Saturday, May 8, 2021

OFFICE BARU...

Bermula awal bulan Mei 2011 ini, kami yang bertugas di Kumpulan Pengurusan Estet, akan berpindah ke pejabat baru di tingkat 5.

Kumpulan Pengurusan Estet yang mempunyai dua Bahagian didalamnya iaitu Bahagian Khidmat Ladang yang kini berada di tingkat 3 dan Bahagian Inspektorat di tingkat 1 akan ditempatkan bersekali di tingkat 5 itu.

Sekarang ini, tugas menyiapkan tempat baru kami berada diperingkat akhir dimana kerja-kerja pendawaian sedang giat dijalankan.

Secara peribadinya, aku merasa amat sedih untuk meninggalkan tingkat 1 ini kerana aku telah berada disini selama 6 tahun selepas ditukarkan dari Bahagian Khidmat Peserta pada tahun 2005 lalu.

Di tingkat 1 ini juga letaknya sebuah Auditorium, Surau, Lantai Biru dan Syarikat FUESB. Selepas pejabat kami berpindah nanti, kami tidak tahu apa perancangan yang akan dibuat oleh pihak pengurusan keatas tapak pejabat lama kami itu.

Banyak kenangan manis yang ditinggalkan oleh kami semua dan tak kurang juga kenangan sedih dan pahit yang terjadi. Kenangan paling sedih ialah apabila kami kehilangan seorang kawan iaitu Allahyarham Tn. Hj. Hashim b. Hj. Hassan yang meninggal dunia di HKL. Beliau juga adalah seorang staf di tingkat 1 ini.

Selain itu
kenangan pahit yang di catatkan juga ialah apabila pejabat kami terbakar yang disahkan oleh pihak bomba berpunca dari sepuntung rokok yang tidak dipadamkan apinya terlebih dahulu sebelum di campak kedalam tong sampah. (Cerita terperinci mengenainya telahpun dimuatkan kedalam blog ini melalui tajuknya 'Kerana Sepuntung Rokok'. Kalau nak baca Klik di sini.

Ditingkat 1 ini juga telah berlakunya
beberapa perpisahan dimana beberapa orang pegawai kami telah bersara diantaranya Tn. Hj. Aziz, Tn. Hj. Aminuddin, Tn. Hj. Shaharom, Pn. Hjh. Norhayati, dan Pn. Normah Basri.

Office baru kami di tingkat 5 dari pelbagai sudut








Office lama kami yang akan di tinggalkan
hu...hu...hu...sedihnyer....


Office lama kami dalam tragedi kebakaran



KISAH NABI DAUD YANG SANGAT TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T...

Kata Mujahid: "Nabi Dawud A.S. menangis selama 40 hari dalam sujud tanpa megangkat kepala sehingga tumbuh rumput-rumput dari titisan air matanya, beliau juga menutup mukanya disebabkan kesalahan yang telah dilakukannya."

Lalu kedengaran suara yang berkata: "Wahai Dawud, apakah kamu lapar, kalau kamu lapar kamu akan diberi makan. Kalau kamu haus kamu akan diberi minum, kalau kamu tiada pakaian kamu akan diberi pakaian."

Apabila Nabi Dawud mendengar suara itu maka beliau pun memekik dengan pekikan yang sungguh kuat sehingga kayu yang basah menjadi kering dan terus terbakar disebabkan takutnya kayu itu.

Kemudian Allah S.W.T. menerima taubat Nabi Dawud, lalu Nabi Dawud berdoa: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah kesalahanku ditulis dalam tapak tanganku". Maka tertulislah kesalahan Nabi Dawud di tapak tangannya. Nabi Dawud tidak membuka tapak tangannya walau pun ketika hendak makan, minum atau untuk keperluan lain. Setiap kali Nabi Dawud melihat kesalahan yang tertulis di tangannya beliau akan menangis." -

Mujahid meneruskan ceritanya lagi: "Dibawakan kepada Nabi Dawud gelas yang mengandungi 2/3 air untuk diminum, apabila Nabi Dawud meletakkan gelas pada bibirnya maka terpandanglah beliau akan kesalahan yang tercatit di tangan beliau. Lalu menangislah Nabi Dawud sehingga gelas tadi dipenuhi dengan air matanya.

Diriwayatkan bahawa Nabi Dawud tidak mengangkat kepalanya memandang ke langit sehingga beliau wafat, ini adalah kerana malunya beliau kepada Allah S.W.T.

Dalam munajatnya Nabi Dawud A.S. pada Allah S.W.T., beliau berkata: "Wahai Tuhanku! Apabila aku mengingatkan kesalahanku, maka sempitlah bumi ini bagiku. Apabila aku ingat kepada rahmatMu maka kembalilah nyawaku. Maha Suci Engkau wahai Tuhanku, Engkau datangkan doktor-doktor hamba Engkau untuk mengubati kesalahanku. Kesemua mereka menunjukkan aku kepada Engkau. Maka celakalah bagi orang-orang yang berputus asa dari rahmat Engkau."

Pada suatu hari Nabi Dawud telah mengingati dosanya, beliau pun melompat dengan meletakkan tangannya ke atas kepala lalu berlari sehingga sampai di bukit. Kemudian berkumpullah binatang buas mengadapnya. Berkata Nabi Dawud A.S. pada binatang-binatang itu, "Baliklah kamu semua, aku tidak memerlukan kamu semua. Sesungguhnya yang aku mahu ialah, setiap orang hendaklah menangis di atas kesalahan mereka itu, dan setiap yang melakukan kesalahan pada Allah hendaklah menangis."

Nabi Dawud A.S. berkata: "Tinggalkan aku, biar aku menangis sebelum hari tangisan. Sebelum datang hari di mana tulang-belulang aku dihancurkan dan dibakarnya perutku, dan sebelum malaikat yang bersikap kasar dan keras datang kepadaku. Mereka itu tidak sekali-kali mendurhakai Allah dan mereka itu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah ke atas mereka."

Abdul Aziz bin Umar berkata: "Ketika Nabi Dawud A.S. telah membuat kesalahan maka suaranya pun menjadi kurang merdu, lalu beliau berdoa: "Wahai Tuhanku! Benarkanlah suaraku dalam kebersihan suara orang-orang shiddiq."

Dikisahkan bahawa apabila Nabi Dawud terlalu lama menangis, tangisannya tidak mendatangkan faedah, maka sempitlah baju besinya dan sangat susah benarlah hatinya. Kemudian beliau berdoa: "Wahai Tuhanku! Apakah Engkau tidak mengasihaniku ?"

Lalu Allah S.W.T. berfirman: "Wahai Dawud! Kamu telah lupa dosa kamu tetapi kamu ingat tangisanmu itu." Nabi Dawud A.S. berkata: "Ya Tuhanku dan Penghuluku! Bagaimana hendak aku lupakan dosaku apabila aku membaca kitab Zabur, nescaya ia mencegah air yang mengalir dari mengalir. Menenangkan hembusan angin, dan burung menaungi atas kepalaku. Aku menjinakkan binatang-binatang liar di tempat sembahyangku. Wahai Tuhanku dan Penghuluku! Apakah keliaran ini yang ada di antara aku dengan Engkau ?"

Kemudian Allah S.W.T. berfirman: "Wahai Dawud! Itu adalah kejinakan taat dan ini keliaran maksiat! . Wahai Dawud! Adam itu makhluk dari ciptaanKu, Aku ciptakan dia dengan tangan (kekuasaanKu) Ku, Aku hembuskan padanya ruhKu dan Aku suruh para malaikatKu sujud kepadanya. Dengan mahkota kemuliaanKu Adam mengadu kepadaKu kerana keseorangan, kemudian Aku kahwinkan dia dengan Hawa hamba wanitaKu dan Aku tempatkan dia dalam syurgaKu. Setelah itu dia telah berbuat maksiat kepadaKu, lalu Aku usir dia dari tetanggaKu dengan tidak berpakaian (telanjang) dan hina. Wahai Dawud! Dengarlah dari Aku yang benar Aku firmankan, engkau minta kepada Kami, Kami berikan kepada engkau. Engkau berbuat maksiat kepada Kami, Kami perlambat-lambatkan kepada engkau. Dan kalau engkau kembali kepada Kami nescaya Kami terima engkau."

Diriwayatkan bahawa apabila Nabi Dawud hendak menangis maka dia tidak akan makan dan minum selama seminggu, dan beliau akan keluar ke tanah lapang. Beliau menyuruh anaknya Sulaiman supaya menyeru kepada semua yang ada dalam semak, bukit-bukit, gunung-gunung dan di mana sahaja supaya datang untuk mendengar ratapan Nabi Dawud A.S.

Setelah Nabi Sulaiman A.S. menyampaikan berita tersebut maka datanglah binatang-binatang buas, binatang-binatang yang menjalar, burung-burung, anak-anak gadis dan orang ramai dari seluruh pelusuk. kemudian Nabi Dawud naik atas mimbar dan beliau dikelilingi oleh Bani Israil (kaum Yahudi).

Lalu Nabi Dawud A.S. memuji Allah S.W.T., Kemudian gemparlah mereka semua dengan tangisan dan pekikan. Setelah itu Nabi Dawud A.S. menceritakan tentang syurga dan neraka. Apabila terdengar sahaja tentang syurga dan neraka maka matilah setengah binatang-binatang yang menjalar, binatang liar, binatang buas dan manusia. Kemudian Nabi Dawud A.S. menceritakan tentang huru-hara hari Kiamat dan beliau sendiri menangis, maka di masa itu matilah segolongan makhluk Allah.

Apabila Nabi Sulaiman A.S. melihat terlampau banyaknya yang mati maka beliau pun berkata: "Wahai ayahku! ayah telah membinasakan para pendengar setiap kali syarahan. Kini telah banyak yang mati terdiri dari Bani Israil dan binatang-binatang."

Kemudian Nabi Dawud A.S. pun berdoa, dalam waktu beliau sedang berdoa itu tiba-tiba seorang budak dari Bani Israil berkata: "Wahai Dawud! Kamu terlalu cepat sangat meminta balasan dari Tuhanmu."

Apabila Nabi Dawud A.S. mendengar kata-kata budak itu maka beliau pun jatuh tersungkur dan pengsan. Nabi Sulaiman yang menyaksikan peristiwa itu berkata: "Ketahuilah sesiapa yang berteman atau berkeluarga dengan Dawud A.S. hendaklah mereka itu membawa Nabi Dawud ke tempat tidurnya, sesungguhnya orang-orang yang bersama Dawud A.S. itu telah mati disebabkan Nabi Dawud menceritakan kepada mereka tentang syurga dan neraka.

Setelah Nabi Dawud A.S. sedar dari pengsannya, dia bangun berdiri dan meletakkan tangannya di atas kepala. Kemudian dia masuk ke rumah tempat dia beribadah dan dikuncinya dari dalam, dan dia pun berdoa: "Ya Tuhanku! adakah Engkau marah kepadaku?" Begitulah Nabi Dawud A.S. sentiasa bermunajat kepada Allah S.W.T.

Nabi Sulaiman datang menghampiri rumah tempat ayahnya beribadat, beliau meminta izin masuk. Setelah Nabi Dawud A.S. mengizinkan anaknya masuk, Nabi Sulaiman membawa bersamanya roti untuk ayahnya.

Nabi Sulaiman berkata: "Wahai ayahku! makanlah roti ini, mudah-mudahan akan menguatkan kesihatan ayah."

Pada suatu hari Nabi Dawud memberi ceramah pada orang ramai, beliau banyak memberi nasihat supaya takutkan kepada Allah. Pada masa beliau memulakan ceramah terdapat 40,000 orang yang menghadiri majlis itu, oleh kerana para pendengar itu berasa cukup takut kepada Allah S.W.T. maka 30,000 orang dari seramai 40,000 itu telah mati disebabkan takutnya mereka kepada Allah S.W.T. Akhirnya yang pulang bersama Nabi Dawud A.S. cuma 10,000 orang sahaja.

Dikisahkan bahawa Nabi Dawud ada dua orang budak perempuan, apabila Nabi Dawud merasa takut kepada Allah S.W.T. maka kedua hamba itu akan naik duduk di atas dada dan di kaki Nabi Dawud, ini adalah kerana takut nanti anggota Nabi Dawud akan cerai-berai oleh kerana takutnya dia kepada Allah S.W.T.

Cuba kita renung dan kaji sejauh manakah takutnya kita kepada Allah S.W.T., berapa banyakkah orang yang sentiasa menyesal terhadap dosa yang telah dilakukan oleh mereka dan berapa banyakkah yang tidak takut kepada Allah S.W.T.. Kalau kita lihat dengan mata kita sendiri maka sudah terbukti bahawa tidak sampai 30% orang yang takut kepada Allah, tetapi orang mencabar kekuasaan Allah melebihi dari 50%.

Kalau sudah sampai tahap 50% manusia mula takut kepada Allah, maka masjid dan surau terpaksa dibuat bertingkat-tingkat untuk menampung para jemaah. Hari ini, cuma hari Jumaat dan hari raya sahaja masjid menjadi tumpuan sedangkan pada hari lain amatlah menyedihkan.

Semoga Allah S.W.T. menyelamatkan semua orang- orang Islam di dunia dan di akhirat.

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

TINGGI NABI ADAM 60 HASTA...

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: "Allah S.W.T. telah menjadikan Nabi Adam A.S. pada permulaan kejadiannya seperti rupanya di bumi, tingginya 60 hasta." Sebaik saja Nabi Adam A.S. selesai dicipta maka Allah S.W.T. berfirman kepadanya: "Pergilah kamu kepada kelompok malaikat yang sedang duduk dan dengarkan jawapan mereka apabila kamu memberi salam. Setelah kamu mendengar maka begitulah cara yang harus kamu dan anak cucumu nanti memberi salam."

Kemudian Nabi Adam A.S. pun pergilah menghampiri kelompok malaikat itu lalu beliau pun memberikan salam: "Assalammualaikum (semoga anda berbahagia)." Para malaikat menjawab salam itu: "Assalammualaika warahmatullah (semoga kamu bahagia pula dan beroleh rahmat Allah)."

Rasulullah S.A.W. bersabda Allah telah berfirman bahawa: "Setiap orang yang masuk syurga bentuknya seperti Adam A.S., tingginya 60 hasta. Sekalipun makhluk kemudian semakin hari semakin pendek hingga akhir zaman."

Memberi dan menjawab salam adalah salah satu tanda-tanda orang Islam dan perkataan yang harus berada dalam mulut tiap-tiap orang Islam. Dari permulaan manusia pertama Nabi Adam A.S. sehinggalah sekarang, salam itu tetap di mulut orang-orang muslim.

Sayangnya generasi sekarang yang hidup dalam kehidupan serba moden menganggap salam itu sudah tidak sesuai lagi. Mereka lebih cenderung menggunakan perkataan Yahudi seperti "Good Morning" atau sebagainya. Oleh kerana didikan dan asuhan yang diberikan oleh kedua ibu bapa itu lebih cenderung ke arah barat maka dengan sendirinya hormat anak terhadap ibu bapa sudah terhapus, apatah lagi hendak menggunakan perkataan "Assalammualaikum" kerana ia sudah tidak sesuai lagi disebut.


Kehidupan cara luar dari landasan Islam semuanya adalah penipuan ke atas diri sendiri, tidak ada agama yang lebih mulia dari agama Islam dan tidak ada pendidikan yang lebih berakhlak dari pendidikkan cara Islam.

Wahai saudara-saudaraku, janganlah kita ikuti arus kehidupan yang serba moden yang kini sedang melanda dunia hari ini. Berpakaian yang boleh menampakkan aurat seperti cara hidup orang yang tidak bermoral, meminum minuman keras seperti arak untuk menunjukkan kemegahan, bercampur gaul antara lelaki dan wanita yang tidak terbatas dan menggayakan cara hidup manusia yang bebas melakukan perkara-perkara maksiat yang dimurkai Allah S.W.T.

Apabila dunia telah menjadi moden maka manusia sendiri telah menjadikan diri mereka seorang yang bodoh. Diberikan akal fikiran untuk berpakaian sengaja dibukakan aurat supaya jelas kelihatan, meminum minuman keras kemudian menjadi mabuk dan menyiksa diri sendiri dan juga pergaulan antara lelaki dan wanita yang tidak terbatas maka berlakulah lah perkara-perkara maksiat yang boleh merosakkan diri sendiri.

Maka akan turunlah azab dari Allah, menjadikan penyakit yang sukar diubati dan bermacam-macam lagi bencana menimpa ke atas manusia hari ini.

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

ABU JAHAL DAN KUNCU-KUNCUNYA MELETAKKAN PERUT UNTA DI ATAS BAHU RASULULLAH S.A.W...

Ibnu Mas'ud r.a.berkata: "Pada suatu waktu ketika baginda Rasulullah S.A:W. sedang menunaikan sembahyang dekat Ka'bah, kebetulan Abu Jahal dan kawan-kawannya duduk dekat situ. Dan kebetulan pula kelmarinnya ada orang menyembelih unta di situ.

Abu Jahal berkata: 'Wahai sahabat-sahabatku, siapakah di antara kamu yang sanggup mengambil perut unta dan meletakkan di atas bahu Muhammad (S.A.W.) ketika dia sujud.'

Kemudian pergilah salah seorang dari mereka mengambil perut unta yang terdapat dekat situ, lalu mereka pun meletakkan perut unta di atas bahu Rasulullah S.A.W. ketika beliau sedang sujud."

Ibnu Mas'ud berkata lagi: "Setelah itu mereka ketawa terbahak-bahak dan aku tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berdiri sahaja melihatnya. Kalaulah aku sanggup sudah tentu aku buang perut unta itu dari bahu Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. tidak mengangkat kepala sebaliknya beliau terus berada dalam sujud sehingga ada orang yang pergi memberitahu Fatimah . Ketika itu Fatimah masih budak-budak lagi.

Setelah Fatimah datang, lalu dibuangkan perut unta tersebut dari bahu Rasulullah S.A.W. Kemudian Fatimah menghampiri Abu Jahal dan kuncu-kuncu lalu Fatimah memaki kesemua mereka itu. Setelah selesai Rusulullah S.A.W. menunaikan sembahyang maka beliau pun mengeraskan suara dengan berdoa, beliau membaca doa tiga kali dan apabila beliau meminta beliau meminta tiga kali. Rasulullah S.A.W. berkata: "Allahumma 'alaika bi Quraisy."

Ketika Abu Jahal dan kuncu-kuncunya mendengar Rasulullah S.A.W. berdoa, mereka berhenti dari ketawa kerana takut akan doa beliau. Rasulullah S.A.W. berdoa: "Allahumma 'alaika bi Abi Jahal bin Hasyim, wa 'Utbah bin Rabia'ah. wa Syaibah bin Rabi'ah, wal Walid bin 'Uqabah, wa Umayyah bin Khalaf, wa 'Uqbah bin Abi Mu'ith (Doa Rasulullah S.A.W. untuk membinasakan mereka itu)."

Ibnu Mas'ud ada menyebut nama orang yang ketujuh dalam kumpulan itu, tetapi perawi lupa namanya.

Kata Ibnu Mas'ud lagi: "Demi Allah yang telah mengutus Muhammad S.A.W. dengan yang hak, sesungguhnya aku melihat kesemua orang-orang yang disebutkan nama mereka dalam doa beliau itu kesemuanya mati tergeletak dalam perang Badar. Kemudian mayat-mayat mereka itu diseret ke dalam lubang di Badar itu."

Wahai saudara-saudaraku jangan sekali-kali kita ingat bahawa Rasulullah S.A.W. berdoa supaya membinasakan mereka disebabkan beliau hendak membalas dendam, sesungguhnya dalam diri Rasulullah S.A.W. tidak ada satu ruang pun untuk membalas dendam pada sesiapa pun. Sebab-sebab Rasulullah S.A.W. mendoakan supaya mereka itu binasa hanya Allah dan RasulNya sahaja yang tahu.

Janganlah kita membaca sesuatu cerita itu kemudian kita mempunyai sangka buruk, mereka yang menyangka buruk terhadap Rasulullah S.A.W. adalah mereka itu bapa syaitan. Sifat sabar yang ada pada diri Rasulullah S.A.W. tidak akan terdapat pada diri sesiapa pun di dunia ini. Oleh itu bila kita membaca cerita begini syaitan akan menganggu kita, kita hendaklah bertekad dalam hati kita bahawa tidak ada walau satu titik pun dalam diri Rasulullah itu sifat balas dendam.

Semoga Allah S.W.T. menjauhkan kita semua dari dirasuk oleh syaitan dengan memburuk-burukkan peribadi Rasulullah S.A.W.

Sebaik-baik akhlak itu ialah akhlak Rasulullah S.A.W., sebaik-baik cara hidup itu adalah cara hidup yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

KISAH SAYYIDINA UMAR R.A. DIBUNUH DI DALAM MASJID...

Amr bin Maimun berkata:" Ketika Umar r. a. mendapat musibah aku berdiri dekat beliau, dekat dengan aku ialah Abdullah bin Abbas. Umar r.a. melalui dua saf dan didapatinya ada saf yang kosong kemudian beliau menyuruh penuhkan ruang saf yang kosong itu, dan merapatkan saf-saf."

Amr bin Maimun berkata lagi: "Ketika Umar r.a. membaca surah Yusuf maka makin banyaklah orang berkumpul. Kemudian aku mendengar kata-kata yang berbunyi: "Dibunuh aku atau aku dimakan oleh anjing." Setelah kedengaran kata-kata itu maka melurulah Abu Lu'luah dengan pisau yang mempunyai dua mata lalu menikam Umar r.a. Sewaktu Abu Lu'luah hendak menikam Umar r.a., dia telah berada dalam saf seolah-olah dia juga hendak sembahyang. Untuk melepaskan dirinya Abu Lu'luah menikam seramai 13 orang yang sedang sembahyang, sembilan dari mereka itu mati. Ada riwayat yang mengatakan tujuh orang yang mati. Umar r.a. ditikam ketika dia hendak memulakan sembahyang.

Apabila keadaan menjadi kelam kabut maka orang kafir ajam yang bernama Abu Lu'luah itu itu cuba melarikan diri, tetapi orang-orang muslim menarik baju jubahnya, apabila orang kafir itu menduga bahawa orang muslim telah melemparkan pakaian jubahnya itu maka dia pun membunuh diri. Umar r.a. memegang Abdurrahman bin Auf dan menyuruh beliau naik menjadi imam, hal ini hanya diketahui oleh orang-orang yang berdekatan dengan di sudut masjid tidak tahu apa-apa. Dan selain itu tidak lagi kedengaran suara apa-apa kecuali ucapan: "Subhanallah, Subhanallah."

Setelah selesai Abdurrahman bin Auf mengimami solat maka orang ramai pun bersurai, mereka tidak tahu apa yang terjadi kepada Umar r.a. Abdurrahman bin Auf menghampiri Umar r.a.

'Kata Umar r.a.: "Wahai Ibnul Abbas, kamu tolong siasat siapakah yang telah menikam aku tadi."

Kemudian Abdurrahman bin Auf pergi, seketika kemudian dia datang kepada Umar r.a. dan berkata: "Wahai Amirrul mukminin , orang yang menikam kamu adalah dari hamba Al Mughirah bin Sya'bah."

Kata Umar r.a.: "Kalaulah dia dibunuh oleh Allah, sesungguhnya aku menyuruhnya yang baik."

Kata Umar r.a. lagi: "Syukur aku kepada Allah S.W.T. kerana aku tidak dibunuh oleh orang muslim."

Al-Abbas banyak sekali berkawan rapat dengan or­ang kafir Ajam di Madinah, berkata Al-Abbas: "Wahai Amirul mukiminin, kalau kamu menghendaki, kami sedia membunuh mereka semua."

Kata Umar r.a.: "Apakah kita hendak membunuh mereka setelah mereka berkata-kata dalam bahasa kamu, apakah mereka mengerjakan solat ke kiblat kamu? Dan mengerjakan haji seperti haji kamu?"

Setelah Umar r.a. berkata demikian maka diamlah mereka buat seketika, Umar r.a. lalu dibawa ke rumah beliau dalam keadaan parah."

Amr meneruskan cerita: "Pada hari itu manusia merasakan seolah-olah telah menimpa satu musibah yang belum menimpa mereka sebelum hari itu. Ada pula yang mengatakan: "Aku sangat takut akan keadaan nasib Umar r.a.". Ada pula yang berkata: "Tidak ada apa-apa yang membahayakan pada diri Umar."

Apabila Umar r.a. berada di rumahnya beliau diberikan oleh para sahabat yang lain meminum air nabiz (yakni sejenis air yang diperbuat dari buah tamar dan ianya tidak memabukkan). Umar r.a. pun meminum air tersebut, tetapi air itu keluar dari perutnya. Kemudian diberikan pula susu, susu juga keluar dari perut Umar r.a. Tahulah para sahabat bahawa Umar r.a. akan wafat.

Oleh kerana keadaan Umar yang makin tenat maka ramailah yang datang menziarahi beliau. Seorang lelaki menghampiri Umar r.a. dengan berkata: "Gembiralah wahai Amirul mukminin dengan khabar gembira dari Allah Azza wa Jalla, engkau telah masuk Islam dengan persahabatan Rasulullah S.A.W., engkau dijadikan wali negeri . Kamu berlaku adil dan mati kamu adalah syahid."

Kata Umar r.a.: "Bagi aku yang demikian itu adalah sudah cukup. Tidak atasku dan tidak bagiku."

Apabila lelaki itu undur ke belakang maka kain yang dipakainya itu telah turun ke bawah, lalu Umar r.a. berkata: "Wahai anak saudaraku, angkatlah kainmu, sesungguhnya itu akan mengekalkan kainmu dan lebih mentaqwakan kepada Tuhanmu."

Setelah itu Umar r.a. berkata: "Wahai Abdullah, sila perhatikan berapa banyakkah hutang-hutang yang aku belum jelaskan?"

Lalu Abdullah pun mengira hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh Umar r.a., setelah mengira beliau pun berkata: " Wahai Amirul mukminin, hutangmu itu ada sebanyak 86,000 dirham."

Kata Umar r.a.: "Kalau harta Umar ini cukup untuk menyelesaikan hutang itu maka kamu selesaikan, kalau hartaku ini tidak cukup mintalah kepada kabilah Bani 'Adi bin Kaab. Kalau harta mereka juga tidak cukup maka mintalah kepada kabilah Quraisy dan janganlah engkau melampaui mereka dengan orang lain dan selesaikan hutangku."

Kata Umar r.a. lagi: "Pergilah kamu kepada Ummul-mukminin 'Aisyah, katakanlah kepadanya bahawa Umar sampaikan salam dan jangan kamu katakan Amirul mukminin, sebab pada hari ini aku bukan lagi Amirul mukminin. Katakanlah bahawa Umar bin Al-Khattab meminta izin untuk dikuburkan bersama kedua temannya." (yang dimaksudkan kedua temannya ialah supaya diizin untuk dikuburkan jenazah Umar di sebelah Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar r.a.).

Setelah Abdullah menerima arahan dari Umar r.a. maka beliau pun pergi ke rumah 'Aisyah , setelah memberi salam dan diizinkan masuk maka Abdullah mendapati 'Aisyah sedang menangis. Abdullah pun berkata Umar menyampaikan salam dan beliau meminta izin dari kamu supaya beliau dapat dikuburkan bersebelahan dengan kedua temannya."

Kata 'Aisyah r.a.: "Wahai Abdullah, sebenarnya aku menghendaki tempat itu untuk diriku , tetapi pada hari ini aku lebih utamakan Umar dari diriku sendiri."

Setelah Abdullah mendapat izin dari 'Aisyah r.a. maka beliau pun kembali ke rumah dan berkata: "Ini Abdullah bin Umar telah datang."

Kata Umar r.a.: "Tolong angkat aku." Lalu Umar r.a. pun diangkat dan disandarkan kepada Abdullah oleh salah seorang para sahabat.

Kata Umar r.a.: "Wahai Abdullah, bagaimana dengan kerja yang aku suruh?"

Kata Abdullah: "Apa yang kamu ingin wahai Amirul mukminin 'Aisyah telah izinkan."

Kata Umar r.a.: "Alhamdulillah, tidak ada sesuatu yang lebih penting padaku dari pada itu, apabila ajalku telah sampai bawalah aku. Kemudian ucapkan salam dan kebumikan aku bersama temanku, kalau tidak diizinkan maka hendaklah kamu membawa aku keperkuburan kaum muslimin."

Anak perempuan Umar yang bernama Ummul mukminin Hafshah datang menziarahi bapanya, Hafshah masuk melihat keadaan ayahnya dan dia menangis. Kemudian kaum lelaki meminta Hafshah masuk ke dalam sedikit sebab kaum lelaki hendak menziarah, Hafshah pun masuk dan menangis. Lalu berkata kaum lelaki pada Umar: "Wahai Amirul mukminin, berilah wasiatmu."

Kata Umar r.a.: "Aku tidak nampak yang lebih berhak dengan urusan ini dari mereka, sewaktu Rasulullah S.A.W. wafat, Rasulullah S.A.W. redha kepada mereka. Lalu dia menyebut: "Ali, Usman, Az-Zubair, Thalhah, Saad dan Abdurrahman." Kata Umar r.a.: "Abdullah bin Umar naik saksi, dan tiada baginya sesuatu dari urusan itu seperti, cara ta'ziah baginya."

Kata Umar r.a.: "Aku wasiatkan kepada Khalifah sesudahku bagi orang-orang muhajirin yang pertama, bahawa diakui mempunyai kelebihan bagi mereka dan jagalah kehormatan mereka. Dan aku wasiatkan kepada Khalifah itu agar sentiasa membuat kebaikan bagi orang-orang Ansar yang telah mendiami negeri dan iman sebelum dari kaum muhajirin itu, bahawa ihsan dari mereka diterima dan perbuatan buruk mereka dimaafkan."

Kata Umar r.a. lagi: "Aku wasiatkan kepada Khalifah itu akan kebajikan penduduk-penduduk kota bahawa mereka itu kurang baik Islamnya, mereka mengumpulkan harta dan bersikap kasar terhadap musuh. Janganlah ambil pemberian mereka melainkan pemberian dengan hati yang ikhlas. Dan aku wasiatkan kepada Khalifah itu akan kebajikan terhadap orang-orang Arab desa. Sesungguhnya mereka itu Arab asli dan unsur Islam dan bahawa dia mengambil harta mereka dan diberikan kepada orang- orang miskin di kalangan mereka juga. Aku wasiatkan kepada Khalifah itu supaya setia kepada Allah 'Azza wa jalla dan setia kepada Rasulullah S.A.W. Bahawa diperangi mereka kerana mereka mementingkan hak mereka, dan tidak diberatkan kepada mereka selain menurut kemampuan mereka."

Kata Amr: "Ketika Umar r.a. telah wafat lalu kami membawa jenazah Umar r.a. dengan berjalan kaki, kemudian Abdullah bin Umar memberi salam dan berkata: "Umar A1 Khattab meminta izin." Kemudian 'Aisyah r.a. berkata: "Bawalah dia masuk."

Lalu mereka membawa jenazah Umar r.a. masuk dan dikebumikan bersebelahan denga kedua temannya.

Jibrail A.S. berkata: "Islam itu menangis kerana meninggalnya Umar."

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

KISAH MALAIKAT MAUT DENGAN NABI IBRAHIM A.S....

Diriwayatkan dari Nabi Ibrahim A.S. bahawa dia telah bertanya malaikat maut tentang rupanya ketika malaikat maut hendak mencabut orang yang ingkar pada perintah Allah.

Nabi Ibrahim A.S. bertanya kepada malaikat maut: "Wahai malaikat maut, bolehkah kamu tunjukkan rupamu apabila kamu hendak mencabut nyawa orang yang zalim?"

Kata Nabi Ibrahim A.S. lagi: "Wahai malaikat maut, apakah kamu mampu memperlihatkan keadaan wajahmu ketika itu?"

Kata malaikat maut: "Wahai Ibrahim A.S., aku sedia memperlihatkan wajahku pada ketika aku mencabut ruh orang-orang yang zalim."

Kata malaikat maut lagi: "Wahai Ibrahim A.S., kini berpalinglah kamu dari memandangku buat seketika."

Lalu Nabi Ibrahim A.S. pun memalingkan mukanya buat ketika dan kemudiannya memaling kembali kearah malaikat maut. Nabi Ibrahim memandang malaikat maut yang mana dianya berbentuk lelaki hitam, rambutnya kerinting, baunya cukup busuk sekali, dianya memakai kain hitam, dari mulut dan lubang hidung malaikat maut itu keluar lidah api dan asap.

Apabila Nabi Ibrahim A.S. melihat akan keadaan malaikat maut maka beliau terus jatuh dan pengsan. Setelah Nabi Ibrahim A.S. sedar dari pengsan, maka malaikat maut pun kembali memperlihatkan wajahnya yang cantik.

Kata Nabi Ibrahim A.S.: "Wahai malaikat maut, kalaulah orang yang zalim itu melihat mukamu sebelum mereka mati, maka yang demikian itu pun cukup memadai."

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Nabi Ibrahim A.S. ialah orang yang cemburu, beliau mempunyai sebuah rumah untuk beliau beribadat. Apabila beliau hendak keluar maka beliau akan mengunci rumahnya terlebih dahulu. Maka pada suatu hari Nabi Ibrahim A.S. pulang ke rumahnya dan beliau terkejut apabila melihat ada seorang lelaki berada dalam rumahnya, lalu beliau pun berkata: "Siapakah kamu ini yang sanggup memasuki rumahku?"

Maka lelaki itu berkata: "Aku dimasukkan ke dalam rumah ini oleh tuan punya rumah ini."

Kata Nabi Ibrahim A.S. : "Rumah ini aku yang punya."

Kata Nabi Ibrahim lagi: "Katakan kepadaku, adakah kamu ini malaikat?"

Kemudian lelaki berkata itu: "Aku ialah malaikat maut."

Kata Nabi Ibrahim A.S.: "Bolehkah kamu tunjukkan kepadaku keadaan rupa bentukmu apabila kamu hendak mengambil roh orang Islam."

Kata malaikat maut: "Berpalinglah kamu dari diriku buat seketika."

Lalu Nabi Ibrahim A.S. pun memalingkan mukanya buat seketika dan memandang kembali ke arah malaikat maut. Alangkah terperanjat Nabi Ibrahim A.S. apabila melihat kecantikan rupa malaikat maut, rupanya seperti orang muda dan memakai kain yang cukup cantik dan penuh dengan keharuman baunya. Kata Nabi Ibrahim A.S.: "Wahai malaikat maut, jikalau tidak ditemui oleh orang mukmin ketika mati, selain rupa engkau, nescaya mencukupilah."

Wahai saudara-saudaraku, kita sendiri belum tahu bagaimana rupa malaikat maut ketika hendak mengambil nyawa kita, yang pentingnya ialah kita hendaklah sentiasa berdoa yakni: "Ya Allah, Ya Tuhanku, mudahkanlah atasku sewaktu sakaratul maut."

Dipetik dari Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

KISAH TEMPAT TINGGAL IBLIS...

Gambar Hiasan...
 
Salah seorang sahabat, Anas bin Malik r.a. berkata: "Iblis laknat telah bertanya kepada Allah S.W.T. antaranya ialah:-

Kata Iblis kepada Allah S.W.T.: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat kediaman yakni rumah untuk berzikir kepadamu. Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku."

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: 'Wahai Iblis, tempat kediamanmu ialah di dalam bilik air (tandas).'

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat mereka berkumpul (masjid, surau). Di manakah tempat bagiku berkumpul ?"

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai Iblis, tempat untuk kamu berkumpul ialah di pasar-pasar (di pusat-pusat membeli belah, pesta-pesta, kelab-kelab malam, majlis-majlis maksiat, tempat-tempat hiburan dan sebagainya)."

Iblis berkata lagi: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan pada anak Adam itu kitab untuk mereka membaca (Al-Quran). Tunjukkanlah kepadaku apakah bahan bacaanku?"

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah Syair (sajak dan yang bersangkutan dengannya)."

Kata Iblis: "YaTuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?"

Firman Allah S.W.T.: " Wahai Iblis, cerita bagimu ialah kata-kata dusta (bohong dan yang bersangkutan dengannya)."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan azan pada anak Adam untuk mereka mengajak orang datang (mengumpulkan orang untuk solat berjamaah). Apakah azanku (untuk mengumpulkan orang)."

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, azan untukmu ialah seruling."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan para Rasul) kepada anak-anak Adam. Siapakah yang akan menjadi utusan bagiku."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, para utusanmu ialah terdiri dari para dukun (dan yang lebih kurang sama dengannya)."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al-Qur'an) kepada anak-anak Adam, apakah tulisan bagiku?"

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, tulisan mu ialah tulisan gincu yang palsu di badan (seperti lukisan-lukisan dilengan, tahi lalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)".

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak-anak Adam itu perangkap-perangkap. Apakah perangkap bagiku."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, perangkap untuk mu ialah wanita-wanita."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan makanan (yang disebut dengan namaMu) kepada anak-anak Adam. Apakah makanan untukku?"

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah berikan minuman (minuman yang halal dan yang sentiasa dimulakan dengan bismillah) kepada anak-anak Adam. Apakah minuman bagiku?"

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, minuman untukmu ialah sesuatu yang memabukkan (seperti arak, yang lebih kurang sama dengannya dan minuman yang tidak dimulakan dengan bismillah)."

Ibnu Mas'uud r.a: berkata: "Kalau seseorang itu makan dengan tidak membaca bismillah, maka syaitan akan makan bersamanya. Apabila seseorang itu makan dan dimulai dengan bismillah maka syaitan tidak akan dapat makan bersama bahkan syaitan akan memuntahkan kembali apa-apa yang sudah dimakannya.

Ibrahim Annakhaai berkata: "Kalau seseorang itu masuk ke rumahnya dan memberi salam, maka syaitan akan berkata: Tidak ada tempat bagiku di sini.' Dan kalau seseorang itu hendak makan atau minum lalu dimulai dengan bismillah maka syaitan akan berkata: 'Tidak ada tempat dan tidak ada makanan dan minuman untukku di sini.' Akan keluarlah syaitan dengan rasa kecewa."

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...