Saturday, July 24, 2010

AKIBAT MENGAMBIL HARTA WAKAF

Mungkin ada yang berkata cerita ini karut. Bukan mustahil pula ada yang tidak percaya, namun ingin saya katakana ia adalah sebuah cerita benar yang saya saksikan sendiri. Bukan hasrat saya untuk memalukan sesiapa, hanya sekadar di jadikan iktibar pada kita yang masih hidup.


Kejadian berlaku kira-kira 15 tahun lampau disebuah kampung asal saya di Selangor. Ia cukup trajis apatah lagi yang terbabit adalah kenalan rapat.


Semua orang kampung tahu, Haji Ardi sudah lama terlantar. Walaupun usianya lewat 50an, namun sakitnya di takrif sebagai sakit tua. Tubuh badannya boleh dikatakan separas dengan lantai, terlalu kurus, kalaulah tiada kulit yang menampung, rasanya semua tulang akan bercerai dari dagingnya.


Akibat terlalu lama terlantar, wajahnya seperti tengkorak. Kedua-dua matanya terperosok kedalam, menakutkan..Tidak ada anggota yang dapat digerakkan cuma matanya meliar kesana sini.


Kalau ada sesiapa yang datang menziarah, Haji Ardi hanya mampu mengelip-ngelipkan mata. Sesekali kelihatan airmatanya meleleh. Pandangannya menunjukkan dia seolah-olah cuba memberitahu sesuatu, tetapi tiada siapa dapat menterjemahkannya.


“Hampir sebulan atuk tidak makan sekalipun air susu yang dititiskan,” kata cucunya pada jiran yang dating bertanyakan Haji Ardi. Sejak terlantar enam bulan dulu berkali-kali Haji Ardi nazak, seolah-olah dah nak pergi sangat. Setiap kali berdepan dengan sakaratulmaut, saudara mara membacakan Yasin. Selepas habis dibaca, nafasnya yang semput kembali pulih. Anehnya setiap kali mendengar Yasin dibaca, matanya terbeliak-beliak, air liurnya yang berbau tengik meleleh begitu banyak sedangkan dia tidak minum sebelum itu. Dari mana datangnya air liur itu tiada siapa yang tahu.


Setiap kali mengalami keadaan begitu, ramailah saudara mara dan jiran berkumpul kerana menyangka detik terakhirnya sudah tiba. Apabila dibisikkan kalimah syahadah, seolah-olah tidak diterimanya. Sebaliknya dia memejamkan mata kemudian dibuka semula apabila bacaan dihentikan. Kejadian berdepan dengan sakaratulmaut itu berlaku terlalu kerap. Cukup terseksa Haji Ardi.


“Seksa benar orang tua ni nak meninggal,” kata seorang jiran yang datang membaca yasin. “Tak tahulah kita apa sebabnya…” kata pula seorang lagi. Orang itu menyambung lagi” Mungkin Allah nak menunjukkan sesuatu pada kita…” Lalu seorang daripada penduduk tua kampong yang tahu kisah Haji Ardi mencadang dilakukan sesuatu.


“Bawa orang tua ni ke tepi pantai. Cuba baringkan dia atas tanah dan kambus badannya dengan pasir dari kaki hingga ke leher,” pinta orang tua itu. Dia kemudian berkata lagi, “Ajal maut di tangan Allah, ini cuma petua dan ikhtiar.


Lubang yang sedikit dangkal digali lalu tubuh Haji Ardi di kambus dengan pasir daripada leher ke kaki. Kemudian didirikan khemah daripada daun nipah dan dipasang gasolin waktu malam. Saudara maranya silih berganti membaca yasin sepanjang dua hari ‘upacara’ menanam Haji Ardi di pantai. Selepas dua hari Haji Ardi diusung semula kerumah.


Mungkin ajalnya sudah sampai, pada satu senja dia mati sendirian, tanpa disedari sesiapa. Saudara maranya hanya menyedari apabila melihat mulut Haji Ardi terlopong. Apabila disentuh, matanya yang terbeliak tidak berkedip lagi. Hebohlah satu kampong Haji Ardi meninggal dunia. Persiapan pun diatur. Penggali kubur mengukur jenazah. Lokasi stratejik mengikut kehendak anak-anaknya dikenalpasti.


Sekali lagi ujian Allah datang. Lima kali kuburnya dikorek kerana setiap kali hampir siap mata cangkul terkena keranda. Hari semakin tinggi. Tidak lama kemudian, jenazah Haji Ardi tiba ditanah perkuburan. Ramai saudara mara dan orang kampong mengiringinya. Entah kenapa tiba-tiba cuaca panas berubah redup. Awan hitam berarak petanda hujan akan turun. Situasi begini amat meresahkan kerana jenazah belum dikebumikan.


“Marilah turun ramai-ramai. Kita uruskan jenazah sebelum hujan. Hari dah gelap benar ni….” Rayu seorang tua sambil meminta bantuan penduduk kampung membantu. Bagaimanapun ajakan tersebut tidak mendapat sambutan. Melihatkan tiada sesiapa tampil, seorang pemuda menyingsing seluar terus terjun ke liang lahad. Seorang lagi ikut sama membantu. Mereka berdua menunggu jenazah dihulurkan.


Satu lagi keanehan berlaku. Panjang liang lahad tidak sama pula dengan jenazah. Mereka terpaksa menjulang semula jenazah sambil meminta penyodok. Ketika itu terdengar rungutan kecil penggali kubur tentang ukuran berbeza sedangkan mereka telah menggali berdasarkan saiz sebenar jenazah.


Ketika itu hujan mula renyai. Sekali lagi jenazah diturunkan, anehnya ia masih tidak dapat dimasukkan kedalam liang lahad. Ukurannya masih tidak sama. “Lain kali ukur betul-betul sebelum digali,” terdengar satu suara sumbang yang mula marah-marah. “Nak buat macam mana lagi kalau ukur yang mula salah, dah ditarah liang, masih tak muat. Bukan salah kami,” jawab pula penggali kubur yang mula tersinggung dengan kata-kata mengkritik mereka.


Hujan semakin lebat. Orang ramai yang tadi berkeliaran ditanah perkuburan itu sudah mula beransur hilang. Ada yang berteduh di bawah pokok rendang dan bukan sedikit yang lari lintang pukang pulang kerumah masing-masing.


Hujan luar biasa lebatnya. Sesekali kedengaran guruh berdentum di kaki langit. Melihat keadaan itu, beberapa orang yang berada dalam kubur tiada pilihan lagi. Di sebabkan keadaan sudah darurat maka penduduk terpaksa menekan mayat bagi membolehkan jenazah di sorong masuk ke liang lahad. Berderap-derap bunyi tulang jenazah patah apabila di paksa begitu.


Sebaik kubur selesai di kambus, satu pancaran kilat yang memancar cerah di iringi dentuman petir menggegarkan kawasan perkuburan. Entah kenapa, saya cukup takut hari itu. Belum pernah saya rasa ngeri sedemikian rupa sewaktu menghadiri pengkebumian Haji Ardi.


Luar biasa lebatnya hujan petang itu. Orang ramai sudah tiada lagi kecuali penggali kubur dan beberapa orang yang sudah lenjun. Beberapa orang yang kuyup termasuk saya berpandangan sesama sendiri. Talkin dan doa oleh imam hanya diaminkan tukang payung seorang. Ketika itu suasana cukup memilukan, tiada siapa yang mahu menunggu kerana hujan semakin lebat.


Saya tak berniat nak mengaibkan sesiapa, bahkan berdosa seseorang Muslim itu memburuk-burukkan saudara sendiri. Saya tahu Haji Ardi memang kaya, banyak harta terutama tanah. Satu ketika, seorang dermawan membeli seekar tanahnya di tepi jalan untuk tujuan di wakafkan untuk membina masjid di kampung itu. Apabila selesai urusan jual beli, pihak Pejabat Daerah enggan meluluskan pembinaan masjid di situ atas sebab-sebab tertentu. Tapi niat dermawan itu untuk mewakafkan tanahnya tidak berubah. Namun tiba-tiba sahaja Haji Ardi mendakwa tanah itu masih miliknya berdasarkan nama yang tertera pada geran. Bagaimanapun dermawan itu tetap mengotakan janjinya sambil berkata “Niat saya mewakafkan tanah itu tidak pernah berubah. Lagipun harganya telah saya jelaskan, Cuma nama belum di tukar.”


Tapi Haji Ardi dengan angkuhnya menempelak dermawan itu. “Perjanjian kita jelas. Aku hanya jual kalau di bina masjid. Tapi bila dah tak jadi, maka tanah itu milik akulah! Cuba kau tengok nama siapa di geran itu.


Dalam nada merendah diri dermawan itu berkata, “Terpulanglah! Janji saya dengan Allah jelas, ia harta yang telah saya wakafkan. Harganya telahpun dsaya jelaskan pada awak.“ Tanpa mempedulikan perjanjian yang di meterai dengan dermawan itu, Haji Ardi dengan rakusnya terus mengambil tanah itu tanpa memulangkan wang yang di terimanya. Hasil tanah itu di kutipnya tanpa rasa malu memakan harta yang bukan miliknya lagi.


Memang benarlah kata orang, sikap tamak kerap kali membawa kerugian seperti anjing dengan bayang-bayang. Demikianlah yang terjadi pada Haji Ardi. Disebabkan kerakusan, bumi pun enggan menerima jasadnya.


Jelaslah apa yang kita lakukan semasa hidup secara terang-terang di pertontonkan oleh Allah supaya kita mendapat iktibarnya bagi memperbaiki diri agar tidak mengulangi kesilapan orang-orang terdahulu.

Mastika. Mei 1999 (m/s 25-29)

No comments:

Post a Comment