Sunday, April 14, 2013

PEMUZIK JALANAN...

Di suatu petang di hujung minggu, aku bersama keluarga meluangkan sedikit masa di Bandaraya Kuala Lumpur untuk bersiar-siar sambil meninjau-ninjau dan menikmati suasana kemeriahannya.

Walaupun aku dan isteri bekerja di Kuala Lumpur, tetapi kami tidak punya masa untuk membeli barang-barang keperluan diri sendiri dan anak-anak di hari-hari bekerja kerana kesibukan tugas. Lagipun mencuri masa di waktu bekerja adalah perbuatan yang tidak baik.

Setiba di KL, aku meletakkan kereta di basement dua Bangunan MARA. Selepas itu kami terlebih dahulu menjamu selera di food court Medan MARA sementara menanti masuknya waktu Maghrib yang azannya akan dikumandangkan kira-kira satu jam lagi.

Selesai makan dan kebetulan pula azan telah dikumandangkan, maka kami pun bergerak untuk menunaikan solat Maghrib. Aku memilih untuk menunaikan solat Maghrib di Masjid India manakala isteri dan anak-anakku pula lebih selesa untuk menunaikannya di pusat membeli belah SEMUA HOUSE yang jarak antara kedua-duanya lebih kurang 200 meter sahaja. Sebelum berpisah aku memaklumkan bahawa aku tidak akan mengikuti mereka untuk membeli belah dan sebaliknya mahu menghabiskan masa di Masjid India dan persekitarannya sahaja sementara menanti waktu Isya' kira-kira jam 8.30 minit nanti.

Seperti biasa, setiap malam minggu, kemeriahan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India sangat mengujakan dan ia merupakan tempat membeli belah yang popular untuk kaum Melayu dan India. Pada malam itu juga sebuah pasar malam telah diujudkan bagi menambahkan lagi suasana kemeriahannya. Bagi kaum China pula, mereka mempunyai tempat membeli belah yang popular iaitu di Jalan Bukit Bintang dan Petaling Street.  

Lain-lain pusat membeli belah yang popular di persekitarannya ialah Kompleks Membeli Belah SOGO, Pertama Kompleks, Kompleks Campbell, Kompleks Wilayah, MYDIN, JAKEL serta City One. Walaubagaimana kompleks-kompleks ini hanya beroperasi sehingga jam 10 malam sahaja berbanding pasar malam yang beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

Kira-kira jam 9 malam, aku bergerak menuju kearah pusat membeli belah SOGO untuk menanti isteri dan anak-anak yang masih belum selesai dengan urusan mereka. Setelah menghampiri pusat membeli belah tersebut, aku melihat ramai orang berkumpul seperti sedang menikmati dendangan muzik yang sedang dimainkan oleh sebuah band yang menghiburkan orang ramai. Akhirnya tahu lah aku bahawa yang membuat persembahan pada malam itu adalah pemuzik jalanan atau 'street busker' yang pada masa ini sangat mendapat tempat di hati warga kota.

Aku mencari satu ruang yang selesa untuk aku menikmati persembahan mereka. Pada pendapat aku bahawa lagu-lagu yang didendangkan pada malam itu tidak kurang dari 20 buah lagu lama dan baru serta beberapa buah lagu instrumental. Kebolehan pemuzik dengan peralatan yang terhad serta suara penyanyi yang 'boleh tahan' membuatkan ramai pendengar terhibur dan tanpa disedari tangan-tangan mereka menyeluk saku dan menghulurkan wang ringgit yang dimasukkan kedalam bekas yang disediakan oleh mereka sebagai tanda sokongan.

Akhirnya, aku tanpa membuang masa mengeluarkan sebuah kamera video untuk aku merakamkan tiga buah lagu terakhir persembahan mereka sebelum mereka beredar ke kawasan Bukit Bintang pula untuk membuat persembahan dan mencari rezeki sehingga larut malam.  

Tiga buah lagu yang aku rakamkan itu telah di muatnaik ke youtube untuk dikongsi bersama dengan peminat-peminat muzik khususnya kepada Peminat Pemuzik Jalanan.

Saksikan persembahan mereka di bawah ini yang telah aku download dari youtube tersebut.

Selamat mendengar dan semoga terhibur...






4 comments:

  1. Rasanya ni busker sama yg main kt dpn sogo tadi. Apa nama busker ni ye ?

    ReplyDelete
  2. Saya pun tidak tahu nama kumpulan ni tapi tak kisahlah, yang penting saya sangat terhibur dengan persembahan mereka dan dapat menambahkan koleksi video saya di youtube...

    Terima kasih kerana memberi komen...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam..kami adalah "genji buskers" melakukan persembahan jalanan setiap hari kecuali ahad malam.. Sogo- 8.00mlm-10.00mlm. Bukit bintang rhb bank 12.30mlm-3.00 pagi

      Delete
  3. Persembahan Genji Buskers sangat mantap. Jika diberi peluang kepada mereka untuk membuat persembahan di Planet Hollywood ianya memberi satu fenomena baru kepada pemuzik-pemuzik jalanan supaya bakat mereka dapat didengar dan ditonton oleh golongan elit yang tiada masa ke tempat-tempat terbuka di sekitar Kuala Lumpur....

    Jika ada masa, aku akan membuat rakaman lagi persembahan mereka dan lain-lainnya sebagai tanda sokongan dan akan upload videonya ke dalam youtube dan blog ini untuk tatapan semua...

    ReplyDelete