Tuesday, July 19, 2011

PERGINYA SEBUTIR PERMATA...(DR. LO'LO' DALAM KENANGAN)

Sebaik-baik aku mendapat khabar berita akan pemergian Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' bt. Dato' Mohd Ghazali yang mewakili Parti Islam Se Malaysia (PAS) ke rahmatullah kira-kira pukul 10.30 malam dari seorang kawan, aku terus mensedekahkan Al Fatihah kepada roh beliau semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.

Pagi ini, kira-kira jam 10.45, aku bersama ribuan orang yang mengasihinya ,telah meluangkan masa bagi menghadiri upacara pengkebumian beliau di tanah perkuburan Islam Kg. Dato Keramat, Kuala Lumpur.

Jenazah beliau telah selamat dikebumikan kira-kira jam 11.10 pagi. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memimpin solat jenazah bersama-sama ribuan jemaah di Masjid al-Akram, Datuk Keramat.

Dr Lo' Lo' meninggal dunia pada jam 10.13 malam semalam di Hospital Selayang, Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun. Berita kematian allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitternya atas nama keluarga. Beliau dalam keadaan kritikal akibat penyakit barah paru-paru sejak akhir Julai 2009. Allahyarhamah adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Ahli parlimen itu meninggalkan seorang suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan. Lebih 2,000 orang termasuk penyokong PAS dan penduduk parlimen Titiwangsa mengunjungi dan mengiringi beliau ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid berkenaan. Sebelum itu, dewan solat Masjid Al-Akram sesak dengan orang ramai yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo' Lo'.

Dr. Lo' Lo' aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, beliau banyak menumpukan perhatiannya kepada parlimen Titiwangsa, yang dimenanginya dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Sementara itu, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang ditemui, menyifatkan pemergian Dr. Lo' Lo' sebagai satu kehilangan yang amat besar. Menurut mereka, khidmat beliau yang belum selesai, khususnya berkaitan perjuangan membela penduduk Kampung Baru yang ditandakan sebagai kawasan komersial sepenuhnya dalam pindaan terbaru Draf Rancangan Pembangunan Kuala Lumpur 2020.

Ahli parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, sebak atas kehilangan rakan seperjuangannya itu yang juga bekas pemimpin Dewan Muslimat PAS pusat. Beliau berkata antara pesanan terakhir Dr. Lo' Lo' khususnya kepada Dewan Muslimat PAS supaya meneruskan perjuangan demi melaksanakan tuntutan Islam. "Beliau menasihatkan supaya kami banyak bersabar, tabah dan jangan patah semangat dalam perjuangan, khususnya mempertahankan maruah Kampung Baru," katanya bergenangan air mata.

Katanya lagi, penduduk di parlimen Titiwangsa amat bertuah kerana wakil rakyat mereka itu memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir. Manakala ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaafar pula berkata Dr. Lo' Lo' adalah seorang pemimpin dan tokoh wanita yang berprinsip dan berani menyuarakan pandangan dalam memperjuangkan hak rakyat. "Kesan perjuangannya amat besar di parlimen Titiwangsa dan keberanian arwah memperjuang serta menyelesaikan masalah rakyat. "Pemergiannya satu kehilangan besar kepada PAS, Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat di negara kita,"

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata penduduk Titiwangsa bukan sahaja kehilangan seorang tokoh wanita yang hebat, malah PAS dan beliau sendiri ,kehilangan sahabat yang banyak memberi motivasi kepada rakan-rakannya yang lain. "Sifatnya sebagai seorang ibu yang memberi leteran, tetapi leteran itu merupakan satu motivasi kepada kami bekerja lebih kuat dan terus bekerja untuk rakyat Malaysia. "Beliau seorang yang sangat gigih dan (selalu) turun padang memberi khidmat kepada penduduk Titiwangsa dan kehilangannya sukar dicari ganti," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata wakil rakyat PAS dan Pakatan akan mengagihkan tugas untuk meneruskan tugas Allahyarhamah di parlimen Titiwangsa walaupun pilihan raya kecil tidak diadakan kerana tempoh parlimen sudah melebihi tiga tahun.

Sementara itu, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata beliau bersama dengan ahli parlimen Pakatan akan bersama-sama meneruskan perjuangan Dr. Lo' Lo'. Beliau juga berharap keluarganya bersabar, tabah dan redha dengan ujian Allah dan berharap amalan Allahyarhamah diterima Allah dan dosanya diampuni. Sebelum itu, sewaktu talkin sedang dibacakan, suasana tenang dan sunyi, disusuli awan menutupi matahari sebanyak dua kali, menjadikan suasana redup di tengah-tengah belaian angin sepoi-sepoi bahasa.

Saksikan gambar-gambar yang sempat
aku rakam untuk tatapan semua


(BEKAS AHLI PARLIMEN TITIWANGSA)
MEWAKILI PARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS)

Suami Allahyarhamah, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim.



Gambar video rakam sendiri...



Gambar Video dari TVPAS

Jenazah sedang diusung keluar dari Masjid Al-Akram untuk dibawa
ke tanah perkuburan Islam Kg. Dato Keramat, Kuala Lumpur

Orang ramai mula membanjiri tanah perkuburan
sebaik-baik jenazah tiba dari masjid Al-Akram

Kehadiran dianggarkan lebih dari 2 ribu orang...







Sdra. Azizan turut hadir dan 'AJ' (berkelubung kerana cuaca panas).
Gambar dirakam oleh Sdra Idris Othman.



Orangramai mula melangkah keluar dari
tanah perkuburan setelah jenazah selamat dikebumikan..




Para wartawan sedang merakamkan kenyataan
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (baju oren)


Jenazah selamat dikebumikan dan
disirami air mawar oleh keluarga terdekat

Kelihatan satu kumpulan jemaah yang tidak sempat ke masjid
mengambil kesempatan bersolat jenazah di kubur Allahyarhamah



Seorang jurugambar 'mungkin' dari luar negara
sedang merakam gambar di kubur Allahyarhamah



Ada yang terus membacakan doa dan bersedekah ayat-ayat suci Al-Quran
untuk kesejahteraan Allahyarhamah dipersemadiannya...

Tanah perkuburan Islam Kg. Dato Keramat, Kuala Lumpur
yang sentiasa dijaga kebersihannya

Papan tanda dipintu masuk ketanah
perkuburan Islam Kg. Dato Keramat, Kuala Lumpur.

3 comments:

  1. Al-Fatihah, semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

    ReplyDelete
  2. Hilangmu sukar dicari ganti dan khidmat baktimu sebagai pejuang Islam akan diberi ganjaran di hari Akhirat nanti...Amin...

    ReplyDelete
  3. kali terakhir ana bertemu dan bertanya kabar berita ialah ketika berjumpa allahyarhamah di rumah DR Mariah[Ahli Parlimen Kota Raja]...kini dalam kenangan.semoga rohnya ditempatkan di kalangan org2 yg soleh...alfatihah!

    ReplyDelete