Gambar ini ialah gambar kenangan aku (kanan) bersama kawan baik aku bernama Zul, jiran sebelah rumah. Gambar ini dirakam semasa kami mandi di satu kawasan perkelahan di kaki Bukit Larut (dulu dikenali sebagai Bukit Maxwell), Taiping. Umur kami pada masa tu 12 tahun. Zul telahpun meninggal dunia diusia 25 tahun. Artikel aku kali ini ialah kisah aku dan arwah Zul. Ikuti kisahnya seperti di bawah...
Di zaman kanak-kanak aku iaitu di tahun 60an, perkara yang paling aku suka lakukan ialah mandi sungai, memancing ikan di lombong, bermain layang-layang, panjat pokok dan banyak lagi yang tak dapat nak dituliskan di sini.
Di zaman kanak-kanak aku iaitu di tahun 60an, perkara yang paling aku suka lakukan ialah mandi sungai, memancing ikan di lombong, bermain layang-layang, panjat pokok dan banyak lagi yang tak dapat nak dituliskan di sini.
Berbanding kanak-kanak sekarang yang banyak menghabiskan masa di rumah dengan mengadap komputer atau tengok 'movie' tetapi bagi kami pula yang hidup di zaman kanak-kanak di tahun 70an, aktiviti kami banyak dilakukan di luar rumah. Jika di musim cuti sekolah atau di hujung minggu, anak-anak yang ayahnya bekerja sebagai petani, sudah tentulah mereka dikehendaki membantu ibu dan ayah bekerja di sawah, bekerja di kebun, mengikut ayah menjala ikan di sungai atau di laut atau memburu binatang halal di hutan.
Bagi aku pula yang ayah bekerja sebagai kakitangan rendah di Jabatan Kerja Raya (JKR), ("bukan Jasa Kepada Rakyat tau! seperti yang BN gunakan di papan tanda untuk memancing undi), aku tidak dibebani dengan kerja-kerja seperti yang disebutkan di atas dan aku lebih bebas untuk melakukan aktiviti sendiri. Walaubagaimanapun aku tetap membantu keluarga dengan cara lain seperti mengikut abang mencari kayu api (masa tu dapur untuk memasak menggunakan kayu api), mengikut abang menjual kuih dari rumah ke rumah dengan menjingjing raga yang adakalanya habis dijual dan adakalanya tidak laku bukan kerana tidak sedap tetapi kerana kami lebih banyak bermain dari menjual. Sebagai contoh, jika masa menjual kuih, kami terjumpa kawan-kawan yang sedang bermain guli, gasing atau layang-layang maka kami akan meletakkan raga kuih ditepi dan terus bermain bersama mereka hingga petang dan membawa pulang kuih yang tidak dijual dengan alasan kuih tidak laku.
Walaupun aku juga turut ke sungai memancing ikan atau ke hutan melastik burung, atau ke kebun membantu ayah menanam ubi kayu, pisang, jagung atau sayur-sayuran tetapi ianya bukanlah aktiviti utama tetapi sebaliknya kerana minat dan untuk mengisi masa lapang sahaja.
Tetapi semua itu ketika kami masih menetap di kuarters JKR. Masa tu, di belakang rumah banyak tanah-tanah kosong yang terbiar dan lombong-lombong tinggal, jadi bolehlah kami berkebun dan bercucuk tanam di tanah kosong itu atau memancing ikan di lombong tinggal. Umur aku masa tu dalam lingkungan 7 atau 8 tahun.
Pada tahun 1970, kami sekeluarga telah berpindah kesebuah rumah teres yang dibeli oleh ayah lalu berpindah dan meninggalkan kuarters JKR yang sungguh banyak kenangannya itu. Biasalah bila duduk di rumah teres dan dapat pula kawan-kawan baru yang kebanyakannya ayah mereka bekerja sebagai kakitangan Kerajaan. Dan di tahun itu pula, dapur memasak tidak lagi menggunakan kayu api tetapi menggunakan dapur minyak tanah yang berjenama 'Butterfly', jadi, aku dan abang tidak perlu lagi pergi mengambil kayu api di kilang kayu. Nak bercucuk tanam pula tanah hanya ada sekangkang kera di belakang rumah setakat boleh menanam serai, daun pandan, lengkuas, dan daun kari sahaja. Kerja itu hanya emak yang buat. Nak pergi ke lombong untuk memancing ikan pun dah tak berani lagi kerana jauh. Lama-kelamaan minatpun hilang dan aktiviti baru aku ialah mandi sungai dengan kawan-kawan sehinggalah kami dewasa, bekerja dan membawa haluan masing-masing.
Jiran sebaya aku di sebelah rumah bernama Zulkifli, aku panggil Zul dan dia anak bongsu dari 5 beradik. Ayahnya berketurunan India Muslim bernama Abu Hanifah aku panggil Pakcik Hanifah dan ibunya berbangsa Melayu bernama Rahimah, aku panggil Makcik Remah.
Walaupun umur kami sebaya tetapi kedudukan aku di dalam keluarga adalah di nombor sebelas (11) dari enam belas (16) orang adik beradik sedangkan Zul pula anak bongsu dari lima (5) beradik. Zul anak yang manja dan kesayangan ayahnya Pakcik Hanifah. Aku katakan begitu kerana aku sering lihat ayahnya selalu mendukung dan memandikannya walaupun usianya ketika itu sudahpun memasuki 14 tahun. Segala kehendaknya akan dipenuhi.
Ketika umur Zul memasuki 15 tahun, ayahnya jatuh sakit. Pada mulanya penyakitnya seperti 'Chicken Pox' tetapi akhirnya melarat dan doktor sahkan sebagai kanser kulit lalu meninggal dunia. Sejak ayahnya meninggal dunia, hidup Zul tidak ceria lagi. Masa depannya menjadi suram kerana Zul tidak berapa berjaya di bidang akademik dan gagal di dalam peperiksaan LCE (aliran Inggeris) yang diduduki pada tahun 1976. Walaupun dia mengulang di sekolah swasta tetapi nasib tetap tidak menyebelahinya.
Aku pula selepas tamat persekolahan membawa diri dan mendapat pekerjaan di sebuah Agensi Kerajaan di sebuah pekan kecil di Kg. Gajah, Perak. Selepas 3 tahun di sana aku pun berpindah di Kuala Lumpur dan jarang-jarang dapat bertemu Zul yang masih menetap di kawasan perumahan kami. Walaubagaimanapun bila balik bercuti aku tetap mengunjungi Zul dan bertanya khabar.
Suatu hari kalau tidak silap dalam tahun 1985 atau 1986, aku balik bercuti dan mengunjungi Zul yang masih tinggal dengan ibunya di sebelah rumah. Dia ketika itu bekerja dengan Shell di Pekan Simpang. Aku tengok Zul tidak berapa sihat, kakinya bengkak, apa yang menghairankan Zul kata dia tak kenal aku, kawannya semenjak umur kami 9 tahun. Walaupun aku rasa ada yang seperti tidak kena dengan Zul, tapi aku tidaklah bersangka buruk dan terus melayaninya hinggalah aku pulang ke Kuala Lumpur.
Seminggu selepas aku pulang ke Kuala Lumpur, adikku menelefon memaklumkan Zul telah meninggal dunia kerana jatuh berhampiran biliknya selepas selesai mandi kira-kira jam 9 pagi. Aku yang terkejut lantas teringat akan sikap Zul yang agak pelik kerana tidak mengenaliku semasa aku mengunjunginya tempoh hari. Rupa-rupanya dia 'buang tebiat'. Aku lantas beristighfar, mengucapkan Inna Lillah dan mensedekahkan Al Fatihah sambil memohon ke hadrat Allah s.w.t. supaya mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh. Aku tidak sempat menziarahinya kerana jenazahnya akan dikebumikan selepas asar pada hari tersebut juga. Zul meninggal dunia di usia 25 tahun.
Kisah ini aku ceritakan kerana teringatkan arwah Zul. Minggu lepas aku menziarahi kakak Zul yang bernama Halijah yang aku panggil Kak Jah sahaja. Beliau tinggal di Bandar Tun Razak Cheras. Suaminya Abg Mail sudahpun meninggal dunia kira-kira 7 tahun lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari, Cheras. Aku turut hadir semasa pengkebumiannya. Kak Jah yang berumur 62 tahun mengidap penyakit kanser servik dan baru keluar dari hospital HUKM. Dalam pertemuan hampir satu jam itu, kami banyak bercerita tentang kisah-kisah lama dan aku lebih banyak bercerita tentang arwah Zul dan aktiviti kami yang suka mandi sungai.
Apabila aku sebut aku dengan arwah Zul suka mandi sungai, Kak Jah lalu teringat akan sekeping gambar yang terdapat di albumnya yang menunjukkan aku dengan arwah Zul sedang berjemur di atas batu selepas mandi di air terjun di bawah kaki Bukit Larut, Taiping. Aku meminta izin kepada Kak Jah untuk merakamkan gambar tersebut dengan menggunakan 'handphone'. Gambar itulah yang aku paparkan di atas dan ia kini menjadi gambar kenang-kenangan aku dan arwah Zul di zaman kanak-kanak. Ketika itu usia kami berdua dalam lingkungan 12 tahun dan bersekolah di dalam darjah enam.
Apabila aku sebut aku dengan arwah Zul suka mandi sungai, Kak Jah lalu teringat akan sekeping gambar yang terdapat di albumnya yang menunjukkan aku dengan arwah Zul sedang berjemur di atas batu selepas mandi di air terjun di bawah kaki Bukit Larut, Taiping. Aku meminta izin kepada Kak Jah untuk merakamkan gambar tersebut dengan menggunakan 'handphone'. Gambar itulah yang aku paparkan di atas dan ia kini menjadi gambar kenang-kenangan aku dan arwah Zul di zaman kanak-kanak. Ketika itu usia kami berdua dalam lingkungan 12 tahun dan bersekolah di dalam darjah enam.
Kenangan bersama Allahyarham Zulkifli bin Abu Hanifah (Zul) tidak akan luput dari ingatan dan ia merupakan satu lipatan sejarah di dalam hidupku. Al Fatihah untuk Allahyarham Zul semoga beliau aman di sana. Amin...
Assalam admin...
ReplyDeleteKisah yg sgt menarik dan sedih...byk pgjran yg boleh diambil dari kisah ini.
Al Fatihah utk arwah Zul. Semoga beliau tenang di sana. Amin.....
Sungguh syahdu kisah di atas. Semoga roh beliau ditempatkan bersama org yg soleh...Amin
ReplyDeleteSedih aku baca kisah ini...
ReplyDeletesuperb story
ReplyDelete