Dia baru sahaja tamat belajar dan kini telah bergelar seorang doktor.
Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup.
Pada suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan
dengan sebuah sekolah tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang
rakannya yang hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh
cantik.
Dengan wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan.
Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka.
"Astaghfirullah," bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan
syaitan. Si gadis sedang minum-minum bersama dua orang rakannya.
Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si
doktor menjadi gugup, berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja
dia menyunting gadis ini sebagai isterinya.
Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu, "Kau kenal ke gadis itu?"
"Kenal. Dia sungguh berbudi bahasa. Dan masih belum berpunya lagi,"
jawab rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah
doktor muda ini!
Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata,
"Berikan saya kopi masin!"
Semua orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah
rakannya, pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah,
tetapi dia tetap tidak mengubah pesanannya, dan setelah kopinya sampai,
dia terus meminumnya.
Kehairanan, rakannya bertanya "Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?"
"Saat aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka
bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air
laut... masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini," jawab lelaki ini.
Tanpa disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan mereka
mendengar kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah
hal yang sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari
seorang lelaki yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya.
Dia pasti lelaki itu adalah seorang yang menyintai dan mengambil
berat akan rumah dan keluarganya. Dia pasti mempunyai rasa
tanggungjawab akan tempat tinggal dan orang tuanya. Jika dia seorang
abang, pastinya dia seorang yang sangat menyayangi adik-adiknya.
Bertuahlah siapa yang menjadi isterinya.
Setelah peristiwa tersebut, si doktor ini meminta rakannya merisik
gadis tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah mengetahui
rombongan merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di kedai kopi
tempohari, si gadis yang pada ketika itu hampir tamat pengajian di
sekolah tahfiz, menerima si doktor ini sebagai teman hidupnya dengan
hati terbuka.
Seperti kisah cinta yang indah, Allah mengurniakan ketenangan di
dalam rumah tangga mereka. Mereka hidup bahagia, saling menyanyangi
antara satu sama lain, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain
sebelum ini. Cinta yang berputik setelah perkahwinan, terus kembang
mekar seiring dengan ketaatan mereka kepada Yang Maha Pencipta. Dan
setiap kali si isteri membuatkan secawan kopi buat suaminya, dia tidak
lupa membubuh sedikit garam di dalamnya, kerana dia tahu, itulah
kesukaan suaminya.
Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya.
"Sayangku, sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang telah
sentiasa jujur terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu perkara.
Maafkan kebohongan yang telah abang buat sepanjang hidup abang. Inilah
satu-satunya kebohongan abang kepadamu - tentang kopi masin. Kamu
ingatkah di saat kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang sedang
minum kopi dengan Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup pada
ketika itu. Sebenarnya abang inginkan kopi manis. Tetapi abang telah
tersebut kopi masin. Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi abang
terlalu gugup di hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja. Abang
tidak pernah menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita. Abang
telah mencuba untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang
telah mencuba beberapa kali sepanjang hidup abang...tetapi abang tak
sanggup melukakan hatimu..
Sekarang saat kamu membaca surat ini, abang sudah tiada. Tidak
ada lagi yang perlu abang bimbangkan, maka abang akan menyatakan ini
kepadamu: Abang tidak menyukai kopi masin. Tapi sejak mengenalimu,
abang selalu minum kopi masin yang kamu buatkan sepanjang hidup abang.
Dapat berada di sampingmu adalah kebahagiaan terbesar dalam hidup
abang. Jika abang punya kesempatan untuk menjalani kehidupan sekali
lagi, abang akan tetap berusaha mengenalimu dan menjadikanmu sebagai
isteri abang walaupun abang harus minum kopi masin sekali lagi."
Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu.
Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya, "Bagaimana rasa kopi yang masin?"
Dia dengan pastinya menjawab, "Rasanya manis sekali."
Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan, dalam pelayaran menuju cinta Tuhan.
Sumber : I Luv Islam
No comments:
Post a Comment