Sunday, March 23, 2014

PILIHANRAYA KECIL N.25 KAJANG...

Aktiviti aku pada hari ini ialah membuat liputan Pilihanraya Kecil N. 25 Kajang. Lokasi yang aku pilih ialah di Sg. Kantan dan Bandar Kajang.

Selepas menyelesaikan urusan rumahtangga di hujung minggu dan dengan berbekalkan sebuah kamera Canon G1X, dua buah bateri spare dan 3 buah memori kad (8 GB) setiap satu, aku pun terus menuju ke Sg. Kantan, kerana di situ terdapat sebuah sekolah yang dijadikan salah satu tempat pembuangan undi dalam Pilihanraya Kecil kali ini iaitu Sekolah Kebangsaan Sg. Kantan. 

Tetapi sebelum itu, aku terlebih dulu mengisi perut di sebuah kedai makan yang popular di Bandar Baru Bangi iaitu kedai makan ala kampung D' Bukit. Menu aku pagi ini ialah sepinggan Mee Jawa, sekeping roti canai, nescafee tarik dan ais kosong. Aku makan 'heavy' sikit pagi ini berbanding pagi-pagi yang lain kerana aku mempunyai satu tugas berat yang hendak dilaksanakan iaitu membuat liputan Pilihanraya Kecil N .25 Kajang untuk dipaparkan di blog ini. 

Ketika aku tiba di lokasi, suasana agak tenang kerana kebanyakan pengundi telahpun melaksanakan tugas mereka di awal pagi kerana trend orang KL dan juga orang Kajang ialah gemar membawa keluarga bersarapan pagi di hujung minggu seperti di kedai, warung atau restoran yang  banyak terdapat di Sg. Kantan atau di Bandar Kajang ini. Selepas selesai bersarapan pagi barulah mereka ke pasar dan sebelum pulang mereka menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi memilih calun yang akan menentukan masa depan mereka dalam tempoh 4 tahun lagi.

Pilihanraya Kecil Kajang ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon PKR iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menentang calon BN iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun. Mungkin ramai menganggap keputusan PRK DUN Kajang ini tidak membawa sebarang makna dari segi kedudukan kerusi DUN Selangor, tetapi ia sangat penting kepada PKR kerana parti ini akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU 13 yang lalu melalui wakil mereka iaitu Lee Chin Cheh yang telah meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon. Tetapi disebabkan Datuk Seri Anwar dijatuhi hukuman penjara 5 tahun menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai calon dan sebagai gantinya diletakkan Datin Seri Dr. Wan Azizah.

Ketika artikel ini diupdate kedalam blog, keputusan Pilihanraya Kecil Kajang ini telahpun diumumkan di mana calon PKR iaitu Datin Seri Wan Azizah telah berjaya menewaskan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi. Datin Seri Wan Azizah mendapat 16,741 undi manakala Datin Paduka Chew Mei Fun mendapat 11,362 undi. Jumlah pemilih yang layak mengundi ialah 39,278 orang.

Tahniah aku ucapkan kepada Datin Seri Wan Azizah diatas kemenangan beliau dalam PRK ini. Kepada Datin Paduka Chew Mei Fun pula, terimalah kekalahan ini dengan hati terbuka dan cuba lagi pada Pilihanraya Umum ke 14 nanti, itu pun bergantung kepada parti samada ingin mengekalkan beliau atau sebaliknya. 

Saksikan 4 klip video dan gambar-gambar yang sempat aku rakam untuk tatapan semua. (Tiada caption pada setiap gambar kerana dah letih)...
4 klip video ini telahpun dipos ke Youtube.


Selamat Menonton...







































































































2 comments:

  1. Tahniah lah Mr Bloger...atas usaha tuan itu....nanti kita pi Balingian pulak....

    ReplyDelete