Wednesday, March 4, 2015

WANITA BERTUKAR GANAS KETIKA TIDUR...

Gambar hiasan...

JODIE Plume berdiri di bucu katilnya dalam kegelapan malam dalam keadaan tubuhnya menggigil ketakutan. Apa yang dilihatnya seketika tadi tampak nyata, namun dia sendiri tidak pasti sama ada benar atau sekadar bermimpi.

Dia nampak bayang-bayang seperti yang terdapat dalam filem seram, datang kepadanya dengan membawa tong mengandungi asid yang menggelegak bersedia untuk dilempaarkan kepadanya.

"Josh! Josh! Bangun! Mereka akan melemparkan asid kepada kita!" Jeritnya kepada suaminya, Josh, yang sedang nyenyak tidur di sebelah.

Josh yang sering mengalami situasi seperti hari-hari sebelumnya langsung tidak terkejut. Malah, dia bangun untuk menenangkan Jodie, yang kemudian kembali terlelap dengan sendiri.

Situasi seperti dibaling tong asid, kejadian rompakan, barang berterbangan di dalam bilik, malah kejadian diganggu hantu sering dihadapi oleh Jodie yang berhalusinasi hampir pada setiap malam.

Wanita ini mengalami sindrom Parasomnia, iaitu sejenis gangguan terhadap tingkah laku yang terjadi ketika sedang tidur sehingga membuatnya kerap terjaga.

Apabila dia tidur, dia akan mengalami satu mimpi ngeri sehingga menyebabkan adrenalin naik memuncak dan mengalami ketakutan amat teruk.

Dia akan berjalan, menggerakkan badan dan menjerit sepanjang gangguan tersebut dalam keadaan tidak sedar, untuk bertindak balas ke atas apa yang berlaku ketika dia sedang bermimpi.

Dalam keadaan tidur, Jodie boleh berjalan, bercakap, melakukan gerak isyarat dan menjerit. Dia tidak sedar sepenuhnya, tetapi sebaliknya bertindak balas kepada dunia mimpi.

Ini bukanlah perkara yang boleh diketawakan atau dibuat main-main, kerana kekerapan terjadi boleh menyebabkan perkara buruk berlaku. Jodie, 30, akan mengalaminya pada setiap malam dan kadang-kala sehingga enam kali pada satu malam.

Pasangan Jodie Plume dan Josh yang 
sentiasa berjaga-jaga walau dalam tidor...


Setiap keadaan akan berlarutan sehingga tempoh yang lama dan menimbulkan situasi yang bahaya kepada diri dan pasangannya.

"Pernah suatu malam saya terkejut apabila Jodie cuba menarik sesuatu keluar dari dalam mulut saya. Dia berkata bahawa saya mengejutkannya kerana ada perompak masuk ke rumah kami mahu mencuri " barang kemas saya.

Saya kemudiannya memasukkan kesemua barang kemas ke dalam mulut saya bagi mengelakkan dicuri.

"Jodie terpaksa mengeluarkannya supaya saya tidak tercekik. Apabila difikirkan kembali, memang sangat menakutkan," kata Josh.

Ada juga keadaan penghidap Parasomnia akan melakukan perkara-perkara pelik dalam keadaan tidur seperti makan, membuat hubungan seks, bercakap dengan nada yang lantang, malah ada yang mampu memberikan ucapan yang panjang lebar ketika tidur.

Beberapa gangguan, seperti berjalan sambil tidur seperti yang dialami Jodie berkaitan dengan keadaan separa sedar dan ramai beranggapan mempunyai kaitan dengan genetik. Ibu dan ibu saudara Jodie sendiri menderita keadaan itu.

Wanita ini berharap pakar perubatan boleh menganalisis corak tidurnya dan membantu dia mengatasinya.

Jodie dan Josh mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diinginkan berlaku.

Mereka membuang kesemua objek tajam seperti gunting dan pisau dari bilik dan cermin juga diletakkan di luar bilik kerana pantulan cahaya akan menyebabkan mimpi ngeri yang dialami Jodie bertambah teruk.

Ujar Jodie, dia gembira kerana mereka sudah boleh membina sebuah keluarga namun dia terlalu takut bagaimana untuk menguruskan bayi yang akan dilahirkan jika tidumya terganggu.

"Adakah saya akan sentiasa bangun? atau lebih teruk lagi bagaimana jika saya bangun dan mencederakan bayi saya? Saya berharap keadaan yang berlaku kepada saya ini boleh dirawat. Paling membimbangkan adakah anak saya juga akan mewarisi penyakit ini nanti?," soalnya.

Parasomnia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia. Ada kes yang menunjukkan penghidap turut mengalami gangguan neurologi seperti penyakit parkinson, strok, dan narcolepsy di mana keupayaan otak untuk mengawal kitaran tidur yang normal akan terjejas. Dipercayai, 10 peratus penduduk di dunia ini mengalaminya.

Dipertik dari Utusan Malaysia
Disusun oleh : Nursyamimi Saidi.... 

No comments:

Post a Comment