Wednesday, April 15, 2015

MANUSIA SEMAKIN KEJAM...

BUAYA BAHAM MANGSA DIBAKAR HIDUP-HIDUP


Manusia sekarang semakin kejam, jika di Zaman Jahiliyah dulu, kita rasa bangsa Arablah yang paling kejam kerana membunuh dengan cara menanam anak perempuan mereka yang baru dilahirkan hidup-hidup, tapi rupa-rupanya kita yang hidup di zaman moden ini lebih kejam dari mereka. 

Bangsa Arab kejam pada waktu itu boleh lagi dimaafkan kerana mereka berada di zaman Jahiliyah yang tidak mengerti akan dosa dan pahala sehinggalah kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah Subhanahuwataala untuk membawa rahmat ke seluruh alam melalui agama yang diredhai iaitu Agama Islam. Semenjak dari itu kita tidak lagi mendengar anak-anak perempuan mereka dibunuh tetapi sebaliknya dimuliakan pula. 

Pelancong-pelancong Arab yang datang melancong ke negara kita pula sangat menjaga keselamatan isteri-isteri dan anak-anak perempuan mereka dan kita jangan cuba-cuba untuk merakam gambar-gambar mereka sesuka hati kerana akibatnya kita akan dikejar dan dipukul malah kamera kita akan dirosakkan. 

Berbeza pula dengan kita ini yang mengaku Islam, tetapi berperangai seperti orang yang tidak beragama, berperangai seperti iblis dan syaitan dan bernafsu haiwan serta sanggup membunuh sesama manusia atas perbalahan yang kecil. Tidak cukup dengan itu mereka juga sanggup membunuh dan menyiksa binatang-binatang yang tidak berakal yang hidup mencari makan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa merampas hak binatang yang lain. 

Binatang-binatang yang ganas dan mengancam keselamatan manusia boleh dibunuh tetapi bunuhlah dengan cara yang bersopan dan beradab bukan dengan cara menyiksa mereka sepertimana yang berlaku di Banda Aceh baru-baru.

Cara pembunuhan yang mereka lakukan sama seperti yang dilakukan oleh IS terhadap juruterbang Jordan yang dibakar hidup-hidup di dalam sangkar besi seperti gambar di bawah.


Untuk mengetahui kisah yang lebih lanjut tentang pembunuhan buaya dengan kejam ini melalui kaedah yang sama dilakukan oleh IS, maka bacalah kisah di bawah ini. Adalah diharapkan kepada mereka-mereka yang telah melakukan kekejaman ini segera bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t.

ACEH SINGKIL. Banda Aceh...

Berang dengan kematian seorang penduduk yang dibaham seekor buaya, orang ramai di daerah ini bertindak membakar seekor buaya besar hidup-hidup sebelum membelah perut reptilia itu dalam satu kejadian Isnin lalu.

Kompas.com melaporkan, terdahulu, buaya yang dianggarkan berukuran lima meter panjang itu ditangkap oleh Pusat Perlindungan Sumber Alam (BKSDA) Aceh yang bertindak atas laporan berhubung kehilangan penduduk itu dan permintaan pegawai daerah Aceh Singkil.

"Sehari selepas menerima surat permohonan itu, pasukan kami bergerak ke Aceh Singkil sebelum melakukan penyelarasan dan memasang perangkap di muara sungai.

"Seekor buaya sepanjang lima meter berjaya ditangkap dan sebelum sampai ke pusat pemindahan, ratusan penduduk sudah berkumpul dan mendesak agar buaya tersebut dibawa ke rumah keluarga mangsa," kata Ketua BKSDA Aceh, Genman Sefti.

Genman berkata, anggota BKSDA dan polis tidak dapat berbuat apa-apa dengan desakan orang ramai dan membiarkan mereka mengangkat buaya yang masih di dalam perangkap untuk dibawa ke rumah mangsa yang dikenali sebagai Yusril di Kampung Siti Ambiya, Singkil.

Yusril dilaporkan hilang di muara Sungai Singkil minggu lalu ketika mencari lokan bersama isteri dan anaknya.

"Pasukan BKSDA terdiri daripada lima orang dan anggota polis dengan jumlah yang sama tidak dapat menghalang orang ramai yang masih terasa sedih dengan kehilangan Yusril yang bertindak membakar buaya itu pada bahagian kepalanya," kata Genman. Buaya yang masih di dalam perangkap besi itu disiram dengan minyak tanah sebelum dibakar mengakibatkan reptilia ganas itu mati sambil disaksikan ratusan penduduk yang membanjiri Kampung Siti Ambia.

"Bagaimanapun daripada laporan pasukan BKSDA di lokasi, penduduk tidak menemukan tubuh manusia di dalam perut buaya itu sejurus reptilia itu dibelah," kata Genman.

Namun tambahnya, berdasarkan pemerhatian anggota pasukan yang menangkap buaya itu, terdapat gigi buaya itu yang patah dan membawa petunjuk reptilia itu memang menangkap mangsa.

"Secara kebiasaannya, buaya tidak langsung makan mangsa yang ditangkapnya kerana reptilia itu akan menyimpannya terlebih dahulu hingga membusuk barulah buaya akan memakan mangsanya," kata Genman menambah, kes itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Sumber : Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment