Wednesday, August 20, 2014

TANAH KUBUR DAN AIR MANDI MAYAT...

Bulan Ramadhan selalu menjadi rebutan. Bukan rebutan untuk berpuasa dan pahala berganda, tetapi untuk menambahkan rezeki dengan menjalankan berbagai perniagaan kecil.

Gerai jualan di bulan puasa biasanya rapat-rapat antara satu lot dengan lot yang lain. Hendak dapatkan satu lot berniaga bukan main susah, faham-faham sajalah kerenah birokrasi yang sudah sebati di kalangan orang kita.

Apabila sudah dapat tempat berniaga, bukan masalah bagaimana hendak mempamerkan barang-barang, tetapi apakah jualan kita itu laris atau tidak? Jangan fikir berniaga perkara mudah.

Jangan fikir benda yang kita lihat pada zahirnya sahaja. Lihatlah juga di sebaliknya, terutama hal-hal yang misteri, benda-benda yang sangat digemari oleh orang kita. 

Bukan hendak bersaing di dalam perniagaan demi meningkatkan jualan, tetapi memikirkan bagaimana gerai Si Anu laris, gerai dia tidak? Apabila gerai atau kedai si Anu laris, orang berduyun-duyun datang, dalam benak fikirannya hanya fikirkan bagaimana nak habiskan gerai Si Anu

Fikiran jahat tidak mengenal bulan baik atau tidak, yang mereka fikirkan bagaimana hendak menjahanamkan perniagaan Si Anu yang asyik mendapat liputan istimewa kerana jualannya laris.

Fikiran jahat yang bermain-main di dalam benak kita ialah apa cara hendak mengatasi perniagaan Si Anu. Jumpa orang itu, jumpa orang ini. Akhirnya jumpalah penasihat yang dicari-cari.

Kata penasihat, "Kamu dapatkan tanah kubur, sebaik-baiknya kubur yang baru dikorek untuk kebumikan jenazah. Tanah kubur itu awak ambil dan taburkan di depan kedai Si Anu tu"

Kalau tak hendak tabur tanah kubur bagaimana? "Boleh juga dibungkus dicampur dengan benda yang bukan-bukan, ini nak kena tanya Tok Bomoh yang tahu, kemudian taruh di tempat tersorok depan kedai Si Anu."

Apa akan jadi dengan kedai Si Anu setelah tabur tanah kubur? "Kedai dia tu kata orang, ibarat kubur, orang tak peduli, nak lalu pun rasa takut dan seram, kuburlah katakan, yang ada hanya batu-batu nesan berceracak!"

Apa lagi selain tanah kubur? "Nah! Bukan tanah kubur sahaja, air mandian jenazah juga boleh ditadah, simpan dan siramkan di keliling atau di depan kedainya. "

Penasihat tadi memberitahu, "Setelah awak siramkan air mandi mayat di kawasan kedai dia, pasti kedai itu dah jadi macam tempat mayat. Siapa pun tak hendak pergi. Kalau lalu pun, buat tak nampak saja"

Orang berniaga memikirkan apa barang hendak ditambah dan berapa kutipan yang dapat setiap hari, tetapi Si Fulan ini asyik mengintai-intai. "Kedai Si Anu macam mana? Orang datang berduyun-duyun lagi ke? "

"Kenapa engkau nak tahu sangat hal kedai Si Anu tu?" tanya kawan di sebelah yang nampak riak wajahnya macam kerisauan. Yalah! Orang kalau sudah buat salah, walaupun yang dilakukannya secara curi-curi, tabur tanah kubur atau siram air mayat, semuanya mengganggu ketenangannya.

Kes Pertama:-

Seorang peniaga pisang goreng di Selangor. Jualan pisang goreng bukan main laris. Orang yang lalu lalang pasti singgah membeli. Tapi entah bagaimana suatu hari, pisang gorengnya tak laku, orang tak singgah membeli. Kenapa?

Selidik punya selidik, dia menemui sebuah bungkusan kain kuning, di dalamnya ada tanah dan benda-benda lain yang bernilai magis.

Kes Kedua:-

Sebuah kedai makan yang selalunya menyediakan roti canai dan teh tarik untuk sarapan pagi. Suatu hari pekedai dapati rebusan kacang dal untuk buat kuah berbuih-buih. Tepung yang diuli baru beberapa jam sebelumnya sudah masam, padahal buka kedai pukul 4.00 pagi dan tutup 4.00 petang.

Walaupun kedai dibuka, orang lalu sahaja, bahkan boleh bertanya, "Hai! Kenapa tak meniaga hari ini?" Masya-Allah! Pekedai pun pening memikirkan gelagat manusia di sekelilingnya.

Kes Ketiga:-

Peniaga nasi ayam. Nasi yang siap dimasak tiba-tiba basi dan ayam yang belum dipotong-potong sudah busuk. Mengapa? Kalau orang baru belajar berniaga tentu sudah tutup kedai atau gerai awal-awal lagi.

Kes Keempat:-

Peniaga air tauhu. Setiap hari jual air tauhu dengan menggunakan sebuah van. Selalunya laris, tetapi suatu hari, entah mengapa, tempat jualan yang dipilih itu tidak menjadi.

"Dua gelas saja yang laku hari ni bang!" keluh peniaga air tauhu itu. Padahal selalunya, air tauhu boleh habis dua tiga balang.

Kes-kes seperti inilah yang telah dikemukakan kepada Wak Dollah Saji, 54, seorang pengamal perubatan Melayu tradisional ketika kebanyakan peniaga yang bermasalah berkunjung ke rumahnya di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

"Macam-macam hal yang diadukan kepada saya oleh peniaga kecil, ada yang kata ambil plastik pembungkus di kedai dia, tapi beli kuih di gerai orang lain. Padahal sama saja kuih dia dengan kuih gerai lain. Ada yang mengadu orang tak singgah membeli macam biasa, ada yang jumpa benda berbungkus depan kedai, ada yang mengalami nasi basi, ayam busuk, air tak laku, tepung roti canai masam, kuah berbuih dan orang macam tak nampak kedai!" ujar Wak Dollah.

Bagi Wak Dollah, keempat-empat kes peniaga tadi sebenarnya ada kaitan dengan sikap orang kita yang suka bersaing dengan cara yang tak betul. Ia juga ada kaitan dengan perasaan dengki melihat orang lain maju di dalam perniagaan, sedangkan dia tidak.

Orang-orang seperti ini katanya, menggunakan cara kotor iaitu, menggunakan tanah kubur yang ditaburkan di depan tempat perniagaan atau menggunakan air mandi jenazah yang disimbah di kawasan berniaga.

"Apabila tempat itu sudah ditaburkan tanah kubur, orang akan melihat kawasan itu seperti kawasan kubur. Jadi, orang hanya lalu saja di depannya atau tak nampak kedainya. Nak singgah pun rasa lain macam saja. Begitu juga tempat yang sudah disimbahkan air mandian mayat, tempat itu dah jadi macam rumah mayat. Seram. tak dipedulikan, sudahnya. orang lalu saja, sebab tempat itu bukan kedai atau gerai lagi, tapi macam rumah mayat, " jelasnya.

Sebagai penyelamat, Wak Dollah terpaksa turun tangan, membantu para peniaga kecil yang bermasalah, terutama kepada mereka yang merasa bahawa perniagaannya telah diganggu atau dianiaya oleh orang lain. Ditanya bagaimana beliau mengatasi masalah peniaga yang menghadapi masalah seperti ini? Caranya mudah sahaja. "Taburkan garam yang sudah dicampur dengan kemenyan di tempat yang disyaki untuk memulihkannya, " jawabnya sambil tersenyum.

Begitu mudah? Contohnya kes kedua pekedai yang menjual roti canai tadi. Setelah datang berjumpa Wak Dollah, beliau menasihatkan supaya pergi mencari garam dan kemenyan.

"Garam dan kemenyan tadi saya suruh dia taburkan di depan kedai, kalau boleh di sekelilingnya. Sejak pekedai itu buat apa yang saya suruh, kedainya sudah pulih macam biasa. Orang pun ramai makan minum di kedainya, " terang Wak Dollah lagi.

Bagaimana dengan kes peniaga nasi ayam tadi? Kata Wak Dollah, peniaga itu telah datang menemuinya membawa bungkusan kain kuning yang ditemui tersorok dekat gerainya.

"Setelah diperiksa, di dalamnya ada tanah dan benda-benda lain. Saya syak tanah ini bukan tanah biasa, tetapi mungkin dari tanah kubur," katanya. Untuk memulihkan masalah peniaga nasi ayam tadi, Wak Dollah menasihatkan supaya peniaga itu membeli garam dan kemenyan. Kemudian garam dan kemenyan itu ditaburkan di kawasan gerai nasi ayamnya.

Menurut Wak Dollah lagi, ada juga tempat berniaga yang tidak dianiaya dengan taburan tanah kubur atau siraman air mayat oleh seseorang.

"Tetapi, boleh jadi peniaga yang dulu tutup kedai kerana menghadapi masalah ini. Tapak gerai atau kedai itu dulunya pernah ditabur dengan tanah kubur atau disiram air mandi mayat. Yang terkena adalah peniaga baru yang tak tahu menahu bahawa tempat itu dulunya sudah dianiaya orang. Sudahnya, peniaga baru yang tak tahu apa, terkena kesannya, berniaga tak laku, nasi basi atau ayam busuk," jelas Wak Dollah lagi.

Katanya, setelah peniaga yang bermasalah itu menemuinya, mereka akan diberikan petua dan cara mengatasinya. Para peniaga tadi mula meraih keuntungan dari perniagaannya yang telah dipulihkan.

"Alhamdulillah, semua yang bermasalah dulu sudah dapat dipulihkan, pelanggan sudah ramai, tak adalah macam kawasan kubur atau rumah mayat lagi, " katanya sambil tersenyum puas.

Sumber : Majalah Dzul Nurain...

No comments:

Post a Comment