Sunday, November 18, 2012

MEMPEROLEH KERJA YANG BERKAT...

Kita sering mendengar orang memperkatakan:

"Sumber pendapatan yang berkat melahirkan anak-anak yang soleh."
"Ilmu yang berkat mudah diingat dan diamalkan."
"Pekerjaan yang berkat memberi rezeki yang halal."

Apakah maksud 'Pekerjaan Yang Berkat'?

Berkat berasal daripada perkataan Arab "ba-ra-ka" yang bermakna "rahmat atau restu." Kerja yang berkat ialah kerja yang mendapat restu dan rahmat Allah s.w.t. Kerja yang tidak berkat walaupun berjaya, baik dan cemerlang namun tidak ada nilai di sisi Allah s.w.t.

Pekerjaan yang berkat dapat dikenali melalui petanda berikut:
  • Dapat bekerja dalam situasi dan persekitaran mengikut syariat.
  • Terhindar daripada kelalaian, pembaziran, dosa dan maksiat
  • Timbul rasa tenang dalam diri
  • Sentiasa dapat memberi manfaat kepada orang lain
  • Pendapatan sederhana tetapi mencukupi untuk perbelanjaan
  • Allah sentiasa memberi perlindungan dalam segala keadaan.
 Apa bentuk keberkatan yang Allah beri?

Dengan segala sifat Pemurah lagi Penyayang, Allah s.w.t. sentiasa mencucuri rahmat atas hamba-hamba yang taat kepada-Nya. Pelbagai bentuk kemudahan dan anugerah yang didatangkan Allah s.w.t kepada kita tanpa kita sedar atau pinta antara lain:
  • Usia panjang yang dapat dimanfaatkan
  • Kesihatan dan kecerdasan mental
  • Kesihatan fizikal dan terhindar dari sebarang penyakit
  • Ketenteraman dan ketenangan jiwa
  • Anak dan keluarga yang cemerlang
  • Diberi ilmu yang dapat diamal dan dimanfaatkan
Terdapat banyak cara untuk menjadi pekerjaan yang kita lakukan itu berkat. Antaranya:

  • Yakin Rezeki Datang Daripada Allah
Allah menjamin rezeki yang mencukupi untuk semua makhluk yang diciptakan-Nya. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Kami telah menetapkan kamu dan memberi kuasa di bumi dan kami jadikan kamu berbagai-bagai jalan penghidupan supaya kamu bersyukur, tetapi amat sedikit kamu bersyukur." (Surah al-A'raf 7-10)  
Allah s.w.t berfirman lagi yang bermaksud: "Dan, tidak ada satu binatang melata pun dibumi, melainkan Allah yang akan memberi rezeki-Nya." (Surah Hud 11:6)  
  • Rezeki Diusahakan, Bukannya Berserah Sahaja
Allah s.w.t berfirman lagi yang bermaksud: "Dan kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki." (Surah al-Naba' 78:11)  
  • Kerja Yang Halal
Kerja yang kita lakukan hendaklah halal dan tidak bercanggah dengan syariat. Antara kerja yang haram adalah kerja yang terlibat dengan judi, riba, arak, penipuan, pergaulan bebas, pelacuran, mensyirikkan Allah s.w.t.dan penzaliman.
  • Natijah Atau Hasil Kerja 
Natijah atau hasil kerja yang dilakukan seperti gaji yang diterima atau produk yang dihasilkan akhirnya digunakan ke jalan yang halal dan bukan sebaliknya.
  • Agar Rezeki Bertambah Berkat
Kita hendaklah bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita samada banyak atau sedikit. Jangan mengeluh atas kepayahan hidup. Itu mungkin sedikit sahaja ujian yang Allah datangkan untuk menguji keimanan kita. Jika kita rajin berusaha akhirnya Allah s.w.t. akan memberi kemudahan kepada kita.
  •  Bekerja Keras
Kita hendaklah sentiasa bekerja keras secara fizikal dan rohani. Pepatah Melayu ada mengatakan:
"Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya""Yang pipih tidak datang melayang dan yang bulat tidak datang bergolek"
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud "Sekiranya kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian memikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatan, nescaya lebih baik daripada meminta-minta daripada orang lain, baik diberi mahupun ditolak." (Riwayat Bukhari daripada Zubair b. Awwam) 
  • Mengeluarkan Zakat
Apabila cukup nisab (amaun) dan haul (tempoh) semua harta benda, keuntungan perniagaan, ternakan, hasil pertanian, simpanan emas dan perak serta pendapatan kita, hendaklah dikeluarkan zakat tanpa berlengah-lengah atau mengingkarinya.
 Sementara itu, setiap lelaki yang mukallaf hendaklah mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya dan setiap ahli keluarganya setahun sekali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
  •  Jauhi Sifat Tamak
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Harta di dunia ini indah dan manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan hati yang lapang, yakni tidak bercampur dengan sifat tamak, nescaya akan dilimpahkan keberkatan pada hartanya itu. Tetapi sesiapa yang mengambilnya dengan ketamakan , pasti tidak ada keberkatan. Orang yang sedemikian ibarat makan tidak pernah kenyang prerutnya. Tangan yang diatas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah." (Riwayat al-Hakim)
  • Hindari Rasuah
Jauhi perbuatan rasuah samada memberi atau menerimanya. Kesan rasuah amat besar sehingga boleh meruntuhkan organisasi sesebuah negara. Di peringkat masyarakat, rasuah boleh menghancurkan sifat kemanusiaan, mewujudkan jurang yang lebar dalam taraf hidup masyarakat dan akhirnya menjadi barah dan menular ke peringkat negara.  
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, api nerakalah yang lebih layak baginya." (Riwayat at-Tirmizi)
  • Banyakkan Bersedekah
Untuk menjadikan pendapatan dan harta milik kita berkat, banyakkan bersedekah. Bersedekahlah ke jalan yang di redhai Allah s.w.t. terutamanya kepada tanggungan sendiri, saudara yang terhampir dan orang yang mmerlukan. 
  • Lakukan Kerja Dengan Cemerlang
Kerja dapat dilakukan dengan cemerlang dengan cara:
  • Buat dengan bijaksana bukan dengan cara bekerja keras semata-mata
  •  Bersungguh-sungguh
  • Buat yang terbaik
  • Membina kumpulan kerja (team-work) dengan bijak
  • Ikhlas dalam bekerja
Daripada Saiyidatina Aishah r.ha. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah suka seseorang yang melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan cemerlang." (Riwayat al-Baihaqi) 
Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seorang pekerja apabila ia berbuat dengan sebaik-baiknya." (Riwayat Ahmad)
  • Syukur Dengan Rezeki 
Setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh, memadailah dengan apa yang dianugerahkan. Allah s.w.t. tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Jangan terlalu meminta-minta kepada manusia apabila ditimpa kesusahan.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang beriman, miskin, dan tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai." (Riwayat Ibn Majah daripada Imran b.Husain)
Rsulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: "Seorang yang meminta-minta kepada orang ramai, nanti akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya hanya tinggal tulang, tiada lagi daging padanya." (Riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah b. Umar) 
  • Berdoa
Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar diluaskan rezeki dan diberi keberkatan atas rezeki tersebut. Allah s.w.t. sentiasa mendengar rintihan daripada hamba-Nya yang meminta dengan bersungguh-sungguh.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Doa itu senjata bagi orang mukmin." (Riwayat Ibn Abi Dunya, al-Hakim dan lain-lain)
  • Mempertingkatkan Takwa
Mempertingkatkan takwa kepada Allah s.w.t. adalah dengan melakukan suruhan-Nya sebaik mungkin dan meninggalkan segala larangan-Nya. Takwa menjamin kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
  • Kesimpulan
Melaksanakan kerja yang berkat dalam kerjaya dan urusan seharian akan membentuk keluarga yang sihat, masyarakat yang harmoni dan negara yang terletak dibawah keampunan Allah s.w.t.
Sementara kerja yang tidak berkat akan membawa bencana, ibarat barah dalam daging kerana akan berlakunya kekalutan di tengah-tengah masyarakat yang sering mengenepikan atau melanggar hukum Allah s.w.t.

Dipetik dari Majalah Solusi 2011

No comments:

Post a Comment