Saturday, May 8, 2021

KISAH NABI DAUD YANG SANGAT TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T...

Kata Mujahid: "Nabi Dawud A.S. menangis selama 40 hari dalam sujud tanpa megangkat kepala sehingga tumbuh rumput-rumput dari titisan air matanya, beliau juga menutup mukanya disebabkan kesalahan yang telah dilakukannya."

Lalu kedengaran suara yang berkata: "Wahai Dawud, apakah kamu lapar, kalau kamu lapar kamu akan diberi makan. Kalau kamu haus kamu akan diberi minum, kalau kamu tiada pakaian kamu akan diberi pakaian."

Apabila Nabi Dawud mendengar suara itu maka beliau pun memekik dengan pekikan yang sungguh kuat sehingga kayu yang basah menjadi kering dan terus terbakar disebabkan takutnya kayu itu.

Kemudian Allah S.W.T. menerima taubat Nabi Dawud, lalu Nabi Dawud berdoa: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah kesalahanku ditulis dalam tapak tanganku". Maka tertulislah kesalahan Nabi Dawud di tapak tangannya. Nabi Dawud tidak membuka tapak tangannya walau pun ketika hendak makan, minum atau untuk keperluan lain. Setiap kali Nabi Dawud melihat kesalahan yang tertulis di tangannya beliau akan menangis." -

Mujahid meneruskan ceritanya lagi: "Dibawakan kepada Nabi Dawud gelas yang mengandungi 2/3 air untuk diminum, apabila Nabi Dawud meletakkan gelas pada bibirnya maka terpandanglah beliau akan kesalahan yang tercatit di tangan beliau. Lalu menangislah Nabi Dawud sehingga gelas tadi dipenuhi dengan air matanya.

Diriwayatkan bahawa Nabi Dawud tidak mengangkat kepalanya memandang ke langit sehingga beliau wafat, ini adalah kerana malunya beliau kepada Allah S.W.T.

Dalam munajatnya Nabi Dawud A.S. pada Allah S.W.T., beliau berkata: "Wahai Tuhanku! Apabila aku mengingatkan kesalahanku, maka sempitlah bumi ini bagiku. Apabila aku ingat kepada rahmatMu maka kembalilah nyawaku. Maha Suci Engkau wahai Tuhanku, Engkau datangkan doktor-doktor hamba Engkau untuk mengubati kesalahanku. Kesemua mereka menunjukkan aku kepada Engkau. Maka celakalah bagi orang-orang yang berputus asa dari rahmat Engkau."

Pada suatu hari Nabi Dawud telah mengingati dosanya, beliau pun melompat dengan meletakkan tangannya ke atas kepala lalu berlari sehingga sampai di bukit. Kemudian berkumpullah binatang buas mengadapnya. Berkata Nabi Dawud A.S. pada binatang-binatang itu, "Baliklah kamu semua, aku tidak memerlukan kamu semua. Sesungguhnya yang aku mahu ialah, setiap orang hendaklah menangis di atas kesalahan mereka itu, dan setiap yang melakukan kesalahan pada Allah hendaklah menangis."

Nabi Dawud A.S. berkata: "Tinggalkan aku, biar aku menangis sebelum hari tangisan. Sebelum datang hari di mana tulang-belulang aku dihancurkan dan dibakarnya perutku, dan sebelum malaikat yang bersikap kasar dan keras datang kepadaku. Mereka itu tidak sekali-kali mendurhakai Allah dan mereka itu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah ke atas mereka."

Abdul Aziz bin Umar berkata: "Ketika Nabi Dawud A.S. telah membuat kesalahan maka suaranya pun menjadi kurang merdu, lalu beliau berdoa: "Wahai Tuhanku! Benarkanlah suaraku dalam kebersihan suara orang-orang shiddiq."

Dikisahkan bahawa apabila Nabi Dawud terlalu lama menangis, tangisannya tidak mendatangkan faedah, maka sempitlah baju besinya dan sangat susah benarlah hatinya. Kemudian beliau berdoa: "Wahai Tuhanku! Apakah Engkau tidak mengasihaniku ?"

Lalu Allah S.W.T. berfirman: "Wahai Dawud! Kamu telah lupa dosa kamu tetapi kamu ingat tangisanmu itu." Nabi Dawud A.S. berkata: "Ya Tuhanku dan Penghuluku! Bagaimana hendak aku lupakan dosaku apabila aku membaca kitab Zabur, nescaya ia mencegah air yang mengalir dari mengalir. Menenangkan hembusan angin, dan burung menaungi atas kepalaku. Aku menjinakkan binatang-binatang liar di tempat sembahyangku. Wahai Tuhanku dan Penghuluku! Apakah keliaran ini yang ada di antara aku dengan Engkau ?"

Kemudian Allah S.W.T. berfirman: "Wahai Dawud! Itu adalah kejinakan taat dan ini keliaran maksiat! . Wahai Dawud! Adam itu makhluk dari ciptaanKu, Aku ciptakan dia dengan tangan (kekuasaanKu) Ku, Aku hembuskan padanya ruhKu dan Aku suruh para malaikatKu sujud kepadanya. Dengan mahkota kemuliaanKu Adam mengadu kepadaKu kerana keseorangan, kemudian Aku kahwinkan dia dengan Hawa hamba wanitaKu dan Aku tempatkan dia dalam syurgaKu. Setelah itu dia telah berbuat maksiat kepadaKu, lalu Aku usir dia dari tetanggaKu dengan tidak berpakaian (telanjang) dan hina. Wahai Dawud! Dengarlah dari Aku yang benar Aku firmankan, engkau minta kepada Kami, Kami berikan kepada engkau. Engkau berbuat maksiat kepada Kami, Kami perlambat-lambatkan kepada engkau. Dan kalau engkau kembali kepada Kami nescaya Kami terima engkau."

Diriwayatkan bahawa apabila Nabi Dawud hendak menangis maka dia tidak akan makan dan minum selama seminggu, dan beliau akan keluar ke tanah lapang. Beliau menyuruh anaknya Sulaiman supaya menyeru kepada semua yang ada dalam semak, bukit-bukit, gunung-gunung dan di mana sahaja supaya datang untuk mendengar ratapan Nabi Dawud A.S.

Setelah Nabi Sulaiman A.S. menyampaikan berita tersebut maka datanglah binatang-binatang buas, binatang-binatang yang menjalar, burung-burung, anak-anak gadis dan orang ramai dari seluruh pelusuk. kemudian Nabi Dawud naik atas mimbar dan beliau dikelilingi oleh Bani Israil (kaum Yahudi).

Lalu Nabi Dawud A.S. memuji Allah S.W.T., Kemudian gemparlah mereka semua dengan tangisan dan pekikan. Setelah itu Nabi Dawud A.S. menceritakan tentang syurga dan neraka. Apabila terdengar sahaja tentang syurga dan neraka maka matilah setengah binatang-binatang yang menjalar, binatang liar, binatang buas dan manusia. Kemudian Nabi Dawud A.S. menceritakan tentang huru-hara hari Kiamat dan beliau sendiri menangis, maka di masa itu matilah segolongan makhluk Allah.

Apabila Nabi Sulaiman A.S. melihat terlampau banyaknya yang mati maka beliau pun berkata: "Wahai ayahku! ayah telah membinasakan para pendengar setiap kali syarahan. Kini telah banyak yang mati terdiri dari Bani Israil dan binatang-binatang."

Kemudian Nabi Dawud A.S. pun berdoa, dalam waktu beliau sedang berdoa itu tiba-tiba seorang budak dari Bani Israil berkata: "Wahai Dawud! Kamu terlalu cepat sangat meminta balasan dari Tuhanmu."

Apabila Nabi Dawud A.S. mendengar kata-kata budak itu maka beliau pun jatuh tersungkur dan pengsan. Nabi Sulaiman yang menyaksikan peristiwa itu berkata: "Ketahuilah sesiapa yang berteman atau berkeluarga dengan Dawud A.S. hendaklah mereka itu membawa Nabi Dawud ke tempat tidurnya, sesungguhnya orang-orang yang bersama Dawud A.S. itu telah mati disebabkan Nabi Dawud menceritakan kepada mereka tentang syurga dan neraka.

Setelah Nabi Dawud A.S. sedar dari pengsannya, dia bangun berdiri dan meletakkan tangannya di atas kepala. Kemudian dia masuk ke rumah tempat dia beribadah dan dikuncinya dari dalam, dan dia pun berdoa: "Ya Tuhanku! adakah Engkau marah kepadaku?" Begitulah Nabi Dawud A.S. sentiasa bermunajat kepada Allah S.W.T.

Nabi Sulaiman datang menghampiri rumah tempat ayahnya beribadat, beliau meminta izin masuk. Setelah Nabi Dawud A.S. mengizinkan anaknya masuk, Nabi Sulaiman membawa bersamanya roti untuk ayahnya.

Nabi Sulaiman berkata: "Wahai ayahku! makanlah roti ini, mudah-mudahan akan menguatkan kesihatan ayah."

Pada suatu hari Nabi Dawud memberi ceramah pada orang ramai, beliau banyak memberi nasihat supaya takutkan kepada Allah. Pada masa beliau memulakan ceramah terdapat 40,000 orang yang menghadiri majlis itu, oleh kerana para pendengar itu berasa cukup takut kepada Allah S.W.T. maka 30,000 orang dari seramai 40,000 itu telah mati disebabkan takutnya mereka kepada Allah S.W.T. Akhirnya yang pulang bersama Nabi Dawud A.S. cuma 10,000 orang sahaja.

Dikisahkan bahawa Nabi Dawud ada dua orang budak perempuan, apabila Nabi Dawud merasa takut kepada Allah S.W.T. maka kedua hamba itu akan naik duduk di atas dada dan di kaki Nabi Dawud, ini adalah kerana takut nanti anggota Nabi Dawud akan cerai-berai oleh kerana takutnya dia kepada Allah S.W.T.

Cuba kita renung dan kaji sejauh manakah takutnya kita kepada Allah S.W.T., berapa banyakkah orang yang sentiasa menyesal terhadap dosa yang telah dilakukan oleh mereka dan berapa banyakkah yang tidak takut kepada Allah S.W.T.. Kalau kita lihat dengan mata kita sendiri maka sudah terbukti bahawa tidak sampai 30% orang yang takut kepada Allah, tetapi orang mencabar kekuasaan Allah melebihi dari 50%.

Kalau sudah sampai tahap 50% manusia mula takut kepada Allah, maka masjid dan surau terpaksa dibuat bertingkat-tingkat untuk menampung para jemaah. Hari ini, cuma hari Jumaat dan hari raya sahaja masjid menjadi tumpuan sedangkan pada hari lain amatlah menyedihkan.

Semoga Allah S.W.T. menyelamatkan semua orang- orang Islam di dunia dan di akhirat.

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

No comments:

Post a Comment