Friday, January 3, 2014

KERANA RM100, AKU HAMPIR KE TALI GANTUNG...

Gambar hiasan...

Kes aku agak rumit. Sudah jenuh aku turun naik mahkamah dengan tuduhan yang sering berubah-ubah. Kali pertama aku dituduh di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, bunuh tanpa niat, kemudian dibebaskan tanpa dilepaskan. Sebaik keluar dari mahkamah aku ditangkap.

Selepas itu aku dituduh di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan, bunuh dengan niat pula yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati menyebabkan aku ditempatkan di bilik akhir selama dua tahun. Selepas itu sekali lagi tuduhan ditukar di bawah Seksyen 304(a), Kanun Keseksaan, bunuh tanpa niat. Kini peguam sedang berusaha merayu untuk meringankan hukuman.

Kejadian itu berlaku pada bulan puasa tahun 2006. Aku dan mangsa tinggal di kawasan perumahan yang sama. Dia meminjam duit daripada aku sebanyak RM100. Atas dasar kawan, aku berikan tanpa banyak alasan.

Namun apabila sampai masa yang dijanjikan, dia enggan membayar dan memberikan pelbagai alasan. Berulang kali meminta dengan cara baik, dia tetap enggan. Kesabaranku semakin menipis. Sehinggalah pada hari kejadian, aku pergi ke rumahnya seperti biasa. Kami bertengkar.

Ketika itu aku berada di atas motor. Semasa pertengkaran, dia mengambil sesuatu dan melibasku dari belakang. Aku menahan kesakitan, dalam masa yang sama mengimbangi badan agar tidak terjatuh. Kebetulan di kunci motorku ada pisau lipat serba guna. Sambil menahan sakit, aku melibas ke belakang untuk mempertahankan diri.

Setelah itu, dia berlari ke dalam rumahnya dan aku segera pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari situ. Mak dan pembantu rumah kami terkejut melihat keadaanku yang berlumuran darah. Aku segera dibawa ke klinik berhampiran. Akibatnya aku menerima 18 jahitan di kepala. Sewaktu dirawat aku mendapat tahu yang mangsa dirawat di klinik yang sama dan meninggal dunia.

Usai rawatan, kami membuat laporan polis. Aku ditahan di lokap selama 10 hari dan disiasat mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, kerana membunuh tanpa niat. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman 10 tahun penjara. Mulai hari itulah hidupku berubah. Turun naik mahkamah bagaikan menjadi perkara biasa. Setiap kali ke mahkamah dadaku sentiasa turun naik menanti keputusan yang bakal diterima.

Sementara menunggu bukti baru aku dibebaskan setelah membayar ikat jamin. Dalam tempoh setahun itu aku sempat menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan. Kujelaskan padanya apa yang berlaku dan apa yang bakal diterima. Aku bersyukur kerana dia menerimaku seadanya.

Selain keluarga, isteri banyak memberi dorongan, kekuatan dan membantu memulihkan semangat.

Dua tahun di bilik akhir

Tidak lama selepas itu aku ke mahkamah seperti biasa. Aku terkesima, bagaikan tersalah dengar apa yang diucapkan oleh hakim, pertuduhan ditukar ke Seksyen 302, kanun yang sama, membunuh dengan niat. Jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati. Aku terduduk di kandang orang salah. Mataku sempat melirik pada keluarga yang duduk di belakang. Aku memandang mereka dengan pandangan kosong.

Air mata deras mengalir sewaktu aku dibawa keluar dari mahkamah. Rasa kesal dan takut semuanya berbaur. Aku bersalam dengan mak, isteri dan keluarga apabila diizinkan oleh polis. Mereka cuba mententeramkanku. Walaupun begitu, aku tahu mereka juga sepertiku takut dengan apa yang bakal berlaku.

Lebih menyedihkan sewakti menunggu rayuan untuk meringankan hukuman, ayahku diserang strok akibat terkejut dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Aku benar-benar terpukul dengan apa yang terjadi. Jauh di sudut hati, aku berasa amat bersalah kerana sebagai anak lelaki tunggal aku sepatutnya menjaga mak dan ayah, bukannya menyusahkan mereka.

Sejak itu aku diasingkan dan ditempatkan di bilik akhir. Dalam minggu pertama aku hanya menangis. Macam-macam perasaan bercampur baur. Kecewa, marah, aku rasakan seolah-olah dunia ini tidak adil. Dalam masa yang sama, aku merindui mak dan isteri. Bayangan tali gantung dan saat menjalani hukuman bermain-main di fikiran. Aku tertekan, sensitif, mudah tersentuh hingga terpaksa mengambil ubat antidepresi.

Bersendirian di bilik akhir membuatkanku banyak berfikir dan muhasabah diri. Dalam keadaan itu satu persatu bayangan dosa semalam ligat berputar di fikiran. Aku teringat perjalanan hidupku sebelum ini.

Sejak kecil aku dimanjakan oleh kedua-dua orang tua. Tingkah lakuku seperti lalang. Di hadapan mak, aku jadi anak yang baik. Ketika bersama ayah, kami lupa dunia. Kami keluar berhibur, berjudi dan minum minuman keras. Aku lupa soal halal dan haram. Solat dan puasa sering diabaikan. Aku sedar mak tahu perlakuan kami. Tapi dia bersabar.

Mak pernah hantar aku belajar di sekolah pondok selama dua tahun agar aku berubah. Namun apabila pulang ke rumah aku sering tewas dengan kehendak nafsu. Kesibukan mengendalikan agensi pelancongan membuatkanku lalai menunaikan suruhan-Nya.

Setelah beberapa bulan berada di bilik akhir, aku mulai melihat apa yang berlaku sebagai sesuatu yang positif dan ia adalah kifarat dosa semalam.

Sedikit demi sedikit aku percaya apa yang berlaku adalah yang terbaik untukku dan keluarga. Tanpa ujian seperti ini tidak mungkin aku mendampingi-Nya.

Dari bilik sempit itu, aku banyak bertanya kepada ustaz yang tidak pernah jemu menjawab setiap pertanyaanku. Apa yang berlaku menjadi dorongan untuk bangkit membelah dingin malam menunaikan solat taubat dan solat tahajud. Setiap kali terjaga, aku menganggap bahawa Allah sengaja mengejutku untuk berbicara dengan-Nya.

Tiada siapa lagi tempat aku meminta pertolongan selain daripada-Nya. Walau seribu peguam hebat yang membelaku, tanpa keizinan-Nya, nasib aku tidak akan berubah. Aku mula terfikir betapa indahnya perancangan Tuhan, walaupun ada yang menganggap ia sebagai sesuatu yang menyakitkan. Dek keyakinan itulah aku tidak lagi mengambil ubat antidepresi sehingga kini.

Di ruang sempit ini juga aku melihat betapa indahnya Islam. Dan, aku antara yang beruntung kerana berpeluang menikmati keindahannya. Aku semakin berusaha mencari bekal untuk dibawa 'ke sana'. Aku bukan lagi takut dengan hukuman yang bakal diterima, tetapi takut kala memikirkan cukupkah bekal yang bakal dibawa untuk berjumpa dengan-Nya di alam abadi.

Sepanjang berada di situ dua orang temanku menemui llahi di tali gantung. Dari bilik kecil itu aku nampak mereka keluar masuk. Kadangkala mereka melambaiku. Walaupun tanpa bicara, aku tahu itu adalah lambaian terakhir.

Syukurlah, selepas dua tahun doaku dimakbulkan. Sekali lagi pertuduhanku bertukar. Kali ini ke Seksyen 304(b) kanun serupa dari hukuman penjara selama 18 tahun. 

Keluargaku begitu gembira melihat aku yang semakin berubah. Lebih-lebih lagi apabila aku meminta mereka membawa al-Quran dan buku agama. Mereka menyokong dengan menghantar buku-buku rujukan. Aku amat tertarik untuk mendalami kisah dari setiap surah. Selain banyak membaca ashabul nuzul, kamus asas bahasa Arab., nahu, saraf dan sirah Rasulullah s.a.w.

Buku yang paling aku suka ialah al-Hikam, tulisan Imam Tajuddin ibn 'Ata'allah al-lskandari, bab hati dan buku tasawuf tentang nafsu, riak serta cara menjaga hati.

Kini bagaikan menjadi rutin setiap hari Isnin dan Khamis, aku berpuasa. Aku berusaha melengkapkan lagi ilmu agama di dada. Andai ditakdirkan ajalku di sini. biarlah aku pergi dengan aman. Tiada lagi rasa takut dan gentar menghadapi situasi yang bakal berlaku. Apa yang kuinginkan kini hanyalah mencari keredhaan-Nya.

Dan, aku yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Jika dibebaskan kelak, umurku sudah menjangkau 46 tahun. Dalam usia itu apa lagi yang nak aku kejar. Biarlah, andainya tiada bahagia buatku di dunia ini, aku ingin mencari kebahagiaan yang lebih abadi di akhirat nanti.

Apa yang aku fikirkan ialah isteri yang setia. Sehingga kini tiada riak untuk dia berpisah daripadaku. Aku dapat rasakan isteri juga tertekan dengan apa yang berlaku. Baru setahun kami menyulam kasih, aku terkurung di sini tanpa zuriat yang menjadi penyambung kasih. Namun dia tetap sabar malah kerap mengunjungiku bersama keluarga.

Aku bersyukur kerana ayah sempat bertaubat dan banyak bermunajat di surau beberapa bulan sebelum menghembuskan nafas terakhir. Apa yang aku ceritakan ini adalah sebahagian rentetan hidupku. Aku harap jadikanlah iktibar. Hargailah apa yang ada dan bukan semua yang indah itu adalah terbaik buat kita. 

Dipetik dari Majalah Iman

2 comments:

  1. Mr. Bloger..apa kesudahan 'aku' dalam cerita ni...best la pulak...sambung la Mr. Bloger..

    ReplyDelete
  2. dh 2016, apa terjadi dgn "aku" mr bloger?

    ReplyDelete