Tuesday, August 26, 2014

XPDC LAUT DALAM 2014, TG. LUMPUR, KUANTAN....

Sepatutnya kami dah pergi memancing bulan April dulu, tapi disebabkan ramai ahli yang sibuk dengan tugas dan ramai pulak yang bagi idea dan pendapat supaya kami cuba di tempat lain, maka program memancing yang telah lama dirancang terpaksa ditangguhkan dulu sehingga satu keputusan dicapai. Apa yang penting, keputusan yang dibuat biarlah semua ahli berpuashati, barulah kami enjoy dan happy dalam menjalankan setiap aktiviti berkumpulan. Sapa yang banyak songeh, boleh good bye...hee...hee...heee...

Ada yang kata, kita dah dua kali ke Terengganu, kali ni kita pergi sebelah Pahang atau Johor la pulak. Takkan nak promosi Ganu jer, negeri lain pun nak jugak promosi. Bagi pihak kami, ianya tak dak masalah...yang masaalahnya ialah di pihak Kerajaan Negeri tu sendiri, kalau iapun nak suruh kami promosi, bagilah sponsor sikit, kami punya team ni bukan calang-calang punya team, dah terkenal seluruh dunia...Kalau tak percaya tengok baju T yang kami pakai, Syarikat PENN yang sponsor. Kalau nak tau, PENN adalah satu jenama alat pancing yang sangat terkenal, kami rasa bangga apabila dapat menyarung baju T dengan lambang PENN tersebut.

Selain Terengganu, Pahang, Johor dan Perak, kami ada jugak cadangan nak pergi memancing di Sabah pada tahun depan....bagi kami, duit tak dak masalah sebab kami dah menabung dari semenjak tertubuhnya Team Joran ni iaitu kira-kira 4 tahun lalu. Dengan pengalaman yang ada, rasanya cukuplah untuk kami memberi cabaran di perairan Sabah pulak...Kata orang memancing di perairan Sabah lebih mencabar dan pulangannya sangat lumayan, Khazanah lautnya dikatakan bernilai tinggi. Itu yang buat kami teruja sangat nak pergi memancing di Sabah. 

Tapi yang jadi masalahnya, takut boss kami pulak tak luluskan cuti serentak. Kalau kami cuti serentak,  Operasi Syarikat boleh lumpuh sepenuhnya. Apa taknya, kami semua adalah pakar perancang dan pencetus idea dalam menjana keuntungan Syarikat. 

Kalau semua nak tau, ahli Team Joran, kebanyakannya duduk di Bahagian penting dalam syarikat. Ada yang bertugas di Bahagian Perancang Korporat, Bahagian Kewangan Korporat, Akaun Kilang, Pembangunan Ladang, Pejabat Setiausaha Syarikat, Jabatan Undang-Undang, Bio Technology, Pembangunan Ladang dan aku sendiri di Bahagian Inspektorat iaitu satu Bahagian yang bertanggungjawab dalam memastikan semua SOP yang ditetapkan oleh Pihak Pengurusan terhadap ladang syarikat di seluruh Negara dipatuhi. Kalau staf gagal dan menyeleweng, bonus 6 bulan yang Chairman dah umumkan dalam Majlis Sambutan Hari Raya baru-baru ini akan dipotong atau tak di bayar langsung kepada mereka. 

Kepada mereka-mereka yang nak berkenalan dengan kami, gambar-gambar kami ada kat bawah tu, pilih lah yang mana berkenan di hati. Dan yang lebih istimewanya, ada sorang tu berjawatan Pengurus Car Wash FB. Sapa nak cuci kereta bolehlah berjumpa beliau, untuk staf, harganya sangat murah atau separuh dari harga cuci kereta di luar. Begitu lah serba sedikit latar belakang kami yang menganggotai Team Joran ini. 

Ok, berbalik cerita program kami tadi. Kata putus dah capai, tarikh dan tempat dah ada, tarikhnya ialah pada 23 hingga 24 Ogos 2014 dan tempatnya ialah di Tg. Lumpur, Kuantan, Pahang. Kenderaan ada tiga buah, rasanya cukuplah untuk membawa kami seramai sepuluh orang.

Masanya dah tiba, tepat pada jam 2 pagi pada 23 Ogos 2014, kami seramai sepuluh orang sudahpun berkumpul di perkarangan Ibu Pejabat, Kuala Lumpur, selepas membahagikan beberapa peralatan serta bekalan makanan yang hendak dibawa, kami terlebih dahulu mengadakan sessi bergambar dan diakhiri dengan bacaan doa memohon restu ke hadrat Allah Subhanahuwataala supaya perjalanan kami selamat pergi dan selamat kembali. Perjalanan ke Jeti Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang akan mengambil masa selama lebih kurang 4 jam melalui Lebuhraya Karak. 

Pasukan kami tiba di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada jam 5 pagi. Sementara menanti azan Subuh pada jam 5.50 pagi nanti, kami mengambil kesempatan untuk melelapkan mata sebentar di dalam kereta. Apabila azan Subuh telah dikumandangkan, kami pun bersolat Subuh secara berjemaah dengan jemaah yang terdiri dari penduduk tempatan.

Ketibaan kami di Jeti Tg. Lumpur disambut oleh Abg Halim yang bertugas di Pejabat PBW Pahang. Sepanjang program memancing selama 2 hari 1 malam ini, beliau yang akan guide kami nanti dalam boat no. 1 manakala seorang lagi iaitu Zamaruddin yang juga bertugas di Pejabat PBW Pahang akan guide boat no. 2.

Selepas bersarapan pagi di Gerai Achik Patta, kamipun menuju ke Jeti Tg. Lumpur kerana 2 buah boat yang kami sewa khas telah sedia menanti. Tepat jam 9 pagi, boat pun secara perlahan-lahan bergerak meninggalkan jeti Tg. Lumpur menuju ke tengah laut yang akan mengambil masa 2 jam mula untuk memancing dan pelayaran di sambung 2 jam lagi selepas itu untuk kami terus memancing dan seterusnya berlabuh sehingga keesokan harinya.   

Saksikan gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang program yang kami namakan XPDC Laut Dalam 2014, Tg. Lumpur, Kuantan, Pahang dari 23 hingga 24 Ogos 2014.

Inilah anggota Team Joran.
Duduk barisan depan dari kiri: Ihsan (Pejabat Undang-Undang), Awie (Pejabat Setiausaha Sykt.), 
AJ (Inspektorat), Selamat (Peng. Car Wash FB.) dan Che Hashim (Bhg. Khidmat Ladang),
Barisan belakang dari kiri : Azman (Bhg. Kewangan), Lan (Perancang Korporat), Helmi (Bio Tech)
Najib (Perolehan) dan Zack selaku ketua (Akaun Kilang)...

Gerai tempat kami bersarapan pagi yang terletak 
berhampiran Jeti Tg. Lumpur...

Menikmati sarapan pagi sebelum ke laut...


Zamaruddin (kiri), staf Pej. PBW Pahang turut serta dan 
beliau mengetuai boat yang ke 2...

Bergambar ramai berhampiran jeti: Peserta boat no. 2.
Dari kiri : Ihsan, Helmi, Awie, Selamat (boat no. 1) dan Azman...
Seorang lagi yang tiada dalam gambar ialah Najib...  

Peserta di boat no. 1 : 
Dari kiri : Che Hashim, AJ, Lan dan Selamat.  
Seorang lagi yang tiada dalam gambar ialah Zack..

Boat-boat yang berlabuh di Jeti...
Harga sewanya berpatutan...

Pemancing boat no. 2 telah mengambil tempat bersama
 peralatan masing-masing dan bersedia untuk belayar...

Pemancing boat no. 1 juga telah bersedia.

Dari kiri : Che Hashim, AJ dan Abg. Din pengendali boat...

Zack (kiri) selaku Ketua Team Joran dan Abg. Halim 
yang akan guide kami dalam boat no. 1...

Boat jiran sedang belayar...


Lan yang memandu dari KL dah kepenatan dan 
mengambil peluang untuk tidur dalam boat...

Mengambil kesempatan untuk bergambar di dalam boat 
yang sedang belayar sambil menikmati keindahan laut yang tenang...
Dari kiri: Abg. Halim, Selamat, AJ dan Zack...   

Masa yang ada juga diambil untuk mengikat tali pancing...
Abg. Halim menunjukkan cara-cara mengikat tali pancing...



Selamat membetulkan jorannya sebelum memasang tali...

Boat no. 2 tak ade cameraman, jadi gambar mereka tak banyak sangat...
aku cuma mampu merakam aktiviti mereka dari jauh (zoom) jer...

Gambar mereka yang aku zoom nasib baik jelas. 
Kelihatan dari kiri: Azman, Awie, Helmi dan Najib sedang memancing...

Zack dah mula tunjuk belang. Beliau berjaya mendaratkan 
seekor ikan Ebek yang dianggarkan seberat 1/2 kilo ...


Lan dapat ikan kerisi seberat 1/2 kilo jugak...

Selamat dapat anak ikan Kerapu seberat 400 gram...

Masing-masing tunjuk aksyen kat aku...
Tak pa...tak pa...

Zack dapat sekor lagi...ikan Ebek jugak...

Ikan no. 2 Lan iaitu ikan Jemuduk...


Ikan-ikan yang ditangkap tadi dikorbankan untuk hidangan makan tengahari kami.
Masak kari dengan ikan fresh sungguh menyelerakan...

Selera aku tak dapat ditahan bila tengok Selamat makan...
Tapi aku kena sabar la sikit sebab pinggan ada 3 jer...

Bagi can la kat mereka makan dulu sebab ikan tu mereka yang tangkap...

Nganga tu tolong kecik sikit Zack takut benda lain yang masuk...

Abg. Halim melayan mata pancingnya 
yang berjaya dapat dua ekor ikan Sela Kuning...


Zamaruddin dapat ikan ke apa tu?...

Kesian boat no. 2 kerana kurang liputan untuk mereka...
Aku pun tak tau mereka ni dah makan ke belum...
Tapi kelihatannya Awie dapat tiga ekor ikan Sela Kuning...
Man (duduk) pun nampak dapat sekor ikan jugak...

Zack dah sudah makan dan sekarang nak pancing ikan lagi...

Sebenarnya aku dah dapat ikan Selar Kuning sebanyak hampir 6 ekor 
tapi nasib malang sebab machine aku patah....
Tapi tak pa sebab aku ada 1 lagi joran...

Inilah ikan Selar Kuning yang aku dapat menggunakan Apollo 
sebelum machine (gambar kat atas) tu patah...

Setakat ni dulu gambar ikan yang dapat ditangkap semuanya menggunakan Apollo, 
ikannya pula tak dak jenis lain semuanya Selar Kuning...


Pandangan T Shirt kami sebelah belakang...Modelnya Che Hashim...
 
Dalam boat no 2 ni, aku tak nampak pun Ihsan...
Dia mungkin pancing sebelah sana kot...

Helmi memberi isyarat peace...Gambar zoom...



Awie dapat empat ekor lagi ikan Selar Kuning menggunakan Apollo...

Che Hashim dapat ikan apa tu?...
Mungkin berkat doa Oya dari jauh la tu...

Dari tadi tak menang tangan kami layan ikan Selar Kuning....
banyak sungguh kami dapat...Ikan yang lain menyorok kat mana pun tak tau...

Selain ikan, Selamat juga berjaya memancing seekor sotong....

Sotong pun dah mula lapar...dah mula cari makan...

Dalam agenda kami, menangkap sotong adalah secara sambil lalu jer...
Target kami hanyalah ikan.Walaubagaimanapun rezeki 
yang Allah limpahkan kami tetap mensyukurinya...

Sekarang telah menjelang waktu malam...
Abang Halim, Lan dan Selamat menghabiskan masa dengan berbual,  
tapi aku tengok lepas tu mereka sambung memancing lagi...
Respect aku kat mereka bertiga ni...

Zack dah lama berdengkur...

Seekor ikan Pari sederhana besar yang dapat dipancing oleh Abg. Halim...

Cara AJ tunjuk tu macam dia yang tangkap...

Zack dah bangun, perut pun dah lapar...
Menu kami malam ni ialah maggie sedap la pulak....

Srup...Srup...Srup...Sedapnya makan maggie tengah panas nie...
Tapi awas jangan berlebihan...

Aku dah bertahun-tahun tak makan mee maggie...
yang menjadi ketagihan hanyalah Alicafe atau minuman 3 in 1...

Malam yang hening tadi tiba-tiba telah bertukar 
apabila hujan turun dengan agak lebat...

Kepada yang memancing terus memancing dan hasilnya Abg. Halim
 dapat seekor ikan Kacang yang dianggarkan seberat 10 kilo...
Selamat menunjukkan ikan yang Abg. Halim tangkap tadi sekitar jam 3 pagi...

Abg. Halim terus memancing dan dapat seekor sotong yang berwarna warni...

Ketika azan Subuh sedang berkumandang melalui radio yang dipasang pada jam 6 pagi, 
Masa tu lah Selamat berjaya mendaratkan seekor lagi ikan Kacang. 
Kali ini beratnya dianggarkan 25 kilo....

Zack (kiri) dan Selamat bergambar dengan ikan Kacang...

Hari telahpun siang, Abg Halim terus tak tidur 
sampai sekarang dan sedang menikmati Alicafe...

Abg Din bertanggungjawab mengemudikan boat...

Kami dah hampir nak pulang kerana jam telahpun menunjukkan pukul 12 tengahari...
Lan membantu membasuh lantai boat yang licin akibat lendir ikan dan membahayakan...

Termasuk jugak periuk nasi semalam...

Tali sauh telah dinaikkan untuk boat belayar pulang....





Inilah hasil tangkapan kami yang disimpan di dalam tong ais yang dianggarkan berat keseluruhannya hampir 300 kilo...Banyak ikan-ikan yang ditangkap tidak diambil gambarnya kerana jenis ikan yang didapati adalah sama jer yang kebanyakannya Selar Kuning. Bagi Ikan Merah, Kerapu, Pari, Tenggiri dan Haruan Tasik yang ganas semuanya dapat di tawan pada mulanya dan akhirnya gagal dinaikkan kerana ada tali pancing yang putus dan mata pancing menjadi hampir lurus akibat gigitan yang kuat semasa pertarungan untuk mendaratkannya...Gambar video akan diupload kemudian...



Ikan Jemuduk hasil tangkapan Lan...

Dua ekor lagi ikan Jemuduk yang ditangkap oleh Lan dan Zack...
Aku jadi modelnya pun dah ok...



Secara peribadinya, aku dapat 40 ekor ikan Selar Kuning melalui Apollo, 
6 ekor ikan kacang (4 ekor gambar di atas dan 2 ekor gambar di bawah)
2 ekor lagi ialah ikan Jemuduk sederhana besar seperti gambar di bawah juga...


Di saat-saat akhir, Lan dapat menaikkan seekor lagi ikan Kerapu bersaiz kecil...

Gambar di bawah pula menunjukkan semua ikan yang dipancing 
dimasukkan ke dalam beg plastik untuk diagihkan sama rata apabila tiba di jeti nanti





Helmi tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama  ikan Kacang seberat 25 kilo 
yang ditawan oleh Selamat ketika tiba di jeti sebelum ianya dikerat untuk dibahagikan...

Sebahagian ikan Selar Kuning yang berjaya dipancing...


Sebelum beredar pulang, kami bergambar ramai di jeti sebagai tanda kenang-kenangan...

Wednesday, August 20, 2014

TANAH KUBUR DAN AIR MANDI MAYAT...

Bulan Ramadhan selalu menjadi rebutan. Bukan rebutan untuk berpuasa dan pahala berganda, tetapi untuk menambahkan rezeki dengan menjalankan berbagai perniagaan kecil.

Gerai jualan di bulan puasa biasanya rapat-rapat antara satu lot dengan lot yang lain. Hendak dapatkan satu lot berniaga bukan main susah, faham-faham sajalah kerenah birokrasi yang sudah sebati di kalangan orang kita.

Apabila sudah dapat tempat berniaga, bukan masalah bagaimana hendak mempamerkan barang-barang, tetapi apakah jualan kita itu laris atau tidak? Jangan fikir berniaga perkara mudah.

Jangan fikir benda yang kita lihat pada zahirnya sahaja. Lihatlah juga di sebaliknya, terutama hal-hal yang misteri, benda-benda yang sangat digemari oleh orang kita. 

Bukan hendak bersaing di dalam perniagaan demi meningkatkan jualan, tetapi memikirkan bagaimana gerai Si Anu laris, gerai dia tidak? Apabila gerai atau kedai si Anu laris, orang berduyun-duyun datang, dalam benak fikirannya hanya fikirkan bagaimana nak habiskan gerai Si Anu

Fikiran jahat tidak mengenal bulan baik atau tidak, yang mereka fikirkan bagaimana hendak menjahanamkan perniagaan Si Anu yang asyik mendapat liputan istimewa kerana jualannya laris.

Fikiran jahat yang bermain-main di dalam benak kita ialah apa cara hendak mengatasi perniagaan Si Anu. Jumpa orang itu, jumpa orang ini. Akhirnya jumpalah penasihat yang dicari-cari.

Kata penasihat, "Kamu dapatkan tanah kubur, sebaik-baiknya kubur yang baru dikorek untuk kebumikan jenazah. Tanah kubur itu awak ambil dan taburkan di depan kedai Si Anu tu"

Kalau tak hendak tabur tanah kubur bagaimana? "Boleh juga dibungkus dicampur dengan benda yang bukan-bukan, ini nak kena tanya Tok Bomoh yang tahu, kemudian taruh di tempat tersorok depan kedai Si Anu."

Apa akan jadi dengan kedai Si Anu setelah tabur tanah kubur? "Kedai dia tu kata orang, ibarat kubur, orang tak peduli, nak lalu pun rasa takut dan seram, kuburlah katakan, yang ada hanya batu-batu nesan berceracak!"

Apa lagi selain tanah kubur? "Nah! Bukan tanah kubur sahaja, air mandian jenazah juga boleh ditadah, simpan dan siramkan di keliling atau di depan kedainya. "

Penasihat tadi memberitahu, "Setelah awak siramkan air mandi mayat di kawasan kedai dia, pasti kedai itu dah jadi macam tempat mayat. Siapa pun tak hendak pergi. Kalau lalu pun, buat tak nampak saja"

Orang berniaga memikirkan apa barang hendak ditambah dan berapa kutipan yang dapat setiap hari, tetapi Si Fulan ini asyik mengintai-intai. "Kedai Si Anu macam mana? Orang datang berduyun-duyun lagi ke? "

"Kenapa engkau nak tahu sangat hal kedai Si Anu tu?" tanya kawan di sebelah yang nampak riak wajahnya macam kerisauan. Yalah! Orang kalau sudah buat salah, walaupun yang dilakukannya secara curi-curi, tabur tanah kubur atau siram air mayat, semuanya mengganggu ketenangannya.

Kes Pertama:-

Seorang peniaga pisang goreng di Selangor. Jualan pisang goreng bukan main laris. Orang yang lalu lalang pasti singgah membeli. Tapi entah bagaimana suatu hari, pisang gorengnya tak laku, orang tak singgah membeli. Kenapa?

Selidik punya selidik, dia menemui sebuah bungkusan kain kuning, di dalamnya ada tanah dan benda-benda lain yang bernilai magis.

Kes Kedua:-

Sebuah kedai makan yang selalunya menyediakan roti canai dan teh tarik untuk sarapan pagi. Suatu hari pekedai dapati rebusan kacang dal untuk buat kuah berbuih-buih. Tepung yang diuli baru beberapa jam sebelumnya sudah masam, padahal buka kedai pukul 4.00 pagi dan tutup 4.00 petang.

Walaupun kedai dibuka, orang lalu sahaja, bahkan boleh bertanya, "Hai! Kenapa tak meniaga hari ini?" Masya-Allah! Pekedai pun pening memikirkan gelagat manusia di sekelilingnya.

Kes Ketiga:-

Peniaga nasi ayam. Nasi yang siap dimasak tiba-tiba basi dan ayam yang belum dipotong-potong sudah busuk. Mengapa? Kalau orang baru belajar berniaga tentu sudah tutup kedai atau gerai awal-awal lagi.

Kes Keempat:-

Peniaga air tauhu. Setiap hari jual air tauhu dengan menggunakan sebuah van. Selalunya laris, tetapi suatu hari, entah mengapa, tempat jualan yang dipilih itu tidak menjadi.

"Dua gelas saja yang laku hari ni bang!" keluh peniaga air tauhu itu. Padahal selalunya, air tauhu boleh habis dua tiga balang.

Kes-kes seperti inilah yang telah dikemukakan kepada Wak Dollah Saji, 54, seorang pengamal perubatan Melayu tradisional ketika kebanyakan peniaga yang bermasalah berkunjung ke rumahnya di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

"Macam-macam hal yang diadukan kepada saya oleh peniaga kecil, ada yang kata ambil plastik pembungkus di kedai dia, tapi beli kuih di gerai orang lain. Padahal sama saja kuih dia dengan kuih gerai lain. Ada yang mengadu orang tak singgah membeli macam biasa, ada yang jumpa benda berbungkus depan kedai, ada yang mengalami nasi basi, ayam busuk, air tak laku, tepung roti canai masam, kuah berbuih dan orang macam tak nampak kedai!" ujar Wak Dollah.

Bagi Wak Dollah, keempat-empat kes peniaga tadi sebenarnya ada kaitan dengan sikap orang kita yang suka bersaing dengan cara yang tak betul. Ia juga ada kaitan dengan perasaan dengki melihat orang lain maju di dalam perniagaan, sedangkan dia tidak.

Orang-orang seperti ini katanya, menggunakan cara kotor iaitu, menggunakan tanah kubur yang ditaburkan di depan tempat perniagaan atau menggunakan air mandi jenazah yang disimbah di kawasan berniaga.

"Apabila tempat itu sudah ditaburkan tanah kubur, orang akan melihat kawasan itu seperti kawasan kubur. Jadi, orang hanya lalu saja di depannya atau tak nampak kedainya. Nak singgah pun rasa lain macam saja. Begitu juga tempat yang sudah disimbahkan air mandian mayat, tempat itu dah jadi macam rumah mayat. Seram. tak dipedulikan, sudahnya. orang lalu saja, sebab tempat itu bukan kedai atau gerai lagi, tapi macam rumah mayat, " jelasnya.

Sebagai penyelamat, Wak Dollah terpaksa turun tangan, membantu para peniaga kecil yang bermasalah, terutama kepada mereka yang merasa bahawa perniagaannya telah diganggu atau dianiaya oleh orang lain. Ditanya bagaimana beliau mengatasi masalah peniaga yang menghadapi masalah seperti ini? Caranya mudah sahaja. "Taburkan garam yang sudah dicampur dengan kemenyan di tempat yang disyaki untuk memulihkannya, " jawabnya sambil tersenyum.

Begitu mudah? Contohnya kes kedua pekedai yang menjual roti canai tadi. Setelah datang berjumpa Wak Dollah, beliau menasihatkan supaya pergi mencari garam dan kemenyan.

"Garam dan kemenyan tadi saya suruh dia taburkan di depan kedai, kalau boleh di sekelilingnya. Sejak pekedai itu buat apa yang saya suruh, kedainya sudah pulih macam biasa. Orang pun ramai makan minum di kedainya, " terang Wak Dollah lagi.

Bagaimana dengan kes peniaga nasi ayam tadi? Kata Wak Dollah, peniaga itu telah datang menemuinya membawa bungkusan kain kuning yang ditemui tersorok dekat gerainya.

"Setelah diperiksa, di dalamnya ada tanah dan benda-benda lain. Saya syak tanah ini bukan tanah biasa, tetapi mungkin dari tanah kubur," katanya. Untuk memulihkan masalah peniaga nasi ayam tadi, Wak Dollah menasihatkan supaya peniaga itu membeli garam dan kemenyan. Kemudian garam dan kemenyan itu ditaburkan di kawasan gerai nasi ayamnya.

Menurut Wak Dollah lagi, ada juga tempat berniaga yang tidak dianiaya dengan taburan tanah kubur atau siraman air mayat oleh seseorang.

"Tetapi, boleh jadi peniaga yang dulu tutup kedai kerana menghadapi masalah ini. Tapak gerai atau kedai itu dulunya pernah ditabur dengan tanah kubur atau disiram air mandi mayat. Yang terkena adalah peniaga baru yang tak tahu menahu bahawa tempat itu dulunya sudah dianiaya orang. Sudahnya, peniaga baru yang tak tahu apa, terkena kesannya, berniaga tak laku, nasi basi atau ayam busuk," jelas Wak Dollah lagi.

Katanya, setelah peniaga yang bermasalah itu menemuinya, mereka akan diberikan petua dan cara mengatasinya. Para peniaga tadi mula meraih keuntungan dari perniagaannya yang telah dipulihkan.

"Alhamdulillah, semua yang bermasalah dulu sudah dapat dipulihkan, pelanggan sudah ramai, tak adalah macam kawasan kubur atau rumah mayat lagi, " katanya sambil tersenyum puas.

Sumber : Majalah Dzul Nurain...

Wednesday, August 6, 2014

CERITA WAKIL RAKYAT...

KISAH 1
Pak Pandir dan Mak Andir risau kerana anak mereka, Ondeh, walaupun sudah berumur 18 tahun, tetapi masih tidak tahu hendak kerja apa. Sekejap cakap hendak jadi businessman, sekejap hendak jadi tok guru, sekejap hendak jadi petani, tapi cuma cakap saja, usahanya tidak.

Jadi, Pak Pandir dan Mak Andir merancang untuk menguji anak mereka itu. Suatu pagi, Pak Pandir dan Mak Andir tinggalkan sekeping nota di atas meja di ruang tamu. Pada nota itu tertulis perkataan, "Ayah dan mak pergi pekan, petang baru balik." Di tepi nota itu mereka tinggalkan wang kertas RM50, sebuah kitab agama dan sebotol arak. Pak Pandir dan Mak Andir kemudiannya menyorok dalam bilik kecil tidak jauh dari meja tersebut.

Kata Pak Pandir, "Kalau Ondeh ambil duit, maknanya dia akan jadi businessman. Kalau dia ambil kitab, maknanya dia akan jadi tok guru. Tapi kalau dia pilih arak, dia akan jadi manusia yang paling tak berguna di dunia ini."

Pak Pandir dan Mak Andir terus mengintai dari celah pintu. Sejam kemudian mereka nampak Ondeh balik, lalu mencapai nota di atas meja. Selepas membacanya, Ondeh ambil not RM50, membelek-beleknya depan belakang, kemudian masukkan ke dalam poket.

Setelah itu Pak Pandir dan Mak Andir lihat Ondeh ambil kitab, kepit di celah ketiaknya. Akhir sekali, Ondeh mencapai botol arak dan menogoknya. Setelah itu, Ondeh keluar semula dengan membawa ketiga-tiga barang tersebut.

Pak Pandir tepuk dahi.

"Aduuhh... ini lebih teruk daripada apa yang abang bayangkan."

"Kenapa paknya?" tanya Mak Andir.

"Ondeh akan jadi ahli politik!" 
  • Moral dari kisah ini ialah pada kebiasaannya apabila seseorang telah bergelar ahli politik dia akan mengambil kesempatan dengan kedudukannya untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan walaupun sebelumnya ia tidak mempunyai ilmu dalam bidang perniagaan dan memonopoli semua bidang perniagaan yang diceburinya dengan mementingkan suku sakatnya. 
  •  Dalam masa yang sama, apabila ia bercampur di dalam masyarakat, ia boleh berubah menjadi seorang ustaz/ustazah pula dan bercakap tentang agama seolah-olah ianya seorang yang alim. Lebih malang lagi apabila ia merpelekehkan ulama.
  •  Apabila clubbing, tuan-tuan fikirlah sendiri dan faham-faham je lah....      
 KISAH 2

Sebuah bas yang membawa 20 orang ahli politik, memecut laju menuju ke kawasan kempen pilihan raya. Sampai di kawasan kampung, tiba-tiba... skreeettt... GEDEGANG!!! Bas itu terbabas dan melanggar pokok, lalu melambung ke udara, kemudian terhempas semula di atas jalan raya.

Bas hancur, kaca bersepah, semua ahli politik itu terbaring di atas jalan dengan badan dipenuhi darah.

Seorang petani tua yang sedang membajak sawahnya ternampak kejadian itu. Disebabkan hanya dia seorang yang berada di kawasan yang terpencil itu, petani tersebut terus membuat sebuah lubang besar dengan jentera bajaknya, lalu mengebumikan semua ahli politik tadi.

Keesokannya, seorang anggota polis yang lalu di kawasan tersebut ternampak bangkai bas berkenaan. Dia lalu bertanya kepada petani tua yang sedang membajak sawahnya.

"Semuanya mati ke, pak cik?" tanya anggota polis berkenaan selepas petani itu menceritakan apa yang berlaku.

"Sebenarnya encik, ada lima enam orang yang cakap dia orang masih hidup lagi. Tapi encik taulah, cakap ahli politik ni bukan boleh percaya sangat." 

Moral dari kisah ini ialah, setiap apa yang diperkatakan oleh orang politik kita tidak boleh mempercayainya sangat dan apabila kita mendengar mereka ini bercakap atau berjanji kita hendaklah berhati-hati kerana "cakap mereka ini tak serupa bikin"

KISAH 3

Boboi perlukan RM100 untuk membeli kereta control, tapi bapanya enggan berikan wang tersebut. Jadi, emak Boboi menyuruhnya berdoa kepada Tuhan. Boboi ikut arahan ibunya, kemudian menulis sepucuk surat meminta RM100, lalu dimasukkan ke dalam sampul surat. Di luar envelop itu ditulis perkataan 'Kepada: Tuhan.'

Posmen yang mengambil surat itu mentafsirkan perkataan 'Tuhan' tersebut sebagai Presiden. Lantas dia menghantar surat Boboi ke pejabat Presiden. Tuan Presiden sedih dengan permintaan Boboi, lalu memasukkan not RM10 ke dalam sampul surat, kemudian menyuruh pejabatnya menghantar surat itu ke pejabat wakil rakyat untuk diserahkan kepada Boboi.

Sebaik menerima surat dari Presiden berserta dengan not RM10, Boboi membalas surat berkenaan dengan kata-kata, 'Terima kasih Tuhan kerana memperkenankan permintaan saya. Tapi biasalah, wakil rakyat tu dah ambil RM90.'

Moral dari kisah ini pula ialah apa-apa peruntukan yang akan disalurkan kepada rakyat biasanya tidak akan sampai sepenuhnya kerana akan berlaku ketirisan di sepanjang perjalanan.

PAK RAIS GUNA TUKUL BESI RAWAT SAKIT GIGI...


Seorang wanita berguling-guling mengerang kesakitan di ruang tamu rumahnya. Dia menahan azab yang amat sangat. Telah seminggu gigi gerahamnya berlubang.

"Aduh bang, tolonglah, sakit benar gigi ni! Dah tak tahan lagi, berdenyut-denyut," ngomel wanita itu. Kedua-dua belah tangannya menekup pipi. Mukanya berkerut-kerut dan kadangkala mengeluh menahan sengsara.

Sejak beberapa hari lalu, si isteri telah mula sakit tetapi tidaklah seteruk hari ini. Kasihan melihat isterinya, si suami mengambil keputusan menemui seorang dukun sakit gigi berdekatan rumahnya di Gemas, Negeri Sembilan. Tambahan pula di kampung itu kemudahan klinik gigi hanya seminggu sekali. Tiada pilihan, terpaksalah menemui dukun itu.

"Abang ke rumah Pak Rais," kata si suami lantas menunggang motosikalnya menuju tempat tinggal dukun sakit gigi itu yang hanya beberapa kilometer dari rumahnya.

"Pak, orang rumah saya sakit gigi. Teruk nampaknya. Tengah berguling-guling di rumah tu," kata si suami selepas salam yang diberi disambut Pak Rais.

"Dah berapa lama?" tanya Pak Rais.

"Seminggu... gigi tu berlubang. Tapi hari ini yang teruk sangat sakitnya sampai meraung-raung," kata lelaki itu lagi.

Pak Rais terus bertanyakan nama penuh isterinya. Suami itu pun memberikannya.

"Tunggu ya. Aku ke dalam sekejap," kata Pak Rais kepada lelaki itu.

Beberapa minit kemudian dia keluar semula dengan membawa sekeping papan selebar 10 cm x 20 cm. Di tangan sebelah lagi dipegangnya sebatang paku lebih kurang 10 sentimeter panjang bersama tukul besi. Di atas papan itu tercacak beberapa batang paku lain. Ada di antaranya telah pun berkarat.

Pak Rais duduk membetulkan sila. Dia meletakkan papan itu betul-betul di depannya. Tangan kiri memegang sebatang paku sementara di tangan kanan tukul besi.

Dengan mulut terkumat-kamit, Pak Rais mengetuk paku di tangan dengan tukul besi tiga kali. Tok! Tok! Tok! Paku melekat dan tercacak pada papan.

"Sekarang balik, isteri kamu tak ada apa-apa. Tapi papan dan kayu ni biarkan di sini sampai dia sembuh betul. Kalau dah baik nanti cakap dengan aku, boleh dicabut pakunya," kata Pak Rais kepada lelaki itu.

Selepas mengucapkan terima kasih, lelaki itu bergegas ke rumah. Setibanya, dia terperanjat mendapati isterinya telah pulih malah boleh melakukan kerja harian seperti biasa.

"Kaedah yang pakcik gunakan ini dapat menghilangkan sakit gigi dengan cepat. Lebih kurang setengah jam saja," kata Pak Rais ketika ditemui baru-baru ini. Aneh sungguh caranya mengubat sakit gigi.

Kata Pak Rais, dia membayangkan papan tempat paku dicacak itu adalah gigi pesakit dan paku pula adalah 'pembunuh' ulat yang terdapat dalam lubang gigi. Menurut beliau lagi, dia mempelajari cara-cara mengubati sakit gigi dari Tok Batin suku kaum Orang Asli di Pahang dan Negeri Sembilan.


"Semasa belajar tu, Tok Batin beritahu pakcik supaya makrifatkan (membayangkan) papan itu sebagai gigi pesakit. Pakcik juga dinasihatkan supaya membayangkan pesakit itu sedang menganga ketika paku diketuk.

"Kemudian pakcik bayangkan yang pakcik ketuk tu adalah lubang gigi yang ada 'ulat'. Ketuk supaya 'ulat' tu mati. Ketuk ni sebagai syarat saja. Tapi pak cik kena tahu dulu nama penuh pesakit," katanya lagi.

Menurut Pak Rais lagi, telah beribu-ribu pesakit yang sembuh melalui cara rawatannya itu. Tapi apabila diminta melihat papan-papan lama yang dipenuhi paku, Pak Rais hanya tersenyum.

"Ini saja yang ada. Selepas pesakit sembuh papan tu tak ada guna lagi. Lalu isteri pak cik buat pelapik siang ikan," katanya terkekeh-kekeh ketawa kelucuan.


Menurut Pak Rais selepas dirawat pesakit tidak akan diserang sakit gigi lagi walaupun berlubang. "Biasalah gigi luruh apabila umur meningkat," tambah Pak Rais.

Tentang pantang larang Pak Rais berkata, "sikit saja..., cuma jangan sekali-kali dicabut paku yang tercacak pada papan sebelum sakit gigi tu sembuh. Kalau dah baik, cabutlah, tak apa-apa," katanya ringkas.

Pak Rais berkata, jika dicabut paku itu sebelum sakitnya sembuh, gigi yang sakit itu akan lebih parah. Kerana itulah Pak Rais tidak mengizinkan pesakit membawa pulang papan itu.

"Dulu Pak Rais bagi bawa balik, tapi sekarang tak lagi. Takut kalau paku tu tertanggal, bertambah teruk sakitnya, pak cik juga yang susah," katanya lagi.

Pak Rais lalu menceritakan kisah bagaimana seorang pesakitnya yang meminta membawa balik papan itu dan dengan tidak sengaja paku pada papan itu tertanggal.

"Pesakit tu ingin sangat menyimpan papan yang berpaku itu. Mulanya pakcik tak mahu beri tapi dia mendesak. Dengan hati yang berat pak cik bagilah," katanya.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu Pak Rais didatangi suami pesakit itu menjemputnya ke rumah. "Sakit gigi isteri saya tambah parah," katanya.

Pak Rais kaget mendengarnya. Dia bergegas ke rumah wanita itu. Terperanjat besar dia apabila melihat pesakit itu menonggeng-nonggeng menahan sakit.

Apabila ditanya, wanita itu memberitahu Pak Rais, papan yang berpaku itu terjatuh secara tak sengaja dan pakunya tercabut.

"Papan tu dia letak atas almari, ingatkan selamat, tak ada orang ambil. Tapi entah macam mana, pagi tu masa dia nak cari mancis atas almari. Ketika meraba-raba itulah papan berpaku itu jatuh dan pakunya tercabut," katanya lagi.

Sejak itu Pak Rais amat berhati-hati mengenai papan dan paku yang digunakannya. Dia akan menyimpannya baik-baik dan hanya menanggalkan paku itu apabila mendapat tahu pesakitnya telah betul-betul sembuh.

Sehingga kini telah lebih 30 tahun Pak Rais merawat beribu-ribu orang yang menderita sakit gigi di sekitar Gemas melalui kaedah itu.

"Insya-Allah boleh baik. Setakat ini mereka puas hati dengan khidmat saya," kata Pak Rais sambil tersenyum. —

Artikel oleh Khairunnisa Sulaiman. 
Foto: Jaffri Rahman. 
Mastika

KERETA KEBAL MERKAVA ZIONIS DIMUSNAHKAN AL QASSAM...

Perkembangan terbaru menyaksikan tentera IDF yang terbunuh adalah seramai 497 orang, manakala polis Israel yang terbunuh pula ialah seramai 113 orang, sementara tentera Israel yang cedera parah dan sederhana pula seramai 879 dan polis Israel yang cedera pula seramai 362 orang.

Kereta kebal jenis merkava yang didakwa tercanggih didunia turut menjadi boneka kepada AL Qassam apabila berpuluh-puluh merkava berjaya dimusnahkan di Gaza sepanjang perang 28 hari tahun 2014. 

Terdapat 5 model merkava, mk1, mk2, mk3, mk 4 dan mk 5. Diberitakan bahawa, Singapura telah membeli 50 buah merkava MK4 untuk memperkuatkan pertahanannya.

























Monday, August 4, 2014

MEMANG CINTA ITU BUTA...

Seorang lelaki buta memasuki sebuah restoran. Amin, pemilik restoran berkenaan pergi ke arah lelaki buta itu dan menghulurkan menu.

"Encik, saya kan orang buta, saya tak boleh membaca menu. Tolong bawakan sudu kotor yang telah digunakan oleh pengunjung restoran ini, dan saya akan menciumnya. Dari situ nanti saya tau masakan apa yang enak untuk dipesan," kata lelaki buta.

Amin pun mengumpulkan beberapa puluh batang sudu yang belum dibasuh dan berikannya kepada lelaki tersebut.

"Saya nak ikan patin masak asam, daging goreng kicap dengan sayur keladi masak lemak cili padi," kata lelaki buta itu selepas mencium sudu-sudu berkenaan satu per satu.

Terkejut Amin, memang ketiga-tiga masakan itu adalah menu kegemaran para pengunjung restorannya!

Beberapa hari kemudian lelaki buta itu datang lagi dan meminta untuk mencium sudu-sudu yang sudah digunakan. Masalahnya ketika itu hanya tinggal sebatang sudu saja yang telah digunakan untuk makan menu lainnya.

Amin pun berikan sudu itu kepada lelaki buta tersebut. "Bau sudu yang ini sedap juga, seperti baru digunakan untuk makan kerabu sotong dengan sayur kailan dan ikan siakap tiga rasa..." kata lelaki buta.

Tepat sekali! Lelaki buta itu untuk ketiga kalinya datang semula ke restoran Amin beberapa hari kemudian. Bagaimanapun, dia datang pada waktu pagi sebelum ada seorang pun pengunjung yang datang. Ketika itu juga tidak ada sudu bekas diguna yang boleh diberikan untuk dihidu oleh lelaki buta.

Tiba-tiba Amin terfikir untuk mengenakan lelaki buta itu. Dia pun pergi ke dapur dan menghampiri isterinya yang menjadi tukang masak di restoran itu. Amin berikan sebatang sudu dan berkata, "Yati, garu sudu ni kat ketiak awak tu."

Isterinya, Yati, terkejut. "Apalah abang ni, mengarut aja!" kata Yati, tidak faham. "Alah... ikut ajalahhhh, untuk kemajuan restoran kita ni," balas Amin, terus memaksa. Mahu tidak mahu, Yati menenyeh dan menggonyoh- gonyoh sudu tersebut di celah ketiaknya yang berpeluh.

Amin membawa sudu tersebut kepada lelaki buta yang sedang duduk menunggu. Lelaki buta itu pun mencium sudu berkenaan. Hidungnya kembang kempis. Mukanya berubah.

Tiba-tiba lelaki buta itu menoleh ke arah Amin dan berkata...

"Saya tak sangka makwe lama saya, Yati bekerja di sini. Boleh saya jumpa dia, encik?"

Muahhhahahahah...!!! Kan cinta itu buta...

PAKU KARAT BOLEH LUMPUHKAN BADAN...


Kecederaan akibat terpijak paku atau apa saja objek tajam yang berkarat tidak boleh dipandang ringan. Tanpa rawatan yang sesuai, ia bukan sahaja membawa kemudaratan serius tetapi juga boleh membawa maut.

Sekalipun paku atau objek tajam yang dipijak itu bersih dan tidak berkarat, tetapi kesannya tetap membahayakan. Paku itu mungkin terdedah kepada tanah, habuk atau najis yang boleh memudaratkan kesihatan jika pengubatan diabaikan. Kecederaan akibat terpijak paku boleh membawa kepada berbagai-bagai komplikasi yang mengancam nyawa. Ia membawa risiko diserang penyakit tetanus dan juga infeksi di bahagian kaki termasuk gangrene yang menyebabkan kaki terpaksa dipotong.

Menurut Dr. Hyzan Mohd. Yusuf, pensyarah dan pakar bedah ortopedik dan trauma dari Jabatan Ortopedik dan Traumatologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, kecederaan akibat terpijak paku berkarat mendedahkan seseorang itu kepada sejenis organisme berbahaya dikenali sebagai Clostridium tetani yang membawa kepada tetanus.

 

Penyakit itu biasanya menyerang dalam tempoh empat hingga empat belas hari dan menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan saraf dan kekejangan otot, bermula di bahagian muka sebelum merebak ke leher, badan, tangan dan kaki.

Clostridium tetani, yang juga terdapat pada serpihan besi, jarum dan objek-objek lain yang berkarat atau terdedah pada tanah, debu atau najis, masuk ke dalam tubuh manusia melalui luka-luka kecil. Ia mengeluarkan sejenis toksin dikenali sebagai exotoxin tetanospasmin dan exotoxin tetanolysin yang menyerang saraf dan mengakibatkan kekejangan otot.

Menurut Dr. Hyzan, mereka yang diserang tetanus biasanya berkeadaan gelisah, sukar mengunyah makanan, rahang terkunci atau apa yang biasa disebut terkancing gigi dan mengalami kontraksi otot-otot muka menyebabkan mulut berkeadaan herot dikenali sebagai risus sardonicus.

Di samping itu, pesakit tetanus juga menghadapi risiko diserang sawan dan sakit-sakit otot. Jika pengubatan terus diabaikan atau kaedah rawatan tidak sempurna, gangguan pernafasan akan berlaku berpunca daripada kekejangan otot di bahagian pernafasan dan akhirnya membawa maut.

Selain daripada tetanus, mereka yang terpijak paku berkarat juga terdedah pada infeksi di bahagian kaki. Kecederaan seumpama itu boleh menyebabkan tapak kaki bernanah.


Tanpa rawatan yang sesuai, penanahan boleh merebak ke bahagian tulang dikenali sebagai osteomyelitis, satu komplikasi yang biasanya berlaku dalam jangka panjang dan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk diubati.

Tanda-tanda awalnya ialah bahagian yang luka terasa sakit, bengkak dan bernanah hingga menyebabkan seseorang itu demam. Rawatan segera melibatkan pembedahan memotong tulang yang rosak merupakan satu-satunya cara untuk mengubatinya.

Kesan akibat terpijak paku berkarat adalah lebih teruk jika pesakit menghidap penyakit diabetes kerana komplikasi akibat terlebih gula dalam darah menyebabkan pesakit tidak berasa sakit walaupun kakinya luka teruk.

Keadaan itu boleh membawa kepada gangrene, iaitu kematian di bahagian kaki. Infeksi di tapak kaki menyebabkan luka cepat bernanah dan melarat ke bahagian atas hingga mengganggu fungsi-fungsi saluran darah. Kurang daya tahan tubuh badan akibat diabetes juga menyebabkan luka cepat merebak tetapi tidak terasa sakit kerana kesemua tisu di bahagian kaki mati.

Kaki akhirnya menjadi hitam dan terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawa. Ia dipotong sama ada di bahagian bawah atau di atas lutut bagi mengelakkan infeksi merebak ke organ-organ penting lain seperti hati, pundi ginjal, buah pinggang dan jantung.

Satu lagi komplikasi berbahaya akibat kecederaan terpijak paku berkarat ialah gas gangrene, iaitu sejenis jangkitan yang kerapnya berlaku di kalangan pesakit-pesakit diabetes berpunca daripada sejenis organisme dipanggil Clostridium welchii.

Jangkitan di tapak kaki cepat merebak ke paha dalam masa satu atau dua hari sahaja dan menjadi punca penanahan otot dikenali sebagai myonecrosis. Pesakit yang diserang gas gangrene biasanya demam panas dan tidak sedarkan diri. Mereka juga mengalami dehidrasi serta ketidakseimbangan elektrolit atau garam dalam tubuh badan.


Satu-satunya cara untuk mengubati penyakit itu ialah dengan melakukan pembedahan dan memberi ubat antibiotik. Bagi kes-kes yang ekstrem, pesakit terpaksa menjalani rawatan rapi di wad rawatan intensif. Tanpa rawatan yang sesuai, komplikasi yang lebih teruk boleh berlaku seperti koma dan pesakit akhirnya meninggal dunia.

Insiden terpijak paku berkarat boleh berlaku di mana-mana sama ada di dalam atau di luar rumah, di pejabat, di tapak-tapak pembinaan atau tempat pembuangan sampah atau di taman permainan atau perumahan yang baru dibuka.

Dr. Hyzan menekankan betapa pentingnya setiap individu memakai kasut setiap kali berada di luar rumah demi keselamatan diri sendiri.

"Luka akibat terpijak paku berkarat mungkin nampak kecil pada mata kasar tetapi kesannya boleh mengancam nyawa," katanya.

Sumber : Mastika, di tulis oleh Pn. Azizah Ismail...