Saturday, October 2, 2010

KALAU DAH NAMA NYA PUN PEREMPUAN

Misa seorang gadis ayu, cantik dan kaya tetapi bisu. Namun demikian, Azman sudi mengahwininya kerana dia berharap masa depannya lebih terjamin beristerikan perempuan berharta walaupun bisu.


Kemana Azman pergi, dia kerap mendabik dada memberitahu rakan-rakannya tentang dirinya yang bertuah kerana mempunyai isteri cantik dan tidak suka berleter, tapi tidak pula diceritakan yang isterinya itu bisu.


Kebanggaan Azman meningkat jika ada rakan-rakannya yang menceritakan tentang diri mereka di leteri isteri setiap hari.


Bagaimanapun lama kelamaan rasa seronok beristerikan perempuan bisu kian terhakis. Perlahan-lahan rasa bosan menyelinap dalam diri Azman. Mula lah dia membayangkan betapa seronoknya berbual-bual dengan isteri. Menatap kecantikan dan menikmati kekayaan isteri selama-lamanya, tentulah tidak akan ada sudahnya, fikir Azman.


Suatu hari ketika sedang memikirkan keadaan dirinya, tiba-tiba muncul seorang perempuan tua dihadapannya. Perempuan itu berjalan terketar-ketar tetapi tidak bertongkat. Wajahnya tidak menampakkan tanda-tanda garang atau menakutkan.


Mulanya Azman ingin lari tetapi entah kenapa kakinya enggan melangkah. Perempuan tua itu lalu berdiri di hadapannya. Mata mereka bertentangan. “Nenek tahu apa yang sedang kamu fikirkan…” kata perempuan tua itu sambil mengukir senyum.


“Tolonglah selesaikan masalah saya…” kata Azman berdiri dari tempat duduknya sambil menyatakan keinginannya berbual-bual dengan Misa seperti suami lain ketika bergurau senda dengan isteri mereka.


“Ambillah tiga helai daun sirih berwarna kuning di belakang rumah kamu. Sewaktu isteri kamu terlena malam nanti, letakkan ketiga-tiga helai daun sirih itu dibawah lidahnya,” kata perempuan tua itu lagi.


Belum sempat Azman mengucapkan terima kasih, perempuan tua itu hilang dari pandangannya. Malam itu Azman melakukan seperti arahan yang diterimanya. Dia membaringkan tubuh di sebelah isterinya dengan harapan menggunung.


Keesokkan paginya, Azman bangun awal sedikit. Dia mahu berbual panjang dengan Misa. Ditenung wajah isterinya. Di tatapnya puas-puas wajah lembut dan ayu itu beberapa ketika. Kemudian perlahan-lahan digoyang-goyangkan bahunya.


“Kenapa bangunkan saya begitu awal…? Tiba-tiba Azman terdengar isterinya berkata, Azman melompat dari katil, menjerit kegembiraan.


Mendengar jeritan Azman, Misa terbangun, duduk lalu bertanya kepada suaminya kenapa dia berkelakuan begitu.


“Sayang boleh berkata-kata…” kata Azman melompat kembali keatas katil sambil mendakap isterinya. Misa juga terpinga-pinga. Baru dia sedar dirinya sudah boleh berkata-kata. Beberapa lama mereka berpelukkan. Kemudian kedua-duanya berpegangan tangan beredar ke taman.


Azman bertanyakan pelbagai soalan kepada Misa, termasuklah beberapa soalan bodoh. Kedua-duanya ketawa riang, menari sambil berpegangan tangan. Tidak pernah Azman merasa begitu bahagia begini.


Masa terus berlalu. Azman merasakan hidupnya bersama Misa seperti berada di syurga. Sayang Azman kepada isterinya tiada sempadan. Kemana dia pergi, dia akan menceritakan kepada rakan-rakannya tentang Misa yang sudah boleh berkata-kata.


Dalam perbincangan dan bualan, Misa kerap memberi teguran apabila dirasakan perlu bagi membetulkan sikap suaminya. Dinasihatkannya agar Azman menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab.


Bagaimanapun apabila setiap hari isterinya memberikan nasihat, teguran dan sesekali leteran, Azman mula merasa sedikit bosan.


Ada ketikanya, Azman pulang lewat bagi mengelak mendengar leteran isterinya. Keadaan itu menyebabkan Misa bertambah marah dan sebaik melihat muka Azman pasti dileterinya.


Tidak tertahan lagi, suatu hari Azman mencari perempuan tua yang membantunya menyembuhkan penyakit Misa dahulu. Sambil duduk di tempat dia menemui perempuan tua itu, Azman merintih, merayu dan meluahkan rasa kesal hatinya.


“Lebih baik beristeri bisu…! Kata Azman berulang kali di dalam hati.


Tiba-tiba muncul perempuan tua itu. Kali ini wajahnya cukup garang. Tanpa berlengah, Azman memberitahu tujuan dan rasa kesalnya menyembuhkan Misa.


Dengan wajah bengis, perempuan tua itu mengherdik Azman. “Kamulah manusia yang tak akan puas dengan apa yang kamu dapat, kamu tidak akan bersyukur. “Kamu kecewa sebelum ini kerana isteri kamu bisu. Tetapi apabila isteri kamu boleh berkata-kata, sepatutnya kamu gembira.


“Tidakkah kamu tahu, perangai perempuan? Mereka memang suka bercakap. Ada kalanya percakapan itu tidak diperlukan. Itulah perempuan…suka bercakap perkara yang tidak seharusnya dicakapkan. Dahulu kamu sepatutnya gembira apabila berkahwin dengan perempuan bisu. Kamu tidak dileteri dan kamu tidak dinasihati…”


“Kalaulah dah namanya perempuan, memang sukar dihalang daripada bercakap. Terima sajalah kenyataan ini kerana aku sendiri tidak ada kuasa untuk menghalangnya daripada bercakap,” kata perempuan tua itu.


Dengan rasa yang cukup kecewa, Azman mengorak langkah pulang ke rumah. Dia berharap isterinya akan berubah. Perlahan-lahan dia mengatur langkah masuk ke rumahnya. Belum sempat langkah kedua dilakukan, Azman terperanjat mendengar suara isterinya.


“Kenapa terhendap-hendap ni? Tak habis-habis buat perangai. Hari-hari balik lambat…”leter isterinya. Mendengar kata-kata itu, langkah Azman terhenti.


Dia teringat akan kata-kata perempuan tua tadi. Rasa kesal kembali semula ke benaknya.

No comments:

Post a Comment