Tuesday, August 28, 2012

MAJLIS HARI RAYA ANJURAN BAHAGIAN PERANCANG 1433 H...

Diam tak diam, hari ini sudah 9 hari kita menyambut Hari Raya Aidilfitri 1433 Hijrah...Semua warga kota telahpun kembali ke destinasi masing-masing dan kini sibuk pula menyambung  tugas-tugas pejabat yang telah di tinggalkan hampir seminggu yang lalu....

Walaupun sibuk bertugas, tetapi kemeriahan Aidilfitri terus dirasai terutama bagi kami yang tinggal di kotaraya setelah merasai kemeriahannya di kampung halaman masing-masing. Tetapi didalam kemeriahan Hari Raya, terdapat juga yang mengambil kesempatan mengadakan Majlis kenduri perkahwinan, majlis kesyukuran dan sebagainya....tak kisahlah majlis apapun yang hendak disambut, tapi yang penting janganlah kita suka membazir...

Kita haruslah ingat bahawa, ramai lagi saudara-saudara se islam kita yang kini hidup menderita terutamanya  di Palestin, Rohingya, Kemboja, Somalia dan terkini di Syria yang sedang mengalami perang saudara...begitu juga di Iran yang mengalami tragedi gempa bumi baru-baru ini.

Tidak mustahil kita akan menerima nasib yang sama seperti mereka jika sekiranya kita terus hanyut di dalam melakukan kemaksiatan dan meninggalkan ajaran-ajaran suci yang di bawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Sepertimana di dalam tazkirah Ramadhan di surau kami baru-baru ini, seorang ustaz ada mengatakan bahawa, Negara kita masih lagi selamat, Allah tidak menurunkan bala walaupun dosa-dosa yang dilakukan sudah di tahap yang sangat membimbangkan terutamanya yang melibatkan kaum remaja muslim dan yang lebih parahnya lagi terdapat juga orang-orang yang sudah 'senja' turut melakukan maksiat. 

Selagi adanya orang-orang yang memakmurkan masjid dan surau-surau dengan solat berjemaah terutamanya solat subuh, orang-orang yang sentiasa berdoa kepada Allah memohon keampunan dan juga binatang-binatang ternakan yang masih meragut rumput maka Allah menangguhkan kemurkaannya. Kita sepatutnya berterima kasih kepada mereka-mereka ini yang sentiasa berdoa dan memohon keampunan Allah.

Berbalik kepada Majlis Sambutan Hari di peringkat Ibu Pejabat, Kuala Lumpur. Trend atau amalan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya bagi setiap Kumpulan atau Bahagian akan diadakan setiap tahun. Bukanlah hendak berlumba-lumba atau niat yang lain, tetapi  majlis sambutan seperti ini diharapkan dapat mengeratkan lagi tali persahabatan dan silaturrahim disamping bermaaf-maafan sesama kami yang jarang sangat dapat berkumpul atau bertemu. Walaupun duduk di bawah satu bumbung tetapi kesibukan tugas dan terpaksa bekejar-kejar balik kerumah selepas waktu pejabat menyebabkan kami sangat-sangat menghargai masa dan begitu juga dengan masa yang sangat mencemburui kami.

Sebagai pembuka tirainya, maka pada hari ini, 28 Ogos 2012 bersamaan 9 Syawal 1433 Hijrah, jam 12 tengahari, Bahagian Perancang Projek yang di ketuai oleh Pengurus Besar nya   Pn. Hjh. Kalsom A. Rahman dan Bahagian Perancangan Bisnes yang diketuai oleh Pn. Hjh. Noraini Khushairi telah bergabung menjadi Bahagian pertama di Ibu Pejabat  mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya. Walaupun program bermula jam 12 tengahari, tetapi para tetamu telahpun mengambil tempat seawal jam 11.30 pagi dengan masing-masing kelihatan mengucapkan Selamat Hari Raya serta Maaf Zahir Bathin apabila bertemu sesama mereka. Makanan-makanan lazat yang telah terhidang terus di 'serbu' oleh para tetamu tanpa sedikitpun membelakangkan adab sopan, tatasusila dan saling hormat menghormati yang telah diterap oleh ibu bapa masing-masing semasa kecil. Inilah budaya orang Melayu yang amat-amat dibanggakan....Syabas Bangsa Melayu..... 

Bagi menggambarkan suasana kemeriahan sambutan, maka marilah kita sama-sama menghayati gambar-gambar yang telah dirakam semasa majlis berlangsung. Terima kasih juga diucapkan kepada En. Mohd Faizatul Akmal yang sudi berkongsi gambar-gambar yang telah di rakam olehnya. 

Akhirnya kami semua mengucapkan terima kasih, tahniah dan syabas kepada Kumpulan Hal Ehwal Korporat yang telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya bagi tahun 1433 Hijrah ini dengan penuh kemeriahan dan jayanya. Semoga pegawai dan staf yang bertugas di dalam kumpulan ini di rahmati Allah dan maju jaya didalam kerjaya masing-masing.....Amin. 

Kepada Boss , aku harap jangan lupa bagi markah KPI cemerlang kepada setiap mereka pada tahun ini. Itulah harapanku.... 

Jangan lupa pada hari Rabu, 5 September 2012, jam 12.00 hingga 4.00 petang, kita serbu pulak Majlis Hari Raya anjuran Koperasi Peserta FELCRA Berhad (KPFB) di pejabatnya di Wisma KPFB, Taman Melawati, Kuala Lumpur. 

Klik pada gambar untuk imej lebih jelas...
 



 




 




 

 
 












 

 



 



 
















 







 
 
 





 







 



 















Monday, August 27, 2012

MENIKAH, KENAPA MESTI TAKUT???


Kedua-dua gambar diatas adalah 
majlis pernikahanku yang diadakan pada 30 Dis 1989.
Gambar sekadar hiasan...

"Dik, jangan gelabah seperti itu, fikirkan dulu masak-masak kesannya kelak. Menikah bukan urusan mudah. Banyak hal yang harus kamu pertimbangkan sebelum melangkah kesana. Apakah kamu yakin calon suamimu mampu menanggungmu dan anak-anakmu kelak." kata seorang kakak yang masih juga belum menikah kepada adik perempuannya.

"Adik sudah cukup penat bersabar kak, sampai bila adik harus menunggu? sementara masa terus berlalu dan adik sudah tidak muda lagi sekarang."

"Semua wanita memiliki fitrah yang sama, ingin segera membina sebuah keluarga. Tapi kita harus membuat pilihan! Menikah itu bukan untuk sehari dua hari, tapi untuk seumur hidup..."

Adiknya menjawab: "Cuba kakak jelaskan, lelaki seperti manakah yang sesuai menjadi suami?"

"Ya! yang kaya, pekerjaannya mantap, tampan, pintar, baik, setia, soleh dan lainnya."

"Idealis boleh kak! Tapi kita harus realistik. Apa mungkin ada lelaki yang sesempurna itu di dunia ini? Bagiku lelaki soleh dan boleh membimbingku menjalani rumah tangga di jalan Allah sudah cukup. Adapun tentang rezeki, bukankah Allah telah berjanji akan mengkayakan orang yang menikah?"

"Jadi, bagaimana? Kamu tetap nekad mahu menikah dengan lelaki yang dijodohkan ustazmu itu?"

"InsyaAllah, bukan nekad kak! Adik menjalani dengan penuh keyakinan dan mendapat petunjuk Allah setelah solat istikharah."

Hanya beberapa bulan kemudian, si adik menikah dengan pemuda pilihannya. Di depan kakaknya yang masih tetap sendiri, mereka berdua mengucapkan akad nikah: "Saya terima nikahnya Nur'aini bt. Ridha dengan mas kahwin...."

Sang kakak hanya mampu tertunduk dan menitiskan airmata. Airmata yang entah mewakili rasa apa dalam hatinya. Bahkan airmata itu semakin sering tertumpah ketika bertahun-tahun kemudian dia menyaksikan adiknya mampu menjadi keluarga sakinah meski tidak bergelimpangan harta, tetapi hari-hari mereka selalu diliputi kebahagiaan.   

*******

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (An-Nur:32)

Sebahagian pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika akan menikah. Salah satu sebabnya adalah kerana belum punya pekerjaan dan anehnya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan wang yang mereka perolehi dari gajinya. Dalam fikiran mereka timbul keraguan "Apa cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian-sekian?"  

Ayat tersebut merupakan jawapan kepada mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah dan terus bekerja mencari nafkah bagi memenuhi keperluan keluarga bukan nilai wang yang mereka perolehi.

Nantinya Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, bila tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajipan menafkahi isteri dan anak-anak, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat pada masyarakat keliling? banyak mereka yang bermula susah tidak punya apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah ruah serta cukup untuk keperluan keluarga.

Kebanyakan orang muda menunda untuk bernikah disebabkan merasa belum cukup dan mampu untuk menanggung kehidupan berkeluarga. Mereka-mereka ini sebenarnya lupa dan melupakan janji Allah bahawa orang yang bernikah akan dicukupkan rezekinya. Mereka-mereka ini juga tahu tetapi tidak meyakininya. Setiap persoalan selalu dihitung berdasarkan hitungan lojik matematik pada hal begitu banyak kejadian didunia ini yang tidak boleh dihitung menggunakan rumusan matematik saja. Lagi pun apakah kemantapan ekonomi boleh menjadi jaminan sesebuah rumah tangga akan kekal?

Banyak orang menunda pernikahan disaat Allah memberi kemudahan. Mereka enggan melaksanakannya ketika Allah masih memberinya kesempatan kerana alasan belum boleh mengadakan majlis yang mewah. Mereka tetap mengelak, meski terus ada yang mendesak baik melalui sindiran mahupun dorongan yang terang-terangan. Meskipun ada keinginan yang tidak dapat ditahan tetapi mereka sanggup menundanya dengan alasan ingin mengumpulkan wang dan mengejar cita-cita serta karier terlebih dahulu. Pada hal Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: 

"Apabila datang seorang laki-laki (untuk meminang) yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahilah dia. Jika engkau tidak lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi."        

"Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong. iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya." (HR. Ahmad 2:251, Nasa'i, Tirmidzi, Ibnu Majah, hadis no. 2518 dan Hakim).

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (QS. Ar-Rum:21)

Allaahumma Laa Tadzarnil fardan wa anta khairul waaritsiin.

"Ya Allah!, jangan engkau biarkan aku sendiri...

Bila selama ini aku menunda nikahku, semoga keputusanku itu adalah yang terbaik dari-Mu, bukan hanya kerana alasan duniawi semata.

"Ya Allah!, Engkau Yang Maha Tahu, bila saat terbaik untuk hamba-Mu ini mengharungi hidup berumahtangga...

Mutiara kata:

"Jangan sesali apa yang sudah pergi. 
Jangan tangisi apa yang sudah tiada. 
Tetapi bangkitlah dan bina kembali 
apa yang telah hilang dan pergi."   

Saturday, August 25, 2012

RAHSIA ALAM SEMESTA...


 Gambar hiasan....

Mengapa Allah membenci orang yang sombong dan berbuat riak? Mengapa Allah tidak menyukai orang yang merasa dirinya hebat, kuat, pintar dan lebih sehingga mempermudah dan merendahkan orang lain. Dan sebaliknya, mengapa pula Allah memerintahkan kita untuk rendah hati, bersujud, tunduk dan patuh kepada-Nya.?

Ada banyak jawapan atas pertanyaan ini. Namun tidak salah jika kita menyemak fakta-fakta berikut:

Kita adalah salah satu "makhluk kecil" yang Allah ciptakan selain binatang, tumbuh-tumbuhan, batu-batuan, air dan sebagainya. Sehari-hari kita tinggal disebuah tempat yang menjadi sebahagian kecil sebuah dari sebuah bandar. Bandar tempat kita berada adalah sebahagian kecil dari sebuah daerah. Daerah yang kita tinggal merupakan sebahagian kecil dari sebuah negeri. Negeri yang kita tinggal merupakan sebahagian kecil dari sebuah negara. Negara kitapun hanyalah sebahagian kecil dari sebuah benua dan benua yang kita tinggal merupakan satu dari tujuh benua yang ada di planet bumi.  

Lihat perbandingannya. Saat kita berada di dalam bilik tidur misalnya, ukuran tubuh kita terasa begitu besar. Namun, ketika berada di dalam dewan, tubuh kita menjadi lebih kecil. Akan lebih kecil jika berada di sebuah padang bola sepak. Begitu juga, akan lebih kecil lagi jika berada di sebuah bandar, daerah, negeri, negara dan benua. Keberadaan kita menjadi lebih tidak bererti jika perbandingannya adalah planet bumi tempat kita berada saat ini.

Bumi hanyalah satu dari lapan planet di dalam solar yang mengelilingi matahari. Matahari pun hanya satu dari  sekitar 100 bilion bintang yang bergabung dalam galaksi Bimasakti (Milky Way). Dari jumlah sebanyak itu, hanya sekitar 6,000 bintang saja yang dapat kita amati dengan mata kasar. Sekitar 3,000 diantaranya berada diatas horizon dan separuh ada di bawahnya. Banyak lagi fakta-fakta alam semesta yang kita tidak ketahui.

Berbalik kepada perbandingan diri kita di alam semesta ini, Pasti sungguh tiada bererti diri ini, padahal alam semesta yang tidak terkira besarnya ini hanyalah sedikit sahaja dari ciptaan Allah Subhanahuwataala yang tiada terbatas. Masih ada alam-alam lain ciptaan Allah yang jauh lebih hebat dan lebih besar.

Itu dari segi ukuran. Jika dilihat dari perspektif waktu hidup, pasti lain lagi ceritanya. Usia manusia biasanya tidak lebih dari 100 tahun. Purata usia manusia biasanya 50 hingga 70 tahun. Sekarang bandingkan dengan usia bumi kita yang dianggarkan jutaan tahun. Batuan-batuan bumi yang tertua dianggarkan terbentuk sekitar 4.6 bilion tahun. Bekas-bekas kehidupan di bumi yang tertua dianggarkan sekitar 3.8 bilion tahun.

Kehidupan makhluk yang bernama manusia dianggarkan baru sekitar 100 ribu tahun, apalagi kalau dibandingkan dengan usia alam semesta  yang kononnya sudah 15 bilion tahun. Menurut hitungan para ahli fizik, 70 tahun usia manusia sebanding dengan 0.15 saat usia kosmos (usia alam semesta). Untuk pengetahuan bahawa 1 saat kosmos sama dengan 475 tahun. Bila usia kita 70 tahun sebanding dengan 0.15 saat, berapa saat pula orang yang berusia 20, 30, 40 atau 50 tahun. Kerana itu ternyatalah bahawa hidup kita hanya sekejap. 

Mari kita renungkan firman Allah Subhanahuwataala: 

"Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab: Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari: Maka bertanya kepada yang menjaga urusan menghitung (umur). Allah berfirman: Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa saja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia)." (Al mu'minuun [23]: 112-114).           

Melihat fakta-fakta ini, sangat tidak layak bagi kita berlaku sombong. Sungguh, manusia tidak ada apa-apanya. Dunia yang kita perjuang serta kita bangga-banggakan begitu kecil, tiada bererti dalam pandangan Allah. Di planet bumi, wang, rumah mewah, kebun, haiwan ternak, kenderaan mewah, perusahaan, keturunan, tanah yang luas, lautan, danau, gunung, termasuk diri kita di dalamnya hanyalah serpihan debu di tengah samudera bintang-bintang di alam semesta. 

Kita  boleh merenung makna hadis ini:

"Seandainya dunia itu berharga di sisi Allah, maka tidak sedikitpun orang kafir akan mendapatkannya." 

Walaupun tiada harganya, Allah Subhanahuwataala tetap berkenan memberikan bahagian dunia kepada orang-orang kafir. Dalam pandangan Allah, dunia beserta isinya tidak lebih berharga daripada sehelai sayap lalat.

Sekarang kita boleh memahami mengapa Rasulullah s.a.w serta para sahabat begitu mudah mendermakan harta yang dimiliki untuk kebaikan. Dalam pandangan mereka, harta duniawi tidak ada ertinya jika dibandingkan keredhaan di sisi Allah. Kita pun faham akan makna sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Dua rakaat solat fajar lebih baik dari dunia dan seisinya." (Hadis riwayat Muslim dan at-Tirmidzi).

Thursday, August 23, 2012

MASIHKAH ADA RAMADHAN?

Walaupun aku orang Perak, bertutur loghat Kedah (Utara), berkahwin dengan orang Negeri Sembilan, bekerja di Kuala Lumpur dan menetap di Selangor, tetapi aku suka dengan Negeri Terengganu. Di pejabat aku pula, ramai orang Terengganu, manakala sebahagiannya pula pernah bertugas selama beberapa tahun di Terengganu dan akhirnya kembali semula bertugas di Ibu Pejabat, Kuala Lumpur. 

Aku suka Negeri Terengganu sebab aku suka pergi memancing di sana, sudah beberapa kali aku pergi mencandat sotong, memancing di laut dalam, manakala anak beranak aku pula sangat suka makan keropok lekor dan keropok kering dari Negeri Terengganu. 

Website yang berkaitan dengan politik yang aku suka layari pula ialah website tranungkite yang membincangkan isu-isu politik semasa dalam negara.

Satu malam, selepas pulang dari sembahyang tarawih, lebih kurang jam 11 malam, aku mengadap tv yang pada masa itu sedang menyiarkan drama yang berjudul Masihkah ada Ramadhan? Pada mulanya aku tidaklah memberikan perhatian sangat akan drama tersebut kerana aku tidak suka menonton drama lebih-lebih lagi drama melayu. 

Aku tercari-cari siaran atau program di beberapa channel lain yang kebanyakannya tidak menarik minatku untuk terus menontonnya kecuali laporan Sukan Olimpik 2012, aku akhirnya kembali semula ke channel yang menyiarkan drama tersebut dan terus menontonnya. 

Setelah menonton beberapa minit, aku rasa macam ada satu tarikan untuk aku terus mengikutinya lebih-lebih lagi kerana dialog dan loghat yang dituturkan dalam drama ini adalah  loghat Terengganu yang sangat indah dan lembut. bunyinya. Akhirnya aku menjadi peminat setia drama ini sehingga ke akhirnya iaitu episod ke 4.

Jadi aku nak berkongsi drama ini dengan kawan-kawan semua kerana banyak pengajaran yang boleh diambil darinya. 


SELAMAT MENONTON...



ulasan cerita...

Telemovie yang sangat menarik dan banyak pengajaran yang boleh kita ambil teladan dari Masihkah Ada Ramadhan.. Mesti ramai juga yang tonton drama dari Astro Prima ni kan.. Hari ni kemuncak drama ni. Memang tersentuh hati.. Walaupun drama ni menggunakan dialek percakapan dari Terengganu..tapi ramai juga yang menonton dan menghayatinya. Tiada perasaan kenegeriaan kerana ceritanya memang menarik. Memang terbaiklah drama ni dan produsernya tak lain tak bukan ialah Pn. Ziela Jalil..

Barisan pelakonnya yang mantap dan nampak lebih santai dan tak terikut sangat dialog skrip.. Hero pujaan Eman Manan dan pelakon hebat yang lain seperti Wan Hanafi Su, Zamarul Hisham berjaya menjiwai watak masing-masing. Tapi sayangnya penerbit lupa meletakkan nama seorang lagi pelakon yang juga sangat hebat lakonannya dalam drama ini iaitu Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over yang memegang watak sebagai Pak Leh iaitu ayah kepada Gayah...   

Disebabkan ada permintaan, drama ini akan diulang tayang mulai hari Selasa hingga Jumaat ini pada jam 5.30 petang di Astro Prima..

Kasih sayang ibu membawa ke syurga, kasih sayang ayah sepanjang zaman. Orang yang baik disayangi Allah, Allah SWT sayang padanya diambilnya dulu.. Banyak pengajarannya dari telemovie Masihkah ada ramadhan. Drama sebegini yang sepatutnya diperbanyakkan untuk ditonton oleh remaja masa kini dalam mengenal erti kasih sayang sesama keluarga dan umat yang lain..

Saturday, August 11, 2012

AL QURAN (WAQAF & IBTIDA')...

Klik pada imej untuk lebih jelas...





Al Quran diatas adalah diantara Al Quran terbaru yang berada di dalam koleksiku. Ianya baru kubeli dan harganya cuma RM65.00 sahaja. Bagi sesiapa yang mengalami masalah tidak tahu di mana hendak waqaf dan menyambung semula bacaannya, maka Al Quran ini dapat membantu mereka dalam menyelesaikan masaalah tersebut. Disamping itu, ayat-ayatnya bersaiz besar dan mudah juga bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan jarak dekat.
  • Apakah maknanya tulisan yang berwarna merah? 

Tulisan berwarna merah itu bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan (waqaf) diakhir perkataan yang berwarna merah dan memulakan bacaan (ibtida') diawal perkataan yang berwarna merah...
  • Apakah maknanya tulisan yang berwarna hijau?

Tulisan berwarna hijau itu bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan bacaan diakhir perkataan yang berwarna hijau dan memulakan bacaan di awal perkataan hijau...
  • Apakah pula maknanya tulisan yang berwarna biru?

Tulisan berwarna biru pula bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan bacaan diakhir perkataan yang berwarna biru dan memulakan bacaan selepas perkataan itu...

KISAH AKU DAN AL QURAN...

Aku mula mempelajari Al Quran ketika aku berusia 9 tahun dan rasanya sudah terlalu lewat bagi kanak-kanak yang berusia sepertiku pada masa ini. Tapi bagi tahun-tahun 1960an, kesedaran dalam mempelajari Al Quran sangatlah kurang dan guru-guru agama pula sukar di dapati di sesebuah perkampungan tersebut. Kalau adapun, bacaan yang diajar hanyalah sekadar bacaan sahaja dan seterusnya menghafal tanpa memperdulikan tajwidnya, sebutan huruf serta harakatnya. (janji bunyinya betul sahaja).

Tetapi Alhamdulillah juga bagi diriku kerana semasa disekolah rendah, mata pelajaran agama yang diajar oleh ustaz atau ustazah adalah dengan menggunakan tulisan jawi. Ini menyebabkan kami semua mengenal huruf jawi iaitu huruf-huruf Al Quran.

Ketika aku berusia 11 tahun, aku terus mendalami membaca Al Quran dengan guruku yang baru iaitu Makcik Pah yang tinggal berhampiran dengan rumahku. Setelah hampir setahun belajar dengannya, aku belajar pula mengaji Al Quran dengan Hj. Yahya yang lebih dikenali sebagai Pak Ya. Beliau mendapati aku, kakakku dan seorang kawanku lancar dalam membaca Al Quran. Oleh sebab itu, ia telah memilih kami bertiga untuk mewakili kampung kami dalam pertandingan membaca Al Quran diantara kampung-kampung yang ada disekitar mukim kami. Biasanya pertandingan diadakan pada   setiap kali tibanya sambutan Maulidur Rasul.    

Pada pertama kali memasuki pertandingan, aku hanya menduduki tempat keempat dimana aku masih ingat lagi bahawa hadiah yang aku terima pada masa itu (awal tahun 1970an) adalah berupa sebuah kain pelikat sahaja. Walaubagaimanapun aku tetap bersyukur diatas hadiah yang aku terima dan ianya sangat bernilai bagiku.

Pada tahun berikutnya, guru mengajiku meminta aku memasukinya lagi dan aku bersetuju dengan permintaannya itu. Pada pertandingan kali ini, aku mendapat tempat ke 3 dan hadiah yang aku terima pula berupa wang tunai bernilai RM12 sahaja. Ketika itu aku berusia 12 tahun.      

Masa-masa seterusnya berlalu pantas dan zaman kanak-kanak telah aku tinggalkan dan seterusnya aku memasuki alam remaja pula. Setelah tamat persekolahan, aku meninggalkan kampung halamanku di Taiping, Perak untuk merantau ke Kuala Lumpur bagi mencari pekerjaan.

Oleh kerana sibuknya aku di kota raya mencari rezeki, pembacaan Al Quran telah mula aku tinggalkan dan akhirnya aku tidak membacanya lagi sehinggalah bertahun-tahun lamanya dan sampailah aku berumahtangga. 

Selepas tersedar yang aku sudah tidak lagi lancar dalam membaca al Quran sehingga hendak membaca surah Yassin di malam Jumaat pun aku tergagap dan tidak tahu lagi membezakan panjang pendeknya serta tempat waqaf dan ibtida'nya menyebabkan bertambah lagi lah malasnya aku hendak membaca Al Quran.   

Begitulah seterusnya hari-hari berlalu dan aku pula pada ketika itu sibuk menguruskan keluarga yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Bacaan Al Quran terus dilupakan. Pada kali ini aku makin parah kerana sukar hendak membunyikan sebutan huruf dengan tepat dan ada kalanya tak kenal huruf pula.

Pada tahun 2000, ketika bulan puasa, aku balik menziarahi ibu di kampung. Masuk waktu Asar, aku menuju ke Masjid untuk bersembahyang Asar. Masjid itu ialah masjid yang menjadi kenang-kenanganku seumur hidup kerana di masjid itulah aku membaca Al Quran semasa memasuki pertandingan membaca Al Quran dulu. Tidak ku sangka pula yang aku akan bertemu dengan Pak Ya, guru yang bertanggungjawab mengajar aku mengaji semasa aku kecil sehingga aku pandai pada ketika itu. Usianya telahpun lanjut iaitu kira-kira 80 tahun dan kelihatannya sangat uzur. walaubagaimanapun ia tetap mengerjakan solat 5 waktu di masjid.       

Hampir 30 minit aku bersamanya bertanya khabar dan bercerita kisah-kisah lama, aku akhirnya meminta diri untuk pulang semula kerumah ibuku untuk menyediakan apa yang patut sewaktu berbuka puasa nanti. Walaubagaimanapun ingatanku kepada Pak Ya selepas bertemu sebentar tadi masih dalam ingatanku, dan aku agak bernasib baik kerana Pak Ya tidak bertanya samada aku masih membaca Al Quran atau tidak lagi.

Kira-kira seminggu selepas pulang ke Kuala Lumpur, aku mendapat khabar yang Pak Ya telah meninggal dunia kerana sakit tua. Aku bersyukur kerana diakhir hayatnya aku dapat bertemu dengannya guru Al Quranku yang banyak berjasa. Dengan pertemuan itu juga aku dengan tidak semena-mena teringat akan Al Quran yang telah lama aku tinggalkan. Timbul keazamanku semula untuk membaca Al Quran, tapi aku tidak mahu membaca Al Quran dalam keadaan aku sekarang yang sudah tidak lancar membacanya lagi.

Pada suatu hari dalam tahun 2001, isteriku memberitahu yang ada satu kelas Al Quran yang telah di buka di tingkat 8 di sebuah bangunan di belakang pejabatnya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Katanya ramai yang telah mendaftarkan diri untuk belajar termasuklah dirinya. Kelasnya dikatakan bermula seawal 8 pagi sehingga 10 malam. Peserta boleh memilih sendiri masa yang sesuai untuk mereka belajar. 

Aku tanpa membuang masa telah mendaftarkan diri untuk belajar sama. Masa yang aku pilih ialah selepas waktu peiabat jam 5 hingga 6 petang pada hari Isnin dan Selasa setiap minggu. Bermula dari Ikraq 1 hingga ikraq 6 dan akhirnya aku memasuki Al Quran. Selama setahun aku belajar Al Quran lengkap dengan tajwid serta hukum-hukumnya. Kini aku dapat membaca Al Quran semula dengan lancar walaupun aku masih susah  nak mengingati hukum-hukumnya, walaupun aku tidak tahu nama-nama hukum disesuatu ayat tapi aku dapat membunyikan ayat tersebut dengan tepat.    

Kini aku telah mula rajin membaca Al Quran serta terjemahannya dan setiap kali selepas waktu sembahyang aku berusaha meluangkan sedikit masa untuk membaca Al Quran. Aku berharap dan berdoa kepada Allah, supaya aku diberi kekuatan dan sentiasa istiqomah dalam membaca Al Quran serta melakukan ibadat-ibadat yang lain.

Sesiapa yang membaca Al Quran, di akhirat nanti Al Quran akan menjadi saksi dan pelindung bagi dirinya.Al Quran juga adalah mukjizat yang paling besar dianugerahkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Baginda telah bersabda bahawa baginda telah meninggalkan 2 perkara untuk umat-umatnya dan menjamin jika diamalkan dengannya maka umatnya tidak akan sesat selama-lamanya iaitu berpegang kepada Al Quran dan Sunahnya.  

        
 Inilah masjid tempat aku masuk
 pertandingan membaca Al Quran dulu...
Masjid ini juga adalah tempat Ulama terkenal Negeri Perak iaitu
Ustaz Mat Saman Kati mengajar agama pada setiap minggu...

 Kini masjid lama ini sudah tidak digunakan lagi kerana telah diganti
dengan masjid baru yang dibina di belakangnya (kubah biru)...

VIDEO KANTOI TAK PUASA.....