Saturday, November 20, 2010

DOA UNTUK SEORANG IBU

12 November 2010 hari Jumaat, ketika aku sampai di kampung, hari sudah semakin senja. Ketika aku terpandang emak yang sedia menanti, dia kelihatan tersenyum walaupun dia belum mengetahui siapa yang pulang pada hari itu untuk menziarahinya.

Sebaik aku bersalam dan mencium tangan serta pipinya baru ia mengecam bahawa aku yang pulang pada hari itu. Emak sentiasa gembira apabila anak-anaknya datang menziarahinya samada mereka datang dari dekat atau jauh.

Emak yang duduk menunggu di kedai makan Amri, adikku pada petang itu nampak manis pada pandanganku

"Emak apa kabar, sihat ke?" tanyaku dengan nada yang terpaksa dikuatkan kerana emak kurang pendengaran.

"Aku sihat, hang macammana, pompuan hang dengan anak-anak mana, depa tak datang ka?' tanya emak sambil mencari-cari kelibat isteri dan anak-anakku.

"Lina kirim salam, dia dengan anak-anak tak ikut sebab sekolah ada buat penyampaian hadiah esok. Jadi 'oghang' balik 'soghang' ja lah" jawab aku yang membahasakan diriku sebagai 'oghang' bila bercakap dengan emak. Walaupun kami tinggal di Taiping, Perak, kami bercakap menggunakan loghat utara.

"Emak dah makan koeytiaw goreng, dia dah kenyang, ubat untuk malam pun dia dah makan" kata Amri adikku yang membuka perniagaan kedai makan berhadapan rumah emak.

"Jom masuk rumah, aku dah tak 'laghat' kata emak lagi...

Emak yang dahpun berusia 84 tahun masih lagi boleh berjalan dengan menggunakan tongkat tapi dalam jarak yang dekat sahaja, kami tidak menggalakkan emak menggunakan kerusi roda takut emak jadi manja dan tak nak berdikari lagi. Mandi dan ketandas pun emak boleh berjalan sendiri dengan berpaut pada dinding atau kerusi yang diletakkan berhampiran. Kami hanya mengiringinya atau mengawasinya sahaja takut dia terjatuh.

Dulu emak tinggal dengan Sham, adik perempuan aku yang bongsu, tapi selepas ia berpindah ke rumah sendiri, emak tak nak ikut, dia nak tinggal dirumah sendiri. Kami adik beradik pun bermesyurat dan telah menetapkan untuk bergilir-gilir menjaga emak.

Bagi yang tinggal dekat dengan rumah emak, mereka diminta bergilir-gilir menjaga emak bermula Ahad petang sehingga Jumaat malam.

Bagi kami yang tinggal jauh di Kuala Lumpur seramai empat orang , diminta balik bergilir-gilir untuk menjaga emak bermula pada hari Jumaat malam sehingga ke Ahad petang. Ini bermakna siapa yang kena gilirannya akan pulang sebaik-baik sahaja habis kerja pada petang Jumaat tu. Dari Kuala Lumpur ke Taiping, Perak mengambil masa 4 jam melalui lebuhraya Utara Selatan.

Setakat ini Alhamdulillah, kami semua dapat menjalankan tanggungjawab sepertimana yang telah diamanahkan. Kami semua amat bersyukur kerana semasa kami semua seramai 16 orang masih kecil, emak dan ayah dapat membela dan menjaga kami dengan segala susah payah dan sempurna sehinggalah kami semua sekarang dah agak berjaya, mempunyai pekerjaan dan tanggungjawab sendiri. Sekarang kami adik beradik tinggal 15 orang sahaja kerana adikku yang ke 12 meninggal dunia semasa ia masih kecil.

Semenjak ayah meninggal kira-kira 11 tahun yang lalu, emak kesunyian dan sering merindui ayah, ini kerana semasa ayah masih hidup, ayah seorang yang penyayang dan rajin menguruskan rumahtangga, hobi ayah mengecat rumah, berkebun, dan rajin berbual-bual dengan mak sebelum mereka tidur. Apabila ayah berbual dengan emak, kami semua dapat mendengar apa yang mereka bualkan itu sebab perbualan mereka agak kuat. Kami dah tak hairan sebab dah lali... Ayah juga seorang imam di surau berhampiran rumah kami.

Sesekali bila balik kami dapat mendengar melalui speaker suara ayah mengalunkan Tarhim sebelum masuknya waktu subuh. Ayah juga seorang yang pandai melukis dan menulis seni khat jawi. Semasa aku bersekolah, banyak kali juga aku tengok ayah buat sepanduk yang diupah oleh kawannya yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Taiping untuk pertandingan perarakan Maulidur Rasul di Bandar Taiping sekitar tahun 1980an dulu. Ayah juga sesekali diupah untuk membuat papan tanda untuk kawan-kawannya yang ingin membuka warung.

Berbalik kisah mak, malam aku jaga emak tu ...pukul 3 pagi emak kencing tilam...kebetulan Amri ada sekejap dirumah selepas habis berniaga, kami sama-sama menguruskan emak dan membasuh tilamnya.

Ahad pagi , aku tengok mak tak bermaya dan nampak letih, berbanding pagi Sabtu emak masih ceria dan mengikut aku kekedai untuk bersarapan pagi..tapi pagi Ahad, aku rasa lain macam...emak tidak bergerak-gerak dan tidur dengan nyenyaknya. Mungkin letih selepas kencing pada malam tu. Tapi emak bangun kencing tengah malam banyak kali dah jadi perkara biasa pada kami sebab mak pengidap penyakit kencing manis, selalu ia sempat ke tandas, cuma malam tu saja ia kencing tilam..."Allah nak uji aku kot..." kata aku didalam hati.

Ahad petang, sebelum aku balik ke Kuala Lumpur, Din seorang lagi abang aku yang tinggal berhampiran datang untuk mengambil alih tugas aku menjaga emak. Aku, Din dan emak kerumah 'At' seorang lagi abangku yang tinggal berhampiran yang baru menerima cucu dan secara tak langsung emak juga menerima cicit baru. Mereka datang dari Sabah kerana pulang bercuti. Mak kembali ceria dan mukanya manis semula sepertimana yang aku lihat semasa aku baru sampai dari Kuala Lumpur petang Jumaat itu.

Sebelum balik, aku, Din dan emak sempat makan koeytiaw yang digoreng oleh Amri....aduh...sedapnya.....

Tepat pukul 8 malam, aku pun bertolak pulang ke Kuala Lumpur dan selamat tiba di rumah jam hampir 12 tengah malam.

Ini lah gambar ayahku beserta sijil kematiannya.
Ia meninggal pada 17 Mei 1999 ketika berusia 77 tahun

Tulisan tangan ayah. bacaan surah dalam sembahyang
mengikut susunan harinya

Ini lah gambar ibuku. Habsah bt. Man
berusia 84 tahun, beranak 16 kali.
Teror ke tak teror emak aku ni...

Album keluarga. Cuba kira ada berapa orang?
Yang sulung duduk kiri sekali dan yang bongsu berdiri di kiri sekali.
Emak duduk di tengah berkain biru.
Gambar dirakam pada tahun 2002

Amri sedang menggoreng koeytiaw untuk kami.


Kereta yang membawa aku pulang...
Avanza 1.5E tahun 2007.
Kereta ini merupakan kereta aku yang kelima
selepas Mazda, Saga, Iswara dan Ford Laser.
Semasa memakai Ford Laser aku mempunyai saman
bernilai RM780.00 dan telahpun dijelaskan kesemuanya.

Kereta Proton Saga yang aku pakai tahun 1993 dahulu.
Kemalangan yang berlaku pada tahun 1995
sewaktu ketempat kerja diawal pagi Jumaat
dalam hujan renyai hampir meragut
nyawaku dan isteri.

No comments:

Post a Comment