Wednesday, April 2, 2014

TRAGEDI MEMALI 1985...


Ustaz Ibrahim Mahmud yang lebih 
dikenali sebagai Ibrahim Libya...

Sekarang Isu Memali dibangkitkan semula setelah 29 tahun (2014-1985) berlalu. Ia didedahkan oleh Tun Musa Hitam dalam satu forum yang diadakan Pada 27 Mac 2014 di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan. Dalam forum tu Tun Musa Hitam kata Tun Dr. Mahathir ada di dalam Negara semasa peristiwa itu berlaku bukan sepertimana yang dilapurkan oleh media yang mengatakan Tun Dr. Mahathir buat lawatan di Negara China. Tun Dr. Mahathir pula kata dia dah tak ingat samada dia ada di dalam atau di luar Negara. Katanya cerita tu dah lama, nanti dia nak semak dulu sebelum beri kenyataan.

Aku ada beli Buku Tragedi Memali, buku tu lengkap dengan cerita dan kisah sebenar yang terjadi, banyak juga gambar-gambar yang dipaparkan. Penulis buat interview dengan semua mereka-mereka yang terlibat dan masih hidup. Sedih bila baca buku tu sebab mereka ni bukannya komunis, pemberontak atau pengamal ajaran sesat, tetapi mereka belajar agama dengan Ustaz Ibrahim Mahmud yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya sebab Ustaz Ibrahim Libya pernah menuntut ilmu agama di Libya dan selepas habis belajar dan pulang ke Tanahair, beliau bertugas di Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri (JPM). Selepas itu beliau meletakkan jawatan dan pulang ke kampung untuk berbakti kepada masyarakat dengan mengajar agama.

Ketika Ustaz Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya diserang dan dibunuh oleh polis, mereka-mereka ni baru sahaja selesai mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim di surau kampung mereka, lepas habis kuliah agama, mereka sambung baca Yassin ramai-ramai dan berwirid sehinggalah ke larut malam. Masa itulah polis datang mengepung, menyerang dan membunuh mereka. Ustaz Ibrahim Libya serta pengikutnya seramai 13 orang terbunuh manakala 4 orang anggota polis turut terbunuh tapi bukan hasil tindakbalas Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, tapi mereka mati kerana terkena peluru sesat yang dilepaskan oleh anggota polis dari pasukan mereka juga. Jumlah semuanya yang mati adalah 18 orang.  

Berbalik kepada Buku Tragedi Memali tadi. Dah seminggu aku selongkar bilik bacaan aku di rumah untuk mencari buku Tragedi Memali yang aku beli tahun 1986 dulu, tapi tak jumpa. Entah di mana letak pun aku tak tahu. yang aku jumpa buku yang bertajuk "Mahaguru Omar Din di makan sumpah", "Tersungkur Di Pintu Syurga"  "Kisah Kumpulan Arqam", "Perang Teluk", "Al Maunah" dan lain-lain buku cerita yang aku simpan termasuk cerita hantu, politik dan buku agama, begitu juga dengan novel, majalah-majalah yang aku rajin beli dan baca seperti Mastika, Al Islam, Dewan Masyarakat dan sebagainya. Kebanyakan isi dalam buku tu aku dah berkongsi dengan pembaca di blog ini dari masa ke semasa. Buku "Mahaguru Omar Din Di Makan Sumpah" aku tak cadang nak siarkan atas berbagai sebab.  

Aku dah berkira-kira nak copy paste semua kisah-kisah dalam buku Tragedi Memali tu untuk dikongsikan dengan pembaca di dalam blog. Tetapi sebelum disiarkan, aku nak minta izin dulu dengan penerbit melalui surat. Bila dah dapat izin, baru aku nak siarkan. Tapi sayang, aku dah cari tapi tak jumpa. Nak kata ada kawan yang pinjam tapi tak dipulangkan balik pun tak boleh juga, sebab setahu aku, buku-buku yang aku sayang dan mempunyai nilai sejarah, aku akan simpan dengan sebaiknya untuk dijadikan bahan rujukan. Macam Kisah Memali ini, siapa sangka dia akan timbul balik. Masa tu lah dia akan menjadi bahan yang sangat bernilai sebab ramai yang akan mencarinya semula. Aku yakin sekarangpun, tentu dah ramai yang menyerbu kedai buku.

Bagi tidak menghampakan pembaca, di bawah ini aku siarkan secara ringkas kisah dan Tragedi Memali yang aku kutip dari berbagai sumber yang boleh dipercayai dan sahih. Tuan-tuan baca dan hayatilah bahan sejarah ini dengan berlapang dada tanpa memaki hamun mereka-mereka yang tidak bersalah.

Selamat Membaca, tapi sebelum baca, marilah kita sedekahkan Al fatihah kepada semua mereka yang terkorban dalam peristiwa ini. Al Fatihah....Amin....

Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985 di kampung Memali, Baling, Kedah. Insiden ini mengorbankan 18 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai Operasi Angkara/Operasi Hapus.

Peristiwa ini terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia dilaporkan berada di China.

Peristiwa berlaku di Kampung Memali yang terletak di Mukim Siong, Baling, Kedah berhampiran dengan sempadan Kedah-Thailand. Penduduknya keturunan Melayu. Sebahagiannya mempunyai kaitan dengan Siam/Petani. Aktiviti ekonomi mereka ialah menoreh getah dan bersawah padi.

Baling merupakan sebuah daerah yang dikaitkan dengan pertemuan antara Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng dari Parti Komunis Malaya pada tahun 1955. Baling dikejutkan lagi pada tahun 1974 berikutan insiden kebuluran pada era Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pelajar. Seterusnya Baling dikejutkan dengan Peristiwa Memali.

Peristiwa ini dipaparkan melalui tayangan video singkat oleh RTM 1. Video ini memaparkan segmen penduduk kampung yang bersenjata parang, lastik dan molotov cocktail (bom petrol) menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap pihak polis yang mengepung penempatan tempat tinggal mereka selama beberapa bulan.

Pihak FRU pula menggunakan dua buah kereta perisai bagi memecahkan pintu papan di rumah Ibrahim Libya. Kelihatan juga seorang perempuan tua yang bagaikan histeria mahu mempertahankan Ibrahim Libya. Walaubagaimanapun, tayangan video berkenaan dikatakan telah disunting oleh pihak berkuasa untuk menampakkan kumpulan yang diserang sebagai pengganas.

Video berkenaan turut menayangkan pengakuan daripada bapa Ustaz Ibrahim Libya, Haji Mahmud Senapi, adiknya, Ismail Mahmud dan orang kanannya, Yusuf Husein. Ketiga-tiga mereka ketika itu masih berada di dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka membuat pengakuan salah serta mendedahkan beberapa perancangan kumpulan mereka. Mereka turut menyatakan kesal di atas penglibatan mereka di dalam kumpulan Ustaz Ibrahim Libya dan menyeru rakyat Malaysia supaya memaafkan mereka.

Bagaimanapun selepas dibebaskan, ketiga-tiga mereka telah menyampaikan ceramah ke seluruh Malaysia di atas pentas PAS, mendedahkan bahawa mereka sebenarnya telah dipaksa membuat pengakuan berkenaan.

Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia menjelaskan Operasi Angkara bertujuan menangkap dan menghapuskan penjenayah. Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA. Ibrahim Libya dituduh mengancam keselamatan negara dengan kegiatan memecah belahkan masyarakat Islam. Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985 Musa Hitam turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang mengatakan Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama.

Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki oleh polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit. Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka berdua tidak ada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditangkap, tetapi tidak pula dibicarakan di mahkamah kerana dia ditahan di bawah ISA.

Ibrahim Libya lahir dan tinggal di Kampung Memali,mukim Siong, Baling, Kedah. Lulusan Universiti Al Azhar, Mesir. Kemudian menyambung pengajiannya di India dan Libya. Bekerja sebagai pegawai pendakwah di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau kerap berceramah di RTM 1 Malaysia. Kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan menyertai PAS kemudiannya.
Pada tahun 1978, atas tiket PAS beliau bertanding di kawasan Bayu-Baling. Beliau memperoleh 5,081 undi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.

Alasan terlalu banyak ajaran sesat di Malaysia sehingga menyerang Balai Polis Batu Pahat dan serangan terhadap kuil Hindu di Kerling pada tahun 1979 menjadi sebab Kementerian Dalam Negeri Malaysia menerusi polis dan pegawai agama di Jabatan Agama Islam tidak mahu insiden ini berpanjangan. Ajaran sesat haruslah ditumpaskan terlebih dahulu sebelum menjadi tragedi. Peristiwa Memali adalah insiden yang dianggap oleh parti pemerintah sebagai satu kaedah untuk menghapuskan ajaran sesat.

Di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3,600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasuk FRU (Pulau Pinang), Pasukan Senoi Praaq, anggota polis beruniform, Unit Tindakan Khas (UTK Berpakaian Komando 69) dari Bukit Aman menerima taklimat dari pegawai Bukit Aman.


Malam itu Ibrahim Mahmud memberi kuliah sehingga jam 11.45 malam . Penduduk seramai 50 orang hadir. Kuliah atau ceramah biasa jarang benar sehingga 11.45 malam. Kecualilah ceramah politik, itupun ada sekatan dan larangan dan perlu permit daripada Balai Polis Daerah.

Sekatan jalan raya dan meminta Ibrahim Libya menyerah diri merupakan tindakan terbaik. Alternatif lain turut difikirkan. 10 orang polis dikatakan telah menyusup masuk ke Kampung Memali dan memberi laporan.

Jika tindakan mengepung dilakukan, mungkin memakan masa 3 bulan. Dua buah kereta perisai digunakan bagi mengelakkan kemalangan di kalangan FRU dan polis. Tambahan pula Baling merupakan kawasan berhampiran sempadan di mana komunis dipercayai masih berkubu. Komunis sentiasa mencari titik lemah anggota tentera yang meronda sempadan Malaysia-Thailand.

Ibrahim Libya dan 39 pengikutnya yang tidur di madrasah tersebut telah dimaklumkan oleh seseorang akan bilangan polis yang ramai di Balai Polis Sungai Petani. Pelbagai senjata ala kampung disediakan seperti kapak, pisau dan buluh runcing. Mereka yang mahir memasang molotov cocktail yang diperbuat daripada minyak tanah dan petrol. Seluruh pengikut Ibrahim Libya menunaikan solat hajat, membaca surah Yassin dan berzikir sebagaimana pahlawan Islam dahulu.

Sepasukan polis yang terdiri daripada Pasukan Polis Hutan, Senoi Praaq, Polis Anti-Pengganas Unit Tindakan Khas, (UTK berpakaian Komando 69), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta Tugas Am bertindak melakukan serbuan di madrasah tersebut. Dalam serbuan tersebut, seorang pegawai kanan Pasukan Polis Hutan, seorang anggota pangkat rendah dan seorang konstabel tertembak. Mengikut sumber dalaman, mereka yang terkorban terkena peluru sesat dari pasukan tersebut itu sendiri semasa serbuan dibuat. Tiada penduduk yang pernah dibicara kerana memiliki senjata api selepas kejadian tersebut.

Dua helikopter polis digunakan bagi membawa pegawai polis yang terkorban. Mangsa yang cedera dan mati dihantar ke Hospital Sungai Petani dan Hospital Alor Star. Dianggarkan seramai 14 penduduk Memali terbunuh dalam serbuan tersebut termasuk Ibrahim Libya. Menurut sumber, beliau ditembak berpuluh kali di dadanya oleh anggota Unit Tindakan Khas (UTK), dan sempat mengucapkan kalimah syahadah dipangkuan seorang pegawai kanan polis yang memangkunya sebelum beliau meninggal dunia. Jenazah Ibrahim serta pengikutnya dikebumikan dalam kubur panjang tanpa dimandikan kerana dipercayai tergolong sebagai para syuhada. Sultan Kedah dikatakan turun sendiri mencemar duli untuk mengunjungi makam tersebut dan menyiram air di pusara Ibrahim Libya dan pengikutnya yang terbunuh.

Kawasan Memali pada keseluruhan hari itu adalah mendung dan gelap mengikut penduduk di situ. Tiada sebarang aktiviti harian dijalankan dan banyak kedai ditutup berikutan insiden ini.

Status mereka sebagai syahid disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abd Razak berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Bagaimanapun mereka yang mengeluarkan fatwa berkenaan disingkirkan daripada menganggotai badan fatwa berkenaan.

Berikut adalah nama-nama yang terkorban di pihak Ustaz Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya.

1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

 GAMBAR-GAMBAR MEREKA YANG TERKORBAN...

Jenazah Assyahid Ibrahim Libya...

 Jenazah para syuhada...



 
 
Kaum wanita keluar beramai-ramai ke jalanraya 
bagi memprotes pembunuhan tersebut... 


1 comment: