Sunday, April 7, 2013

ANAK DERHAKA...

Gambar hiasan....

Dikisahkan bahawa seorang ayah yang merasa kekacauan, gundah gulana dan lelah memikirkan harapannya yang belum lagi terlaksana. Dia ingin melihat anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan memegang peranan penting di dalam masyarakat. Namun apa yang diharapkannya tidak berlaku seperti yang dikehendakinya. Anak-anaknya selalu membantah apa yang dikatakannya dan derhaka kepadanya.

Allah s.w.t. memberikan kurnia kepada lelaki ini lima orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Dia telah memikul beban yang berat kerana mesti bekerja siang dan malam, menghabiskan hari-harinya dengan peluh sehingga tidak lagi memberikan perhatian terhadap kesihatannya.

Lelaki ini selalu berusaha untuk memberikan pengajaran sebaik mungkin kepada anak-anaknya agar kelak mereka tidak memperoleh pekerjaan yang rendah dan susah seperti yang dialaminya sekarang ini serta dapat meraih masa depan yang cerah.

Hasil dari penat jerihnya membuahkan hasil kerana anak sulungnya berjaya di dalam pelajaran dan menjawat jawatan sebagai seorang Hakim, anak yang kedua telah menjadi seorang Sarjana, anak ketiga lulusan Diploma Jurusan Perindustrian, anak keempat lulusan Agama sambil bekerja separuh masa, anak kelima seorang Jurutera Kimia sedangkan dua orang anak perempuannya sudahpun habis belajar dan berkahwin.   

Setelah meningkat usia, si ayah mula diserang penyakit kencing manis manakala isterinya pula mengalami cacat kekal. Keperluan hidup pun semakin besar sehingga lelaki ini kebingungan memilih antara memenuhi keperluan rumahtangga atau mengubatkan dirinya dan isteri.

Keadaan yang sulit dan perlakuan anak-anak yang derhaka membuatnya menjadi risau dan permasalahan menjadi bertambah rumit. Dia mula mengingat kembali segala sesuatu dari perkara kecil sampai besar yang pernah dia berikan kepada mereka sehingga mereka sanggup tidak memerhati dan meringankan kesulitan-kesulitan yang dihadapinya walaupun setakat memberikan jalan penyelesaian.

Setiap anak hanya memikirkan diri mereka sendiri dan berusaha menjauh antara satu sama lain dan mereka sangat jarang mengunjungi ayah dan ibu mereka ataupun sekadar berkumpul di rumahnya. Di dalam keadaan seperti ini, muncullah idea dari anak-anak yang tidak memerhatikan orang tua tersebut untuk melepaskan diri dari kewajipan mereka dan membiarkan susah payah yang di hadapi ayah mereka seperti kekurangan wang dan penyakit yang sedang dideritainya.

Iblis lantas merasuki fikiran mereka agar menyusun sebuah rancangan untuk membunuh ayah mereka. Pada hari yang telah ditentukan, mereka berkumpul dan pergi berjumpa ayah mereka yang sedang sakit. Mereka mendapati bahawa ayah mereka dalam keadaan sudah agak sihat namun penyakit yang di hidapi masih tetap memamah tubuh tuanya.

Anak bongsunya lalu mendekatinya dan menyiramkan air panas kepadanya lalu menjerut leher ayahnya dengan tali sehingga nyawanya melayang. Mereka lantas menyembunyikan peristiwa tersebut serta menguruskan pengkebumian ayah mereka melalui salah seorang petugas yang mereka kenali sehingga pembunuhan tersebut tidak dapat di ketahui oleh sesiapa pun.

Pada suatu malam, ibu mereka mengintai gerak geri anak-anaknya dengan diam-diam, kemudian dia mendengar anaknya yang sulung berkata: "Sesungguhnya aku tidak dapat beristirehat dengan tenang semenjak peristiwa pembunuhan itu." Anak yang kedua juga mengeluh kerana ayahnya sering muncul setiap malam di dalam mimpinya.

Maka dengan mengumpul seluruh kekuatannya, ibu tua tersebut pun menemui anak-anaknya sambil berteriak: "Kenapa kamu bunuh ayah kamu yang sedang sakit?" 

Kesemua anak-anaknya bersujud dan mengakui perbuatan mereka itu. Maka ibu mereka pun menemani mereka untuk menyerahkan diri kepada polis.

Akhirnya anak-anak yang di dapati bersalah di jatuhi penjara seumur hidup.

No comments:

Post a Comment