Sunday, August 29, 2010

DOA YANG MUSTAHIL...

Selepas lama menunggu, akhirnya bas yang kami nanti-nantikan sampai. Saya segera mengambil tempat duduk di dalam bas berkenaan. Destinasi kami ialah Tan’im untuk melakukan umrah.

Sambil merehatkan badan di kerusi, saya menyapa seorang lelaki yang duduk di kerusi sebelah saya. Usianya dalam lingkungan 50-an, berwajah lembut, tetapi dari cara perawakkannya yang bersopan santun, dia kelihatan seperti berasal dari kawasan pedalaman.
“Apa khabar,” kata saya.

“Baik pak. Bapak pula bagaimana?” jawabnya dalam loghat Indonesia.

Daripada perkenalan itu, lelaki berkenaan memberitahu bahawa namanya Hardjo dan berasal dari sebuah kampung di Jawa Timur, Indonesia. Hardjo datang bersama isterinya dan ini merupakan kali pertama mereka menjejakkan kaki ke tanah suci. Kerana itulah dari tadi saya lihat mereka berdua kerap tersenyum dan ketawa sambil tidak sudah-sudah melihat pemandangan di kiri dan kanan jalan.

Kami terus berbual dan menceritakan serba sedikit latar belakang masing-masing. Menurut Hardjo, beliau bekas tentera dan tinggal di sebuah kampung yang jauh di pedalaman, justeru itu dia cuma bekerja kampung dengan upah yang cukup-cukup untuk menampung mereka anak-beranak.

“Kalau wang cukup-cukup saja, macam mana awak boleh pergi haji? Bukan seorang, tapi berdua pula,” kata saya. Memanglah jika difikir secara logik, mana mungkin seorang yang bekerja kampung boleh pergi bersama isterinya untuk menunaikan haji. Sedangkan orang bergaji empat angka pun belum tentu mempunyai wang simpanan sebanyak itu, inikan pula yang bekerja secukup makan.

Apabila diajukan soalan itu, Hardjo tersenyum sahaja. Dia merenung saya. Kemudian ke arah isterinya yang saya lihat juga sedang tersenyum. Mereka tidak bercakap sepatahpun. Reaksi mereka itu menyebabkan naluri ingin tahu saya kian membuak.

“Beritahulah kepada saya. Kita kini menjadi tetamu Allah, saya rasa tak ada apa yang hendak disembunyikan. Tambahan pula tentang perkara-perkara yang baik,” kata saya.

Sambil tersenyum dia berkata, “Ustaz…kalau saya beritahu mungkin ustaz tak percaya.”

“Ceritakan saja,” balas saya.

“Kalau boleh memang saya tak mahu ceritakan, tapi sebab ustaz hendak tahu sangat…bolehlah. Tapi janganlah pula lepas itu ustaz kata saya riak,” katanya. 

Hardjo memulakan ceritanya. Menurut lelaki itu, selepas bersara daripada tentera, ketika usia pertengahan 50-an, dia pulang ke kampungnya. Dengan tenaga yang masih ada, dia mengerjakan tanah kebunnya yang sekangkang kera.

Disamping itu Hardjo juga menjadi penjaga surau di kampungnya. Jika di sini di panggil tok siak. Bagaimanapun, tidak seperti di Malaysia. Hardjo tidak dibayar upah mahupun elaun bagi kerja-kerja yang dilakukannya itu.

“Tidak mengapa. Saya pun lakukannya dengan ikhlas., bukan kerana wang. Saya sayangkan agama saya,” kata Hardjo apabila saya bertanya tentang perkara itu. Saya terus tekun mendengar ceritanya.

Hardjo menyambung. Katanya setiap hari, dia akan pergi ke surau berkenaan untuk membersihkan sampah dan habuk, membuka pintu yang berkunci dan mengunci pintu dan tingkap yang ditinggalkan jemaah, menyusun kitab suci al-Quran, surah Yassin serta buku-buku dan sebagainya. Jika ada rumput dan lalang yang tumbuh liar dia juga akan segera memotongnya.

Itulah yang dilakukannya sejak beberapa tahun iaitu semenjak bersara daripada tentera. Dalam tempoh itu Hardjo tidak pernah mengeluh kerana tidak dibayar upah. Malah Hardjo berasa semakin seronok kerana saban hari dia merasakan keimanannya bertambah tebal. Biarpun mempunyai asas agama yang baik, pernah belajar di pesantren dan rajin beribadah tapi dengan menjadi penjaga surau, kata Hardjo, ia dapat mengukuhkan lagi ketakwaannya kepada Allah.

Namun demikian, tambah Hardjo, ada suatu perkara yang amat dia sensitif. Berita penduduk kampung hendak berangkat menunaikan haji atau umrah. Apabila terdengar sahaja ada orang yang hendak ke Mekah, hatinya serta merta menjadi amat gelisah, sayu dan sebak.

“Saya sering menangis apabila terdengar berita seperti itu kerana saya begitu kepingin untuk ke sana. Itulah doa saya setiap kali lepas sembahyang, dari bujang hinggalah sampai beranak-pinak. Tapi dengan pendapatan saya yang cuma secukup makan, saya tahu tidak mungkin hasrat saya itu akan terkabul,” katanya lagi.

Menyedari kesempitan hidupnya itu, setiap kali ada orang kampungnya hendak berangkat ke Mekah, Hardjo akan segera menemui mereka. Sebaik bertemu mereka, Hardjo akan menangis memohon ampun dan maaf atas kesilapan yang mungkin telah dilakukannya.

Selain itu dia meminta mereka supaya berdoa di hadapan Kaabah dan memohon kepada Allah agar melimpahkan rezeki kepadanya hingga dapat ke Mekah juga. Bagi hardjo, cuma itulah saja yang mampu dilakukannya kerana sehingga meninggal dunia pun dia tidak akan mampu mengumpul wang untuk ke Mekah.

“Kerana kemiskinan, itulah saja yang dapat saya lakukan. Balik dari rumah mereka, saya terus juga bermohon kepada Allah supaya suatu hari nanti menjemput saya pula menjadi tretamunya,” tambahnya.

“Malah kalau ada orang di kampung lain yang hendak ke Mekah, saya juga akan menemui mereka. Tak kira walau jauh macam manapun, saya pasti akan ke rumah mereka. Saya bukan hendak makan kenduri, tapi cukuplah kalau dapat sampaikan pesan supaya apabila tiba di Mekah nanti mereka mendoakan saya juga akan dapat ke Tanah Suci. Itu saja.”

Itulah satu-satunya cita-cita Hardjo. Biarpun bertahun-tahun berdoa, hajatnya itu masih tidak tercapai. Namun Hardjo tetap tidak berputus asa.

Allah Maha Mengetahui. Ketika sibuk menjaga surau berkenaan, tanpa dia sedari, rupa-rupanya ada seorang hartawan yang tertarik dengan keikhlasan dirinya itu. Beberapa kali hartawan itu singgah bersembahyang di surau berkenaan. Setiap kali kesana, dia pasti melihat Hardjo sedang sibuk beribadah dan menjaga surau. Bagaimanapun mereka tidak berbual panjang.

Suatu hari hartawan itu datang lagi ke surau itu dengan kereta mewahnya. Selepas bersolat, dia memanggil Hardjo. Dari situ mereka mengenali antara satu sama lain. Bermula dari situlah, hartawan berkenaan bertanya kepada Hardjo tentang kerjanya menjaga surau itu.

Lantas saya katakan bahawa sejak bertahun-tahun saya menjaga surau itu saya tidak dibayar walau sesen pun upah, tapi saya lakukan dengan ikhlas,” katanya lagi.

Hartawan tersebut termenung. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang di ceritakan oleh Hardjo kerana sepanjang hidupnya, belum pernah dia mendengar seorang yang miskin tetapi sanggup melakukan kerja tanpa mendapat upah.

“Sudah ke Mekah?” tanya hartawan itu lagi.

“Waduh…sudah tentu belum. Saya memang kepingin benar untuk kesana.” Kata Hardjo lalu memberitahu dengan jujur berhubung cita-citanya itu; tentang doanya sejak bujang hinggalah sekarang, tentang kesanggupannya menemui orang yang hendak ke Mekah walau jauh sekalipun mereka tinggal dan tentang doanya setiap kali selesai bersolat.

Hartawan itu termenung dan mengangguk-angguk perlahan. Selepas berborak panjang, hartawan itu meminta diri dan Hardjo pula pulang ke rumahnya. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian hartawan itu datang semula ke surau berkenaan. Dipanggilnya Hardjo dan mereka duduk di satu sudut.

“Hardjo, kamu kepingin benar ke mekah. Betul tak?” soalnya.

“Ya pak,” jawab Hardjo ikhlas.

“Kalau begitu, ambil wang ini dan bawalah isteri kamu ke Mekah. Ambillah, ikhlas daripada saya,” kata hartawan itu sambil menghulurkan sekepuk wang.

Apabila mendengar kata hartawan itu, Hardjo terpaku seolah-olah tidak percaya. Dia rasa macam bermimpi. Tidak pernah saya menduga bahawa doa saya sejak bertahun-tahun lamanya itu dikabulkan Allah dengan cara sedemikian…terlalu mudah. Saya betul-betul terkejut. 

“Sebelum orang kaya itu meninggalkan surau, kami berpelukan. Saya menangis dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepadanya. Jawab orang kaya itu, ia adalah rezeki Allah untuk saya dan isteri. Dengan wang itulah saya sampai ke sini dan kita berkenalan.” Kata Hardjo sambil tersenyum. Begitu juga dengan isterinya.

Saya termenung mendengar ceritanya itu. Dalam hati saya berkata, itulah balasan keikhlasan, kesabaran dan ketakwaaan kita kepada Allah. Dengan bekalan itulah sesuatu yang mustahil boleh berlaku. Saya juga bersyukur kerana ada hartawan yang sebegitu pemurah, yang tahu hak orang miskin terhadap sebahagian daripada hartanya.

Bas terus bertolak hingga kami sampai ke Tan’im. Di sana kami melakukan umrah sebelum kembali ke Mekah dengan bas yang sama. Hingga di situ sahaja perkenalan kami. Kami berpisah ke tempat penginapan masing-masing, tetapi cerita Hardjo itu memberi iktibar yang amat mendalam di hati saya.

Daripada Ibnu Abbas, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang miskin. Dan aku lihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi dosa, atau memutus silaturrahim dan selama tidak minta cepat-cepat diperkenankan.” Lalu ditanya orang,” Apa maksudnya minta cepat-cepat?” jawab baginda ”umpamanya seorang berkata dalam doanya,” Aku telah mendoakan. Aku telah mendoa tapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu dia putus asa dan berhenti berdoa.

Diceritakan oleh:
Ustaz Mohamad Din Yusoh
Dari Utas Travel & Tours Sdn. Bhd.
Di petik dari buku koleksi cerita misteri
Manusia Aneh di Tanah Suci

No comments:

Post a Comment