Sunday, June 13, 2010

ASHABUL KAHFI

Kisah Ashabul Kahfi disebutkan didalam Al Quran bertujuan untuk membuktikan kepada manusia bahawa Allah SWT sanggup membangkitkan orang-orang yang sudah mati.

Kisah Ashabul Kahfi ini juga adalah untuk memberitahu bahawa Allah sanggup merubah hukum alam. Misalnya menurut biasanya manusia akan mati jika tidak makan dan minum selama beberapa hari tetapi Allah sanggup menjadikan orang tidak makan dan minum hidup selama tiga ratus tahun lebih.


Pemuda Ashabul Kahfi ini hidup pada zaman pemerintahan raja Romawi. Raja itu zalim dan cukup keras. Semua rakyatnya dipaksa untuk menyembah berhala. Sesiapa yang tidak sujud kepada berhala akan dihukum dan dibunuh.


Rupanya diantara rakyatnya masih ada orang yang murni akidahnya, yakni mengamalkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.


Beberapa orang pemuda yang murni akidahnya ini tidak mahu menyembah berhala. Mereka yakin bahawa tidak ada tuhan yang disembah selain Allah dan mereka beribadat kepada Allah secara rahsia.


Menyedari bahawa keadaan mereka sudah diketahui raja yang zalim itu serta mereka sudah mendengar khabar bahawa raja akan membunuh mereka jika tidak mahu menyembah berhala, maka mereka pun mengambil keputusan lebih baik lari dari kampungnya dan pergi ketempat sunyi untuk beribadat kepada Allah.


Mereka pergi kesebuah gua yang tidak berapa jauh dari kampungnya. Dalam perjalanan menuju gua itu mereka berjumpa dengan seorang pengembala. Setelah menceritakan keadaan raja dan mengapa mereka lari meninggalkan negerinya, akhirnya lelaki pengembala itupun turut menyertai mereka. Pengembala itu membawa seekor anjing yang berperanan menjaga mereka.


Sesampainya tempat yang dituju, mereka masuk kedalam gua sementara anjingnya menunggu diluar pintu gua. Didalam gua itu mereka memuaskan kehendak hatinya yang selama ini selalu dihalang dan diancam. Mereka bermunajat kepada Allah dan memohon supaya dicucuri rahmatNya serta dijauhkan dari gangguan dan ancaman raja yang zalim itu. Allah memperkenankan doa mereka dan tidak lama kemudian mereka pun tertidur selama tiga ratus tahun lebih.


Pendek ceritanya, raja yang zalim itupun mati. Rakyatnya ada yang lahir dan ada yang mati. Satu generasi ditukar dengan generasi yang lain sehingga pada satu masa, yang menjadi raja dinegeri itu seorang yang beriman kepada Allah bernama Theodoseus dan sudah kembali mendalami agama samawi iaitu yang dibawa oleh Al Masih Isa b. Maryam.


Masyarakat ketika itu sedang hangat-hangatnya mempersoalkan masalah berbangkit dari kubur nanti, apakah roh manusia saja yang dibangkitkan atau dengan tubuhnya sekali. Raja pun tidak tahu mana satu yang betul hingga akhirnya memohon petunjuk kepada Allah. Kemudian Allah membangunkan Ashabul Kahfi dari tidurnya selama 309 tahun sebagai gambaran bahawa yang dibangkitkan itu adalah roh dan jasad.


Sebaik sahaja mereka tersedar dan bangun, mereka menyangka bahawa mereka baru satu hari tinggal didalam gua itu. Perut pun sudah terasa lapar. Mereka menyuruh salah seorang dari mereka pergi ke kota untuk mencari makanan yang halal, sedap dan bagus. Berangkatlah ia ke kota yang sudah lama ditinggalkan. Melihat keadaan kota yang sudah banyak berubah itu, dia bimbang dan seolah-olah tidak percaya bahawa itu adalah kota tempat lahirnya.


Melihat keadaannya yang lain dari warga kota serta melihat wang syiling yang dimilikinya, pengawal istana membawanya kehadapan raja dan raja itu pun lalu menyoalnya.


Setelah mendengar segala keterangannya yang nampak jujur itu, orang-orang yang ada ditempat itupun terkenang akan kisah sekumpulan pemuda yang lari meninggalkan kota atau kampungnya disebabkan tidak suka dibawah pemerintahan raja yang zalim dan pemuja berhala itu.


Akhirnya raja meminta pemuda tersebut menunjukkan gua tempat persembunyian mereka dan berangkat bersama pengawal-pengawalnya. Sesampainya didepan gua, pemuda tersebut meminta kepada raja dan pengawalnya supaya menunggu dipintu gua dan jangan ikut kedalam, ini adalah untuk memberitahu kawan-kawannya bahawa ada orang-orang yang ingin melihat mereka didalam gua.


Setelah lama menunggu tetapi tidak ada yang keluar, akhirnya raja beserta pengawal-pengawalnya masuk kedalam gua itu. Rupanya Allah telah mencabut kesemua roh pemuda Ashabul Kahfi tersebut.


Kemudian ada dua orang soleh yang mengukir nama pemuda-pemuda tersebut pada sekeping tembaga lalu menyimpannya dibangunan yang dibina dipintu gua itu.


Menurut satu versi yang diambil dari sumber agama masehi, pemuda Ashabul Kahfi ini hidup dizaman Diqyanus pada tahun 249-251 Masehi.




Gambar Atas : Papan kenyataan yang diletakkan disebelah pintu gua.
Gambar bawah : Pemandangan di Jabal Raqim, susunan batu seperti tembok
yang kelihatan itu adalah kesan-kesan masjid yang dibina diatas gua

Gambar diambil dari dalam gua

Kubur Ashabul Kahfi.
Dalam gambar nampak empat kubur,
sedang kubur-kubur lain dijumpai disebelahnya

No comments:

Post a Comment