Tuesday, November 18, 2014

FORUM PERDANA MA'AL HIJRAH FELCRA BERHAD 1436H...

Selepas berjaya menganjurkan Program Ibadah Korban baru-baru ini, Biro Agama, Ibu Pejabat meneruskan lagi usaha-usaha dakwahnya. Kali ini Biro Agama menganjurkan pula Program Forum Perdana sempena Ma'al Hijrah dengan tajuk yang dipilih "Syoknya Bekerja" yang diadakan di Auditorium Wisma FELCRA Berhad pada 18 November 2014 bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari.

Dua orang pendakwah bebas iaitu Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al Idrus dan Ustaz Amran Yusof yang lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood telah dijemput untuk memberikan kupasan ke atas tajuk yang telah dipilih itu. Bagi melancarkan program, Tn. Hj. Ali b. Mohamed, Pengurus Besar Trading CPO dilantik sebagai moderator manakala En. Shariman Teruna Mohd Isa, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat mengambil tempat sebagai pengacara majlis. 

CEO FELCRA Berhad, Dato' Hj. Ramlee Abu Bakar telah berkenan untuk merasmikan program ini. Turut hadir ialah En. Jahare Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan Pentadbiran dan Modal Insan.

Sebelum forum bermula, satu pementasan teater bertajuk "Pintu Hijrah" arahan Zamri Zainon Abidin telah dipersembahkan. Semua pelakon terdiri dari staf Ibu Pejabat dengan nama-nama besar seperti Rohayah Mohd Yusof (MIS), Zamri Zainon Abidin (Caw. Latihan), Zulkifli Zainon Abidin (Komunikasi Korporat), Mohd Hafiz Abd. Rahman (Inspektorat), Mohd Badran Hj. Ashaari (MIS), Norlaela Johan (Sumber Manusia) dan Affazuliaty Noni Mohd Rosli (Pemasaran).

Dalam ucapannya, Dato' CEO menasihatkan semua staf supaya bekerja dengan ikhlas dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan, tidak sekadar datang bekerja hanya untuk mencukupkan waktu dari jam 8 pagi hingga 5 petang tanpa menyumbangkan sedikitpun kepada Syarikat sebaliknya hanya menjadi 'liability' kepada Syarikat.

Beliau turut melontarkan soalan tentang tajuk forum yang dipilih "Syoknya Bekerja". Dari segi pemahaman semua, adakah kita datang bekerja hanya untuk berseronok-seronok atau kita sudah  puashati terhadap apa yang telah kita sumbangkan. Justeru itu beliau meminta kepada semua staf supaya bekerjalah dengan jujur dan ikhlas supaya dengan gaji yang diperolehi atas usaha kita yang bersungguh-sungguh itu akan diberkati Allah s.a.w. Sebagai contoh, jika gaji kita RM100 sehari maka produktiviti kita pada hari itu biarlah bersamaan dengan nilai yang dibayar atau lebih dan begitulah pada hari-hari seterusnya.

Beliau juga menasihatkan kepada semua staf supaya melakukan solat dan makan tengahari di luar waktu bekerja bagi mengelakkan kita mencuri lebih masa yang boleh menyebabkan pendapatan kita tidak bersih. Jika kita terpaksa melakukannya juga atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan maka masa yang diambil itu hendaklah diganti semula selepas waktu pejabat. Itulah cara yang sebaik-baiknya seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w. maka dengan itu barulah kita rasa "Syoknya Bekerja" kerana kita telah berjaya menepati tuntutan seperti yang dikehendaki oleh agama kita yang suci.

Dalam amanat beliau seterusnya, Dato' CEO memberikan sedikit motivasi kepada staf yang selama ini telah bekerja bersungguh-sungguh tetapi masih belum dinaikkan pangkat. Dalam perkara ini mereka-mereka yang berkenaan hendaklah berlapang dada dan yakinlah dengan rezeki Allah. Barangkali Allah masih belum lagi hendak memakbulkan apa yang kita harapkan kerana Dia hendak menguji sejauh mana kita boleh bersabar ke atas dugaan ini, percayalah bahawa Allah tidak pernah berlaku zalim terhadap hambanya dan Allah juga mungkin mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita dan mungkin juga Allah hendak memberikan rezeki dengan cara lain yang kita tidak menduganya seperti terjemahan ayat Al Quran yang berbunyi "Kita merancang, Allah juga merancang, tetapi Allah lah sebaik-baik perancang"

Setiap perbuatan salah yang kita lakukan sekarang ini mungkin Allah tangguhkan pembalasannya di hari kemudian. Samada kita sedar atau tidak bahawa, bencana alam, penyakit yang ditanggung, hati yang tidak tenang dan sebagainya, itulah sebenarnya balasan yang diberi atas dosa yang kita lakukan di masa lalu. Oleh itu kita hendaklah menyesali dan segera insaf akan kesalahan kita sementara pintu taubat masih terbuka.

Begitulah di antara inti pati yang telah disampaikan oleh Dato' CEO pada pagi ini. Kami semua amat menghargai akan nasihat beliau itu. Kami juga turut berbangga kerana beliau sudi meluangkan masa bersama-sama kami untuk terus mendengar forum sempena Ma'al Hijrah dengan tajuk "Syoknya Bekerja" sehingga ke akhirnya. Syabas Dato' Haji Ramlee b. Abu Bakar, CEO FELCRA Berhad.

Program Forum Perdana sempena sambutan Ma'al Hijrah 1436H diakhiri dengan jamuan makan tengahari dan bersurai.

Saksikan gambar-gambar yang sempat aku rakam sepanjang forum berlangsung.
 

Banner yang di letakkan di setiap penjuru dan kawasan 
bagi mewar-warkan akan program Ma'al Hijrah 1436H yang dianjurkan.

Skrin di komputer yang memaklumkan bahawa satu pementasan teater 
akan turut dipersembahkan dengan tajuk "Pintu Hijrah"
 yang dilakonkan oleh Staf Ibu Pejabat ...

Staf-staf sukarelawan dari Biro Agama yang bertugas di kaunter pendaftaran...
Dari kiri: Pn. Halimah, Rabia'ah dan Liza sementara yang
berdiri di belakang pula ialah Pn. Zailifah...

Senyuman manis dari petugas kaunter menjadi tarikan 
kepada staf untuk datang ke program ini...


Addzalita Abdullah sedang mendaftarkan namanya bagi membolehkan
 ia menerima cenderahati yang telah disediakan oleh Biro Agama...

Sebahagian staf lelaki turut mendaftar nama di kaunter...
Dari kiri: Mohamad Nordin, Faiz dan Rosli...


Dato' Haji Ramlee b. Abu Bakar, CEO FELCRA Berhad 
sedang menyampaikan ucapan dan kata-kata nasihat dan
seterusnya merasmikan forum Ma'al Hijrah...

Dari kiri: Shahriman Teruna (Pengacara Majlis), 
Tn. Hj. Eisa Mohamed (Pengerusi Surau Ibu Pejabat) 
dan Tn. Hj Zainuddin Muhammat (Imam surau Ibu Pejabat)...
Yang belakang sedang senyum tu semua orang kenal...
Kalau tak kenal itu tandanya mereka jarang ke surau lah tu...  

Pn. Salmah Mansor merupakan Ketua Muslimat yang aktif dan berdedikasi...

Bob dari Bhg. MIS diberi tanggungjawab mengendalikan tayangan slide 
dan Affazuliati Noni sebagai Narrator... 

Rafia OlHusni bertanggungjawab sebagai Pegawai Promosi Program....






Senyuman paling manis dari Roslina dari 
Pejabat Pengurus Besar Kumpulan Pentadbiran dan Modal Insan...

Hajjah Faridah sentiasa berada di dalam kesejukan 
Ia akan panas ketika melaksanakan tugas sahaja...


Ustaz Amran Yusof (Ustaz Bollywood) diundang sebagai panel forum...

Tn. Hj. Ali Mohamed (Moderator) dan 
Tn. Hj. Zuhairi Abd. Rahim sedang khusyuk mendengar amanat CEO...

Tentu ada yang mencuit hati Tn. Hj. Zulkifli Sidek (Pengurus Besar Khidmat Ladang)....
ketika mendengar amanat CEO sehinggakan ia tersenyum...

Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al Idrus juga diundang sebagai panel forum...




Kat HQ ni rupanya banyak juga muka-muka jambu....
Nampaknya Syarikat akan kehilangan ramai staf yang jambu 
jika mereka beralih di bidang lakonan pula...








Staf dari Bahagian Kewangan Korporat...
Dari kiri: Siti Aida, Lela dan Norhakmar...

Awie dan Zainuddin Mohd Yusof dari Biotech...

En. Sani dari FELCRA Bekalan dan Perkhidmatan...
Beliau nampaknya macam tak sihat tetapi tetap bersemangat mengikuti Forum...

Jelingan manja dari Tn. Harun Mohamed dari MIS...


Sahabat karib tapi dah lama tak mengetea bersama...
Dari kiri: Yusri, Ismadi dan Rahman Isa...





Staf Khidmat Ladang:
Dari kiri: Normah, Che Normah, Nana dan Mek Asmaria...


Kiri: Fiza Esrakh dan Fauziah Jaafar dari Pembangunan Peserta...


Hai Akilah!!! semenjak Akilah pindah ke Bhg. Pemasaran...
Jejaka Bahagian Ladang terasa kehilanagn...

Gang-gang Kumpulan Perladangan...
Dari kiri : Jizah Sidek, Nurul Hana, Natasha, Sa'idah, Izayani dan Aishah...



Dari Kiri: Shahira, Azah dan Ain...

Tak tau nama....

Salah satu dari babak persembahan teater...

Zamri Zainon Abidin (Pengarah Teater) sedang memperkenalkan barisan pelakonnya.
dari sebelah kanan beliau: Affazuliati Noni, Norlaela Johan, Adzalita Abdullah 
dan Mohd Badran Hj. Ashaari...

Manakala di sebelah kirinya: Zulkifli Zainon Abidin, 
Rohaya Yusof dan Mohd Hafiz..

Kiri: Liyana Tajuddin yang cun melecun dan Suzi (Isteri Zulkifli Zainon Abidin)...
Beliau turut hadir memberi sokongan kepada suaminya...

Nasib baik Tn. Syed dah kawin...

Fauzi dan Zack...

Dari kiri: Pn. Mahawa (Bhg. Khidmat Ladang)
dan Putri Waslina (Bhg. Komunikasi Korporat)...
Mereka hanya dapat duduk di lantai kerana auditorium penuh...


Dari kiri: Ainul Hafizah (Khidmat Ladang) 
dan Fieza Ismail (Pemasaran) bersama dua orang staf baru...

Penceramah sedang mengambil tempat...



En. Shahriman Teruna Mohd Isa (Pengacara Majlis) 
sedang memerhatikan penceramah mengambil tempat di atas pentas...

Staf dari Kumpulan Perkilangan...




Dato' Haji Ramlee Abu Bakar (CEO FELCRA Berhad) 
sedang menyampaikan cenderahati kepada 
Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al Idrus

Dan juga kepada moderator Tn. Hj. Ali Mohamed 
sambil diperhatikan oleh Tn. Hj. Eisa Mohamed (Pengerusi Surau)...

Adik-adik kita dari pusat pengajian tinggi yang sedang 
membuat latihan praktikal di Ibu Pejabat turut gembira
kerana dapat mengikuti program Ma'al Hijrah yang dilangsungkan...

Sunday, November 16, 2014

KENANGAN INDAH BERSAMA ALLAHYARHAM ZULKIFLI DI ZAMAN KANAK-KANAK...

Gambar ini ialah gambar kenangan aku (kanan) bersama kawan baik aku bernama Zul, jiran sebelah rumah. Gambar ini dirakam semasa kami mandi di satu kawasan perkelahan di kaki Bukit Larut (dulu dikenali sebagai Bukit Maxwell), Taiping. Umur kami pada masa tu 12 tahun. Zul telahpun meninggal dunia diusia 25 tahun. Artikel aku kali ini ialah kisah aku dan arwah Zul. Ikuti kisahnya seperti di bawah...


Di zaman kanak-kanak aku iaitu di tahun 60an, perkara yang paling aku suka lakukan ialah mandi sungai, memancing ikan di lombong, bermain layang-layang, panjat pokok dan banyak lagi yang tak dapat nak dituliskan di sini.

Berbanding kanak-kanak sekarang yang banyak menghabiskan masa di rumah dengan mengadap komputer atau tengok 'movie' tetapi bagi kami pula yang hidup di zaman kanak-kanak di tahun 70an, aktiviti kami banyak dilakukan di luar rumah. Jika di musim cuti sekolah atau di hujung minggu, anak-anak yang ayahnya bekerja sebagai petani, sudah tentulah mereka dikehendaki membantu ibu dan ayah bekerja di sawah, bekerja di kebun, mengikut ayah menjala ikan di sungai atau di laut atau memburu binatang halal di hutan. 

Bagi aku pula yang ayah bekerja sebagai kakitangan rendah di Jabatan Kerja Raya (JKR), ("bukan Jasa Kepada Rakyat tau! seperti yang BN gunakan di papan tanda untuk memancing undi), aku tidak dibebani dengan kerja-kerja seperti yang disebutkan di atas dan aku lebih bebas untuk melakukan aktiviti sendiri. Walaubagaimanapun aku tetap membantu keluarga dengan cara lain seperti mengikut abang mencari kayu api (masa tu dapur untuk memasak menggunakan kayu api), mengikut abang menjual kuih dari rumah ke rumah dengan menjingjing raga yang adakalanya habis dijual dan adakalanya tidak laku bukan kerana tidak sedap tetapi kerana kami lebih banyak bermain dari menjual. Sebagai contoh, jika masa menjual kuih, kami terjumpa kawan-kawan yang sedang bermain guli, gasing atau layang-layang maka kami akan meletakkan raga kuih ditepi dan terus bermain bersama mereka hingga petang dan membawa pulang kuih yang tidak dijual dengan alasan kuih tidak laku.

Walaupun aku juga turut ke sungai memancing ikan atau ke hutan melastik burung, atau ke kebun membantu ayah menanam ubi kayu, pisang, jagung atau sayur-sayuran tetapi ianya bukanlah aktiviti utama tetapi sebaliknya kerana minat dan untuk mengisi masa lapang sahaja. 

Tetapi semua itu ketika kami masih menetap di kuarters JKR. Masa tu, di belakang rumah banyak tanah-tanah kosong yang terbiar dan lombong-lombong tinggal, jadi bolehlah kami berkebun dan bercucuk tanam di tanah kosong itu atau memancing ikan di lombong tinggal. Umur aku masa tu dalam lingkungan 7 atau 8 tahun.

Pada tahun 1970, kami sekeluarga telah berpindah kesebuah rumah teres yang dibeli oleh ayah lalu berpindah dan meninggalkan kuarters JKR yang sungguh banyak kenangannya itu. Biasalah bila duduk di rumah teres dan dapat pula kawan-kawan baru yang kebanyakannya ayah mereka bekerja sebagai kakitangan Kerajaan. Dan di tahun itu pula, dapur memasak tidak lagi menggunakan kayu api tetapi menggunakan dapur minyak tanah yang berjenama 'Butterfly', jadi, aku dan abang tidak perlu lagi pergi mengambil kayu api di kilang kayu. Nak bercucuk tanam pula tanah hanya ada sekangkang kera di belakang rumah setakat boleh menanam serai, daun pandan, lengkuas, dan daun kari sahaja. Kerja itu hanya emak yang buat. Nak pergi ke lombong untuk memancing ikan pun dah tak berani lagi kerana jauh. Lama-kelamaan minatpun hilang dan aktiviti baru aku ialah mandi sungai dengan kawan-kawan sehinggalah kami dewasa, bekerja dan membawa haluan masing-masing.   

Jiran sebaya aku di sebelah rumah bernama Zulkifli, aku panggil Zul dan dia anak bongsu dari 5 beradik. Ayahnya berketurunan India Muslim bernama Abu Hanifah aku panggil Pakcik Hanifah dan ibunya berbangsa Melayu bernama Rahimah, aku panggil Makcik Remah. 

Walaupun umur kami sebaya tetapi kedudukan aku di dalam keluarga adalah di nombor sebelas (11) dari enam belas (16) orang adik beradik sedangkan Zul pula anak bongsu dari lima (5) beradik. Zul anak yang manja dan kesayangan ayahnya Pakcik Hanifah. Aku katakan begitu kerana aku sering lihat ayahnya selalu mendukung dan memandikannya walaupun usianya ketika itu sudahpun memasuki 14 tahun. Segala kehendaknya akan dipenuhi.

Ketika umur Zul memasuki 15 tahun, ayahnya jatuh sakit. Pada mulanya penyakitnya seperti 'Chicken Pox' tetapi akhirnya melarat dan doktor sahkan sebagai kanser kulit lalu meninggal dunia. Sejak ayahnya meninggal dunia, hidup Zul tidak ceria lagi. Masa depannya menjadi suram kerana Zul tidak berapa berjaya di bidang akademik dan gagal di dalam peperiksaan LCE (aliran Inggeris) yang diduduki pada tahun 1976. Walaupun dia mengulang di sekolah swasta tetapi nasib tetap tidak menyebelahinya.    

Aku pula selepas tamat persekolahan membawa diri dan mendapat pekerjaan di sebuah Agensi Kerajaan di sebuah pekan kecil di Kg. Gajah, Perak. Selepas 3 tahun di sana aku pun berpindah di Kuala Lumpur dan jarang-jarang dapat bertemu Zul yang masih menetap di kawasan perumahan kami. Walaubagaimanapun bila balik bercuti aku tetap mengunjungi Zul dan bertanya khabar.

Suatu hari kalau tidak silap dalam tahun 1985 atau 1986, aku balik bercuti dan mengunjungi Zul yang masih tinggal dengan ibunya di sebelah rumah. Dia ketika itu bekerja dengan Shell di Pekan Simpang. Aku tengok Zul tidak berapa sihat, kakinya bengkak, apa yang menghairankan Zul kata dia tak kenal aku, kawannya semenjak umur kami 9 tahun. Walaupun aku rasa ada yang seperti tidak kena dengan Zul, tapi aku tidaklah bersangka buruk dan terus melayaninya hinggalah aku pulang ke Kuala Lumpur.

Seminggu selepas aku pulang ke Kuala Lumpur, adikku menelefon memaklumkan Zul telah meninggal dunia kerana jatuh berhampiran biliknya selepas selesai mandi kira-kira jam 9 pagi. Aku yang terkejut lantas teringat akan sikap Zul yang agak pelik kerana tidak mengenaliku semasa aku mengunjunginya tempoh hari. Rupa-rupanya dia 'buang tebiat'. Aku lantas beristighfar, mengucapkan Inna Lillah dan mensedekahkan Al Fatihah sambil memohon ke hadrat Allah s.w.t. supaya mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh. Aku tidak sempat menziarahinya kerana jenazahnya akan dikebumikan selepas asar pada hari tersebut juga. Zul meninggal dunia di usia 25 tahun. 

Kisah ini aku ceritakan kerana teringatkan arwah Zul. Minggu lepas aku menziarahi kakak Zul yang bernama Halijah yang aku panggil Kak Jah sahaja. Beliau tinggal di Bandar Tun Razak Cheras. Suaminya Abg Mail sudahpun meninggal dunia kira-kira 7 tahun lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari, Cheras. Aku turut hadir semasa pengkebumiannya. Kak Jah yang berumur 62 tahun mengidap penyakit kanser servik dan baru keluar dari hospital HUKM. Dalam pertemuan hampir satu jam itu, kami banyak bercerita tentang kisah-kisah lama dan aku lebih banyak bercerita tentang arwah Zul dan aktiviti kami yang suka mandi sungai.

Apabila aku sebut aku dengan arwah Zul suka mandi sungai, Kak Jah lalu teringat akan sekeping gambar yang terdapat di albumnya yang menunjukkan aku dengan arwah Zul sedang berjemur di atas batu selepas mandi di air terjun di bawah kaki Bukit Larut, Taiping. Aku meminta izin kepada Kak Jah untuk merakamkan gambar tersebut dengan menggunakan 'handphone'. Gambar itulah yang aku paparkan di atas dan ia kini menjadi gambar kenang-kenangan aku dan arwah Zul di zaman kanak-kanak. Ketika itu usia kami berdua dalam lingkungan 12 tahun dan bersekolah di dalam darjah enam. 

Kenangan bersama Allahyarham Zulkifli bin Abu Hanifah (Zul) tidak akan luput dari ingatan dan ia merupakan satu lipatan sejarah di dalam hidupku. Al Fatihah untuk Allahyarham Zul semoga beliau aman di sana. Amin...

MASIH MENCINTAINYA - CHOMEL...


Selepas Yuna, Najwa Latif, Ainan Tasneem, Keesamus (Thailand) popular melalui Youtube, kini muncul seorang lagi bintang Youtube yang mempunyai suara yang amat merdu. 

Pertama kali mendengar lagu dan suaranya, aku merasakan inilah suara yang paling merdu yang belum pernah aku dengar selama ini tambahan pula ia dinyanyikan secara live dengan petikan gitar hanya di kaki lima sebuah flat dan bukannya di studio atau pentas-pentas eksklusif dengan menggunakan peralatan muzik yang canggih.

Walaupun lagu-lagu yang dinyanyikannya adalah lagu-lagu sedih dan jiwang yang tidak lagi sesuai dengan umurku yang sudah separuh abad, tetapi keenakan suaranya membuatkan aku tertawan dan mula menjiwainya. 

Sebenarnya, siapakah pemilik suara ini? setelah aku 'search' di internet maka aku bertemu jawapannya. Kepada mereka-mereka yang belum pernah mendengar lagu-lagunya di Youtube dan mengenali latarbelakangnya, maka di bawah ini aku kongsikan maklumat mengenai dirinya serta kegiatan seni yang menjadi minatnya.

Chomel merupakan artis youtube yang berasal dari Singapore.Bakatnya memang tak dapat dinafikan lagi.Suara yang merdu ketika menyanyikan lagu2 jiwang nya dan trademark Chomel ialah 'Jiwang Selalu' - See more at: http://hananglory.blogspot.com/2013/11/siapakah-chomel.html#sthash.sIPQWjZu.dpuf
Walaupun penampilan Chomel tidak seperti wanita di luar sana,iaitu terlalu feminin,tetapi itu tidak melambangkan yang Chomel ini 'tomboy atau 'pengkid'.Mungkin Chomel lebih selesa dengan penampilan sekarang,so kita janganlah buat tuduhan melulu kepada Chomel.Nama gelarannya pun dah berunsur kewanitaan,iaitu Chomel.Jika dia 'pengkid',dah lama dia guna nama lain seperti 'boy zaf' ker.Betul tak?Yang pentingnya,jika anda semua pernah jumpa dia,baru anda kenal siapa Chomel.Langsung tidak ada sifat 'jantan' yang sengaja ditonjolkan.Dia menjadi diri dia sendiri.Suara,peribadi,gaya,cara nyanyi,semuanya masih lagi feminin walaupun di sebalik penampilan yang sebegitu. - See more at: http://hananglory.blogspot.com/2013/11/siapakah-chomel.html#sthash.sIPQWjZu.dpuf
Chomel merupakan artis youtube yang berasal dari Singapore. Bakatnya memang tak dapat dinafikan lagi. Suara yang merdu ketika menyanyikan lagu2 jiwangnya dan trademark Chomel ialah 'Jiwang Selalu'

Nama Sebenar Chomel ialah Noor Zafirah binti Abdullah,berusia 21 tahun. Bakat Chomel ini bukan sahaja dalam bidang nyanyian, tapi juga dalam mencipta lagu dan bermain gitar. Chomel mula main gitar seawal umur 14 tahun lagi dan mula mencipta lagu pula ketika berumur 15 tahun. Single Chomel yang pertama ialah lagu Teman. Setiap cover lagu yang dinyanyikannya, seolah-olah itu merupakan lagu dia sendiri tanpa mencacatkan lagu tersebut.

Walaupun penampilan Chomel tidak seperti wanita di luar sana, iaitu terlalu feminin, tetapi itu tidak melambangkan yang Chomel ini 'tomboy atau 'pengkid'. Mungkin Chomel lebih selesa dengan penampilan sekarang, so kita janganlah buat tuduhan melulu kepada Chomel. Nama gelarannya pun dah berunsur kewanitaan, iaitu Chomel. Jika dia 'pengkid', dah lama dia guna nama lain seperti 'boy zaf' ker atau sebagainya. Betul tak? Yang pentingnya, jika anda semua pernah jumpa dia, baru anda kenal siapa dia .

Untuk makluman, asalnya Chomel hanya menyanyi di bawah blok sahaja. Chomel mula dikenali ramai setelah sahabat baiknya, An memuat naik video-video nyanyiannya di youtube. Kini, Chomel telah mempunyai ramai peminat yang terdiri daripada Singapura, Malaysia, Brunei, Indonesia dan lain-lain.

Baru-baru ini, Chomel ada mencuba nasib di Bakat Media Hiburan 2013 dan Chomel telah berjaya melayakkan diri ke semi-final. Semoga bintang Chomel lebih terserlah di sana.

Di antara lagu-lagu Chomel ialah:

- Istana Kenangan
- Dia
- Teman
- Sandaran di hati
- Ubahlah sikapmu
- Biarkan
- Lamunan Cinta (feat Jumali Sanotri)
- Dilamun rindu
- Kau yang bertanda (feat Jumali Sanotri)
- Harus ku terima
- Masa Silam
- Aku mohon
- Adakah kerna dia
- Tercipta Janji (Lagu Terbaru)
- Hasbi Rabbi (cover)
- Mimpi Indah (cover)
- Andai hatiku bersuara (cover)
- Masa lalu (cover)
- Khilaf (cover)
-Marah bukan Sifatku (cover)

Chomel juga pernah beberapa kali dipanggil jadi tetamu undangan untuk stesen radio Singapore, di antaranya ialah stesen radio yang terkenal iaitu Ria fm. Lagu-lagu Chomel juga turut dimainkan di stesen radio itu.

Artikel dipetik dari Blog Hannan Glory...

Thursday, November 13, 2014

DIGANGGU JIN DAN SYAITAN...

Gambar sekadar hiasan...

Semenjak adik aku dan suaminya membeli sebuah rumah teres di sebuah taman perumahan di bandar Taiping, mereka mengimpikan satu kehidupan yang sempurna dan bahagia. Mereka ingin membesarkan anak-anak seramai lima orang dengan sebaik mungkin supaya apabila besar nanti anak-anak mereka tidak tercicir dalam arus pembangunan Negara yang semakin mencabar. Di samping ilmu dunia, mereka juga tidak mengabaikan pendidikan agama kepada anak-anak dengan harapan anak-anak dapat memberikan syafaat kepada mereka di hari akhirat nanti.

Tetapi sejak mendiami rumah tersebut, kehidupan mereka tidak aman dan tenteram kerana sering diganggu oleh makhluk Jin yang turut sama-sama mendiami di dalamnya. Sudah banyak kali anak-anak terganggu terutamanya ketika tidur di waktu malam. Penjelmaan, bisikan dan bunyi yang menyeramkan sering terdengar di telinga seolah-olah makhluk Jin ini memberi amaran supaya tidak mengganggu tempat kediamannya yang telah dihuni sejak rumah ini siap dibina.

Sehingga kini sudah hampir sepuluh tahun mereka hidup di dalam ketakutan terutama anak-anaknya. Bukan mereka tidak berusaha untuk memulihkan rumah tersebut, tetapi tak tahu di mana silapnya? Ustaz-ustaz yang dipanggil selama ini  tidak berjaya mengusir makhluk Jin ini. Mungkin ustaz yang dipanggil tidak mempunyai ilmu yang cukup bagi melawan Jin atau yang dipanggil itu bukan ustaz tetapi  tok bomoh yang mengamalkan ilmu syirik dan sama-sama sesat seperti Jin tersebut.

Aku bertanya pada adik, apa puncanya yang menyebabkan rumahnya diganggu? Menurut adikku, rumah yang dibeli itu pada asalnya adalah sebuah rumah kepunyaan seorang lelaki India. Lelaki India itu mahu menjual rumahnya kerana hendak berpindah ke tempat lain, kebetulan pula pada masa itu adik aku juga sedang sibuk mencari sebuah rumah untuk dibeli. Mungkin nak jadi rezeki dia, setelah beberapa perbincangan dan rundingan dibuat dan kedua-dua belah pihak bersetuju, maka rumah itu pun berjaya dibeli melalui loan suaminya yang merupakan seorang kakitangan Kerajaan. Lagipun rumah itu sangat sesuai kerana kedudukannya yang sangat berdekatan dengan rumah saudara mara mereka berdua.

Menurut adikku lagi, semasa mereka mencuci rumah tersebut, banyak barang-barang pemujaan seperti alat-alat sembahyang agama Hindu dijumpai di dalam rumah dan tempat yang paling banyak dijumpai ialah di dalam bilik tengah yang sekarang ini menjadi bilik tidur anak lelakinya.

Aku pun tak pasti samada adik aku ini mengadakan bacaan doa selamat sebelum menduduki rumah ini ataupun mereka terus sahaja duduk selepas membuang dan membersihkan rumah tersebut. Jika mereka terus duduk tanpa mengadakan majlis doa selamat terlebih dahulu maka aku syak bahawa yang mengganggu mereka sekarang ini adalah Jin Kafir belaan yang dipuja oleh lelaki India bekas tuan rumah itu.

Menurut cerita adikku lagi, anak lelakinya kerap diganggu dan sering ternampak kelibat Jin itu ketika memasuki bilik tidurnya. Tempat bersarangnya Jin itu ialah di bawah katil, beberapa bisikan sering didengar di telinganya beserta hembusan-hembusan kecil. Setakat ini anak lelakinya masih boleh bertahan dan tidak menghiraukan apa yang didengarinya walaupun kadang-kadang ia tewas juga dan tidak berani untuk tidur di bilik itu.

Pernah suatu hari adik aku cerita yang dia ada mendengar bunyi gelang kaki bergemerincing seolah-olah anak perempuannya yang biasa memakai gelang kaki berjalan di dalam rumah, pada hal ketika itu anak perempuannya berada di kolejnya di Kuala Kangsar. Adik aku serta suami dan anak-anaknya juga selalu mendengar bunyi sudu berlaga di dapur terutama di waktu malam seperti ada orang sedang makan. Tetapi apabila mereka membuat intipan, tiada sesiapapun di dapur. Kalau setakat bunyi tapak kaki berjalan di dalam rumah itu sudah menjadi perkara biasa bagi mereka sekeluarga dan ianya sudah lali dan tiada apa yang perlu ditakutkan lagi.

Walaupun Jin itu berpusat di dalam bilik tidur tetapi boleh dikatakan bahawa seluruh rumah itu kini telah dikuasainya kerana ramai yang sedar dan dapat merasakan apabila mereka sekeluarga ada di dalam rumah mereka terasa seolah-olah sedang diperhatikan membuatkan hidup mereka gelisah dan tidak tentu arah.

Suatu pagi, anak lelakinya membuka komputer dan meninggalkannya sebentar untuk membeli sarapan pagi. Dalam masa yang sama adik perempuannya mendapat khabar yang tiga orang kawan sekolahnya terlibat dalam satu kemalangan jalanraya dan meninggal dunia di tempat kejadian. Terkejut dengan berita itu, adik perempuannya memaklumkan kepada ibunya yang dia tidak mahu ke sekolah kerana ingin menziarahi ketiga-tiga kawannya yang meninggal dunia di hospital.

Apa yang lebih mengejutkannya pada pagi itu ialah apabila komputer di dalam bilik yang dibuka oleh abangnya yang belum pulang dari membeli sarapan sejak tadi tiba-tiba berbunyi dan mendendangkan sebuah lagu yang menjadi kegemaran salah seorang kawannya yang meninggal itu. Tajuk lagu itu ialah 'Berharap Kau Setia' dendangan kumpulan D'wapinz dari Indonesia. Kejadian itu sangat menakutkan dan jika diamati bait-bait lagu tersebut seperti arwah berpesan kepada kekasihnya supaya tetap setia kepadanya walaupun ia sudah tiada di dunia ini.

Sesungguhnya aku sebagai seorang abang amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga adikku itu dan ingin menolong memulihkan rumah tersebut supaya terhindar dari gangguan Jin, Iblis dan Syaitan yang sangat jahat dan sering mengganggu hidup mereka. Untuk itu, aku sudah mendapatkan seorang ustaz yang sanggup untuk membantu yang akan aku bawa dari Kuala Lumpur. Tarikh yang ditetapkan ialah pada hari Ahad 23 November 2014 jam 9 pagi. Ustaz juga ada berpesan supaya disediakan garam bukit, lada hitam dan cuka semasa upacara pemulihan dibuat nanti.

Adalah diharapkan dengan izin Allah swt. usaha yang dibuat ini nanti akan berjaya menghalau Jin kafir itu dan keluarga adik aku akan hidup aman tenteram. Insya Allah...  

Bagi mengikuti sambungannya dan bagaimana rumah itu dipulihkan sila Klik di sini...