempat dibangunnya rumah Allah (Baitullah) pertama kali.

* Kota kelahiran Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman.

* Tempat pertemuan Adam dan Hawa yang mana setelah dikeluarkan dari syurga, mereka berdua hidup mengembara selama 200 tahun sehingga Allah mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah, Arafah.

* Tempat beribadah para hamba-Nya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya mengerjakan haji.

* Tempat yang tidak boleh seorangpun masuk ke dalamnya kecuali dengan kerendahan hati, khusyuk dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia.

* Tempat yang dijadikan Allah sebagai tanah suci yang aman, yang tidak boleh ada pertumpahan darah di sana.

* Tempat yang dimaksudkan untuk menghapus dosa-dosa masa lalu.

* Tempat yang Allah mensyariatkan kepada manusia untuk bertawaf di Kaabah.

* Tempat yang Allah mewajibkan bagi orang-orang yang mampu untuk mengunjunginya.

* Tempat yang tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hamba-hamba-Nya untuk menghadap dan melambaikan tangan, kecuali kepada Kaabah, Hajarul Aswad, Rukun Yamani yang adanya di kota Makkah.

* Tempat yang tidak ada di muka bumi ini suatu masjid pun, yang memiliki keistimewaan bagi siapa saja yang solat di dalamnya maka pahalanya akan dilipatgandakan 100,000 kali.

* Tempat yang dilarang oleh Allah untuk menghadap atau membelakanginya pada waktu buang hajat.

* Tempat yang Allah memberikan balasan bagi siapa saja yang berniat jahat, walaupun belum melakukannya. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya akan dilipatgandakan. Ia kerana melakukan kejahatan di tanah suci, lebih besar dosanya dibandingkan di tempat-tempat lain.

* Tempat-tempat yang mustajab bagi orang-orang yang berdoa di sana, misalnya di Hajar Aswad, di Rukun Yamani, di makam Ibrahim, di Hijir Ismail, di telaga Zamzam, di Arafah saat berwukuf dan lain-lain.

* Tempat di mana Allah pernah bersumpah atas nama negeri Mekah seperti dituturkan-Nya dalam surah At-Tiin, kalau tidak kerana istimewanya Mekah, Allah tentu tidak perlu mengangkat sumpah atas nama negeri yang sarat dengan sejarah itu;

* Tempat yang sentiasa dijaga para malaikat.

* Tempat adanya telaga zam-zam yang luar biasa.

KOTA MADINAH


Kota Madinah

SATU-SATUNYA tanah yang Rasulullah SAW sahkan boleh digunakan untuk mengubat penyakit dengan izin Allah SWT ialah tanah di kawasan tanah haram Madinah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda;
‘‘Dengan nama Allah, debu tanah kita (yang dicampur) dengan air liur setengah daripada kita menyembuhkan dari penyakit kita dengan izin Allah."

Dalam soal keistimewaan meninggal dunia di Madinah, Rasulullah SAW bersabda:

‘‘Sesiapa berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah hendaklah dia meninggal dunia di sana, kerana aku akan memberi syafa’at bagi pihak setiap orang yang meninggal dunia di situ." (Riwayat Al-Tirmizi)

Madinah merupakan salah satu dari dua kota suci Islam yang dikawal para malaikat sepanjang masa. Kawalan yang dibuat itu ialah bagi menghindari penyakit taun dan serangan Dajjal. Seperti yang kita tahu bahawa di akhir zaman kelak, Dajjal akan muncul di setiap kota dan desa. Namun begitu Madinah dan Mekah tidak dapat dimasuki Dajjal kerana ia dikawal oleh para makaikat yang diutus Allah SWT. bagi tujuan tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut Rasulullah SAW bersabda bahawa Dajjal akan muncul di setiap kota melainkan Madinah dan Makkah. Dia tidak dapat masuk kerana malaikat akan melindungi kedua-dua kota itu.

Tentang kawalan taun pula, sebuah hadis daripada Al-Bukhari meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW bermimpi mengenai Madinah. Baginda kemudiannya bersabda yang bermaksud:

‘Aku melihat seorang perempuan kulit hitam dengan rambut kusut masai keluar dari Madinah dan dia singgah di Mahyaah. Aku mentafsirkannya sebagai taun Madinah yang telah dipindahkan ke Mahyaah iaitu Juhfa’.

Tuesday, July 9, 2013

MARI KITA MENGULANGKAJI BAB PUASA...

Esok kita semua umat Islam dah mula nak berpuasa. Mungkin ramai yang sudah terlupa akan tatatertibnya. Jadi marilah kita mengulangkajinya semula semoga ibadat puasa pada tahun ini lebih berkualiti dan semoga kita menjadi orang yang bertakwa.

PUASA 
 
(Petikan dari Kitab Tuntutan Ibadah: Perukunan Ibadah Sepanjang Zaman oleh As-Shaikh Ali b. Abdullah)

Ertinya:

Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan. 

 
Perintah wajib puasa turun pada bulan Sya’ban Tahun 2 Hijrah.

Dalil

Perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:

 


Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.

Wajib Puasa:

1) Islam
2) Mukalaf
3) Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
4) Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.

Sah Puasa:

1)BeragamaIslam sahaja, lelaki, perempuan  dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.
2) Suci dari haid dan nifas.
3) Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
4) Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Sya’ban).

Rukun Puasa: 


1) Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.
2) Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.

Membatalkan Puasa: 


Sekiranya

1) Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.
2) Muntah dengan sengaja.
3) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
4) Haid atau nifas.
5) Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).
6) Murtad (keluar dari Islam).
7) Gila (hilang akal). 

Pantang-larang puasa:

Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).

1) Berdusta, berbohong.
2) Mengumpat, mengata orang.
3) Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
4) Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.
5) Marah.


Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Bermaksud: “Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”.
(Hadis menurut Sahih Muslim)

Sunat-sunat Puasa: 

 
1) Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka”.

2) Makan sahur walaupun sedikit.
Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya”.

3) Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.
4) Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.
5) Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
6) Memperbanyakkan sedekah.
7) Beriktikaf siang hari dalam masjid.
8) Menghadiri majlis-majlis ilmu.
9) Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.
10) Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.

Golongan Yang Harus (Dibenarkan) Berbuka Puasa:

1) Orang yang di dalam (perjalanan - musafir), tetapi wajib di qada’.
2) Orang sakit, wajib di qada’.
3) Ibu yang menyusukan anak, jika takut mudharat bagi dirinya, maka wajib qada’ dan jika takut mudharat bagi anaknya maka wajib qada’ dan fidyah.

Bacaan Niat Puasa:


1) Lafaz niat puasa Fardhu Ramadhan


 
“Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala”. 
 

Bacaan Hendak Berbuka Puasa:



“Ya Tuhanku, keranaMu jua aku berpuasa, dan denganMu aku beriman dan di atas rezekiMu aku berbuka dengan belas kasihMu Ya Allah Ya Amat Mengasihi”.

( Petikan dari Risalah Siri (11) : Sembahyang Tarawih, Terbitan Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri (1981) – Cetakan Ketiga)



  SEMBAHYANG TARAWIH

1. Hukum Sembahyang Tarawih:
  • Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan samada secara berseorangan atau berjamaah.
  • Sunnat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.
2. Waktu Sembahyang Tarawih:
  • Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya’.
3. Rakaat Sembahyang Tarawih:
  • Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih ini sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
  • Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan.
  • Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.
  • Sembahyang Terawih hendaklah ditunaikan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. 
 4. Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:

 
 
Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat ma’mum kerana Allah Taala 
 
5. Rukun Sembahyang Tarawih

  • Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain juga. 
SEMBAHYANG WITR 

1. Sembahyang Sunat Witr
  • Menurut kebiasaan umum orang-orang Islam di Malaysia menunaikan sembahyang Witr selepas sunat Tarawih ini sebanyak 3 rakaat sahaja. Sunat Witr ini ditunaikan secara berjamaah.
  • Salam selepas dua rakaat yang pertama.
  • Lafaz niat sembahyang sunat Witr 
 i- bagi dua rakaat yang pertama:

 
  Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Witir dua rakaat ma'mum kerana Allah Ta'ala

ii- bagi rakaat yang akhir:


 Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Witr satu rakaat ma’mum kerana Allah Ta’ala.
  • Pada malam 16 hingga akhir Ramadhan adalah sunat dibaca [doa] Qunut pada rakaat yang akhir. Lafaz Qunut di sini sama juga dengan lafaz Qunut semmbahyang Subuh. Dan jika tidak membaca Qunut ini adalah disunatkan Sujud Sahwi. 

Petikan hadith-hadith mengenai puasa dari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim

Kelebihan Ramadan



 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: …Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu 



Kelebihan berpuasa  





Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya 

 


Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun

Akhlaq sewaktu berpuasa


 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa


 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)

Kelebihan bersahur

 
 Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya
Kelebihan menyegerakan berbuka


 
 Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa  
Kelebihan Sembahyang Tarawih dalam bulan Ramadan 



 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu  
Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya


 
 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan 
Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar




Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu 

Beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan




Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan 

Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan



 Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain 

Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa




Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah 


Tidak Batal Puasa Orang Yang Bangkit Dari Tidur Di Waktu Pagi Dalam Keadaan Berjunub





Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata:: Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa 

Janganlah berpuasa sehari dua sebelum Ramadan




Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa

KELEBIHAN SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH


Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan: 


Malam 1 - keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah. 

Malam 2 - diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang beriman). 

Malam 3 - berseru Malaikat di bawah ‘Arash supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau. 

Malam 4 - memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan AL-Quran. 

Malam 5 - Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa. 

Malam 6 - Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini. 

Malam 7 - Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi ‘Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fir’aun dan Hamman. 

Malam 8 - Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam. 

Malam 9 - Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W. 

Malam 10 - Allah swt mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat. 

Malam 11 - Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan. 

Malam 12 - Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya). 

Malam 13 - Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan. 

Malam 14 - Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat. 

Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya. 

Malam 16 - Allah swt tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga. 

Malam 17 - Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi. 

Malam 18 - Seru Malaikat: Hai Hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati). 

Malam 19 - Allah swt tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus. 

Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin. 

Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada Nur. 

Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru hara di Padang Mahsyar). 

Malam 23 - Allah swt binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada Nur. 

Malam 24 - Allah bukakan peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud). 

Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur. 

Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat. 

Malam 27 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratulmustaqim seperti kilat menyambar. 

Malam 28 - Allah swt kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat. 

Malam 29 - Allah swt kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur. 

Malam 30 - Allah swt beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: 

“Hai hambaKu: makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kauthar’”.

Saturday, July 6, 2013

BERDIALOG DENGAN HANG TUAH DI PULAU CIPUTIH...


Gambar di atas adalah potret yang didakwa sebagai rupa Datuk Laksamana Hang Tuah yang sebenar. Sebelum ini, tiada seorang pun yang tahu wajah sebenar Hang Tuah dan hanya mendengar kehebatan Laksamana Melaka itu melalui catatan sejarah atau karangan hikayat sahaja. 

 
Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar, Ahli Bersekutu Persatuan Sejarah
 dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD) 
(yang bertemu Hang Tuah di Pulau Ciputih)...


Kisah kepahlawanan Hang Tuah aku tahu semasa aku masih kecil lagi di mana aku sering membaca kisah-kisahnya bersama 4 sahabat karibnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu di setiap buku yang aku jumpa termasuklah dari buku hikayatnya yang popular karangan Tun Sri Lanang,  iaitu Hikayat Hang Tuah dan termasuklah juga yang telah difilemkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Aku sangat kagum dengan kepahlawanannya yang tiada tolok banding dan terbilang, bijaksana, mempunyai ilmu yang tinggi, menguasai 12 bahasa dan digambarkan sebagai seorang yang mempunyai ketaatan yang tinggi terhadap Sultan sehingga sanggup membunuh sahabatnya sendiri iaitu Hang Jebat. TETAPI....!!!! tahukah kita, apa sebenarnya yang  berlaku, dan benarkah Tuah telah membunuh Jebat?

Untuk mengetahui kisahnya, marilah kita sama-sama membaca kisah di bawah ini yang telah diceritakan sendiri oleh Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar, Ahli Bersekutu Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad) selepas beberapa kali bertemu dengan pahlawan itu di alam ghaib bermula pada 1987. 

Rencana di bawah ini aku petik dari Mastika keluaran April 2013 yang dikarang oleh wartawannya Desi Ernita Dahnin @ Nita yang telah mewawancara Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar. 

Aku memohon kebenaran untuk menyalin semula artikel ini dan menyiarkan di dalam blog untuk dikongsi bersama. Terima kasih. 

SELAMAT MEMBACA...


November 1987...

Sesudah solat Asar, lelaki itu naik ke dalam sampan. Mujur nelayan tua itu sudi membantunya. Menghantarnya ke sebuah pulau yang menjadi 'kawasan larangan'.

Dia harus ke sana. Kembaranya dengan beruzlah selama ini memberi petunjuk, di pulau tidak berpenghuni itulah dia akan temui jawapan yang dicari-carinya.

Petang hari Ahad, berjayalah lelaki itu menjejakkan kakinya di pulau tersebut. Lantas, dia mencari tempat yang sesuai menyambung uzlahnya. Sebongkah batu besar menghadap ke gigi laut dipilih. Atas hamparan batu itulah dia duduk terus mengkhusyukkan diri ke hadrat Ilahi. Sekadar kurma dan kismis sebagai pengalas perut.

Waktunya banyak dihabiskan dengan amal ibadah. Solat hajat, taubat dan istikharah tidak ditinggal. Sehinggalah pada malam kedua di pulau itu, lebih kurang pukul 2.00 pagi. Sewaktu dia sedang berwirid....

''Assalamualaikum...'' Salam itu tidak berjawab. Lelaki itu tergamam. Terperanjat, takut dan menggigil melihat susuk 'laksamana' di hadapannya itu.

Kali kedua salam diberi. Pun sama. Lelaki itu masih terfana. Perasaannya bercampur-baur hingga lidahnya kelu untuk berkata. Kali ketiga, salam diberi lagi sambil 'laksamana' itu menghulur tangan.

Barulah lelaki itu mampu menjawab salam. Pantas dia menyambut huluran tangan yang diberi. Sejuk rasanya tangan 'laksamana' tatkala bersalaman sambil mencium tangan itu. Aroma wangian kasturi menusuk hidungnya.

Selepas melepaskan genggaman tangan, lantas 'laksamana' itu menepuk lembut bahunya. Barulah lelaki itu tersentak. Terasa tenang semula dan lancar berkata-kata.

''Yayi bernama Hang Tuah. Yayi datang melihat cucu di sini,'' akhirnya dia memperkenalkan diri.

''Terima kasih kerana laksamana sudi datang,'' balas lelaki itu. Hatinya terasa sebak,

Pertemuan mereka malam itu tidak lama. Sekadar bualan biasa. Bermacam-macam soalan hendak ditanya lelaki itu, namun jawab Tuah yang membahasakan dirinya sebagai yayi (kiai).

''Yayi tahu apa yang cucu cari. Sabarlah. Jangan tinggal solat dan wirid!'' Sebelum subuh menjelma, mereka pun berpisah.

Keesokan malam, Tuah datang lagi menjenguknya. Pertemuan malam kedua itu, barulah laksamana terbilang itu menceritakan sedikit akan nasib keturunannya.

''Yayi bernama Hang Tuah, anakanda kepada bonda yayi iaitu Dang Merduwati atau Dang Merdu. Ayahanda yayi bernama Hang Mahmud. Yayi lahir di kampung Duyong, Melaka dan membesar di Bentan,'' tuturnya dalam bahasa lama.

Perbualan mereka terus berkisarkan nasab, salasilah, kedaulatan dan kehebatan zaman kedaulatan dan kehebatan zaman kesultanan Melayu Melaka. Pertemuan mereka bersambung hingga malam ketiga. Segala persoalan terjawab. Lelaki itu mendapat jawapan yang selama ini dicarinya.

Pertemuan malam ketiga itu merupakan malam terakhir di pulau itu. Sebelum berpisah, sempat Tuah memberi 'cenderamata' kepada lelaki itu. Kata Tun Tuah: ''Wahai cucuku, ambillah keris ini sebagai tanda pertemuan kita. Jika nanti ada sebarang keperluan, panggillah yayi!''

Lalu keris yang dihulur itu disambut penuh hormat lelaki itu. Dicabutnya keris pendek itu dari sarung, lalu dicium, Dan dimasukkan semula ke sarungnya. Tangan kanannya menggengam erat keris itu di dada sambil tangan kirinya melambai, sebagai tanda perpisahan mengiringi langkah pahlawan Melayu terbilang itu melangkah ke gigi air dan kemudian hilang dalam sayup hening subuh.

Berakhirlah pertemuan tiga harinya bersama laksamana Melayu terulung di pulau itu. Seminggu bertapa di pulau itu, ya... lelaki itu akhirnya mendapat jawapan!

Inilah potret Tun Tuah

Sambil menunjukkan sekeping potret lukisan, Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar, 63, berkata: inilah wajah Hang Tuah!''

Sekalipun pertemuannya dengan pahlawan terbilang itu bermula pada hujung tahun 1987, hanya pada tahun 2003 dia mendapat 'izin' untuk memotretkan wajah pahlawan Melayu terbilang itu.

Lantas, Ibrahim segera ke Langkawi, menemui rakannya Mohd. Salleh Dawang, yang juga merupakan seorang pelukis yang sering membantu pihak polis melakar wajah-wajah para penjenayah.

Sambil Salleh melakar di atas kanvas putih dengan sebatang pensel, Ibrahim pun memberi gambaran rupa Hang Tuah yang pernah ditemuinya.

''Hidungnya panjang dan kembang sedikit. Bibirnya nipis dan lebar ke tepi. Bentuk wajahnya tidak bujur tapi tidak terlalu bulat. Di antara kedua-dua keningnya mempunyai lekuk. Keningnya timbul. Bulu keningnya nipis namun dibentuk seperti batas berlekuk.

''Matanya bulat, lirikannya tajam. Dagunya seperti ada lapis. Telinganya panjang. Kerisnya terselit di pinggang dan tangannya selalu di situ. Keadaannya dalam siap siaga,'' panjang lebar gambaran Ibrahim.

Dalam masa 40 minit, Salleh siap melakar gambaran yang diberi lalu ditunjukkan kepada rakannya itu.
''Astaghfirullah!'' Ibrahim mengucap panjang.

Menggigil tangannya memegang kanvas lakaran itu, Ya! Inilah wajah Hang Tuah. Benar-benar serupa seperti yang sering ditemuinya.

Salleh sendiri turut merasa aneh. Sewaktu melakar potret itu, tidak sekali pun dia menggunakan pemadam seperti kebiasaan. Tangannya juga ringan, seolah-olah diarahkan untuk melakar gerakan membentuk rupa tersebut..

Selesai lakaran, tiga hari masa diambil untuk memperkemaskan potret itu sebelum Ibrahim membawanya pulang. Potret itu disimpan rapi di rumahnya di Klang, Selangor. Tidak pernah dia berkongsi wajah pahlawan itu untuk tatapan orang luar.

Hanya pada tahun lalu, barulah wajah Hang Tuah ini diabadikan pada setem yang dikeluarkan eksklusif oleh Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD).

Waktu itu bila ditanya, Ibrahim sekadar menjawab wajah itu dihasilkan selepas beberapa siri pertemuannya dengan Hang Tuah di alam ghaib. Tiada perincian lain.

Kata Ibrahim, sukar untuk menceritakan perkara yang tidak mampu diterima logik akal manusia. Namun kepada Mastika, barulah Ibrahim terbuka hati menceritakan kisah pertemuannya dengan Hang Tuah.

Mencari jati diri Melayu...

TIDAK! Ibrahim tidak pernah meminta untuk bertemu Hang Tuah. Segalanya bermula pada bulan Ogos 1987, sewaktu tercetusnya isu perlembagaan apabila Karpal Singh hendak memfailkan saman terhadap Sultan Selangor.

Sebagai anak Melayu yang kebal jati diri, Ibrahim bersama puluhan sahabat yang lain tampil mempertahan kedaulatan raja-raja melayu. Matlamatnya terlaksana sekalipun dia menanggung akibat, ditahan ISA selama 19 hari.

Selepas itu, Ibrahim tekad. Membawa diri ke serata tempat untuk 'berkhalwat', mengasingkan diri bermunajat kepada sang Pencipta. Tujuannya hanya satu, mencari kemelayuan dalam dirinya.

Ya Allah, aku mencari diriku, Melayuku. Adakah benar Melayu ini tuan kepada bumi (Malaysia) bertuah ini? Bantulah aku agar tidak tersesat-Itulah hajat yang sering dipohon dalam pencariannya.

Lalu dia 'dipertemukan' dengan Hang Tuah, pahlawan terbilang abad ke-15 yang memberi jawapan terhadap pencariannya itu.

Tuah tidak bunuh Jebat! 

Tanyalah apa saja peristiwa lampau, sama ada tentang Kesultanan Melayu Melaka. Tentang Hang Tuah lima sahabat? Atau apa saja yang menjadi persoalan dalam sejarah. Ibrahim ada jawapannya!

Sebab itu bila ada pihak mempertikai kewujudan Hang Tuah, Ibrahim tampil lantang berusara. Kerana dia masih ingat pesan Tuah yang berkata: ''Jangan sesekali cucu dan anak cucu yang lain berfikir atau mengatakan bahawa Sultan Melaka tidak pernah ada. Begitu juga adinda dan sahabat-sahabat.''

Lagi satu penjelasan Tuah dalam pertemuan mereka berkata: ''Yayi tidak pernah membunuh sahabat yayi, si Jebat. Tidak sekali-kali!''

Lalu tanya Mastika, siapa yang bunuh Jebat? Bukankah dalam sejarah tertulis Tuah bunuh Jebat kerana derhaka terhadap sultan?

Tidak! Itu bukan kisah sebenar. Begini ceritanya. Tuah dan Jebat bertikam berhari-hari kerana mereka 'bergurau', melepaskan rindu setelah sekian lama terpisah angkara kedua-duanya menjadi mangsa fitnah.

''Jika benar yayi mahu bunuh Jebat, mengapa perlu menutup semua langsir dan tingkap istana? Bukankah lebih baik rakyat jelata melihatnya?'' cerita Tuah.

Tikam menikam itu sengaja kedua-dua sahabat itu dipanjangkan berhari-hari kerana tujuannya mahu mengumpulkan orang-orang besar istana yang telah memfitnah mereka.

Apabila kesemua mereka sudah tiba, lalu Tuah melukakan sedikit jari kelingking Jebat dengan keris raja yang dibawanya pada waktu pagi agar darah mudah keluar.

Lalu luka itu dibalut, agar tampak memang sengaja dilukakan. Kemudian, Jebat pun mengamuk. Namun, sebenarnya yang diamuk Jebat hanya orang-orang tertentu yang telah melempar fitnah terhadap mereka berdua.

Setelah tiga hari mengamuk dan orang yang dikehendakinya sudah dihapuskan, lalu Jebat datang kononnya menyerah diri ke rumah Tuah.

''Lalu hamba isytihar kepada rakyat Melaka. Di ambang pintu, di mata tangga kesembilan, wahai rakyat negeri Melaka, tuanku perintahkan aku membunuh si penderhaka ini. Maka akulah yang berhak menguruskan bangkainya,'' cerita Ibrahim seperti yang disampaikan Hang Tuah kepadanya.

Jelas Ibrahim: ''Tujuan dia berbuat begitu untuk menjauhkan orang ramai. Lalu Tuah bawa Jebat masuk ke rumahnya. Sempat Jebat mandi, bercukur dan makan bersama sahabatnya itu.

''Jebat diberi persalinan baru. Menggunakan identiti baru, Jebat membawa diri ke Langkawi, membantu kerajaan Langkasuka waktu itu. Sedangkan Tuah pula keluar dari rumahnya menatang kononnya jenazah yang dibungkus dan dikebumikan sebagai tanda Jebat sudah mati di mata rakyat.''

Oh! Begitu rupanya. Lalu Mastika tanyakan lagi soalan lain. Perihal Tun Teja, Puteri Hang Li Po, Puteri Gunung Ledang, Keris Taming Sari dan pelbagai soalan lain. Semua ada jawapannya! Jawapan yang disahihkan sendiri oleh Hang Tuah, menurut kata Ibrahim. Terlalu panjang hendak ditulis di sini.
Mastika tanya lagi, benarkah Tun Tuah menghilangkan diri setelah mencampak Keris Taming Sari ke Sungai Duyong?

Dalam senyum Ibrahim menjawab: ''Ya. Dia 'mengghaibkan' diri. Ghaib dalam istilah sebenar, menukar identiti dirinya.''

Setelah Jebat kononnya dibunuh, di depan rakyat Melaka, Tuah berkata, ''Aku campakkan Taming Sari yang telah membunuh sahabatku ini ke Sungai Duyong. Jika ia timbul, aku tetaplah di sini. Tetapi jika tenggelam, maka aku pun akan pergi selamanya.''

''Sebenarnya, ia adalah satu alasan yang dicipta Tuah sebagai syarat atau alasan untuk mengundurkan diri kerana tidak mahu lagi jadi laksamana. Sudah tentu keris iaitu besi akan tenggelam dalam air. Inilah alasan untuk Tuah berundur dan 'ghaib' dari identiti sebenarnya.''

Mengapa? Mastika tanya lagi.

''Kerana kata Tuah, dia tidak mahu lagi berkhidmat dengan sultan yang beraja di mata, bersultan di hati,'' jawab Ibrahim.

Jadi, selepas 'bersara', Tuah hidup seperti rakyat biasa? Ibrahim mengangguk.

Di Melaka? Ibrahim angguk lagi.

Mastika terus bertanya, bermakna Tuah meninggal dunia juga di Melaka?

Ibrahim tetap angguk kepala sambil berkata: ''pernah disebut, Tuah berkata... tidak akan kutinggalkan negeri bertuah ini, Aku akan lahir dan mati di sini. Ya, di bumi Melaka itulah dia lahir dan mati. Malah, nasab keturunannya juga berkembang. Ada di serata tempat kerana Tuah itu mempunyai tiga orang isteri.''

Jadi, di mana kuburnya? Mastika terus menyoal. Tunjukkanlah kepada kami makam pahlawan terbilang itu.

Ibrahim tertawa dan menjawab: ''makamnya ada di Melaka. Maaf, buat masa ini belum dapat 'izin' Tuah untuk menunjukkannya kepada umum.''

Jebat dan Kasturi

Pertemuan dari dua alam berbeza itu tidak berakhir. Malah, sehingga kini Ibrahim akui masih terus 'berhubung' dengan Hang Tuah dan Melaka menjadi pusat kebanyakan 'pertemuan' mereka itu.

"Sesekali bila ada perkara yang hendak disampaikan, Tuah akan 'panggil' saya datang. Walaupun saya orang sastera, kadangkala saya terpaksa buka kamus kerana tidak faham dengan perkataan lama yang digunakan oleh laksamana terbilang itu," ujar Ibrahim.

Sepanjang lebih 20 tahun 'perkenalan' mereka, bukan hanya Hang Tuah, namun Ibrahim turut pernah berjumpa dengan empat sahabat lain iaitu Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu.

"Kesemua sahabat ini air mukanya tenang-tenang. Jika Hang Tuah itu kulitnya kuning langsat. Rambutnya sedikit panjang mencecah bahu. Usianya kalau dibandingkan dengan manusia dalam 60 tahun. Tidak nampak muda dan tidak nampak tua juga. Badannya sasa, dada terbuka. Matanya sangat tajam. Bila berbicara, pandangannya melirik tajam.

"Tinggi Tuah dalam anggaran tujuh kaki. Saya kena dongak kepala untuk melihatnya. Halkumnya besar. Memakai semutar dan sehelai kain disangkut pada bahu kanan. Selalunya dia memakai baju putih tidak berbutang, berseluar paras betis dan bercapal seperti orang zaman dulu." kata Ibrahim menggambarkan rupa Hang Tuah.

Selalunya dalam pertemuan mereka, yang sering menemani Tuah adalah Hang Jebat di sebelah kanan dan Hang Kasturi di sebelah kiri. Hang Jebat, kulitnya gelap sedikit. Tubuhnya sedikit kurus dan tidak terlalu tegap berbanding Tuah. Manakala Kasturi pula, orangnya sangat lembut dan pendiam. Hanya akan bersuara bila ditanya. 

"Lekir dan Lekiu jarang saya jumpa. Lekir juga agak pendiam, kulitnya lebih gelap namun badannya tegap. Manakala si Lekiu pula seorang yang suka mengusik sahabat yang lain. Namun, keempat-empat mereka amat hormat pada Tuah. Apa dikata Tuah, mereka akan jawab "Ya kanda" 

"Malah saya pernah dipertemukan dengan bonda Tuah iaitu Dang Merduwati dan turut dihadiahkan sebilah keris, cerita Ibrahim lagi.

Sedihnya Tun Tuah!

"Segera kukhabarkan, kita tidak lagi punya tanjak dan keris. Semua sudah semakin terhakis. Kita berbudi terlanjur jujur, wayuhkan bahasa yang tinggal cuma kuasa." Itu antara keluhan awal laksamana terbilang itu kepada Ibrahim

Bukan Tuah tidak nampak, bukan tidak merasai. Melayu kini sudah tidak seperti dulu lagi. Semangat dan jati diri kian luntur. Perpaduan makin terhakis. Agama kian diketepikan. Adab dan adat kian dilupakan. Pernah Tuah berkata dalam kiasnya: " Hamba fasih 12 bahasa. Belayar berdagang ke serata dunia. Menjadi utusan baginda ke banyak benua. Tapi bahasa ibunda tetap terpelihara.

Ujar Tuah, dahulunya Melayu bangsa agung nan bijaksana. Sekalipun dia belajar dengan pelbagai guru, mahir dengan pelbagai bahasa, namun setiap surat yang diutus kepada mana-mana raja di seluruh dunia tetap menggunakan bahasa Melayu bertulis jawi. Kata Tuah, soal raja itu faham atau tidak, itu bukan urusan kita.

Sedih! Tuah melihat Melayu hari ini. Melayu sudah berpecah belah. Sudah kurang menghayati agama. Kurang beradab, raja tidak lagi dihormati. Adat istiadat telah dilupakan. Selalu dia menitip pesan pada saya, jaga anak cucu, kedaulatan, ketuanan dan kesucian Islam. Bila berpesan, dia amat tegas. Matanya buntang dengan jari telunjuk dinaikkan bila berkata. Selalu Tuah berkata pada saya, "Jangan sampai anak cucu kita dalam keadaan 'urian' (telanjang bulat). Semua orang akan mentertawakan. Aib! Aib!" tutur Ibrahim lagi.

Banyak! Masih banyak pesan Hang Tuah untuk bangsa Melayu. Kerana sesungguhnya Melayu itu pewaris bumi bertuah ini. Seperti pepatah lazimnya yang berbunyi, "Takkan Melayu hilang di dunia."        

*****************************************************************************************************************
* Ciputih ialah Pulau Batu Putih.
* Beruzlah, berkhalwat - mengasingkan diri untuk bermunajat kepada Ilahi.
* Urian - Telanjang bulat.