Sunday, May 9, 2010

SEMANGAT KEJIRANAN

Mendapat jiran yang baik adalah satu anugerah Allah yang sangat tinggi nilainya. Jiran yang baik adalah jiran yang sentiasa menghormati, menjaga adab pergaulan dan memupuk nilai persahabatan yang tinggi.

Sepanjang 15 tahun tinggal di kawasan perumahan ini, sudah berbagai bangsa dan agama yang menjadi jiran disebelah rumah aku ini. Bermula dari Melayu, India, Cina, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan sekarang ini Bangladesh.

Semasa aku membeli rumah dan berpindah ke taman perumahan ini, jiran aku adalah sebuah keluarga melayu mempunyai anak empat. Isterinya bertugas sebagai pensyarah di sebuah Universiti tempatan manakala suaminya pula bekerja di Genting juga sebagai pensyarah dan berulang alik setiap hari kesana. Mereka merupakan sebuah keluarga yang amat ceria, aku sering mendengar gurau senda mereka anak beranak terutama gurauan isterinya apatah lagi ia mempunyai suara yang nyaring, mungkin sudah terbiasa dengan tugasnya sebagai pensyarah. Bahasa yang digunakan oleh mereka lebih kepada bahasa Inggeris. Adik aku yang sering berkunjung kerumah aku memanggil isteri jiran aku ni dengan panggilan namanya sebagai Isabella.

Hampir 7 tahun mereka menjadi jiran aku, maka tibalah masanya untuk mereka berpindah setelah membeli sebuah rumah di Seremban. Aku turut membantu mengangkat barang-barang keatas lori semasa proses perpindahan tersebut. Aku pernah bertanya kenapa tidak membeli saja rumah yang diduduki sekarang ini?. Jiran aku ini memberitahu bahawa tuan rumah meletakkan harga yang terlalu tinggi iaitu sebanyak RM200,000 kerana ianya merupakan rumah 'corner lot' berbanding harga asalnya RM54,000 sahaja semasa dibina pada tahun 1982. Ia juga memaklumkan bahawa jika ia membeli rumah tersebut maka sekurang-kurangnya RM50,000 lagi perlu dibelanjakan bagi membaik pulih untuk menjadikan ia sebuah rumah yang sempurna dan selesa untuk diduduki.

Setelah hampir 5 tahun aku tidak berjumpa mereka, maka kabar yang aku terima baru-baru ini bahawa isteri jiran aku ini telah meninggal dunia akibat penyakit barah payu dara. Perkara ini aku tahu pun sebab anak gadis aku membacanya dari laman 'Myspace' anak gadisnya yang meluahkan rasa sedih diatas pemergian ibunya itu. Aku hanya mampu mensedekahkan Al Fatihah untuk arwah dan mendoakannya semoga ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Berbalik kepada cerita asal aku tadi bahawa setelah jiran aku ini berpindah maka aku mendapat jiran baru pula iaitu student berbangsa India tempatan, mereka ni sosial sedikit, aku katakan begitu sebab kerapkali aku melihat girlfriend mereka ni keluar masuk kerumah tersebut tidak kira siang atau malam. Memandangkan mereka ini bukan beragama Islam maka aku tidaklah memperdulikan sangat akan tingkah laku mereka ini. Walaupun begitu mereka ini tetap menghormati aku sebagai jiran mereka dan jarang mendengar mereka membuat bising yang keterlaluan.

Setelah hampir dua tahun menghuni disitu maka mereka pun berpindah, mungkin telah tamat pengajian. Mereka ini diganti pula dengan student yang lain. Kali ini student lelaki bercampur Cina dan India juga rakyat tempatan. Sedikit masalah berlaku apabila mereka ini membela seekor anjing dan disuatu ketika anjing mereka telah terlepas dan memasuki pagar rumah aku lalu membuang najis. Mengamok juga lah aku kepada mereka pada hari itu kerana telah mencemar kebersihan rumah aku. Hampir setengah jam jugak lah aku menyamak dan membasuh 'porch 'rumah aku tu..

Beberapa tahun berlalu dan semua student tersebut telah berpindah dan kini diganti pula dengan student berketurunan Melayu lelaki seramai enam orang. Seorang darinya pula membuat part time dengan mengusaha kereta sewa, maka penuh sesak lah kereta sewa dipersekitaran rumah kami dan ianya akan berkurangan setiap hari sabtu dan ahad kerana habis disewa oleh pelanggan. Walaupun begitu perkara tersebut tidaklah menjadi masalah kepada kami kerana mereka semua ini pembersih orangnya. Salah seorang darinya adalah pemuda yang berpewatakan lembut, minat menanam pokok bunga, membersih rumah dan rajin memasak. Kepada sesiapa yang tidak tahu, mungkin akan menyangka bahawa jiran aku ini hidup berkeluarga dan mempunyai isteri atau anak dara yang minat menghias rumah. Pemuda lembut ini juga membuat tugas part time dengan menjadi tenaga pengajar kepada anak-anak bagi satu keluarga yang akan menduduki peperiksaan pada tahun tersebut.

Satu ketika berlaku hujan lebat menyebabkan rumah mereka bocor yang amat teruk dan habis basah segala dokumen dan buku-buku mereka, walaupun telah dimaklumkan kepada tuan rumah tetapi tiada tindakan yang diambil menyebabkan mereka berpindah kerumah lain.

Hampir 2 bulan rumah tersebut tiada berpenghuni. Suatu hari aku melihat sebuah lori datang dengan membawa beberapa peralatan rumah seperti peti ais, almari, tilam, bantal dan sebagainya. Apabila aku bertanya maka pemandu lori tersebut memberitahu bahawa rumah ini telah disewakan oleh tuan rumah kepada sebuah kilang yang ada disini untuk dijadikan sebuah 'hostel'. Nampak gayanya jiran aku selepas ini tentulah pekerja kilang dari negara asing yang dibawa masuk untuk bekerja disini.

Telahan aku tepat sebab tidak lama selepas itu sebuah van telah menghantar seramai 8 orang gadis dari Vietnam untuk tinggal berjiran dengan aku. Semua mereka ini masih bujang dan masih muda-muda belaka, aku kira umur mereka dalam lingkungan 20 tahun, berkulit putih dan rupa mereka boleh la tahan. Mereka tidak boleh bertutur didalam bahasa Malaysia dan berkomunikasi dengan kami menggunakan bahasa Inggeris yang tidaklah fasih sangat.

Oleh kerana mereka ini ramai dan tidak cukup bilik air maka mereka ini terpaksa mandi dan membasuh pakaian di tempat porch kereta menggunakan paip air yang ada diluar. terjegil jugak lah mata aku ni menyaksikan 'wayang free' mereka tu. Ini sudah tentulah tidak memberi kebebasan untuk aku bersantai diluar rumah lagi tambahan pula selama ini tugas tetap aku adalah menyidai pakaian keluarga yang telah siap dibasuh.

Aku hanya dapat menikmati wayang free selama hampir satu tahun sahaja kerana pada satu hari dalam pukul tiga pagi kami dikejutkan dengan kedatangan anggota polis yang mendapat panggilan telefon dari pihak kilang mengatakan sekarang ni rumah 'amoi-amoi' Vietnam tersebut telah dimasuki pencuri dan mereka kini berada didalam ketakutan membuatkan salah seorang dari mereka menelefon pihak kilang supaya menghubungi polis. Rupa-rupanya ini adalah kali kedua rumah mereka dimasuki pencuri meyebabkan mereka ini tidak lagi berminat untuk tinggal lebih lama dirumah tersebut. Mereka akan berpindah kerumah kedai yang berhampiran dan mengucapkan selamat tinggal pada kami sekeluarga kerana memberi layanan yang baik sepanjang mereka hidup berjiran dengan kami.

Episod seterusnya amat merungsingkan fikiran aku kerana jiran aku selepas ini adalah pekerja kilang lelaki warga Indonesia seramai 10 orang. Hari pertama mereka tinggal sudah membuatkan aku panas hati sebab mereka ini selalu membuat bising dan setiap malam bermain gitar di halaman rumah. Disamping itu terdapat ramai kawan-kawan mereka yang datang silih berganti dan aku pun tidak kenal yang mana satu penghuni tetap dirumah tersebut. Aku ada bercadang untuk berjumpa tuan rumah untuk mengadu hal tersebut tetapi niat tersebut terpaksa di batalkan kerana hampir dua minggu mereka disitu aku dimaklumkan bahawa kesemua mereka akan dipindahkan ke Kelang. Aku amat bersyukur apabila mendapat tahu akan berita tersebut.

Selepas Warga Indonesia ini 'belah' maka jiran aku pada kali ini pula adalah lelaki warga Myanmar seramai 10 orang dan tidak juga boleh berbahasa Melayu dan berkomunikasi dengan kami dalam bahasa Inggeris 'broken'. Ok la tu...aku pun broken jugak...

Berbanding Indonesia, jiran aku ini juga tidak banyak kerenah dan membuat hal sendiri, tidak membuat bising. Mereka ini bekerja shift dan jarang dapat berkumpul seramai 10 orang pada satu-satu masa menyebabkan aku merasa sedikit selesa dengan pergerakan mereka.

Hampir satu tahun disini mereka akhirnya pindah juga sebab pengurusan kilang ingin membuat penyelarasan tempat tinggal kerana terdapat 3 buah lagi rumah yang berhampiran dan dihuni oleh warga Myanmar dan pengurusan kilang meletakkan mereka tinggal bersekali bagi menjimatkan kos.

Jiran aku yang seterusnya adalah pekerja kilang lelaki warga Bangladesh juga seramai 10 orang pada asalnya dan kini hanya tinggal 3 orang sahaja. Inilah jiran aku warga asing yang aku boleh 'ngam' dengan mereka kerana mereka ini beragama Islam, kuat beribadat, setiap kali waktu subuh kedengaran salah seorang dari mereka berzikir dengan agak kuat . Setiap malam mereka ini akan memasang lukah di parit besar untuk menangkap ikan dan apabila menjelang subuh mereka akan kembali ke parit besar tersebut untuk mengambil ikan-ikan yang dapat ditangkap dan "aku dah tahu dah" bahawa setiap pukul 6.30 pagi maka bunyi mereka bergotong royong menyiang ikan akan kedengaran tetapi tidaklah sampai mengganggu ketenteraman kami sekeluarga. Sepanjang mereka menjadi jiran, aku rasa agak selamat kerana ketika cuti hari raya mereka akan menjaga persekitaran rumah kami secara sukarela.

Kini sudah hampir dua tahun mereka tinggal berjiran dengan kami dan tiada masalah yang berlaku dan aku berharap selepas ini tuan rumah akan mengambil balik rumah ini untuk dihuni sendiri olehnya dan keluarga. Semoga harapanku menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment