Tuesday, December 29, 2015

GUANTANAMO MEMBAWA TERRY KEPADA ISLAM...

Siapa yang tidak tahu dengan Teluk Guatanamo di Cuba? Pastinya bagi yang sering mengikuti perkembangan dunia Islam mengenali dengan jelas tempat ini. Di sinilah berdirinya bangunan penjara yang sangat mengerikan dengan penjagaan yang begitu ketat dan terkawal.

Bangunan yang dibina oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) bertujuan memenjarakan para tokoh dan mujahidin Islam yang dianggap sebagai manusia paling berbahaya di dunia sebagai pengganas.

Sebahagian besar daripada tahanan di penjara ini adalah Muslim, dengan latar belakang yang pelbagai berasal dari Negara Iraq dan Afghanistan serta kepulauan Arab. Di penjara ini jugalah dunia telah dikejutkan dengan pelbagai kisah penyeksaan, penghinaan, pembunuhan dan pelbagai lagi bentuk kezaliman yang dilakukan terhadap banduan-banduan hanya kerana mereka membawa satu identiti... Islam.

Mereka yang menjadi penghuni di dalam bangunan ini dipandang jijik, dihina dengan layanan melangkau fitrah seorang manusia hatta sekalipun seekor haiwan. Itulah nasib yang diterima oleh mereka yang bergelar banduan di penjara ini.

Walaupun begitu, mujur sebahagian besar masyarakat dunia memandang dengan reaksi negatif kewujudan penjara Guatanamo. Tuntutan agar penjara ini ditutup mengalir deras terhadap kerajaan AS sehingga Presiden AS, Barrack Obama menyambut baik tuntutan tersebut.

Sekalipun dilingkari dengan kisah-kisah yang jelik dan pahit dari penjara tersebut, namun masih terdapat lagi beberapa kisah indah yang menjadi penawar bagi umat Islam. Kisah yang berlaku terhadap salah seorang pengawal penjara, Terry Holdbrooks menjadi satu yang bermakna pada dirinya.

Kehidupan para tahanan banduan dalam penjara itu sememangnya memberi kesan dan pengaruh yang besar dalam hidup Terry yang pada mulanya hidup terumbang-ambing, sementalah lagi kedua-dua ibu bapanya yang berpisah sejak dia berusia tujuh tahun.

Dilahirkan di Phoenix, Arizona iaitu salah sebuah negeri di Amerika Syarikat dan terkenal dengan gurunnya pada 32 tahun yang lalu, dia sama sekali tidak pernah mendengar tentang Islam. Apatah lagi mengetahuinya sebagai sebuah agama.

Ini kerana dia tidak pernah kenal tentang kewujudan tuhan selama membesar di sana. Kehidupan junkies yang dilaluinya saban waktu telah membawanya kepada dunia yang penuh dengan maksiat.

Memasuki usia dewasa seusai pendidikan menengah, dia memohon kerja sebagai tentera kerana timbul kesedaran untuk berubah. Akhirnya dia diterima menyertai badan beruniform tersebut tetapi ditugaskan ke Guatanamo pada tahun 2003. Ketika itu usianya baru 19 tahun.

Walaupun itu merupakan tugasan yang pertama sebagai tentera, Terry tetap menerimanya sekalipun tahu tempat tersebut merupakan tempat paling berbahaya kerana dihuni oleh manusia paling buruk di antara yang terburuk.

Hal ini disebabkan dia sebelumnya telah menyaksikan rakaman video peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan umat Islam membuat serangan terhadap bangunan World Trade Center.

Dia juga turut berasakan di penjara itu nanti akan bertemu dengan orang-orang yang AS anggap sebagai musuh yang kejam dan berbahaya. Di benak fikirannya hanya satu, dia pasti bertemu dengan pemandu Osama bin Laden, jurumasaknya serta orang-orang yang akan membunuhnya jika mereka punyai peluang dan kesempatan.

GUANTANAMO AKU DATANG...

Sampai sahaja di Guatanamo, seribu pertanyaan dan persoalan berlegar di benak fikirannya. Ketika itu buat pertama kalinya, dia bertemu dengan seorang tahanan yang usianya baru menjangkau usia 16 tahun. Tahanan tersebut menyatakan bahawa dia sama sekali tidak pernah melihat laut dan tidak pun mengetahui yang bumi ini berbentuk bulat. Lalu timbul persoalan adakah anak muda itu tahu tentang rencana dunia gagasan pemerintah As iaitu 'War of Terror' (gerakan global memerangi pengganas).

Daripada persoalan kecil yang timbul itu akhirnya membawa satu perubahan yang besar dalam hidupnya. Perlahan-lahan dia Cuba mengenali Islam yang mula bercambah dalam jiwanya. Ketika para pengawal lain menyibukkan diri dengan alkohol dan gambar porno, Terry banyak memanfaatkan waktunya untuk berinteraksi dengan tahanan yang selama ini dianggap oleh pemerintah AS sebagai pengganas.

Dengan bermodalkan senyuman, membuatnya cepat ramah dengan warga penghuni Guatanamo hingga dia dikenal sebagai pengawal yang baik. Terry mula membicarakan soal latar belakang politik, etnik, moral, agama dan juga budaya mereka. Hasil daripada diskusi itu memberinya banyak pencerahan. Dan daripada para warga Guatanamo inilah, dia mulai mendapatkan informasi tentang Islam secara mendalam.

Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan dia mengalami kejutan budaya kerana selama ini dia tidak tahu sama sekali tentang Islam apatah lagi konsep ketuhanan.

Setahun sebagai pengawal penjara ia telah mengubah hidupnya secara total. Satu malam, Terry memberanikan diri berjumpa dengan jeneral penjara buat kali kedua menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam.

Terry tidak puas hati kerana pertemuan pertamanya dengan jeneral penjara, hasratnya ditolak mentah-mentah. Namun untuk kali kedua, dia mahu berbicara panjang lebar.

"Dengar adik! Adakah awak faham perkara ini akan mengubah keseluruhan hidup awak? Awak tidak boleh lagi minum arak, merokok dan makan babi. Melakukan persetubuhan di luar nikah, serta menonton porno. Awak kena belajar bahasa Arab, perlu solat lima kali sehari, belajar agama dan perlu ikut segala yang disuruh Allah. Bukan itu sahaja, awak tidak boleh lagi bersama kami di sini, rakan dan keluarga awak pasti akan membenci dan hidup awak akan susah," amaran Jeneral.

Suatu petang pada 29 Disember 2003, setelah hampir setahun mengkaji dan memahami tentang Islam, dia akhirnya membulat tekad dengan membuat satu keputusan yang sangat besar mengucapkan syahadah. Dengan disaksikan beberapa orang rakan, Terry akhirnya kembali kepada fitrah seorang manusia.


Seorang tahanan yang menjadi mentornya selama di sana telah memimpin upacara sederhana pengucapan syahadahnya. Lantas dengan ucapannya itu dia memutuskan untuk tidak lagi melakukan segala jenis maksiat termasuk kebiasaannya mengambil minuman keras yang selama ini menjadi rutinnya.

Terry berasakan ia seperti lahir kembali seusai kalimah syahadah meniti di bibir. Dengan pengislamannya, maka dia menukar namanya kepada Mustafa Abdullah. Baginya sesuatu itu tidak mudah buatnya, apalagi untuk mendirikan solat lima waktu di penjara Guatanamo. Namun begitu ia tidak membuatnya menyerah bahkan bertambah mantap untuk tetap kukuh berada dalam Islam.

Sesaat dia merasa dirinya terlalu kerdil di hadapan tahanan Guatanamo. Lantas hatinya berbisik, selama aku bergelar pengawal penjara, berasa malu bertimpa-timpa.

Walaupun tubuh mereka berada di balik jeriji besi, akan tetapi sebenarnya para tahanan itu jiwanya jauh lebih merdeka dariku. Aku ni fizikalnya bebas tetapi jiwa terpenjara dengan peraturan tentera. Sampai bila...?"


Terry bergambar bersama isteri tercinta...

Pada musim panas tahun 2004, Terry berasakan dirinya tidak lagi sesuai untuk berada di Guatanamo lalu meninggalkan tempat tersebut dengan berhenti sebagai tentera. Kini dia sudah pun berkahwin dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Teologi Islam. Harapan dan tekadnya hanya satu semoga satu masa nanti Amerika akan menjadi lebih baik dan menjadi pemangkin kepada sinar Islam.

Sumber : Al Islam
Susunan : Mohd Azrin Wahid

3 WASIAT RASULULLAH MENGUBAT JIWA...


Tiga wasiat Rasulullah agar melatih jiwa redha menerima qadak dan qadar. Jika kesemua wasiat itu diamalkan nescaya kita akan berasa betapa besarnya nikmat Allah dan sentiasa redha dengan-Nya. Inilah kunci bahagia dan rasa puas walau diuji dengan seribu satu macam masalah serta musibah. Tiga wasiat ini adalah terapi nabawi bagi penyakit jiwa dan latihan untuk redha.

PERTAMA: Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Pada masing-masing mereka terdapat kebaikan. Bersemangatlah meraih apa yang bermanfaat bagimu. Mintalah pertolongan kepada Allah. Jangan berasa lemah. Jika kamu tertimpa sesuatu, jangan katakan, "Seandainya saya lakukan begini, pasti begini dan begini." Tetapi katakanlah, "Allah telah mentakdirkannya. Apa yang Allah kehendaki pasti Dia lakukan." Kerana kata, 'seandainya' membuka peluang amal bagi syaitan." (HR Muslim).

Hadis itu menjelaskan, barang siapa hendak mendapatkan kecintaan dan keredhaan Allah, maka harus memperkuatkan keimanannya dan bersungguh- sungguh melatih jiwa menjadi kuat. Memperkayakan dirinya dengan ilmu dan memperkuatkan fizikalnya dengan kekuatan lain yang bermanfaat untuk membentuk peribadi Muslim yang dicintai Allah.

Seorang Muslim harus berusaha mendapatkan sesuatu yang bermanfaat baginya, meminta pertolongan Allah, tidak merasa lemah. Menyerahkan segala urusannya kepada Allah dalam apa yang Allah takdirkan untuknya. Tidak boleh marah dan mengeluh terhadap musibah yang menimpa. Tidak boleh memberikan peluang syaitan menggoda dengan mengatakan, "Seandainya saya mengatakan begini dan begitu."

KEDUA: Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah mengajari kami solat istikharah untuk memutuskan segala sesuatu sebagaimana mengajari al-Quran. Baginda bersabda, "apabila seseorang di antara kalian mempunyai rencana untuk mengerjakan sesuatu, hendaklah melakukan solat sunat (Istikharah) dua rakaat kemudian bacalah doa ini, "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau Berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau Mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku  atau mengucapkan: Baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang maka jauhkanlah urusan itu daripadaku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut." (HR Bukhari).

Doa itu mengajar dan melatih jiwa menjadi kuat agar redha dengan qadak dan qadar serta pasrah dengan takdir yang Allah tentukan. Takdir yang Allah tentukan untuk kita adalah yang terbaik dan amat bermanfaat.

KETIGA: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Lihatlah orang yang di bawah kalian. Jangan lihat orang yang di atas kalian. Sesungguhnya itu lebih pantas agar kalian tidak memandang rendah atas nikmat Allah yang diberikan kepada kalian." (HR Muslim).

"Jika salah seorang dari kalian melihat orang yang dilebihkan nikmatnya atas dirinya dalam harta dan postur tubuh, hendaklah dia melihat orang yang di bawahnya." (HR Bukhari).

Hadis itu mengandungi ubat bagi penyakit hasad dan keluh kesah tentang takdir Allah. Jiwa orang yang suka melihat kenikmatan orang lain tidak akan pernah merasa rela. Setiap kali mendapatkan kekayaan dan kedudukan dia menjadi leka dan terus menginginkan kekayaannya bertambah serta rindunya kepada harta yang banyak semakin mendalam. Jika kita ikut wasiat Rasulullah itu maka akan terasa betapa besarnya nikmat yang Allah kurniakan, rela, puas dan bahagia meski diuji. Kehidupan menjadi stabil. (Sumber dipetik dari Iman Kepada Qadar - Prof. Dr. Ali Muhammad Ash-shallabi).

Sumber : Al Islam

SIAPAKAH PENGHUNI LANGIT?...


Hadis ini diteruskan dengan ungkapan, "Nescaya penduduk langit akan merahmati (menyayangi) kalian." Al-lmam al-Mubarakfuri berkata, "iaitu Allah Taala."

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa maksudnya ialah mereka yang menetap di langit iaitulah para malaikat kerana mereka sering meminta pengampunan untuk orang-orang yang beriman.

Allah Taala berfirman (Surah Ghafir ayat 7), maksudnya: "Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan mereka; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami, rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut Jalan-Mu dan peliharalah mereka daripada azab neraka."

Seterusnya al-lmam al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa rahmat para malaikat untuk penduduk bumi adalah doa para malaikat untuk mereka agar dikurniakan rahmat iaitu kasih sayang dan maghfirah iaitu keampunan. Ini berdasarkan firman Allah Taala (Surah al-Syura ayat 5) yang bermaksud: "Dan mereka memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi."

Berdasarkan penerangan ini, dapatlah dirumuskan bahawa terdapat dua pendapat bagi maksud man fis sama iaitu secara literalnya bermaksud 'dia atau mereka yang berada di langit'; iaitu pendapat pertama: Allah Taala.

Manakala pendapat kedua: Para malaikat. Namun huraian yang diberikan menunjukkan beliau cenderung kepada pendapat yang kedua iaitu maksud 'yang berada di langit' adalah para malaikat.

Walau bagaimanapun, boleh sahaja kita memahami maksud 'dia atau mereka yang berada di langit' adalah Allah Taala dengan mengambil kira bahawa Allah Taala tidak berada di dalam langit. Bahkan Allah Taala berada di atas arasy-Nya berasingan daripada makhluk-Nya. Firman Allah Taala dalam Surah al- Rahman ayat 5, bermaksud: "Tuhan yang Maha Pemurah yang berada di atas Arasy."

Inilah akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah menurut apa yang diterangkan oleh al-lmam Abul Hasan al-Ash'ari rahimahullah dalam dua kitabnya yang terakhir iaitu Maqalat al-lslamiyyin dan al-lbanah 'an Usui al-Diyanah.

Melihat kepada pandangan kedua, iaitu 'dia atau mereka yang berada di langit' adalah para Malaikat; dapatlah kita faham bahawa para Malaikat hidup di dalam tujuh petala langit. Di antara dalil yang menunjukkan keberadaan para malaikat di dalam langit adalah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Langit telah merengek dan memang wajar langit merengek. Ini kerana setiap ruang empat jari pasti ada seorang malaikat yang meletakkan dahinya, sujud untuk Allah. (Hadis riwayat al- lmam at-Tirmizi, No. 2312 dan beliau berkata: Hasan Gharib).

LANGIT ITU TUJUH LAPISAN…

Begitulah kebesaran Allah Taala diperlihatkan kepada kita melalui bilangan malaikat yang begitu ramai yang memenuhi ruang langit di atas kita. Langit itu sendiri dinyatakan oleh Allah Taala sebagai tujuh petala langit.

Allah Taala berfirman dalam Surah at-Talaq ayat 12, yang bermaksud: "Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (la menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus-menerus di antara alarm langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu."

Begitulah kita beriman dengan apa yang Allah Taala beritakan kepada kita di dalam al-Quran al-Karim. Kita meyakini bahawa langit itu merangkumi tujuh petala langit atau tujuh lapisan langit. Namun, bagaimanakah keluasan lapisan pertama, kedua dan seterusnya? Hanya Allah Taala yang mengetahui perkara ghaib ini. Jika kita menjumpai dalil yang sahih tentangnya, ayuh kita beriman. Tetapi, jika kita tidak menjumpai apa-apa, maka serahkanlah urusan itu kepada Allah Taala.

Apa yang penting bagi kita adalah jika kita termasuk dalam golongan mereka yang sering merahmati makhluk-makhluk ciptaan Allah Taala, maka Allah Taala yang berada di atas Arasy dan para malaikat yang memenuhi ruang tujuh petala langit akan merahmati kita. Inilah yang kita dambakan dan inilah yang perlu kita usahakan secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Semoga kita semua termasuk kumpulan yang sering merahmati dan sentiasa berkasih sayang.

Sumber : Al Islam

KAMBING TEMUI KOPI...


MENIKMATI sarapan pagi terasa lebih nikmat jika ditemani secawan kopi panas. Kopi ‘0' kurang gula kaww atau mungkin secawan kopi susu. Perghh! Aromanya, menusuk tajam ke rongga hidung. Rasanya, sudah cukup membuatkan penggemar kopi terpejam mata saat menikmati hirupan pertama. Nikmatnya, hrmm tak terkata!

Tidak usah bercerita tentang hebatnya kopi kerana ternyata kopi mempunyai pelbagai keistimewaan selain tahan mengantuk. Antaranya, meningkatkan metabolisme tubuh, menstabilkan emosi, mengurangkan berat badan, berfungsi sebagai antioksida dan banyak lagi. Namun, di sebalik penangan kopi, tahukah anda kambing adalah makhluk pertama yang mula-mula menjumpai kopi

Menurut rekod,sejarah penemuannya bermula di Ethiopia sekitar abad ke-11. Ketika itu, seorang penggembala kambing berasa hairan melihat tingkah laku ternakannya yang begitu aktif selepas makan sejenis buah beri berwarna merah. Melihat keadaan itu, dia lantas melakukan uji kaji ke atas buah berkenaan dengan merebus dan meminum airnya. Ternyata, air rebusan itu menjadikan tubuhnya lebih bertenaga dan segar. Maka terhasillah 'qohwah'.

Orang-orang Ethiopia menyediakan 
kopi Arabican secara tradisional...

Sekian lama kopi berada di negara terbabit, ia kemudiannya dibawa ke Yaman sekitar abad ke-14. Di sana, minuman ajaib itu menjadi sangat terkenal dalam kalangan ahli sufi. Mereka menjadikan minuman itu sebagai alternatif terbaik untuk kekal cergas ketika melakukan ibadah-ibadah khusus pada satu pertiga malam. Sepanjang tempoh itu, kopi tidak dijual, ia hanya ditanam untuk kegunaan sendiri. Sehingga abad ke-15, kopi kemudiannya dibawa masuk ke Mekah dan juga Turki.

Kopi Mocha dipercayai berasal dari Yaman  
dan rasanya sangat sedap. Cubalah!...

Revolusi kopi mula berlaku di Istanbul. Orang-orang Turki telah memperkenalkan satu kaedah 'bru' untuk membuat kopi menjadi lazat. Mereka memanggang biji kopi dan mengisarnya untuk rasa yang lebih pekat. Rasanya jauh lebih sedap daripada kaedah rebusan tradisional yang digunakan hampir 4,000 tahun. Orang- orang Istanbul juga turut menukar nama qohwah kepada 'kahve' mengikut keupayaan lidah bangsa mereka. Istanbul juga turut menjadikan kopi sebagai minuman utama di mahkamah hingga tertubuhnya jawatan pembuat kopi.

Sehingga kurun ke-17, rumusan tentang kesedapan kopi mula meresap ke seluruh Eropah. Bermula dengan Venice sekitar tahun 1615, air kopi mula dijual di kaki-kaki lima. Disebabkan kopi mampu menjadikan seseorang lebih bertenaga, kedai-kedai kopi mula menjadi tumpuan ilmuwan-ilmuwan, golongan pemikir, penyair, saintis, orang-orang ternama dan ramai lagi individu hebat. Dari situlah wujudnya kedai kopi yang menjadi tumpuan untuk membincangkan isu-isu semasa sebagaimana kita lihat pada hari ini.Tengok saja di kampung-kampung, kedai kopi pasti penuh.

Kopi dipercayai terkenal ke seluruh dunia 
sekitar lewat abad ke-17...

Kemudian, sekitar tahun 1669, kopi turut dibawa masuk ke Paris. Dari perkataan qohwah ke kahve. la diubah lagi menjadi Cafe. Istilah ini juga mengikut pelat lidah budaya mereka. Kemudian, ia ditukar lagi kepada Coffee setelah masuk ke London. Juga mengikut keupayaan lidah bangsa mereka. Nama akhir bagi coffee itu terus diguna hingga ke hari ini dan tidak lagi diubah.

Sejarah kewujudan kopi tidak terhenti setakat di London. Menurut rekod, sekitar tahun 1683, kopi 'tiba-tiba' muncul di Vienna, la bukan dibawa masuk untuk didagangkan sebaliknya kopi ditinggalkan oleh tentera-tentera Turki setelah keluar dari Vienna. Orang-orang Austria tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan 500 guni biji kopi yang ditinggalkan hingga ada cadangan untuk membuang saja ke dalam laut. Mereka menyangka biji kopi hanyalah makanan haiwan ternakan musuh mereka.

Walaubagaimanapun, seorang mata-mata daripada bangsa Austria mendapat tahu tentang berita itu  Dia yang pernah ditugaskan mengintip tentera-tentera Turki satu masa dulu sangat sinonim dengan kopi. Lalu, meminta biji-biji kopi berkenaan untuk dijadikan minuman dan diberi kepada semua orang secara percuma. Sejak itu, kopi menjadi terkenal dan dinikmati oleh semua masyarakat di negara itu.

Dalam 'banyak-banyak' sejarah kemunculan kopi di Eropah, kemasukan kopi ke Belanda paling unik. Orang-orang Dutch memang hebat. Mereka dapat mengagak bahawa kopi boleh memberi pulangan lumayan kepada mereka satu hari nanti. Mereka kemudiannya menjadikan biji kopi sebagai barang dagangan paling bernilai berbanding minuman. Kopi mula-mula masuk ke negara itu sekitar abad ke-17dari Yaman.

Kopi menjadi barangan dagangan bernilai 
selepas memasuki Negara Holland...

Jika anda masih ingat sejarah pendudukan Belanda di Sumatera, tentu anda akan berjumpa dengan kopi. Kedatangan Belanda ke rantau Indonesia adalah bersama kopi. Mereka membawa biji kopi untuk ditanam di kepulauan Jawa. Dari situlah ia diperkenalkan ke negaranya sendiri serta beberapa buah negara lain. Bagaimanapun, kopi di Belanda tidak dijual di kaki-kaki lima sebaliknya ia dijual secara eksklusif di kedai bertaraf lima bintang dan hanya dinikmati oleh ahli-ahli perniagaan. Beberapa tahun kemudian, ia dibawa masuk ke Amerika dan negara-negara lain melalui perdagangan.

Sumber  : Majalah Infiniti
Susunan : Nurul Fadhlin Che Ismail

Monday, December 28, 2015

MAGISNYA AZAN...


Apabila azan berkumandang, semua orang tahu, itu tanda telah masuk waktu solat. Di Malaysia, kita boleh dengar laungan azan di mana-mana. Jauh daripada maksud itu, ramai yang tidak tahu azan ini mempunyai suatu hikmah tersendiri.

Banyak peristiwa yang berlaku di sekeliling kita memperlihatkan azan itu sangat ajaib. Antaranya kisah seorang lelaki yang terselamat ketika berlaku tsunami pada tahun 2004 lalu. Ketika kejadian, mangsa hanya sempat melihat ahli keluarganya nazak di depan mata tanpa dapat berbuat apa-apa.Teringat pesan arwah ibu supaya melaungkan azan ketika ditimpa musibah, lelaki itu akhirnya dihanyutkan ke kawasan lebih selamat.

Pada tahun tersebut juga, negara kita pernah dikejutkan dengan kehilangan sebuah helikopter di Bario, Sarawak. Pelbagai usaha menjejak sudah dilakukan, namun tidak jumpa juga. Hal itu mengundang bantuan beberapa buah negara asing dalam misi murni ini. Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk ditemui. Akhirnya, seseorang tampil membantu dengan melaungkan azan. Pelik tapi benar, tidak lama kemudian, bangkai pesawat berkenaan tiba-tiba kelihatan di lubuk hutan.

Sementara itu, bagi kes mangsa lemas pula, laungan azan adalah kaedah alternatif yang digunakan selepas misi pencarian tidak bertemu sebarang petunjuk. Kebiasaannya ahli Penyelamat menggunakan kaedah ini selepas menemui jalan buntu menjejak mangsa. Lazimnya, orang tertentu akan diminta tampil ke sesuatu lokasi yang dipercayai sambil melaungkan azan. Walaupun perkara ini tidak masuk akal, tapi banyak kes mangsa lemas berjaya ditemui menggunakan kaedah ini.

Baru-baru ini, sebuah video telah jadi viral di Internet, la berkaitan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang hilang, tiba-tiba muncul semula selepas azan dilaungkan. Kejadian ini dipercayai berlaku di Selatan Thailand. Lebih menghairankan, lokasi kanak-kanak itu ditemui adalah kawasan semak-samun yang dilalui pasukan penyelamat beberapa kali. Persoalannya, kenapa azan mampu membuatkan mereka yang hilang ini ditemui semula?

Menurut, Pengasas Spiritual NLP Malaysia, Dr. Azhar Sarip, di dunia ini terdapat empat zon gelombang Beta, Alpha, Theta dan Delta. Kesemua gelombang itu mengandungi frekuensi tersendiri daripada gelombang negatif kepada gelombang positif. Azan pula berada dalam zon gelombang theta iaitu gelombang rendah yang bersifat menenangkan dan positif.

Berbalik kepada persoalan, makhluk halus, jin dan syaitan semuanya memiliki gelombang beta iaitu gelombang paling negatif. Secara saintifiknya, gelombang positif mampu menakluki gelombang negatif. Dalam hal ini, gelombang theta yang dilaungkan melalui azan akan memecahkan gelombang beta menyebabkan mangsa boleh ditemui semula. Oleh sebab itu, azan menjadi pilihan untuk mencari individu hilang.

Begitu juga azan digunakan ketika berlaku bencana. Asalnya Bumi kita bersifat theta kerana banyak pokok, gunung-ganang dan haiwan yang menenangkan Bumi. Walau bagaimanapun, hari demi hari ia mula menghala ke beta kerana sering berlaku pembunuhan, penebangangan dan kemusnahan. Hasilnya banyak permasalahan, peperangan dan bencana terjadi. Oleh itu, dengan hanya laungan azan musibah dapat ditenangkan. Sebab itulah, azan bersahut-sahutan di seluruh dunia.

Azan sangat penting untuk mententeramkan alam...

Hal yang sama juga berlaku dalam konsep spiritual agama Islam. Azan sering dikaitkan dengan solat yang mana mengerjakannya pada awal waktu dapat membina gelombang theta. Fitrahnya, solat akan didirikan selepas azan. Pada ketika itu Bumi berada dalam gelombang theta. Oleh itu, solat yang didirikan sejurus selepas azan membuatkan ia termasuk ke dalam gelombang itu. Ini secara tidak langsung tubuh kita akan selari dengan paksi Bumi. Hasilnya, solat lebih berkualiti, tenang dan khusyuk.

Bayi juga bersifat theta...

Apabila sudah berjaya mencapai ke tahap itu, tubuh akan menghasilkan tiga hormon, Melatonin, Endorphin dan Serotonin secara semula jadi. Ketiga-tiga hormon itu dapat mencegah dan melawan pelbagai penyakit jika dirembeskan dengan betul. Hormon Melatonin berfungsi sebagai Pengawal trafik dalam sistem badan kita seperti mengawal tidur, mengawal tekanan dan mengoksidakan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan.

Apabila seseorang terkena kanser bermakna Melatonin tidak mampu lagi mengawal sel-sel badan atau dalam bahasa mudahnya pengawal trafik gagal menjalankan tugas menyebabkan sel-sel berlanggar sesama sendiri. Oleh kerana itu, penghidap kanser tahap satu dan dua, dinasihatkan sentiasa mempraktikkan azan supaya gelombang otak dapat direndahkan dan hormon Melatonin boleh dihasilkan.

Sementara itu, jika diperhatikan di hospital, pesakit yang berada dalam keadaan sakit, gelisah dan serabut, doktor akan menyuntik morfin sebagai penenang. Tetapi sebenarnya, tubuh kita sudah memiliki morfin semula jadi untuk ketenangan jiwa yang dikenali sebagai Endorphin atau morfin. Akhir sekali, hormon Serotonin yang bertindak sebagai agen ceria badan dikeluarkan. Tanpanya, kita mengalami tekanan dan murung hingga boleh membunuh diri.

Tahukah anda, kesemua hormon-hormon itu hanya boleh di dapati semasa tubuh berada dalam gelombang theta. Istimewanya, gelombang itu berkait rapat dengan azan dan solat pada awal waktu kerana keseimbangan tubuh boleh dicapai ke tahap maksima. Malangnya, kebanyakan daripada kita bersolat dalam gelombang beta iaitu solat lewat waktu. la menyebabkan pelbagai penyakit jiwa menimpa.

Sumber  : Majalah Infiniti
Susunan : Nurul FadhlinChe Ismail

Sunday, December 27, 2015

DARI TONG SAMPAH KE PENTAS PERAGAAN...


‘TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'. Mungkin itulah perumpamaan paling tepat diberikan kepada pemenang ratu cantik, Khanittha Mint Phasaeng setelah menjuarai tempat pertama dalam pertandingan ratu cantik. Miss Unsensored News Thailand 2015 anjuran Dermadict pada 25 September tahun lalu. Kemenangan itu sekali gus mengubah nasibnya sebagai pengutip sampah.

Tiada siapa pernah menyangka, gadis comot, berbau busuk, kotor, berbaju koyak, berambut kusut, tiba-tiba melangkah penuh anggun, cantik, malah berkeyakinan tinggi saat meniti pentas peragaan. Ketika namanya diumumkan juri sebagai pemenang, air mata Mint tidak henti-henti mengalir membayangkan wajah ibu serta adik-beradik silih berganti dalam keadaan comot dan kotor.

Ironinya, orang yang berjaya datang daripada kehidupan silam yang menyedihkan. Begitu juga Mint. Hidupnya penuh dengan air mata. Dia juga hanya dibesarkan oleh ibunya, Orothai Pormaun yang bekerja sebagai pengutip sampah setelah bercerai dengan bapanya ketika Mint masih kecil.

Ketika berusia 14 tahun, Mint terpaksa berhenti sekolah semasa di peringkat Mathayom 3. Hidupnya terumbang-ambing tanpa pelajaran. Namun, Mint tidak pernah kesal kerana dia tahu ibunya susah untuk membesarkan mereka sekeluarga. Sebaliknya, gadis cantik itu sanggup turun padang berpanas hujan bersama ibunya mengutip sampah demi sesuap nasi. Bukan itu saja, di usia yang masih muda, Mint sudah melakukan banyak kerja dalam satu masa. Antaranya, menjual baju terpakai dan menjadi penari..

Akibat hidup yang kian menyempit, Mint telah dijaga oleh ibu saudara yang juga tinggal di kawasan berdekatan. Meskipun begitu, Mint tetap terus bekerja membanting tulang mencari rezeki. Setiap kali selepas habis menari, Mint akan terus terkejar-kejar mendapatkan ibunya yang berada di sekitar tempat-tempat pembuangan sampah.

Namun, lebih kurang pertengahan tahun lalu bapa saudara Mint mencadangkan gadis berusia 17 tahun itu menyertai pertandingan ratu cantik. Pada pandangan bapa saudaranya, mungkin itu peluang baik untuk Mint mengubah nasib keluarganya. Ternyata tanpa diduga, Mint yang sebelum itu tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan 'Catwalk' terbukti berjaya merangkul gelaran ratu cantik Miss Unsensored News Thailand 2015.


Malah, namanya menjadi viral serta-merta selepas tanpa segan silu mengaku sebagai anak seorang pengutip sampah yang hidup melarat. Perkara itu sebenarnya tidak pernah diwar-warkan oleh Mint ketika dalam pertandingan. Akan tetapi, selepas gambar ratu cantik itu sujud di kaki ibunya di hadapan deretan tong-tong sampah, benar-benar meruntun hiba hati pembaca menyebabkan namanya terus'boom!'.


Begitu pun, nama Mint bukan hanya terkenal di negaranya sahaja, bahkan di seluruh dunia termasuk di Malaysia, Eropah dan beberapa buah negara lain. Semuanya kerana ketaatan, kemurnian serta kehidupan gadis cantik itu mengakui latar belakang kehidupannya bersama keluarga di bandar itu. sudahlah cantik, berhati murni pula.

Meskipun begitu, siapa sangka bidalan 'disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari' selalu terjadi. Nikmat yang di kecapi hanya sementara apabila beberapa minggu selepas dinobatkan sebagai pemenang, pihak penganjur tiba-tiba menghubunginya untuk menarik balik gelaran ratu cantik. Perkara itu bukan hanya memeranjatkan Mint, bahkan semua peminat di negara terbabit.


Menurut saudara Mint, Know, penarikan gelaran ratu cantik disebabkan penipuan maklumat ketika mengisi borang penyertaan dahulu. Dalam borang berkenaan, Mint menulis dia belajar hingga tamat Mathayom 6 sedangkan ratu cantik itu hanya belajar sehingga tahap Mathayom 3 sahaja.

Pada awalnya pihak penganjur menerima panggilan dari sebuah universiti yang mahu menaja biasiswa untuk Mint menyambung pelajaran. Namun, selepas disemak, ternyata Mint tidak menghabiskan persekolahannya menyebabkan gelaran itu terpaksa ditarik balik, katanya. Oleh itu, pihak penganjur meminta Mint memulangkan semula BAHT 30,000 atau RM3,600 yang dimenanginya dalam pertandingan itu.


Bagaimanapun, Mint mengakui, wang kemenangan itu telah diagihkan kepada keluarganya untuk membeli keperluan hidup. Justeru selepas perbincangan lanjut dilakukan, pihak penganjur bersetuju menjadikan wang itu sebagai hadiah untuknya malah turut membenarkan Mint menyimpan mahkota kemenangan. Akan tetapi, pihak penganjur meminta Mint memulangkan semula kalung sutera yang diterimanya.


Kesal atas apa yang terjadi, Mint telah memohon maaf secara terbuka kepada pihak penganjur atas kesilapan yang dilakukan. Akui Mint, borang permohonan itu sebenarnya telah diisi oleh bapa saudaranya. Namun, tetap mengaku salah kerana tidak menyemak semula borang berkenaan sebelum menghantarnya kepada penganjur program.

Sumber : Majalah Infinity
Penulis  : Nurul Fadhlin Che Ismail 

MADU WARNA WARNI...

Madu berwarna-warni yang ditemui pada tahun 2010...

BENARKAH wujud madu yang dikatakan berwarna-warni? Agak-agaknya, jika dijual di pasaran, warna apa yang menjadi pilihan ramai?  Maklum saja, keunikan sesuatu perkara boleh menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk mendekatinya. Silap-silap, ada yang melabelkan madu ini sebagai salah satu makanan 'hipster'.

Adakah ia benar-benar wujud? Bagaimana rupa bentuk madu ini? Untuk pengetahuan anda, madu warna-warni ini pernah wujud pada tahun 2012 di kawasan penternakan lebah di Ribeauville, Perancis. Awalnya, perkara ini hanya menjadi buah mulut masyarakat setempat kerana berasa teruja dengan warna madu yang terhasil. Betapa tidak, selama hidup, hanya menemui madu berwarna coklat cair dan kuning gelap. Jadi, apabila ternampak cecair manis ini dalam warna berlainan, pasti siapa pun akan teruja.

Sudah tentu para pembaca ingin mengetahui warna apa yang dikatakan pelik ini bukan? Keunikan madu ini terhasil dalam dua warna utama iaitu biru dan hijau. Namun begitu, penternak lebah turut menjumpai cecair manis berwarna kuning cair dan coklat kemerahan gelap pada sarang serangga tersebut.

Keadaan itu menyebabkan timbul kesangsian terhadap piawaian madu ini. Apakah ia mematuhi standard kualiti yang ditetapkan atau berbahaya kepada manusia? Dari sudut fizikal, warna madu itu cukup cantik dan ia sudah boleh menarik perhatian pembeli namun penternak tidak berani berbuat apa-apa kerana belum ada dalam sejarah mereka menemui madu sebegitu.

Menurut cerita para penternak lebah di kawasan berkenaan, cecair yang dikeluarkan oleh serangga itu bukanlah madu biasa. Hasil siasatan yang dilakukan oleh mereka membawa kepada penemuan bukti sebenar.

Mengejutkan, kumpulan lebah yang diternak rupa-rupanya memilih sebuah kilang industri penghasilan coklat sebagai lokasi persinggahan harian. Kedudukan kilang coklat yang terletak kira-kira empat kilometer dari kawasan penternakan memudahkan rutin harian serangga kecil itu. Sisa cecair gula-gula coklat yang berada di ruang terbuka telah menarik minat serangga ini untuk mengumpulkan nektar daripadanya. Maka, tidak hairanlah apabila zat manis yang terhasil pada sarang lebah yang ditemui memiliki warna yang berbeza dengan rona madu yang biasa kita temui.

Apakah kaitan gula coklat dengan penemuan madu pelik...

Sebelum itu, golongan penternak lebah di Ribeduville telah mengalami kerugian tinggi akibat kematian serangga tersebut semasa musim sejuk. Jadi, situasi madu berwarna unik ini sekali lagi menimbulkan polemik. Justeru Presiden Persatuan Pemeliharaan Lebah, Alain Freih mendedahkan keputusan kimia madu berwarna-warni ini.  Ahli kimia mengesahkan madu itu mempunyai kualiti rendah.

Alain freih menunjukkan madu pelik 
yang terhasil pada papan sarang lebah...

Maka, dengan sebulat suara mereka sepakat untuk memaklumkan kes tersebut kepada pihak perusahaan coklat berkenaan. Atas faktor tanggungjawab, kilang coklat ini bertindak menyimpan kesemua sisa manisan berwarna-warni ke dalam bekas tertutup. Selain itu, kawasan perindustrian itu turut dibersihkan bagi mengelakkan kedatangan semula 'tetamu kecil' ini. la sekaligus menyelesaikan masalah.

Sementara itu, penghasilan madu unik ini bukanlah pertama kali berlaku. Sebaliknya, sejenis madu berwarna merah telah ditemui awal pada tahun 2010 di Red Hook, Brooklyn, Amerika Syarikat. Menurut salah seorang penternak lebah, Cerise Mayo, penemuan tersebut dipercayai berpunca daripada jus ceri maraschino yang dihasilkan oleh kilang berhampiran. Awalnya, dia dan rakan-rakan berasa sukar untuk mempercayainya. Bagaimanapun, selepas sampel cecair merah tersebut dianalisis oleh pakar pemeliharaan lebah New York, ternyata ia berpadanan dengan jus buah yang dinyatakan.

Kehadiran cecair berwarna ini bukan sesuatu yang menggembirakan semua orang. Kekecewaan jelas terpancar di kalangan para penternak terbabit. Situasi aneh yang sepatutnya memberi pulangan kepada mereka rupanya hanyalah mimpi ngeri. Mereka terpaksa berdepan dengan hasil yang merosot ekoran cecair merah yang terdapat dalam sarang bukan nektar. la diklasifikasikan sebagai cecair yang tidak menepati ciri yang ditetapkan. Lebih mengecewakan lagi apabila ujian kimia menunjukkan cecair itu mengandungi rasa logam selain rasa manis yang terlalu jika dibandingkan dengan madu asli.

Madu berwarna-warni, unik atau menakutkan...

Insiden yang berlaku pada 2010 dengan 2012 cuma berbeza daripada zat manis dalam kandungan sarang sahaja. Ujian piawaian tetap menolak hasil cecair berwarna-warni ini untuk dikategorikan sebagai madu yang boleh dijual kepada orang ramai.