Tuesday, February 15, 2011

MAYAT MENYERUPAI BABI



Ustaz Haron b. Ibrahim sedang menceritakan
pengalamannya kepada wartawan Mastika


Gambar lukisan berkaitan dengan kisah ini


Ingatkah anda dengan kejadian bot yang membawa Pendatang Asing Tanpa Izin karam berhampiran Pantai Morib, Banting, Selangor beberapa tahun lalu? Kalau anda masih ingat, dalam kejadian itu berpuluh-puluh orang pendatang asing telah mati lemas. terapung dan bergelimpangan di laut serta pantai berdekatan. Tapi sayang, saya tak ingat pula bila tarikh sebenar peristiwa itu berlaku.


“Tak apalah, yang penting bukannya tarikh kejadian, tapi pengalaman yang saya lalui akibat daripada tragedi itu. Alhamdulillah, akibat daripada kejadian tersebut, saya telah ditemukan Allah dengan satu jenazah yang cukup menginsafkan. Mayat berkenaan menyerupai babi, binatang yang hina dan haram di sisi Islam. Nauzubillah.”


Sejak kira-kira 15 tahun menjadi pegawai menguruskan jenazah dengan Pejabat Agama Islam Klang, itulah kali pertama saya bertemu dengan mayat sedemikian rupa. Cukup menginsafkan.


Mayat itu umurnya dalam lingkungan 20-an hingga 30-an. Dia dijumpai di pantai Morib, tak tau pula siang atau malam. Kitapun tak tahu sama ada dia pendatang asing atau penduduk tempatan sebab tak ada waris yang menuntut.


Macam biasa, bila polis atau Hospital Klang beritahu kami ada mayat yang tak ada waris di sana, saya pun pergilah uruskan. Hari itu saya pergi bertiga. Tapi dua orang pembantu saya ini bukan pembantu yang biasa. Mereka adalah kakitangan Pejabat Agama Islam Klang yang hendak belajar menguruskan jenazah.


Ceritanya macam ni. Masa nak pergi Hospital Klang, dua kawan saya tadi kata nak ikut saya mengruskan jenazah sebab mereka nak belajar.


“Baguslah,” kata saya. “Boleh jadi pelapis saya. Saya pun dapat kembangkan ilmu,” tambah saya lagi. Mereka seronoklah bila saya izinkan. Selepas semua urusan siap, kami pun pergi ke Hospital Klang. Masa itu kami tak tahu lagi mayat tadi menyerupai babi.


Bila diserahkan mayat itu kepada saya, saya pun bukakan kain yang menutupnya. Maha Suci Allah… bila ternampak saja mayat itu, kami semua terkejut. Benarkah ini mayat manusia?


Yang luar biasanya pada mayat tersebut ialah muncungnya macam babi. Nauzubillah. Muncungnya dumpu, betul-betul macam muncung babi. Susah nak dijawab macam mana bibir mayat itu boleh terpanjang sikit dan di hujung bibirnya itu seperti terkembang macam muncung babi. Cuma Allah yang tahu jawapannya.


Selain itu, matanya terbuka sedikit dan mata hitamnya terjegil. Melihat matanya saja dah menyeramkan.


Bukan itu saja, tangannya lurus macam kaki haiwan yang tengah berdiri. Begitu juga dengan kakinya yang dalam keadaan menegak. Bukanlah tegak betul, tapi ia condong sedikit ke depan. Tambahan pula kepalanya seperti sedang mendongak. Jadi kalau kita tegakkan mayat itu, ia jadi macam babi yang sedang menyondol.


Sesuatu yang saya rasa pelik ialah kalau kita nak kata mukanya, bibirnya jadi macam muncung babi sebab dia lemas, tidak mungkin sebab mayat lemas tak akan berubah rupa sampai macam tu sekali. Saya sudah mandikan banyak mayat orang mati lemas, tapi tak pernah saya bertemu dengan mayat yang menyerupai babi.


Baunya pula, Cuma Allah saja yang tau macam mana busuknya. Bau itu kalau Allah tak beri kelebihan pada saya (untuk menghadapinya), memang tak mampulah saya nak uruskan jenazah itu.


Bila saya buka saja kain yang menutup jenazah tadi, keluar bau yang amat busuk. Dua orang kawan yang saya bawa tadi terus termuntah… uwek-uwekk… terus keluar bilik. Baunya… Masya-Allah. Nak kata jenazah tadi bau babi tak tahulah sebab saya tak pernah pergi ke kandang babi, tapi memang sebusuk-busuknya. Mayat yang mati lemas takkan busuk macam ni.


Tapi Alhamdulillah, oleh kerana saya ada guru, saya bacalah doa-doa yang diajarkan. Saya baca Subhanallah Walhamdulillahi Wala Ila Ha Il Lallah Wallah Huakbar. Wala haulawala Quwwatailla Billa Hil Aliyul Azim dan beristighfar banyak-banyak.


Melihatkan keadaan mayat yang sedemkian rupa, saya berdoa kepada Allah minta diampunkan dosa saya dan dosa si mati. Sebagai umat Islam, janganlah sekali-kali kita keji atau caci mayat sebab itu urusan dia dengan Allah. Berdoalah seperti, kasihanilah dia ya Allah. Jangan jadikan dia orang yang rugi ya Allah. Dia lemah, ampunkanlah dia ya Allah.


Kita doakan yang baik-baik. Sama ada kita tahu atau tidak apa yang dia buat semasa hidupnya, kita serahkan kepada Allah. Biar Allah yang menentukannya. Walaupun kita bukan anak soleh kepada si mati, kita doakan juga kepada dia. Ini penting kepada semua orang. Janganlah bila terjumpa dengan mayat yang aib, kita terus menyangka buruk dan menghinakan lagi mayat itu.


Allah itu Maha Agung. Setiap hamba-Nya yang ingkar pasti akan menerima balasan. Sama ada di dunia atau di akhirat, balasan tetap akan diterima.


Masa mandikan mayat tersebut, saya mengalami banyak kesukaran sebab jenazah itu keras sikit. Bagi menghadapi situasi tersebut dan bau jenazah yang busuk, saya gunakan petua yang saya belajar dari guru-guru saya. Caranya ialah, saya pegang mayat itu dan kata, wahai… (sebutkan nama jika diketahui) jangan kau ganggu aku. Aku tidak ganggu kamu dan aku buat pengurusan yang disuruh oleh Allah.


Lepas itu bau busuk tadi saya sedut sedalam-dalamnya dan terus telan. Itulah sekali saya mencium bau mayat berkenaan. Lepas itu saya tak bau lagi. Itulah petua yang saya belajar dan amalkan selama ini.


Sebab kawan yang saya bawa tadi termuntah-muntah dan keluar bilik jadi saya kenalah uruskan jenazah tadi seorang diri. Seperti yang saya katakan, mayat ini sudah keras. Untuk melembutkannya supaya mudah dimandi serta dikafankan, saya gunakan petua yang saya belajar.


Kita ada cara nak lembutkan tangan dan kaki mayat. Caranya ialah kita seru nama dia dan usik sendi-sendinya. Mayat ini hakikatnya roh dia ada bersama-sama. Jadi kita serulah pada rohnya, wahai… (nama si mati jika diketahui) lembutkanlah tangan kamu. Saya nak uruskan kamu. Kalau dia mau lembut, lembutlah. Kalau tidak, tidaklah.


Entah apa kesalahan si mati, Cuma Allah yang tahu. Mayat yang ini tak mau melembutkan jasadnya. Saya kata, kalau kamu tak hendak lembutkan badan kamu, terserahlah kepada kamu. Kamu hendak macam itu, saya hantar kamu macam itu juga. Lepas saya berkata demikian, barulah tangan dia lembut sedikit. Itu pun turun sikit saja.


Kerana keadaan jasad yang sebegitu rupa, kami terpaksa gunakan kain kafan yang lebih lebar daripada biasa. Kain yang saya gunakan berukuran 60 inci lebar. Biasanya 45 inci saja.


Alhamdulillah, tidak ada apa-apa yang ganjil berlaku masa mayat itu dikebumikan. Tapi liang lahadnya kita kena besarkan sedikit sebab tangan dan kakinya menegak.


Sayang sekali saya tak tahu siapa si mati, apa kesalahan yang pernah dilakukan serta bagaimana hidupnya dahulu. Tapi cuma satu yang kita perlu ingat, Allah itu Maha Berkuasa dan setiap apa yang kita lakukan tidak pernah terlepas daripada perhatian-Nya.


Mastika

RASA KEBAS DIKAITKAN DENGAN PENYAKIT

Kita pernah mengalami rasa kebas, tetapi kita jarang memikirkan rasa kebas sebagai suatu tanda penyakit. Malah kita menganggap ianya pernah dialami oleh Setiap orang.


Menurut Pakar Perunding Perubatan, Klinik Pakar Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Ismail Merican kebas pada istilahnya adalah perasaan kurang selesa atau ‘lemas’ terhadap pergerakan anggota badan yang kadangkala menyebabkan rasa sakit menyucuk-nyucuk di bahagian tertentu.


Jelas beliau, kebas dapat diklasifikasikan kepada dua keadaan. Pertamanya kebas yang disebabkan oleh urat saraf. Jika urat saraf tersebut mengalami gangguan seperti tertekan oleh badan kita, ia menyebabkan kawasan urat saraf berkenaan merasa kebas.


“Misalnya, apabila kita tidur, kadang-kadang tanpa kita sedari bahagian lengan kita tertindih oleh badan kita sehingga menyebabkan lengan kita merasa kebas apabila kita terbangun. Keadaan tersebut disebabkan urat saraf kita terganggu kerana lengan kita tertindih sehingga membuatkan aliran darah kita menjadi sempit. Keadaan itu menyebabkan kita merasa kebas.


“Begitu juga apabila kita duduk atau bersila terlalu lama, kita akan merasa kebas. Namun demikian, ia akan hilang apabila kita bangun dan bergerak. Kebas seperti itu adalah normal.


“Bagi mereka yang mengalami kemalangan kecil, mereka merasa kebas untuk sementara waktu. Jika mereka mengalami kecederaan yang teruk, kebas akan berlaku dalam jangka yang lebih lama. Jika terdapat anggota badan seperti tangan terputus langsung rasa kebas akan hilang kerana urat saraf telah terputus,” kata beliau.


Beliau menambah, “Keduanya adalah kerana berlakunya penyempitan saluran darah akibat cara pemakanan atau tabiat yang menjejaskan kesihatan. Orang yang mempunyai penyakit kencing manis, merokok dan kadar kolesterol yang tinggi akan mengalami kebas.”


Bagaimana jika rasa kebas terjadi bukan sebab hal-hal di atas? “Keadaan kebas juga boleh berlaku jika seseorang kekurangan darah, terlalu gemuk, wanita mengalami putus haid dan kadang-kadang orang yang kekurangan kalsium.


“Biasanya penghidap penyakit penyakit kencing manis merasa kebas di bahagian tangan dan kaki. Jika mereka sering merasa demikian, ia menunjukkan mereka terkena penyakit kencing manis tidak terkawal.


“Jadi tindakan awal perlu diambil jika seseorang merasakan tanda-tanda demikian. Antaranya ialah mengamalkan makanan seimbang seperti sistem pemakanan pyramid yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan. Pesakit sebaiknya mengurangkan mengambil makanan yang bergula, berlemak dan bergaram. Bagi mengurangkan kolesterol kita mesti mengurangkan pengambilan makanan berlemak dan sering melakukan senaman dan memakan ubat tertentu,” kata beliau.


Dr Ismail menjelaskan, “Orang-orang muda yang merasa kebas, mereka sebenarnya tidak perlu mengambil vitamin. Pengambilan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan tertentu sudah mencukupi. Sumber makanan tersebut sudah cukup baik untuk membekalkan vitamin dan mineral yang diperlukan untuk badan.


“Pil vitamin hanya diperlukan kepada orang-orang sedang sakit, tidak berselera makan seperti orang-orang tua. Memakan makanan semula jadi sama ada ikan, sayuran dan buah-buahan lebih baik daripada pil vitamin. Malah makanan itu mengandungi banyak serat yang dapat mengelakkan kita terkena barah usus.


“Jika rasa kebas dialami oleh orang berusia 45 tahun ke atas, ujian akan dilakukan dengan teliti untuk meneliti sebab-sebabnya. Ia dijalankan bagi mengenal pasti keadaan pesakit tersebut jika dia dikaitkan penyakit-penyakit berbahaya.


“Bagi mereka yang tidak menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan tidak merokok, kita akan cuba menyoal apakah makna kebas sebenarnya bagi mereka, adakah ia berpunca dari hal-hal lain yang menyebabkan kebas. Kadangkala kebas itu merupakan psikologi pesakit sahaja. Jika mereka mengambil sesuatu jenis ubat yang biasa mereka makan, rasa kebas itu akan hilang,” tambah beliau.


Apabila diajukan pertanyaan, adakah rasa kebas mempunyai kaitan dengan beberapa jenis penyakit? Dr. Ismail menerangkan, “Jika kanak-kanak sering mengalami rasa kebas ia berpunca dari masalah kekurangan darah. Rasa kebas juga boleh menyebabkan petanda kepada beberapa jenis penyakit. Jika seseorang itu merasa kebas sebahagian badannya dari kepala hingga ke bawah, ia menandakan seseorang itu boleh terkena stroke atau lama-kelamaan terkena angin ahmar.”


Di akhir perbualan, Dr. Ismail menjelaskan, “Jika diteliti dari kumpulan kaum yang terdapat di Negara ini, kita dapat melihat bahawa kaum India dan diikuti orang Melayu lebih mudah terkena kebas serta sakit jantung kerana kumpulan tersebut banyak memakan makanan berlemak, bergula dan bergaram berbanding kaum Cina.”


Mastika

SUMPAHAN SANG KELEMBAI

Sang Kelembai adalah makhluk sakti yang cukup digeruni oleh makhluk-makhluk lain. Manusia dan haiwan adalah musuhnya. Sehingga hari ini tiada siapa yang dapat menjawab pertanyaan apakah jenis makhluk Sang Kelembai itu. Apakah Sang Kelembai makhluk asing? Atau raksaksa keturunan jin? Atau makhluk hasil kacukan manusia dan jin atau makhluk dari planet lain? Atau makhluk besar yang menyerupai predator yang pernah kita saksikan di dalam filem? Tiada siapa yang dapat memberi jawapan!


Yang diketahui umum, Sang Kelembai adalah bersifat raksaksa, berkesan sumpah dan tegurannya, mempunyai kekuatan luar biasa, bengis, garang dan mudah hilang akal serta cepat mengganas. Namun wajahnya tidak pernah dilihat sesiapa. Tapi kesan sumpahan dan mitos tentangnya mempunyai bukti sahih sekitar kawasan Sungai Perak.


Mengikut masyarakat persisiran sungai itu, Sang Kelembai adalah makhluk yang berada di sepanjang Sungai Perak. Sungai itu adalah kediamannya dan telah menjadi tempat kediaman suku-sakat Kelembai sejak zaman-berzaman.


Kononnya Sang Kelembai ditugaskan menjaga kesucian Sungai Perak daripada diceroboh manusia dan haiwan. Tugas itu membuatkan Sang Kelembai taksub dengan kerjanya. Siapa sahaja yang disaksikan berada di Sungai Perak akan dihalau dan disumpahnya.


Sekalipun Sang Kelembai adalah ganas dan menakutkan namun cerita tentang makhluk itu menyeronokkan. Sebabnya keganasan daripada sang Kelembai tidak banyak melibatkan manusia. Mangsa sumpahan Sang Kelembai membabitkan haiwan.


Satu perkara yang menjadi buah mulut kalangan penduduk sekitar Sungai Perak ialah kemujaraban Sumpah Sang Kelembai pada gajah-gajah yang menceroboh sungai Perak.


Mengikut seorang penduduk Kampung Pulai, Manong, Perak, Sah Ahmad, Sang Kelembai cukup marah dengan gajah-gajah yang mengharung Sungai Perak, menurutnya gajah sememangnya banyak terdapat di hutan Pulai dan Senggang kerana makanan binatang iaitu tebu gajah banyak terdapat di situ. Ratusan ekor gajah akan menggeledah hutan belantara di dua kampung itu. Apabila kenyang maka gajah-gajah itu akan turun ke sungai untuk mencari air bagi tujuan minum dan mandi.


Pada suatu hari Sang Kelembai sedang membuat belat ikan merentangi Sungai Perak. Sedang ia asyik meletakkan ketul-ketul batu tiba-tiba turun lima ekor gajah.


Bunyi terjunan gajah ke dalam sungai menyedarkan Sang Kelembai yang sedang asyik membuat belat. Ia memerhatikan gelagat-gelagat gajah itu. Setelah gajah-gajah itu selesai minum, maka mereka membuat bising dan meronta-ronta di dalam air hingga mengganggu ikan yang ingin ditangkap oleh Sang Kelembai.


Menyaksikan gelagat gajah tersebut, Sang Kelembai hilang sabar, lalu bertempik. Lima ekor gajah yang mengganas di dalam air sekali gus menjadi batu. Batu itu masih ada di Kampung Ara Panjang.


Encik Md. Nain pula menceritakan tentang sepasang pengantin yang cuba untuk berakit melalui Sungai Perak selepas selesai adat persandingan. Khabarnya pasangan pengantin itu adalah daripada puak Orang Asli yang kaya. Mereka memakai pakaian pengantin dan dihias penuh dengan barang emas seperti gelang, subang dan cincin. Bila sahaja mahu menghulur kaki ke atas rakit, Sang Kelembai menyumpah dan dengan tiba-tiba pengantin itu bertukar menjadi batu.


Bagaimanapun batu kembar pengantin itu kehilangan barang kemas hiasannya kerana telah dicungkil oleh manusia. Dan kesan batu sumpah itu sudah menipis akibat hakisan air.


Walaupun Sang Kelembai adalah makhluk besar dan ganas, namun ia takut kepada manusia. Dia tidak akan mengapa-apakan manusia yang tidak mengganggu kawasan kediamannya dan Sungai Perak.


Kononnya pada zaman itu terdapat beberapa peneroka daripada Minangkabau, Sumatera yang datamg untuk menakluki Negari Perak menggunakan rakit. Bila rakit orang-orang Minangkabau cuba memasuki perairan sungai itu, Sang Kelembai akan mengocakkan air sekuat-kuatnya. Gelombang air yang kencang itu menyebabkan rakit tidak dapat masuk ke pedalaman Sungai Perak. Selain mengocakkan air, kata seorang penduduk Ketior, Razali awang, Sang Kelembai akan menghembus angin dengan mulutnya yang memutarkan air dan memusingkan perahu dan rakit yang cuba menjalar masuk ke Sungai Perak.


Mengikut Razali, bencana alam yang ditimbulkan oleh Sang Kelembai menakutkan manusia yang cuba memasuki Sungai Perak secara haram. Bagaimanapun, jelas beliau, Sang Kelembai tidak banyak melakukan musibah kepada penduduk tempatan. Lagipun jelas Razali, waktu itu bilangan penduduk yang mendiami pinggir sungai Perak tidaklah ramai seperti sekarang.


Mengikut En. Sah pula, Sang Kelembai adalah makhluk yang sensitif kepada makhluk lain. Kelembai mahu hidup dengan suku-sakatnya dan mudah naik angin kalau ada gangguan terhadap diri dan puak-puaknya.

Beliau ingat tentang sebuah cerita daripada orang tuanya betapa pada suatu hari ketika Sang Kelembai sedang menahan bubu tiba-tiba datang seekor gajah memberitahunya bahawa anaknya ditimpa pokok bayan besar.


Sang Kelembai menerima berita itu dengan penuh kemarahan kerana selama ini dia menyangka alam duniawi simpati dengan suku-sakatnya. Kelembai tiba-tiba menjadi garang dengan maklumat itu lalu sebuah bubu yang cuba ditahan dihumban dengan sekuat-kuatnya ke dalam belantara dan tercampak nun jauh daripada sungai hingga menjadi gunung. Gunung itu kemudiannya digelar Gunung bubu.


Mengikut En. Sah lagi ikan-ikan besar adalah makanan Sang Kelembai dan suku-sakatnya di sungai Perak. Hutan belantara adalah kediamannya. Kelembai akan berada jauh daripada perkampungan manusia. Ketika menangkap ikan, Kelembai akan mencampak ikan-ikan ke darat. Ikan yang bersisik tajam dan bersengat tajam yang boleh melukakan tangan dan jarinya akan dibuang pada pulau kecil dan bila ditegurnya ikan-ikan itu akan menjadi batu.


Beliau menunjukkan sebuah batu yang hanyir seperti ikan kerana kononnya batu itu adalah berasal dari ikan yang dibuang oleh Sang Kelembai. Beberapa ketika apabila penduduk kampung datang untuk menangkap ikan tetapi tidak berhasil, maka serpihan batu itu akan dibawa pulang. Batu itu akan dimasak dan masakan tetap rasa seperti masakan ikan.


Riwayat sang Kelembai di persisiran sungai Perak tidak kekal kerana pencerobohan manusia. Bila berlaku penghijrahan manusia ke kampung dan belantara sekitar sungai, banyak kawasan hutan diterokainya.


Sang Kelembai tidak dapat berbuat apa-apa dengan kemasukan manusia yang dianggap lebih berkuasa daripada dirinya dan suku-sakatnya.


Kelembai merasa bimbang kerana pada suatu hari ketika bersiar-siar di hutan ia melihat sebuah kawasan telah diteroka oleh manusia. Bila memerhati perut bumi sang Kelembai melihat ribuan lubang-lubang kecil di perut bumi.


Lubang-lubang ini adalah daripada tindakan peladang yang cuba untuk menanam padi dan jagung. Menggunakan buluh tajam manusia membuat lubang kecil untuk memasukkan benih bijirin itu. Sang Kelembai memikirkan begitu banyak senjata tajam yang ada pada manusia. “Tentulah semakin ramai manusia yang sudah berada di daerahnya,” fikir Kelembai.


Maka makhluk itu menjadi semakin takut dengan senjata tajam yang mencucuk bumi dan merasakan ramai umat manusia yang sudah mula menakluki daerahnya.


Dalam pada itu ketika Kelembai sedang berjalan ia terpandang sebatang buluh tinggi dicantas manusia. Sebenarnya buluh itu tersepit anatara dahan buluh yang lain. Bila dicantas batangnya melantun ke atas.

Kelembai memikirkan ada makhluk lain yang lebih tinggi dan ragam daripadanya.

Ketakutannya daripada dua perkara itu membuatkan ia semakin gerun untuk tinggal di persisiran Sungai Perak. Mengikut En. sah, pada satu malam Sang Kelembai mengerahkan suku-sakatnya berkampung dan menceritakan tentang kedudukan mereka yang sudah dicabar oleh manusia. Seluruh keluarga Kelembai bertindak untuk lari ke kaki langit. Maka berakhirlah riwayat Sang Kelembai di sungai Perak.


Mastika

Sunday, February 13, 2011

KOLAM SERIBU WAJAH

Satu lagi keajaiban alam yang perlu kita kagumi ialah Morning Glory Pool, di Yellowstone National Park, Wyoming, Amerika. Kolam 'Seribu Wajah' kerana penampilannya yang berwarna warni seperti biru, hijau, kuning, orange dan coklat tembaga.

Foto-foto ini menunjukkan saat kolam air panas ini berubah warna dan yang uniknya warna yang muncul tidak hanya satu tetapi berbagai warna. Misalnya, pada bahagian tengah danau yang terdapat ceruk dalam, berwarna biru muda, pinggirannya berwarna kuning, pinggir bahagian luar berwarna merah kecoklatan dan bahagian tengah berwarna hijau bening.

Fenomena ajaib ini membuatkan Morning Glory Pool sangat terkenal didunia sebagai tujuan wisata. Setiap tahun sekitar 3 juta lebih pengunjung datang ke sini untuk menyaksikan keajaiban kolam ini yang telah ujud sejak tahun 1880.

Kemunculannya yang mengejutkan seperti keindahan bunga di pagi hari ini dikatakan terjadi kerana peristiwa alam seperti gempa bumi yang berlaku di daerah itu. Asalnya kolam air panas ini didominasi warna biru terang tetapi kemudiannya berubah menjadi beberapa warna kerana pencemaran manusia dimana pengunjung didapati membuang wang syiling, batu, kayu bahkan sampah juga turut dibuang disini.

Akibatnya, benda-benda yang dibuang itu tertanam di dasar kolam dan lama kelamaan ia menyumbat saluran-saluran air panas itu di dasar kolam. Putaran air terganggu dan suhu air pun menurun. Kolam yang tadinya berwarna biru dengan wap yang mengepul-ngepul panasnya air kini tidak lagi panas.

Suhunya lalu menurun dan bakteria pun mula masuk menyebabkan warna biru berubah menjadi kuning, orange dan coklat tembaga. Pada awalnya bakteria hanya ada di pinggir kolam namun seiring dengan makin menurunnya suhu maka bakteria masuk hingga ke tengah. Warna biru kehijauan yang mendominasi kolam itu kini tidak lagi tetapi sebaliknya warna kuning, orange dan coklat tembaga mulai dilihat tersebar.

Jika keadaan ini tidak segera diatasi, mungkin suatu hari nanti keindahan kolam air panas ini akan tinggal kenangan.




Koleksi Suara Hati

GEMPUR JANGAN TAK GEMPUR

Sudah banyak artikel yang aku keluarkan didalam blog ini tentang pendatang asing tanpa izin di kawasan perumahan di Seri Kembangan dan Serdang ini. Banyak serbuan telah dibuat tapi masih tiada penyudahannya. Semalam satu lagi serbuan telah dibuat sepertimana laporan dibawah ini.

SERI KEMBANGAN – Ratusan warga asing yang bekerja di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan cuak selepas mereka dikepung ratusan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 lewat malam kelmarin.

Mereka yang rata-rata tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah dikatakan cuba melarikan diri ke hutan berdekatan namun gagal berbuat demikian apabila anggota pihak berkuasa berjaya menahan kesemua yang cuba meloloskan diri.

Ops Rantau dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, UNCHR dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu berjaya memberkas 119 pendatang asing tanpa izin (Pati) atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, serbuan dilaksanakan selepas menerima rungutan daripada masyarakat yang mendakwa bimbang terhadap kebanjiran warga asing di pasar itu.

Beliau berkata, antara aduan yang diterima adalah peningkatan pekerja asing di pasar menyebabkan mereka memanipulasi harga barangan di situ. Selain itu, katanya terdapat laporan yang mendakwa warga asing bekerja di situ sering bergaduh sesama sendiri.

“Bertindak atas maklumat, pihak kami mengadakan operasi cegah jenayah bersepadu dengan beberapa agensi yang lain.

“Seramai 119 daripada 317 warga asing yang diperiksa ditahan untuk tindakan selanjutnya. Masing-masing didapati menyalahi pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, ada di antara Pati terbabit turut ditahan kerana memiliki kad pelarian (UNHCR ) palsu.

“Seramai 78 didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah, 24 permit tamat tempoh dan tinggal melebihi masa di negara ini.

“Mereka yang ditahan sebahagiannya dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA), Sepang dan sebahagian lagi dihantar ke lokap IPD Subang Jaya,”katanya.

Menurutnya lagi, operasi berkenaan dilihat berjaya kerana tiada warga asing yang berjaya meloloskan diri apabila pihaknya terlebih dahulu mengepung kawasan pasar dengan keluasan 50 ekar itu.

“Operasi ini berjaya dengan bantuan 150 anggota polis dan agensi terlibat termasuk PGA, unit pengesan anjing (K9), unit pengesan persenjataan dan unit helikopter PDRM untuk mengesan senjata-senjata berbahaya di kawasan ini,”katanya lagi.

Sinar Harian 13/2/2011

Saturday, February 12, 2011

AKU KECURIAN LAGI

Basikal yang dibeli pada Disember 2010 tinggal kenangan.
Ia merupakan basikal yang ke 6 jika dibuat koleksi.
Sila klik untuk melihat kecanggihannya.

Dalam satu artikel yang telah dikeluarkan pada 4 Disember 2010 yang lalu, aku ada menceritakan tentang kejadian kecurian yang sering berlaku di kawasan perumahan kami atas tajuk "Pencuri Yang Tidak Berhati Perut."

Dalam perenggan kelapan dan kesepuluh didalam artikel tersebut, aku ada menceritakan tentang kecurian basikal dan juga motosikal yang sering berlaku seperti catatan berikut :-

"Kejadian kecurian yang sering berlaku amat membimbangkan semua penduduk di taman perumahan ini. Selain kejadian pecah rumah, pencuri juga gemar memecahkan kereta, mencuri motosikal dan basikal walaupun ianya disimpan didalam pagar rumah."- perenggan 8.

"Basikal anakku yang dibeli juga kerap hilang. Setelah dikira, ianya berjumlah sebanyak 5 buah, sebuah hilang dirumah manakala 4 lagi ketika mereka keluar kekedai."- perenggan 10

Pada kejadian semalam, 11 Februari 2011, sebuah basikal yang baru dibeli pada Disember 2010 seperti gambar diatas berharga RM300 telah dicuri didalam pagar rumah ketika umat Islam menunaikan Solat Jumaat.

Menurut anakku, sebelum ia pergi bersolat Jumaat dengan menumpang basikal kawannya, basikal tersebut masih berada didalam pagar rumah walaubagaimanapun ketika ia pulang basikal tersebut telahpun hilang.

Dua hari sebelum basikal itu hilang, aku telah membelanjakan wang sebanyak RM50 untuk menukar tiub depan belakang yang bocor dan memasang tongkatnya yang telah patah sebelum ini.

Nampaknya kawasan perumahan ini bolehlah dikategorikan sebagai kawasan hitam dan selepas ini mungkin aku akan memasang CCTV pulak.

Walaupun jiran aku berbangsa India telah membela seekor anjing garang jenis Rotweiller untuk mengawal persekitaran namun ia masih tidak dapat membantu dalam mencegah kecurian yang berlaku.

"Anjing ni kalau memekak setiap malam bolehlah, aku yang dah lama jadi jirannya pun kadang-kadang ia menyalak juga ketika aku pulang pada waktu malam. Mungkin dah lama tak dapat anjing betina kot" hampehhhhh betul!!!

FORUM BICARA RAKYAT - BUKU JINGGA



Sila dengar hujah-hujah, fakta serta statistik yang dikemukakan oleh ahli forum dari Pakatan Rakyat yang sangat meyakinkan manakala yang sorang lagi dari sebelah sana tu macam nak gadoh jer!!!