Monday, March 15, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU

Bergambar bersama pasangan pengantin
Dari kiri Shamsuddin, AJ, Faridah Hanum, Abd. Razak dan Abd. Rani

Pasangan pengantin bergambar bersama kaum keluarga

Duduk depan dari kiri : Jamaliah dan ibu pengantin perempuan
Duduk belakang dari kiri : Salina, Aishah, Asni dan ibu ku Pn. Habsah
Berdiri belakang : Adik Muhammad Amsyar

13 Mac 2010, (Sabtu), dua pupu aku iaitu Faridah Hanum bt. Yacob telah selamat melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka pilihan hati iaitu Abd. Razak b. Ismail bertempat di Batu 22 1/4, Kg. Telok Dendang, Kg. Gajah, Parit, Perak.

Faridah Hanum yang bertugas di Hospital Universiti, Kuala Lumpur telah bertemu jodoh dengan suaminya yang berasal dari Telok Intan dan kini bertugas sebagai anggota polis di Kelantan.

Selamat Pengantin Baru di ucapkan kepada pasangan mempelai dengan iringan doa dan harapan semoga kalian berdua di rahmati Allah Subhanahuwataala dan memperolehi kebahagiaan sehingga ke akhir hayat, serta dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah yang berbakti kepada kedua ibu bapanya, agamanya, bangsa dan negara. Amin.

Friday, March 12, 2010

GANGGUAN JIN DAN SYAITAN

Ustaz Abdullah Mahmud sedang menyampaikan kuliah

Kaum muslimat sentiasa memberikankomitmen setiap kali kuliah diadakan

Diantara ribuan kaum muslimin yang hadir

Tengahari semalam tanggal 11 Mac 2010 pukul 1 petang, Biro Agama Syarikat telah menjemput Ustaz Abdullah bin Mahmud, seorang penceramah bebas untuk memberikan satu kuliah agama yang bertajuk ‘Gangguan Jin terhadap Manusia Berdasarkan Kajian Al Quran’.

Berikut adalah beberapa maklumat yang sempat dicatatkan sepanjang kuliah berlangsung .

Didalam Al Quran, Al Jin telah disebutkan sebanyak 22 kali, Al Jan 7 kali, Ashsyaitan 68 kali, Ashsyayatin 17 kali, Muhammad 1 kali, Musa lebih kurang 40 kali.

Berdasarkan kepada keterangan diatas, kita dapati bahawa jumlah Ashsyaitan dan Ashsyayatin yang dicatatkan didalam Al Quran adalah sebanyak 85 kali lebih banyak dari Al Jin dan Al Jan yang dicatat sebanyak 29 kali sahaja.

Ini menunjukkan bahawa syaitan yang dirujuk sebagai kafir adalah musuh paling nyata bagi umat manusia dan tidak pernah jemu serta sentiasa berusaha untuk menipu dan menyesatkan manusia sehingga ke hari kiamat. Berbanding Syaitan, makhluk jin pula adalah beragama Islam.

Syaitan biasanya mengganggu manusia dengan beberapa cara dan kaedah yang berbeza-beza, antaranya dengan cara yang menyeluruh iaitu serangan melalui penyakit. Seseorang yang diserang penyakit secara tiba-tiba dan tidak tahu puncanya adalah dipercayai telah terkena gangguan syaitan.

Selain serangan secara menyeluruh, syaitan juga akan mengganggu manusia dengan kaedah yang kedua iaitu serangan secara sebahagian. Serangan secara sebahagian ini biasanya menyerang anggota badan dan fizikal manusia seperti serangan penyakit angin ahmar.

Kaedah serangan dan gangguan yang ketiga pula adalah serangan secara berterusan di mana manusia yang diganggu dengan cara berterusan ini akan sentiasa merasa sakit dan tidak tahu sampai bila ianya akan sembuh.

Kita biasa dan sering melihat seseorang itu kerap ternampak bayang, lintasan atau menyerupai seseorang yang kita kenal, Orang melayu kita sebut sebagai ‘Hantu Raya’. Serangan dengan kaedah ini adalah cara yang keempat iaitu serangan secara imbasan.

Biasanya Syaitan akan mengganggu manusia semasa tidur atau dalam keadaan jaga. Jika dalam keadaan tidur, tanda-tanda yang boleh dikenal ialah giginya atas dan bawah akan berlaga dan mengeluarkan bunyi bergemerincing. Selain itu seseorang akan bermimpi seperti jatuh tangga, jatuh dari tempat yang tinggi, terbang, berkahwin, melahirkan anak, menyusui anak, diberi anak, berada di dalam rumah kosong yang jauh dan tidak tahu di mana, terkejut ketika sedang lena, dipatuk ular, dikejar binatang buas, ketawa atau menangis sehingga mengalir air mata, berjalan-jalan, berada di kuburan dan kena tindih.

Gangguan waktu jaga pula ialah apabila seseorang itu merasa sakit kepala secara tiba-tiba, mengantuk (biasanya berlaku bila seseorang itu hendak bersembahyang, berzikir, atau ketika hendak membaca Al Quran). Tetapi apabila seseorang itu tidak mengerjakan ibadat seperti diatas, maka rasa mengantuknya akan hilang.

Gangguan waktu jaga juga boleh menyebabkan seseorang itu merasa malas, suka menyepi diri atau suka menyendiri dan boleh juga menjadi seorang yang pelupa. Selain itu seseorang yang diganggu semasa jaga, badannya akan menggeletar dan menggigil. Bagi kaum wanita pula akan berlaku pendarahan haid yang tidak henti-henti atau haid tidak datang langsung.

Apakah yang menyebabkan berlakunya gangguan Syaitan atau Jin kepada seseorang manusia itu. Menurut Ustaz Abdullah lagi bahawa boleh jadi seseorang itu ada melakukan kezaliman atau orang lain yang melakukan kezaliman dan musibahnya akan ditimpakan kepada sesiapa sahaja. Kemungkinan lain yang boleh dikaitkan pula ialah apabila makhluk Jin yang melakukan kezaliman.

Selain gangguan Syaitan, kita juga tidak terlepas dari kejahatan manusia yang mempunyai perasaan hasad dengki menyebabkan mereka mengunjungi bomoh untuk melakukan sihir atau santau terhadap kita. Biasanya bomoh yang dikunjungi untuk menjalankan kerja-kerja sihir atau santau akan meminta mereka yang berkenaan menyediakan peralatan seperti rambut, janggut, sikat yang ada rambut tertinggal dicelahnya, selaput mayang, selaput kurma jantan, habuk mayang pinang , miang buluh dan sebagainya.

Ustaz Abdullah Mahmud menasihatkan kita semua supaya rambut atau janggut kita yang dipotong atau gugur akibat disikat hendaklah ditanam supaya tidak boleh disalah guna oleh mereka yang mempunyai niat jahat atau khianat terhadap kita.

Tuesday, March 9, 2010

ALLAHYARHAM ISMAIL NORDIN DALAM KENANGAN

Petang tadi 9 Mac 2010, kira-kira pukul 1.20 pm, aku menerima satu sms dari Kak Ani memaklumkan Abang Mail (panggilan kami kepadanya) telah meninggal dunia dan akan dikebumikan selepas Zohor nanti.

Setelah mendapat berita tersebut, aku telah membuat keputusan supaya terus sahaja ke tanah perkuburan kerana aku merasakan tidak sempat lagi kerumahnya kerana ketika aku keluar dari pejabat tadi azan Zohor sedang berkumandang dari masjid berhampiran.

Walaupun Kak Ani tidak memaklumkan tanah perkuburan mana Arwah akan dikebumikan, tetapi aku dapat mengagak bahawa arwah mesti akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Jalan Kuari, Cheras, Kuala Lumpur, kerana sebelum inipun ibu mertua beliau yang tinggal bersama-samanya telah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut kira-kira 4 tahun dulu dimana aku juga turut mengiringi jenazahnya kekubur tersebut.

Allahyarham tinggal di tingkat 7, Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur yang mana aku ketahui kebanyakan penduduknya akan di kebumikan di tanah perkuburan itu.

Ketika aku sampai di tanah perkuburan kira-kira pukul 2 petang, aku dapati jenazah telahpun selesai dikebumikan dan saudara mara bagi keluarga Allahyarham sudahpun bersiap-siap untuk pulang. Aku merasa sedikit kecewa kerana tidak sempat menatap jenazah buat kali terakhir. Tetapi aku merasa hairan kerana dalam ramai-ramai mereka itu, tak seorang pun yang aku kenal.

Setelah aku bertanyakan kepada salah seorang dari mereka barulah aku tahu jenazah yang dikebumikan itu bukan jenazah Allahyarham Ismail yang aku ingin ziarahi. Jenazah Allahyarham akan tiba dalam sedikit waktu lagi. Sementara menantikan ketibaannya aku mengambil keputusan untuk ke surau berhampiran bagi menunaikan sembahyang Zohor.

Allahyarham Ismail b. Nordin adalah suami kepada Pn. Halijah bt. Hanifa (aku panggil Kak Jah) dimana keluarga Kak Jah ini adalah jiran terdekat dan rumahnya bersebelahan dengan rumah keluarga aku di Simpang, Taiping, Perak ketika taman perumahan kami siap dibina pada tahun 1970 dahulu dan kami sama-sama berpindah pada tahun tersebut, ketika itu umur aku dalam 9 tahun dan umur Kak jah mungkin dalam 17 tahun, ia juga mempunyai seorang adik bernama Zulkifli yang umurnya sama sebaya dengan aku. Zulkifli ini telahpun meninggal dunia, tapi aku tak ingat dah berapa tahun dia meninggal dan aku juga tidak sempat balik menziarahinya kerana lewat diberitahu. Tetapi aku sempat berbual dengannya ketika aku berkunjung kerumahnya kira-kira dua minggu sebelum ia meninggal dunia. Perubahan beliau yang dapat aku rasakan ialah setelah berbual hampir setengah jam dengannya tapi lepas tu dia boleh tanya aku "hang ni sapa". maunya aku tak hot, kawan dari kecik, rumah pula bersebelahan, boleh dia tak kenal aku. Tapi tulah orang melayu kata "buang tebiat". Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Amin.

Berbalik pada cerita asal tadi, setelah Kak Jah berkahwin dengan Allahyarham Ismail ni, maka mereka pun berpindah ke kuarters kakitangan Penjara Pudu, Kuala Lumpur kerana Allahyarham ni bertugas sebagai warder di Penjara Pudu, aku pula ketika itu sudahpun bekerja di Seberang Perak, berhampiran pekan Kg. Gajah, Perak. Setiap kali kalau aku ada urusan di Kuala Lumpur, aku pasti singgah di rumah mereka untuk bertanya kabar.

Apabila aku bertukar ke Kuala Lumpur, dan jika aku ingin menyaksikan perlawanan bolasepak di Stadium Merdeka, aku akan meletakkan motosikal aku dirumahnya dan berjalan kaki ke stadium tersebut yang jaraknya hanya 500 meter sahaja.

Setelah Allahyarham bersara maka mereka berpindah di flat Dewan Bandaraya Sri Kota, Bandar Tun Razak ini sehinggalah sekarang. Setelah aku berkahwin dan mulai sibuk dengan keluarga maka aku sudah jarang mengunjungi mereka lagi, kali terakhir aku berjumpa Allahyarham ialah pada 28 November 2007 (hampir 3 tahun tak jumpa) ketika aku terserempak dengannya di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur dan sempat berbual selama 10 minit sahaja kerana kami masing-masing ada urusan yang perlu disegerakan.

Jenazah hanya tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 3 petang dan ketika aku bertanya, Kak Jah memaklumkan bahawa Allahyarham meninggal kira-kira pukul 11 pagi ketika mereka sedang bersiap-siap untuk ke HUKM kerana Allahyarham perlu mendapatkan rawatan bagi penyakit paru-paru yang dihidapinya. Rupa-rupanya Allah telah menjemput beliau terlebih dahulu sebelum ia sempat mendapatkan rawatan. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak yang telah dewasa. Usianya ketika meninggal adalah dalam lingkungan 60 tahun.

Aku mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan bersama-sama para solehin. Al Fatihah...Amin.

"Dari Allah kita datang kepada Allah kita dikembalikan."

Aku menunggu sehingga jenazah selesai dikebumi dan di talkinkan dan sampai di pejabat kira-kira pukul 4.15 petang dalam keadaan perut yang amat lapar, manakan tidak, pagi tadi pukul 9, aku hanya minum nescaffe tarik, air barli dan dua biji telur setengah masak (Motek rendek), je.


Saturday, March 6, 2010

BADMINTON ALL ENGLAND 2010

Pasukan badminton Kumpulan Pengurusan Estet 2009.
Berdiri depan dari kiri : Linda, Siti Norhaya, Siti Rahayu,
Hairi, Azizi dan Mohd Suhaimi manakala berdiri belakang
dari kiri : Hj. Noor Zahari dan Ahmad Jais

Pasukan Bola Tampar Kumpulan Pengurusan Estet 2009.
Duduk depan dari kiri : Mohd Khusaini dan Mohd Ridhuan
manakala berdiri belakang dari kiri : Othman Abdullah,
Ahmad Jais, Mohd Suhaimi, Rajesh, Abd. Malik dan Mat Isa

Bercakap tentang sukan, hanya 5 jenis permainan sahaja yang aku minat, ('minat giler' kata remaja zaman sekarang) dan sentiasa mengikuti perkembangannya. Sukan tersebut adalah bolasepak, badminton, bola tampar dan ping pong manakala indoor game pula ialah karom dan catur. Aku cuba berjinak-jinak dengan sukan Bowling, tapi langsung tiada 'ummph' bagiku.

Mulai Rabu ini 10 Mac 2010, kejohanan badminton All England edisi ke 100 akan bermula dan diikuti pada bulan Jun 2010 nanti pula akan berlangsung satu lagi pertandingan sukan antarabangsa iaitu kejohanan bola sepak Piala Dunia dengan tuan rumahnya negara Afrika Selatan.

Sebagai peminat bagi kedua-dua jenis sukan ini, bagi aku, tahun 2010 amat ceria dan menjadikan aku lebih bersemangat untuk melalui hari-harinya tambahan pula ianya boleh diikuti secara langsung melalui tv berbayar ASTRO.

Kejohanan badminton All England 2010 ini adalah kejohanan badminton yang paling berprestij dan menjadi idaman setiap pemain untuk merangkul kejuaraannya tambahan pula kejohanan badminton tertua ini menyambut ulang tahunnya yang ke 100.

Situasi ini sudah tentu akan menurunkan semua pemain terbaik dunia untuk mengambil bahagian. Jika sebelum ini aku merasa kempunan tidak dapat melihat kelibat Lin Dan dari China maka kali ini Lee Chong Wei yang dikatakan pemain terbaik dan nombor satu dunia perlu membuktikan bahawa dengan kehadiran Lin Dan pun beliau mampu menjadi juara.

Jadi, jika ia ingin memenuhi impiannya itu maka beliau perlulah terlebih dahulu menewaskan pemain Indonesia yang dijangka berdepan dengannya iaitu Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia di pusingan kedua. Sebelum itu diperingkat awal ia akan bertemu pemain India iaitu Chetan Anand yang dijangka akan dapat ditewaskannya dengan mudah.

Jika ia melepasi ke suku akhir, ia dijangka akan bertemu pula dengan jaguh muda Denmark iaitu Jan O Jorgensen.

Seterusnya jika ia melangkah ke separuh akhir pula, ia dijangka samada akan bertemu jaguh veteran Denmark iatu Peter Hoeg Gade atau bekas juara Olimpik dari Indonesia iaitu Taufik Hidayat. Jika Lee Chong Wei menjadi juara maka beliau adalah pemain kedua merangkulnya selepas Mohd Hafiz Hashim menjuarainya pada tahun 2003 lalu.

"Chong Wei ni macam tahu je niat hatiku", apabila dalam satu wawancara ia telah berkata "Disudut hati saya memang saya mengimpikan untuk bertemu Lin Dan pada perlawanan akhir. Lagi pun saya sudah lama tidak menentangnya. Saya rasa peminat (aku minat Lin Dan je masa kini dan Heryanto Arby masa dulu) juga memang menanti-nantikan pertembungan kami di Seluruh England nanti," kata Chong Wei.

So, jika Lee Chong Wei ingin menjadikan aku sebagai peminat nombor satunya maka ia perlu lah terlebih dahulu menjadi juara All England ini dengan mengalahkan Lin Dan sebab lain-lain pemain semuanya dah kepenghujung kecuali Chetan Anand dan Jan O Jogersen yang masih mentah. Jika hajat Lee Chong Wei tak sampai maka aku mengucapkan 'good bye' padanya dan marilah joint kelab badminton aku seperti gambar di bawah yang pada masa ini ingin mendapatkan seorang jurulatih.

Pemain-pemain badminton KESURA dalam satu kejohanan
di Dewan Badminton, Taman Ibu Kota, Gombak,

Pemain sedang mendengar taklimat
sebelum kejohanan bermula

Ayu (belakang) dan Siti Mariam (depan) pemain badminton wanita
yang mewakili Kumpulan Pentadbiran dan Kewangan sedang beraksi

Linda dari pasukan Kumpulan Pengurusan Estet sedang
melakukan servis dan Siti Norhaya bersedia di belakang

SYILING ZAMAN ISKANDAR ZULKARNAIN DITEMUI

Gambar yang dikeluarkan oleh SANA, agensi berita Syria
pada 2 Mac, 2010 merakamkan duit syiling perak semasa
zaman Iskandar Zulkarnain yang ditemui di utara Syria
kira-kira dua minggu lalu oleh seorang lelaki di kawasan Manbej
ketika menggali di atas tanah untuk membina rumah di situ. - AP

Lebih 250 duit syiling perak semasa zaman pemerintahan Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) ditemui di utara Syria.

Ketua Arkeologi di bandar purba Aleppo, Youssef Kanjo berkata, duit syiling tersebut ditemui dua minggu lalu di utara Syria oleh seorang lelaki tempatan yang sedang membina rumah barunya.

Lelaki itu menyerahkan duit yang ditemuinya kepada pihak berkuasa, menurut Youssef dalam satu temubual menerusi telefon dengan The Associated Press.

Tarikh syiling terbabit ialah pada zaman pemerintahan Yunani, antara abad keempat hingga pertama Sebelum Masihi iaitu selepas raja Macedonia, Iskandar memperluaskan empayar Greek ke Asia Barat dan ketika era penaklukannya.

Duit syiling terbabit memiliki gambar Iskandar dan Tuhan Yunani, Zeus yang sedang duduk di atas takhtanya.

Selepas zaman penaklukan Iskandar, kebanyakkan negara bekas jajahannya di Asia Barat menggunakan terus mata wang tersebut.

"Penemuan ini amat penting dan akan menambahkan lagi koleksi arkeologi kami ketika zaman pemerintahan Yunani". kata Youssef - AP

Saturday, February 20, 2010

KENALI TUMBUHAN DI NEGARA KITA

Tidak dapat dinafikan bahawa Negara kita Malaysia adalah sebuah Negara yang dikurniakan Allah dengan berbagai-bagai nikmat berbanding sesetengah Negara yang selalu ditimpa musibah atau di takdirkan menjadi sebuah negara yang miskin.

Antara nikmat yang Allah kurniakan kepada Negara kita ialah keadaan muka buminya yang subur dengan bermacam-macam spesis tumbuhan merangkumi pokok buah-buahan, sayur-sayuran, herba serta bunga-bungaan yang cantik dan berseri. Sebahagiannya pula telah menjadi sumber pendapatan Negara.

Berbanding generasi dahulu dengan generasi sekarang bahawa kebanyakan mereka dan juga kita tidak berapa mengenali akan nama-nama tumbuhan seperti yang disebutkan diatas dan ada sebahagian yang mengenalinya setelah tumbuhan tersebut telah di proses menjadi bahan makanan, minuman, ubat-ubatan, kuih muih dan sebagainya.

Bagi memberikan satu informasi dan maklumat yang berguna kepada semua, maka di bawah ini aku perturunkan gambar-gambar dan nama-nama pokok tumbuhan yang terdapat di Negara kita, nama saintifiknya, kegunaan serta faedah yang kita boleh perolehi darinya.

Harapan aku supaya maklumat ini nanti akan dapat menambahkan pengetahuan yang berguna kepada kita semua dan dapat di manfaatkan dalam kehidupan seharian kita.
Gambar-gambar adalah Copyright dari buku keluaran MARDI, Serdang, Selangor.
BELIMBING BULUH

Nama Saintifik : Averrhoa Bilimbi
Nama Tempatan : Belimbing Buluh
Family : Geraniaveae
Kegunaan : Perisa dalam makanan

POKOK BETIK

Nama Saintifik : Carica Papaya
Nama Tempatan : Betik
Family : Caricaceae
Kegunaan : Dimakan secara segar, masakan

CEKUR

Nama Saintifik : Kaempferia galanga
Nama Tempatan : Cekur
Family : Zingiberaceae
Kegunaan : Ubat Sakit otot, sendi, sakit tekak, malaria

DAUN KARI

Nama Saintifik : Murraya koenigii
Nama Tempatan : Daun kari, karipulai
Family : Rutaceae
Kegunaan : Perasa makanan

GAJUS

Nama Saintifik : Anacardium occidentale
Nama Tempatan : Gajus, ketereh, janggus, jambu golok
Family : Anacardiaceae
Kegunaan : Ulaman dan ubat sakit tekak

CILI API

Nama Saintifik : Capsicum frutescens
Nama Tempatan : Cili api, cili padi
Family : Solanaceae
Kegunaan : Masakan dan di proses

KANGKUNG

Nama Saintifik : Ipomoea reptans
Nama Tempatan : Kangkung
Family : Convolvulaceae
Kegunaan : Masakan dan ubatan
(rawat buasir, sakit kepala, sukar tidur)

HALIA

Nama Saintifik : Zingiber officinale
Nama Tempatan : Halia
Family : Zingiberaceae
Kegunaan : Perisa dalam makanan dan minuman

KANGKUNG PUTERI

Nama Saintifik : Neptunia prostrata
Nama Tempatan : Kangkung puteri
Family : Leguminosae
Kegunaan : Masakan, rawat sakit telinga,
ulser hidung, resdung

KELOR

Nama Saintifik : Moringa oliefera
Nama Tempatan : Kelor, remunggai
Family : Moringaceae
Kegunaan : Perasa makanan dan ubatan
(masakan, rawat sakit kebas badan, sakit kulit)

KESUM

Nama Saintifik : Polygonum minus
Nama Tempatan : Kesum
Family : Polygonaceae
Kegunaan : Ketumbuhan, basir,
kurang sel darah merah, lemah syahwat

KUCAI

Nama Saintifik : Allium fistulosum
Nama Tempatan : Kucai cabut
Family : Liliacaea
Kegunaan : Sayur, ubat buasir, ekzema,
gatal kulit, ulser kaki, oliguria, selsema

KUNYIT

Nama Saintifik : Curcuma domestica
Nama Tempatan : Kunyit
Family : Zingiberaceae
Kegunaan : Perasa makanan dan
ubat kembong, tonik, tambah selera makan

CEKUR MANIS

Nama Saintifik : Sauropus androgynus
Nama Tempatan : Cekur manis
Family : Euphorbiaceae
Kegunaan : Sayur dan ubat leukimia, batuk, demam

SELOM

Nama Saintifik : Oenanthe javanica
Nama Tempatan : Selom
Family : Apiaceae
Kegunaan : Ulaman, selera makan,
demam, bengkak pada anak tekak

LIMAU PURUT

Nama Saintifik : Citrus hystrix
Nama Tempatan : Limau purut
Family : Rutaceae
Kegunaan :Perisa dan ubatan
(sakit kepala, reumatik, aromaterapi, wangi-wangian)

LIMAU NIPIS

Nama Saintifik : Citrus aurantifolia
Nama Tempatan : Limau nipis
Family : Rutaceae
Kegunaan :Pewangi aroma, disentri, industri minuman

LIMAU KASTURI

Nama Saintifik : Citrus microcarpa
Nama Tempatan : Limau kasturi, limau sambal
Family : Rutaceae
Kegunaan :Perisa makanan, minuman

LENGKUAS

Nama Saintifik : Alpinia galanga
Nama Tempatan : Lengkuas
Family : Zingiberaceae
Kegunaan :Perasa makanan,
ubat cirit birit, penghadaman, sakit sendi

TENGGEK BURUNG

Nama Saintifik : Euodia ridlevi
Nama Tempatan : Tenggek burung
Family : Rutaceae
Kegunaan :Ulam dan ubatan seperti ejakulasi pramatang,
kejang, darah tinggi, menyegarkan badan

SERAI MAKAN
Nama Saintifik : Cymbopogon citratus
Nama Tempatan : Serai makan
Family : Graminae
Kegunaan : Perasa makanan
dan ubatan (gangguan ginjal, batuk, tonik)

PETAI BELALANG

Nama Saintifik : Leucaena leucocephala
Nama Tempatan : Petai belalang
Family : Leguminosae
Kegunaan : Perasa makanan
dan ubatan (gangguan ginjal, batuk, tonik)

PANDAN WANGI

Nama Saintifik : Pandanus Odorus
Nama Tempatan : Pandan wangi
Family : Pandanaceae
Kegunaan : Pewarna kuih, perasa,
pertumbuhan rambut, mandian herba, demam campak

TURI

Nama Saintifik : Sesbania grandiflora
Nama Tempatan : Turi
Family : Leguminosae
Kegunaan : Sayur

UBI KAYU

Nama Saintifik : Manihot esculenta
Nama Tempatan : Ubi kayu
Family : Euphorbiaceae
Kegunaan : Masakan

UBI KELEDEK

Nama Saintifik : Ipomoea batatas
Nama Tempatan : Ubi keledek, ubi stelo
Family : Convolvulaceae
Kegunaan : Makanan, sayur pucuk

ULAM RAJA

Nama Saintifik : Cosmos caudatus
Nama Tempatan : Ulam raja
Family : Compositae
Kegunaan : Ulaman dan ubatan
(cuci darah, gastrik, menguatkan tulang, tonik)

TERUNG PIPIT

Nama Saintifik : Solanum torvum
Nama Tempatan : Terung pipit
Family : Solanaceae
Kegunaan : Masakan

CINTA TERLARANG

NOORLAILI AFIZAH OMAR

NOORLAILI AFIZAH OMAR, menitiskan air mata
selepas pulang semula ke pangkuan keluarga
di Kampung Setia Jaya, Setapak, Kuala Lumpur
kelmarin, (18/2/2010)

BATAL HASRAT KE LOMBOK

Norlaili Afizah Omar, yang melarikan diri untuk memenuhi impiannya berkahwin dengan lelaki berasal dari Lombok, Jawa Timur kembali semula ke pangkuan keluarga, kelmarin.

Gadis yang berusia 19 tahun itu, kesal dengan tindakannya melarikan diri bersama seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Abang Jo sejak 12 Februari 2010 lalu.

Norlaili mengalirkan airmata kerana percaya tindakannya itu telah menyusahkan ayah dan emak serta orang lain kerana melarikan diri bersama kekasih hati. Beliau berjanji tidak akan mengulanginya.

Beliau telah selamat pulang kepangkuan keluarga pada 18 Februari 2010 setelah menaiki bas dari perhentian bas Sungkai , Perak pukul 8 malam dan tiba di Hentian Pudu Raya, Kuala Lumpur jam 11 malam. Beliau kemudiannya menaiki teksi dan tiba di rumah di Kampung Setia Jaya, Setapak, Kuala Lumpur, pukul 11.30 malam.

Abang Jo hanya pulang seorang diri ke Lombok, Indonesia, setelah Noorlaili membatalkan hasratnya untuk mengikutinya.

APA PENDAPAT WARGA INDONESIA TENTANG
GADIS TEMPATAN YANG LARI IKUT TEMAN
LELAKI KE INDONESIA

Khadeja Rini, Fatkhurrahman, Dwe Purwanto,
Heru Sukoco dan Anita Prihatin

Penuh pengertian, peramah dan rajin bekerja!. Itu antara pandangan beberapa warga Indonesia tentang sikap lelaki dari negara itu yang dikatakan mampu memikat hati wanita tempatan.

Khadeja Rini, 26 tahun dari Medan, berkata, layanan yang diberikan oleh lelaki Indonesia terhadap wanita mempunyai perbezaan dengan lelaki tempatan.

"Lelaki Indonesia melayan wanita dengan penuh pengertian, sopan dan pandai menjaga hati pasangannya. Namun itu tidak bermakna lelaki tempatan tidak bagus, cuma cara mereka menunjukkan kasih sayang mungkin berbeza berbanding lelaki Indonesia yang lebih terbuka," ujarnya.

Komen aku - Mana-mana lelaki pun akan melakukan perkara yang sama apabila dapat memikat seorang wanita. Mereka akan mula berubah sikap dan menunjukkan perangai yang sebenar (bukan semua) setelah mendapat apa yang dihajati.

Fatkhurrahman, 36 tahun, dari Gombong, Jawa Timur pula berpendapat, sikap rajin dan tidak melepaskan peluang yang berada didepan mata merupakan antara tarikan yang ada pada lelaki Indonesia.

"Kami datang ke Malaysia untuk bekerja dan asalkan kerja itu halal, pasti kami sanggup lakukannya dan mungkin ini yang dinilai wanita tempatan sehingga nekad memilih lelaki Indonesia." katanya.

Komen aku - "Apa!!! kau orang ingat lelaki tempatan tak rajin bekerja ke?." , masalahnya wanita tempatan dan kaum keluarga mereka terlalu memilih dan meletakkan harga hantaran yang terlalu tinggi menyebabkan lelaki tempatan tertekan. Ini mendorong lelaki tempatan sanggup membujang atau mencari wanita Indonesia atau wanita dari negara lain sebagai isteri.

Mereka datang kesini mungkin untuk mencari rezeki yang halal, tapi kebanyakan mereka masuk adalah secara haram (bukan semua) dan melarikan anak dara orang pun bukan satu perbuatan yang halal.

Jadi, 1 perbuatan halal campur 2 perbuatan haram maka jawabnya haram. Jangan kau orang nak menegakkan benang yang basah.

Dwe Purwanto, 34 tahun pula berpendapat, rasa kasih sayang dan bertanggungjawab yang dimiliki pemuda senegaranya dikatakan antara punca mengapa gadis tempatan mudah terpikat.

"Lelaki di Malaysia dan Indonesia sebenarnya sama saja, namun mungkin lelaki Indonesia lebih bertanggungjawab dan penuh dengan rasa kasih sayang sehingga perwatakkan mereka ini mampu memikat hati wanita tempatan," ujarnya.

Komen aku - Bab ni susah sikit aku nak percaya, sebabnya bukan senang wanita tempatan nak jatuh cinta dengan pemuda Indonesia pada pandang pertama, kedua atau seterusnya kerana mereka sedia maklum bahawa kebanyakan yang datang kesini bukannya handsome pun macam bintang filem mereka. Yang datang kesini adalah terdiri dari keluarga yang miskin dan hidup melarat, negara mereka pun bukannya negara yang aman dan sering ditimpa bencana dan kalau wanita tempatan ikut mereka balik kesana, akan tahulah nasib mereka nanti.

Jadi pendapat aku yang paling aku percaya bahawa sebab utama wanita tempatan jatuh hati kepada pemuda Indonesia ini adalah kerana mereka telah terkena ilmu hitam, guna-guna, sihir atau telah di 'manderemkan'. maklumlah kita pun semua tahu bahawa bomoh-bomoh mereka semuanya handal-handal belaka.

Apabila ilmu guna-guna dah habis kesannya barulah wanita tempatan tadi tersedar dan terpinga-pinga apa yang telah terjadi kepada mereka. Pada masa tu barulah mereka teringatkan ibu bapa dan keluarga di kampung dan merayu untuk dibawa pulang.

Pendapat aku diatas tadi aku perkuatkan apabila aku buat perbandingan dengan pemuda dari Nepal, Bangladesh, Vietnam, India atau Afrika yang ada di Negara ini yang jarang mendengar mereka melarikan wanita tempatan, sebabnya mereka ni tak pandai berbomoh dan menggunakan ilmu hitam.

Heru Sukoco , 25 tahun, dari Banyu Wangi, Jawa Timur pula berkata, tidak semua pemuda Indonesia mempunyai sikap yang mampu memikat hati wanita tempatan.

"Perkara ini subjektif dan bergantung kepada individu. Jika sudah suka, semua yang buruk pasti akan dikatakan baik. Jadi terpulang saja kepada mereka." ujarnya.

Komen aku - Macam aku katakan tadilah bahawa kalau tak guna ilmu hitam susah nak pikat. Jadi kalau pemuda Indonesia yang tak ada niat nak buat jahat atau ilmu hitam jarang kita dengar mereka dapat berkahwin dengan wanita tempatan.

Anita Prihatin, 35 tahun dari Nadiun Jawa Timur, pula berkata tiada perbezaan antara lelaki walau dari negara manapun asalnya.

"Lelaki dimana juga negara sama saja, tetapi apa yang saya perhatikan lelaki Malaysia lebih mesra dan memahami wanita berbanding lelaki Indonesia.

"Walau bagaimanapun, ini cuma pandangan saja, Jika sudah tertarik, apa pun akan jadi mudah," katanya.

Komen aku - Lain macam Anita ni punya pandangan. Ada apa-apa ke dengan lelaki tempatan...

WANITA TEMPATAN
PERLU FIKIR PANJANG

Widyarda Ryananta

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kedutaan Besar Indonesia menasihatkan wanita tempatan berhati-hati dan berfikir panjang sebelum nekad untuk mengahwini pasangan mereka yang merupakan warga Indonesia.

Konsul Penerangan, Sosio dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarda Ryananta berkata, keputusan yang diambil perlu di fikir sebaik-baiknya agar tidak mencetuskan isu pada kemudian hari. komunikasi yang baik antara dua pihak amat penting bagi memahami bahawa masalah cinta merupakan sesuatu yag sangat subjektif.

"Soal cinta ini sangat rumit. Kita tidak dapat menghalangnya kerana ini membabitkan perasaan suka sama suka. Selagi ia tidak membabitkan jenayah dan mengganggu ketenteraman kedua-dua buah negara, tiada tindakan yang boleh diambil," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas isu beberapa gadis tempatan yang lari ke Indonesia untuk berkahwin dengan lelaki warga Indonesia.