Thursday, February 26, 2015

MIMPI SEORANG SAHABAT...

Tufail bin Amr Ad-Dausy adalah seorang yang mempunyai kedudukan tinggi di zaman jahiliyah. Di samping terkenal sebagai orang yang dermawan, penyair dan gagah berani, dia juga menjadi ketua kabilah Daus. Ketika pergi ke Makkah untuk mengerjakan haji, dia telah terpegun apabila mendengar seseorang membaca kalimah-kalimah yang sangat indah yang tak pernah didengarnya sebelum ini. Setelah sekian lama memasang telinganya untuk menyemak kalimah demi kalimah yang didengarnya, akhirnya dia membuat kesimpulan bahawa kalimah itu bukan buatan manusia. Maka diapun menghampiri orang yang sejak tadi menarik perhatiannya itu kerana beribadah dengan cara lain dari yang lain. Ternyata orang itu memang seorang Nabi yang menerima wahyu dari Tuhan Pencipta alam ini. Ketika itu juga Tufail mengucapkan: "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah."

Sebagaimana sahabat-sahabat lain, sebaik sahaja Tufail memeluk Islam dia telah menyediakan dirinya untuk kepentingan Islam selama 24 jam, siap maju ke medan tempur bila semboyan perang berbunyi.

Suatu hari Tufail pernah memohon kepada Rasulullah: "Hai Rasulullah! Tempatkanlah kami di sayap kanan pasukan tuan dalam setiap peperangan yang tuan pimpin."

Permintaan ini diterima oleh Rasulullah. Maka Tufail Ad-Dausy bersama anak buahnya yang terdiri dari putera-putera kabilah Dausy telah membentuk satu pasukan kecil yang diberi nama 'Pasukan Mabrur". Tufail bersama anak buahnya terus menerus ikut dalam setiap peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. sehingga hari pembebasan kota Makkah. Di zaman Khalifah Abu Bakar, Tufail dan anak buahnya yang belum menemui syahid tetap mengikuti setiap peperangan. Pada waktu peperangan melawan beberapa orang murtad dan nabi palsu, Tufail bersama anak buahnya masuk di dalam senarai tentera yang di hantar ke Yamamah untuk memusnahkan Musailamah Al-Kazzab. Berangkatlah Tufail bersama anak buahnya. Anaknya sendiri Amr bin Tufail pun ikut dalam pasukan itu.


Dalam perjalanan menuju Yamamah itulah Tufail sempat tidur ketika rehat di waktu malam, pada malam itu dia bermimpi. Pada pagi esoknya dia bercerita kepada teman-teman sepasukannya yang juga dihadiri oleh anaknya. "Malam tadi aku bermimpi". Kata Tufail memulakan ceritanya. : "Cuba kalian tafsirkan mimpiku ini!".

Sahabat-sahabatnyabertanya: "Bagaimana mimpimu itu?"


Tufail menjawab: "Aku bermimpi kepalaku dicukur. Seekor burung keluar dari mulutku. Seorang perempuan memasukkan aku ke dalam perutnya. Anakku Amr menuntut dengan sungguh-sungguh agar dia dibenarkan ikut bersamaku, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana antaraku dan dia ada dinding."

Sahabat-sahabat Tufail tidak ada yang dapat menyusun kata-kata untuk mentafsirkan mimpinya itu. Tetapi di dalam hati mereka ada jangkaan bahawa mimpi itu baik.

"Itu sebuah mimpi yang baik." Begitulah komen yang dapat keluar dari mulut sahabat-sahabat Tufail.

Kerana di antara mereka tidak ada yang mengeluarkan penafsiran yang sebenar, Tufail berkata: "Sekarang aku akan cuba tafsirkan sendiri.

Kepalaku dicukur, ertinya kepalaku akan dipotong. Burung yang keluar dari mulutku, ertinya nyawaku akan keluar dari mulutku. Seorang perempuan memasukkan aku ke dalam perutnya, ertinya tanah digali orang, lalu aku dikuburkan."

Kemudian Tufail berkata lagi: "Aku berharap semoga aku tewas sebagai syahid. Adapun anakku, dia juga berharap supaya mati syahid seperti aku, tetapi permohonannya akan dikabulkan kemudian."

Demikianlah Tufail mentafsirkan mimpinya sendiri dan dia sangat berharap agar mimpinya itu menjadi kenyataan.

Apabila pasukan kaum Muslimin sampai di Yamamah, terjadilah pertempuran hebat antara tentera kaum Muslimtn dan pasukan Musailamah. Ternyata pasukan Musailamah sangat kuat dan jumlahnya sangat ramai hingga kaum Muslimin terdesak dan khemah-khemahnya sempat musnahkan oleh tentera Musailamah. Tetapi berkat kepandaian dan kecerdikan Khalid bin Walid yang memimpin pasukan Islam, pasukan nabi palsu itu dapat dikalahkan setelah mengorbankan nyawa yang sangat banyak dan Musailamah sendiri terbunuh.

Dalam peperangan yang dahsyat itu, Tufail bin Amr Ad-Dausy mendapat luka parah dan tewas di medan tempur. Sementara anaknya yang meneruskan perjuangan ayahnya, terkena hentakan pedang musuh hingga kudung tangan kanannya.

Setelah peperangan berakhir, Amr bin Tufail balik ke Madinah dengan meninggalkan ayah dan tangan kanannya terbang terlebih dahulu ke syurga dari Yamamah. Separuh mimpi Tufail telah jadi kenyataan, dia telah syahid dalam memerangi nabi palsu.

Dengan hanya mempergunakan tangan sebelah kiri, Amr bin Tufail masih tetap mengikuti perjuangan Islam sampai pada masa Khalifah Umar bin Al-Khattab. Pada suatu hari Amr bin Tufail menghadiri majlis Khalifah. Apabila makanan dihidangkan, orang di dalam majlis itu menjemput Amr agar makan bersama, tetapi dia menolak dan bahkan menjauhkan diri.
Melihat itu Khalifah bertanya: "Mengapa? Barangkali engkau lebih suka makan kemudian. Atau mungkin engkau malu kerana tanganmu itu?"

Amr menjawab: "Betul, ya Amirul Mukminin!"

Khalifah berkata: "Demi Allah, aku tidak akan makanan ini, sebelum dianya disentuh oleh tangan kudung itu. Demi Allah, tidak seorangpun, yang sebahagian tubuhnya telah berada di dalam syurga, melainkanengkau.

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab pula tentera Islam berangkat ke Yarmuk untuk memerangi pasukan Rom yang jumlahnya 240,000 orang. Peperangan ini memakan masa yang panjang. Kalah dan menang silih berganti dikuasai oleh kedua-dua belah pihak. Namun pada akhirnya pasukan Islam dapat memenangi perang ini setelah mengorbankan putera-putera Islam yang berjumlah 3,000 orang. Setelah perang selesai, tentera Islam memeriksa dan mengumpulkan mayat-mayat syuhada' yang bergelimpangan di sana-sani. Dari sekian ribu syuhada' yang meniarap itu terdapat satu di antaranya pahlawan sebelah tangan. Dia itu adalah Amr bin Tufail yang telah kudung tangan kanannya. Sempurnalah tafsir mimpi Tufail bin Amr. Dua anak beranak Tufail bin Amr Ad-Dausy dan Amr bin Tufail dan Amr bin Tufail telah sama-sama syahid di medan perang.

Allahu Akbar.

No comments:

Post a Comment