Friday, May 22, 2015

KARNIVAL PELANCARAN MENARA FELCRA...

Setelah menanti selama hampir 49 tahun (1966 - 2015), impian warga FELCRA Berhad untuk melihat sebuah menaranya berdiri megah akan menjadi kenyataan apabila upacara pelancaran Menara FELCRA akan diadakan di tapaknya di alamat Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak), Kuala Lumpur bermula pada 29 hingga 31 Mei 2015.  

Bagi memeriahkan lagi suasana sempena pelancaran pembinaan Menara FELCRA ini, satu Karnival akan diadakan sepanjang tiga hari acara ini berlangsung bermula dari jam 10 pagi hingga 10.30 malam. Beberapa program telah diatur dan disusun untuk memberi peluang kepada semua warga KL sama-sama mengambil bahagian di dalam setiap acara yang dipertandingkan. 

Untuk mengetahui lebih lanjut, di bawah ini disertakan acara jadualnya.

Kepada semua warga FELCRA Berhad di seluruh Negara serta orangramai, tuan/puan serta keluarga dijemput hadir untuk memeriahkan acara ini.

Sila klik pada gambar untuk lebih jelas...

Model Menara FELCRA mengikut pandangan pelukis...



Apabila siap nanti, Menara FELCRA akan menjadi 
satu lagi mercu tanda Kuala Lumpur...

















Thursday, May 14, 2015

PERASMIAN GIMNASIUM FELCRA BERHAD...

En. Mior Jamaluddin bin Mior Hamzah, Pengurus Besar Sumber Manusia 
sedang memberikan kata-kata ucapan sebelum perasmian....

Keadaan kesihatan staf Syarikat terutamanya yang bertugas di Ibu Pejabat pada masa ini sangat membimbangkan. Rata-ratanya kebanyakan dari mereka mempunyai berat badan tidak kurang dari 80 kilogram. Keadaan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan prestasi kerja terutama bagi mereka-mereka yang berada di Bahagian-bahagian penting Syarikat yang memerlukan komitmen yang tinggi semasa bertugas.

Kita sediamaklum bahawa budaya hidup masyarakat kita terutamanya di kalangan anak-anak muda dari segi amalan pemakanan yang tidak sihat menyumbang kepada masalah kesihatan. Makanan-makanan segera yang diambil seperti junk food, minuman bergas, merokok dan susah tidor di waktu malam adalah menjadi punca kepada semua masalah tersebut.

Kebanyakan staf Syarikat yang ada kini boleh dikatakan berada ditahap kesihatan yang kurang memuaskan. Sebahagian dari mereka adalah pengidap penyakit jantung, kencing manis, gout, obesiti, tekanan darah tinggi, tekanan darah rendah dan lain-lain. Sebab itu tidak hairanlah jika kita mendapat berita yang mengatakan bahawa, seseorang staf itu telah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan penyakitnya atau mendengar pengumuman yang dibuat memaklumkan bahawa, si folan atau si folan yang bertugas di sesuatu bahagian itu telah meninggal dunia pada hari dan sekian jam akibat penyakit yang dideritainya.

Memang kita mengakui bahawa penyakit yang ditimpakan oleh Allah kepada umatnya adalah merupakan satu ujian keimanan kita kepada-Nya. Selain dari itu, penyakit juga merupakan satu kifarah bagi menghapuskan dosa-dosa yang telah kita lakukan samada secara sedar atau tidak sebelum nyawa diambil. Namun begitu, kita tidak boleh menyerah kepada takdir sahaja akan perkara yang telah ditentukan tetapi sebaliknya kita boleh menghindarkannya dengan cara mengamalkan cara hidup sihat bermula sejak usia muda sehingga meningkat tua.

Atas kesedaran itu, Pengurusan Tertinggi Syarikat telah memikirkan satu mekanisma bagaimana untuk mengekang masalah kesihatan staf yang tidak pernah berakhir. Walaupun berbagai aktiviti sukan dan riadah dianjurkan oleh Kelab Sukan dari masa kesemasa tetapi kehadiran staf kurang menggalakkan terutama bagi mereka yang telah berumur 40 tahun ke atas.

Walaupun begitu, pihak pengurusan tidak pernah berputus asa dan sentiasa memikirkan akan kehendak dan keperluan staf dari semasa kesemasa. Setelah difikirkan, maka satu kaedah telah ditemui iaitu Pengurusan Tertinggi hendak membina sebuah gimnasium dengan peralatannya yang canggih bagi menarik dan menggalakkan staf bersukan dan beriadah.  

Beberapa perbincangan telah dibuat dan hasil dari perbincangan tersebut maka Syarikat FELCRA Bina Sdn. Berhad iaitu salah salah sebuah anak syarikat yang ada telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja menyiapkan gimnasium tersebut dalam tempoh empat bulan bermula pada Januari sehingga April 2015. Kos untuk menyiapkan gimnasium ini adalah berjumlah sebanyak RM1 juta.

Atas komitmen kerja yang tinggi dengan peruntukkan kewangan yang mencukupi maka kerja-kerja menyiapkan gimnasium tersebut telah sempurna dan ianya siap dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaannya iaitu pada 30 April 2015.

Pada hari Jumaat 8 Mei, 2015, jam 5.30 petang, Dato' Ramlee Abu Bakar, selaku CEO FELCRA Berhad telah berkenan untuk merasmikan gimnasium ini yang terletak bersebelahan dengan Auditorium. Turut hadir semasa upacara ini ialah Pengurus-Pengurus Besar Kumpulan, Pengurus-pengurus Besar, Pengurus-pengurus Kanan dan semua staf di Ibu Pejabat. 

Dalam ucapannya, CEO mengharapkan supaya semua staf dapat menggunakan kemudahan yang ada ini dengan sebaik-baiknya dan rajin-rajinlah mengunjungi gimnasium ini supaya ia tidak menjadi satu projek pembaziran atau seperti kata perumpamaan yang selalu kita dengar iaitu 'projek gajah putih'.

Insya Allah semua staf boleh menggunakan gimnasium ini seawal-awalnya pada Jun 2015 nanti setelah perlantikan seorang Instruktur telah dibuat dan gimnasium ini akan diletakkan dibawah pentadbiran Kelab Sukan dan Rekreasi Ibu Pejabat FELCRA Berhad (KESURA).

Saksikan pemandangan di dalam gimnasium yang telah dirakam semasa upacara perasmiannya baru-baru ini. 

Pn. Dina Alpha Arund, Pengurus Kanan Pentadbiran dan
En. Mior Jamaluddin Mior Hamzah, Pengurus Besar Sumber Manusia
bergambar berlatarbelakang peralatan yang ada di dalam gimnasium...

Salah seorang staf sedang mencuba peralatan yang ada...


Deretan Dumbell telah siap sedia untuk digunakan...


Wednesday, April 29, 2015

GEMPA BUMI DI NEPAL, PENDUDUK TINGGALKAN KATHMANDU...

Satu keluarga memungut barangan dari runtuhan rumah mereka 
di Bhaktapur, pinggir Kathmandu semalam.

Ribuan penduduk Nepal mula meninggalkan Kathmandu semalam selepas dua hari hidup dalam ketakutan kerana gempa susulan dan dilanda kebimbangan mengenai kekurangan makanan dan air ekoran gempa bumi Sabtu lalu yang meragut 3,200 nyawa.

Jalan raya menghala keluar dari ibu negara yang mempunyai sejuta penduduk itu sesak dengan orang ramai. Sebahagian besar mereka menggendong bayi dan cuba menaiki bas atau menumpang kereta atau lori. Lapangan terbang juga sesak dengan orang ramai yang terdesak untuk keluar dari bandar berkenaan.

Ramai yang berkata, mereka tidur di kawasan lapang sejak gempa berukuran 7.9 magnitud itu melanda, sama ada kerana rumah mereka musnah atau terlalu takut dihempap kediaman mereka yang mungkin runtuh kerana gempa susulan.

"Kami mahu keluar dari sini. Macam mana hendak hidup. Saya ada anak dan mereka sentiasa dalam ketakutan," kata Krishna Muktari, peniaga kedai runcit di Kathmandu ketika ditemui di jalan utama bandar itu. Dalam pada itu, pihak berkuasa berusaha mengatasi masalah kekurangan air minum dan makanan serta ancaman wabak.

Yang sakit dan cedera terlantar di kawasan lapang di Kathmandu kerana katil di hospital tidak cukup untuk menampung mereka.


Nepal mempunyai 21 doktor dan 50 katil hospital untuk setiap 10,000 penduduknya, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Di Kolej Perubatan Kathmandu, pakar bedah menjalankan pembedahan di dalam khemah di luar bangunan hospital. 

Di kawasan tinggi di Himalaya, ratusan pendaki masih berada di kem asas Gunung Everest, tempat runtuhan salji berlaku selepas gempa bumi itu berlaku. Bencana itu menyebabkan 18 pendaki terbunuh, kejadian paling buruk pernah berlaku di gunung tertinggi dunia itu.

Pasukan penyelamat dibantu dengan cuaca baik, mengguna helikopter untuk mengangkut sejumlah pendaki yang terkandas, setiap dua orang pada satu masa. Di Kathmandu dan kawasan sekitarnya, keluarga yang keletihan memasang khemah untuk berlindung dari hujan.

Orang ramai beratur untuk mendapatkan air yang dibawa lori. Beberapa kedai masih di buka, tetapi tidak ada apa yang hendak dijual. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, hampir sejuta kanak-kanak Nepal terjejas teruk akibat bencana itu dan memberi amaran wa bak mungkin merebak.


Di Bhaktapur, timur Kathmandu, tempat banyak bangunan lama runtuh, ramai penduduk membina khemah di padang sekolah. "Kami macam pelarian," kata Sarga Dhaoubadcl, penduduk asal bandar itu. Sejak kelmarin mereka makan mi segera dan buah-buahan.

"Tada pegawai kerajaan yang datang menjenguk kami. Apa yang kami harapkan ialah gempa susulan itu berakhir supaya kami boleh pulang ke rumah," katanya.

Polis mengesahkan lebih 3,800 orang mati dalam gempa bumi berukuran 7.9 magnitud itu, yang terburuk di Nepal sejak 1934. Lebih 6,500 lagi cedera. Seramai 66 yang lain mati di India dan sekurang kurangnya 20 lagi di Tibet, lapor agensi berita China.

Pegawai berkata, angka itu mungkin meningkat apabila pasukan penyelamat tiba di kawasan pedalaman negara bergunung-ganang itu. Sehingga semalam, tidak banyak bantuan antarabangsa dilihat di kawasan kejadian kerana sebahagian penerbangan bantuan tidak dapat mendarat berikutan Lapangan Terbang ditutup beberapa kali kerana gempa susulan. bantuan daripada beberapa negara mula tiba di Kathmandu kelmarin.



India menghantar bekalan ubat-ubatan dan anggota pasukan bencananya. China pula mengerahkan 60 pasukan bantuan cemas. Pakistan berkata, ia meng hantar empat pesawat C-130 dan hospital bergerak yang mempunyai 30 katil.

Sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat dengan 70 pegawai pula tiba di Kathmandu semalam. Australia, Britain dan New Zealand berkata, mereka turut menghantar pasukan pencari dan penyelamat atas permin taan Kathmandu.

Britain yang percaya ratusan warganya berada di Nepal, turut menghantar bekalan ubat-ubatan dan pasukan medik. Sehingga semalam, tidak banyak bantuan antarabangsa dilihat di kawasan kejadian kerana sebahagian penerbangan bantuan tidak dapat mendarat berikutan Lapangan Terbang ditutup beberapa kali kerana gempa susulan.

Sumber : Harian Metro...

Kejadian di atas adalah merupakan suatu musibah atau bala yang ditimpakan oleh Allah ke atas hambanya. Kemurkaan Allah itu sudah tentulah mempunyai sebab dan musababnya. Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia, tetapi manusialah yang selalu menzalimi diri mereka sendiri.

Diberitakan bahawa sebulan sebelum terjadinya bala yang menimpa di Nepal, upacara pembunuhan lebih dari 250,000 haiwan telah diadakan dalam perayaan agama selama dua hari. Haiwan seperti kerbau, burung dan kambing telah dijadikan korban untuk dipersembahkan kepada dewi Hindu mereka.



Cara pembunuhan yang dilakukan ke atas binatang ternakan tersebut sangat zalim. Lembu dan kerbau yang telah dikumpulkan itu telah dipukul dan dipenggal kepalanya seekor demi seekor. Perbuatan yang dilakukan itu diluar batas kemanusiaan dan telah mengundang kemurkaan Allah.

Berjuta-juta penganut Hindu berpusu-pusu untuk majlis itu yang diadakan setiap lima tahun sekali di kuil Gadhimai, dewi kuasa, dalam Bariyarpur di Nepal yang berhampiran sempadan India. Kali terakhir festival itu diadakan ialah pada tahun 2009 di mana lebih daripada 250,000 haiwan dibunuh.

Menurut organisasi hak asasi haiwan PETA, yang berkempen untuk menghentikan kempen sesat seperti ini. Bencana semula atau lebih sesuai bala yang menimpa di Nepal memang padan untuk mereka yang tidak berperikemanusiaan walaupun atas nama agama.

Oleh itu kita sebagai umat Islam, hendaklah menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran. Sesungguhnya setiap perbuatan yang zalim itu akan ada balasannya di kemudian hari tidak kira penganut agama apa sekalipun.   

Wednesday, April 15, 2015

MANUSIA SEMAKIN KEJAM...

BUAYA BAHAM MANGSA DIBAKAR HIDUP-HIDUP


Manusia sekarang semakin kejam, jika di Zaman Jahiliyah dulu, kita rasa bangsa Arablah yang paling kejam kerana membunuh dengan cara menanam anak perempuan mereka yang baru dilahirkan hidup-hidup, tapi rupa-rupanya kita yang hidup di zaman moden ini lebih kejam dari mereka. 

Bangsa Arab kejam pada waktu itu boleh lagi dimaafkan kerana mereka berada di zaman Jahiliyah yang tidak mengerti akan dosa dan pahala sehinggalah kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah Subhanahuwataala untuk membawa rahmat ke seluruh alam melalui agama yang diredhai iaitu Agama Islam. Semenjak dari itu kita tidak lagi mendengar anak-anak perempuan mereka dibunuh tetapi sebaliknya dimuliakan pula. 

Pelancong-pelancong Arab yang datang melancong ke negara kita pula sangat menjaga keselamatan isteri-isteri dan anak-anak perempuan mereka dan kita jangan cuba-cuba untuk merakam gambar-gambar mereka sesuka hati kerana akibatnya kita akan dikejar dan dipukul malah kamera kita akan dirosakkan. 

Berbeza pula dengan kita ini yang mengaku Islam, tetapi berperangai seperti orang yang tidak beragama, berperangai seperti iblis dan syaitan dan bernafsu haiwan serta sanggup membunuh sesama manusia atas perbalahan yang kecil. Tidak cukup dengan itu mereka juga sanggup membunuh dan menyiksa binatang-binatang yang tidak berakal yang hidup mencari makan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa merampas hak binatang yang lain. 

Binatang-binatang yang ganas dan mengancam keselamatan manusia boleh dibunuh tetapi bunuhlah dengan cara yang bersopan dan beradab bukan dengan cara menyiksa mereka sepertimana yang berlaku di Banda Aceh baru-baru.

Cara pembunuhan yang mereka lakukan sama seperti yang dilakukan oleh IS terhadap juruterbang Jordan yang dibakar hidup-hidup di dalam sangkar besi seperti gambar di bawah.


Untuk mengetahui kisah yang lebih lanjut tentang pembunuhan buaya dengan kejam ini melalui kaedah yang sama dilakukan oleh IS, maka bacalah kisah di bawah ini. Adalah diharapkan kepada mereka-mereka yang telah melakukan kekejaman ini segera bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t.

ACEH SINGKIL. Banda Aceh...

Berang dengan kematian seorang penduduk yang dibaham seekor buaya, orang ramai di daerah ini bertindak membakar seekor buaya besar hidup-hidup sebelum membelah perut reptilia itu dalam satu kejadian Isnin lalu.

Kompas.com melaporkan, terdahulu, buaya yang dianggarkan berukuran lima meter panjang itu ditangkap oleh Pusat Perlindungan Sumber Alam (BKSDA) Aceh yang bertindak atas laporan berhubung kehilangan penduduk itu dan permintaan pegawai daerah Aceh Singkil.

"Sehari selepas menerima surat permohonan itu, pasukan kami bergerak ke Aceh Singkil sebelum melakukan penyelarasan dan memasang perangkap di muara sungai.

"Seekor buaya sepanjang lima meter berjaya ditangkap dan sebelum sampai ke pusat pemindahan, ratusan penduduk sudah berkumpul dan mendesak agar buaya tersebut dibawa ke rumah keluarga mangsa," kata Ketua BKSDA Aceh, Genman Sefti.

Genman berkata, anggota BKSDA dan polis tidak dapat berbuat apa-apa dengan desakan orang ramai dan membiarkan mereka mengangkat buaya yang masih di dalam perangkap untuk dibawa ke rumah mangsa yang dikenali sebagai Yusril di Kampung Siti Ambiya, Singkil.

Yusril dilaporkan hilang di muara Sungai Singkil minggu lalu ketika mencari lokan bersama isteri dan anaknya.

"Pasukan BKSDA terdiri daripada lima orang dan anggota polis dengan jumlah yang sama tidak dapat menghalang orang ramai yang masih terasa sedih dengan kehilangan Yusril yang bertindak membakar buaya itu pada bahagian kepalanya," kata Genman. Buaya yang masih di dalam perangkap besi itu disiram dengan minyak tanah sebelum dibakar mengakibatkan reptilia ganas itu mati sambil disaksikan ratusan penduduk yang membanjiri Kampung Siti Ambia.

"Bagaimanapun daripada laporan pasukan BKSDA di lokasi, penduduk tidak menemukan tubuh manusia di dalam perut buaya itu sejurus reptilia itu dibelah," kata Genman.

Namun tambahnya, berdasarkan pemerhatian anggota pasukan yang menangkap buaya itu, terdapat gigi buaya itu yang patah dan membawa petunjuk reptilia itu memang menangkap mangsa.

"Secara kebiasaannya, buaya tidak langsung makan mangsa yang ditangkapnya kerana reptilia itu akan menyimpannya terlebih dahulu hingga membusuk barulah buaya akan memakan mangsanya," kata Genman menambah, kes itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Sumber : Utusan Malaysia.

Wednesday, April 1, 2015

SAMPAH OH SAMPAH...KENAPALAH JADI SAMPAI MACAM NI?

Sampah yang terbiar dan menjijikkan ini memberi satu persepsi 
yang kurang baik terhadap semua penghuni Taman Perumahan ini...

Semalam 31 Mac 2015 aku ambil cuti sebab ada urusan di Bandar Baru Ampang. Urusan selesai dalam tempoh dua jam sahaja. Ketika itu jam baru menunjukkan pukul 12 tengahari, nak balik rumahpun awal lagi. Jadi aku bercadang nak singgah di Taman Dato' Ahmad Razali di Ampang sebab nak jumpa kawan lama. Lagipun aku dah lama tak kesitu. 

Tapi kawan yang aku nak jumpa tiada pulak di rumah. Telefon pun tak berjawab. Jadi aku pun pusing-pusinglah dalam kawasan taman perumahan tu, manalah tahu kot...kot kawan aku pergi kedai ke...makan ke...dan handphone pulak terlupa nak bawak. Akhirnya sampai kesudah aku tak jumpa kawan yang aku cari tu.

Kebetulan pulak, tengahari tu angin bertiup agak kencang. Pada kebiasaannya jika angin bertiup kencang, kita akan merasa nyaman dan segar di sebabkan cuaca panas. Tapi pada tengahari tu, bukan nyaman yang aku rasa tapi hidung aku menangkap bau busuk dan meloyakan. Bau busuk dan meloyakan itu tidak lain dan tidak bukan datang dari sampah-sampah yang berselerakan yang tidak dibuang ke dalam tong-tong sampah yang disediakan tapi dicampak begitu saja oleh beberapa orang penduduk yang tidak bertanggungjawab.

Aku hairan macamana penduduk di taman tu boleh hidup dalam keadaan yang macam tu. Takkan lah tak sensitif langsung dengan sampah-sampah yang bertabur. Bukan mata saja sakit, jiwa pun boleh sakit tengok sampah-sampah yang tidak dibersihkan.

Setahu aku, Taman Dato Ahmad Razali terletak di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang ditubuhkan pada 1 Julai 1992. Bandar Ampang pula telah diisytiharkan sebagai Bandar Bunga Tanjung pada 16 Ogos 1993 jadi tak kenalah gelaran yang diberikan itu . Bunga Tanjung pun malu kalau dia tahu namanya dipilih untuk bandar yang mempunyai taman perumahan yang berkeadaan macam tu. Taman perumahan tu pulak letaknya berhampiran dengan pusat membeli belah Ampang Point, sebelahnya ada hotel de Palma, di situ juga ada Hospital Pakar Ampang Putri, Stesen LRT dan Kolej PTPL. Jiran-jirannya yang berdekatan adalah Taman Dagang, Desa 288, Kg. Melayu Ampang, Bandar Baru Ampang, Taman Ampang Utama dan banyak lagi. Aku tengok ramai pelancung dari Negara Arab yang tinggal di Taman Desa 288 yang bersebelahan dengan Taman Dato' Ahmad Razali.

Sampah....Oh.....Sampah...siapalah yang punya kerja nie?...

 

Taman Dato' Ahmad Razali juga terkenal sebab ada pasar tani pada setiap hari Ahad bermula jam 6 pagi hingga ke tengahari. Jadi aku rasa, para peniaga juga adalah  penyumbang kepada sampah-sampah yang dilonggokan itu.  


Aku rasa ni mesti emak bapak yang suruh anak-anak kecil buang sampah...
tapi budak-budak tu manalah sampai tangan nak buang sampah 
dalam tong sampah yang tinggi tu. Jadi lebih baik
mereka campaklah kat bawah tu jer kan...

Dari beberapa orang penduduk yang aku temui pada hari itu, rata-ratanya mereka mengatakan bahawa sampah yang dibuang itu bukan semua dari mereka tetapi dibuang oleh penduduk yang tinggal di kawasan bersebelahan yang didiami pendatang. Mereka ini sebenarnya tiada hak untuk membuang sampah di sini kerana mereka tidak membayar sebarang cukai. 

 

Satu lagi sebab yang dikenalpasti ialah, kebanyakan penghuni dan pemilik asal rumah flat itu telah berpindah ke tempat lain lalu mereka sewakan rumah mereka kepada pendatang asing yang kebanyakannya warga Indonesia, jadi mereka inilah yang selalu membuat kotor dan tidak bertanggungjawab.

Mereka sering membuang sampah tidak kira tempat, asalkan ada kesempatan. Natijahnya, kita dapat lihat di mana-mana sahaja ada sampah tidak kira di rumah, di kedai, di tepi jalan, dalam sungai dan seumamanya. Keadaan ini bukan sahaja mengotorkan alam sekitar tetapi jika dibiarkan ia akan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk dan seterusnya menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus dan lalat di mana haiwan ini turut merupakan pembawa penyakit seperti Taun.

Satu lagi keadaan yang akan berlaku ialah apabila takungan-takungan air seperti di tempat pembuangan sampah ini akan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan ini akan mendorong kepada penyebaran penyakit Deman Denggi yang boleh membawa maut kepada manusia.

Bangkai tikus dibiarkan begitu sahaja di kaki lima tanpa ada seorangpun yang ingin membuangnya. Cuba lihat lalat-lalat yang menghurungi bangkai tikus ini. Tidakkah kita merasa loya melihatnya. Inilah di antara perkara yang menyumbang kepada bau busuk tersebut...

Cuba lihat bangkai tikus ini. Penduduk tidak mempedulikannya langsung. Padahal ia terletak di kakilima salah satu blog di situ. Bangkai tikus terus dibiarkan kering tanpa ada seorang pun yang peduli. Habis-habis pun bila mereka lalu di situ mereka hanya mampu menutup hidung sahaja.

Cuba kita bayangkan kalau hujan turun dengan lebatnya...
sampah ni sudah tentu akan dihanyutkan ke tengah jalan dan
airnya yang mengalir akan merebak ke sekitar kawasan flat yang berdekatan...
bila dah kering nanti tentulah akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. 

Tikus, lipas, lalat yang membiak akan mendatangkan
 berbagai penyakit berjangkit yang boleh
mengancam nyawa manusia... 



Sia-sia sahaja MPAJ menyediakan tong sampah 
kalau tidak dihargai oleh penduduk di sini...

Tempat pembuangan sampah ini pula letaknya berhampiran surau 
dan dewan orang ramai yang selalu di tempah untuk majlis kenduri kahwin...
Bagaimanalah agaknya kalau tetamu jemputan dari luar datang dan lihat keadaan ini...

Tong sampah ini pulak letaknya di sebelah kedai makan...


Ada jugaklah orang yang perihatin dan 
beri nasihat sepertimana yang ditulis tu...
Tapi yang buang tu pulak akan kata...
"Ada aku kesah"

Tong sampah yang besar ini tidak sepadan dengan 
kapasiti sampah yang dibuang ke dalamnya...

Untuk memberi keadilan dalam laporan ini...petang tadi 1 April 2015 jam 6.30 petang aku round sekali lagi di taman ni dan tengok keadaannya masih tidak berubah jadi laporan yang aku buat ini adalah berdasarkan keadaan sehingga jam 6.30 petang tadi...Kalau besok ada yang datang melawat dan tengok dah dibersihkan janganlah kata aku buat fitnah pulak yer....

Monday, March 30, 2015

RAJIN DAN USAHA TANGGA KEJAYAAN...

Gambar hiasan...
Siapa sangka, Amir yang gagal di dalam pelajaran akhirnya 
dapat membina sebuah rumah banglo hasil usaha gigih beliau bekerja
tanpa mengenal erti penat dan jemu....

Ikuti kisahnya yang aku nukilkan 
seperti di bawah ini.    

Aku dan Amir berkawan baik sejak kecil, walaupun kami sebaya, tetapi fizikal kami berbeza sedikit. Amir berbadan tegap dan agak tinggi manakala aku pula kurus sahaja. Walaupun di kampung, ramai rakan-rakan sebaya yang lain tetapi aku dan Amir tidak pernah berpisah. Di mana ada aku, di situ pasti ada Amir. Hobi, menu masakan dan sukan yang kami ceburi juga sama menyebabkan persahabatan kami semakin erat.

Di bidang pelajaran, aku cerdik sikit dari Amir, di dalam setiap peperiksaan penggal dan akhir tahun yang kami duduki, aku biasanya dapat nombor berbelas manakala Amir pula biasanya mendapat nombor puluh, tapi kami tidak pernah berpisah kelas. Satu kelebihan Amir yang tiada padaku adalah Amir pandai melukis dan berimagenasi. Di dalam kelas, ketika guru tiada, Amir banyak menghabiskan masa dengan melukis dan melakar apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Jika buku latihan aku dan kawan-kawan yang lain dipenuhi dengan kerja-kerja latihan yang guru beri, tetapi buku Amir penuh dengan gambar-gambar yang dilukisnya. Guru-guru pula sudah penat memberi nasihat namun nasihat yang diberi ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Pernah ia menunjukkan kepadaku lukisannya yang berbentuk komik seperti yang berlambak dijual di pasaran masakini seperti Dragon Ball, Detektif Conan, Naruto dan sebagainya. Bila aku melihat buku komik yang ditunjukkan itu, aku yakin suatu hari nanti ia akan menjadikan minatnya itu sebagai profesyennya di masa hadapan.

Bagi aku pula, pada ketika itu, aku pun tak tahu apa bidang pekerjaan yang boleh aku ceburi kerana aku tidak minat di bidang kemahiran dan hanya akan berbekalkan segulung sijil sahaja. Dengan sijil itu nanti mungkin dapatlah aku bekerja di pejabat-pejabat Kerajaan.

Komik Naruto...

Komik Detektif Conan...

Komik Dragon Ball...
Ketiga-tiga lukisan seperti inilah yang sering 
Amir lukis di dalam kelas ketika tiada guru mengajar...

Pada tahun 1976, kami menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) untuk menentukan nasib samada dapat naik ke tingkatan 4 atau sebaliknya. Pada masa tu, mana-mana murid yang gagal di dalam peperiksaan SRP, mereka terpaksa meninggalkan alam persekolahan dan mula mencari pekerjaan walaupun umur baru nak mencecah 16 tahun. Tak macam sekarang, walaupun murid-murid gagal dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang setaraf dengan SRP kami dahulu tapi mereka akan dapat juga menyambung pelajaran ke tingkatan 4 samada di sekolah yang sama atau memasuki Sekolah Menengah Vokasional.

Semasa keputusan peperiksaan SRP diumumkan, aku sangat bersyukur kerana lulus di dalam peperiksaan tersebut walaupun dengan markah yang cukup-cukup makan sahaja dan dapat menyambung pelajaran ke tingkatan 4. Tapi aku merasa sedih kerana Amir telah gagal dan terpaksa meninggalkan alam persekolahan. Dalam pertemuan kami semasa mengambil keputusan peperiksaan itu, Amir memberitahu aku yang ia tidak minat lagi untuk belajar dan ingin mencari pekerjaan sahaja untuk membantu ibu bapanya.     

Setahun telah berlalu. Selepas tamat tingkatan 4, aku memasuki tingkatan 5 pula dan akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran bagi menghadapi peperiksaan yang lebih besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menentukan nasibku samada dapat memasuki Universiti atau sebaliknya. Tapi aku tidak mengharapkan apa-apa pun jauh sekali untuk memasuki universiti berdasarkan tahap pelajaranku yang sederhana. Pada aku, jika dapat pangkat 3 pun, itu dah dikira bagus dan jika bernasib baik dapatlah peluang kerja di Jabatan Kerajaan walaupun berpangkat rendah.

Langkah pertama Amir bagi mengisi masanya supaya tidak terbuang dengan sia-sia, ia telah memohon untuk mengikuti kursus dengan Jabatan Pertanian. Permohonannya berjaya dan ia telah di tempatkan di Institut Pertanian di Perak. Aku agak terkejut juga dengan keputusan Amir itu kerana sepanjang persahabatan kami, aku jarang melihat Amir membantu ayahnya mengusahakan kebun di belakang rumah tetapi sebaliknya ia banyak menghabiskan masa dengan melukis kerana itu minatnya sejak dahulu.. Pada anggapanku ia sepatutnya memohon untuk memasuki kelas melukis atau menjadi pelukis jalanan sahaja sementara menanti suatu pekerjaan yang lebih baik. Tetapi itu tidak berlaku pada Amir.

Selepas tamat latihan di Institut Pertanian selama enam bulan dan memperolehi sijil, ia tidak pula memohon pekerjaan di Jabatan Pertanian tetapi sebaliknya ia memohon pekerjaan di kilang yang terletak berhampiran dengan bandar tempat tinggal kami.   

Satu sifat terpuji yang ada pada Amir, ia rajin memohon pekerjaan. Jika ada iklan jawatan kosong yang disiarkan di akhbar tempatan, ia akan memohonnya walaupun kelayakan akademik yang ada padanya tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti yang dikehendaki.

Setelah hampir dua tahun ia bekerja di kilang tersebut, nasib akhirnya menyebelahi beliau apabila ia berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai Pelayan Pejabat di sebuah Jabatan Kerajaan di negeri Perak dan bekerja dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh. Berkat berjimat cermat beliau menyimpan wang, beliau akhirnya dapat membeli sebuah motosikal Honda Cup C70 untuk beliau berulangalik ke tempat kerja di mana sebelum ini ia hanya menggunakan sebuah basikal buruk peninggalan ayahnya.

Satu hari ketika pulang dari kerja, ibunya telah menghulurkan sepucuk surat kepadanya yang diterima dari posmen siang tadi. Setelah membuka dan membaca surat tersebut ia lantas memeluk ibunya dan mengucap syukur kerana ia telah diterima bekerja dengan sebuah Jabatan Kerajaan di Kuala Lumpur sebagai Kerani Rendah. Dengan jawatannya yang baru ini secara tidak langsung telah menaikkan sedikit taraf hidupnya.

Pada peringkat awal ia datang ke Kuala Lumpur, ia menumpang tinggal di rumah abangnya yang telah berkeluarga di Kampung Baru dan dari situ ia berulang alik ke tempat kerjanya di Sentul, Kuala Lumpur.

Ketika umurnya meningkat 25 tahun, Amir telah menyuarakan hasrat hati kepada ibunya di kampung untuk mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya Mahani yang berasal dari Batu Gajah, Perak. Mahani, gadis pilihannya itu telah ditunjukkan kepada kedua ibubapa serta abang-abangnya yang lain. Pihak keluarga tidak membantah dan tertarik dengan keramahan gadis tersebut. Sikap sopan santun yang ada padanya serta pandai mengambil hati keluarga menyebabkan kedua ibu bapa Amir tidak berbelah bahagi untuk menerima Mahani sebagai menantu mereka.

Majlis perkahwinan mereka telah dilangsungkan secara sederhana tetapi meriah. Kaum keluarga serta sanak saudara yang hadir dimajlis perkahwinan kedua mempelai itu semuanya memuji kerana ketika duduk di atas pelamin, kedua-duanya nampak secucuk dan sepadan ibarat kata pepatah melayu "seperti pinang dibelah dua"...

Selepas seminggu bercuti, Amir membawa isterinya Mahani berpindah ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, bekas pegawai Amir, iaitu Encik Nazri yang pernah menjadi ketuanya dahulu dan telah lama bertukar ke Kuala Lumpur mempelawa Amir dan isterinya untuk tinggal bersama mereka di sebuah rumah banglo quarters Kerajaan yang terletak di Jalan Duta. Encik Nazri dan isterinya Asmah yang belum dikurniakan seorang anakpun walaupun telah hampir empat tahun berkahwin sangat gembira jika Amir dan Mahani setuju tinggal bersama mereka kerana di samping rumah yang diduduki sangat besar untuk mereka berdua sahaja, sekurang-kurangnya jika Amir dan isterinya  tinggal bersama, dapatlah mengubati kesunyian Asmah yang kerap tinggal bersendirian ketika Nazri bertugas di luar daerah. Untuk tidak menghampakan pasangan tersebut, Amir dan isterinya bersetuju untuk tinggal bersama-sama di rumah tersebut .

Setelah hampir dua bulan berlalu, suatu hari, Mahani menyuarakan hasrat hati kepada suaminya Amir untuk bekerja. Katanya ia merasa jemu tinggal di rumah seorang diri ketika mereka semua keluar bekerja. Walaupun Amir mampu menyara isterinya, tetapi kerana kasihan melihat Mahani yang sentiasa termenung maka Amir telah membenarkan isterinya untuk bekerja.  Di dalam satu  temuduga terbuka yang dihadiri oleh Mahani di sebuah hospital swasta, ia telah berjaya dan ditawarkan bekerja sebagai jururawat. Sebelum diserap ke jawatan tetap ia perlu menjalani latihan selama tiga bulan terlebih dahulu. Dengan perasaan gembira dan penuh syukur, Mahani bersetuju menerima tawaran tersebut.

Masa terus berlalu, kesihatan Mahani tidak menentu, kepalanya kerap pening dan tekak terasa mual, setelah diperiksa oleh doktor lalu disahkan bahawa beliau kini sedang mengandung dua bulan. Berita yang baru diterima itu sangat menggembirakan hati Amir. Ia menasihatkan isterinya supaya banyak berehat.

Genap sembilan bulan mengandung, Mahanipun bersalin dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang sangat comel dan parasnya saling tak tumpah macam paras mereka berdua.

Selepas habis tempoh berpantang, Mahani selalu tidak sihat, dia kerap alami turun darah dan sering dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. Selain Hospital Besar Kuala Lumpur, beliau juga menerima rawatan di hospital Ipoh ketika ianya berlaku semasa balik bercuti di kampung.

Oleh kerana, penyakit yang dialami Mahani tidak dapat diubati, maka doktor mengsyorkan supaya peranakannya diikat bagi mengelakkan penyakit turun darah itu terus berlaku. Setelah perbincangan dibuat dan tiada pilihan lain maka Amirpun bersetuju dengan cadangan doktor tersebut. Cuma satu sahaja yang terkilan di hati Amir. Dia perlu menerima hakikat bahawa isterinya tidak boleh mengandung lagi dan anak yang telah dilahirkan itu akan menjadi anak tunggal mereka.

Selepas beberapa tahun berlalu, En. Nazri telah bersara dari perkhidmatannya dan akan menyerahkan semula rumah banglo quarters yang diduduki mereka kepada Kerajaan. Enam bulan sebelum En. Nazri bersara, Amir, isteri dan anaknya yang sebelum ini tinggal bersama mereka telahpun berpindah ke rumah baru yang dibeli melalui Pinjaman Perumahan Kerajaan di Kepong. Pada masa itu Mahani tidak lagi bekerja kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Di samping itu ia ingin memberikan perhatian terhadap anak yang baru dilahirkan.     

Semenjak berhenti kerja, Mahani banyak menghabiskan masa dengan belajar memasak, segala jenis masakan dicubanya, buku-buku resepi kini memenuhi rak di ruang tamu rumahnya. Selain resepi masakan moden, masakan tradisional juga turut mendapat tempat di hatinya.

Atas keyakinan itu, suatu hari di Hari Raya Aidilfitri tahun 1982, Mahani berhajat untuk mengadakan rumah terbuka dan meminta suaminya Amir untuk menjemput semua kawan-kawan setugasnya datang ke majlis yang diadakan itu. Menu utama yang dihidangkan ialah Laksa, Mee Kari, Bihun/Mee Sup, Bihun/Mee Soto serta kuih muih yang semuanya dibuat sendiri oleh Mahani tanpa bantuan sesiapapun. 

Majlis yang julung-julung kali diadakan itu sungguh meriah, Semua hadirin yang datang, memuji masakan Mahani yang sungguh enak dan sedap itu. Ada di antara mereka yang mengsyurkan supaya Mahani membuka restoran atau paling tidakpun membuka sebuah warung sahaja kerana mereka yakin suatu hari nanti Mahani akan menjadi seorang tauke restoran yang berjaya.   

Walaupun kata-kata yang diucapkan itu biasa sahaja, tetapi bagi Mahani, ia sangat memberi kesan. Jika diamati apa yang dikatakan oleh mereka itu memang ada betulnya. Hidup di bandaraya Kuala Lumpur ini, kita mesti berani merebut peluang, jalan yang sudah dibuka itu tidak perlu lagi difikirkan dan perlu tindakan segera. Apa yang akan berlaku nanti, kita berserah sahaja kepada Allah. Itulah yang terngiang-ngiang di telinga Mahani.    

Setelah berfikir semasak-masaknya, Mahani menyuarakan hasratnya kepada Amir supaya mencari tapak untuk mereka memulakan perniagaan makanan. Modal permulaan tidak perlu risau kerana ianya sudah disediakan oleh Mahani hasil berjimat cermat semasa beliau bekerja dahulu. Cadangan perniagaan ialah pada waktu petang kerana ianya tidak mengganggu waktu kerja Amir.

Hasil usaha yang bersungguh-sungguh itu, Amir melalui seorang rakannya berjaya mendapat sebuah tapak berniaga di pasar malam. Bermula pada saat itu mereka mula menjalankan perniagaan menjual makanan seperti laksa Penang, Mee Kari, bihun sop dan sebagainya. Tak cukup dengan sebuah pasar malam sahaja, sebaliknya Amir berusaha untuk mencari tapak-tapak pasar malam yang baru jika dia mendengar ada yang akan dibuka. Pada tahun-tahun 1980an, perniagaan pasar malam masih baru dan tidak ramai lagi mereka yang mengambil peluang ini. Lagipun banyak kawasan-kawasan perumahan yang baru siap dibina, jadi pembukaan pasar malam di kawasan itu tidak mustahil akan diujudkan. Jadi peluang beginilah yang mesti direbut oleh mereka-mereka yang bijak mencari peluang.

Untuk memberikan tumpuan pada perniagaannya, Amir telah berhenti kerja kerana mendapati perniagaannya sudah mula menampakkan hasilnya. Perniagaan makanan yang mereka usahakan tidak pernah mengalami kerugian teruk. Walaupun adakala makanan tidak habis dijual kerana faktor ekonomi pelanggan yang 'sesak' di tengah bulan atau dihujung bulan, tetapi sekurang-kurangnya modal pusingan tidak hilang.

Berkat ikhlas dan jujur di dalam perniagaan dan masakan yang disediakan pula sedap dan memenuhi cita rasa pelanggan, kini Amir dan Mahani boleh berbangga kerana mereka adalah di antara orang-orang yang berjaya di bidang perniagaan makanan dan sudah mempunyai pelanggan tetap. Perniagaan mereka telah diperluaskan lagi dengan memberikan perkhidmatan katering kepada pelanggan-pelanggan yang ingin menempah makanan untuk majlis-majlis khenduri doa selamat, tahlil, hari jadi dan sebagainya.

Perniagaan berkonsepkan pasar malam telah mereka tinggalkan kerana telah berjaya memiliki beberapa buah rangkaian restoran di Kuala Lumpur dengan berbagai-bagai jenis masakan ala Timur dan Barat yang menjadi kesukaan dan kegemaran pelanggan masakini. Untuk itu, beberapa orang tukang masak dari negara jiran yang berkenaan telah dibawa masuk untuk bekerja di restorannya.  

Satu perkara yang diimpikan oleh Amir semasa ia tinggal di rumah banglo quarters kerajaan bersama En. Nazri semasa beliau mula berhijrah ke Kuala Lumpur dahulu ialah ingin memiliki sebuah rumah banglo milik sendiri. Berkat hasil usaha gigih beliau bekerja tanpa mengira penat dan lelah bersama isterinya yang banyak membantu menjayakan hasrat dan cita-citanya itu maka hasrat untuk memiliki sebuah rumah banglo siap dengan kolam renang dengan landskapnya yang cantik telah berjaya didirikan. Di samping itu  Amir juga memiliki beberapa buah kereta mewah kesayangannya.

Di samping kejayaan di dunia, Amir juga banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan di kawasannya. Dia juga merupakan seorang bendahari masjid dan sering menghulurkan bantuan jika terdapat apa-apa kekurangan di masjid tersebut.   

Siapa sangka, Amir yang satu ketika dahulu gagal dalam bidang akademik kini menjadi seorang usahawan yang berjaya dan jika difikirkan balik ketika beliau mula tiba di Kuala Lumpur dahulu tanpa ada sebarang bekalan yang dibawa dan mengharungi hidup di bandaraya Kuala Lumpur yang penuh pancaroba ini, akhirnya beliau berjaya membuktikan kata pepatah Melayu yang sering diungkapkan iaitu "RAJIN USAHA TANGGA KEJAYAAN".

Aku diantara sahabatnya yang sentiasa berdoa dari jauh ini sangat berbangga dengan Amir. Walaupun ia telah berjaya tetapi ia tidak pernah lupa kepada aku. Setiap kali ia pulang ke kampung, ia akan mengunjungiku untuk bertanya kabar dan kami akan bercerita kisah-kisah lama terutama ketika kami di zaman kanak-kanak.


Ketika kisah ini dinukilkan, Amir dan isterinya Mahani sekarang berada di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan ibadat Umrah dan Ziarah dan akan kembali ke tanah air sedikit hari lagi.

Kisah ini aku ceritakan untuk memberikan suntikan semangat kepada mereka-mereka yang merasakan diri sudah gagal dan kecewa di dalam hidup akibat kecundang di bidang akademik. Memang diakui bahawa dengan pelajaran yang tinggi sahajalah akan dapat menjamin kesenangan kehidupan di dunia tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana selain otak yang cerdas, manusia juga diberikan tulang empat kerat untuk bekerja dan jika menggunakan tulang empat kerat itu dengan sebaik-baiknya maka kita akhirnya akan berjaya.

Itulah yang telah dapat dibuktikan oleh Amir....