Monday, September 16, 2013

ANAK JALANAN JADI POPULAR...


Ratna Dwi Sisi terharu dengan pengorbanan Tegar Septian untuk keluarga. 

TERSENTUH hati melihat anak-anak kecil mengemis di pinggir-pinggir jalan meminta ihsan dan simpati masyarakat bagi memberi peluang mereka meneruskan hidup. Ibu dan ayah entah ke mana. Bersama-sama rakan sebaya atau mungkin adik-beradik, senario anak-anak kecil mengemis daripada orang ramai di kota Jakarta bukan asing.

Itulah yang dapat dilakukan oleh segelintir warga Jakarta dalam meneruskan kehidupan. Lama penulis berfikir dan cuba menelaah, kenapa itu jalan yang menjadi pilihan mereka? Namun, apabila cuba mendasari suara hati mereka, jawapan yang ditemui ialah pilihan apa lagi yang mereka ada.

Menjadi pengemis bukan hal yang manis di mata umum. Ibarat kata pepatah, tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.

Realitinya, tidak semua orang akan bermurah hati pada setiap hari untuk menghulur bantuan.

Daripada merungut, mengeluh dan mengungkit dengan bantuan yang dihulurkan sehingga menjadi tidak ikhlas, baik sahaja pejamkan mata, tutup telinga dan buat-buat tidak tahu.

Hakikatnya, si pengemis juga ada maruah dan harga diri. Tidak semua yang terlibat dalam pekerjaan meminta-minta itu mahu berbuat demikian. Justeru, ada segelintir pengemis mengakui, mental mereka tidak kuat untuk berhadapan dengan masyarakat.

Kenyataan ini diakui oleh seorang anak kecil yang hidupnya suatu ketika dahulu banyak dihabiskan di jalanan meminta simpati orang ramai.

Tegar Septian, si cilik berusia 12 tahun menyedari dia harus bekerja keras untuk membawa keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.

Iltizam Tegar disokong oleh tuah badan. Daripada seorang pengemis, dia kini diangkat oleh rakyat Indonesia sebagai seorang penghibur muda yang memiliki masa depan cerah.

Kalau dulu di jalanan, barangkali tiada siapa yang peduli dengan Tegar tetapi hari ini dia boleh berbangga kerana popularitinya sebaris dengan artis-artis ternama Indonesia.

Itulah penangan Tegar yang lagu nyanyiannya, Aku Yang Dulu kini semakin menjadi siulan para peminat muzik di Indonesia. Pentas Tegar bukan lagi di pinggir-pinggir jalan, di warung-warung terbuka, di dalam bas atau kereta api, tetapi dia sudah boleh berbangga kerana menerima pelbagai undangan untuk membuat persembahan.

Aku Yang Dulu dihasilkan khusus buat Tegar kerana lagu berkenaan menceritakan rentetan perjalanan hidup si kecil itu dan menyebabkan ia sangat mudah memancing perhatian pendengar.

Namun, bukan populariti yang menjadi dambaan Tegar, sebaliknya, apa yang paling utama ialah kanak-kanak ini semakin memperlihatkan rasa tanggungjawab untuk mengubah nasib keluarga.

Kesibukan menjadi artis membuahkan hasil yang lumayan bagi Tegar. Pendapatan diterima sebagai penyanyi menyebabkan dia sudah mampu memenuhi keperluan buat keluarga.

Sebut sahaja apa gajet yang sedang menjadi trend, semuanya sudah mampu dibeli Tegar untuk ahli keluarganya sehinggakan sebuah motosikal dan peralatan elektronik juga disediakan buat keluarga.

"Aku sudah belikan motosikal, Ipad dan telefon bimbit. Tidak lama lagi aku mahu sediakan sebuah rumah buat keluarga di Cikampek (kampung halamannya)," kata Tegar penuh jujur.

Berdasarkan hitungan kasar, pendapatan yang diraih oleh Tegar sebagai penyanyi agak lumayan bagi seorang kanak-kanak sepertinya.

"Aku enggak (tidak) tahu jumlah bersih tetapi setiap minggu aku akan serahkan antara rupiah 6 juta (RM1,800) hingga Rupiah 7 juta (RM2,180) kepada keluarga bagi membahagiakan mereka," kata Tegar.

Sebagai penyanyi baru, tidak banyak yang Tegar ambil tahu mengenai pengurusan kerjaya seninya kerana semua itu diatur oleh pihak pengurusan.

Daripada kejayaan dan kekayaan yang diraihnya, Tegar masih merendah diri dan berpendapat, apa yang dilakukannya semata-mata untuk membahagiakan orang-orang terdekatnya.

"Alhamdulillah apa yang saya perolehi dapat membahagiakan ibu, saudara, nenek dan semuanya," katanya lagi.

Pada usia 12 tahun, inisiatif Tegar bekerja keras mencari rezeki bagi mengubah nasib keluarga amat disyukuri ibu penyanyi itu, Ratna Dwi Sisi yang begitu terharu dengan pengorbanan anak sulung daripada empat adik-beradik itu.

Ratna mengakui, sebelum Tegar terkenal, hidup mereka serba kekurangan sehinggakan untuk menyediakan makanan harian juga dia tidak mampu. Kesedihan dan kemurungan Ratna bertambah apabila di desa yang mereka diami, tiada siapa yang pernah mengambil peduli terhadap kekurangan keluarga itu.

Tambah menyedihkan, pada saat-saat terdesak memohon bantuan untuk mengalas perut anak beranak itu, Ratna dan anak-anaknya terpaksa berlutut.

"Kalau minta makan daripada orang lain, kami harus menangis dahulu," cerita Ratna mengenang saat-saat sukar yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

Kesusahan keluarga Ratna menyebabkan Tegar tercicir daripada persekolahannya dan anak kecil itu terpaksa menjaga tiga adiknya yang masih kecil.

Barangkali, tidak sanggup untuk hidup dalam kemiskinan, Tegar membuat keputusan untuk keluar daripada masalah itu dengan membawa diri selama berbulan-bulan.

Mengemis

Tegar dengan berbekalkan keberanian dan kecekalan mula mendekati sekumpulan anak jalanan yang mencari nafkah dengan mengemis.

Daripada situ juga, dia mendekati muzik dengan berlatih menyanyi serta mempelajari cara bermain instrumen muzik termasuk piano dan seruling.

Akibat tanpa kawalan keluarga, masalah lain dihadapi Tegar, apabila pergaulan tanpa batasan itu menyebabkan dia menjadi liar dengan mula menghisap rokok dan menghidu gam. Namun, sudah ditakdirkan hidup Tegar bukan di situ. Kelebihan dan bakat besar anak kecil itu disedari oleh Alfas Hermansyah yang menawarkan diri untuk membentuk kanak-kanak itu menjadi 'manusia'

Alfas bekerja keras mengembangkan bakat seni Tegar sehinggalah dia berada di kedudukan hari ini.

Dia menjadi masyhur dan sibuk memenuhi undangan penyanyi sehingga di luar Jakarta serta tidak menang tangan menerima undangan menjayakan pelbagai program televisyen. Keluarga itu kini tidak lagi tinggal di kampung, sebaliknya, mereka kini menikmati sebuah kehidupan yang mendamaikan di sebuah pangsapuri.

Anak kecil bernama Tegar benar-benar melalui gaya hidup seorang penghibur kerana ke mana sahaja dia pergi, kereta mewah akan membawanya serta ditemani pula oleh sejumlah pembantu peribadi.

Tegar sangat bersyukur dengan apa yang dinikmatinya. Begitu juga dengan si ibu yang tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran.

"Sekarang semua orang mengaku kami saudara mereka," kata Ratna sambil tersenyum penuh makna.

Menyelak kembali lembaran sejarah kerjaya seni Tegar, nasib si kecil ini berubah selepas dia bergelar juara di sebuah pertandingan nyanyian di Subang Jawa Barat, Indonesia.

Kejayaan di gelanggang nyanyian itu membuka jalan kepada anak kelahiran Pemalang ini untuk meraih populariti. Tegar tidak perlu lagi merayu belas dan ihsan orang ramai demi sesuap nasi. Bahkan, Tegar tidak perlu lagi memetik gitar dan menyanyi kerana hari ini, sudah tersedia muzik latar atau sesekali persembahannya diiringi pemuzik profesional.

"Hidup di jalanan menyebabkan mental saya kuat. Saya semakin mengerti apa yang perlu ada pada kanak-kanak seusia saya iaitu pelajaran," katanya.

Sekalipun sudah hidup mewah, namun, Tegar tidak akan sama sekali melupakan dari mana asal usulnya sambil berusaha dan berdoa karier seninya hari ini akan bertahan lama bagi membolehkan dia terus membela nasib diri serta keluarganya. 

Sumber : Utusan Online...

No comments:

Post a Comment