Sunday, April 14, 2013

PEMUZIK JALANAN...

Di suatu petang di hujung minggu, aku bersama keluarga meluangkan sedikit masa di Bandaraya Kuala Lumpur untuk bersiar-siar sambil meninjau-ninjau dan menikmati suasana kemeriahannya.

Walaupun aku dan isteri bekerja di Kuala Lumpur, tetapi kami tidak punya masa untuk membeli barang-barang keperluan diri sendiri dan anak-anak di hari-hari bekerja kerana kesibukan tugas. Lagipun mencuri masa di waktu bekerja adalah perbuatan yang tidak baik.

Setiba di KL, aku meletakkan kereta di basement dua Bangunan MARA. Selepas itu kami terlebih dahulu menjamu selera di food court Medan MARA sementara menanti masuknya waktu Maghrib yang azannya akan dikumandangkan kira-kira satu jam lagi.

Selesai makan dan kebetulan pula azan telah dikumandangkan, maka kami pun bergerak untuk menunaikan solat Maghrib. Aku memilih untuk menunaikan solat Maghrib di Masjid India manakala isteri dan anak-anakku pula lebih selesa untuk menunaikannya di pusat membeli belah SEMUA HOUSE yang jarak antara kedua-duanya lebih kurang 200 meter sahaja. Sebelum berpisah aku memaklumkan bahawa aku tidak akan mengikuti mereka untuk membeli belah dan sebaliknya mahu menghabiskan masa di Masjid India dan persekitarannya sahaja sementara menanti waktu Isya' kira-kira jam 8.30 minit nanti.

Seperti biasa, setiap malam minggu, kemeriahan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India sangat mengujakan dan ia merupakan tempat membeli belah yang popular untuk kaum Melayu dan India. Pada malam itu juga sebuah pasar malam telah diujudkan bagi menambahkan lagi suasana kemeriahannya. Bagi kaum China pula, mereka mempunyai tempat membeli belah yang popular iaitu di Jalan Bukit Bintang dan Petaling Street.  

Lain-lain pusat membeli belah yang popular di persekitarannya ialah Kompleks Membeli Belah SOGO, Pertama Kompleks, Kompleks Campbell, Kompleks Wilayah, MYDIN, JAKEL serta City One. Walaubagaimana kompleks-kompleks ini hanya beroperasi sehingga jam 10 malam sahaja berbanding pasar malam yang beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

Kira-kira jam 9 malam, aku bergerak menuju kearah pusat membeli belah SOGO untuk menanti isteri dan anak-anak yang masih belum selesai dengan urusan mereka. Setelah menghampiri pusat membeli belah tersebut, aku melihat ramai orang berkumpul seperti sedang menikmati dendangan muzik yang sedang dimainkan oleh sebuah band yang menghiburkan orang ramai. Akhirnya tahu lah aku bahawa yang membuat persembahan pada malam itu adalah pemuzik jalanan atau 'street busker' yang pada masa ini sangat mendapat tempat di hati warga kota.

Aku mencari satu ruang yang selesa untuk aku menikmati persembahan mereka. Pada pendapat aku bahawa lagu-lagu yang didendangkan pada malam itu tidak kurang dari 20 buah lagu lama dan baru serta beberapa buah lagu instrumental. Kebolehan pemuzik dengan peralatan yang terhad serta suara penyanyi yang 'boleh tahan' membuatkan ramai pendengar terhibur dan tanpa disedari tangan-tangan mereka menyeluk saku dan menghulurkan wang ringgit yang dimasukkan kedalam bekas yang disediakan oleh mereka sebagai tanda sokongan.

Akhirnya, aku tanpa membuang masa mengeluarkan sebuah kamera video untuk aku merakamkan tiga buah lagu terakhir persembahan mereka sebelum mereka beredar ke kawasan Bukit Bintang pula untuk membuat persembahan dan mencari rezeki sehingga larut malam.  

Tiga buah lagu yang aku rakamkan itu telah di muatnaik ke youtube untuk dikongsi bersama dengan peminat-peminat muzik khususnya kepada Peminat Pemuzik Jalanan.

Saksikan persembahan mereka di bawah ini yang telah aku download dari youtube tersebut.

Selamat mendengar dan semoga terhibur...






Tuesday, April 9, 2013

ALLAHYARHAM JAMALUDDIN B. ABDUL AZIZ DALAM KENANGAN....

Pagi  Isnin 8 April 2013, seperti biasa saudara Jamaluddin b. Abdul Aziz, 47 hadir ke pejabatnya di Cawangan P&P (Penyatuan dan Pemulihan) & Tanam Semula, tingkat 6 untuk menjalankan tugas-tugas harian beliau.

Pada kebiasaannya, wajah beliau nampak ceria dan tenang. Semua orang tahu beliau seorang yang peramah. Setiap  orang yang bertemunya akan disapa dan ditanya khabar walaupun baru pertama kali berjumpa.  Sikapnya yang peramah membuatkan ia disenangi oleh semua rakan-rakan di pejabat.   

Satu lagi sifatnya yang harus dipuji ialah, beliau sangat suka menolong kawan-kawan yang di timpa masalah di jalanraya seperti kerosakan kereta atau kemalangan. Jika kita menghubunginya untuk meminta bantuan, ia tidak pernah menolaknya dan segera datang untuk membantu sehingga masalah yang di hadapi selesai.  Minatnya di dalam sukan permotoran terutamanya motosikal berkuasa tinggi membuatkan ia ramai kawan diluar sana. Keadaan ini memudahkan beliau menghubungi kawan-kawanya bagi meminta pertolongan yang berkaitan masalah di jalanraya.

Beliau sering melibatkan diri di dalam aktiviti sosial yang dianjurkan oleh kelab sukan atau aktiviti persendirian. Kelibatnya sering di lihat di semua aktiviti dan ada ketikanya beliau akan mengambil bahagian dalam acara-acara pertandingan yang di gemarinya. 

Namun di pagi isnin itu, wajahnya kelihatan pucat dan tidak bermaya, kawan-kawan yang bertemu dengannya dapat merasakan perubahan itu. Ada yang menasihatkan supaya pergi mendapatkan rawatan doktor. Kepada kawan-kawan rapatnya, dia mengakui bahawa dirinya tidak berapa sihat kerana mengalami sakit perut.   

Selepas hampir dua jam di pejabat kerana menyelesaikan beberapa tugas penting, Ia dapat merasakan keadaan kesihatannya semakin meruncing walaupun kawan-kawan yang berhampiran tidak menyedarinya. Ia lalu mengambil keputusan untuk berjumpa ketua jabatannya bagi memohon kebenaran pulang ke rumahnya yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari pejabat iaitu di Blok C14, Seksyen 10, Bandar Baru Wangsa Maju untuk berehat sebelum ke klinik bersama isterinya yang kebetulan bercuti pada hari itu.

Namun takdir Allah telah menentukan segala-galanya. Kira-kira jam 10.30 pagi, kami semua di kejutkan dengan berita bahawa En. Jamaluddin b. Abdul Aziz yang baru bersama-sama kami sebentar tadi telah pergi menemui Ilahi buat selama-lamanya. Ia di serang penyakit jantung secara tiba-tiba ketika tiba dirumah dari pejabat dan rebah lalu meninggal dunia di pangkuan isteri dan anak-anak tercinta.      

Ramai rakan-rakan yang bertemunya pagi tadi seakan tidak percaya dengan berita yang baru di terima malah ada yang menganggapnya sebagai satu gurauan. Ada yang terus percaya dengan berita tersebut dan tidak dapat menahan sebak lalu menangis teresak-esak mengenangkan seorang rakan yang baik telah pergi menemui Tuhanya dalam usia 47 tahun.

Setelah keadaan kembali tenang dan pengumuman telah dibuat, kami semua bergegas ke rumahnya untuk menziarah dan mengucapkan salam takziah untuk keluarganya. Kumpulan yang tiba awal di rumah Allahyarham telah mengadakan bacaan Yassin dan tahlil arwah.

Bapa Allahyarham telah memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa ke masjid Abu Ubaidah Al Jarrah yang lebih di kenali sebagai Masjid Seri Rampai untuk dimandi, dikapan dan disembahyangkan. Jenazah seterusnya akan dibawa ke Seksyen 3, Bandar Baru Bangi untuk disemadikan kerana keluarga Allahyarham menetap di sana.   

Semua tugas-tugas memandi, mengapan dan sembahyang jenazah selesai kira-kira jam 3 petang. Setelah jenazah dimasukkan kedalam kenderaan jenazah maka berpisahlah kami semua teman-teman dengan Allahyarham buat selama-lamanya. Hanya bacaan ayat-ayat suci dan doa yang dapat kami sedekahkan untuk Allahyarham dengan harapan semoga roh beliau di tempatkan bersama-sama orang yang soleh.

Al Fatihah.....Aminnnnn......

Saksikan gambar-gambar yang sempat di rakam di rumah Allahyarham dan di masjid. Terima kasih juga diucapkan kepada En. Abdul Majid b. Mohd Yusof dari Bahagian Khidmat Teknikal kerana sudi menyumbangkan gambar-gambar yang dirakam olehnya untuk tatapan kita bersama.

 
Kelihatan ramai kawan-kawan yang datang berziarah
 di rumah Allahyarham  yang terletak di Blok C14
Seksyen 10, Bandar Baru Wangsa Maju, 
Kuala Lumpur..





Jenazah telah selesai disembahyangkan 
di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah (Masjid Seri Rampai) dan
akan dibawa ke Seksyen 3,Bandar Baru Bangi untuk disemadikan...



*************************************************************
 
GAMBAR-GAMBAR DI BAWAH INI ADALAH KENANGAN MANIS 
ALLAHYARHAM DALAM AKTIVITI SOSIAL YANG DISERTAINYA...

 
Allahyarham Jamaluddin b. Abdul Aziz
(26/8/66 - 8/4/2013)
47 Tahun...
Gambar diambil dalam program 
Mencandat Sotong di Pulau Kapas, 
Kuala Terengganu pada bulan April 2010.


Gaya Allahyarham semasa mencandat sotong...


  Dari kiri: Allahyarham Jamaluddin, AJ, Najib dan Shahrul. 
Kami semua berada di dalam bot yang sedang belayar 
ke tengah laut  untuk mencandat....


Allahyarham bersama keluarga dalam program 
memancing ikan di Rawang, Selangor pada bulan 10, 2011...
 
Isteri Allahyarham, No. 4 dari kiri... 

Che Hashim Deraman sedang 'menjual minyak' kepada
gadis-gadis yang turut serta dalam aktiviti memancing di Rawang. 
Allahyarham Jamaluddin (baju biru) hanya memerhati 
gelagat Che Hashim dari jauh sahaja...

Dari kiri: Allahyarham Jamaluddin, Mat Isa, AJ dan Johan. 
Kami baru tiba di Airport Miri dalam 
XPDC mendaki Gunung Mulu, Sarawak pada tahun 2008...

Allahyarham Jamaluddin bersama
En. Wan Mokhtar di kaki Gunung Mulu.

Allahyarham Jamaluddin (baju merah) sedang menikmati 
makan malam di cafe Royal Mulu, Sarawak...

En. Zulkifli Ariffin bergambar bersama Allahyarham di Airport Miri... 

Allahyarham Jamaluddin bergambar ramai 
bersama peserta XPDC sebelum mendaki Gunung Mulu...

Allahyarham menaiki bot panjang untuk keperkampungan Penan, 
Mulu, Sarawak. Di tengahnya adalah Pak Lah dan Noslan...  

Pasukan pendaki sedang mendengar taklimat dari En. Wan Mokhtar...
Turut kelihatan adalah Allahyarham Jamaluddin (baju merah)...

Gambar menunjukkan Allahyarham bersama 
peserta XPDC di dalam Gua Mulu...

Allahyarham Jamaluddin berehat di kolam renang
 tempat penginapan kami di Royal Mulu. 
Di sebelahnya ialah Mr. AJ, Mazlan (baju jalur)
dan Saratjuddin (baju merah)...

Sunday, April 7, 2013

ANAK DERHAKA...

Gambar hiasan....

Dikisahkan bahawa seorang ayah yang merasa kekacauan, gundah gulana dan lelah memikirkan harapannya yang belum lagi terlaksana. Dia ingin melihat anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan memegang peranan penting di dalam masyarakat. Namun apa yang diharapkannya tidak berlaku seperti yang dikehendakinya. Anak-anaknya selalu membantah apa yang dikatakannya dan derhaka kepadanya.

Allah s.w.t. memberikan kurnia kepada lelaki ini lima orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Dia telah memikul beban yang berat kerana mesti bekerja siang dan malam, menghabiskan hari-harinya dengan peluh sehingga tidak lagi memberikan perhatian terhadap kesihatannya.

Lelaki ini selalu berusaha untuk memberikan pengajaran sebaik mungkin kepada anak-anaknya agar kelak mereka tidak memperoleh pekerjaan yang rendah dan susah seperti yang dialaminya sekarang ini serta dapat meraih masa depan yang cerah.

Hasil dari penat jerihnya membuahkan hasil kerana anak sulungnya berjaya di dalam pelajaran dan menjawat jawatan sebagai seorang Hakim, anak yang kedua telah menjadi seorang Sarjana, anak ketiga lulusan Diploma Jurusan Perindustrian, anak keempat lulusan Agama sambil bekerja separuh masa, anak kelima seorang Jurutera Kimia sedangkan dua orang anak perempuannya sudahpun habis belajar dan berkahwin.   

Setelah meningkat usia, si ayah mula diserang penyakit kencing manis manakala isterinya pula mengalami cacat kekal. Keperluan hidup pun semakin besar sehingga lelaki ini kebingungan memilih antara memenuhi keperluan rumahtangga atau mengubatkan dirinya dan isteri.

Keadaan yang sulit dan perlakuan anak-anak yang derhaka membuatnya menjadi risau dan permasalahan menjadi bertambah rumit. Dia mula mengingat kembali segala sesuatu dari perkara kecil sampai besar yang pernah dia berikan kepada mereka sehingga mereka sanggup tidak memerhati dan meringankan kesulitan-kesulitan yang dihadapinya walaupun setakat memberikan jalan penyelesaian.

Setiap anak hanya memikirkan diri mereka sendiri dan berusaha menjauh antara satu sama lain dan mereka sangat jarang mengunjungi ayah dan ibu mereka ataupun sekadar berkumpul di rumahnya. Di dalam keadaan seperti ini, muncullah idea dari anak-anak yang tidak memerhatikan orang tua tersebut untuk melepaskan diri dari kewajipan mereka dan membiarkan susah payah yang di hadapi ayah mereka seperti kekurangan wang dan penyakit yang sedang dideritainya.

Iblis lantas merasuki fikiran mereka agar menyusun sebuah rancangan untuk membunuh ayah mereka. Pada hari yang telah ditentukan, mereka berkumpul dan pergi berjumpa ayah mereka yang sedang sakit. Mereka mendapati bahawa ayah mereka dalam keadaan sudah agak sihat namun penyakit yang di hidapi masih tetap memamah tubuh tuanya.

Anak bongsunya lalu mendekatinya dan menyiramkan air panas kepadanya lalu menjerut leher ayahnya dengan tali sehingga nyawanya melayang. Mereka lantas menyembunyikan peristiwa tersebut serta menguruskan pengkebumian ayah mereka melalui salah seorang petugas yang mereka kenali sehingga pembunuhan tersebut tidak dapat di ketahui oleh sesiapa pun.

Pada suatu malam, ibu mereka mengintai gerak geri anak-anaknya dengan diam-diam, kemudian dia mendengar anaknya yang sulung berkata: "Sesungguhnya aku tidak dapat beristirehat dengan tenang semenjak peristiwa pembunuhan itu." Anak yang kedua juga mengeluh kerana ayahnya sering muncul setiap malam di dalam mimpinya.

Maka dengan mengumpul seluruh kekuatannya, ibu tua tersebut pun menemui anak-anaknya sambil berteriak: "Kenapa kamu bunuh ayah kamu yang sedang sakit?" 

Kesemua anak-anaknya bersujud dan mengakui perbuatan mereka itu. Maka ibu mereka pun menemani mereka untuk menyerahkan diri kepada polis.

Akhirnya anak-anak yang di dapati bersalah di jatuhi penjara seumur hidup.

REZEKIMU TIDAK DIAMBIL ORANG LAIN...


Imam al-Ashma'i bercerita: Pada suatu hari, saya pulang dari masjid Basrah. Tiba-tiba ada seorang Badwi berwajah bengis dan kasar datang kepadaku. Pedangnya diletak di belakang punggungnya dan tangannya menggenggam busur panah. Dia datang mendekat kepadaku dan berkata, "Kamu berasal dari mana?

Aku menjawab: "Dari bani al-Ashma'i"

Dia bertanya lagi: "Kamu datang dari mana?"

Aku menjawab: "Aku dari tempat di mana kalam Allah dikumandangkan"

Dia berkata: "Apakah Allah memiliki kata-kata yang diucapkan kepada para manusia?"

"Benar," jawabku.

"Bacakanlah kepadaku sedikit saja dari kalam Allah itu," pintanya.

Maka, akupun membaca ayat ini yang maksudnya: "Demi yang menerbangkan debu dengan kuat." 
(Adz-Dzariyat:1)
                             

Hingga sampai ayat yang berbunyi maksudnya: "Dan di langit terdapat rezekimu dan terdapat apa yang dijanjikan kepadamu"
(Adz-Dzariyat:22)

Orang Badwi itu berkata,"Cukup,cukup, wahai al-Ashma'i." 

Kemudian dia pergi mendatangi untanya. Kemudian dia menyembelih unta tersebut. Setelah disembelih, dia memotong daging-dagingnya. Seterusnya dia berkata, " "Wahai al-Ashma'i, bantulah aku untuk membahagi-bahagikan daging unta itu. "Aku ingin memberikan kepada orang-orang yang aku jumpai, baik mereka yang mahu pulang kerumahnya ataupun orang yang hendak pergi"

Kemudian orang Badwi itu mengambil pedang dan busurnya dan kedua-dua alat itu dihancurkan lalu diletakkan di bawah kantong pelana kudanya. Setelah itu, dia pergi menuju ke kampung Badwi seraya berkata, "Dan di langit terdapat rezekimu dan terdapat apa yang dijanjikan kepadamu." 

Hal itu membuatku gembira.

Kemudian aku pergi haji bersama Rasyid. Ketika aku sedang melakukan tawaf, tiba-tiba aku terdengar suara lirih. Tatkala aku menolehkan pandanganku, aku lihat orang Badwi itu ada di sampingku. Tubuhnya kurus dan wajahnya pucat. Kemudian dia memeluk dan memegang tanganku seraya berkata, "Bacakanlah kepadaku kalam Ilahi Yang Maha Kasih." Dia mengajakku duduk di belakang makam Nabi Ibrahim. Aku lalu membacakan ayat, "Demi yang menerbangkan debu dengan kuat. Hingga sampai ayat yang berbunyi," "Dan di langit terdapat rezekimu dan terdapat apa yang dijanjikan kepadamu." Orang Badwi itu berkata: "Sungguh, kami benar-benar telah menemukan apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada kami."

Setelah itu dia berkata lagi; "Apakah ada ayat lain selain ayat ini?"

Aku menjawab: "Benar, Allah Subhanahuwataala telah berfirman maksudnya: "Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah benar-benar seperti perkataan yang kamu ucapkan."
(Adz-Dzariyat:23)

Tiba-tiba orang Badwi itu menjerit seraya berkata, "Subhanallah, siapakah yang benci kepada Allah yang Maha Agung hingga Dia bersumpah? Tidakkah manusia mempercayai firman Allah hingga Dia bersumpah atas dirinya  sendiri?" 

Orang Badwi itu mengatakan hal ini sebanyak tiga kali. Akhirnya dia meninggal dunia di belakang makam Nabi Ibrahim.

Yazid b. Mursyid berkata, Di suatu tempat, ada seorang lelaki yang kelaparan. Di sana tidak ada sedikit pun makanan. kemudian lelaki itu berdoa kepada Allah, "Engkau telah berjanji kepadaku untuk memberikan rezeki kepadaku, berikanlah rezeki itu kepadaku."

Selesai mengucapkan doa, orang itu merasa kenyang padahal dia tidak makan dan minum.

PEMBERI REZEKI ADALAH ALLAH.

Dalam kisah disebutkan: Hatim Asham berkata kepada anak-anaknya, "Wahai anak-anakku, aku akan pergi menunaikan haji." 

Mendengar hal itu, anak-anaknya menangis seraya berkata, "Kepada siapa ayah akan memasrahkan kami." Hatim  b. Asham mempunyai anak perempuan yang rajin beribadah. Dia berkata: "Pergilah ayah, yang memberikan rezeki kepada manusia adalah Allah. 

Maka Hatim b. Asham pun pergi menunaikan haji. Pada suatu hari, anak-anaknya kelaparan kerana tidak ada makanan yang boleh dimakan, dan mereka mencaci maki saudara perempuannya. Kemudian saudara perempuan merekapun berdoa: "Ya Allah, janganlah permalukan aku atas diri mereka."

Bertepatan pada hari itu, ada seorang pembesar kerajaan sedang melewati rumahnya. Pembesar kerajaan itu berkata kepada salah seorang hulubalangnya, "Pengawal, aku haus. Tolong mintakan aku air minuman." Kemudian pengawal itu memintakan air minuman kepada keluarga Hatim. Anak perempuan itu memberikan air dingin di dalam gelas yang masih baru. Si pembesar kerajaan meminum air itu dan berkata: "Kamu minta air ini dari rumah siapa? 

Si pengawalpun menjawab: "Dari rumah Hatim b. Asham." Maka si pembesar kerajaan itu melemparkan satu keping wang emas ke rumah Hatim b. Asham. Pembesar itu berkata, "sesiapa yang cinta kepadaku, maka dia akan melakukan apa yang aku lakukan." 

Maka semua pengawal yang ikut bersamanya memberikan wang kepada anak-anak Hatim b. Asham. Melihat hal itu, anak perempuan Hatim b. Asham menangis. Ibunya berkata: "Nak, apa yang membuatkan kamu menangis? Bukankah Allah sudah melapangkan rezeki kepada kita?

Dia menjawab: "Para manusia telah berbelas kasih kepada kita, padahal kita tidak memerlukan belas kasihan mereka. Lalu bagaimana kalau Allah yang berbelas kasih kepada kita?"   

Monday, April 1, 2013

PERTANDINGAN MEMANCING ANJURAN A' FAMOSA RESORT...

Aktiviti aku bersama keluarga di hujung minggu ini adalah kepertandingan memancing terbesar di A'Famosa yang bermula jam 8 pagi hingga jam 1 petang. Hadiah wang tunai berjumlah RM29,400.00 telah ditawarkan kepada para pemenang. Di samping itu hadiah saguhati serta cabutan nombor bertuah juga akan dibuat dimana hadiah utama cabutan tersebut ialah sebuah motosikal KRISS Modenas dan dua buah basikal mountain bike. Lain-lain hadiah ialah sebatang joran, pendrive, hair dryer dan lain-lain.

Kedatangan aku bersama keluarga dari Kuala Lumpur adalah untuk memberikan sokongan kepada En. Borhan Abu Samah (birasku) dan anaknya Mohd Azamuddin yang turut mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut.

Dari pemerhatianku bahawa jumlah peserta yang mengambil bahagian pada kali ini adalah lebih kurang 300 orang dengan yuran penyertaan setiap seorang sebanyak RM80.00 sahaja. 

Di akhir pertandingan, En. Norhadi telah dinobatkan sebagai juara kerana dapat menaikkan seekor ikan Toman seberat 2.46 kilogram dan seterusnya membawa balik hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 serta sebatang joran diikuti naib juara iaitu En. Rosman b. Khudrat dengan hadiah wang tunai RM7,000 dan sebatang joran kerana menaikkan seekor ikan Toman seberat 2.30 kilogram dan pemenang tempat ketiga En. Ong Su Ting yang menaikkan juga seekor ikan Toman seberat 1.68 kilogram dan berjaya membawa balik hadiah wang tunai RM3,000 serta sebatang joran.

Kepada mereka yang berjaya, aku ucapkan tahniah dan kepada yang tidak berjaya diharapkan mereka tidak berputus asa dan mencuba lagi pada pertandingan yang akan datang.

Banner pertandingan memancing yang dipasang oleh penganjur...

Deretan kereta peserta dan keluarga yang diletakkan 
di tempat letak kereta yang disediakan...

Para peserta sedang memberikan tumpuan
 semasa mereka sedang memancing...








My family....



Gaya seorang pemancing..."Tekun dan sabar" 
adalah sifat yang mesti ada kepada setiap pemancing...









Perubahan tempat perlu dilakukan dari semasa kesemasa 
supaya nasib lebih baik di lokasi baru. Mungkin bro ini mempraktikkannya...

Ada peserta yang suka memancing di tempat teduh dan 
sebahagiannya pula suka di bawah cahaya matahari..
Masing-masing punya tok guru ajarannya tak sama...


Seekor ikan baung berjaya dinaikkan oleh brother di bawah ini....


Mr. Borhan (birasku) dengan gaya seorang pemancing professional...
Sebut sahaja dimana ada pertandingan, pasti ia akan menyertainya...


Ikan-ikan yang berjaya dipancing akan dimasukkan 
kedalam plastik dan dipamirkan kepada orang ramai...


Dua orang adik ini terpegun melihat 
seekor ikan Toman yang berjaya dipancing...





Di kejauhan sana kelihatan Taman Tema Air A'Famosa 
yang sentiasa dikunjungi ramai pada setiap hujung minggu ...




Seekor ikan toman terpaksa dipotong tali mata kail yang dipagutnya 
kerana tersangkut jauh kedalam mulutnya...
...
Setelah ditimbang, beratnya adalah 2.46 kilogram...



Inilah orangnya yang berjaya menawan ikan Toman tersebut...




Hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal KRISS Modenas
 dan dua buah motosikal mountainbike...

Selesai pertandingan, semua peserta mengemas dan 
memasukkan alatan memancing masing-masing kedalam kereta...


Acara cabutan bertuah dan pengumuman pemenang sedang dibuat...












Tahniah bro kerana memenangi hadiah sebuah basikal mountain bike....

Begitu juga diucapkan tahniah kepada adik ini....
"Boleh lah kesekolah dengan basikal baru ni..."

Inilah dia pemenang yang sangat bertuah kerana memenangi sebuah
motosikal KRISS Modenas yang harganya bernilai lebih kurang RM5,000...

Jangan merempit ye bang!!!!



En. Ong Su Ting pemenang tempat ketiga 
dengan hadiah wang tunai RM3,000  dan sebatang joran. 
Beliau berjaya memancing ikan Toman seberat 1.68 kilo....

En. Rosman b. Khudrat pemenang tempat kedua 
dengan hadiah wang tunai RM7,000  dan sebatang joran. 
Beliau berjaya memancing ikan Toman seberat 2.30 kilo....

En. Norhadi telah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang
 hadiah wang tunai RM15,000  dan sebatang joran. 
Beliau berjaya memancing ikan Toman seberat 2.46 kilo....