Sunday, August 22, 2010

DI MANA EMAK?

Pagi itu, selepas para jemaah umrah yang kami bawa menziarahi di Masjid Nabawi, Madinah, seorang daripada mereka tergesa-gesa datang menemui saya. Wajahnya cemas. Peluh memercik di dahi dan badannya. Ketika itu pukul 9 pagi dan pada bulan Ramadan.

“Tuan haji, emak saya hilang. Lepas ziarah makam nabi, terus tak jumpa lagi,” katanya. Lelaki tersebut seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kerap menunaikan haji dan umrah. Dua kali saya membawa jemaah mengerjakan umrah, dua kali itulah dia menyertai kami. Bagaimanapun, pada tahun itu dia membawa ibu dan beberapa orang lagi ahli keluarganya. Walaubagaimanapun, keadaan ibunya yang agak uzur, dia terpaksa berjalan dengan bantuan tongkat.

“Tolonglah kami cari emak saya tuan haji,” katanya lagi. Dengan bantuan keluarganya dan beberapa kakitangan syarikat, kami mencari wanita tersebut di sekeliling Masjid Nabi. Setiap inci ruang masjid berkenaan kami teliti, begitu juga di celah-celah orang ramai yang menziarahinya, tapi tidak juga berjumpa.

Letih mencarinya, kami berehat sebentar. Kemudian mencari lagi hinggalah waktu zuhur. Bagaimanapun, kerana kami lelaki, kami tidak dapat mencari wanita itu di ruang sembahyang jemaah wanita. Jadi kami menunggunya di luar pintu jemaah wanita keluar. Tetapi hinggalah habis jemaah wanita keluar, ibu sahabat saya tadi tidak juga kelihatan. Lantas kami mencarinya di sekeliling masjid pun tidak ketemui.

Begitulah yang berlaku hinggalah asar menjelang. Ketika itu letihnya kami cuma Allah sahaja yang tahu. Entah berapa kali telah kami kelilingi masjid itu, dan entah berapa banyak peluh yang telah keluar, namun wanita berkenaan tetap tidak dijumpai. Kaki dan seluruh badan rasa amat lenguh. Tambahan pula ketika itu kami semua berpuasa.

Kerana tidak tahu apa lagi yang harus di buat, saya berjumpa dengan Haji Nasron, ketua mutawif syarikat di tanah suci. Beliau telah berpuluh tahun menetap di Makkah, banyak pengalaman dan telah mengendalikan pelbagai masalah.

“Walau apapun terjadi, engkau kena cari dia Mid. Engkau yang bawa dia. Itu tanggungjawab kau,” kata Haji Nasron. Benar, memang itu tanggungjawab saya.

Saya mencari pula dibalai polis kalau-kalau nama wanita itu tersenarai dalam laporan orang hilang yang telah dijumpai. Tapi tiada. Saya bergegas ke hospital kerana ada yang mengatakan ternampak seorang wanita diusung dan dibawa ke hospital. Tapi rupa-rupanya bukan wanita itu yang dimasukkan ke hospital, orang lain.

Maghrib menjelang dan saya berehat sebentar untuk berbuka puasa dan sembahyang. Badan sudah terlalu letih. Tapi selepas itu saya pusing lagi masjid tersebut sebanyak empat kali hinggalah sampai selesai sembahyang tarawikh. Lebih kurang pukul 11 malam. Ketika itu timbul rasa putus asa di hati saya.

“Tak tau dah nak buat macam mana lagi. Semua tempat saya dah cari,” kata saya kepada anak-anak wanita itu. Mereka menangis, sedih kerana ibu mereka uzur. Jika dia hilang, tentulah lebih teruk jadinya. Membuat ibadah dan sembahyang pun tidak khusyuk lagi kerana fikiran mereka sentiasa teringatkan ibu.

Saya juga termenung. Sambil itu mengelap muka dan badan yang dibasahi peluh. Dalam kekalutan itu, doa Nabi Adam berwasilahkan Nabi Muhammad s.a.w tiba-tiba terlintas di fikiran saya. “Kenapalah aku tidak berdoa seperti yang Nabi Adam buat. Sedangkan dia nabi pun berdoa, inikan pula aku yang cuma hamba Allah biasa, “ kata hati saya.

Tidak semena-mena timbul rasa yakin dalam diri saya bahawa tidak lama lagi saya akan menemui wanita tersebut. Lantas saya ambil wuduk dan terus memasuki masjid melalui pintu Babussalam yang sebelum itu ditutup.

Di makam Nabi, saya membaca doa berkenaan dan dengan hati ikhlas saya bermohon kepada Allah supaya menemukan kami dengan wanita itu. “Ya Allah, temukanlah aku dengan jemaah aku itu sebab hamba-Mu ini sudah tidak terdaya lagi hendak mencarinya. Hamba-Mu ini telah terlalu penat,” demikian antara lain doa saya ketika itu.

Selepas sembahyang sunat, saya keluar dari Babussalam menuju ke ruang berhampiran makam Rasulullah di luar masjid. Tiba di sana, saya terpandang seorang wanita bertongkat sedang duduk di lantai seorang diri.

“Masya-Allah, mak cik!,” kata saya separuh menjerit. “Sudah lamakah mak cik tunggu kami?” Tanya saya. “Sejak pagi lagilah,” katanya perlahan. “Setiap kali lepas sembahyang mak cik duduk sini, tunggu kamu semua tapi tak ada seorang pun yang datang cari mak cik. Penat sungguh dah mak cik ni menunggu. Kenapa tinggalkan mak cik seorang diri?”

Jawapannya itu menyebabkan saya terpegun. Pertama, begitu cepat makbulnya doa yang saya pohonkan kepada Allah. Lebih 12 jam kami mencari, tapi cuma beberapa minit selepas berdoa, terus Allah pertemukan saya dengan wanita itu.

Kedua, jawapan wanita itu menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada kami. Sejak pagi lagi kami mencarinya, dan entah berapa kali kami lalu ditempat dia menunggu, tapi langsung tidak terpandang dirinya. Bagi saya jika mengikut logik akal, adalah mustahil kami tidak melihatnya duduk di situ sedangkan kami melalui tempat itu mungkin lebih 10 kali, terutamanya selepas sembahyang.

Saya bawa wanita itu balik ke penginapannya. Tiba di sana mereka sekeluarga berpeluk-pelukan dan menangis teresak-esak. Begitu juga saya. Bermacam-macam timbul di fikiran saya, terutamanya tentang wajarnya kita tidak melupakan Rasulullah.

Wahai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah; kerana sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.

Surah Yusuf 13 : 87

Daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Bahawasanya Nabi s.a.w berdoa ketika susah: Laailaaha illalalahul’azhimul halim, laa ilaha illallahul rabbul ‘arsyil ‘azhim, laailaaha illallahu rabbussamaawaati wa rabbul ardhi, wa rabbul ‘arsyil karim (Tidak ada tuhan selain Allah yang Maha Agung lagi Maha Penyantun. Tidak ada Tuhan selain Tuhan Arasy yang agung. Tidak ada Tuhan selain Allah, Tuhan langit dan bumi dan Tuhan Arasy yang mulia.

Diceritakan oleh :

Haji Abdul Hamid Mohamad
KSB Travel and Tours Sdn. Bhd.

Dipetik dari Buku Koleksi Cerita Misteri
Manusia Aneh Di Tanah Suci.

No comments:

Post a Comment