Tuesday, March 3, 2015

KISAH NABI MUSA A.S. DENGAN LELAKI YANG TAUBATNYA TIDAK IKHLAS...

Pada zaman Nabi Musa A.S. ada seorang lelaki yang tidak jujur dalam taubatnya kepada Allah S.W.T., setiap kali dia bertaubat maka dia akan melakukan kembali perkara yang ditaubatnya, dia berbuat demikian selama 20 tahun.

Maka Allah S.W.T. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa A.S. yang bermaksud: "Wahai Musa, katakan kepada si Fulan bahawa sesungguhnya Aku (Allah) murka kepadanya."

Sebaik sahaja Nabi Musa A.S. menerima wahyu tersebut maka Nabi Musa A.S. pun memberitahu lelaki yang disebutkan oleh Allah kepadanya. Apabila lelaki itu mendengar berita yang disampaikan oleh Nabi Musa A.S., sangat sedihlah hatinya mendengar berita itu.

Lelaki itu pun membawa diri menuju ke padang yang luas lalu dia berkata: "Wahai Tuhanku, telah habiskah rahmatMu atau membahayakan Engkaukah terhadap maksiatku, telah habiskah simpanan ampunanMu atau engkau menjadi kedekut atas hamba-hambamu? Dosa manakah yang lebih besar dari keampunanMu. Mulia itu adalah di antara sifat-sifatMu yang qadim, sedangkan tercela adalah di antara sifat-sifatku yang hadis. Apakah sifatku ini telah mengalahkan sifatMu? Apabila Engkau halangi hambaMu dari rahmatMu, maka kepada siapakah lagi mereka mengharapkan apabila Kamu menolak mereka, kepada siapakah mereka akan menuju."

Berkata lelaki itu lagi: "Wahai Tuhanku, kalaulah rahmatMu itu telah habis dan tidak boleh lagi selain dari siksaMu, maka Kamu pikulkanlah ke atasku semua siksa yang terdiri dari hamba-hambaMu dan aku menebus mereka semua dengan diriku."Setelah itu Allah S.W.T. berfirman kepada Nabi Musa A.S. yang bermaksud: "Wahai Musa, pergilah kepada orang itu dan katakan kepadanya; Seandainya dosamu itu memenuhi bumi sekali pun, Aku (Allah) tetap akan mengampuninya bagi kamu, setelah kamu mengenalKu dengan sempurnanya kekuasaanKu, pengampunan dan rahmatKu."

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Tidaklah satu pun suara yang dicintai oleh Allah daripada suara seorang hamba yang berdosa, kemudian dia bertaubat dan berkata: "Ya Tuhanku." Allah S.W.T. akan menjawab: "Ya, hai hambaku. Mintalah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya engkau disisiKu adalah seperti sebahagian malaikat-malaikatKu. Aku di sebelah kananmu , di sebelah kirimu, di atasmu dan dekat dengan isi hatimu. Saksikanlah wahai malaikatKu, sesungguhnya Aku telah mengampuninya."

Wahai saudara-saudaraku, kisah yang kami paparkan di atas adalah untuk kita pesan pada diri kita sendiri bahawa janganlah kita mempermain-mainkan taubat yang kita buat, sebab kelak Allah S.W.T. akan mempermain-mainkan kita pula.

Walau pun kisah di atas menunjukkan tentang lelaki yang bertaubat tetapi tidak ikhlas, lelaki itu adalah seorang hamba yang mengetahui segala sifat-sifat Allah dan dia juga akhirnya mengetahui bahawa Allah sangat murka kepada orang yang berpura-pura dengan Allah, akhirnya lelaki itu tidak berpura-pura lagi.

Wahai saudara-saudaraku ingatlah bahawa kita ini adalah insan yang lemah, setiap kali kita bertaubat kadang-kadang kita kembali melakukannya, oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah S.W.T. supaya dia kuatkan iman kita dan menjauhkan kita dari perkara-perkara yang menjadi kemurkaannya.

Kalau kita tidak berdoa kepada Allah, maka mustahil kita akan dapat meninggalkan perkara-perkara yang menjadi kemurkaannya. Sebab yang menciptakan kita adalah Allah S.W.T.

Kita juga hendaklah mengetahui lebih mendalam tentang sifat-sifat Allah, sebab dengan mengetahui sifat- sifat Allah maka susahlah bagi syaitan untuk was-waskan kita terhadap keEsaan Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment