Saturday, August 7, 2010

MIMPI YANG MENGINSAFKAN

Seperti lazimnya, pagi itu saya ke Masjidilharam untuk bersembahyang subuh. Kemudian saya menunaikan pula sembahyang sunat, seterusnya berzikir dan berdoa mengucap syukur kepada Illahi kerana memberi peluang kepada saya menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci ini.


“Tanpa kehendak-Mu ya Allah, tidak mungkin aku dapat menjejakkan kaki di sini. Di hadapan Kaabah-Mu ini, aku memohon keampunan kerana kerap melalaikan suruhan-Mu.”


Suara jemaah membaca ayat-ayat suci Al-Quran, kekusyukan mereka melakukan tawaf serta keindahan Kaabah yang tersergam membuat hati saya bertambah sayu. Terasa sungguh akan kebesaran-Nya.


Matahari kian meninggi. Saya berdiri dan mengucapkan kesyukuran di atas nikmat Allah. Namun ketika hendak melangkah meninggalkan masjid, tiba-tiba kaki saya tersepak sesuatu. Lantas saya mengambil dan membeleknya.


“Eh, ni uncang duit ni,” kata saya. “Siapa punya yang tertinggal ni?” Saya membuka uncang tersebut dan melihat kandungannya. Benar seperti yang di duga. Uncang itu berisi wang. Saya mengira wang tersebut. Kira-kira 700 riyal kesemuanya.


“Nak buat macam mana ni?” kata saya sendirian. “Ini bukan wang aku.” Saya terus berfikir. Namun syaitan itu berada di mana-mana. Ia sentiasa saja mencari ruang untuk menyesatkan manusia. Alangkah lemahnya keimanan saya. Dalam masa berfikir itu, hati muda saya terpengaruh dengan bisikan syaitan. Biarpun baru sahaja selesai bersembahyang dan Kaabah tersergam di hadapan mata, tetapi perasaan tamak menyelinap masuk ke hati. Bergelodak mengapikan supaya saya mengambil wang yang bukan milik saya itu.


“700 riyal!. Wow! Boleh juga buat belanja. Kalau aku ambil pun bukan ada yang tahu,” kata saya sambil menoleh ke kiri dan kanan bagi memastikan tiada siapa yang menyedari apa yang sedang saya lakukan. Saya tersenyum sendirian.


“Benar, memang tiada siapa yang melihatnya, tapi saya lupa bahawa ada yang sedang memerhati. Dia adalah Allah yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Dengan melupakan soal dosa, saya memasukkan wang itu bagi tujuan menjadikan sebagai hak milik saya.


“Aku bukan mencuri, aku jumpa. Lagipun macam mana nak cari tuannya,” kata hati saya. Memang hati saya berdebar, tetapi nafsu tamak sudah tidak mampu di kawal lagi. Api kejahatan yang di nyalakan oleh syaitan telah membakar hati hingga akhirnya saya lupa kepada dosa dan pahala, yang makruf dan yang mungkar.


Sebelum berjalan balik ke tempat penginapan, sekali lagi saya tunaikan sembahyang sunat. Bagaimanapun, selesai sahaja memberi salam, seorang lelaki tua yang amat daif keadaannya datang menghampiri saya. Pakaiannya lusuh, badannya kurus dan menyedihkan. Matanya memandang saya dengan penuh harapan. Keadaan dirinya yang menyedihkan, benar-benar menunjukkan bahawa dia telah melalui situasi yang amat sukar sebelum bertemu dengan saya.


“Encik, tolonglah bantu saya,” katanya sambil menghulurkan kedua-dua tangan meminta belas ihsan saya, Wajahnya jelas memancarkan kesedihan yang di tanggung. Saya Cuma mendiamkan diri, malah berasa terganggu dengan kehadirannya itu. Bagi saya, dia cumalah orang yang malas bekerja tapi mahu mencari wang dengan cara mudah iaitu meminta sedekah.


“Tolonglah saya encik, saya dari Pakistan, kerja pembantu makmal, saya datang sini nak kerjakan haji dan saya bawak anak isteri sekali,” katanya memperkenalkan diri tanpa di minta. Bagaimanapun, jelas lelaki itu, wang dan beg pakaiannya hilang menyebabkan dia sekeluarga terkontang-kanting tanpa haluan. Mereka tidur di mana yang sempat dan makan dengan belas ihsan orang lain.


Saya masih mendiamkan diri, enggan menjawab walau spatah pun perkataan. Saya rasa terganggu dengan kehadirannya. Apatah lagi kedatangannya untuk meminta wang dari saya. Kenapa cari aku? Cari lah orang lain.


“Encik, sedekahlah sedikit kepada saya. Diri saya ni tak kisah, tapi kasihanilah kepada anak-anak saya,” katanya lagi sambil menunjukkan dua anaknya yang saya lihat sungguh menyedihkan. Pakaiannya kotor dan muka comot. Begitu juga isterinya. Raut wajah mereka menggambarkan kesedihan yang amat sangat. Dari mata mereka yang lesu, jelas mereka merayu meminta simpati daripada saya.


Tetapi ketika itu saya terlupa kepada makna sedekah ikhlas. Dengan hati yang berat saya hulurkan 10 riyal kepada lelaki berkenaan. Wang itu bukanlah daripada wang yang di jumpai tapi dari kocek baju saya sendiri.


“Terima kasih tuan, terima kasih, terima ksih,” katanya sambil meraup wajah dengan kedua-dua belah tapak tangan. Dia kelihatan amat bersyukur dengan pemberian saya yang sedikit itu. Air matanya mengalir tanda gembira. Anak-anak dan isterinya juga seronok bukan kepalang. Sambil tersenyum tawar, saya tinggalkan mereka di situ.


Sambil berjalan pulang, saya mengeluh kerana telah menghulurkan 10 riyal. Baru terjumpa wang, terpaksa pula keluarkan sedikit untuk orang yang tidak saya kenali. Biarpun demikian, sebagai seorang manusia, tidak dapat di nafikan jauh di sudut hati saya berkata-kata sendirian. Apa yang dapat mereka beli dengan wang 10 riyal? Mungkin pagi itu mereka boleh bersarapan ala kadar, tetapi bagaimana pula dengan tengah hari? Petang? Malam?, keesokkan harinya?.


Persoalan-persoalan itu timbul di fikiran saya tapi saya persetankannya. Bagi saya itu bukanlah masalah saya. Mereka boleh minta sedekah dengan orang lain malah boleh mendapat lebih banyak wang lagi. “Entah-entah mereka tu berlakon saja,” kata saya.


Satu atau dua hari kemudian saya ke Mina untuk melontar jamrah. Tetapin sebaik sahaja melontar batu terakhir di Jamratul Aqabah, tiba-tiba sebiji batu tepat di kepala saya. Sakitnya bukan kepalang. Lantas saya tekup dengan tangan. Ada cairan di tangan saya.


Lalu saya melihatnya. Darah! Kepala saya berdarah. Ia kemudiannya meleleh dan mengalir laju membasahi dahi seterusnya bahagian kanan muka. Saya pegang luka di kepala, pedih. Ada luka kira-kira satu sentimeter panjangnya di situ. Darah kian banyak membasahi muka.


Dalam mengeluh kesakitan itu serta merta tergerak di hati saya, inilah balasannya mengambil benda yang bukan hak saya. Wajah lelaki, isteri, dan dua anaknya yang dating meminta sedekah terbayang di fikiran saya. Bagaimana agaknya mereka sekarang? Sudahkan mereka makan? Dimana mereka tidur semalam? Laparkah mereka? Ohh… kesal sungguh saya kerana membiarkan mereka melarat.


Sambil berjalan, saya mengelap muka dengan kain ihram. Kain yang tadinya putih bertukar merah. Mungkin balasan Allah. Dalam keadaan semua orang sibuk melontar jamrah, tidak ada sesiapa pun yang menghiraukan apa yang berlaku kepada saya. Walaupun muka saya di selaputi darah yang masih belum berhenti mengalir sementara kain ihram pula di penuhi tompokan darah namun tiada tangan yang datang membantu.


Dalam keadaan begitu, sekali lagi ingatan saya berputar kepada keluarga lelaki berkenaan. Jika sebelum ini saya tidak menghiraukan kehadiran orang yang memerlukan bantuan, kini saya pula berada dalam kedudukan mereka.


Maha suci Allah, mengapakah tidak ada sesiapa pun yang menghiraukan kesakitan yang saya alami ini? Tidakkah mereka Nampak muka saya di penuhi darah? Tidakkah mereka Nampak? Ya-Allah, ampunilah hamba-Mu ini. Hati saya mula terasa sebak.


Hajat untuk bertahalul dengan membotakkan seluruh kepala selepas melontar jamrah, saya batalkan. Saya Cuma menggunting tiga helai rambut sebagai syarat. Kemudian kami bertolak ke Mina.


Sejak peristiwa itu hinggalah dalam perjalanan dengan bas menuju Mina, saya termenung seorang diri. Kejadian itu benar-benar menyentuh perasaan saya. Kesilapan mengambil wang yang bukan milik saya dan member sedekah dengan tidak ikhlas kepada orang yang dalam kesusahan segera bermain dalam kotak fikiran.


Alangkah berdosanya saya ketika itu. Begitu ramai orang melontar, kenapa saya yang menjadi mangsa? Rasa bersalah kian memuncak di dalam hati. Sekali lagi saya menadah tangan memohon keampunan Ilahi. Di dalam hati, saya berazam, jika terjumpa lelaki berkenaan dan anak-anak serta isterinya, akan saya hulurkan lagi wang yang saya miliki. Bukan 10 atau 20 riyal…lebih. Jika mereka perlukan bantuan lain, akan saya hulurkan dengan ikhlas.


Bagaimanapun, saya tidak menceritakan apa yang berlaku kepada sesiapa termasuk kawan-kawan rapat. Tiba di Mina, saya terus melakukan sembahyang istikharah memohon petunjuk daripada Allah.


Dengan kehendak-Nya, malam itu saya bermimpi di kunjungi oleh seorang lelaki pertengahan usia. Wajah dan perwatakannya hampir sama dengan seorang imam yang saya kenal rapat di Malaysia. Raut wajahnya amat bersih. Katanya, “Nal, kita tunai haji ni mesti dengan ikhlas. Jangan buat perkara-perkara tidak senonoh, jangan takbur, jangan ambil hak orang.”


Selesai berkata demikian, lelaki itu ghaib. Serentak dengan itu juga saya terjaga. “Masya-Allah, aku bermimpi rupanya,” kata saya sambil meraup muka. Mimpi yang ringkas itu menyedarkan saya bahawa bala yang berlaku ke atas diri saya memang ada kaitannya dengan kesilapan saya mengambil wang yang di jumpai dan memberi sedekah dengan tidak ikhlas kepada keluarga lelaki miskin itu. Rasa kesal kian bergelodak di jiwa.


Apabila kembali ke Makkah semula, saya segera menemui seorang ustaz dari Malaysia. “Ustaz, kenapa perkara ini jadi pada saya?” “Awak ada sakiti hati orang? Takbur? Atau kesilapan-kesilapan lain? tanya ustaz itu kembali.


“Sepanjang ingatan saya, tidak ada, kecuali…,”kata saya sambil menceritakan apa yang telah berlaku. “Saya yakin, itulah puncanya. Sepatutnya apabila terjumpa wang itu, kamu sedekahkan semuanya. Tukarkannya kepada wang paling kecil, sedekah kepada fakir miskin. Haram kamu ambil wang itu,” ujarnya.


Selepas perbincangan itu, saya tukarkan kesemua wang berkenaan kepada lima riyal dan sedekahkan kepada fakir miskin yang banyak di sekitar Masjidilharam dengan ikhlas dan rasa puas.


Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

Siapa yang memungut barang hilang, maka dia itu bersalah selama dia tidak mengumumkannya.

Daripada Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

Hai manusia! Bertaubatlah kamu semua kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya seratus kali sehari.


Di ceritakan oleh Haji Zainal b. Abd. Ghani dari Tadmansori Travel and Tours Sdn. Bhd. dan di petik dari buku Koleksi Cerita Misteri Manusia Aneh Di Tanah Suci.

No comments:

Post a Comment