Sunday, October 11, 2015

PERANGKAP MAUT DI KERUSI...


KEMUNGKINAN besar anda sedang membaca artikel ini sambil duduk di atas kerusi. Mungkin juga anda menyambung posisi duduk anda daripada sarapan dan bermalas di sofa sambil menonton televisyen bagi menghabiskan sisa cuti hujung minggu anda.

Tahukah anda, apa yang anda lakukan sekarang dengan duduk seharian boleh membawa maut?

Bukan sahaja pada hari cuti, hari bekerja yang kononnya terlalu sibuk untuk anda juga sebenarnya membuatkan anda seorang yang tidak aktif iaitu duduk di atas kerusi terlalu lama.

Setiap hari, kita menghabiskan masa kira-kira lebih lapan hingga 10 jam di atas kerusi. Duduk di dalam kereta mengharungi kesesakan lalu-lintas ke tempat kerja, menghadap komputer dari 9 pagi hingga 5 petang menghabiskan kerja di pejabat, sambung berdepan dengan kesesakan lalu-lintas pulang ke rumah dan apabila sampai di rumah, melepaskan penat dengan duduk di sofa menonton televisyen sehingga waktu tidur.

Apa lagi, sekarang ini hampir kesemua tugas boleh dipantau dan dilakukan menerusi telefon pintar anda daripada menyemak e-mel, membayar bil, membeli-belah dalam talian malah memesan makanan juga semuanya di hujung jari tanpa perlu meninggalkan tempat duduk yang empuk.


Aktiviti ini berbeza dengan 10 hingga 20 tahun lalu yang memerlukan kita bergerak untuk menyelesaikan kerja.

Alasannya, kesibukan kerja seharian dan teknologi perlu digunakan sebaik-baik mungkin bagi memudahkan pengguna.

Namun sebenarnya, gaya hidup banyak duduk (sedentary lifestyle) itu mengundang pelbagai masalah kepada kesihatan. Bukan saja lenguh-lenguh badan akibat otot-otot yang statik dan kurang gerakan, malah gaya hidup banyak duduk Itu merupakan perangkap maut kerana ia turut mengundang pelbagai penyakit kronik yang sebenarnya mampu dielakkan jika lebih aktif setiap hari.

Terdapat konotasi yang kuat antara duduk dan penyakit kronik. Walaupun duduk tidak boleh dikatakan punca utama kepada kemerosotan kesihatan, tetapi gaya hidup tidak aktif boleh menyebabkan obesiti dan sindrom metabolik,

kelompok penyakit yang turut berkaitan dengan tekanan darah tinggi, tahap gula yang tinggi dalam darah, lemak berlebihan di sekeliling pinggang dan paras kolestrol abnormal.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga dan Ketua Pusat Pemeriksaan Kesihatan dan Kesejahteraan, Pusat Kepakaran Antarabangsa Beacon, Dr. Raja Ahmad Shaharul Raja Abdul Malek, gaya hidup banyak duduk merupakan punca kepada pelbagai penyakit kronik sejak dulu lagi namun trend ini kelihatan semakin meningkat dan amat membimbangkan.


"Kajian di negara Barat sekitar 1950-an terhadap pemandu dan konduktor bas dalam bas yang sama mendapati pemandu bas lebih banyak penyakit daripada konduktor walaupun kedua-duanya bekerja waktu dan tempoh yang sama serta makan makanan yang sama.

"Ini kerana konduktor bas sentiasa bergerak di dalam bas manakala pemandu hanya statik di kerusi pemandu membuatkan pemandu tersebut lebih banyak mengalami masalah kesihatan.

"Kajian tersebut merupakan kesimpulan kepada permasalahan yang semakin teruk kini apabila lebih banyak pekerjaan komersial seperti bekerja di pejabat, pekerja kilang yang berada dalam satu stesen kerja sahaja, pemandu jarak jauh seperti pemandu lori dan juruterbang berbanding dahulu yang mana banyak pekerjaan yang membuatkan pekerja aktif seharian seperti pertanian.

"Masalah ini turut menyebabkan pelbagai masalah berkaitan yang disebut seating disease yang mampu membawa maut untuk jangka masa panjang. Ia bukan bermakna duduk 24 jam sehari tetapi satu istilah am penyakit yang datang akibat gaya hidup tidak aktif terutama di tempat kerja, antara tempat yang paling banyak masa dihabiskan seharian yang mengundang risiko untuk mendapat penyakit kronik lebih tinggi," ujarnya ketika ditemui di Pusat Kepakaran Antarabangsa Beacon, Petaling Jaya, baru-baru ini.

MEMANDANGKAN waktu harian kebanyakannya habis di tempat kerja, perubahan gaya hidup perlu dilakukan di pejabat dan bukan sahaja tanggungjawab individu, ia turut perlu mendapat sokongan majikan.

Selain bergerak atau melakukan regangan badan selang sejam ketika di pejabat dan menggunakan tangga menggantikan lif, majikan turut perlu memberi sokongan bagi menggalakkan pekerja menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Menurut Dr. Raja Ahmad Shaharul, kesedaran kesejahteraan korporat di Malaysia masih kurang sedangkan ia amat penting bagi meningkatkan produktiviti syarikat selain pulangan yang lebih.

"Sepatutnya majikan perlu menyediakan suasana kerja yang menyihatkan pekerja seperti menyediakan gymnasium untuk pekerja bersenam, menganjurkan aktiviti sukan, memastikan makanan-makanan yang menyihatkan di kantin dan lain-lain.

"Secara am, jika pekerja sihat, produktiviti turut meningkat selain kurang cuti sakit dan belanja perubatan pekerja. Semua ini satu pelaburan untuk syarikat tersebut.

"Ada kajian di AS, setiap AS$1 yang dilaburkan dalam kesejahteraan korporat, mereka akan mendapat pulangan sebanyak AS$3 kerana secara jangka masa panjang, majikan dapat jimat dari segi kos perubatan. Bayangkan jika dapat mengelak satu serangan jantung dari usaha kesejahteraan korporat sahaja, majikan dapat jimat ribuan ringgit," terangnya.

Ujarnya, pengalaman bekerja di United Kingdom selama 15 tahun membuka matanya terhadap usaha majikan-majikan di sana yang amat mementingkan kesejahteraan korporat yang jauh beza di Malaysia.

Terdapat beberapa syarikat di Malaysia yang boleh menjadi contoh kerana menjaga kesejahteraan korporat. Dr. Raja Ahmad Shaharul memberi contoh pejabat Google yang menggalakkan pekerjanya untuk berjalan, menyediakan program senaman dan kafeteria yang terdiri daripada makanan yang menyihatkan.

Tukar gaya hidup dengan menjadi lebih aktif terutama 
ketika di tempat kerja kerana ia merupakan antara 
tempat paling lama kita luangkan masa dalam sehari...

Walaupun disarankan bersenam 30 minit sebanyak lima kali seminggu, individu perlu mengekalkan kehidupan seharian yang aktif bagi mengekalkan manfaat senaman tersebut.

Begitu juga mereka yang aktif bersenam pada hari minggu, ia menjadi sia-sia jika tidak konsisten aktif pada hari lain kerana manfaat senaman itu akan berkurangan.

"Kesedaran pada masyarakat amat penting dan tidak boleh diambil mudah kerana apa yang kita lakukan sekarang dari segi kesihatan, ia hanya akan terlihat 20 hingga 30 tahun lagi, bukannya sekarang.

"Saya pasti anda tidak mampu berjalan pada usia 60 tahun akibat penyakit kronik seperti lumpuh. Jangka hayat kita juga dilihat semakin panjang yang mana secara purata jangka hayat kita menginjak hingga 76 tahun tetapi jika penyakit kronik datang lebih awal tidakkah ia akan membuatkan hidup merana dalam masa panjang," ujarnya.

Kanak-kanak

Kata Dr. Raja Ahmad Shaharul, penyakit duduk ini bukan sahaja berada di kaJangan orang dewasa, ia turut dilihat melibatkan kanak-kanak memandangkan kanak-kanak zaman sekarang kurang aktif berbanding dahulu.

Perkembangan teknologi dengan gajet dan permainan komputer sebagai permainan utama membuatkan kanak-kanak tidak aktif bermain dan melakukan aktiviti fizikal seperti dahulu dan ini boleh dilihat dari saiz badan kanak-kanak sekarang yang obes berbanding dahulu.


"Sebanyak 30 peratus kanak-kanak yang kurang aktif akan menjadi obes. Mengikut kajian, kanak-kanak obes akan tidak hadir ke sekolah lebih dua hari berbanding kanak-kanak biasa dan secara am, markah ujian mereka juga rendah.

"Ada kajian menunjukkan jika kita sebagai ibu bapa tidak aktif, anak-anak akan berisiko tinggi untuk lebih tidak aktif. Kanak- kanak begitu cepat mengikut apa yang dilihatnya. Jika kita tidak memberi contoh yang baik kepada mereka, ia akan memudarat mereka dalam jangka masa panjang," terangnya.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting kerana gaya hidup akan dibawa sehingga ke dewasa dan ia akan menyusahkan mereka bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi sosial dan ekonomi.

Lebihkan masa bersama anak-anak dengan membawa mereka bermain di taman kerana selain mereka dapat bergerak aktif, anda dapat menggunakan masa tersebut untuk bersenam bersama, ujarnya.

No comments:

Post a Comment