Wednesday, October 12, 2011

JIBRIL MENGAJAR ADAM BHG. 1...

Adam telah menyalahi perintah Tuhannya, kerana dia memakan buah terlarang yang telah Allah haramkan di dalam Syurga. Kerananya, dia diturunkan ke muka bumi bersama Hawa, kerana ketika itu Hawa juga memakan buah terlarang itu.

Setelah Syaitan berjaya menggoda Adam dan Hawa, dia ketawa senang, sehingga dia pun diusir dari Syurga, lalu ketiga-tiganya diturunkan ke muka bumi.

Adam dan Hawa berasa menyesal telah melanggar perintah Tuhan. Adapun Syaitan, dia terasa bahagia kerana telah berjaya menyesatkan Adam dan Hawa. Pada saat itulah Adam sedar bahawa syaitan sebenarnya adalah musuhnya dan musuh manusia semuanya yang merupakan keturunannya.

Kononnya Adam diturunkan dari syurga di sebuah gunung yang terletak di Negara India, sementara Hawa diturunkan di sebuah gunung yang terletak di tanah Hijaz. Tidak seorang pun dari kedua-duanya mengetahui jalan untuk menemui yang lain, sementara saat itu di muka bumi tidak ada seorang pun selain mereka.

Oleh kerana itulah Adam menangis dan bertaubat kepada Tuhannya. Demikian juga dengan apa yang dilakukan Hawa. Allah kemudian menerima taubat mereka dan berjanji untuk mengembalikan mereka lagi ke dalam syurga di lain waktu.

Namun masing-masing harus tetap berada di muka bumi dalam keadaan seorang diri. Adam meninjau, namun dia tidak melihat seorang manusia pun. Dia memanggil-manggil, namun dia hanya mendengar gema suaranya sendiri. Dia teringat saat dahulu masih berada di dalam syurga, ketika itu para malaikat bertawaf mengelilingi Arasy Allah seraya bertasbih mensucikan-Nya.

Adam kemudian berkata: "Ya Tuhanku, aku seorang diri bertasbih kepada-Mu di bumi yang luas ini. Adakah orang lain yang bertasbih kepada-Mu?"

Allah kemudian berjanji kepada Adam untuk menjadikan sebahagian keturunannya sebagai orang-orang yang bertasbih dengan memuji-Nya dan membina masjid untuk solat dan berzikir kepada-Nya. Diantara masjid-masjid tersebut, akan ada sebuah masjid yang merupakan rumah Allah yang suci (Baitullah Al-Haram). Rumah itulah yang akan dikunjungi manusia dan disanalah mereka bertawaf. Mereka yang akan mendatanginya berasal dari negeri yang sangat jauh. Ia adalah rumah Allah yang pertama kali didirikan di muka bumi.

Adam kemudian berkata: "Ya Tuhanku, dimanakah rumah yang suci dan tua itu?"

Allah kemudian memberitahu kepada Adam bahawa rumah tersebut ada di Makkah, negeri Allah yang suci.

Adam berasa rindu dan ingin mengunjungi rumah Allah yang ada di Makkah itu. Ketika Allah mengetahui ketulusannya, maka Dia pun memerintahkannya untuk berangkat menuju Makkah, tempat di mana rumah Allah itu berada, untuk bertawaf dan mengingati Tuhannya di sana.

Dalam perjalanan menuju Baitul Haram, Adam berlari dan lariannya semakin laju seakan-akan dia mempunyai sayap sehingga dia boleh tiba di Makkah dengan begitu cepat. Dia berangan-angan suapaya boleh bertawaf mengelilingi rumah Allah sebagaimana para malaikat pernah bertawaf di Baitul Ma'mur dilangit dan di sekeliling Arasy Allah.

Setibanya di sana, dari kejauhan dia melihat sebuah bayangan manusia yang lain. Setelah semakin dekat, terasa yakinlah bahawa orang itu adalah seorang wanita. Dia pun menghamburkan dirinya dengan cepat kearahnya, sementara hatinya seakan-akan terlepas dari tulang rusuknya kerana kegembiraan yang tak terperi.

Akhirnya dia berjaya menemuinya. Sesungguhnya wanita itu adalah Hawa, isteri tercintanya. Pertemuan itu terjadi di Makkah, diatas salah satu bukit yang ada di sana. Kedua-duanya saling mengenali di puncak gunung tersebut. Oleh kerana itu, tempat tersebut dinamakan Arafah.

Adam dan Hawa berangkat menuju rumah Allah yang suci di Makkah yang ternyata dijumpainya masih berupa batu yaqut (sejenis mutiara), dan mereka pun bertawaf mengelilinginya serta banyak berzikir kepada Allah. Setelah itu, mereka memulakan perjalanan untuk kembali ke Negara India, tempat asal Adam diturunkan dari Syurga.

Perjalanan itu sangat indah dan menyenangkan. Kebahagian Adam begitu besar kerana taubatnya di terima Allah. Namun demikian, kehidupan dunia yang dilaluinya penuh dengan kepayahan. Sejak saat itulah kehidupan yang penuh dengan kepayahan dimulakan.

Di dalam syurga, Adam dan Hawa tidak pernah mengenal lapar dan dahaga. Adapun di muka bumi , rasa lapar dan dahaga adalah naluri perut manusia. Adam dan Hawa terasa perut mereka sakit. Adam tidak mampu untuk berjalan, bahkan dia tidak boleh tidur. Kepalanya terasa pening, sementara pandangannya tidak dapat berfungsi dengan baik.

Malaikat Jibril kemudian turun dan menjelaskan perasan sakit itu kepada Adam. Jibril berkata: "Ini adalah rasa lapar, wahai Adam."

Adam menjawab dengan nada hairan: "Lapar? lalu, apa yang harus aku lakukan?"

Jibril menjawab: "Berdoalah kepada Allah agar ia memberi makanan dan minuman kepadamu!"

Air mata Adam menitis di kedua belah pipinya seraya teringat akan kewujudan dirinya di syurga yang memakan buah dari pohon yang ada di syurga dan meminum airnya. Sesungguhnya kenikmatan yang telah hilang. Sungguh, suatu kesenangan yang telah pergi. Adam pun berdoa kepada Tuhannya, sementara Hawa melakukan perkara yang sama.

Namun suara perut itu tidak kunjung henti, bahkan semakin kuat, dan jelas terdengar, sehingga lapar itu nyaris berubah seakan-akan menjadi suatu yang dapat mencabut nyawa Adam dan Hawa. Oleh kerana itu, kedua-duanya semakin khusyuk berdoa dan memohon pertolongan kepada Allah dengan mendesak.

Jibril kemudian turun membawa beberapa biji-bijian berupa gandum. Ia berkata kepada Adam dan menjelaskan kegunaan biji yang ada ditangannya. "Ini adalah makananmu, wahai Adam. Inilah yang mengeluarkanmu dari syurga."

Adam sangat senang dan berkata: Aku boleh memakannya sekarang?"

Jibril menjawab: " Tidak, tetapi tanamlah ia di tanah."

Adam kemudian menanam biji gandum itu di tanah dan Allah terus menumbuhkannya di saat itu juga sehingga Adam berasa sangat sangat senang. Dia berkata kepada Jibril: "Apakah aku dapat memakannya sekarang, wahai Jibril?"

Jibril menjawab: "Nanti dulu! Kamu harus menuai gandum itu terlebih dahulu."

Adam berkata: "Bagaimana cara menuainya?"

Jibril pun mengajar Adam bagaimana cara menuai gandum. Tidak berapa lama Adam menuai gandum tersebut, sementara rasa lapar hampir membunuhnya dan dia tidak mempunyai cara apa pun untuk mengusirnya selain melakukan apa yang diperintahkan oleh Jibril.

Adam menatap Hawa yang menangis kerana sangat lapar. Maka diapun bekerja dan bekerja lebih kuat lagi sehingga dia boleh menyelesaikan penuaian gandum tersebut dan memuji Tuhannya. Dia kemudian berkata kepada Jibril: "Sekarang, aku dan Hawa boleh memakannya?"

Jibril menjawab: "Belum, kamu harus mengupas kulit gandum itu terlebih dahulu."

Adam menjawab, sementara rasa letih hampir membunuhnya. "Bagaimana aku dapat mengupas kulit gandum itu?"

Jibril kemudian mengajarnya cara mengupas kulit gandum dan Adam pun melakukannya dengan cepat. Dia menyangka bahawa waktu makan sudah tiba setelah dapat mengupas kulit gandum tersebut. namun Jibril segera berkata kepadanya: "Sekarang, pisahkanlah antara biji gandum yang hendak dimakan dan biji untuk dijadikan benih."

Adam bertanya: "Bagaimana caranya?"

Jibril pun mengajarnya bagaimana cara memisahkan biji gandum. Adam kemudian mula memisahkan gandum-gandum tersebut. Adam menyangka bahawa saat makan telah tiba sesudah dia memisahkan biji gandum tersebut. Akan tetapi, Jibril dengan cepat berkata kepadanya: "Tumbuklah dulu sekarang! "Adam bertanya: "Bagaimana caranya?" Jibril pun mengajar bagaimana menumbuk gandum, sementara butir-butir peluh menitis diwajahnya. Rasa lapar di perut Adam itu seakan-akan raksaksa yang mengurut perutnya.

Setelah Adam menumbuk biji gandum itu, tangannya sudah menjangkau gandum itu untuk memakannya. Akan tetapi Jibril berkata kepadanya: "Giling dahulu, wahai Adam!"

Adam yang kelaparan menjawab dengan suara serak dan tersekat-sekat" "Dengan apa aku menggilingnya?"

Jibril pun datang dengan membawa dua batu yang salah satunya diletakkan diatas batu yang lain. Adam berkata: "Dengan alat penggilingnya ini?"

Adam pun mula menggiling gandum itu dengan alat penggiling tersebut. Nafas Adam terputus-putus saat menggiling gandum itu. ia tidak pernah memikirkan apa pun selain memberi makan untuk dirinya dan juga isterinya. Akhirnya, proses pembuatan tepung itu pun selesai. dan Adam menghulurkan tangannya untuk memakannya. Namun Jibril berkata kepadanya: "Adun lah tepung itu terlebih dahulu, wahai Adam!"

Kini Adam merasa bosan, sementara kesedihan tidak pernah terpisah darinya saat dia teringat akan syurga Firdaus, tempat dia telah diusir dari sana. Dia seolah-olah berkata: "Oh! seandainya aku tidak menyalahi perintah Allah dan tidak memakan buah terlarang itu."

Selanjutnya Jibril mengajar Adam bagaimana cara mengadun, kemudian Adam pun mula mengadun. Ketika Adam sedang mengadun, tiba-tiba dia menatap Jibril. Jibril kemudian berkata kepadanya: "Sesudah kamu adun, buatlah roti dulu sebelum kamu memakannya."

Bersambung ke Bahagian Kedua.......Nantikan...

No comments:

Post a Comment