Monday, September 29, 2014

ASAL USUL MALIM KUNDANG...

Pengkaji sejarah, Shariff M. Salleh yang merujuk kepada Terombol Tembaga yang dimilikinya berkata Malim Kundang yang disumpah menjadi batu oleh ibunya, bukan satu dongengan tetapi ia memang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita satu ketika dahulu.

Menurutnya, nama Malim Kundang ialah Naza, dilahirkan di Kampung Sungai Panchor, Kota Tinggi. Ibunya orang tempatan manakala bapanya dari Sumatera Barat. 

Sejak kecil, bapanya telah meninggal dunia. Oleh kerana rindukan bapanya, beliau sering menziarahi kubur bapanya. Rindu terhadap bapanya itu akhirnya beliau digelar Kundang (rindu), manakala gelaran Malim bermakna nakhoda.

Ketika usianya 17 tahun, beliau meminta izin dari ibunya untuk merantau selama tiga purnama (lebih kurang 3 bulan), bagaimanapun beliau tidak pulang-pulang sehingga lebih 10 tahun. 

Beliau dikatakan telah merantau sehingga ke Sumatera Barat. Selama tempoh itu, dari seorang budak kapal beliau akhirnya berjaya menjadi seorang nakhoda yang berjaya.

Beliau kemudiannya berkahwin dengan anak pengusaha kapal iaitu majikanya sendiri. Isterinya bernama Radiah, juga berasal dari Sumatera Barat. 

Beliau yang memang mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu dan bapanya, rasa rindu untuk kembali menemui ibunya dan menziarahi kubur bapanya. 

Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk kembali ke kampung Panchor. Setibanya di hadapan kampung itu, iaitu di Pulau Tembolo (yang masih ada sekarang), beliau pun menurunkan sauh kapalnya. Anak-anak kampung yang sedang menangkap ikan mengenali Malim Kundang lalu memberitahu ibunya bahawa Kundang sudah pulang.

Si ibu yang benar-benar merindui anaknya tanpa melengahkan masa terus pergi menemui anaknya di kapal berkenaan. Beliau dikatakan datang tergesa-gesa tanpa memakai pakaian yang elok. 

Akibat keadaan ibunya yang tidak begitu terurus rupanya, Malim Kundang serba salah untuk mengakui itu ibunya, walaupun ibunya beberapa kali memanggil dan meminta kembali ke kampung halamannya. Tambah lagi, beliau malu dengan isterinya yang cantik lagi berada berbanding dengan ibunya yang begitu memalukannya.

Apabila ia enggan mengakui perempuan itu sebagai ibunya, ibunya lalu bersumpah dengan kata-katanya…
“Andainya air susu ini telah diminum oleh anakku Kundang, kau turunkanlah balasan keatasnya ya Allah…derhaka kau…!!!

Setelah disumpah ibunya, beliau segera mengarahkan anak kapalnya agar menaikkan sauh yang didapati tersangkut. Beliau lalu mengarahkan agar sauh itu dipotong. Dengan serta merta sauh itu terus menjadi batu.

Sauh itu dikatakan masih ada hingga kini, walaubagaimanapun ia lebih dikenali oleh penduduk di sini sebagai ‘Sauh Acheh’. Tetapi menurut Shariff, sauh itu sebenarnya sauh Malim Kundang.

Sewaktu di tengah lautan dalam pelayaran Malim Kundang kembali ke Sumatera Barat, tiba-tiba kapalnya terkena ribut. Ketika itu beliau menyedari akan menerima balasan atas kesalahan dan sikap derhaka terhadap ibunya. Beliau lalu berpantun:

“Kota Padang Kota Terendam,
Nampak dari Tanjung Perigi,
Sedap terpandang hati terkenang,
Tak sedar merosak ibu sendiri…”

Selepas berpantun, kapalnya dilanda ribut terus pecah dan akhirnya kesemua mereka mati terdampar di Pantai Air Manis, Sumatera Barat. Di situ juga beliau terus menjadi batu akibat sumpahan ibunya.

Di pantai tersebut ketika ini terdapat rupa bentuk batu menyerupai seorang yang sedang menyembah bumi meminta ampun pada seseorang. Di situ juga terdapat peralatan pelayaran seperti tali, kemudi, bekas minuman dan sebagainya yang semuanya menjadi batu.

Dengan penjelasan ini di harap kita dapat membetulkan kembali catatan tentang kisah Malim Kundang ini. Pertamanya ia bukan satu dongeng tetapi ia kisah nyata. Kisah sejarah keluarganya adalah di tempat kita iaitu di Kampung Panchor bukannya di Sumatera Barat.

Sehubungan itu Shariff berkata ia tidak adil dan tidak benar sama sekali apabila orang ramai hari ini mengatakan bahawa lagenda Malim Kundang itu berlaku di Sumatera Barat.

Oleh itu, perlu rasanya satu usaha mengenal pasti dan memajukan kesan tempat tinggalnya di Kampung Panchor. Selain itu, sejarah sauh Malim Kundang juga perlu diperbetulkan dan catatan berkaitan kehidupan nakhoda itu perlu di tulis semula di sini.

Sesungguhnya sejarah bangsa kita memang ada kaitan dengan sejarah dan penduduk di nusantara, samada di Riau, Jawa mahupun Sumatera.

Dipetik dari majalah Wawancara Mac 1998 (m/s 51-53)

No comments:

Post a Comment