Saturday, October 2, 2010

KEMBALIKAN HAK SAYA

Sazwan seorang tabib terkenal di daerahnya. Konon dia mendapat ilmu tersebut daripada ayahnya yang pakar dalam perkara yang sama.

Bagaimanapun, kepintaran Sazwan bercakap menjadikan dia popular melebihi ayahnya sendiri. Rapatnya dia dengan para pembesar merubah kehidupannya. Daripada sebuah pondok, kini Sazwan memiliki rumah besar, kereta kudanya banyak, begitu jugak khadam-khadamnya.
Suatu hari, seorang pemotong kayu melintas di kawasan rumahnya bersama seekor keldai yang sarat dengan kayu api.

“Berapa harga semuanya?” Tanya Sazwan menunjuk kearah kayu api di belakang keldai. “Satu dinar emas tuan,” jawab pemotong kayu.

“Nah… ambil ni,” Sazwan menghulurkan satu dinar emas. Pemotong kayu sangat gembira kerana harga yang diletak tidak ditawar langsung. Seorang khadamnya muncul membawa kaldai itu kebelakang rumah.

“Tuan, saya perlukan keldai saya kembali” kata pemotong kayu setelah begitu lama dia menunggu khadam memulangkan keldainya itu.

“Bukankah aku telah membelinya?” Sazwan meninggikan suara. “Tuan berguraukah? Saya sebenarnya dalam perjalanan ke bandar untuk menjual kayu api dan apabila tuan menawarkan harga satu dinar emas saya sangat gembira. Saya rasa tidak ada siapa yang berfikir seperti sangkaan tuan. Keldai saya tidak termasuk dalam urusan jual beli kita ni,” tegas pemotong kayu itu.

“Saya fikir segalanya telah selesai. Saya tidak tahu sama ada orang lain berfikiran seperti saya atau tidak. Sekarang…nyah kau dari sini!!!” herdik Sazwan penuh rasa bongkak.
Pemotong kayu rasa cukup kecewa. Beberapa ketika dia tidak dapat berkata-kata. Dia terpaksa beredar bersama hati yang hancur luluh.

Sejak itu, pemotong kayu menceritakan pengalamannya kepada siapa saja yang ditemui. Semuanya menggeleng-gelengkan kepala lantas mencurahkan rasa simpati. Namun tiada siapa berani membantu kerana takutkan Sazwan seorang yang disegani.

Tiada pilihan, pemotong kayu mencuba nasib dengan mengadu kepada seorang hakim. “Awak sepatutnya lebih berhati-hati. Ketika Sazwan bertanya tentang harga kayu api kamu, dia bermaksud termasuk keldai kamu. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana kamu yang meletakkan harga itu.” Kata hakim yang akhirnya diketahui pemotong kayu sebagai sahabat tabib itu.

Kecewa lagi, pemotong kayu terus berkelana. Suatu hari, ketika melayan luka hatinya itu, dia bertemu seorang tua.

“Kenapa kamu kelihatan runsing?” kata orang tua itu terketar-ketar. Pemotong kayu pun menceritakan apa yang berlaku.

“Keldai itu seperti nyawa saya. Tanpanya saya tidak akan dapat mencari nafkah. Inilah yang merunsingkan saya,” katanya kepada orang tua itu.

“Aku juga miskin seperti kamu. Bagaimanakah dayaku untuk membantu selain menyatakan rasa simpati ,” kata lelaki tua itu.

Bagaimanapun, nasihat orang tua itu agar dia menemui seorang khalifah menggembirakan hatinya. “Mungkin dia dapat membantu kamu,” tambahnya lagi.

Tanpa membuang masa, pemotong kayu menemui khalifah lalu menceritakan akan masalahnya. Sebaik habis bercerita, khalifah berbisik ke telinga pemotong kayu yang kemudiannya kelihatan mengangguk-angguk diiringi senyuman meleret.

Mengenakan pakaian khalifah, pemotong kayu tersenyum gembira sambil berpusing-pusing seketika. Lagaknya seperti orang kaya.

Diiringi dua pengawal, dia menaiki kereta kuda ke rumah Sazwan. “Adakah awak Sazwan?” tanyanya sebaik tiba di laman rumah tabib terkenal itu.

“Benar tuan…hambalah Sazwan, tabib terkenal di daerah ini,” katanya menundukkan kepala tanda hormat. Dia langsung tidak mengenali pemotong kayu itu.

“Berapakah bayaran yang kamu perlu untuk perkhidmatan sebulan kepada aku dan keluargaku? Tanya pemotong kayu.

“Saya mengenakan bayaran seratus dinar emas sebulan kepada kebanyakan orang kaya di sini. Saya rasa tuan tidak keberatan membayar sebanyak itu,” kata Sazwan lagi.

“Aku setuju. Tapi kamu mestilah menurunkan tandatangan kamu di kertas ini,” kata pemotong kayu menghulurkan surat perjanjian yang sudah tersedia.

Setelah membacanya seketika, Sazwan menurunkan tandatangannya. Pemotong kayu mempelawa Sazwan menaiki kereta kudanya.

Terkejut Sazwan apabila ‘orang kaya’ itu membawanya ke sebuah pondok buruk. Belum pun habis rasa terkejutnya, Sazwan diperintahkan memotong kayu.

“Selepas itu, kamu harus mencuci rumah ini,” kata ‘orang kaya’ itu lagi.
“Apa erti semuanya ini? Saya berkhidmat dengan keluarga tuan sebagai tabib. Ini bukan kerja saya!” Sazwan sedikit berang.

“Aku tidak peduli. Yang pastinya kamu telah bersetuju untuk berkhidmat dengan aku. Sebenarnya inilah khidmat yang aku maksudkan ketika menawarkan bayaran seratus dinar emas tadi,” kata ‘orang kaya’ itu lagi.

“Untuk menyelesaikan masalah ini, kami fikir elok tuan berdua menemui khalifah,” berkata seorang pengawal yang dari tadi hanya memerhatikan sahaja.

“Sazwan…kalau harga seekor keldai dengan sebungkal kayu api, cuma satu dinar emas, apa salahnya ‘orang kaya’ ini mentafsirkan khidmat yang awak persetujui itu merangkumi segalanya tidak terhad kepada khidmat tabib sahaja, kata khalifah sebaik mereka datang mengadap.
Tersentak tabib itu mendengar kata-kata khalifah. Dia seperti terpinga-pinga beberapa ketika. “Perhatikan betul-betul wajah ‘orang kaya’ ini,” kata khalifah lagi.

Sazwan terpaksa memulangkan semula keldai pemotong kayu itu. Disamping itu dia juga diperintahkan oleh khalifah membayar seribu dinar emas kepada pemotong kayu sebagai hukuman kerana menyeksa perasaan orang.

“Saya tidak mahu apa-apa melebihi apa yang saya miliki sebelum ini. Terima kasih kerana mengembalikan ‘nyawa’ saya,” balas pemotong kayu.

Saturday, September 18, 2010

SELAMAT BERSARA UNTUK KAK YATI

13 September 2010, bersamaan 4 Syawal 1431 merupakan hari terakhir Kak Yati atau nama sebenarnya Hajjah Noor Hayati bt. Abdul Kassim bertugas kerana pada 14 September 2010 , beliau akan menyambut hari lahirnya yang ke 55 tahun.

Beliau mengambil keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatannya sehingga 56 tahun kerana ingin berehat dan menumpukan perhatian kepada keluarganya di samping berbakti dan beribadat kepada Allah.

Kebanyakan kami tidak sempat untuk melihat Kak Yati merakamkan waktu pulangnya pada petang itu jam 5 sebagai detik terakhir ia bertugas kerana kami masih lagi bercuti Hari Raya Idil Fitri yang baru masuk hari keempat.

Walaubagaimanapun sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing, iaitu pada 6 September, 2010 kami semua sempatlah bergambar dengan beliau sebagai tanda kenang-kenangan.

Kami akan mengadakan majlis perpisahan untuk beliau di sebuah hotel 5 bintang (he...he... he) yang telahpun ditempah khas selepas semua Pegawai dan staf kembali bertugas.

Akhir kata, kami semua mengucapkan selamat bersara untuk Kak Yati dan mendoakan semoga beliau beroleh ketenangan, sihat walafiat, murah rezeki dan di panjangkan umur untuk terus beribadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti....Amin.

Kepada sahabat, kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang mengenali Kak Yati dan ingin mengucapkan selamat Hari Lahir atau apa-apa sahaja ucapan melalui telefon, silalah hubungi beliau di no. 0192243947 (no. yang diberi adalah atas persetujuannya...) Ok..


GAMBAR PEGAWAI DAN STAF BAHAGIAN INSPEKTORAT
DAN BAHAGIAN PEMBANGUNAN LADANG SEPT 2010


Duduk dari kiri : Baha, Fiza, Hjh. Ramlah, Liyana, Aishah, Kak Yati, Amal dan Mahawa.
Berdiri dari Kiri : Anis, Hashim, Hj. Hassan Helmi, Hj. Abd. Rahman (Peng. Besar Inspektorat),
Hj. Shaharom, Sulaiman, Ahmad Jais dan Azizi.
Tiada dalam gambar : En. Idris Lasim, Ayu, Hj. Rusli,
Zaiful Anuar, Rafia Olhusni dan Sa'idah


Kak Yati bergambar dengan staf yang masih muda.
Dari kiri : Liyana, Fiza, Aishah, Kak Yati dan Amal.


Gambar slide dibawah ini adalah gambar terbaru yang dirakam
semasa majlis perpisahan Kak Yati yang diadakan pada 23 Sept 2010
(Sila klik pada gambar untuk besarkan)



Terima kasih juga kami ucapkan kepada Kak Yati diatas
kata-kata penghargaan
yang diciptakan khas
oleh beliau kepada kami...



Lagu Favourite Kak Yati
......
"Tak Mungkin Kerana Sayang"
Oleh Alyah....




Dunia dan Akhirat jangan di pisahkan.....




Dua buah buku yang dihadiahkan oleh Kak Yati kepadaku.
Semoga aku rajin berwirid, berzikir dan berdoa.

Wednesday, September 1, 2010

10 SAHABAT DI JAMIN SYURGA

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang petama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridho kepada mereka dengan mereka dan mereka ridho kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.”

(Qs At-Taubah : 100)

Berikut ini 10 orang sahabat Rasul yang dijamin masuk surga (Asratul Kiraam).

1. Abu Bakar Siddiq ra.

Beliau adalah khalifah pertama sesudah wafatnya Rasulullah Saw. Selain itu Abu bakar juga merupakan laki-laki pertama yang masuk Islam, pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah, bahkan juga didalam Quran

(Surah At-Taubah ayat ke-40)

sebagaimana berikut : “Jikalau tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seseorang dari dua orang (Rasulullah dan Abu Bakar) ketika keduanya berada dalam gua, diwaktu dia berkata kepada temannya:”Janganlah berduka cita, sesungguhya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Abu Bakar Siddiq meninggal dalam umur 63 tahun, dari beliau diriwayatkan 142 hadits.

2. Umar Bin Khatab ra.

Beliau adalah khalifah ke-dua sesudah Abu Bakar, dan termasuk salah seorang yang sangat dikasihi oleh Nabi Muhammad Saw semasa hidupnya. Sebelum memeluk Islam, Beliau merupakan musuh yang paling ditakuti oleh kaum Muslimin. Namun semenjak ia bersyahadat dihadapan Rasul (tahun keenam sesudah Muhammad diangkat sebagai Nabi Allah), ia menjadi salah satu benteng Islam yang mampu menyurutkan perlawanan kaum Quraish terhadap diri Nabi dan sahabat. Dijaman kekhalifaannya, Islam berkembang seluas-luasnya dari Timur hingga ke Barat, kerajaan Persia dan Romawi Timur dapat ditaklukkannya dalam waktu hanya satu tahun. Beliau meninggal dalam umur 64 tahun karena dibunuh, dikuburkan berdekatan dengan Abu Bakar dan Rasulullah dibekas rumah Aisyah yang sekarang terletak didalam masjid Nabawi di Madinah.

3. Usman Bin Affan ra.

Khalifah ketiga setelah wafatnya Umar, pada pemerintahannyalah seluruh tulisan-tulisan wahyu yang pernah dicatat oleh sahabat semasa Rasul hidup dikumpulkan, kemudian disusun menurut susunan yang telah ditetapkan oleh Rasulullah Saw sehingga menjadi sebuah kitab (suci) sebagaimana yang kita dapati sekarang. Beliau meninggal dalam umur 82 tahun (ada yang meriwayatkan 88 tahun) dan dikuburkan di Baqi’.

4. Ali Bin Abi Thalib ra.

Merupakan khalifah keempat, beliau terkenal dengan siasat perang dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Selain Umar bin Khatab, Ali bin Abi Thalib juga terkenal keberaniannya didalam peperangan. Beliau sudah mengikuti Rasulullah sejak kecil dan hidup bersama Beliau sampai Rasul diangkat menjadi Nabi hingga wafatnya. Ali Bin Abi Thalib meninggal dalam umur 64 tahun dan dikuburkan di Koufah, Irak sekarang.

5. Thalhah Bin Abdullah ra.

Masuk Islam dengan perantaraan Abu Bakar Siddiq ra, selalu aktif disetiap peperangan selain Perang Badar. Didalam perang Uhud, beliaulah yang mempertahankan Rasulullah Saw sehingga terhindar dari mata pedang musuh, sehingga putus jari-jari beliau. Thalhah Bin Abdullah gugur dalam Perang Jamal dimasa pemerintahan Ali Bin Abi Thalib dalam usia 64 tahun, dan dimakamkan di Basrah.

6. Zubair Bin Awaam

Memeluk Islam juga karena Abu Bakar Siddiq ra, ikut berhijrah sebanyak dua kali ke Habasyah dan mengikuti semua peperangan. Beliau pun gugur dalam perang Jamal dan dikuburkan di Basrah pada umur 64 tahun.

7. Sa’ad bin Abi Waqqas

Mengikuti Islam sejak umur 17 tahun dan mengikuti seluruh peperangan, pernah ditawan musuh lalu ditebus oleh Rasulullah dengan ke-2 ibu bapaknya sendiri sewaktu perang Uhud. Meninggal dalam usia 70 (ada yang meriwayatkan 82 tahun) dan dikuburkan di Baqi’.

8. Sa’id Bin Zaid

Sudah Islam sejak kecilnya, mengikuti semua peperangan kecuali Perang Badar. Beliau bersama Thalhah Bin Abdullah pernah diperintahkan oleh rasul untuk memata-matai gerakan musuh (Quraish). Meninggal dalam usia 70 tahun dikuburkan di Baqi’.

9. Abdurrahman Bin Auf

Memeluk Islam sejak kecilnya melalui Abu Bakar Siddiq dan mengikuti semua peperangan bersama Rasul. Turut berhijrah ke Habasyah sebanyak 2 kali. Meninggal pada umur 72 tahun (ada yang meriwayatkan 75 tahun), dimakamkan di baqi’.

10. Abu Ubaidillah Bin Jarrah

Masuk Islam bersama Usman bin Math’uun, turut berhijrah ke Habasyah pada periode kedua dan mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah Saw. Meninggal pada tahun 18 H di urdun (Syam) karena penyakit pes, dan dimakamkan di Urdun yang sampai saat ini masih sering diziarahi oleh kaum Muslimin.

Sunday, August 29, 2010

DOA YANG MUSTAHIL...

Selepas lama menunggu, akhirnya bas yang kami nanti-nantikan sampai. Saya segera mengambil tempat duduk di dalam bas berkenaan. Destinasi kami ialah Tan’im untuk melakukan umrah.

Sambil merehatkan badan di kerusi, saya menyapa seorang lelaki yang duduk di kerusi sebelah saya. Usianya dalam lingkungan 50-an, berwajah lembut, tetapi dari cara perawakkannya yang bersopan santun, dia kelihatan seperti berasal dari kawasan pedalaman.
“Apa khabar,” kata saya.

“Baik pak. Bapak pula bagaimana?” jawabnya dalam loghat Indonesia.

Daripada perkenalan itu, lelaki berkenaan memberitahu bahawa namanya Hardjo dan berasal dari sebuah kampung di Jawa Timur, Indonesia. Hardjo datang bersama isterinya dan ini merupakan kali pertama mereka menjejakkan kaki ke tanah suci. Kerana itulah dari tadi saya lihat mereka berdua kerap tersenyum dan ketawa sambil tidak sudah-sudah melihat pemandangan di kiri dan kanan jalan.

Kami terus berbual dan menceritakan serba sedikit latar belakang masing-masing. Menurut Hardjo, beliau bekas tentera dan tinggal di sebuah kampung yang jauh di pedalaman, justeru itu dia cuma bekerja kampung dengan upah yang cukup-cukup untuk menampung mereka anak-beranak.

“Kalau wang cukup-cukup saja, macam mana awak boleh pergi haji? Bukan seorang, tapi berdua pula,” kata saya. Memanglah jika difikir secara logik, mana mungkin seorang yang bekerja kampung boleh pergi bersama isterinya untuk menunaikan haji. Sedangkan orang bergaji empat angka pun belum tentu mempunyai wang simpanan sebanyak itu, inikan pula yang bekerja secukup makan.

Apabila diajukan soalan itu, Hardjo tersenyum sahaja. Dia merenung saya. Kemudian ke arah isterinya yang saya lihat juga sedang tersenyum. Mereka tidak bercakap sepatahpun. Reaksi mereka itu menyebabkan naluri ingin tahu saya kian membuak.

“Beritahulah kepada saya. Kita kini menjadi tetamu Allah, saya rasa tak ada apa yang hendak disembunyikan. Tambahan pula tentang perkara-perkara yang baik,” kata saya.

Sambil tersenyum dia berkata, “Ustaz…kalau saya beritahu mungkin ustaz tak percaya.”

“Ceritakan saja,” balas saya.

“Kalau boleh memang saya tak mahu ceritakan, tapi sebab ustaz hendak tahu sangat…bolehlah. Tapi janganlah pula lepas itu ustaz kata saya riak,” katanya. 

Hardjo memulakan ceritanya. Menurut lelaki itu, selepas bersara daripada tentera, ketika usia pertengahan 50-an, dia pulang ke kampungnya. Dengan tenaga yang masih ada, dia mengerjakan tanah kebunnya yang sekangkang kera.

Disamping itu Hardjo juga menjadi penjaga surau di kampungnya. Jika di sini di panggil tok siak. Bagaimanapun, tidak seperti di Malaysia. Hardjo tidak dibayar upah mahupun elaun bagi kerja-kerja yang dilakukannya itu.

“Tidak mengapa. Saya pun lakukannya dengan ikhlas., bukan kerana wang. Saya sayangkan agama saya,” kata Hardjo apabila saya bertanya tentang perkara itu. Saya terus tekun mendengar ceritanya.

Hardjo menyambung. Katanya setiap hari, dia akan pergi ke surau berkenaan untuk membersihkan sampah dan habuk, membuka pintu yang berkunci dan mengunci pintu dan tingkap yang ditinggalkan jemaah, menyusun kitab suci al-Quran, surah Yassin serta buku-buku dan sebagainya. Jika ada rumput dan lalang yang tumbuh liar dia juga akan segera memotongnya.

Itulah yang dilakukannya sejak beberapa tahun iaitu semenjak bersara daripada tentera. Dalam tempoh itu Hardjo tidak pernah mengeluh kerana tidak dibayar upah. Malah Hardjo berasa semakin seronok kerana saban hari dia merasakan keimanannya bertambah tebal. Biarpun mempunyai asas agama yang baik, pernah belajar di pesantren dan rajin beribadah tapi dengan menjadi penjaga surau, kata Hardjo, ia dapat mengukuhkan lagi ketakwaannya kepada Allah.

Namun demikian, tambah Hardjo, ada suatu perkara yang amat dia sensitif. Berita penduduk kampung hendak berangkat menunaikan haji atau umrah. Apabila terdengar sahaja ada orang yang hendak ke Mekah, hatinya serta merta menjadi amat gelisah, sayu dan sebak.

“Saya sering menangis apabila terdengar berita seperti itu kerana saya begitu kepingin untuk ke sana. Itulah doa saya setiap kali lepas sembahyang, dari bujang hinggalah sampai beranak-pinak. Tapi dengan pendapatan saya yang cuma secukup makan, saya tahu tidak mungkin hasrat saya itu akan terkabul,” katanya lagi.

Menyedari kesempitan hidupnya itu, setiap kali ada orang kampungnya hendak berangkat ke Mekah, Hardjo akan segera menemui mereka. Sebaik bertemu mereka, Hardjo akan menangis memohon ampun dan maaf atas kesilapan yang mungkin telah dilakukannya.

Selain itu dia meminta mereka supaya berdoa di hadapan Kaabah dan memohon kepada Allah agar melimpahkan rezeki kepadanya hingga dapat ke Mekah juga. Bagi hardjo, cuma itulah saja yang mampu dilakukannya kerana sehingga meninggal dunia pun dia tidak akan mampu mengumpul wang untuk ke Mekah.

“Kerana kemiskinan, itulah saja yang dapat saya lakukan. Balik dari rumah mereka, saya terus juga bermohon kepada Allah supaya suatu hari nanti menjemput saya pula menjadi tretamunya,” tambahnya.

“Malah kalau ada orang di kampung lain yang hendak ke Mekah, saya juga akan menemui mereka. Tak kira walau jauh macam manapun, saya pasti akan ke rumah mereka. Saya bukan hendak makan kenduri, tapi cukuplah kalau dapat sampaikan pesan supaya apabila tiba di Mekah nanti mereka mendoakan saya juga akan dapat ke Tanah Suci. Itu saja.”

Itulah satu-satunya cita-cita Hardjo. Biarpun bertahun-tahun berdoa, hajatnya itu masih tidak tercapai. Namun Hardjo tetap tidak berputus asa.

Allah Maha Mengetahui. Ketika sibuk menjaga surau berkenaan, tanpa dia sedari, rupa-rupanya ada seorang hartawan yang tertarik dengan keikhlasan dirinya itu. Beberapa kali hartawan itu singgah bersembahyang di surau berkenaan. Setiap kali kesana, dia pasti melihat Hardjo sedang sibuk beribadah dan menjaga surau. Bagaimanapun mereka tidak berbual panjang.

Suatu hari hartawan itu datang lagi ke surau itu dengan kereta mewahnya. Selepas bersolat, dia memanggil Hardjo. Dari situ mereka mengenali antara satu sama lain. Bermula dari situlah, hartawan berkenaan bertanya kepada Hardjo tentang kerjanya menjaga surau itu.

Lantas saya katakan bahawa sejak bertahun-tahun saya menjaga surau itu saya tidak dibayar walau sesen pun upah, tapi saya lakukan dengan ikhlas,” katanya lagi.

Hartawan tersebut termenung. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang di ceritakan oleh Hardjo kerana sepanjang hidupnya, belum pernah dia mendengar seorang yang miskin tetapi sanggup melakukan kerja tanpa mendapat upah.

“Sudah ke Mekah?” tanya hartawan itu lagi.

“Waduh…sudah tentu belum. Saya memang kepingin benar untuk kesana.” Kata Hardjo lalu memberitahu dengan jujur berhubung cita-citanya itu; tentang doanya sejak bujang hinggalah sekarang, tentang kesanggupannya menemui orang yang hendak ke Mekah walau jauh sekalipun mereka tinggal dan tentang doanya setiap kali selesai bersolat.

Hartawan itu termenung dan mengangguk-angguk perlahan. Selepas berborak panjang, hartawan itu meminta diri dan Hardjo pula pulang ke rumahnya. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian hartawan itu datang semula ke surau berkenaan. Dipanggilnya Hardjo dan mereka duduk di satu sudut.

“Hardjo, kamu kepingin benar ke mekah. Betul tak?” soalnya.

“Ya pak,” jawab Hardjo ikhlas.

“Kalau begitu, ambil wang ini dan bawalah isteri kamu ke Mekah. Ambillah, ikhlas daripada saya,” kata hartawan itu sambil menghulurkan sekepuk wang.

Apabila mendengar kata hartawan itu, Hardjo terpaku seolah-olah tidak percaya. Dia rasa macam bermimpi. Tidak pernah saya menduga bahawa doa saya sejak bertahun-tahun lamanya itu dikabulkan Allah dengan cara sedemikian…terlalu mudah. Saya betul-betul terkejut. 

“Sebelum orang kaya itu meninggalkan surau, kami berpelukan. Saya menangis dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepadanya. Jawab orang kaya itu, ia adalah rezeki Allah untuk saya dan isteri. Dengan wang itulah saya sampai ke sini dan kita berkenalan.” Kata Hardjo sambil tersenyum. Begitu juga dengan isterinya.

Saya termenung mendengar ceritanya itu. Dalam hati saya berkata, itulah balasan keikhlasan, kesabaran dan ketakwaaan kita kepada Allah. Dengan bekalan itulah sesuatu yang mustahil boleh berlaku. Saya juga bersyukur kerana ada hartawan yang sebegitu pemurah, yang tahu hak orang miskin terhadap sebahagian daripada hartanya.

Bas terus bertolak hingga kami sampai ke Tan’im. Di sana kami melakukan umrah sebelum kembali ke Mekah dengan bas yang sama. Hingga di situ sahaja perkenalan kami. Kami berpisah ke tempat penginapan masing-masing, tetapi cerita Hardjo itu memberi iktibar yang amat mendalam di hati saya.

Daripada Ibnu Abbas, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang miskin. Dan aku lihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi dosa, atau memutus silaturrahim dan selama tidak minta cepat-cepat diperkenankan.” Lalu ditanya orang,” Apa maksudnya minta cepat-cepat?” jawab baginda ”umpamanya seorang berkata dalam doanya,” Aku telah mendoakan. Aku telah mendoa tapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu dia putus asa dan berhenti berdoa.

Diceritakan oleh:
Ustaz Mohamad Din Yusoh
Dari Utas Travel & Tours Sdn. Bhd.
Di petik dari buku koleksi cerita misteri
Manusia Aneh di Tanah Suci

Sunday, August 22, 2010

DI MANA EMAK?

Pagi itu, selepas para jemaah umrah yang kami bawa menziarahi di Masjid Nabawi, Madinah, seorang daripada mereka tergesa-gesa datang menemui saya. Wajahnya cemas. Peluh memercik di dahi dan badannya. Ketika itu pukul 9 pagi dan pada bulan Ramadan.

“Tuan haji, emak saya hilang. Lepas ziarah makam nabi, terus tak jumpa lagi,” katanya. Lelaki tersebut seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kerap menunaikan haji dan umrah. Dua kali saya membawa jemaah mengerjakan umrah, dua kali itulah dia menyertai kami. Bagaimanapun, pada tahun itu dia membawa ibu dan beberapa orang lagi ahli keluarganya. Walaubagaimanapun, keadaan ibunya yang agak uzur, dia terpaksa berjalan dengan bantuan tongkat.

“Tolonglah kami cari emak saya tuan haji,” katanya lagi. Dengan bantuan keluarganya dan beberapa kakitangan syarikat, kami mencari wanita tersebut di sekeliling Masjid Nabi. Setiap inci ruang masjid berkenaan kami teliti, begitu juga di celah-celah orang ramai yang menziarahinya, tapi tidak juga berjumpa.

Letih mencarinya, kami berehat sebentar. Kemudian mencari lagi hinggalah waktu zuhur. Bagaimanapun, kerana kami lelaki, kami tidak dapat mencari wanita itu di ruang sembahyang jemaah wanita. Jadi kami menunggunya di luar pintu jemaah wanita keluar. Tetapi hinggalah habis jemaah wanita keluar, ibu sahabat saya tadi tidak juga kelihatan. Lantas kami mencarinya di sekeliling masjid pun tidak ketemui.

Begitulah yang berlaku hinggalah asar menjelang. Ketika itu letihnya kami cuma Allah sahaja yang tahu. Entah berapa kali telah kami kelilingi masjid itu, dan entah berapa banyak peluh yang telah keluar, namun wanita berkenaan tetap tidak dijumpai. Kaki dan seluruh badan rasa amat lenguh. Tambahan pula ketika itu kami semua berpuasa.

Kerana tidak tahu apa lagi yang harus di buat, saya berjumpa dengan Haji Nasron, ketua mutawif syarikat di tanah suci. Beliau telah berpuluh tahun menetap di Makkah, banyak pengalaman dan telah mengendalikan pelbagai masalah.

“Walau apapun terjadi, engkau kena cari dia Mid. Engkau yang bawa dia. Itu tanggungjawab kau,” kata Haji Nasron. Benar, memang itu tanggungjawab saya.

Saya mencari pula dibalai polis kalau-kalau nama wanita itu tersenarai dalam laporan orang hilang yang telah dijumpai. Tapi tiada. Saya bergegas ke hospital kerana ada yang mengatakan ternampak seorang wanita diusung dan dibawa ke hospital. Tapi rupa-rupanya bukan wanita itu yang dimasukkan ke hospital, orang lain.

Maghrib menjelang dan saya berehat sebentar untuk berbuka puasa dan sembahyang. Badan sudah terlalu letih. Tapi selepas itu saya pusing lagi masjid tersebut sebanyak empat kali hinggalah sampai selesai sembahyang tarawikh. Lebih kurang pukul 11 malam. Ketika itu timbul rasa putus asa di hati saya.

“Tak tau dah nak buat macam mana lagi. Semua tempat saya dah cari,” kata saya kepada anak-anak wanita itu. Mereka menangis, sedih kerana ibu mereka uzur. Jika dia hilang, tentulah lebih teruk jadinya. Membuat ibadah dan sembahyang pun tidak khusyuk lagi kerana fikiran mereka sentiasa teringatkan ibu.

Saya juga termenung. Sambil itu mengelap muka dan badan yang dibasahi peluh. Dalam kekalutan itu, doa Nabi Adam berwasilahkan Nabi Muhammad s.a.w tiba-tiba terlintas di fikiran saya. “Kenapalah aku tidak berdoa seperti yang Nabi Adam buat. Sedangkan dia nabi pun berdoa, inikan pula aku yang cuma hamba Allah biasa, “ kata hati saya.

Tidak semena-mena timbul rasa yakin dalam diri saya bahawa tidak lama lagi saya akan menemui wanita tersebut. Lantas saya ambil wuduk dan terus memasuki masjid melalui pintu Babussalam yang sebelum itu ditutup.

Di makam Nabi, saya membaca doa berkenaan dan dengan hati ikhlas saya bermohon kepada Allah supaya menemukan kami dengan wanita itu. “Ya Allah, temukanlah aku dengan jemaah aku itu sebab hamba-Mu ini sudah tidak terdaya lagi hendak mencarinya. Hamba-Mu ini telah terlalu penat,” demikian antara lain doa saya ketika itu.

Selepas sembahyang sunat, saya keluar dari Babussalam menuju ke ruang berhampiran makam Rasulullah di luar masjid. Tiba di sana, saya terpandang seorang wanita bertongkat sedang duduk di lantai seorang diri.

“Masya-Allah, mak cik!,” kata saya separuh menjerit. “Sudah lamakah mak cik tunggu kami?” Tanya saya. “Sejak pagi lagilah,” katanya perlahan. “Setiap kali lepas sembahyang mak cik duduk sini, tunggu kamu semua tapi tak ada seorang pun yang datang cari mak cik. Penat sungguh dah mak cik ni menunggu. Kenapa tinggalkan mak cik seorang diri?”

Jawapannya itu menyebabkan saya terpegun. Pertama, begitu cepat makbulnya doa yang saya pohonkan kepada Allah. Lebih 12 jam kami mencari, tapi cuma beberapa minit selepas berdoa, terus Allah pertemukan saya dengan wanita itu.

Kedua, jawapan wanita itu menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada kami. Sejak pagi lagi kami mencarinya, dan entah berapa kali kami lalu ditempat dia menunggu, tapi langsung tidak terpandang dirinya. Bagi saya jika mengikut logik akal, adalah mustahil kami tidak melihatnya duduk di situ sedangkan kami melalui tempat itu mungkin lebih 10 kali, terutamanya selepas sembahyang.

Saya bawa wanita itu balik ke penginapannya. Tiba di sana mereka sekeluarga berpeluk-pelukan dan menangis teresak-esak. Begitu juga saya. Bermacam-macam timbul di fikiran saya, terutamanya tentang wajarnya kita tidak melupakan Rasulullah.

Wahai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah; kerana sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.

Surah Yusuf 13 : 87

Daripada Ibnu Abbas r.a katanya:

Bahawasanya Nabi s.a.w berdoa ketika susah: Laailaaha illalalahul’azhimul halim, laa ilaha illallahul rabbul ‘arsyil ‘azhim, laailaaha illallahu rabbussamaawaati wa rabbul ardhi, wa rabbul ‘arsyil karim (Tidak ada tuhan selain Allah yang Maha Agung lagi Maha Penyantun. Tidak ada Tuhan selain Tuhan Arasy yang agung. Tidak ada Tuhan selain Allah, Tuhan langit dan bumi dan Tuhan Arasy yang mulia.

Diceritakan oleh :

Haji Abdul Hamid Mohamad
KSB Travel and Tours Sdn. Bhd.

Dipetik dari Buku Koleksi Cerita Misteri
Manusia Aneh Di Tanah Suci.

SIAPA LELAKI ITU?

Gambar Hiasan...

Panggilan telefon yang saya terima suatu hari dalam tahun 1993 benar-benar mengejutkan. Panggilan itu adalah daripada ibu angkat saya.

“Nal,” katanya, “nak pergi haji tak?”

“Tentulah nak,“ jawab saya.

“Kalau macam tu, Nal ikut mak cik…jadi mahram mak cik,” katanya

“Mana saya ada duit mak cik,” jawab saya.

“Jangan risau, tambang….semua mak cik tanggung,” katanya.

Pelawaan seperti itu saya terima dengan hati gembira. Siapa yang tidak mahu ke Makkah? Semua orang berhajat ke sana dan bagi saya, tentu sayalah antara orang yang paling bertuah kerana tidak perlu mengeluarkan wang untuk kesana. Segala-galanya akan ditanggung oleh ibu angkat saya itu. Kerana tuah itu, saya mahu melakukan haji ifrad, iaitu haji yang paling berat untuk dilakukan. Apatah lagi bagi orang yang pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah.

Saya telah lama mengenali ibu angkat saya itu kerana dia adalah ibu kepada sahabat baik saya semasa kami sama-sama menuntut dahulu. Kerana dia kerap melawat anaknya , maka hubungan kami kian akrab hingga lama kelamaan saya menganggapnya tidak ubah seperti ibu saya sendiri. Tambahan pula dengan sifatnya yang warak dan berhemah tinggi.

Ibu angkat saya itu merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Jadi untuk menanggung perbelanjaan saya apalah sangat berbanding dengan pendapatannya.

Selain untuk beribadah, tujuan ibu angkat saya ingin ke Makkah adalah juga untuk memohon kepada Allah supaya memberikannya petunjuk bagaimana dapat dileraikan masalah tanah yang sedang dihadapinya. Tanah tersebut yang terletak di selatan tanah air, kata ibu angkat saya, akan dijadikan tapak bagi meluaskan lagi perniagaannya.

Dalam keseronokan itu saya bertanya kepada ibu angkat saya itu, “Bila saya nak bertolajk ke sana?”

“Esok. Buat urusan visa dan berkemas cepat. Tapi mak cik ke London dulu, Nal pula pergi ke Istanbul. Tunggu mak cik di sana. Nanti mak cik datang,” jawabnya menyebabkan saya tambah terkejut. Bolehkan saya selesaikan dalam masa yang suntuk?.

Pelawaan ibu angkat saya itu saya maklumkan kepada emak. “Saya muda lagi, tengah kuat, saya nak buat haji ifrad,” kata saya kepada emak. Emak mengangguk tanda setuju.

Alhamdulillah, walaupun waktu terlalu singkat, urusan saya untuk ke Makkah tidak menghadapi apa-apa masalah kerana ibu angkat saya mempunyai ramai kenalan di kedutaan Arab Saudi. Dengan bantuan kenalannya itu urusan pemergian saya ke Istanbul dan kemudiannya menunaikan haji dapat diselesaikan dengan mudah.

Bagaimanapun, pemergian saya bolehlah dikelaskan atas urusan peribadi kerana saya tidak termasuk dalam kuota haji Malaysia. Malah suntikan vaksin meningitis juga tidak sempat diambil.

Kerana pergi tanpa persiapan mental dan kursus, ia menyebabkan jiwa saya menjadi tidak tenteram. Gelisah, bimbang dan takut datang silih berganti. “Bolehkah aku buat ni?” Macam mana kalau ada masalah nanti?” Macam-macam persoalan timbul dalam kepala saya kerana mengerjakan haji ifrad bukanlah mudah. Tambahan pula belum pernah menjejakkan kaki ke tanah suci.

Lebih memberatkan lagi masalah ialah keupayaan saya membaca jawi agak lemah. Untuk itu segala doa yang ditulis dalam buku panduan haji dalam tulisan jawi telah saya rumikan. Bagi saya, biarlah tidak tepat tajwidnya asalkan bunyinya betul.

Malam itu saya meminta ibu mengajarkan cara mengikat ihram dan cara-cara mengerjakan haji. Keesokannya saya dan ibu angkat saya itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Di sepanjang perjalanan dari Malaysia ke Istanbul yang memakan masa hampir 10 jam itu saya habiskan masa dengan membaca buku panduan menunaikan haji. Sehelai demi sehelai saya selak, namun malangnya tiada satu pun yang masuk ke hati saya.

Disebabkan hati saya yang gundah, saya tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada buku yang dibaca itu. Akibatnya tidak ada satu ayat ayat doa pun, apatah lagi cara-cara mengerjakan haji yang dapat saya ingati. Peluh mula timbul setitis demi setitis di dahi. Saya semakin tidak senang duduk.

Saya mengeluh seorang diri. “Kenapalah aku pergi tanpa buat persediaan. Inilah jadinya,” kesal saya seorang diri. Tapi semuanya sudah terlambat. Masa tidak boleh diputar kebelakang lagi.

Selepas merehatkan fikiran, saya membaca lagi buku panduan berkenaan, namun seperti tadi, tidak ada satu pun yang berjaya saya hafal dan fahami. Fikiran saya benar-benar buntu. Sampailah ke lapangan terbang Istanbul, yang saya dapat hanyalah penat dan bimbang.

Di dalam hotel, saya membaca lagi buku panduan berkenaan sehinggalah ke waktu malam. Selepas makan dan sembahyang Isyak, saya terus juga mentelaah. Tapi seperti tadi, saya tetap gagal mengingatinya. Bilik berhawa dingin saya rasakan seperti panas membara. Tiba-tiba pintu bilik diketuk.

“Encik. Ini ada faks untuk encik,” kata pekerja hotel. Saya ambil dan terus membacanya. Ia dikirimkan oleh ibu angkat saya dari London.

“Zainal, mak cik minta maaf sebab mak cik tak dapat tunaikan haji dengan Zainal. Mak Cik ada masalah besar yang tak dapat diselesaikan segera. Zainal pergilah seorang. Mak cik doakan Zainal selamat dan dapat haji mabrur. Duit RM5,000 tu ambillah sebagai belanja. Mak cik halalkan.”

Serta-merta lutut saya berasa lemah. Ketika itu fikiran saya benar-benar kosong. Tidak tahu apa yang perlu dibuat kerana mengikut perancangan segala makan minum, tempat tinggal dan urusan-urusan lainnya akan diselesaikan oleh ibu angkat saya. Tapi dengan ketiadaannya di mana saya hendak menginap? Dimana saya hendak makan? Kalau terjadi apa-apa masalah, kepada siapa saya hendak minta bantuan?.

Badan saya menggeletar. Fikiran yang buntu bertambah buntu. Bagai hendak menitis air mata saya memikirkannya. Malam itu saya tidak dapat melelapkan mata. Saya benar-benar bimbang untuk menghadapi hari esok dan hari-hari seterusnya. Keesokan harinya saya memakai ihram dan dengan tubuh kurang selesa akibat kurang tidur, saya bertolak ke lapangan terbang Istanbul.

Semasa menunggu dipanggil untuk menaiki pesawat, saya duduk di kerusi. Buku panduan haji saya keluarkan dan membacanya. Saya cuba tenangkan fikiran dan perasaan. Sehelai demi sehelai saya belek tetapi tetap juga gagal mengingati setiap ayat yang tercatat dalam buku itu. Malah doa semasa tawaf, labbaikalla hummalabaik labbaikalla syari kala kalabbaik…pun gagal saya mengingatinya.

Saya menangis sendirian. Air mata meleleh di pipi memikirkan mengapakah begitu sekali nasib saya. Adakah ini balasan Allah terhadap diri saya yang sebelum ini kerap melupakan-Nya menyebabkan pada saat-saat hendak mengerjakan haji, fikiran saya dilupakan-Nya pula daripada mengingati setiap ayat yang dibaca.

Bertambah kesal lagi saya kerana ketika hendak menjadi tetamu Allah itu pun saya tidak membuat persediaan. Terfikir di ingatan, mengapalah tidak saya tolak saja pelawaan ibu angkat saya itu dan pergi pada tahun-tahun berikutnya, dengan persiapan rapi. Namun semuanya sudah terlambat. Saya kesat air yang menitis di kelopak mata.

“Assalamualaikum. Kenapa saudara menangis?” sapa seorang lelaki dengan bahasa Inggeris yang tidak lancar. Lelaki itu yang kelihatannya berbangsa Turki kemudian duduk di sebelah saya. Usianya di pertengahan 60-an, memakai ihram, berkopiah dan tangannya memegang tasbih.

Sambil menahan sebak, saya menerangkan segala masalah yang saya hadapi, terutamanya kegagalan mengingati cara-cara mengerjakan haji.

“Saudara jangan risau. Senang saja. Ingatlah, saudara adalah orang yang diundang Allah akan menjadi tetamu Allah. Biar saya terangkan satu per satu. Kita mulakan sekarang. Okey, beritahu saya apa yang saudara tak faham?” katanya sambil tersenyum. Wajahnya yang lembut dan bercahaya serta suaranya yang tenang dan teratur memberikan sedikit keyakinan kepada saya.

“Saya tak tahu apa hendak ditanya sebab saya tidak tahu apa-apa pun daripada apa yang telah saya baca.” Jawab saya berterus terang.

Lantas lelaki berkenaan menerangkan kepada saya langkah-langkah yang perlu saya buat, bermula dari hari pertama sampai ke Jeddah sehinggalah selesai haji. Semuanya diterangkan secara tertib dan saya mencatatkannya dalam buku.

Ketenangan yang dipamerkan oleh lelaki berkenaan membolehkan saya dapat menghafal serta mengingati setiap butiran itu dengan jelas. Perasaan gundah dan gementar juga lenyap begitu saja.

“Baiklah. Cuba saudara terangkan balik kepada saya apa yang saya ajarkan tadi,’ katanya. Saya mengulanginya semula termasuk doa-doa yang gagal saya ingati sebelum itu. Selesai saya menjelaskannya lelaki itu tersenyum lebar.

“Jangan risau. Saudara boleh lakukannya,” katanya sambil menepuk bahu saya. “Adakah saudara akan tunaikan haji dengan saya,” saya bertanya. “Ya. Kita kan akan naik pesawat yang sama,” jawab lelaki tersebut. Saya mengucap syukur. Kemudian dia berkata lagi “Yakinlah, Insya-Allah saudara boleh memimpin orang,”

Waktu berlepas tiba dan pengumuman dibuat mengarahkan kami menaiki pesawat. Itulah satu-satunya pesawat yang ada untuk ke Jeddah pada hari itu. Saya mengangkat beg yang diletakkan di sebelah kerusi. Sambil berpaling ke arah lelaki tersebut semula, saya menghulurkan tangan, “Terima ka…!!” tetapi lelaki berkenaan ghaib!

Saya terpinga-pinga. Baru sebentar tadi saya bercakap dengannya, dia duduk di sebelah saya, kini dia telah pun ghaib! Saya perhatikan sekeliling, mungkin dia berada di kalangan orang lain yang sedang berjalan menuju ke arah pesawat, tapi tidak ada. Saya benar-benar bingung memikirkannya. Tidak mungkin dia terlepas daripada penglihatan saya kerana hanya kami berdua sahaja yang memakai ihram. Saya berjalan menuju pesawat dengan fikiran yang bingung.

Sampai di dalam pesawat, saya segera mencari lagi lelaki tersebut. Bermula dari kerusi paling belakang, saya meninjau satu per satu hinggalah ke kerusi paling hadapan. Pelik, lelaki tersebut tidak saya temui. Memikirkan mungkin lelaki berkenaan berada di dalam surau, saya menjengah ke situ, tapi tidak ada juga. “Mungkin aku terlepas pandang agaknya,” kata saya seorang diri.

Selepas berehat sebentar, saya mencari lelaki berkenaan. Sekali lagi, dari kerusi paling belakang ke kerusi paling hadapan, termasuk tandas dan surau. Tapi seperti tadi, lelaki itu tidak kelihatan. Tidak ada lelaki berpakaian ihram di dalam pesawat itu.

Saya duduk semula di kerusi. Dada saya berdebar kencang. Memang aneh kerana saya amat pasti dia menaiki pesawat yang sama dengan saya kerana seperti saya, dia juga memakai ihram. Juga itulah satu-satunya pesawat yang ada untuk ke Jeddah. Tidak mungkin dia menaiki pesawat lain.

Bagaimanapun saya amat yakin dia memang tiada di dalam pesawat kerana setiap kerusi telah saya perhatikan. Bukan saya tidak kenal wajahnya.Kami berbual hampir sejam, wajahnya yang lembut dan janggut putihnya yang pendek memang saya ingat benar. Saya tenangkan fikiran dan membaca kembali buku panduan haji. Syukur, saya dapat mengingatinya dengan baik.

Sampai di Makkah, Alhamdulillah, saya bertemu dengan jemaah haji dari Malaysia. Dengan merekalah saya meminta bantuan dan penginapan. Tapi dengan kekuasaan-Nya, berlaku lagi satu perkara yang bagi saya amat luarbiasa. Beberapa hari kemudian biarpun baru pertama kali menjejak kaki ke Madinah dan Makkah, entah mengapa saya diminta oleh jemaah-jemaah haji itu untuk menjadi juru tunjuk mereka. Bila sampai di Masjidilharam, saya tunjukkan kepada mereka pintu Babussalam. Selain itu saya turut diminta membaca doa sedangkan mereka mempunyai jurupandunya sendiri.

Di Makkah, saya menyertai lapan lagi jemaah yang berasal dari pelbagai negeri. Dan sekali lagi, saya diminta mengimamkan sembahyang serta mengetuai kumpulan itu untuk mengerjakan ibadah haji.

Kata-kata lelaki yang ditemui di Istanbul, bahawa saya akan memimpin orang, terngiang-ngiang di telinga saya.

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya kepada sesiapa pun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (Untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat yang menjaga dan mengawasinya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).

Surah al-Jinn: 26-27

“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah menyertai orang yang sabar.”

Surah al-Baqarah: 3 : 153

Diceritakan oleh
Haji Zainal Abd. Ghani
Tadmansori Travel and Tours Sdn. Bhd.

Dipetik dari buku Koleksi Cerita Misteri
Manusia Aneh Di Tanah Suci.

Thursday, August 12, 2010

JANGAN....JANGAN....JANGAN

Jangan TERLALU SUSAH HATI DENGAN URUSAN DUNIA,
Akhirat itu lebih utama dan
hidup di sana lebih lama
dan kekal selamanya

Jangan SENGAJA LEWATKAN SOLAT,
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.

Jangan TIDUR SELEPAS SOLAT SUBUH,
Nanti rezeki mahal
(Kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).

Jangan MAKAN TANPA MEMBACA BISMILLAH DAN DOA MAKAN,
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

Jangan KELUAR RUMAH,
Tanpa niat untuk membuat kebaikan.
Takut-takut kita mati dalam perjalanan.

Jangan BIARKAN MATA MELIAR DI PERJALANAN,
Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Jangan MENANGGUH TAUBAT BILA BERBUAT DOSA,
Kerana mati boleh datang bila-bila masa.

Jangan EGO UNTUK MEMINTA MAAF,
Pada ibu bapa dan sesama manusia
Kalau memang kita bersalah..

Jangan MENGUMPAT SESAMA RAKAN TAULAN,
Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia.

Jangan LUPA BERGANTUNG KEPADA ALLAH
Dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya.
Kalau gagal kecewa pula.

Jangan BAKHIL UNTUK BERSEDEKAH,
Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.

Jangan BANYAK KETAWA,
Nanti mati jiwa.

Jangan BIASAKAN BERBOHONG,
Kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan
Menghilangkan kasih orang kepada kita.

Jangan SUKA MENGANIAYA MANUSIA ATAU HAIWAN,
Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.

Jangan MEMPERTIKAIKAN KENAPA ISLAM ITU BERKATA JANGAN,
Sebab semuanya untuk keselamatan kita.
ALLAH lebih tahu apa yang terbaik
untuk hamba ciptaanNya.