Sunday, August 22, 2010
SIAPA LELAKI ITU?
Thursday, August 12, 2010
JANGAN....JANGAN....JANGAN
Akhirat itu lebih utama dan
hidup di sana lebih lama
dan kekal selamanya
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.
Nanti rezeki mahal
(Kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.
Tanpa niat untuk membuat kebaikan.
Takut-takut kita mati dalam perjalanan.
Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
Kerana mati boleh datang bila-bila masa.
Pada ibu bapa dan sesama manusia
Kalau memang kita bersalah..
Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia.
Dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya.
Kalau gagal kecewa pula.
Jangan BAKHIL UNTUK BERSEDEKAH,
Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.
Jangan BANYAK KETAWA,
Nanti mati jiwa.
Jangan BIASAKAN BERBOHONG,
Kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan
Menghilangkan kasih orang kepada kita.
Jangan SUKA MENGANIAYA MANUSIA ATAU HAIWAN,
Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
Jangan MEMPERTIKAIKAN KENAPA ISLAM ITU BERKATA JANGAN,
Sebab semuanya untuk keselamatan kita.
ALLAH lebih tahu apa yang terbaik
untuk hamba ciptaanNya.
Sunday, August 8, 2010
KUBURKAN JASADKU SATU LIANG LAHAD BERSAMA DEWI KU
Ada dua perkara, segera menarik perhatian orang apabila berbicara tentang Sukarno. Pertama, kehebatannya berpidato. Kedua, sebagai penakluk hati wanita.
Dua kelebihan Sukarno inilah menjadikan beliau terkenal pada zamannya. “Beri aku seribu orang dan dengan mereka aku akan menggerakkan Gunung Semeru. Beri aku sepuluh pemuda yang membara cintanya kepada tanah air dan aku akan menggoncang dunia!”
Begitulah kalimat pernah diucapkan Sukarno yang pernah menjadi Presiden Pertama Indonesia sejak 1945 hingga 1967. Kalimat ini bukan sahaja terkenal di negaranya, Indonesia bahkan di Malaysia, Singapura dan Brunai sampai hari ini.
Sebenarnya, banyak lagi kata-kata keramat Sukarno yang masih diingati oleh pemuja-pemujanya termasuk si penjual ubat ‘kuat’ di Masjid al-Hasanah Bangi, Selangor.
Diceritakan orang, kehebatan Sukarno sehingga sampai ke Mesir. Namanya turut diberi penghormatan oleh pemerintah Mesir ketika itu. Gamal Abdel Nasser mengabadikan sebatang jalan di Cairo dengan nama Ahmed Sukarno.
Pada zamannya, Sukarno dianggap pemidato terbaik di dunia setanding Perdana Menteri Britain, Winston Churchill, Presiden Amerika, John F. Kennedy, pemimpin politik Jerman, Adolf Hitler dan Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser.
Malah sehingga ke hari ini pun belum ada pemimpin Asia yang begitu baik cara penyampaian pidato mereka boleh menandingi kehebatan Sukarno. Sesiapa saja pasti terpaku berjam-jam mendengar pidatonya yang berapi-api!.
Diceritakan orang, Bung Karno pernah berlatih berpidato di hadapan cermin dalam kamar yang gelap dan pengap. Ketika itu Bung Karno dipenjarakan pada zaman penjajahan Belanda. Dalam kamar tidak berjendela itulah siang malam, Bung Karno berpidato berapi-api hanya diterangi api pelita. Walaupun dicemuh dan diejek, Bung Karno tetap berpidato dengan suara lantang bak guruh.
Ada yang mengejeknya: “Hei si Karno, kamu buat apa berpidato depan cermin seperti orang gila saja…” Apa kata Sukarno? Sukarno tidak kisah dituduh berpidato seperti orang gila. Kata Sukarno, biarkan suaranya hanya didengar sang cicak, nyamuk, lipas dan tikus. Biar apa orang hendak kata!
Selepas habis berpidato, Sukarno berkata: “Aku bersiap hendak menjadi orang besar…! Rupanya apa yang dicita-citakan Sukarno menjadi kenyataan apabila dia mengisytiharkan Proklamasi Kemerdekaan 17 Ogos 1947 dan menjadi Presiden Republik Indonesia yang pertama.
Perlu ditulis di sini bahawa Sukarno seorang yang pemaaf dan tidak berdendam termasuk kepada musuhnya. Sukarno sangat sayang kepada bangsanya. Ini dapat dihidu melalui surat Ratna Sari Dewi kepada Presiden Suharto. Ketika itu Sukarno berada dalam tahanan di Wisma Yaso.
Surat bertarikh 16 April 1970 itu berbunyi: “Tuan Suharto, Bung Karno itu saya tahu benar-benar sangat mencintai Indonesia dan rakyatnya. Sebagai bukti bahawa meskipun ada lawannya yang berkali-kali menteror (cuba membunuh) beliau, beliau pun masih mahu memberikan pengampunan kalau yang bersangkutan itu mahu mengakui kesalahannya.
“Dibanding dengan Bung Karno, maka ternyata di balik senyuman Tuan itu, Tuan mempunyai hati yang kejam, Tuan telah membiarkan rakyat, iaitu orang-orang PKI dibantai. Kalau saya boleh bertanya: Apakah Tuan tidak mampu dan tidak mungkin mencegahnya dan melindungi mereka agar tidak terjadi pertumpahan darah?” tulis Ratna Sari Dewi.
Berbalik kepada kegemaran Sukarno mencintai wanita. Daripada sekian banyak isteri Sukarno (Sembilan orang semuanya), hanya dua orang sahaja yang menemani Bung Karno lewat hari kematiannya iaitu Hartini dan Ratna Sari Dewi. Isteri-isteri lain telah diceraikan.
Dua wanita ini, Hartini dan Ratna Sari Dewi mendapat takhta paling istimewa di hati Bung Karno. Cinta Sukarno terhadap dua wanita ini bak Gunung Semeru. Pada Hartini, Bung Karno berwasiat: “Jika meninggal, makamkan aku di sebelah kubur Hartini!”
Pada Ratna Sari Dewi pula, Bung Karno berwasiat: “Kuburkan jasadku satu liang lahad dengan Sari Dewi.”
Seperti diwawancara majalah Tempo (1999), Hartini menceritakan mengenai kegemaran Sukarno menjurus kepada wanita cantik. “Cintanya kepada wanita yang cantik adalah beban bagi saya. Walaupun saya sudah berusaha menerima dia (Sukarno) sebagaimana adanya, dia sangat mencintai keindahan dalam kecantikan wanita,” beriitahu Hartini, isteri ketiganya.
Kisah percintaan paling popular ditulis sepanjang zaman tentulah antara Sukarno dan Ratna Sari Dewi, seorang gadis cantik yang dipuja-pujanya semasa bertemu di kelab malam Akasaka’s Copacabana, Tokyo pada 16 Jun 1959.
Cinta Bung Karno tidak bertepuk sebelah tangan. Seterusnya Naoko dijemput bertandang ke Bali. Cinta Naoko dan Sukarno semakin mekar dan akhirnya mereka menikah. Jika hendak ditulis kisah Sukarno dengan wanita-wanita yang pernah dicintainya tentulah boleh dijadikan novel untuk dibaca sepanjang zaman.
Seorang penjual ubat ‘kuat’ lelaki di Masjid al-Hasanah di Bangi pernah bertanya kepada jemaah yang mendengar ceramah ubat ‘kuatnya. “Kenapa ratna sari Dewi tidak berkahwin selepas Sukarno meninggal? Siapa boleh jawab?” Soal si penjual ubat.
Jemaah yang asyik mendengar, tertunggu-tunggu jawapan si penjual ubat ‘kuat’ itu. Penjual ubat ‘kuat’ itu menyambung: “Sari Dewi kata tak ada lelaki sehebat Sukarno. Ini yang kita nak. Jangan bila kita pergi kerja, isteri di rumah dikerjakan orang! Minta maaf, saya suka cakap terus terang!”
Itulah cerita Sukarno yang masih diberi nafas baru oleh si penjual ubat di Masjid al-Hasanah, Bangi. Kehebatan Sukarno berjaya menakluk sembilan hati wanita cantik dan muda menjadi senbutan ramai. Walaupun usia Sukarno semakin meningkat, aura cinta serta keinginan menakluk hati wanita muda dan cantik tidak pernah padam.
Ini terbukti, apabila isteri terakhir Sukarno, Heldy Djalar dikahwini ketika berusia 18 tahun, beza 48 tahun dari usia Sukarno. Perkahwinan itu bertahan dua tahun sebelum kejatuhan Sukarno pada tahun 1967 dan dihumbankan dalam tahanan di Wisma Yoso, Jakarta.
Episod cinta Sukarno sentiasa bergelora. Lihatlah deretan isterinya dari Oetari, Inggit Garmasih, Fatmawati, Hartini, Dewi Sukarno, Haryati, Yurike Sanggar dan Kartini Manoppo.
Kartini Manoppo misalnya, bekas pramugari syarikat penerbangan Indonesia, Garuda. Sukarno jatuh cinta pada Kartini apabila melihat potret wajah wanita itu yang dilukis oleh pelukis terkenal Basuki Abdullah. Mereka bernikah pada tahun 1959.
Yurike dikahwini ketika berusia 18 tahun. Fatmawati (20) tahun. Hanya Inggit Garmasih wanita yang tua lebih 15 tahun daripada Sukarno.
Satu tindakan paling berani dilakukan Sukarno ialah apabila secara gentleman meminta izin untuk berkahwin dengan Hartini. Peristiwa itu berlaku selepas dua hari Fatmawati melahirkan Guruh Sukarnoputra. Fatmawati ialah ibu kepada Megawati Sukarnoputri, bekas Presiden Indonesia.
Walaupun peristiwa itu melukakan hati Fatmawati sehingga berpindah ke Jalan Sriwijaya, Jakarta namun wanita itu tetap menghormati Sukarno atas ‘keberaniannya’.
“Terlepas daripada perasaanku, satu hal yang patuit dipuji. Bung Karno tidak hipokrit,” tulis Fatmawati dalam sebuah buku berjudul Catatan Kecil Bersama Bung Karno.
Bak kata Sukarno: “Seorang isteri akan memaaf dan melupakan perbuatan suaminya yang salah, tetapi jika suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain…isterinya mungkin akan memaafkannya tetapi tidak akan pernah melupakannya sehingga akhir hayat...”
Dalam wawancara yang dilakukan Cindy Adams, penulis biografinya , secara terang-terangan Sukarno berkata: “I’m a very physical man, I must have sex everyday!”
Pernah dalam satu wawancara, Sukarno yang mengagumi kecantikan wanita berkata: “Tuhan menciptakan wanita penuh dengan keindahan. Saya fikir setiap lelaki normal senang melihat keindahan yang ada pada diri wanita!”
Pada masa lain pula, Sukarno pernah mengatakan: “Aku menjunjung Nabi Besar. Aku mempelajari ucapan-ucapan baginda dengan teliti. Jadi, moralnya bagiku adalah bukan suatu dosa atau tidak sopan kalau seseorang mengagumi perempuan yang cantik. Dan aku tidak malu bernbuat begitu kerana melakukan itu pada hakikatnya aku memuji Tuhan dan memuji apa yang telah diciptakan-Nya!”
Mastika Mac 2010 (m/s 74-80)
RM9 RIBU UNTUK UBAH SURAH AL-IKHLAS
Esoknya, Mat Nor pergi ke tempat temuduga tersebut di sebuah hotel yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya di utara tanah air. Sampai di hotel, Mat Nor di minta ke sebuah bilik di tingkat dua hotel tersebut. Dalam bilik tersebut, Mat Nor melihat ada sebelas lagi calon menunggu. Lalu Mat Nor duduk di salah sebuah kerusi di bahagian belakang.
Kira-kira 15 minit kemudian, muncul seorang lelaki bernama Patrick memegang beberapa helai borang dan mengedarkan kepada setiap calon termasuk Mat Nor. Patrick lalu meminta Mat Nor dan calon-calon lain mengisi borang tersebut.
Ketika menjawab beberapa soalan pada borang tersebut, Mat Nor berasa pelik dengan 10 soalan yang di tanya. Antara soalan itu, adakah boleh membaca Al-Quran, bersembahyang dan beberapa perkara asas tentang agama Islam. Soalan tersebut langsung tidak ada kena-mengena dengan jawatan eksekutif pemasaran yang di pohon Mat Nor.
Walaupun berasa pelik tetapi semua soalan tersebut di jawab dan di tandakan. Berdasarkan penjelasan Patrick, barulah Mat Nor faham bahawa rupa-rupanya tawaran kerja itu datang dari sebuah pergerakan berbentuk keagamaan! Tetapi bukan agama Islam.
Patrick turut memberi peluang Mat Nor dan calon-calon berfikir 15 minit sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau menolaknya. Patrick memberitahu, jika ada sesiapa yang ingin menarik diri di benarkan meninggalkan bilik tersebut. Sebelum beredar, Patrick menghulurkan RM50 setiap seorang.
“Ini duit sedekah,” beritahu Patrick. Selepas menerima wang tersebut, Mat Nor dan 11 calon lain di arah berkumpul semula di hadapan pintu biik tersebut. Mereka di kehendaki masuk semula selepas waktu rehat.
Selepas waktu rehat, keadaan berubah. Hanya Mat Nor dan tiga orang calon lelaki sahaja yang sanggup menerima jawatan tersebut. Manakala lapan calon lagi enggan menerima tawaran tersebut. Alasannya, mereka tidak yakin dengan keterangan Patrick.
Sebelum pulang, mereka berempat di berikan RM200 setiap seorang. Patrick berpesan agar Mat Nor datang semula ke hotel tersebut tepat pada waktunya, pukul 10 pagi.
Esok, tepat pada waktu yang di janjikan, Mat Nor tiba di kawasan hotel tersebut. Empat kereta BMW berwarna hitam sudah menunggu. Mat Nor di pelawa masuk ke salah sebuah kereta tersebut. Di hotel tersebut, seorang lelaki memberitahu dia di arahkan membawa Mat Nor menaiki kereta BMW ke Kuala Lumpur.
Kereta BMW yang di naiki Mat Nor tiba di sebuah rumah ibadat di Kuala Lumpur. Mat Nor berasa pelik, mengapa pula dia di hantar ke rumah ibadat itu. Apa kena mengena rumah ibadat itu dengan jawatannya sebagai eksekutif pemasaran?
Sebaik turun, muncul seorang lelaki Melayu berjubah hitam menyambut kedatangannya. “Salam sejahtera ke atas kamu,” sapa lelaki Melayu memakai jubah hitam itu. Namanya Joseph. Berdasarkan penampilannya, Joseph orang kanan di rumah ibadat itu.
Semasa berjalan, Joseph menyelitkan sekeping sampul surat berwarna putih ke dalam kocek baju Mat Nor. Mereka berdua masuk ke sebuah bangunan bersebelahan rumah ibadat tersebut. Sebaik sampai di sebuah bilik, Joseph memberitahu di situlah Mat Nor akan tinggal sehingga tugasnya selesai.
Sebelum beredar, Joseph menerangkan Mat Nor boleh mandi dan bersolat di bilik tersebut. Pukul 2.30 nanti, dia akan datang semula. Sebaik Joseph beredar, Mat Nor membuka sampul surat berwarna putih yang di berikan lelaki berjubah hitam itu. “RM200 lagi!” bisik Mat Nor.
Fikirannya bertambah keliru, semalam di sebuah hotel Mat Nor sudah di beri RM200 oleh lelaki bernama Patrick. Dan sekarang RM200 lagi. Di campur RM50 semasa mula-mula interviu, Mat Nor sudah ada RM450. Wang sudah dapat tapi anehnya tiada sebarang kerja di lakukan lagi.
Tepat pukul 2.30 petang, pintu bilik Mat Nor di ketuk. Joseph muncul di muka pintu. “Salam sejahtera ke atas kamu!” ucap Joseph sambil mengajaknya ke sebuah dewan. Dalam dewan tersebut, ada kira-kira 20 orang lelaki berbaju labuh berwarna hitam. Di situ, Joseph memberi penerangan tentang tugas yang bakal di lakukannya.
Berdasarkan penerangan Joseph, tugas Mat Nor bukan lagi eksekutif pemasaran tetapi sebagai penterjemah. Pada akhir penerangan, Joseph memberitahu Mat Nor dan tiga lagi calon di kehendaki menterjemah sebuah kitab agama daripada bahasa Indoesia ke bahasa Melayu.
Tetapi sebelum itu kata Joseph, ada tugas lain yang perlu di lakukan. Joseph lalu mengeluarkan sehelai kertas bertulis ayat-ayat suci Al-Quran di dalam poket jubah hitam lalu membacanya.
“Kul Huallah Hu Ahad…” Joseph membaca surah tersebut dengan fasih dan berlagu seperti seorang qari. Bilik itu sepi seketika. Masing-masing terpegun mendengar suara Joseph membaca surah al-Ikhlas.
“Sekarang saya nak kamu ubahsuai surah al-Ikhlas ni. Masukkan ayat itu dalam kitab ni,” beritahu Joseph menunjukkan sebuah kitab agama berbahasa Indonesia. Sekali lagi, Mat Nor berasa serba salah. Kalau menolak tugas tersebut dia mesti memulangkan semula wang RM450 yang di terimanya sebelum itu. Mahu tak mahu, dia terpaksa lakukan juga tugas berat ini.
Tanpa berlengah, Mat Nor cuba menterjemah ayat daripada surah al-Ikhlas seperti diminta Joseph. Sesi itu berlangsung hampir lima jam lamanya. Beratus-ratus ayat dikarang tetapi semuanya tidak menjadi. “Ayat ini kalau dimasukkan juga ia akan bercanggah dengan akidah agama kamu yang mengatakan bahawa Tuhan itu lebih dari satu,” jelas Mat Nor.
Joseph terdiam tanpa sepatah kata. Kemudian dia menambah: “Tak mengapa. Cuba lagi. Nanti saya akan beritahu kepada ketua saya tentang perkara ini!”
Setelah percubaan pertama menterjemah surah al-Ikhlas gagal, Joseph menyuruh mereka berehat dulu dan menyambung kembali tugas tersebut esok. Sebelum bersurai, Joseph memberikan sekeping lagi sampul surat berwarna putih. Apabila dibuka terdapat wang berjumlah RM300 di dalamnya.
Malam itu Mat Nor tidak boleh tidur. Fikirannya masih lagi teringat pada siang tadi. Dia berasa hairan sudah berkali-kali dia mengikut kehendak Joseph mencuba menterjemah ayat dari surah al-Ikhlas tetapi gagal. Jika ditukar mana-mana ayat sekalipun, ia tetap tidak boleh mengubah makna asal surah berkenaan.
Keesokannya, Mat Nor menyambung lagi tugasnya bersama tiga rakannya yang lain menterjemah surah al-Ikhlas. Sesi menterjemah dan mengubahsuai al-Ikhlas pada hari kedua juga gagal mendapat sebarang keputusan muktamad. Masing-masing buntu. Tiada perkataan yang boleh digunakan untuk disesuaikan dengan ayat-ayat didalam kitab agama tersebut.
Hari berikutnya Mat Nor mencuba lagi tapi tidak berjaya. Begitulah yang terjadi sehingga tugas itu berlangsung selama tiga minggu. Puas Mat Nor dan kawan-kawannya memikirkan cara untuk mengubahsuai surah al-Ikhlas tetapi sia-sia.
Ayat yang diubah itu tetap bercanggah dengan akidah tauhid agama orang kanan rumah ibadat itu. Ini kerana secara keseluruhan ayat surah al-Ikhlas itu menegaskan bahawa Tuhan itu Esa, tidak sama dengan akidah orang kanan yang berjubah itu.
Setelah gagal mencuba pelbagai cara, Mat Nor mengesyurkan kepada orang kanan rumah ibadat itu supaya mengubah keseluruhan surah tersebut. “Kalau nak ubah, kena ubah semua!” beritahu Mat Nor. Okey, saya akan beritahu orang atas. Tangguh dulu ubahsuai surah itu. Tumpu terjemah kitab dari bahasa Indonesia ke bahasa Malaysia,” beritahu orang kanan rumah ibadat itu.
Kira-kira setengah jam kemudian, orang kanan rumah ibadat itu kembali ke bilik tersebut. “Sesi untuk hari ni dah tamat. Semua boleh balik. Mat Nor, tugas awak pun dah habis. Lusa awak boleh balik,” beritahu orang kanan rumah ibadat itu.
Mat Nor lega mendengar pengumuman tersebut. Dia balik ke biliknya. Sekarang segala beban yang tertanggung di kepalanya selama ini sudah terlerai. Sambil duduk di katilnya, Mat Nor mengeluarkan sampul-sampul surat berwarna putih yang diterimanya sejak tiga minggu lalu. Dia mengira jumlah wang tersebut RM4,650!.
Tiba-tiba Mat Nor terdengar biliknya diketuk. Apabila pintu terbuka, dilihatnya Joseph sedang berdiri di depan pintu sambil tersenyum. Joseph mengajak Mat Nor ke sebuah bilik kosong. Di situ, Joseph memaklumkan usaha mengubahsuai surah al-Ikhlas dihentikan serta-merta. “Program ini dihentikan atas arahan ketua paling atas,” beritahu Joseph.
Joseph turut member amaran agar jangan sesekali menceritakan perkara ini kepada orang lain. “Ini perkara besar. Tolong jangan hebahkan pada sesiapa,” tegas Joseph kepada mat Nor.
Mat Nor sudah mengagak dari awal, usaha mengubah surah itu tidak akan berjaya. Kini dia bertambah yakin, memang ayat-ayat al-Quran tidak boleh di ubahsuai dan keasliannya akan terpelihara sepanjang masa.
Sebelum balik kekampungnya di utara tanahair, Mat Nor dipanggil sekali lagi oleh Joseph. “Terima kasih membantu kami. Inilah sedekah kami kepada kamu. Ambillah duit ni berapa banyak yang Mat Nor nak!” beritahu Joseph sambil menunjukkan sebuah kotak kecil yang penuh tersusun kepingan not RM50.
“Ambillah, jangan malu-malu…”pelawa Joseph. Mat Nor teragak-agak untuk mengambil wang tersebut tetapi setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengalah. Tanpa melihat ke dalam kotak itu, Mat Nor mengambil secekak wang secara rambang.
“Cukup?” tanya Joseph. Mat Nor mengangguk. Selepas itu dia dihantar pulang ke utara dengan BMW yang sama semasa dibawa ke Kuala Lumpur, tiga minggu lalu. Sampai di rumah, Mat Nor mengira duit yang diterimanya termasuk wang yang diambil dari kotak bersama Joseph, keseluruhannya sebanyak RM9,000! Itulah upah yang diterima untuk ubahsuai surah tersebut. Persoalannya mengapa mereka beria-ia mahu mengubahsuai surah berkenaan?
“Saya pun tak tahu apa motif mereka sebenarnya. Bayangkan bilik saya menginap itu serba lengkap. Ada hawa dingin, TV, radio, katil, bilik mandi, almari, sejadah dan sebuah meja. Di atas meja itu ada beberapa buah buku agama seperti fikah, tauhid, termasuk senaskah al-Quran. Semuanya baru. Siap ada penunjuk arah kiblat lagi!
“Bila saya buka almari ada sepasang baju Melayu biru. Mulanya saya sangka baju itu milik orang lain yang pernah tinggal di bilik itu tapi rupa-rupanya itu memang baju Melayu yang dibuat khas untuk saya. Bila saya pakai, muat-muat aja.
“Begitu juga dengan sepasang kasut hitam di kaki almari. Bila saya cuba, kasut itu memang kena dengan saiz kaki saya. Tapi saya pelik juga, macam mana mereka boleh tahu ukuran badan dan kaki saya dengan tepat, sedangkan saya tak pernah bagi ukuran badan, mahupun saiz kasut kepada mereka. Bagaimana mereka tahu? Tanya Mat Nor.
Mat Nor memberitahu, selepas seminggu pulang ke rumah, pergerakkannya sentiasa di ekori dan di pantau orang-orang dari rumah ibadat itu. Setiap hari ada sebuah kereta putih jenis proton akan parkir di tepi jalan tidak berapa jauh dari rumahnya. Apabila Mat Nor keluar ke bandar, dia juga terserempak dengan kereta yang sama. Apa tujuan mereka?
Sehingga hari ini, Mat Nor masih tertanya-tanya apakah masih wujud kegiatan seperti yang dialaminya 15 tahun yang lalu….
Mastika Feb 2007 (m/s 98-102).
Saturday, August 7, 2010
MIMPI YANG MENGINSAFKAN
Seperti lazimnya, pagi itu saya ke Masjidilharam untuk bersembahyang subuh. Kemudian saya menunaikan pula sembahyang sunat, seterusnya berzikir dan berdoa mengucap syukur kepada Illahi kerana memberi peluang kepada saya menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci ini.
“Tanpa kehendak-Mu ya Allah, tidak mungkin aku dapat menjejakkan kaki di sini. Di hadapan Kaabah-Mu ini, aku memohon keampunan kerana kerap melalaikan suruhan-Mu.”
Suara jemaah membaca ayat-ayat suci Al-Quran, kekusyukan mereka melakukan tawaf serta keindahan Kaabah yang tersergam membuat hati saya bertambah sayu. Terasa sungguh akan kebesaran-Nya.
Matahari kian meninggi. Saya berdiri dan mengucapkan kesyukuran di atas nikmat Allah. Namun ketika hendak melangkah meninggalkan masjid, tiba-tiba kaki saya tersepak sesuatu. Lantas saya mengambil dan membeleknya.
“Eh, ni uncang duit ni,” kata saya. “Siapa punya yang tertinggal ni?” Saya membuka uncang tersebut dan melihat kandungannya. Benar seperti yang di duga. Uncang itu berisi wang. Saya mengira wang tersebut. Kira-kira 700 riyal kesemuanya.
“Nak buat macam mana ni?” kata saya sendirian. “Ini bukan wang aku.” Saya terus berfikir. Namun syaitan itu berada di mana-mana. Ia sentiasa saja mencari ruang untuk menyesatkan manusia. Alangkah lemahnya keimanan saya. Dalam masa berfikir itu, hati muda saya terpengaruh dengan bisikan syaitan. Biarpun baru sahaja selesai bersembahyang dan Kaabah tersergam di hadapan mata, tetapi perasaan tamak menyelinap masuk ke hati. Bergelodak mengapikan supaya saya mengambil wang yang bukan milik saya itu.
“700 riyal!. Wow! Boleh juga buat belanja. Kalau aku ambil pun bukan ada yang tahu,” kata saya sambil menoleh ke kiri dan kanan bagi memastikan tiada siapa yang menyedari apa yang sedang saya lakukan. Saya tersenyum sendirian.
“Benar, memang tiada siapa yang melihatnya, tapi saya lupa bahawa ada yang sedang memerhati. Dia adalah Allah yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Dengan melupakan soal dosa, saya memasukkan wang itu bagi tujuan menjadikan sebagai hak milik saya.
“Aku bukan mencuri, aku jumpa. Lagipun macam mana nak cari tuannya,” kata hati saya. Memang hati saya berdebar, tetapi nafsu tamak sudah tidak mampu di kawal lagi. Api kejahatan yang di nyalakan oleh syaitan telah membakar hati hingga akhirnya saya lupa kepada dosa dan pahala, yang makruf dan yang mungkar.
Sebelum berjalan balik ke tempat penginapan, sekali lagi saya tunaikan sembahyang sunat. Bagaimanapun, selesai sahaja memberi salam, seorang lelaki tua yang amat daif keadaannya datang menghampiri saya. Pakaiannya lusuh, badannya kurus dan menyedihkan. Matanya memandang saya dengan penuh harapan. Keadaan dirinya yang menyedihkan, benar-benar menunjukkan bahawa dia telah melalui situasi yang amat sukar sebelum bertemu dengan saya.
“Tolonglah saya encik, saya dari Pakistan, kerja pembantu makmal, saya datang sini nak kerjakan haji dan saya bawak anak isteri sekali,” katanya memperkenalkan diri tanpa di minta. Bagaimanapun, jelas lelaki itu, wang dan beg pakaiannya hilang menyebabkan dia sekeluarga terkontang-kanting tanpa haluan. Mereka tidur di mana yang sempat dan makan dengan belas ihsan orang lain.
Saya masih mendiamkan diri, enggan menjawab walau spatah pun perkataan. Saya rasa terganggu dengan kehadirannya. Apatah lagi kedatangannya untuk meminta wang dari saya. Kenapa cari aku? Cari lah orang lain.
“Encik, sedekahlah sedikit kepada saya. Diri saya ni tak kisah, tapi kasihanilah kepada anak-anak saya,” katanya lagi sambil menunjukkan dua anaknya yang saya lihat sungguh menyedihkan. Pakaiannya kotor dan muka comot. Begitu juga isterinya. Raut wajah mereka menggambarkan kesedihan yang amat sangat. Dari mata mereka yang lesu, jelas mereka merayu meminta simpati daripada saya.
Tetapi ketika itu saya terlupa kepada makna sedekah ikhlas. Dengan hati yang berat saya hulurkan 10 riyal kepada lelaki berkenaan. Wang itu bukanlah daripada wang yang di jumpai tapi dari kocek baju saya sendiri.
“Terima kasih tuan, terima kasih, terima ksih,” katanya sambil meraup wajah dengan kedua-dua belah tapak tangan. Dia kelihatan amat bersyukur dengan pemberian saya yang sedikit itu. Air matanya mengalir tanda gembira. Anak-anak dan isterinya juga seronok bukan kepalang. Sambil tersenyum tawar, saya tinggalkan mereka di situ.
Sambil berjalan pulang, saya mengeluh kerana telah menghulurkan 10 riyal. Baru terjumpa wang, terpaksa pula keluarkan sedikit untuk orang yang tidak saya kenali. Biarpun demikian, sebagai seorang manusia, tidak dapat di nafikan jauh di sudut hati saya berkata-kata sendirian. Apa yang dapat mereka beli dengan wang 10 riyal? Mungkin pagi itu mereka boleh bersarapan ala kadar, tetapi bagaimana pula dengan tengah hari? Petang? Malam?, keesokkan harinya?.
Persoalan-persoalan itu timbul di fikiran saya tapi saya persetankannya. Bagi saya itu bukanlah masalah saya. Mereka boleh minta sedekah dengan orang lain malah boleh mendapat lebih banyak wang lagi. “Entah-entah mereka tu berlakon saja,” kata saya.
Satu atau dua hari kemudian saya ke Mina untuk melontar jamrah. Tetapin sebaik sahaja melontar batu terakhir di Jamratul Aqabah, tiba-tiba sebiji batu tepat di kepala saya. Sakitnya bukan kepalang. Lantas saya tekup dengan tangan. Ada cairan di tangan saya.
Lalu saya melihatnya. Darah! Kepala saya berdarah. Ia kemudiannya meleleh dan mengalir laju membasahi dahi seterusnya bahagian kanan muka. Saya pegang luka di kepala, pedih. Ada luka kira-kira satu sentimeter panjangnya di situ. Darah kian banyak membasahi muka.
Dalam mengeluh kesakitan itu serta merta tergerak di hati saya, inilah balasannya mengambil benda yang bukan hak saya. Wajah lelaki, isteri, dan dua anaknya yang dating meminta sedekah terbayang di fikiran saya. Bagaimana agaknya mereka sekarang? Sudahkan mereka makan? Dimana mereka tidur semalam? Laparkah mereka? Ohh… kesal sungguh saya kerana membiarkan mereka melarat.
Sambil berjalan, saya mengelap muka dengan kain ihram. Kain yang tadinya putih bertukar merah. Mungkin balasan Allah. Dalam keadaan semua orang sibuk melontar jamrah, tidak ada sesiapa pun yang menghiraukan apa yang berlaku kepada saya. Walaupun muka saya di selaputi darah yang masih belum berhenti mengalir sementara kain ihram pula di penuhi tompokan darah namun tiada tangan yang datang membantu.
Dalam keadaan begitu, sekali lagi ingatan saya berputar kepada keluarga lelaki berkenaan. Jika sebelum ini saya tidak menghiraukan kehadiran orang yang memerlukan bantuan, kini saya pula berada dalam kedudukan mereka.
Maha suci Allah, mengapakah tidak ada sesiapa pun yang menghiraukan kesakitan yang saya alami ini? Tidakkah mereka Nampak muka saya di penuhi darah? Tidakkah mereka Nampak? Ya-Allah, ampunilah hamba-Mu ini. Hati saya mula terasa sebak.
Hajat untuk bertahalul dengan membotakkan seluruh kepala selepas melontar jamrah, saya batalkan. Saya Cuma menggunting tiga helai rambut sebagai syarat. Kemudian kami bertolak ke Mina.
Sejak peristiwa itu hinggalah dalam perjalanan dengan bas menuju Mina, saya termenung seorang diri. Kejadian itu benar-benar menyentuh perasaan saya. Kesilapan mengambil wang yang bukan milik saya dan member sedekah dengan tidak ikhlas kepada orang yang dalam kesusahan segera bermain dalam kotak fikiran.
Alangkah berdosanya saya ketika itu. Begitu ramai orang melontar, kenapa saya yang menjadi mangsa? Rasa bersalah kian memuncak di dalam hati. Sekali lagi saya menadah tangan memohon keampunan Ilahi. Di dalam hati, saya berazam, jika terjumpa lelaki berkenaan dan anak-anak serta isterinya, akan saya hulurkan lagi wang yang saya miliki. Bukan 10 atau 20 riyal…lebih. Jika mereka perlukan bantuan lain, akan saya hulurkan dengan ikhlas.
Bagaimanapun, saya tidak menceritakan apa yang berlaku kepada sesiapa termasuk kawan-kawan rapat. Tiba di Mina, saya terus melakukan sembahyang istikharah memohon petunjuk daripada Allah.
Dengan kehendak-Nya, malam itu saya bermimpi di kunjungi oleh seorang lelaki pertengahan usia. Wajah dan perwatakannya hampir sama dengan seorang imam yang saya kenal rapat di Malaysia. Raut wajahnya amat bersih. Katanya, “Nal, kita tunai haji ni mesti dengan ikhlas. Jangan buat perkara-perkara tidak senonoh, jangan takbur, jangan ambil hak orang.”
Selesai berkata demikian, lelaki itu ghaib. Serentak dengan itu juga saya terjaga. “Masya-Allah, aku bermimpi rupanya,” kata saya sambil meraup muka. Mimpi yang ringkas itu menyedarkan saya bahawa bala yang berlaku ke atas diri saya memang ada kaitannya dengan kesilapan saya mengambil wang yang di jumpai dan memberi sedekah dengan tidak ikhlas kepada keluarga lelaki miskin itu. Rasa kesal kian bergelodak di jiwa.
Apabila kembali ke Makkah semula, saya segera menemui seorang ustaz dari Malaysia. “Ustaz, kenapa perkara ini jadi pada saya?” “Awak ada sakiti hati orang? Takbur? Atau kesilapan-kesilapan lain? tanya ustaz itu kembali.
“Sepanjang ingatan saya, tidak ada, kecuali…,”kata saya sambil menceritakan apa yang telah berlaku. “Saya yakin, itulah puncanya. Sepatutnya apabila terjumpa wang itu, kamu sedekahkan semuanya. Tukarkannya kepada wang paling kecil, sedekah kepada fakir miskin. Haram kamu ambil wang itu,” ujarnya.
Selepas perbincangan itu, saya tukarkan kesemua wang berkenaan kepada lima riyal dan sedekahkan kepada fakir miskin yang banyak di sekitar Masjidilharam dengan ikhlas dan rasa puas.
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Siapa yang memungut barang hilang, maka dia itu bersalah selama dia tidak mengumumkannya.
Daripada Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Hai manusia! Bertaubatlah kamu semua kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya seratus kali sehari.
