Setiap orang yang mengalami tragedi yang melibatkan keluarga tersayang akan trauma dan menanggung kesedihan yang amat sangat apatah lagi jika kemalangan yang berlaku telah meragut nyawa. Itulah yang berlaku kepada En. Azman Ghani yang merupakan anak kepada Allahyarham Hj. Ghani serta isterinya yang maut dan anak perempuan mereka yang mengalami cedera parah dalam kemalangan yang berlaku antara kereta Wira dan lori balak pada 15 Mei 2013 lalu ketika pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah.
Kejadian yang berlaku, sempat aku rakamkan ketika pasukan bomba, Polis dan Ambulance belum tiba di lokasi. Video rakaman serta gambar-gambarnya telah aku siarkan di blog ini pada malam itu juga apabila pulang ke hotel dalam rangka lawatan kerja ke Wilayah Pahang.
Dua klip video yang diupload ke Youtube telah menjadi perhatian ramai dan dalam masa sebulan sahaja seramai 11,000 pelayar telah menontonnya apatah lagi video yang dirakam sangat jelas dan berstatus HD apabila diproses oleh pengendali Youtube.
Komen-komen yang diberi oleh penonton samada melalui youtube atau dibaca didalam blog rata-ratanya sangat bersimpati kepada mangsa dan keluarga manakala sebahagiannya pula memberi nasihat kepada pemandu-pemandu lain supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalanraya dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Sebagai seorang blogger, aku sentiasa bersedia dengan kamera, buku catatan, beberapa batang pen dan pensil serta alat perakam suara walau kemanapun aku pergi kerana setiap saat dan ketika bahan-bahan berita sentiasa menanti secara sedar atau tidak untuk dilaporkan.
Setiap laporan yang akan aku keluarkan telah diambilkira dari segi kesan kepada orang ramai serta tidak menjatuhkan maruah serta mengaibkan mereka. Walaubagaimanapun ada masa-masanya bahan yang aku keluarkan, pada pandanganku tidak ada apa-apa yang boleh dipersoalkan tetapi sebaliknya menjadi sensitif kepada orang lain dan aku akur jika sekiranya ia minta dipadamkan.
Begitulah yang terjadi kepada berita kemalangan itu. Suatu hari aku menerima komen melalui blog di mana salah seorang keluarga mangsa meminta supaya gambar-gambar mangsa kemalangan yang auratnya telah terbuka secara tidak sengaja ketika kemalangan terutamanya 'tudung kepala' atau selendang yang tercabut semasa dirakam dipadam dan aku telah membuang beberapa keping gambar yang menggambarkan keadaan itu.
Kemuncaknya pada semua laporan kemalangan yang disiarkan itu ialah apabila aku menerima satu email menerusi gmail daripada anak Allahyarham yang meminta dan merayu supaya aku memadamkan rakaman tersebut di dalam Youtube.
Email yang disampaikan berbunyi seperti berikut:
salam ahmad jais,saye selaku anak arwah mintak budi bicara saudara untuk keluarkan videos kemalangan dekat bukit 7 antara kerata dgn lori balak pada 15-5-2013 di youtube.kemalangan itu membabitkan arwah ayah dan mak saya serta adik saya.mak saya meninggal dunia pada 16-5-2013 di wad ICU hospital termerloh.saudara boleh menghubungi atau sms sy di no....... untuk kepastian.nama saya azman.saya harap dan merayu agar en ahmad jais boleh mengeluarkan video itu.sekian terima kasih.
Bagi menghormati permintaan tersebut, aku segera memadamkan kesemua klip video kemalangan didalam youtube dan artikelnya sekali di dalam blog walaupun ketika itu artikel mengenainya menduduki ranking yang ke 3 terbaik berdasarkan dibuka dan dibaca oleh pelayar dan termasuk di dalam 10 popular post daripada semua artikel aku berjumlah sebanyak 378 buah.
Setelah memadamkan artikel tersebut, aku lantas menghantar SMS kepada anak Allahyarham Azman Ghani yang berbunyi seperti berikut:
Assalam. Semua video dlm youtube dan artikel dlm blog saya dah delete. berbanyak maaf dan keampunan saya pohonkan diatas penyiaran tersebut. tujuan saya hanyalah utk berkongsi pengalaman dan maklumat. Salam persahabatan dari saya Ahmad Jais. Tq.
Dan selang beberapa minit kemudian En. Azman telah membalas SMS yang dikirimkan berbunyi seperti berikut:
wslm. terima kasih byk kerana sudah delete video itu. sy sebagai wakil keluarga sekali lg ucap berbyk terima kasih. salam persahabatan dari sy. fb sy ...........add sy.
Semoga keluarga En. Azman tabah menghadapi dugaan ini dan didoakan semoga roh kedua-dua ibu bapa mereka di tempatkan bersama-sama orang yang soleh.....Alfatihah.....Amin...
No comments:
Post a Comment