Gambar Hiasan...
Panggilan telefon yang saya terima suatu hari dalam tahun 1993 benar-benar mengejutkan. Panggilan itu adalah daripada ibu angkat saya.
“Nal,” katanya, “nak pergi haji tak?”
“Tentulah nak,“ jawab saya.
“Kalau macam tu, Nal ikut mak cik…jadi mahram mak cik,” katanya
“Mana saya ada duit mak cik,” jawab saya.
“Jangan risau, tambang….semua mak cik tanggung,” katanya.
Pelawaan seperti itu saya terima dengan hati gembira. Siapa yang tidak mahu ke Makkah? Semua orang berhajat ke sana dan bagi saya, tentu sayalah antara orang yang paling bertuah kerana tidak perlu mengeluarkan wang untuk kesana. Segala-galanya akan ditanggung oleh ibu angkat saya itu. Kerana tuah itu, saya mahu melakukan haji ifrad, iaitu haji yang paling berat untuk dilakukan. Apatah lagi bagi orang yang pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah.
Saya telah lama mengenali ibu angkat saya itu kerana dia adalah ibu kepada sahabat baik saya semasa kami sama-sama menuntut dahulu. Kerana dia kerap melawat anaknya , maka hubungan kami kian akrab hingga lama kelamaan saya menganggapnya tidak ubah seperti ibu saya sendiri. Tambahan pula dengan sifatnya yang warak dan berhemah tinggi.
Ibu angkat saya itu merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Jadi untuk menanggung perbelanjaan saya apalah sangat berbanding dengan pendapatannya.
Selain untuk beribadah, tujuan ibu angkat saya ingin ke Makkah adalah juga untuk memohon kepada Allah supaya memberikannya petunjuk bagaimana dapat dileraikan masalah tanah yang sedang dihadapinya. Tanah tersebut yang terletak di selatan tanah air, kata ibu angkat saya, akan dijadikan tapak bagi meluaskan lagi perniagaannya.
Dalam keseronokan itu saya bertanya kepada ibu angkat saya itu, “Bila saya nak bertolajk ke sana?”
“Esok. Buat urusan visa dan berkemas cepat. Tapi mak cik ke London dulu, Nal pula pergi ke Istanbul. Tunggu mak cik di sana. Nanti mak cik datang,” jawabnya menyebabkan saya tambah terkejut. Bolehkan saya selesaikan dalam masa yang suntuk?.
Pelawaan ibu angkat saya itu saya maklumkan kepada emak. “Saya muda lagi, tengah kuat, saya nak buat haji ifrad,” kata saya kepada emak. Emak mengangguk tanda setuju.
Alhamdulillah, walaupun waktu terlalu singkat, urusan saya untuk ke Makkah tidak menghadapi apa-apa masalah kerana ibu angkat saya mempunyai ramai kenalan di kedutaan Arab Saudi. Dengan bantuan kenalannya itu urusan pemergian saya ke Istanbul dan kemudiannya menunaikan haji dapat diselesaikan dengan mudah.
Bagaimanapun, pemergian saya bolehlah dikelaskan atas urusan peribadi kerana saya tidak termasuk dalam kuota haji Malaysia. Malah suntikan vaksin meningitis juga tidak sempat diambil.
Kerana pergi tanpa persiapan mental dan kursus, ia menyebabkan jiwa saya menjadi tidak tenteram. Gelisah, bimbang dan takut datang silih berganti. “Bolehkah aku buat ni?” Macam mana kalau ada masalah nanti?” Macam-macam persoalan timbul dalam kepala saya kerana mengerjakan haji ifrad bukanlah mudah. Tambahan pula belum pernah menjejakkan kaki ke tanah suci.
Lebih memberatkan lagi masalah ialah keupayaan saya membaca jawi agak lemah. Untuk itu segala doa yang ditulis dalam buku panduan haji dalam tulisan jawi telah saya rumikan. Bagi saya, biarlah tidak tepat tajwidnya asalkan bunyinya betul.
Malam itu saya meminta ibu mengajarkan cara mengikat ihram dan cara-cara mengerjakan haji. Keesokannya saya dan ibu angkat saya itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.
Di sepanjang perjalanan dari Malaysia ke Istanbul yang memakan masa hampir 10 jam itu saya habiskan masa dengan membaca buku panduan menunaikan haji. Sehelai demi sehelai saya selak, namun malangnya tiada satu pun yang masuk ke hati saya.
Disebabkan hati saya yang gundah, saya tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada buku yang dibaca itu. Akibatnya tidak ada satu ayat ayat doa pun, apatah lagi cara-cara mengerjakan haji yang dapat saya ingati. Peluh mula timbul setitis demi setitis di dahi. Saya semakin tidak senang duduk.
Saya mengeluh seorang diri. “Kenapalah aku pergi tanpa buat persediaan. Inilah jadinya,” kesal saya seorang diri. Tapi semuanya sudah terlambat. Masa tidak boleh diputar kebelakang lagi.
Selepas merehatkan fikiran, saya membaca lagi buku panduan berkenaan, namun seperti tadi, tidak ada satu pun yang berjaya saya hafal dan fahami. Fikiran saya benar-benar buntu. Sampailah ke lapangan terbang Istanbul, yang saya dapat hanyalah penat dan bimbang.
Di dalam hotel, saya membaca lagi buku panduan berkenaan sehinggalah ke waktu malam. Selepas makan dan sembahyang Isyak, saya terus juga mentelaah. Tapi seperti tadi, saya tetap gagal mengingatinya. Bilik berhawa dingin saya rasakan seperti panas membara. Tiba-tiba pintu bilik diketuk.
“Encik. Ini ada faks untuk encik,” kata pekerja hotel. Saya ambil dan terus membacanya. Ia dikirimkan oleh ibu angkat saya dari London.
“Zainal, mak cik minta maaf sebab mak cik tak dapat tunaikan haji dengan Zainal. Mak Cik ada masalah besar yang tak dapat diselesaikan segera. Zainal pergilah seorang. Mak cik doakan Zainal selamat dan dapat haji mabrur. Duit RM5,000 tu ambillah sebagai belanja. Mak cik halalkan.”
Serta-merta lutut saya berasa lemah. Ketika itu fikiran saya benar-benar kosong. Tidak tahu apa yang perlu dibuat kerana mengikut perancangan segala makan minum, tempat tinggal dan urusan-urusan lainnya akan diselesaikan oleh ibu angkat saya. Tapi dengan ketiadaannya di mana saya hendak menginap? Dimana saya hendak makan? Kalau terjadi apa-apa masalah, kepada siapa saya hendak minta bantuan?.
Badan saya menggeletar. Fikiran yang buntu bertambah buntu. Bagai hendak menitis air mata saya memikirkannya. Malam itu saya tidak dapat melelapkan mata. Saya benar-benar bimbang untuk menghadapi hari esok dan hari-hari seterusnya. Keesokan harinya saya memakai ihram dan dengan tubuh kurang selesa akibat kurang tidur, saya bertolak ke lapangan terbang Istanbul.
Semasa menunggu dipanggil untuk menaiki pesawat, saya duduk di kerusi. Buku panduan haji saya keluarkan dan membacanya. Saya cuba tenangkan fikiran dan perasaan. Sehelai demi sehelai saya belek tetapi tetap juga gagal mengingati setiap ayat yang tercatat dalam buku itu. Malah doa semasa tawaf, labbaikalla hummalabaik labbaikalla syari kala kalabbaik…pun gagal saya mengingatinya.
Saya menangis sendirian. Air mata meleleh di pipi memikirkan mengapakah begitu sekali nasib saya. Adakah ini balasan Allah terhadap diri saya yang sebelum ini kerap melupakan-Nya menyebabkan pada saat-saat hendak mengerjakan haji, fikiran saya dilupakan-Nya pula daripada mengingati setiap ayat yang dibaca.
Bertambah kesal lagi saya kerana ketika hendak menjadi tetamu Allah itu pun saya tidak membuat persediaan. Terfikir di ingatan, mengapalah tidak saya tolak saja pelawaan ibu angkat saya itu dan pergi pada tahun-tahun berikutnya, dengan persiapan rapi. Namun semuanya sudah terlambat. Saya kesat air yang menitis di kelopak mata.
“Assalamualaikum. Kenapa saudara menangis?” sapa seorang lelaki dengan bahasa Inggeris yang tidak lancar. Lelaki itu yang kelihatannya berbangsa Turki kemudian duduk di sebelah saya. Usianya di pertengahan 60-an, memakai ihram, berkopiah dan tangannya memegang tasbih.
Sambil menahan sebak, saya menerangkan segala masalah yang saya hadapi, terutamanya kegagalan mengingati cara-cara mengerjakan haji.
“Saudara jangan risau. Senang saja. Ingatlah, saudara adalah orang yang diundang Allah akan menjadi tetamu Allah. Biar saya terangkan satu per satu. Kita mulakan sekarang. Okey, beritahu saya apa yang saudara tak faham?” katanya sambil tersenyum. Wajahnya yang lembut dan bercahaya serta suaranya yang tenang dan teratur memberikan sedikit keyakinan kepada saya.
“Saya tak tahu apa hendak ditanya sebab saya tidak tahu apa-apa pun daripada apa yang telah saya baca.” Jawab saya berterus terang.
Lantas lelaki berkenaan menerangkan kepada saya langkah-langkah yang perlu saya buat, bermula dari hari pertama sampai ke Jeddah sehinggalah selesai haji. Semuanya diterangkan secara tertib dan saya mencatatkannya dalam buku.
Ketenangan yang dipamerkan oleh lelaki berkenaan membolehkan saya dapat menghafal serta mengingati setiap butiran itu dengan jelas. Perasaan gundah dan gementar juga lenyap begitu saja.
“Baiklah. Cuba saudara terangkan balik kepada saya apa yang saya ajarkan tadi,’ katanya. Saya mengulanginya semula termasuk doa-doa yang gagal saya ingati sebelum itu. Selesai saya menjelaskannya lelaki itu tersenyum lebar.
“Jangan risau. Saudara boleh lakukannya,” katanya sambil menepuk bahu saya. “Adakah saudara akan tunaikan haji dengan saya,” saya bertanya. “Ya. Kita kan akan naik pesawat yang sama,” jawab lelaki tersebut. Saya mengucap syukur. Kemudian dia berkata lagi “Yakinlah, Insya-Allah saudara boleh memimpin orang,”
Waktu berlepas tiba dan pengumuman dibuat mengarahkan kami menaiki pesawat. Itulah satu-satunya pesawat yang ada untuk ke Jeddah pada hari itu. Saya mengangkat beg yang diletakkan di sebelah kerusi. Sambil berpaling ke arah lelaki tersebut semula, saya menghulurkan tangan, “Terima ka…!!” tetapi lelaki berkenaan ghaib!
Saya terpinga-pinga. Baru sebentar tadi saya bercakap dengannya, dia duduk di sebelah saya, kini dia telah pun ghaib! Saya perhatikan sekeliling, mungkin dia berada di kalangan orang lain yang sedang berjalan menuju ke arah pesawat, tapi tidak ada. Saya benar-benar bingung memikirkannya. Tidak mungkin dia terlepas daripada penglihatan saya kerana hanya kami berdua sahaja yang memakai ihram. Saya berjalan menuju pesawat dengan fikiran yang bingung.
Sampai di dalam pesawat, saya segera mencari lagi lelaki tersebut. Bermula dari kerusi paling belakang, saya meninjau satu per satu hinggalah ke kerusi paling hadapan. Pelik, lelaki tersebut tidak saya temui. Memikirkan mungkin lelaki berkenaan berada di dalam surau, saya menjengah ke situ, tapi tidak ada juga. “Mungkin aku terlepas pandang agaknya,” kata saya seorang diri.
Selepas berehat sebentar, saya mencari lelaki berkenaan. Sekali lagi, dari kerusi paling belakang ke kerusi paling hadapan, termasuk tandas dan surau. Tapi seperti tadi, lelaki itu tidak kelihatan. Tidak ada lelaki berpakaian ihram di dalam pesawat itu.
Saya duduk semula di kerusi. Dada saya berdebar kencang. Memang aneh kerana saya amat pasti dia menaiki pesawat yang sama dengan saya kerana seperti saya, dia juga memakai ihram. Juga itulah satu-satunya pesawat yang ada untuk ke Jeddah. Tidak mungkin dia menaiki pesawat lain.
Bagaimanapun saya amat yakin dia memang tiada di dalam pesawat kerana setiap kerusi telah saya perhatikan. Bukan saya tidak kenal wajahnya.Kami berbual hampir sejam, wajahnya yang lembut dan janggut putihnya yang pendek memang saya ingat benar. Saya tenangkan fikiran dan membaca kembali buku panduan haji. Syukur, saya dapat mengingatinya dengan baik.
Sampai di Makkah, Alhamdulillah, saya bertemu dengan jemaah haji dari Malaysia. Dengan merekalah saya meminta bantuan dan penginapan. Tapi dengan kekuasaan-Nya, berlaku lagi satu perkara yang bagi saya amat luarbiasa. Beberapa hari kemudian biarpun baru pertama kali menjejak kaki ke Madinah dan Makkah, entah mengapa saya diminta oleh jemaah-jemaah haji itu untuk menjadi juru tunjuk mereka. Bila sampai di Masjidilharam, saya tunjukkan kepada mereka pintu Babussalam. Selain itu saya turut diminta membaca doa sedangkan mereka mempunyai jurupandunya sendiri.
Di Makkah, saya menyertai lapan lagi jemaah yang berasal dari pelbagai negeri. Dan sekali lagi, saya diminta mengimamkan sembahyang serta mengetuai kumpulan itu untuk mengerjakan ibadah haji.
Kata-kata lelaki yang ditemui di Istanbul, bahawa saya akan memimpin orang, terngiang-ngiang di telinga saya.
Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya kepada sesiapa pun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (Untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat yang menjaga dan mengawasinya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).
Surah al-Jinn: 26-27
“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah menyertai orang yang sabar.”
Surah al-Baqarah: 3 : 153
Diceritakan oleh
Haji Zainal Abd. Ghani
Tadmansori Travel and Tours Sdn. Bhd.
Dipetik dari buku Koleksi Cerita Misteri
Manusia Aneh Di Tanah Suci.
No comments:
Post a Comment