Monday, March 7, 2016

KERANA SEEKOR KUCING...

Gambar sekadar hiasan...

Para sahabat pernah mengajukan pertanyaan kepada Rasulullah s.a.w. "Wahai Rasulullah, apakah kami akan mendapat pahala jika berbuat baik kepada haiwan?" Lalu Rasulullah menjawab, "Ya, (berbuat baik) kepada semua makhluk bernyawa akan mendapatkan pahala." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Setelah lama berkahwin, doa seorang lelaki agar dia dan isterinya mendapatkan cahaya mata dimakbulkan. Lahirnya seorang putera adalah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup mereka.

Walaupun tidak berharta, hari-hari yang dilalui dipenuhi kebahagiaan. Mereka tatang putera itu dengan penuh kasih sayang. Tidak putus-putus lelaki itu bersyukur kepada Allah s.w.t atas kehadiran permata hati mereka.

Akan tetapi, kegembiraan mereka mula diuji. Anak yang baru berusia setahun itu tiba-tiba jatuh sakit. Pelbagai ikhtiar cuba dilakukan. Bermacam-macam jenis perubatan mereka cuba. Sayangnya, keadaan anak tunggal mereka bukan semakin baik, bahkan kian buruk.

Pasangan itu jadi tidak keruan. Wang simpanan telah habis untuk mengubati anak mereka. Hidup mereka dirundung kesedihan. Tiada lagi tawa gembira seperti sebelumnya.

"Ya Allah, Kau berilah kekuatan untuk kami menghadapi ujian ini. Sesungguhnya, kami sudah tidak berdaya memberikan rawatan untuk anak kami yang masih kecil," rintih lelaki itu dalam doanya setiap hari.

Anak mereka semakin kritikal. Suhu badannya meningkat. Badannya lembik, tidak bermaya. "Keadaan anak kecil ini sangat parah. Tidak ada apa yang dapat saya bantu. Jika suhu badannya tidak juga turun menjelang pagi esok, kemungkinan besar hayatnya tak panjang," beritahu seorang tabib. Dia juga buntu bagaimana harus merawat anak kecil itu. Sudah pelbagai ubat diberi, tetapi tiada perubahan.

Malam menjelma, lelaki itu tidak mammpu memejamkan mata. Dia berduka. Hanya mampu menatap sayu wajah si isteri yang berlinangan air mata di sebelah anak tunggal mereka.

Bagi menenangkan hati, lelaki itu mengambil wuduk dan mengerjakan solat. Mengadu kepada yang Maha Esa keperitan hatinya, meminta diberikan jalan terbaik dalam menghadapi dugaan ini.

Selesai solat, dia mengambil keputusan untuk keluar rumah. Lelaki itu mahu berjalan-jalan seketika bagi menenangkan hati, sambil mencari jalan bagaimana hendak merawat anaknya.

Sewaktu sedang berjalan tanpa arah tujuan di malam hari, sayup-sayup telinganya terdengar sebuah ceramah yang sedang diadakan di sebuah surau.

"Rasulullah pernah bersabda, ubatilah orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah..." (Hadis riwayat at-Thabrani dan Baihaqi).

Kata-kata itu menusuk jauh ke dalam sanubarinya. Sedekah? ]ika aku hendak bersedekah, kepada siapa? Bagaimana hendak melakukannya jika kehidupanku juga sukar? Pertanyaan itu menusuk ke dalam kalbunya.

Dengan rasa kecewa, dia berjalan pulang. Wajahnya muram. Sebaik sampai di pintu rumah, dia terdengar bunyi seekor kucing. Entah dari mana datangnya, haiwan kecil itu terus mengiau, seakan memberitahu ia sedang kelaparan.

Lelaki itu masuk ke dalam rumah menuju dapur. Hanya ada sedikit roti dan susu masih berbaki. Lalu dibawanya keluar makanan itu dan diletakkan di hadapan kucing tersebut. Dengan lahapnya haiwan itu menjamah rezeki yang dihidangkan. Sesekali, ia mengiau seakan mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu.

Ketika Subuh menjelang, lelaki itu dikejutkan oleh isterinya. Ada sedikit riak ceria di wajah si isteri.

"Tadi aku bermimpi. Aku sedang mendakap anak kita di sebuah tempat yang indah. Tiba-tiba datang seekor burung hitam yang besar dari langit. la cuba menyambar anak kita. Aku jadi takut. Tidak tahu apa harus dilakukan.

"Tiba-tiba, muncul seekor kucing kecil. la menyerang burung itu tanpa henti. Walaupun ia cedera dan aku fikir, tidak mungkin kucing itu akan memenanginya. Tetapi, ia langsung tidak berganjak daripada cuba mempertahankan kami berdua. la terus menyerang hingga akhirnya burung itu terbang jauh dan menghilang.



"Apabila aku terbangun tadi, aku melihat putera kita sudah mula membuka mata. Bibirnya memanggil ibu. Bahkan, suhu badannya juga sudah mula turun," cerita isterinya.

Lelaki itu lantas merasa tubuh anaknya. Benar, tidak lagi panas seperti sebelumnya. Lelaki itu segera keluar rumah. Matanya melilau mencari kucing yang diberi makan malam tadi. Tapi, tidak kelihatan di mana-mana.

Menjelang siang, anaknya sudah mula mahu makan dan menyusu. Beberapa hari kemudian, kesihatan anak itu kian baik dan akhirnya sembuh.

Berjuraian air mata lelaki itu bermunajat. Dia tidak tahu, apakah kerana sedekahnya yang tidak seberapa terhadap kucing itu menyebabkan anaknya semakin sihat. Yang pasti, air matanya terus berjuraian tanda bersyukur ke hadrat Allah melihat anaknya kembali pulih.

No comments:

Post a Comment