Friday, September 14, 2018

PEMUDA NEPAL MENDAPAT HIDAYAH...

Ketika mendapat berita seorang pemuda berusia 32 tahun bertugas sebagai Pengawal Keselamatan di Syarikat kami berasal dari Nepal telah memeluk Islam, satu pertemuan telah diatur oleh kami untuk bertemu dan berkenalan dengannya. 

Aku bersama Biro Agama Ibu Pejabat yang diketuai oleh Pengerusinya Tn. Hj Eisa Mohamed dan tiga orang AJK nya iaitu Tn. Hj Rafia Ol Husni, En. Afzal Al Amin serta Mohd Hafiz Abdul Razak telah mengadakan pertemuan dengan Pengawal Keselamatan tersebut di bilik Pengerusi Biro di tingkat satu. 

Sesi wawancara sedang berlangsung...

“Siapa nama awak dan sudah berapa lama awak bekerja di sini”? Tanya Tn. Hj Eisa setelah memberi salam kepada kami semua. 

“Nama Islam saya sekarang Muhammad Rajesh b. Abdullah, nama sebelum Islam, Rajesh Prasad Tharu dan saya beragama Hindu. Saya kerja di sini baru empat tahun. Kata pemuda tersebut yang sangat fasih berbahasa Melayu.

“Sudah berapa lama datang Malaysia” sambung Tn. Hj Eisa lagi. 

“Saya datang Malaysia tahun 1996, masa tu umur saya 20 tahun, sekarang umur saya sudah 32 tahun” kata Rajesh menjawab pertanyaan yang diajukan. 

Melihatkan yang Rajesh ni fasih berbahasa Melayu, Tn. Hj. Eisa bertanya lagi. 

“Sudah berapa lama awak belajar cakap melayu sampai awak sangat fasih macam ini.?” 

“Saya belajar cakap melayu dulu ambil masa tiga bulan saja sudah pandai dan sekarang sudah banyak improve tapi masih belajar lagi” kata Rajesh. 

Sepanjang sessi temuramah, kami bertiga memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap perbualan mereka berdua dan aku pula mencatat dengan penuh teliti semua maklumat yang didengar supaya tidak tertinggal satu pun yang boleh mengelirukan pembaca apabila artikel dikeluarkan nanti. 

“Awak datang sini satu orang ke atau bawak family sekali?. Boleh cerita sikit awak punya background” Sambung Tn. Hj. Eisa sambil menuang air milo untuk kami minum bersama nasi lemak bungkus, kueh karipap dan jagung rebus yang dihidangkan. 

Aku sedang mencatit setiap pertanyaan 
dari Tn. Hj. Eisa dan penjelasan dari Rajesh... 


“Saya datang sini Kuala Lumpur satu orang saja tahun 1996, lepas itu bila sudah kerja dan wang pun sudah cukup, saya balik kampung dan kawin. Tapi sekarang saya sudah cerai dengan isteri lebih kurang empat tahun dulu dan ada dua orang anak tinggal di kampung dan dijaga oleh bekas isteri. Anak nombor satu umur sudah 12 tahun dan lagi satu umur 10 tahun.” Ceritanya lagi sambil memandang kami semua. 

“Boleh cerita lebih detail ke awak punya background sebab kita orang semua sangat suka nak dengar”. Sambung Tn. Hj. Eisa setelah melihat kami semua berminat dan nampak serius. 

“Boleh…boleh” ucap Rajesh sambil tersenyum. 

“Nama saya Rajesh Prasad Tharu, umur 32 tahun asal dari Kg. Gorusinge, Ghanchavra, Kapilrastu, Nepal dan beragama Hindu. Saya datang Malaysia tahun 1996, masa tu umur saya 20 tahun. Saya datang sini nak cuba nasib cari rezeki. Kawan-kawan saya kata Malaysia banyak bagus, kerja senang dapat, gaji pun ok dan dia punya nilai duit pun lebih besar dari Nepal sana. Tujuan saya mau kerja sini sebab nak bantu keluarga di kampung”. 

Turut kelihtan dalam gambar di sesi perjumpaan ini adalah 
Tn. Hj. Rafia Ol Husni, En. Hafiz Abdul Razak 
dan En. Afzal Al Amin... 



Menurut Rajesh, ketika tiba di Kuala Lumpur, ia mencuba untuk mendapatkan pekerjaan di beberapa syarikat namun gagal, berkat usaha gigih serta kesabaran yang dimiliki akhirnya nasib telah menyebelahinya apabila ia diterima untuk bekerja dengan satu syarikat Kawalan Keselamatan yang berpejabat di Kuala Lumpur. Jawatan yang diberikan kepadanya adalah sebagai seorang Pengawal Keselamatan. 

Dalam tempoh 3 bulan datang ke Kuala Lumpur dan bekerja, Rajesh Prasad Tharu sudah dapat menguasai Bahasa Melayu yang dipelajari dari rakan-rakan sekerja serta penduduk sekitar yang berbangsa Melayu. Kini ia sangat fasih dan kepada mereka yang baru mengenalinya tidak akan menyangka yang ia sebenarnya berasal dari Nepal apatah lagi raut wajahnya mirip seperti seorang yang berketurunan Melayu atau Indonesia. 

Menurut Rajesh lagi, setelah bekerja di banyak tempat sebagai seorang Pengawal Keselamatan, pada bulan Februari 2018 Rajesh Prasad Tharu telah dihantar oleh majikannya untuk bertugas menjaga keselamatan di Wisma FELCRA pula. Kini sudah tujuh bulan ia bekerja di sini. 

Oleh kerana Rajesh ni fasih berbahasa melayu berbanding kawan-kawannya yang lain, ia telah dilantik sebagai ketua dan setiap pagi ia akan brief dan mengatur tugas rakan-rakan semua. Walaupun begitu, setiap pagi ia sendiri yang akan menjaga pintu pagar utama dan memberi tabik hormat kepada semua staf yang masuk melaluinya dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya. 

MINAT DENGAN ISLAM 

“Macam mana awak boleh minat sama agama Islam”. Tanya Tn. Hj. Eisa lagi. 

Kata Rajesh menyambung cerita. 

“Dulu masa saya kerja di satu company lain, saya punya supervisor bangsa Melayu selalu pergi semayang di surau, dia selalu ajak saya pergi surau dan saya pun selalu ikut dia tapi bila dia semayang saya duduk saja di dalam surau bahagian belakang tengok macamana dia semayang. 

Lama-lama saya sudah biasa tengok dan tau cara-cara orang Islam semayang, masa tu hati saya belum terbukak lagi untuk masuk Islam tapi minat tu sudah ada la sikit-sikit. 

Tapi bila pindah kerja di FELCRA sini, saya hari-hari dengar azan dan orang baca quran sebab masjid dan surau ada banyak dan bila dengar azan dan baca quran hati saya sangat suka dan macam ada satu perasaan yang susah nak cakap dan bila dah selalu dengar, lama-lama dalam diri saya ada satu macam perasaan yang tenang. 

Lagi satu saya nak cakap, staf yang kerja di sini ramai orang Melayu dan saya tengok mereka hari-hari tak ada perasaan sombong dan selalu bagi senyum bila saya tabik hormat sama mereka bila mereka datang kerja waktu pagi, laki pompuan semua sama, rajin jugak tegur saya dan kawan-kawan, jadi saya rasa seronok bila ada jugak orang yang hormat kami yang kerja macam ni. Dalam hati saya fikir mungkin inilah cara  Agama Islam mendidik penganutnya supaya hormat sesama manusia. 

MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH 

“Boleh cerita ke macamana awak sudah bersedia untuk masuk Islam dan siapa yang bawak awak jumpa imam untuk mengucap dua kalimah syahadah”?. Kata Tn. Hj. Eisa melanjutkan soalannya. 

Sambung Rajesh lagi. 

“Oh!!! Macam ni. Saya ada kenal satu staf sini, hari-hari saya tengok dia bagi kucing makan di belakang sana, saya pun kadang-kadang bila round belakang saya nampak dia bagi kucing makan dan saya rasa seronok sebab sayapun suka dan sayang dengan kucing. Bila dia cuti dia mintak tolong sama saya bagi kucing makan. Satu hari saya tanya dia macamana nak masuk Islam, dia kata ada satu Haji sama kerja dengan dia di tingkat lima boleh tolong. Nanti dia bagitau dengan Haji tu suruh bawak awak jumpa Imam.” 

“Wah!!!, awak punya cerita makin seronok kami dengar, ok, lepas tu apa jadi”. Sambung Tn. Hj Eisa lagi macam tidak sabar untuk dengar cerita selanjutnya.” 

“Hari Rabu lepas 12 haribulan Sembilan, Haji tu ada datang jumpa saya dan tanya betul ke saya nak masuk Islam? Saya kata betullah. Haji tu kata kalau macam tu tak boleh tangguh lagi dan kena cepat dan dia kata nak bawak saya petang ni jugak pergi satu masjid di Ampang dekat rumah dia. Saya kata saya habis kerja pukul 7 dan lepas itu bolehlah saya ikut dia pergi sana.” 

Pukul 7.30 petang, bila Haji tu datang, saya pun naik motor dengan dia terus pergi ke Masjid di Ampang. Lepas habis semayang, Haji tu bawak saya jumpa dengan Imam masjid nama dia Tn. Haji Shahrulnizam dan dia ajar saya mengucap Dua Kalimah Syahadah. Lepas beberapa kali mengucap dan Tn. Imam puashati dia pun tulis dalam borang perakuan masuk Islam dan suruh saya sign di borang tu., lepas tu saya dengar azan dan Haji yang bawak saya tu ajar saya cara  ambik wuduk dan kami sama-sama semayang Isyak berjemaah, tapi saya tak tau nak baca apa dan diam saja sambil ikut semua perbuatan mereka ketika semayang sampai habis.” 

Tn. Haji Shahrulnizam, Imam yang bertauliah 
di Masjid Taman Bukit Indah, Ampang 
sedang mengajar Rajesh mengucap Dua Kalimah Syahadah 
sambil diperhatikan oleh Tn. Haji Rafia Ol Husni 
serta dua orang pegawai Masjid. 



Rajesh Prasad Tharu sedang 
menandatangani borang perakuan memeluk agama Islam
 di depan Imam serta pegawai masjid
Taman Bukit Indah, Ampang
 dan menukar namanya kepada nama Islam
iaitu Muhammad Rajesh b. Abdullah...
.
Selesai tandatangan borang, Tn. Haji Shahrulnizam
membacakan doa memohon supaya dipelihara iman 
yang telah dianugerahkan kepada Muhammad Rajesh Abdullah 
dan juga umat Islam yang lain.  

Muhammad Rajesh b. Abdullah...

“Boleh tau nama Tn. Haji yang bawak awak untuk masuk Islam” tanya Tn. Haji Eisa meminta kepastian. 

Tanpa membuang masa, Rajesh terus menudingkan jarinya kearah Tn. Haji Rafia Ol Husni yang berada bersama kami sepanjang sesi temubual berlangsung dan memberitahu yang Tn. Haji Rafia Ol Husni lah orang yang bertanggungjawab menguruskan pengislamannya itu. 

“Ini lah Tn. Haji yang bawak saya jumpa Imam dan masuk Islam, saya sangat berterima kasih pada dia kerana banyak tolong saya” Ucap Rajesh sambil memandang Haji Rafia dengan wajah girang.

Rajesh ni aku lihat sesekali dia menyeka airmatanya yang kelihatan sedikit mengalir tanda kegembiraan serta bersyukur kerana impiannya selama ini untuk menjadi seorang muslim telah tercapai.

Tn. Hj. Rafia Ol Husni sedang memeluk 
Muhammad Rajesh Abdullah 
selepas beliau selamat di Islamkan...





Borang Perakuan Islam 
yang telah dilengkapi...

Berita tentang keislaman pemuda Nepal bernama Rajesh yang bertugas sebagai Pengawal Keselamatan di Syarikat kami ini cepat tersebar dan keesokan harinya kelihatan ramai staf telah datang bertemunya untuk mengucapkan tahniah.

Muhammad Rajesh bin Abdullah
bersama borang perakuan Islamnya...

Setelah sesi temubual berakhir dan sebelum kami kembali ke tempat bertugas masing-masing, Tn. Hj Eisa memberitahu Rajesh supaya datang bertemu dengannya setiap hari di bilik pada jam 1.30 petang supaya dia dapat mengajar dan menerangkan hal-hal yang berkaitan dengan keindahan Islam yang syumul.

Muhammad Rajesh yang kini sudah menjadi seorang muslim tidak patut dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang program yang dibuat untuknya. Tn. Hj. Eisa juga meminta kami bertiga supaya dapat membantunya untuk sama-sama memainkan peranan dalam menegak dan mengembangkan ajaran Islam yang sebenar dan dapat menarik lebih ramai mereka-mereka seperti Rajesh yang berkemungkinan ada keinginan untuk mendekati Islam tetapi tidak tahu saluran mana yang patut dituju. . 

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Kita semua hambanya hendaklah sentiasa berdoa kepadaNya agar iman yang dimiliki ini sentiasa dipelihara dan berharap kita semua dimatikan  di dalam Husnul Khotimah dan tidak dimatikan dalam Su'ul Khotimah. In Shaa Allah. Aaaamiiinnn... 

9 comments:

  1. Hidayah itu milik Allah. Tahniah Rajesh kerana jadi insan terpilih

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah...hidayah itu milik Allah SWT...

    ReplyDelete
  3. Best baca artikel ni.

    ReplyDelete
  4. Satu cerita yg boleh juga dikatakan menarik utk dibaca dan mudah difaham. Tahniah Biro Agama felcra.

    ReplyDelete
  5. Harap Biro agama felcra lebih aktif dlm program2 keagamaan. Program yg paling best setakat ni kursus imam dan bilal baru2 ni

    ReplyDelete
  6. Tahniah Muhammad Rajesh bin Abdullah serta Biro agama pejabat Felcra.

    ReplyDelete