Asal Keturunan Beliau
Nabi Nuh a.s. merupakan keturunan yang ke-10 daripada Nabi Adam a.s. Beliau diutuskan Allah s.w.t sebagai Rasul untuk menyampaikan ajaran-ajaranNya kepada penduduk negeri Armenia.
Di dalam Al-Quran dinyatakan:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya seraya berkata: "Sesungguhnya saya seorang yang memberi peringatan yang tegas kepadamu."
(Hud: 25)
"Janganlah kamu menyembah selain Allah dan saya takut apabila Tuhan menimpakan ke atas kamu azab hari yang pedih."
(Hud: 26)
Selama hampir beratus tahun lamanya beliau menyeru kepada kaumnya, melarang mereka menyembah berhala dan memberi petunjuk kepada mereka untuk hanya menyembah Allah s.w.t, tetapi hanya segelintir manusia sahaja yang mengikutinya.
Nabi Nuh Dicaci Oleh Orang-orang Kafir
Orang-orang yang tidak mahu mengikutinya itu sentiasa mengejeknya dengan kata-kata yang keji. Sebagaimana firman-firman Allah dalam Al-Quran bermaksud:
"Lalu berkata kepala-kepala kafirin dari kaumnya: Kami tidak memandangmu sebagai orang yang mulia, melainkan hanya sebagai seorang manusia seperti kami, dan kami tidak lihat yang mengikutimu, melainkan orang-orang yang rendah dari antara kami dengan tidak berfikir, dan kami tidak lihat kamu lebih mulia daripada kami, malah kami anggap kamu orang-orang yang berdusta."
(Hud: 27)
"la berkata: Wahai kaumku! Bagaimanakah fikiranmu, jika aku atas kebenaran dari Tuhanku, dan la memberi rahmat kepadaku dari sisi-Nya, lalu digelapkan (keterangan) itu buat kamu? Apakah boleh kami paksa kamu (menerimanya) padahal kamu tidak suka kepadanya."
(Hud: 28)
"Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta harta kepada kamu tentang itu, (kerana) tidak ada balasanku, melainkan (terserah) kepada Allah, dan bukan aku ini pengusir orang-orang yang beriman, sesungguhnya mereka akan bertemu Tuhan mereka tetapi aku melihat sebagai kaum yang bodoh. "
(Hud: 29)
"Dan (dia berkata): Wahai kaumku siapakah yang akan menolongku daripada (azab) Allah jika aku mengusir mereka? Maka tidakkah kamu mengambil pengajaran?."
(Hud: 30)
"Dan aku tidak berkata kepada kamu. Di sisiku perbendaharaan Allah dan aku tidak mengaku mengetahui barang yang ghaib, dan aku tidak berkata: Aku ini Malik (malaikat) dan tidak aku berkata tentang orang-orang yang dihinakan oleh pandangan-pandangan kamu, (bahawa) Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah tidak akan memberikan kebaikan mereka. Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam diri mereka, sesungguhnya aku kalau begitu adalah daripada orang-orang yang zalim."
(Hud: 31)
Setelah terjadi perdebatan di antara Nabi Nuh dengan kaumnya, mereka menentang agar Nabi Nuh mendatangkan seksaan ke atas diri mereka. Mereka tetap tidak mempercayai kata-kata yang disampaikan oleh Nabi Nuh. Nabi Nuh juga telah menyampaikan kepada mereka, bahawa; sekiranya mereka tidak mahu beriman kepada Allah nescaya akan menerima azab seksaan daripadaNya, tetapi mereka sedikit pun tidak menghiraukan, malah menentng. Sebagaimana firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah mengajak berdebat dengan kami, banyak benar debatmu itu. Cubalah engkau datangkan kepada kami seksaan yang engkau janjikan kepada kami jika sekiranya engkau orang-orang yang benar."
(Hud: 32)
Nabi Nuh a.s. Membina Kapal
Setelah menerima perintah Allah untuk membina kapal, Nabi Nuh segera mengumpulkan para pengikutnya. Tenteranya mula mengumpulkan bahan yang diperlukan untuk pembinaan tersebut. Mereka memilih kawasan luar yang agak jauh dari kota dan penduduknya, mereka rajin serta tekun bekerja siang dan malam menyelesaikan pembinaan kapal yang telah diperintahkan kepadanya.
Walaupun Nabi Nuh a.s. telah menjauhi kota dan masyarakatnya, agar boleh bekerja dengan tenang, tanpa sebarang gangguan untuk selesai membina kapalnya, namun ia tidak luput daripada ejekan dan cemuhan kaumnya yang kebetulan atau sengaja melalui kawasan pembinaan kapal. Mereka mengejek dan mengolok-olok sambil berkata: "Wahai Nuh! Sejak bila engkau telah nenjadi tukang kayu? Bukankah engkau seorang Nabi atau Rasul menurut pengakuanmu, mengapa pula sekarang engkau menjadi seorang tukang kayu dan buruh binaan kapal? Mengapa engkau membina kapal di tempat yang jauh dari air. apakah engkau bermaksud untuk menarik oleh kerbau atau mengharapkan angin yang akan menarik kapalmu ke lautan?" Banyak lagi sindiran dan ejekan yang diterima oleh Nabi Nuh sambil tersenyum seraya menjawab: "Baiklah tunggu saja saat fungsinya, jika kamu sekarang mengejek dan mengolok-olokkan kami, maka akan tibalah kesempatan kelak bagi kami untuk mengejek kembali kamu. Ketika itu kamu akan ketahui tujuan kapal yang kami siapkan ini. Tunggulah saat azab dan hukuman Allah menimpa ke atas diri kamu.
Setelah selesai tugasan pembinaan kapal yang merupakan pengangkutan laut pertama di dunia, Nabi Nuh menerima wahyu dari Allah: "Bersiap-sedialah engkau dengan kapalmu, bila tiba perintah-Ku dan kelihatan tanda-tanda daripada-Ku, maka segeralah kamu bersama para pengikutmu, kaummu yang telah beriman dan kerabatmu menaiki kapal tersebut. Bawalah mereka serta merta dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas bumi dan berlayarlah dengan izinku."
Banjir besar yang paling dahsyat melanda bumi. Air yang deras lagi dalam melanda. Seluruh kota dan desa yang rendah mahupun tinggi digenangi air sehingga kepada puncak bukit-bukau. Tiada tempat berlindung dari air bah yang dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh yang telah dinaiki para penumpang mukmin dan pasangan- pasangan makhluk yang diselamatkan oleh Nabi Nuh atas perintah Allah.
Demikianlah sebagaimana yang diterangkan dalam AJ Quran. Firman Allah bermaksud:
"Seketika datang perintah Allah dan telah terbit air (mendidih bumi). Kami berkata: Bawalah padanya sepasang dari tiap-tiap jenis, dan ahlimu kecuali orang yang telah ditentukan lebih dahulu atasnya seksaan dan orang yang beriman, padahal tidak ada yang beriman kepadanya melainkan sedikit."
(Hud: 40)
Orang-orang Yang Beriman Terselamat Daripada Menjadi Karam
Dengan iringan "Bismillah majraha wa mursaha"belayarlah kapal Nabi Nuh dengan lajunya menyusuri lautan air yang besar, menentang angin yang kadang kala sepoi-sepoi bahasa dan kadang kala kencang bak ribut.
Bahagian kiri dan kanan kapal kelihatan kaum kafir zaman Nabi Nuh bergelut melawan gelombang air yang menggunung. Mereka berusaha menyelamatkan diri cengkaman maut yang sudah bersiap-sedia menerkam mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang tersebut.
Ketika Nabi Nuh beserta para pengikutnya berlayar, tiba-tiba Nabi Nuh terlihat putera sulungnya "Kan'aan" dalam keadaan timbul dan tenggelam dipermainkan gelombang yang tidak langsung menaruh belas kasihan terhadap manusia yang sedang menerima hukuman Allah. Pada saat itu, tanpa disedari, timbullah rasa cinta dan kasih sayang seorang ayah terhadap putera kandungnya yang berada dalam keadaan krisis menghadapi maut ditelan gelombang. Nabi Nuh secara spontan, terdorong oleh suara hati kecilnya berteriak dengan sekeras suaranya memanggil puteranya: "Wahai anakku! Datanglah ke mari dan gabungkan dirimu bersama keluargamu. Bertaubatlah engkau dan berimanlah kepada Allah agar engkau selamat dan terhindar dari bahaya maut yang engkau hadapi. Jangan mengikuti ajaran kaum kafir yang sedang menjalani hukuman Allah."
Ajakan Nabi Nuh itu, dijawab oleh anaknya sebagaimana tersebut dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Ia menjawab: Saya akan mendaki puncak gunung yang akan melindungi kami daripada taufan ini. Sahut Nabi Nuh: "Tiada seorang pun yang dapat terpelihara daripada seksaan Allah, kecuali orang yang dikasihi-Nya. Lalu gelombang itu membatas (memisahkan) antara kedua-duanya, dan ia termasuk dalam golongan orang-orang yang tenggelam."
(Hud: 43)
Sesudah selesai Nabi Nuh mengucapkan kata-katanya, ;tenggelamlah Kan'aan disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan mata ayahnya, tergelincir ke bawah lautan air mengikuti sekutu-sekutu dan pembesar-pembesar kaumnya yang derhaka itu.
Nabi Nuh bersedih hati dan berdukacita atas kematian puteranya dalam keadaan kafir dan tidak beriman serta belum mengenali Allah. Beliau berkeluh-kesah dan berseru kepada Allah: "Ya Tuhanku, sesungguhnya puteraku itu adalah darah dagingku dan adalah sebahagian daripada ahli keluargaku dan sesungguhnya janji-Mu adalah janji yang benar dan Engkaulah Maha Hakim Yang Maha Berkuasa."
Selanjutnya Allah berfirman yang bermaksud:
"Allah berkata: Wahai Nuh! Sesungguhnya ia bukan daripada ahli keluargamu, kerana sesungguhnya (amalannya itu) amal yang tidak baik, oleh kerana itu janganlah minta kepadaKu apa yang engkau tidak tahu, sesungguhnya Aku memberi nasihat kepadamu, supaya engkau tidak tergolong sebagai orang-orang yang bodoh."
(Hud: 46)
Kemudian Nabi Nuh memohon keampunan daripada Allah sebagaimana disebutkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"la berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu meminta apa yang tidak ada padaku pengetahuan padanya; dan jika Engkau tidak ampunkan daku dan tidak kasihan akan daku, nescaya jadilah aku dari orang-orang yang rugi."
(Hud: 47)
Setelah air bah itu mencapai kemuncak keganasannya, binasalah seluruh kaum Nuh yang kafir dan zalim sesuai dengan kehendak dan hukum Allah. Air lautan surut diserap bumi. Kapal Nuh terdampar di atas bukit "Judie" dengan iringan perintah Allah kepada Nabi Nuh: "Turunlah wahai Nuh ke darat, engkau dan para mukmin yang menyertaimu dengan selamat dilimpahi barkat dan inayah dari sisi-Ku bagimu dan bagi umat yang menyertaimu."
Firman Allah dalam Al-Quran bermaksud:
"Dan dikatakan: Wahai bumi! Telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah! Laut surutlah air dan bereslah urusan serta berhentilah (kapal Nuh) atas gunung Judi, dan dikatakan pula: Kebinasaanlah bagi kaum yang zalim itu."
(Hud: 44)
Allah Maha Bijaksana. Orang yang beriman kepadaNya pasti diselamatkan. Begitu juga Nabi Nuh dan pengikutnya walaupun ketika itu banjir melanda besar tetapi kerana mereka beriman kepada Allah, mereka berselamat sehingga banjir kering dan kemudian turun dari perahu dengan selamat. Sebagaimana firman Allah dalam A1-Quran bermaksud:
"Dikatakan: Wahai Nuh! Turunlah dengan selamat dan berkat dari Kami ke atasmu dan umat-umat yang bersama-samamu, tetapi terdapat beberapa golongan yang kami akan sempurnakan hidup mereka, kemudian akan menerima azab yang pedih dari Kami."
(Hud: 48)
Demikianlah riwayat Nabi Nuh dan umatnya sebagaimana yang dijelaskan Allah di dalam Al-Quran oleh Allah. Seluruh umat manusia harus menjadikan kisah tersebut sebagai iktibar iaitu contoh pengajaran, agar tidak bersikap derhaka terhadap Allah.
Nabi Nuh a.s. diutus Allah kepada umatnya dan tinggal bersama mereka selama 950 tahun. Beliau merupakan seorang Nabi yang sering menangis memikirkan penderhakaan kaumnya terhadap Allah. Bertahun lama beliau mengajak dan menyeru dakwahnya kepada kaumnya, namun hanya segelintir daripada merekaberiman kepada Allah s.w.t. Begitulah riwayat hidup Nabi Nuh dengan iringan keyakinan.
"Bantuan Allah tetap ada bagi orang-orang yang beriman."
PENGAJARAN
1. Nabi Nuh merupakan seorang Nabi yang menyeru umatnya ke jalan Allah. Beliau mendapat rintangan yang hebat dari kaumnya, dalam bentuk ejekan dan hinaan terhadap dirinya.
2. Beliau tidak bosan menasihati umatnya, namun hanya segelintir mereka yang mempercayai seruannya, dan beriman kepada Allah.
3. Sekiranya umat manusia telah derhaka melebihi batas, maka akan Allah datangkan kepada mereka azab yang perit di dunia terlebih dahulu.
4. Walaupun seseorang itu merupakan darah daging dan keluarga sendiri, namun apabila ia berlainan agama, itu bererti tiada lagi hubungan kekeluargaan.
5. Bantuan Allah tetap berterusan kepada orang-orang yang beriman.
Dipetik dari Buku Kisah Hidup 25 Nabi & Rasul Oleh Muhammad Abdul Wahab.
No comments:
Post a Comment