Sunday, July 27, 2014

IMPIAN SEORANG GADIS CANTIK YANG TIDAK KESAMPAIAN...

Ada seorang gadis. Dia menulis surat kepada sebuah penerbitan untuk disiarkan. Begini bunyi suratnya...

Kehadapan para jejaka di luar sana...

Nama saya Lisa.

Saya berusia 25 tahun. Saya dikategorikan sebagai gadis cantik.Punya penampilan menarik dan mudah membuat jejaka tertarik. Tapi, setakat ini saya masih belum jumpa calon suami yang saya idamkan.

Ciri-ciri yang saya inginkan bukanlah susah sangat pun. Saya impikan lelaki yang mempunyai pendapatan tahunannya lebih setengah juta setahun. Kalau anda fikir saya gadis materialistik terserah.

Saya rasa keinginan saya itu bukan sesuatu yang berlebihan. la untuk masa depan saya juga. Sudah tentu saya mahukan seorang suami yang mampu menyediakan kehidupan yang senang untuk saya.

Lagipun, saya tak mahu hidup di rumah flat atau kos rendah. Saya Cuma mahu rasa bahagia, hidup dalam lingkungan kemewahan, boleh berbelanja apa yang saya mahu. Dapat melancong ke luar Negara bila-bila masa yang saya inginkan. Saya ingin menikmati hidup di dunia ini. Itu impian saya. Tak salahkan?

Setakat ini, lelaki paling kaya yang saya pernah berdating dengannya pun, pendapatan puratanya 100 ribu sebulan. Hmm.. bagi saya itu tak cukup. Impian saya tidak akan terlaksana jika memilihnya sebagai suami. Lagipun dengan kecantikan saya, saya rasa layak mendapat lelaki yang jauh lebih kaya dari itu.

Saya pernah temui golongan wanita yang saya rasa biasa-biasa saja. Penampilan pun ala kadar. Tak menarikpun. Tapi saya hairan bagaimana mereka ini dapat berkahwin dengan lelaki kaya yang saya idamkan. Apa rahsia mereka? Ah, biarlah yang penting saya mahu impian saya terlaksana. Justru saya mahu bertanya, ada ke tidak di luar sana yang menepati ciri-ciri suami yang saya cari? Kalau ada, sudi-sudilah berkenalan dengan saya. Pasti anda tidak akan kecewa. Kalau berminat, jangan lupa hubungi saya ya!

Yang Benar,
Lisa, 25 tahun
Kuala Lumpur.

************

Surat Lisa itu pun disiarkan. Tidak lama kemudian, dia menerima satu surat balasan daripada seorang jejaka. Lisa membuka surat itu dengan senyuman lebar. Kemudian dia pun membaca isi kandungannya. 
Begini bunyinya...

Ke hadapan Saudari Lisa yang cantik rupawan...

Saya tertarik dengan luahan isi hati anda. Saya tidak hairan kerana saya tahu ramai gadis lain di luar sana yang punya impian seperti anda juga. Untuk pengetahuan saudari, saya seorang golongan professional dan mempunyai perniagaan sendiri yang berkembang maju. Sudah tentu purata pendapatan tahunan saya jauh lebih tinggi daripada apa yang saudari syaratkan.

Tapi, ada banyak perkara bermain dalam fikiran saya. Sebelum memilih saudari untuk menjadi calon hidup, saya harus berfikir daripada serata sudut. Maklumlah, memang begitu cara ahli perniagaan memandang sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.

Sebagai orang yang berniaga, saya berasakan saudari bukan pilihan yang sesuai. Cuba saudari bayangkan apabila kita letakkan kecantikan dan wang bersebelahan. Adakah orang yang mahu menukarkan wangnya dengan kecantikan? Hmm...

Sebagai contoh, si A menyediakan kecantikan manakala saya mengeluarkan wang untuk membayar bagi membeli kecantikan itu. Masalahnya di sini apabila saya fikir kembali, dari mana saya akan mendapat untungnya? Ini kerana kecantikan itu semakin lama semakin hilang. Bermakna, wang yang saya laburkan sewaktu membeli kecantikan itu tidak akan dapat menambahkan nilai keuntungan.

Mari kita lihat dari segi fakta pula. Dengan usaha saya, saya yakin pendapatan tahunan saya semakin tahun akan semakin meningkat. Tapi, saya tidak rasa saudari akan bertambah cantik tahun demi tahun. Soleklah tebal manapun, kecantikan tidak akan mampu lari daripada dimamah usia.

Atas dasar itu dari sudut pandangan ekonomi, saya berpendapat bahawa diri saya merupakan aset yang akan bertambah nilainya di masa hadapan, sedangkan saudari merupakan aset yang bakal menyusut di masa akan datang.

Apa yang merisaukan saya, jika aset kecantikan saudari itu yang dijadikan ukuran, saya pasti ia tidak akan membawa kebaikan 20 tahun akan datang.

Perlu saudari ketahui, dalam bidang perniagaan ada konsep bahawa setiap pertukaran itu memiliki posisi tersendiri. Jika saya memilih berkahwin dengan saudari, ia juga merupakan posisi tukar. Dan jika nilai sesuatu yang kita miliki itu semakin turun, kita harus menjualnya. Dalam perniagaan, menyimpan sesuatu yang sudah susut nilainya hanya mendatangkan kerugian. jadi, saya memandang perkahwinan yang saudari impikan itu adalah satu pelaburan yang bakal merugikan saya di masa hadapan.

Maaflah jika saudari tersinggung. Tapi bagi kami ahli perniagaan yang berjaya, aset yang 'turun' nilainya di masa hadapan lebih sesuai dibuat untuk 'sewaan' sahaja, bukan untuk dimiliki selamanya. Nanti saudari juga yang rugi, bukan?

Jadi, saya lebih suka menasihatkan saudari. Daripada saudari simpan impian mencari orang seperti kami yang lebih berpegang kepada prinsip 'untung rugi' dalam pelaburan, adalah lebih baik saudari berusaha untuk menjadikan diri saudari orang yang kaya dan berpendapatan lebih setengah juta setahun. Secara tak langsung, ia akan melipatgandakan nilai saudari kerana bukan sekadar bergantung pada kecantikan semata-mata. Cantik yang diiringi dengan sifat bijak dan pandai membuat pelaburan yang akan menjadikan saudari aset yang tidak akan turun nilainya di masa hadapan.

Itu saja pesanan saya buat saudari.

Sekian, terima kasih.

P/s: Jika saudari tertarik dengan konsep 'sewa' seperti yang saya sebut, bolehlah hubungi saya ya.

Yang benar,

Golongan profesional
34 tahun Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment